Dear cErolian,

......

TERIMA KASIH!

Terima kasih kerana terus menyokong!

=======================

Nov 14, 2018

Kenapa Kita Susah Untuk Suka Kembali Orang Yang Suka Kita?



Salam.

"Kenapa kita susah nak suka balik orang yang suka kita?"
tanya E (bukan nama sebenar). Di pejabat, ada seorang rakan telahpun meluahkan perasaan kepada E.

"Dia bukanlah seorang yang teruk. Dia baik. Dia menawan. Dia juga selalu ambil berat tentang aku. Tapi entahlah, aku langsung tiada rasa mahu membalas perasaannya."

Walaupun pengakuan kawan E itu mengejutkannya, apa yang lagi mengejutkan adalah kesudian dia untuk berkongsi 'masalah' dia itu dengan aku. Malah, dia hanya membuka cerita apabila kami duduk berdua, bukan ketika banyak lagi kawan berada di sekeliling.

'Masalah' yang E alami ini sudah lama aku fikirkan, lebih tepat, sejak aku berumur 10 tahun lagi.





Pada suatu hari di waktu aku berada di darjah 4, seorang kawan sekelas menghampiri aku. Secara lisan FH (mungkin bukan nama sebenar) berkata;

"Aku sukakan kau, C!"

Itu kali pertama ada seseorang luahkan perasaan dia terhadap aku. Malah, rasanya kali pertama dan juga terakhir dilakukan secara lisan dan berdepan.

Pada usia 10 tahun, kawan-kawan sebaya yang ingin meluahkan rasa 'suka' mereka kepada seseorang selalunya dilakukan melalui surat. Tulis luahan hati, letak setepuk dua bedak wangi (optional), lipat, dan kirimkan kepada si dia melalui perantara lain (yang digelar posmen). Itu biasanya permulaan kepada satu cinta monyet.

Namun, keberanian FH untuk meluahkannya secara berdepan melalui medium mulut dan di kelilingi oleh beberapa orang rakan sekelas yang lain sangat berlainan dengan norma cinta monyet budak berumur 10 tahun.

FH bukan budak sebarangan. Dia anak cikgu. Berkulit putih gebu. Walaupun sedikit 'ting-tong' tetapi bagi sesetengah orang, itu kelihatan comel. Aku tahu paling kurang ada dua orang dari kelas yang sama yang sukakan FH.

Walaupun logik untuk budak 10 tahun untuk menerimanya, manakan tidak, seorang pelajar idaman ramai (aku anggap dua orang sebagai ramai) memilih untuk sukakan aku, dan juga disebabkan pada saat itu penuh dengan kisah kawan sebaya yang berpasang-pasangan (aka couple), peer pressure, namun aku memilih untuk tidak beri apa-apa jawapan.

Bagaimana aku boleh nak terima dia sedangkan aku langsung tiada hati dekat dia? Kalau aku terima, seolah-olah aku tipu diri sendiri (dan juga diri dia), namun kalau aku menolak pula seperti aku sudah lukakan hati dia.

Aku sedar pada waktu itu walaupun aku seorang pengawas, tapi aku seorang yang comot, berkulit gelap, rambut aku berkilat dengan minyak rambut Brylcreem yang berlebihan, badan aku sentiasa berpeluh hapak kerana aku sibuk bertugas sebagai pengawas (menjadi kuli kepada cikgu). Bagaimana seorang anak cikgu yang ada rupa boleh suka dengan seseorang...seperti aku?

Untuk budak berumur 10 tahun, aku rasa pemikiran aku pada waktu itu sedikit ke depan. Terima kasih untuk drama cina waktu petang yang mengajar aku berfikir sedikit seperti orang dewasa.



Itulah permulaannya.

FH mungkin yang pertama meluahkan perasaannya terhadap aku, tapi dia bukanlah yang terakhir. Semasa di sekolah menengah juga ada (dalam dua, tiga orang), semasa di kolej pun ada seorang, semasa belajar di universiti juga ada (mungkin dua orang), dan sehingga sekarang juga ada beberapa orang. Selain FH, yang selebihnya meluahkan perasaan melalui medium lain (SMS, orang ketiga, media sosial, dan sebagainya).

Namun, ultimatum, aku tidak dapat lari daripada satu persoalan yang menghantui aku sejak dari FH lagi, iaitu:
KENAPA ORANG BOLEH SUKA SESEORANG SEPERTI AKU?

Jujurnya, aku sendiri pun tidak suka diri aku sendiri. Bagaimana orang lain boleh suka?

