Dear cErolian,

......

TERIMA KASIH!

Terima kasih kerana terus menyokong!

=======================

Mar 28, 2018

Mencari Raksasa Bawang. #PokémonGOCommunityDay



Salam.

[Maaf. Entri ini sarat dengan istilah-istilah khusus untuk permainan aplikasi Pokémon GO yang akan sedikit memberi sedikit cabaran kepada pembaca bukan pemain untuk memahami.]


Pokémon GO Community Day adalah satu inisiatif Niantic, Inc. selaku pembangun permainan aplikasi Pokémon GO untuk menjadikan permainan tersebut sentiasa relevan dan tidak ditelan masa. Setiap bulan terdapat satu hari yang dirai dan digelar sebagai Community Day. Terdapat pelbagai bonus dan ganjaran diberikan pada hari tersebut.

Sila baca entri tentang Community Day yang lepas:
Januari - Tangkap Pikachu di Taman.
Februari - Memburu Anak Naga Merah Jambu.

Untuk bulan Mac, Community Day jatuh pada hari Ahad 25 Mac 2018, menampilkan raksasa saku bawang Bulbasaur sebagai Pokémon istimewa. Acara ini berlangsung dari pukul 11 hingga 2 petang waktu Malaysia. Sepanjang tempoh 3 jam itu, akan diberi bonus tiga kali ganda XP jika berjaya tangkap setiap Pokémon dan jika evolve Bulbasaur kepada Ivysaur seterusnya kepada Venusaur dalam tempoh 3 jam itu, Venusaur tersebut akan dapat moveset istimewa Frenzy Plant, antara move jenis Grass yang sangat kuat.





PERSEDIAAN.

Seperti biasa, walaupun tidak diumumkan tapi semua pemain tahu bahawa bakal dilepaskan Shiny Bulbasaur, sejenis Bulbasaur yang mempunyai warna sedikit lain daripada Bulbasaur normal biasa. Rasanya aku tiada persediaan khusus untuk menghadapi Community Day kali ini selain daripada kemaskini ruang simpanan Pokémon supaya ada slot untuk menyimpan Shiny Bulbasaur yang akan ditangkap nanti.

Juga, disebabkan salah satu bonus Community Day kali ini ialah 3x XP untuk tangkapan, maka aku selaraskan hari ketujuh aku supaya jatuh pada hari Community Day supaya bonus yang aku akan dapat menjadi berlipat kali ganda. (Dalam Pokémon GO, jika kita tangkap Pokémon pada setiap hari berturut-turut, bonus tertentu akan diberi sehingga hari ketujuh (dipanggil Catch-of-The-Day Bonus). Semakin tinggi bilangan hari, semakin tinggi bonus diberi. Aku selaraskan permainan aku supaya hari ketujuh jatuh pada Community Day, supaya bonus maksimum yang aku dapat akan berlipat lagi tiga kali ganda)



MISI.

Untuk Community Day kali ini, aku tetapkan beberapa misi:

1. Dapatkan Bonus 7-Day Streak Catch of The Day dalam tempoh bonus.
2. Tangkap sebanyak mungkin Bulbasaur sepanjang tempoh 3 jam Community Day.
3. Tangkap paling kurang TIGA (3) shiny Bulbasaur.
4. Evolve paling kurang SATU Bulbasaur kepada Venusaur supaya mempunyai moveset istimewa Frenzy Plant.

Sekali lagi, aku pergi Community Day ini seorang diri namun destinasi pilihan aku kali ini berbeza; Taman Tasik Shah Alam.


Taman Tasik Shah Alam, tempat kenangan lama.


Shah Alam merupakan 'rumah' kedua aku, tapi aku kurang bercampur dengan komuniti Pokémon GO di sini. Daripada sumber Twitter dan Facebook, aku dapati komuniti Pokémon GO di sini sangat aktif dan besar. Malah mereka selalu berkumpul bersama untuk acara-acara khas seperti Community Day ini. Jadi, aku buat keputusan untuk cuba sertai acara mereka.

Satu keputusan yang rasanya agak susah bagi aku sebab; 1) aku tak pandai nak bersosial, apatah lagi dengan orang yang langsung tidak kenal, dan 2) aku sudah terlalu terbiasa buat perkara seorang diri, maka nak masuk ke dalam komuniti yang sudah well-established sangatlah memberikan aku cabaran.

Namun, aku cabar diri aku sendiri untuk sertai acara mereka ini.
You can do it, C!!


Poster acara Community Day Shah Alam.
Sumber Facebook Pokémon GO [Malaysia], kredit Bemz Banawi (Fb)



HARI KEJADIAN.

Aku sampai di Taman Tasik Shah Alam setengah jam awal. Rupanya susah nak cari kawasan parkir motosikal di sekitar Tasik Shah Alam ini, jadi aku buat keputusan untuk park di kawasan kompleks membeli-belah SACC Mall dan berjalan sedikit ke taman.

Sesudah sampai ke lokasi acara, beberapa orang sedang bersiap-siap tebar lapik kanvas supaya menjadi tempat duduk para peserta. Dapat kenal siapa di dalam komuniti Pokémon GO Shah Alam kerana mereka pakai baju T hitam khusus berlogo Pokémon GO. Aku pun memberanikan diri (yang kecut ini) untuk bertegur sapa dengan salah seorang ahli komuniti ini, dan aku dapati mereka sangat ramah dan welcoming. Perasaan kecut aku sedikit sebanyak makin hilang kerana walaupun aku tidak dikenali, mereka masih ramah dan tidak meminggirkan.


Sebelum acara bermula. Ahli komuniti sedang bersiap-siap.


Aku difahamkan oleh salah seorang ahli bahawa mereka memang selalu buat acara sebegini walaupun sebelum Community Day diperkenalkan. Mereka akan buka satu kawasan di sini dan bersama-sama pasang 'lure' dan tangkap Pokémon sambil beramah mesra. Malah, untuk Community Day ini, mereka ada buat cabaran seperti memberi hadiah kepada peserta yang dapat Shiny Bulbasaur dengan CP istimewa (111, 222, 333, 444,...) dan bermacam-macam lagi.

