Dear cErolian,

......

TERIMA KASIH!

Terima kasih kerana terus menyokong!

=======================

Jan 31, 2018

Satu Tolehan yang Mengubah Hari Aku.



Salam.

Hari Isnin.
Di saat orang lain perlu berpusu-pusu ke tempat kerja, aku tidak perlu. Hari ini aku cuti. Tapi tidak bermakna aku patut bangun pagi lewat. Cuaca pagi aman nyaman. Udaranya, cahayanya, bunyiannya, semuanya sangat mendamaikan. Ada sesuatu tentang cuaca pagi yang membuatkan perasaan berasa tenang dan aman.

Di saat itu, aku tahu hari ini bakal jadi hari yang baik.



Selesai urusan di rumah di waktu pagi, tengaharinya aku buat keputusan untuk keluar. Niat hati mahu main Pokemon GO di sekitar kejiranan rumah aku ini. Maklumlah, walaupun agak lama sudah aku berpindah ke sini, namun rasanya belum betul-betul tahu selok-belok kawasan sini.

Ini adalah masanya di mana aku sangat bersyukur aku seorang bujang. Maksud aku, aku boleh pergi ke mana sahaja yang aku mahu seorang diri tanpa perlu bawa sesiapa dan tanpa perlu peduli kebenaran sesiapa, satu kebebasan yang pastinya orang sudah berkomitmen rumahtangga faham akan keistimewaannya.

Tengahari, aku makan di kompleks membeli-belah berhampiran. Di restoran tempat aku makan, yang menghidang seorang gadis manis yang murah dengan senyuman. Aku suka bila dilayan dengan senyuman, apatah lagi datang dari seorang yang manis. Siapa tak suka, kan? Makan kenyang, aku ambil keputusan untuk berjalan-jalan sekitar kedai yang berdekatan.

Kesemua kedai yang aku kunjungi, aku dilayan dengan baik. Pekerjanya semua murah dengan senyuman. Ada yang ramah bertegur sapa dengan aku. Kalian kena faham, dengan muka yang aku ada, bila dilayan baik oleh orang lain, aku ada perasaan gembira dan skeptikal bercampur baur. Tapi sebab dari awal pagi sehingga kini lewat tengahari hari aku baik, maka aku hanya berfikiran positif. Hari ini mungkin adalah salah satu hari yang baik untuk aku.

Aku ambil keputusan untuk habiskan masa sehingga ke petang di taman. Taman permainan kanak-kanak. Ada beberapa kanak-kanak sedang bermain, berlari dan menjerit-jerit. Selama ini aku rasa jeritan kanak-kanak sedikit menjengkelkan, tapi hari ini aku tidak merasakan sedemikian. Senyuman terukir di bibir aku melihat mereka berlari-lari dan bermain.

Kebetulan ada dua lelaki lain di situ. Seorang ah ko berbangsa cina dan seorang lagi budak remaja berbangsa india. Kami bertiga berbual sakan seolah-olah kami ini kawan lama. Aku bukanlah seorang yang gemar bersosial dengan orang, tambahan lagi orang yang baru kenal. Tapi dengan mereka berdua, seperti kami sudah lama kenal. Pada saat itu, tidak dapat rasa langsung apa-apa jurang. Seorang melayu, seorang cina dan seorang india, memang seperti definisi kepada masyarakat muhibah. Malah kami bertiga berbeza usia, namun masih lagi dapat bergelak ketawa berbual pelbagai perkara.

Hari ini memang satu hari yang baik untuk aku.

Namun kalian baca, kan, tajuk post ini? Walaupun berkali-kali aku ulang hari ini adalah hari yang baik, kalian sudah tahu bahawa sesuatu akan berlaku seterusnya, kan?

Ceritanya, semasa aku sedang menunggang motosikal di dalam perjalanan hendak pulang ke rumah, aku ternampak sebuah lori simen berhenti di hadapan. Kedudukannya amat tidak sesuai untuk berhenti, namun rasanya berlaku kecemasan, jadi aku anggap itu bukanlah satu kesalahan besar.

Kereta di belakang lori memandu perlahan, sebuah demi sebuah memotong lori yang sedang berhenti itu. Jalannya satu lorong untuk dua hala, jadi mahu memintas lori simen yang sedang berhenti bukanlah mudah. Akhirnya, sampai giliran aku. Jarak ke rumah aku hanya dalam kurang dua kilometer, jadi aku sepatutnya memandu terus tanpa perlu endah akan suasana sekeliling. Namun, tidak. Sewaktu memintas lori simen berkenaan, aku menoleh ke bawah perut lori simen.