Perkara inilah yang membuatkan aku langsung tidak pernah terima dan balas balik mana-mana luahan perasaan orang. Ya, aku pernah berpasangan dengan (beberapa) orang tetapi kesemua mereka bermula dengan AKU yang luahkan perasaan. Mereka hanya terima. Aku tidak pernah terikat dengan hubungan di mana orang lain yang luahkan perasaan dahulu dan aku terima. Tidak pernah.



Ini menjadikan persoalan E pada awal tadi JUGA menjadi persoalan kepada diri aku sendiri:
"KENAPA KITA SUSAH NAK SUKA BALIK ORANG YANG SUKA KITA?"



Setelah menggali, mengkaji, dan membaca sejumlah artikel mengenai topik yang sama, walaupun tiada jawapan yang konklusif, namun aku dapat satu penerangan yang logik untuk persoalan itu.

Secara asasnya, semua daripada kita mahukan perasaan 'suka' itu. Tetapi sebenarnya apa yang susah adalah kemampuan kita untuk 'memegang' perasaan itu bukan daripada diri kita tetapi daripada orang lain. Kita mahu, tapi kita tidak tahu bagaimana kita mahukannya.

Mungkin cara dibesarkan, mungkin juga dari sudut psikologi, tetapi kita menganggap orang yang tawarkan kita perasaan 'suka' itu seperti seorang yang lemah, silap, terdesak, sangap (maaf, sedikit keterlaluan), atau mungkin tidak berapa normal. Ini kerana pada asasnya kita kenal diri kita sendiri. Kita tahu apa keburukan kita, kesilapan kita, perangai kita, sikap kita, dan kita tahu semuanya yang baik dan terutamanya yang buruk tentang diri kita sendiri, jadi MANUSIA NORMAL MANA YANG MAHUKAN SESEORANG SEPERTI KITA?

Dengan kata lain, orang yang 'suka'kan kita, kita anggap sama ada dia tidak normal ataupun dia tidak kenal lagi siapa kita. Perlukah kita balas perasaan orang yang tidak normal, ataupun perlukan kita percaya kata-kata orang yang tidak kenal siapa kita?

(Dua perenggan di atas sepenuhnya tafsiran peribadi aku, tidak mewakili sesiapa. Kalian mungkin berpendapat berbeza dan tiada yang betul dan tiada yang salah dalam pendapat kita.)

Sebab itu, kita susah untuk suka balik orang yang suka kita.



Lebih mudah untuk berada di pihak orang yang 'memberi suka' daripada 'menerima suka'. Kerana berada di pihak tersebut lebih meyakinkan, kerana kita tahu apa yang kita mahu. Kalau perasaan kita diterima, itu satu keuntungan. Namun jika perasaan kita tidak diterima, kita tahu apa sebabnya; sebabnya kita tidak cukup bagus untuk diterima.

Berbeza dengan berada di pihak yang 'menerima suka'. Kita berada di pihak yang 'tidak tahu'. Kita tidak yakin adakah perasaan suka yang ditunjukkan pihak satu lagi benar-benar ikhlas, ataupun sekadar tangkap muat. Kita tidak tahu apa akibat jika kita terima, tetapi kita tahu apa akibat jika kita tidak terima. Akibatnya masih lagi sama, kita masih lagi kita.

Perasaan 'suka' yang ditonjolkan orang lain terhadap kita kelihatan seperti 'suspicious, incomprehensible, and a little bit repulsive' (aku tidak tahu mahu terangkan tiga sifat ini di dalam bahasa, namun itulah dia). Segala sebab yang mereka berikan kedengaran tidak sama dengan pandangan kita terhadap diri kita. Mana boleh mereka kata mereka suka kita kerana kita baik, tetapi kita tahu kita tidaklah sebaik yang mereka sangkakan. Jika kita iyakan apa yang mereka kata, itu seperti kita menipu diri sendiri (dan menipu mereka juga)!

Sebab itu, kita susah untuk suka balik orang yang suka kita.



Namun, aku suka satu ayat daripada satu artikel yang aku pernah baca ini:
'Love can be hard to receive when we're not fundamentally convinced of our own lovability.'

Semua isu yang kita bincangkan di atas bergantung kepada satu perkara dan satu perkara itu malar dalam setiap isu, iaitu PENILAIAN KITA TERHADAP DIRI SENDIRI.