Port ini dipilih kerana kawasannya berdekatan dengan 4 Pokéstop, senang untuk mereka pasang 'lure' dan tangkap Pokémon yang muncul tanpa bergerak jauh. Malah, kawasan ini juga teduh daripada panas dan berhampiran dengan tandas, surau, kawasan jual makanan, serta mempunyai pemandangan yang indah untuk dinikmati. Ahli-ahli komuniti Pokémon GO Shah Alam memang sudah fikirkan semuanya dan betul-betul serius dalam berkomuniti. Good for them.



COMMUNITY DAY BERMULA.

Jam tertera pukul 11, dan peserta acara sudah mula datang ramai. Bulbasaur mula muncul dengan banyaknya di dalam permainan. Terdengar dari jauh seorang dua sudah jumpa Shiny Bulbasaur, menandakan kesahihan kemunculannya walaupun tidak pernah diumumkan secara rasmi oleh pihak Niantic.

Aku mulakan dengan tangkapan pertama untuk hari itu (7-Day Streak Catch of The Day), berganda-ganda XP yang aku dapat. Sayangnya aku tak pasang Lucky Egg sebab kalau aku pasang, semua XP itu akan digandakan 2 kali lagi.


Lihatlah, sekali tangkap dapat 8130 XP, hampir bersamaan dengan menangkap lebih kurang 50 Pokémon liar pada hari biasa. Nice!!


Dalam 10 minit pertama di tapak acara, aku sudah berjaya tangkap DUA (2) Shiny Bulbasaur. Sengaja aku simpan keterujaan dalam hati sebab aku tak mahu orang lain yang masih belum jumpa Shiny Bulbasaur berasa tidak selesa. Padahal, dalam hati aku nak saja melompat kegembiraan sebab sudah jumpa 2 Shiny Bulbasaur dalam masa yang singkat.


Ini dua Shiny Bulbasaur pertama aku. Susah nak beza dengan Bulbasaur biasa, tapi kalau dibanding sebelah menyebelah, memang nampak beza warnanya.


Bernasib baik, salah seorang ahli komuniti Pokémon GO Shah Alam ini adalah admin yang ditugaskan untuk memberi lencana eksklusif Silph League sempena Community Day bulan ini. Maka, aku berkesempatan untuk buat 'handshake' dengan beliau dan seterusnya lencana eksklusif berwajah Shiny Venusaur pun muncul di kad profil aku. (Baca tentang Silph League di entri Pokémon GO Community Day Februari lepas)


Sebenarnya, aku sudah bersedia untuk tidak dapat lencana ini sebab kali ini mendapatkan lencana bukanlah antara misi utama aku tapi LUCKY!!! Aku dapat juga!!


Apa guna aku datang ke Taman Tasik Shah Alam kalau hanya mahu duduk sahaja, kan? Cuaca baik, permandangan indah, orang pun ramai. Lagipun misi utama permainan Pokémon GO adalah supaya kita dapat keluar dan 'explore' dunia luar, jadi aku buat keputusan untuk pusing satu taman sambil tangkap sebanyak mana Bulbasaur yang aku mampu. Sendirian. Sepanjang perjalanan, aku berjaya tangkap TIGA LAGI (3) Shiny Bulbasaur berserta dengan Bulbasaur biasa yang lain.


Tiga lagi Shiny Bulbasaur. Very nice!!


Dari jauh aku nampak di dalam permainan, salah satu PokéGym di taman ini akan berlangsungnya Boss Raid level 1. Tunggu punya tunggu punya tunggu apakah boss yang akan muncul, akhirnya yang muncul adalah Magikarp. Magikarp adalah Boss level 1 yang paling senang untuk ditewaskan, boleh dilawan solo, tapi memberi ganjaran yang sedikit jika berjaya ditewaskan. Namun disebabkan raid itu berlangsung di sebuah PokéGym yang berada di taman, jadi aku ambil keputusan untuk menewaskannya juga.


Magikarp is a pathetic excuse for a Pokémon that is only capable of flopping and splashing. This behavior prompted scientists to undertake research into it.


Sekali lagi dari kejauhan aku nampak salah satu PokéGym berdekatan akan berlangsungnya Boss Raid. Kali ini level 5, di mana sudah pasti Pokémon yang bakal menetas dari telur hitam itu adalah Pokémon lagenda, Lugia. Walaupun lawan Lugia tidak beri apa-apa kebaikan pada tempoh 3 jam Community Day ini, tapi aku buat keputusan untuk ke sana dan menentangnya semata-mata hanya untuk peluang mendapatkan Shiny Lugia. (Shiny Lugia seperti Lugia biasa cuma warna birunya ditukar kepada warna merah)


Walau dalam peta macam dekat, tapi penat juga nak berjalan dari Taman Tasik Shah Alam ke Dataran Shah Alam. Berotot betis aku!

Malangnya, Lugia yang berjaya aku tentang bukan Shiny Lugia.
Dan bertambah malang, aku tak berjaya tangkap Lugia tersebut.


It's okay. Tak dapat tangkap pun tak apa sebab aku sudah ada DUA Lugia. Aku hanya nak peluang dapat Shiny Lugia sahaja (sedapkan hati...)


Selepas sahaja aku habis kerjakan Lugia tadi, aku perasaan hanya tinggal kurang 15 minit sebelum Community Day tamat. Cepatnya 3 jam masa berlalu. Aku belum sempat lagi evolve Bulbasaur kepada Venusaur untuk dapatkan moveset istimewa Frenzy Plant yang eksklusif di Community Day ini sahaja. Maka, dengan gelabah perutnya aku evolve DUA Bulbasaur kepada Venusaur; satu Bulbasaur biasa, satu lagi Shiny Bulbasaur. Aku juga evolve satu lagi Shiny Bulbasaur kepada Ivysaur kerana aku mahu satu set lengkap keluarga Bulbasaur versi Shiny.