Ternampak seorang lelaki dalam lingkungan usia lewat 30-an ke awal 40-an terbaring di bawah perut lori tersebut. Matanya terbuka, namun tapak kakinya berada bersebelahan dengan mukanya. Badannya terlipat dua. Darah mula mengalir dari tubuhnya dan membasahi jalanraya. Walaupun badan keseluruhannya kelihatan masih satu, namun aku pasti isi dalamnya sudah lumat dilenyek tayar milik lori simen berkenaan.

Barulah aku sedar kenapa lori itu berhenti di tempat yang tidak sesuai. Barulah juga aku sedar kenapa kereta yang memintas memperlahankan kenderaan masing-masing. Bila aku ke hadapan, aku nampak seorang lelaki yang pada hemat aku adalah pemandu lori berkenaan, sedang memegang kepalanya sambil melihat hasil bawah perut lorinya tanda kesalan.

Serta-merta, hari baik aku bertukar ngeri.

Sepanjang perjalanan balik aku terbayangkan kejadian tadi. Terbayangkan mata tadi yang terbuka tapi tidak melihat. Terbayangkan badan yang berlipat, bertemu kaki dengan muka. Terbayangkan tumpahnya darah membasahi jalan tar.

Balik rumah aku terbayang. Semasa mandi aku terbayang. Duduk tengok TV aku terbayang. Solat aku hilang fokus kerana terbayang. 3 jam aku berguling atas katil gagal untuk tidur hanya kerana terbayangkan kejadian tadi ketika aku pejamkan mata. Hasilnya, pada hari Selasa, aku bangun dengan kepenatan dek tidur yang tidak berkualiti. Dan sepanjang hari Selasa itu juga, aku terbayang.

Hari aku yang sepatutnya baik, hanya kerana satu tolehan, bertukar menjadi ngeri dan memakan diri selama dua hari.

Ini adalah antara memori yang pada aku, mahu aku lupakan tapi aku rasa aku tak akan berjaya lupakan. Sama macam memori audio aku dengar tulang anak kucing pecah digilis dengan tayar kereta. Sama macam memori semasa menjalani pembedahan mata dengan bius setempat, menyebabkan aku sedar sepanjang pembedahan. Sama macam memori darah terasa menyirap apabila dapat tahu orang yang kita percaya khianati kita.

Dan seperti memori-memori di atas, memori kejadian bawah perut lori ini pun bakal menjadi parut di minda aku. Boleh diabaikan tapi tidak akan hilang. Dan semua ini boleh dielak kalau aku tidak buat satu tolehan itu.


------------------------- ------------


Baiklah.
Aku tidak mahu menamatkan entri ini dengan penamat yang bersifat kemurungan.
Jadi aku mahu minta tolong kalian dengan sesuatu.

Aku baru sahaja menyertai satu peraduan anjuran Fb page Buasir Otak: The Komik.
PERADUAN KOMIK STRIP MEDIA SOSIAL di mana komik yang mendapat paling banyak 'reach' untuk satu tempoh masa akan dikira sebagai pemenang.

Cara kalian boleh tolong aku adalah seperti berikut:

1) Klik link facebook di ini.

2) LIKE (atau REACT) komik ini, kemudian tinggalkan komen di ruangan COMMENT dan seterusnya SHARE komik ini dengan kawan-kawan lain.

Atau kalau kalian sudah linked dengan Facebook, boleh terus buat tiga perkara di atas (LIKE, COMMENT dan SHARE) di ruangan embed di bawah:



Kalau kalian sudah buat, TERIMA KASIH.

Aku macam sudah tahu yang aku tak akan menang, tapi aku berminat nak buktikan yang aku salah.

Komik 'CARUT!' itu adalah komik lama yang ada dalam simpanan aku dan belum pernah diterbitkan di mana-mana platform media lagi. Aku buat keputusan untuk sertai peraduan ini bukan untuk menang, tapi sebab aku sudah berazam  (tahun 2018 ini) untuk menyertai DUA pertandingan komik. Jadi, sekarang aku sudah boleh tanda satu daripada dua pertandingan itu.

Walaupun penganjur kata peraduan ini boleh dimenangi dengan usaha si peserta (lagi banyak promote, lagi banyak reach) tapi aku sejujurnya rasa 'timing' mainkan peranan paling penting. Maksud aku, sebanyak mana pun usaha, dan sebaik mana pun lukisan komik itu, atau sebagus manapun isi komiknya, kalau tidak kena pada masanya, tetap tak akan dapat 'reach' yang diharapkan. Dan bila sebut tentang 'timing', timing is a b*tch.