Sebenarnya, orang seperti aku, dan E, dan mungkin juga sebahagian besar daripada pembaca (yang pernah rasa diri tidak layak disukai) ini tidak sepenuhnya memahami asas sebenar perasaan sayang dan suka.

Kita, sekali sekala, kena benarkan perasaan itu masuk walaupun kita rasa kita tidak layak.

Mungkin perasaan 'suka' yang ditonjolkan orang lain terhadap kita itu bukannya satu bentuk kelemahan ataupun kesalahan ataupun dilihat seperti mereka tiada pilihan. Mungkin perasaan 'suka' itu datang kerana mereka melihat sesuatu yang berharga di dalam diri kita di mana kita sendiri (sebagai pemilik kepada tubuh dan jiwa ini) langsung tidak pernah nampak, tidak pernah sedar akan kewujudan perkara 'berharga' tersebut.

Kita kena benarkan diri kita untuk dihargai, walaupun melalui pengalaman lepas kita mungkin langsung tidak pernah rasa begitu.

Mungkin kita perlu percayakan orang lain (yang sukakan kita) lebih daripada kita percayakan diri sendiri. Kadangkala, walaupun kita pemilik tubuh dan jiwa kita, namun ada perkara yang kita sendiri tidak nampak pada diri kita sendiri.

Lagipun, kita hanya mampu melihat diri sendiri melalui cermin, kan? Kita secara lahiriahnya tidak pernah (dan tidak akan pernah) nampak diri sendiri secara terus dan penuh. Hanya orang lain yang mampu menilai diri kita sepenuhnya, bukannya kita.

Sekali sekala, apa kata benarkan diri untuk disukai.
(Nasihat untuk diri sendiri.)



Kadangkala,
aku mahu sahaja tanya balik orang yang pernah sukakan aku satu soalan:
"APA SEBENARNYA YANG ADA PADA SAYA INI YANG BUATKAN AWAK SUKA?"

Malangnya, soalan itu bukanlah satu soalan normal untuk ditanya.


Sekian.




Nota kaki:
Aku guna perkataan 'suka' dan bukannya 'cinta' kerana suka lebih menyeluruh, sedangkan cinta mempunyai definisi yang terlalu dalam untuk dilihat sepenuhnya. Suka seperti padang rumput yang luas, sedangkan cinta lebih kepada lubang air selebar depa yang dalam dan tiada dasar.





.

7 comments:

  1. setuju sedikit sebanyak..ni tambahan bg diri saya..bkn tak ada yg luah rasa suka tp saya rasa saya takut utk terima ats 1 sbb yg saya simpulkan iaitu terlalu menyayangi/menjaga diri sendiri(takut dikecewakan)..paranoid kah? ��

    ReplyDelete
  2. Sama juga dengan orang yang kita suka belum tentu sukakan kita

    budoxeblog

    ReplyDelete
  3. wehhhhh aku rasa dowh....setiap kali dia dm or wassep or apa2 jelah an...aku teringin giler nak tanya soalan akhir ko tu...tp malangnya...selalu tak keluar dowh soalan tu...buat masa sekarang aku biarkan dulu masa berlalu...sedang buat kajian pada diri sendiri...aku nak tgok hipotesis ni valid ke tak dekat hidup aku...hahahahah

    ReplyDelete
  4. Biar saya jawab soalan tu. Sebab awak punya pemikiran. Cara awak melihat dunia. Tak sama dengan cara orang lain melihat dunia.

    ReplyDelete
  5. kenapa susah sangat orang yang kita suka nak suka balik kat kita ?

    ReplyDelete
  6. Aku ingat aku je yg pikir mcm ni . Im not alone ! Rasa betul2 dekat duh baca entry ni

    ReplyDelete
  7. Aku pembaca veteran kau yg menjengah semula lepas ternmpk post kau di ig.. lama dah kot tinggal acara blog walking lepas dah ada ig tiktok semua… dah ramai dah skrg blogger jadi instafamous, influencer, artis dan sbgai.. dah tutup blog..

    Saja tulis sini sbb terkenang zaman remaja dulu dgn blog.. tadi baru nampk nisa kay di tv.. terus terkenang zaman2 blog walking n jln2 ke blog org.. how time’s fly

    ReplyDelete

"It's not what you've got, it's what you do with it." - cEro, 2026

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Namaku cEro.... Kacak, tinggi, putih gebu, badan tegap, macho.. Kalau korang nampak orang yang memenuhi kriteria di atas, dia BUKAN AKU..
PENERBITAN:


Protected by Copyscape Online Plagiarism Check
Creative Commons License