Satu keluarga Shiny Bulbasaur.
Tengoklah pokok kuning belakang Venusaur tu. SO MAJESTIC!!!


Sebelum masa bonus Community Day tamat, aku sempat kembali ke tapak acara komuniti Pokémon GO Shah Alam di taman tasik. Makin ramai daripada tadi. Masing-masing muka puas hati, rasanya semua dapat miliki paling kurang satu Shiny Bulbasaur. Acara yang melibatkan hadiah seperti yang aku ceritakan awal tadi pun sudah diumumkan pemenangnya. Sudah tentu aku tak menang. Mana mungkin aku bernasib baik berkali-kali dalam satu hari, kan?

Maka, dengan itu tamatlah Pokémon GO Community Day bagi sesi bulan Mac 2018. Sebelum semua berkemas dan beredar, para ahli komuniti Pokémon GO Shah Alam dan semua peserta yang hadir ambil peluang untuk bergambar beramai-ramai bersama sebagai kenang-kenangan.


Image Twitter @PokemonGOAppMY



MISI SELESAI.


Sepanjang tempoh acara, aku berjaya;

1. Dapatkan Bonus 7-Day Streak Catch of The Day ganda 3. (+8130 XP)
2. Tangkap 43 Bulbasaur.
3. Tangkap LIMA (5) shiny Bulbasaur.
4. Evolve DUA Bulbasaur kepada Venusaur supaya mempunyai moveset istimewa Frenzy Plant.

Misi tambahan;

5. Dapat lencana eksklusif Silph League sempena Pokémon GO Community Day.
6. Dapat masuk 1/3 akhir XP Level 35 sebelum naik ke Level 36
(dari 966 388 XP kepada 1 030 668 XP, untuk naik ke level 36, aku perlu capai 1 500 000 XP)

Namun, pada aku, pencapaian paling besar untuk hari ini ialah aku dapat cabar diri sendiri untuk sertai acara komuniti Pokémon GO Shah Alam dan dapat berkenalan dengan ramai orang baru yang mempunyai minat yang sama; bermain Pokémon GO.

Jadi, kalau nak diletakkan tekaan, aku rasa bulan depan (April) Pokémon GO Community Day akan dilangsungkan pada 22 April 2018 (Ahad) dengan penampilan Pokémon istimewa, CHARMANDER. Sebab Bulbasaur adalah Pokémon pertama dalam Pokémon pemula (starter) generasi 1 bersama-sama Charmander dan Squirtle, jadi selepas Bulbasaur, sudah tentu logik untuk giliran Charmander pula untuk bulan April dan seterusnya Squirtle untuk bulan Mei.

Charmander (dan seluruh keluarganya) adalah Pokémon kegemaran aku dan kalau dilepaskan, Shiny Charmander dan Shiny Charizard kelihatan sangatlah cool. Aku sangat teruja. WEEEEEEEEEEEEEE!!!!

UPDATED (28 Mac 2018 2115hr):
Niantic mungkin jenis kawan yang suka troll. Di kala seantero masyarakat Pokémon GO (termasuk aku) menjangkakan Charmander akan jadi Pokémon utama Community Day bulan depan (April), Niantic dengan seronoknya mengumumkan Mareep akan jadi Pokémon tumpuan pada acara itu kelak.

Image Twitter @PokemonGOApp

Mareep adalah sejenis Pokémon biri-biri elektrik. Kebanyakan orang tak minat sangat Mareep ni tapi pada aku, aku suka Mareep. Lagipun Mareep antara Pokémon yang susah nak jumpa di keliaran.


Untuk acara Pokémon GO Community Day bulan April depan, aku masih belum buat keputusan untuk ke mana. Taman Tasik Shah Alam macam sangat menarik sebab ada satu komuniti besar dan ramah yang buatkan orang yang tidak suka bersosial macam aku ni rasa selesa. Tapi dalam masa sama, aku kalau boleh tak mahu terlalu selesa dengan satu tempat yang sama. Mungkin kalau ada komuniti lain yang boleh aku sertai di tempat lain, akan aku fikirkan. Tapi kalau aku nak main seorang diri, Taman KLCC pun masih satu idea yang bernas, kan?

Nak join aku? JOM! DM aku di Twiiter (@cerolian) dan kita bincang.

Maka dengan ini,
tamatlah cerita aku mengenai Pokémon GO Community Day bulan Mac.
Terima kasih kepada yang sudi baca sampai habis. Nampak gayanya, entri tentang Community Day ini adalah entri wajib satu setiap bulan. Hehehe

Bye.




.

Mar 21, 2018

Dua Tua Bersembang IMPIAN.



Salam.

Baru-baru ini aku berkesempatan untuk duduk berbual dengan seorang kawan lama.
Pada usia purba kami,
topik yang biasa orang seusia kami bualkan selalunya berkisar sekitar isu politik, isu kewangan, isu dunia, dan isu nak daftar cucu-cicit darjah satu tahun depan.
Tapi itu bukanlah isu yang kami (aku dan kawan aku) bincangkan.

Kami berbincang tentang IMPIAN.

Pada usia manusia paleolitik seperti kami,
berbincang tentang impian adalah sesuatu yang...tak kena.
Topik impian selalu dibincangkan orang muda dan bertenaga.
Jarang manusia purba berborak tentang impian.
Maklumlah, dah terlewat.

Namun, kami tidak peduli.




Aku ada satu impian untuk miliki sebuah van dan ubah suai ruang belakang van itu menjadi ruangan yang sesuai untuk aku tinggal. Aku berimpian mahu mengembara dengan van itu ke seluruh negara. Pergi ke satu tempat, tinggal dalam van untuk seketika, berkenalan dengan orang tempatan di kawasan itu dan selepas dua tiga hari, aku beredar ke tempat lain dan ulang rutin yang sama sampailah aku berjaya jelajah ke seluruh Semenanjung.