Tapi itu tidak bermakna aku sudah putus asa, kan?
Sebab itu aku minta tolong kalian untuk LIKE, COMMENT, dan SHARE komik aku itu.

Jadi untuk tamatkan entri hari ini, aku mahu berpesan;
JAGALAH DIRI BAIK-BAIK KETIKA BERADA DI JALANRAYA.
ELAKKAN DIRI DARI MENJADI MIMPI NGERI ORANG LAIN.






.

Jan 24, 2018

Tangkap Pikachu di Taman. #PokémonGOCommunityDay



Salam.

[Minta maaf. Entri ini sarat dengan istilah-istilah khusus untuk permainan Pokémon GO yang akan sedikit memberi cabaran kepada pembaca bukan pemain.]



"2018 ada lagi ke orang main Pokémon GO?"

Kalau aku dapat soalan seperti ini beberapa bulan lepas, mesti aku akan 'triggered' dan sentap. Tapi kalau sekarang, aku hanya akan senyum senget ala-ala Zul Ariffin dan bertenang. Sebabnya, aku tahu betapa ramainya pemain Pokémon GO yang masih main.

Pokémon GO ada lebih 65 juta pemain aktif setiap bulan. Untuk perspektif, jika setiap pemain ini membentuk satu negara, populasinya hampir menyamai negara Perancis. Untuk perbandingan, Malaysia hanya ada 31 juta penduduk.





Tapi permainan aplikasi mobil kebanyakannya berjangka hayat pendek. Jadi, untuk terus relevan dimain, Niantic sebagai pembangun aplikasi Pokémon GO pada 12 Januari 2018 memperkenalkan Pokémon GO Community Day. Setiap bulan akan ada satu hari khusus dipanggil Community Day, di mana pada hari itu untuk jangka waktu terhad 3 jam, akan ada bonus istimewa dan pokemon istimewa untuk ditangkap.

Sebagai permulaan, Pokémon GO Community Day pertama dijadualkan pada 20 Januari 2018. Bonus pada hari itu adalah 2x XP, 3 jam lure dan pokemon istimewa PIKACHU dengan moveset Surf (sebelum ini Pikachu tiada Surf dalam senarai movesetnya). Untuk Malaysia, waktu bonus ini hanya berlangsung pada 20 Januari 2018 dari jam 11 pagi hingga ke 2 petang (hanya 3 jam).


Image Twitter @PokemonGOAppMY


Jadi, ini adalah satu sebab kukuh untuk aku selaku introvert untuk keluar dan bermain di luar.

Destinasi yang aku pilih untuk keluar sudah tentu perlu ada banyak Pokéstop dan ada peluang tinggi untuk bertemu dengan legendary raid boss Kyogre di Pokégym sekitarnya. Tempat itu juga perlu senang dicapai dan juga senang berteduh jika hujan turun. Destinasi pilihan aku ialah TAMAN KLCC.




20 Januari aku bergerak ke KLCC.
Aku sampai di Taman KLCC pada 11:15 pagi, terbazir 15 minit waktu bonus.
Misi aku hari ini ialah:

1. Untuk 'evolve' 50++ Pidgey yang aku kumpul dalam julat masa 2x XP dengan tambahan penggunaan Lucky Egg (yang juga meningkatkan XP sebanyak 2 kali ganda) menjadikan XP aku bakal dinaikkan 4 kali ganda.

2. Dapat lawan legendary boss raid Kyogre dalam julat masa 2x XP.

3. Tangkap Pikachu sebanyak yang mungkin.

Kebetulan sewaktu sampai, Pokégym di hadapan Suria KLCC sedang menunggu telur legendary raid untuk menetas. Ada dalam 50+ minit lagi jadi aku buat keputusan untuk evolve Pidgey dahulu.

Aku pilih satu kerusi di taman itu dan duduk selesa. Aku evolve 53 Pidgey dalam masa 30 minit Lucky Egg berfungsi, mendapatkan aku 53 x 500 x 2 x 2 = 106 000 XP (sekali evolve Pidgey ke Pidgeotto = 500 XP).

Baki masa menunggu telur menetas aku isi dengan berjalan menangkap Pikachu.


Ini shiny Pikachu.
Beza shiny Pikachu ialah warna kuningnya sedikit deep berbanding Pikachu biasa.

Aku jumpa shiny Pikachu satu. Ini merupakan pokemon shiny pertama aku jumpa di luar. Satu-satunya pokemon shiny yang aku ada juga adalah Pikachu, tapi aku dapat melalui Pichu yang menetas dari telur.