"Van? Maksud kau caravan?" tanya kawan aku.

Konsep yang sama macam caravan (ada ruangan tambahan, trailer yang ditarik) tapi aku hanya mahu van (macam van yang hantar budak sekolah pergi balik tu). Aku tiada masalah untuk tidur di ruang sempit, jadi ruangan seperti belakang van yang sudah diubahsuai rasanya tak jadi masalah. Lagipun caravan terlalu besar dan rasanya, bukanlah satu scene yang normal untuk pandu caravan di Malaysia ni.

"Kalau macam tu, kenapa bukan kereta? Boleh je kau tidur di seat belakang, kan?"

Aku dulu pernah seketika kerja pandu van, aku dapat rasa perasaan pandu van amatlah berbeza berbanding pandu kereta mahupun menunggang motosikal. Aku lagi suka memandu van berbanding kereta. Lagipun van lagi praktikal untuk simpan barang kalau aku nak pergi mengembara lama berbanding kereta. Mungkin aku akan bawa generator elektrik sendiri supaya aku tidak terlalu bergantung kepada sumber elektrik orang lain kalau memerlukan.

"Macam mana dengan air? Untuk mandi, untuk minum?"

Air minum rasanya aku akan sediakan bekalan yang banyak untuk disimpan. Tapi kalau bekalan kurang, rasanya tak ada masalah nak cari sebab aku nak terjah bukanlah pendalaman mana pun. Pekan-pekan kecil, kampung-kampung pun masih ada lagi jual air. Untuk mandi, rasanya aku kena jadualkan seperti singgah ke RnR, atau singgah ke sungai, lata, jeram yang ada, atau singgah ke stesen minyak, atau singgah ke masjid. Yang penting, kena merancang.

"Berak?"

Kalau urusan nyahtinja tu tak terdesak, boleh je singgah mana-mana tempat awam yang ada. Tapi kalau terdesak, common brader...takkan tak faham kot? Apa guna ada semak samun? Apa guna ada plastik? Kenalah kreatif sikit selesaikan masalah.

"Makan macam mana?"

Sudah tentu aku ada sediakan bekalan dalam van itu. Mungkin ada penunu kecil kalau aku rajin nak memasak. Tapi kalau tak rajin, singgahlah makan di mana-mana warung yang ada. Malah kalau kejiranan itu terlebih mesra, boleh je tebalkan muka tumpang makan. Rasanya orang Malaysia kita ni masih lagi ada adab jemput tetamu makan kot, walaupun di bandar semakin kurang.

"Seorang diri? Kau tak takut ke?"

Rancangnya memang nak seorang diri. Senang. Buat keputusan sendiri tanpa perlu fikir orang lain. Tapi kalau ada kawan sekepala dan tak kisah tidur sempit, apa salahnya. Nak kira takut, di situlah kena ada ilmu. Janganlah berhenti di tempat yang mengundang. Tak kisahlah mengundang apapun. Manusia pun sekarang ni lebih menakutkan daripada yang bukan manusia.

"Kau macam sudah rancang segalanya. Apa yang buat halang kau lagi sekarang?"

HAHAHAHAHAHA!! Aku gelak. Aku gelak. Aku gelak.

Rancangan aku memang lengkap, kecuali SATU.

"Apa?"

WATAK UTAMA TIADA.

Watak utama dalam 'impian' ini adalah van. Dan aku tak ada van. Ya. Aku boleh sahaja mula menyimpan dan sampai satu tahap aku akan mampu memiliki sebuah van yang diingatkan namun mengembara ke seluruh negara HANYA satu impian, bukannya keperluan untuk aku terus hidup. Mungkin lebih baik duit yang aku simpan untuk membeli van itu aku simpan untuk perkara yang lebih baik seperti peningkatan kerjaya, perkembangan perniagaan ataupun rancangan membina keluarga baru.

Bila berbicara tentang 'travel' dan mengembara, percayalah, tanyalah siapa pun mesti jawapan mereka adalah mereka suka. Siapa tidak suka dapat menikmati pemandangan baru, ke tempat baru, bertemu orang baru, merasa pengalaman baru, snap dua tiga keping gambar yang cantik dan kongsi di laman sosial. Tetapi semuanya berbalik kepada satu isu; KEWANGAN.

Hanya yang mampu sahaja mampu meletakkan hobi mereka sebagai suka travel. Jangan salah anggap ayat aku itu. Semua orang boleh menyimpan untuk travel. Tapi tak semua orang mampu untuk travel. Kebanyakan kita ada tanggungjawab lain yang masih perlu dilangsaikan. Kerja, amanah, keluarga. Semua itu tanggungjawab.

Ambil contoh aku nak mengembara dengan van ke seluruh Semenanjung. Sudah tentu aku kena cuti panjang untuk melaksanakannya, kan? Sudah tentu aku perlu sediakan sejumlah wang sebelum mula mengembara, kan? Duit minyak, makan, jalan-jalan, kalau kita fikir semua itu PERCUMA, kita terlalu naif.

Fikir pula tentang perkara yang kita tinggalkan semasa pergi mengembara. Bil-bil, sewa rumah, sewa kenderaan, hutang pelajaran, hutang peribadi, makan pakai kucing belaan dan orang yang berada di bawah tanggungjawab kita. Bukan semudah itu untuk kita pergi dan menikmati pengembaraan.

Masa juga main peranan. Aku pada usia purba ini baru masuk bahagian perancangan. Bila pula akan berlakunya perlaksanaan? Kalau nanti sudah berambut putih baru nak mengembara, bagaimana dengan kesihatan? Mampukah badan pada ketika itu? Bagaimana dengan keluarga? Jika keluar mengembara seorang diri, bagaimana dengan yang ditinggalkan?

Kalau diri yang bercakap ini baru berumur 18 tahun, mungkin aku akan kata "GO FOR IT!"



Sebab itu, pada aku secara peribadi, impian untuk mengembara tidak kira dengan van ataupun kaki ataupun motosikal ataupun bas, adalah hanya impian. Sesuatu yang hanya menjadi bahan bualan dua kenalan ketika dapat berjumpa bual. Dan beginilah perbualan dua orang dewasa yang bercerita tentang impian. Kami bercakap mengenainya, dan kami musnahkannya dengan kenyataan dan kebenaran.


Tapi ketahuilah,
kepada yang membaca entri ini,
jika kalian ada impian yang mahu dikejar,
jangan putus asa.

Orang macam aku mungkin sudah menggantung impiannya di dinding.
Tapi kalau kalian rasa optimis akan capai impian kalian,
seperti apa yang akan aku cakap kepada aku yang berumur 18 tahun,
JUST GO FOR IT!




Sekian.


Yang sudah membuang impiannya,
CERO




.

Mar 14, 2018

Tanpa Tajuk #13



Salam.

Bertemu lagi kita di dalam entri Tanpa Tajuk,
satu entri di mana beberapa isu mahu aku kongsikan tapi isunya terlalu pendek untuk diberi satu post khusus, maka aku rangkumkan beberapa isu itu di dalam satu entri.

Kali terakhir aku buat entri Tanpa Tajuk ini
adalah pada Julai 2016. Wow! Lamanya.
Aku patut selalu buat entri sebegini sebab entri ini ringan dan tidak memenatkan.

Tanpa membuang masa,
mari kita terus ke tajuk sebenar yang ingin dibincangkan...




1. Mempelam Luar Rumah

Mempelam, mangga, pauh, kuinin, sampai sekarang aku tak tahu beza.

Sebatang pokok di luar rumah sudah mengeluarkan buah mempelam.
Dua biji seperti di dalam gambar di atas.
Gambar di atas aku sendiri ambil menggunakan kamera telefon bimbit masa waktu pagi.
Entahlah.
Cahaya matahari pagi jatuh ke kulit buah mempelam tu buat hati aku tenang memandang.

Ceritanya,
pokok mempelam itu ditanam oleh jiran sebelah rumah.
Tapi rumahnya kini disewa oleh orang lain.
Maka, kami berdua (rumah aku dengan rumah sebelah) tak pasti siapa yang berhak untuk ambil buah mempelam itu. Sudah tentu aku langsung tidak ada hak ke atas buah itu walaupun buahnya terjuntai masuk kawasan rumah aku.
Ikutkan logik, buah itu milik pemilik rumah sebelah.
Maka aku nasihatkan suruh mereka tanya tuan rumah,
dan kalau dia benarkan, bolehlah diambil buat makan.
Sayanglah kalau buah itu membusuk dan jatuh tanpa dipetik sesiapa, kan?

Itulah keharmonian duduk di kawasan kejiranan aku.
Walaupun kami berjiran tidaklah serapat macam semasa aku duduk kawasan flat dahulu, tapi rasanya masing-masing tahu peranan masing-masing dan saling hormat menghormati antara satu sama lain.
Saling bertegur sapa ketika berselisih.
Menjaga harta sendiri dan harta orang lain.

Aku suka dalam satu komuniti saling hormat sesama sendiri tanpa perlu diminta untuk dihormati.
It's like a rule yang tak perlu pun disebut, just exist on default.

Tak sama macam komuniti atas talian.
Semua mahu dihormati, tapi ramai tak pandai nak hormat orang lain.
Malah ada sesetengah antara kita menganggap jadi kasar dan biadab itu adalah satu yang 'in', walaupun dengan orang yang kita tidak kenal.




2. Air Mandian Anjing

Sebut tentang kejiranan,
sebuah rumah di taman sebelah memandikan anjing-anjingnya di laman rumah.
Air mandian tersebut meleleh dan bertakung di jalan.

Aku lalu jalan tersebut, maka air tersebut terkena kepada kasut, seluar dan motosikal aku.
Maka, aku jadi ragu-ragu dengan barang-barang aku yang terkena air itu.
Yang aku tahu, air mandian manusia sendiri pun sudah dikira bukan air mutlak,
apatah lagi air mandian anjing.

Perlukah aku samak? Sertu?

Pada saat itu aku terasa sangat jahil kerana tiada ilmu yang cukup.
Kerana perkara ini perlu penyelesaian segera,
aku ke masjid untuk mencari ustaz yang mampu menjawab.
Namun sebab petang, masjid sudah tidak dihuni orang agama, hanya ada mereka yang singgah solat di hujung waktu.

Maka, jalan paling pantas aku ambil ialah bertanya kepada ustaz di dalam Twitter. Sebab semua sedia maklum, media sosial adalah cara terpantas untuk dapat maklum balas segera. Banyak syarikat korporat sudah gunakan media sosial sebagai satu servis maklum balas yang berkesan.

Twitter kini penuh dengan ustaz yang merasakan mereka mampu berdakwah secara lebih luas di alam maya.
Pada aku, itu satu pendekatan yang bagus sebab Islam itu universal,
tidak terikat pada satu zaman. Kita kena ikut zaman untuk berdakwah.

Jadi, aku pun tweet soalan berkenaan air mandian anjing ini dengan mention para ustaz Twitter.
Satu hari. Dua hari. TIGA hari masih tiada balasan.
Kenapa? Kenapa mereka tidak balas?
Bukan seorang, bukan dua orang, tapi TIGA orang ustaz Twitter aku tanya soalan yang sama, satu pun tidak berbalas.

Nak kata mereka sibuk, ehhh ada je dia membalas soalan orang lain.
Ada je mereka beri pendapat tentang isu lain.
Ya, isu aku tak seberat isu hajah ke Zouk,
tak seberat isu perempuan mahu jadi imam jemaah lelaki.
Tapi kenapa? Isu terkena air mandian anjing ini isu kecil ke yang tak patut dijawab?

Aku buka balik profile para ustaz ini.
Aku skrol satu-satu melihat jenis soalan yang mereka jawab.
Aku selidik siapa mereka yang jawapannya dijawab oleh para ustaz itu.