Walaupun seronok jumpa shiny Pikachu, tapi aku dapat tahu kemudian yang ramai lagi orang lain jumpa shiny Pikachu juga, jadi ini menjadikan shiny Pikachu yang aku jumpa itu tidaklah berapa special sangat pun.
(Ingat lagi entri Dari Gastly ke Manusia Gagal di mana aku sebut tentang TERLALU BANYAK SESUATU MENJADIKAN IA SEMAKIN TIDAK SERONOK?)


Masa untuk legendary raid hampir tiba. Aku hampiri pintu masuk Suria KLCC yang ada tanglung cina besar itu untuk sertai legendary raid.

Tengoklah berapa ramai orang yang sedang tunggu Kyogre menetas.



Peta dalam aplikasi Pokémon GO menunjukkan kebanyakan Pokéstop sudah dipasang lure. Perhatikan telur hitam dengan jangka masa baki 5 minit lagi itu. Selepas 5 minit, Kyogre pun muncul.



Melawan Kyogre bersama-sama 19 orang asing yang tidak dikenali. Entah kenapa Kyogre tak mengadap ke arah aku. Malu agaknya. Selepas selesai lawan, pemain diberi peluang untuk tangkap Kyogre tadi.



Aku gagal tangkap Kyogre. Tak terkejut pun sebab aku tahu aku tak suka tangkap jenis Pokémon yang terapung ni. Pokémon jenis macam ni suka ke kiri ke kanan suka hati, nak baling bola pun asyik miss.

Setelah selesai Kyogre, aku pergi keliling taman untuk tangkap Pikachu. Dalam rekod, aku dapat tangkap 35 Pikachu dalam tempoh masa 3 jam itu. Tapi rasanya aku boleh tangkap banyak lagi sebab aku juga tangkap pokemon lain selain Pikachu. Kalau aku betul-betul tumpu hanya Pikachu, mesti angka tangkapan akan jadi lebih tinggi.

Berjalan-jalan sekeliling, cuaca dalam game bertukar menjadi hujan. Lalu aku nampak satu lagi raid boss kegemaran aku sedang berlangsung di Pokégym berdekatan. Itu adalah raid boss Wailmer. Aku pun pergi untuk peluang tangkap Wailmer itu.


Battle dengan Wailmer sedang berlangsung. Aku guna Shiny Pikachu untuk lawan. Look at that massive Wailmer size. Tapi Pikachu aku pun bukanlah lemah mana, mudah je selesaikan Wailmer ni.



Wailmer berjaya ditangkap. Aku suka tangkap Wailmer sebab nak evolve Wailmer ke Wailord memerlukan 400 candy. 400 tu angka yang besar jadi setiap kali jumpa Wailmer, aku perlu tangkap.
(Tangkap satu Wailmer = 3 candy, atau 6 candy kalau guna Pinap berry)

Aku juga jumpa Wailmer liar, jadi apa lagi. Tangkap laa. Weather-boosted pula tu.

Wailmer akan banyak keluar waktu hujan, tapi bergantung kepada bentuk muka bumi dan sarang juga.



Inilah keadaan dalam game yang penuh dengan Pikachu semasa tempoh masa bonus dan selepas waktu bonus di mana Pikachu yang bersepah tadi semua dah hilang dan digantikan dengan pokemon biasa.


Jangka waktu 3 jam bonus sangat singkat, tapi rasanya cukup kot. Aku tak rasa panjangkan lagi masa akan beri apa-apa kebaikan.

Maka dengan itu tamatlah Pokémon GO Community Day yang pertama pada 20 Januari lalu.

Dalam senarai misi aku, rasanya semuanya dapat dipenuhi.
Aku dapat evolve 53 Pidgey dan dapat 106 000 XP.
Aku dapat lawan Kyogre (walaupun tak berjaya tangkap) dan dapat 20 000 XP.
Aku dapat tangkap 35 Pikachu dan salah satunya adalah shiny.

Aku pun tersenyum puas ketika tamatnya Pokémon GO Community Day hari itu.
Tapi semasa mahu pulang, hujan turun dengan riangnya menyebabkan aku terkandas di KLCC untuk beberapa ketika. Aku ambil peluang itu untuk berjalan-jalan cuci mata.


Mungkin tak jelas, tapi ini sebenarnya tengah hujan lebat ni



========================= ============


Aku rasa sangat bagus Niantic buat acara bulanan seperti ini. Paling tidak game Pokémon GO akan terus diberi nafas dan rasa baru untuk mengelakan pemain rasa bosan.