Oh, rupanya...
Persamaan untuk semua mereka yang jawapannya dijawab oleh para ustaz itu ialah mereka 'follow' ustaz itu.
100% daripada tweet yang para ustaz itu jawab adalah dari follower mereka.
Ustaz hanya menjawab soalan mereka yang 'follow' dia di Twitter.
Aku tidak follow mereka, jadi mereka tidak jawab soalan aku.

"Jadi, kau follow-lah ustaz tu. Bukan susah pun," kata korang.
Masalahnya, aku sudahpun bertanya sebelum follow.
Nanti aku follow, lepas tu nak tanya balik, tak redundant ke?
Entah-entah lepas follow pun mereka tak jawab, berkali ganda rasa kecewa di hati.

Tapi, entahlah...
Sungguh tak sangka ustaz Twitter pun pilih bulu, hanya menjawab soalan para follower.
Tak apalah, bersangka baik sahaja.
Mungkin mereka bertiga terlalu banyak dapat notification sampai mention aku pun tenggelam dalam notification itu.
Kebetulan mention para follower mereka tak tenggelam, jadi bolehlah dijawab.

Hmmmm....
Aku cuma harap dakwah tidak dijadikan alat domestik untuk mengejar pangkat dan kedudukan di media sosial.
Kurang senang duduk bila difikirkan.
Bayangkan ustaz di masjid hanya menjawab soalan daripada mereka-mereka yang dia kenal sahaja.
Yang tak kenal dia bolayan.
Agaknya apa perasaan orang yang bertanya tu?

Seluar, kasut dan motosikal yang terkena air itu pun sudah aku selesaikan,
terima kasih kepada kawan yang tinggi ilmu agamanya memberi jalan.
Kata dia, yang penting keyakinan.
Kalau kita yakin (atau was-was) barangan yang kena air itu sudah tidak suci,
maka eloklah disucikan.




3. Mempelam Luar Rumah [Bahagian 2]

Kesinambungan kepada cerita awal tadi,
beberapa hari lepas aku dapati mempelam itu sudah tiada.
Rantingnya ada kesan potong bersih, menandakan potongan pisau.
Bermakna buah itu bukan jatuh luruh, atau dipetik binatang.

Aku berfikiran jiran rumah sebelah sudah bertanya tuan rumahnya,
dan si tuan benarkan dia untuk potong dan makan.
Baguslah kalau itu keadaannya. Memang itu hak mereka pun.

Malangnya,
bila aku tanya jiran sebelah, mereka menafikan.
Mereka kata bukan mereka yang potong.
Mereka anggap pihak aku yang potong, memandangkan buah itu terjuntai masuk ke kawasan rumah aku.

Kalau bukan mereka, dan bukan aku, jadi siapa?
Siapa yang potong dan ambil buah tersebut?

But then something strikes me.
Walaupun kita (aku) hidup dalam kejiranan yang harmoni,
tapi kita kena ingat bahawa bukan 100% adalah bersifat harmoni.

Dalam mana-mana kelompok masyarakat sekalipun,
tidak kira alam realiti atau alam siber,
sebaik manapun komuniti yang ada,
pasti ada sekelompok kecil minoriti yang menjadi barah.
Mereka tidak akan ikut norma yang ditetapkan.
Mereka akan buat apa yang mereka mahu buat.
Mereka tidak peduli harta siapa.
Asalkan ada peluang, ada ruang, jika menguntungkan mereka bedal.

Dalam kes mempelam ini,
mungkin ada orang lain yang nampak buah tergantung cantik gebu
dan merasakan tak apa untuk mereka ambil.
Yang sedap makan, yang sedap dibuat cicah kicap gula itu mereka.
Asalkan mereka yang dapat rasa sedap.
Mereka peduli apa makanan itu hak orang lain.

Tapi, entahlah...
Sungguh tak sangka wujud orang yang sanggup makan makanan bukan hak mereka.
Tak apalah, bersangka baik sahaja.
Mungkin yang ambil itu ada isteri di rumah sedang sarat mengandung
mengidam mahu makan buah masam milik orang.
Orang mengidam ni kena diikutkan kehendaknya tidak kira apa.


========================= ============


Itu sahaja bebelan minggu ini.
Let just hoping that minggu depan ada entri yang lebih berisi daripada aku.
Amin.





.

Mar 7, 2018

Pengalaman Berharga 18k.


Salam.

Tajuk sedikit misleading.
18k yang dimaksudkan bukannya RM, tapi RT.
Retweet.




21 Februari,
aku berkesempatan menonton satu program di TV3 jam 12 tengahari.
Wanita Hari Ini.
Tajuk pada hari itu ialah 'Pengangguran'.
Aku yakin topik hari itu adalah satu bentuk promosi kepada program Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) yang bakal berlangsung pada hujung minggu 24-25 Februari. Panel yang dijemput ada 3 orang; seorang orang kuat SL1M, seorang ahli motivasi merangkap duta SL1M, dan seorang anak muda yang merupakan produk daripada SL1M.

Aku menonton sehingga habis perbincangan. Muka aku bertukar kerut sepanjang program. Ada sesuatu yang buatkan aku tidak senang duduk semasa menonton perbincangan itu, jadi aku putuskan untuk lepaskannya melalui dua tweet:


Ya.
Walaupun tajuk topiknya 'Pengangguran', tapi apabila ditanya oleh hos tentang apa punca kepada pengangguran, KETIGA-TIGA panel hanya berbincang tentang sikap para graduan. Tiada pun antara mereka, termasuk hos, mahu petik tentang faktor lain selain daripada sikap graduan.

Salah satu panel sampai ada menyebut dengan yakinnya;
"It's actually a crime not to have a job in Malaysia."
Dengan kata lain, dia secara sinisnya melabel orang yang menganggur SEDANG melakukan satu jenayah. Kenapa aku kata sinis? Sebab percakapannya bernada bongkak, maklumlah, orang kuat kerajaan.

Kita tidak perlu menjadi pakar ekonomi untuk tahu bahawa punca pengangguran TIDAK hanya terletak di bahu para graduan. Banyak lagi faktor lain yang sepatutnya ditekankan dan tidak hanya menyalahkan satu pihak.

Pada mulanya,
tweet-tweet aku tadi tidak mendapat sambutan.
Maklumlah, aku hanya ada 200+ lebih follower di Twitter dan kebanyakannya adalah mereka yang follow aku kerana aku follow mereka balik, jadi adalah dijangka bila tweet itu tidak mendapat sambutan.

Namun,
selepas hampir memasuki 8 jam, secara mendadak tweet itu semakin mendapat RT dan like yang banyak.
Aku syak ada satu dua twitfamous yang RT, jadi tweet itu lebih tersebar luas.
Reply datang berpusu-pusu, dan tweet pertama itu mendapat quote retweet yang banyak.
Rata-rata mereka menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap bagaimana isu pengangguran dibincangkan di TV.

Pada saat aku sedang menaip entri ini,
tweet pertama itu sudahpun mendapat 18.0 ribu RETWEET dan 8 ribu LIKE.



Menjadi Tular.

Ini merupakan kali pertama aku mendapat RT yang mencapai ribuan.
Tweet aku menjadi tular hingga dibincangkan di Instagram dan beberapa page Facebook.
Rata-rata mengecam tindakan syarikat TV yang bersifat berat sebelah.

Aku tidak pernah dapat perhatian seperti ini.
Handphone aku mendapat notification bertubi-tubi tanpa henti disebabkan ramai memberi reaksi terhadap tweet aku itu.

Pada mulanya aku sedikit bangga dan suka,
maklumlah, tak pernah dapat RT yang banyak.
Tapi lama kelamaan aku rasa sedikit menjengkelkan.
Notification masuk tanpa henti, memaksa aku sentiasa kena silent phone.

Ada satu masa aku lupa untuk silent phone.
Semasa sedang buang air besar di tandas awam, handphone yang sedang berada di dalam poket seluar yang sedang tergantung di pintu jamban asyik berbunyi dan bergegar, sehingga ke tahap orang lain yang sedang berurusan di jamban sebelah pun memaki suruh aku silent phone.

Aku tak pandai nak tutup notification, tapi disebabkan ini,
aku terpaksa gigih meneroka bahagian settings yang selama ini aku abaikan.
Mencari pilihan untuk tutup notification.



Manfaat Untuk Siapa?

Aku fikirkan benda ini hanya berlarutan selama sehari,
namun masuk hari kedua tetap sama keadaannya.

Aku mula fikir apa yang boleh aku buat daripada perhatian ini.
Maka, untuk tweet ketiga dalam bebenang (thread) itu,
aku letakkan promosi untuk blog ini.


Selepas separuh hari,
aku dapati walaupun tweet pertama dan kedua mendapat sambutan dan perhatian,
tetapi trafik ke blog ini tetap suram macam selalu.
Naik, tapi tidaklah banyak sehingga meninggalkan kesan.
Idea aku untuk ambil kesempatan mencuri perhatian orang ramai ke arah blog ini (aku anggap) tidak menjadi.

Lalu aku fikir,
kalau perhatian seperti ini tidak bawa manfaat terhadap aku,
mungkin perhatian ini boleh bawa manfaat terhadap orang lain.

Maka,
aku mulakan dengan membaca kesemua reply kepada dua tweet pertama tadi.
Aku dapati, walaupun banyak yang merungut tentang pengangguran,
ada juga yang selitkan iklan jawatan kosong.

Maka,
aku buat keputusan untuk tambah bebenang tweet aku itu dengan iklan-iklan jawatan kosong yang ada.



Bebenang Jawatan Kosong.

Nampaknya iklan jawatan kosong yang aku selitkan pada bebenang tweet itu sangat membantu.
Banyak yang mahu cuba memohon, malah ada yang quote tweet untuk tatapan kenalan lain.

Dalam erti kata lain,
aku jadikan tweet 'viral' aku itu sebagai medan orang menghebahkan iklan jawatan kosong yang ada.





Ada seseorang DM aku dan ucapkan terima kasih kerana dia berjaya dapat peluang temuduga hasil daripada perkongsian iklan jawatan kosong yang ada.
Rupanya dapat ucapan terima kasih daripada orang asing yang langsung kita tidak kenal ni, perasaan dia lain macam sikit.

Aku berjaya tukar perhatian pengguna twitter kepada peluang untuk orang lain.
Entahlah. Rasa sedikit bangga dengan diri sendiri. Sedikit saja.
Ini kerana aku kurang bangga tweet itu menjadi tular dengan asas yang negatif.
Maksud aku,
tweet itu bermula dengan kritikan keras berbaur kutukan tentang rancangan itu.
Dan pada aku, sesuatu perkara yang bermula dengan negatif dan mendapat perhatian seperti ini sangatlah tidak sihat dan tiada yang patut dibanggakan.

Aku sendiri secara peribadi sudahpun menghantar mesej terus (direct message, DM) kepada dua hos rancangan Wanita Hari Ini yang aku mention di dalam tweet kedua, memohon maaf jika tweet itu mendatangkan gangguan terhadap kerja seharian mereka. Aku tak mahu menjadi masalah kepada orang lain.

Namun,
aku lega bila aku berjaya tukar benda negatif ini menjadi sesuatu yang bermanfaat.
Walaupun manfaatnya bukan untuk aku, tapi untuk orang lain.



Timing.

Itu yang pelik tentang tular.
Aku pernah sentuh tentang apakah faktor sepunya segala perkara tular dalam entri '6 Elemen Sepunya Dalam Kebanyakan Video Viral Malaysia' ini, dan seperti yang aku tekankan di dalam entri ini, semua elemen ini tidak bermakna kalau tidak ada sumbangan satu faktor paling penting, iaitu TIMING.

Mungkin kebetulan timing semasa aku tweet kena dengan musim orang mencari kerja. Mungkin kebetulan timing semasa aku tweet adalah semasa twitfamous sedang meneroka alam Twitter. Mungkin kebetulan timing semasa aku tweet, ada ramai juga yang menonton rancangan TV itu dan berfikiran sama dengan aku.

Tapi bak kata Robin Scherbatsky, "Timing's a b*tch."
Tiada siapa tahu bagaimana timing berfungsi. Kita hanya boleh teka, tapi kita dapat tahu keberkesanan timing kita itu hanya selepas ia sudah berlaku.

Sungguh tak sangka tweet yang bermula dengan niat sekadar melepaskan ketidakpuasan hati menjadi tular sebegini. Ini merupakan kali pertama aku dapat RT dan Like mencapai angka ribuan, tapi aku juga harap ini adalah kali terakhir.

Laporan untuk aktiviti tweet pertama itu pada tarikh 28 Februari.
700 000 impressions bukan satu angka yang sedikit, tahu?



Apa Yang Aku Belajar Daripada Pengalaman Ini.


1. Aku belajar tentang diri sendiri.

Aku anggap selama ini dapat RT dan Like banyak di media sosial adalah sesuatu yang menggembirakan. Aku sendiri kadang-kadang rasa iri hati melihat satu tweet yang ringkas dan mudah, mendapat RT dan Like yang banyak. Pada aku, dia boleh tweet sebegitu, aku pun boleh juga, tapi kenapa aku tak dapat jumlah RT dan Like seperti itu?

Tapi, bila aku sendiri dapat merasai 'first hand' perasaan dapat RT dan Like yang beribu-ribu ini, aku baru rasa aku sebenarnya tak sukakannya. Ia melecehkan. Phone cepat habis bateri sebab terlalu kerap dapat notification. Mention dan reply terpaksa aku abaikan kerana terlalu banyak, tak terlarat nak baca. Mention dan reply oleh kawan lain yang tiada kaitan dengan tweet tular itu pun terabai sebab tenggelam dengan notification yang berpusu-pusu masuk.

More importantly, walaupun jumlah follower aku bertambah (+100 lebih) selepas tweet itu tular, tapi kesemua mereka adalah orang yang aku tidak kenal, dan mereka tidak kenal aku. Aku nak tweet benda tak berfaedah pun kena fikir dua tiga kali takut-takut mereka rasa aku tidak mencapai standard yang mereka mahukan. Aku yang selalu tweet tentang Pokemon GO pun terpaksa tahan sekejap kerana takut para follower baru itu tidak dapat terima apa yang aku tweet-kan.

Pengalaman ini sedarkan aku bahawa aku sebenarnya tidak sukakan perhatian seperti ini. Biarlah tweet aku tidak dapat RT dan Like banyak sekalipun, asalkan aku bebas untuk tweet apa yang aku suka.


2. Pengangguran bukan isu kecil.

Aku tweet tentang pengangguran. Tidak kisah sama ada kalian setuju atau tidak dengan isi tweet aku itu, tapi aku dapat lebih 18 ribu RT, belum kira lagi 'quote retweet'. Bermakna, ada lebih kurang 18 ribu individu di sebalik akaun Twitter yang menganggap isu pengangguran adalah satu perkara yang PERLU dibincangkan.

18 ribu bukan angka kecil, tahu?

Daripada tweet aku itu, melalui reply dan mention yang aku sempat baca, memang ramai merasakan kesal dan kecewa dengan situasi sekarang di mana peratusan penganggur mungkin tidak serendah yang media laporkan. Malah setiap daripada mereka ada masalah masing-masing, dan tindakan 'pukul rata' oleh segelintir pihak sangatlah tidak membantu.

Entahlah. Aku sendiri tak pasti apa aku boleh buat untuk bantu mereka yang dalam kelompok menganggur ini.


3. Kuasa media sosial.

Selama ini aku hanya dengar tentang bahaya media sosial jika disalah guna. Sekarang, aku sendiri rasai kuasa media sosial itu. Nasib isu yang aku ketengahkan adalah isu pengangguran, satu isu yang sudah sedia maklum oleh semua orang. Agaknya apa jadi kalau tweet tular itu berkisar tentang berita palsu? Berita yang memburukkan orang lain? Cerita fitnah? Cerita aib dan keburukan manusia lain? Aku rasa, kesan buruknya akan menjadi berlipat kali ganda.

Sebab itu para pakar pemasaran mengatakan menjadi tular adalah satu bentuk publisiti. Kerana ia bermula mudah, dan berakhir dengan impak yang kuat. Benda baik, mahupun benda tidak baik, dapat disebarkan secara meluas, cepat dan berkesan.

Namun, kuasa media sosial juga boleh digunakan untuk tujuan baik. Aku suka jenis tweet yang menyebarkan kebaikan, macam cerita bantu orang buta pesan makanan, atau beri selipar kepada pakcik yang berkaki ayam. Walaupun ada yang berpendapat perkara sebegitu seolah-olah nak riak, nak tunjuk bagus, nak tunjuk baik, tapi secara peribadi aku rasa lebih baik tunjuk perkara baik daripada tular perkara tidak sihat dan tidak bermanfaat.



Kesimpulan.

Pada aku, media sosial berfungsi seperti pisau.

Pada sesetengah orang,
pisau digunakan untuk memotong sayur supaya boleh dimasak dan dimakan.

Pada sesetengah orang lain pula,
pisau boleh digunakan untuk ugut dan bunuh orang lain.

Dengan kata lain,
yang salah bukan kerana wujudnya pisau,
tapi terletak kepada siapa yang sedang memegangnya.

Jadi,
adakah kalian sedang pegang 'pisau' kalian dengan baik?

Follow aku di media sosial, @cerolian








.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Namaku cEro.... Kacak, tinggi, putih gebu, badan tegap, macho.. Kalau korang nampak orang yang memenuhi kriteria di atas, dia BUKAN AKU..
PENERBITAN:


Protected by Copyscape Online Plagiarism Check
Creative Commons License