Dalam twitter aku dapat tahu ada beberapa kumpulan setempat buat meetup, berkumpul sesama pemain Pokémon GO dan buat aktiviti sama-sama. Itulah niat sebenar Niantic, mahu pemain ambil kesempatan untuk berkenal-kenalan sesama pemain setempat dan bersosial. Patutpun Pokémon GO menang aplikasi terbaik untuk bersosial pada tahun lepas 2017.

Aku?
Aku tak masukkan diri dalam mana-mana kumpulan tempatan yang ada. Ya, aku ada sertai satu group whatsapp Pokémon GO di kawasan kejiranan aku, tapi aku tak aktif bersuara dan hanya sertai mana-mana legendary raid yang kena pada masa dan tempat sahaja. Aku lebih kepada solo player yang bermain hanya untuk berseronok. Aku tak mahu bermain Pokémon GO terlalu serius sehingga menjadi stress.

Tapi idea untuk buat meetup sempena Pokémon GO Community Day adalah idea yang baik.




Jadi, untuk bulan depan bulan Februari, Niantic sudah umumkan tarikh Pokémon GO Community Day yang seterusnya iaitu pada 24 Februari 2018. Pada tarikh berkenaan, Pokémon istimewanya ialah Dratini dengan moveset yang masih belum diumumkan lagi. Tapi dengar kata, bakal dilepaskan shiny Dratini, jadi memang aku tak akan lepaskan peluang kali ini.

Aku merancang untuk (juga) pergi ke satu lokasi dan tangkap Pokémon sebanyak yang mungkin pada Pokémon GO Community Day yang kedua ini.

Untuk itu, aku buka pelawaan kepada sesiapa yang berminat nak sertai aku.
Kalau kalian nak sertai aku, kita ke lokasi dan main Pokémon GO selama 3 jam dan rancangan seterusnya terpulang kepada kalian. Mungkin selepas itu kita boleh duduk minum-minum ke, bersosial macam manusia biasa.

Aku buka pelawaan ini kepada semua orang tidak kira siapa. Ini mungkin satu-satunya peluang untuk kalian jumpa aku in-person, dengan syarat tiada gambar muka aku boleh diupload di mana-mana media. Kalau ada yang rasa nak sertai aku, contact aku di twitter @cerolian. Mention, atau DM, atau reply dan kita akan set mana lokasi yang sesuai untuk bertemu. The more the merrier, jadi ajaklah kawan-kawan lain kalau malu pergi seorang diri.

Ini seperti meetup, cuma maybe most of the time kita akan tatap skrin handphone masing-masing sambil tangkap pokemon. Pelawaan ini terbuka sampai hari kejadian. Tak apa, kalau last minute tiba-tiba tinggal aku seorang pun tak apa sebab aku okay. Aku hanya nak main Pokémon GO, jadi sama ada ada teman main sekali atau main seorang diri, I'm always okay.

Sebab itulah seronoknya Pokémon GO ini,
walaupun game ini satu game aplikasi sosial, tapi kita bebas nak main bersama rakan, atau main bersama orang asing, atau sekadar nak main seorang diri pun tak ada masalah. Macam aku, I'm more a solo player but I'm okay kalau ada small number of companions pun.

Tapi kalau kalian ada niat nak sertai aku, jangan malu-malu.
Sebab aku rasa aku sendiri pun malu juga hahahahahahahaha.
But nevertheless, come join me.

Bye.




.

Jan 17, 2018

TINDER dan Bagaimana Aplikasi Ini Mengubah Nilai Diri Seseorang.



Salam.



"Kau tahu Tinder?"
Alif (bukan nama sebenar) memecah atmosfera sunyi. Aku kenal Alif bukanlah rapat, tapi cukup untuk aku gelar dia sebagai seorang kawan. Makan bersama pada waktu rehat selalunya diisi dengan perbualan ringan dan tidak menyentuh emosi, tapi kali ini aku dapat rasa Alif perlukan satu kekuatan kuat hanya untuk membuka perbualan. Isu yang bakal dia ceritakan merupakan satu isu berat, paling kurang, untuk dirinya.

Aku tahu Tinder. Malah aku pernah buat kajian santai mengenainya tentang bagaimana Tinder berfungsi dan algoritma yang diguna pakai. Ringkasnya, Tinder adalah satu aplikasi mobil yang dilabel sebagai 'dating apps'. Semua pengguna harus meletakkan gambar yang kemudian akan digunakan sebagai rujukan kepada pengguna lain. Jika kita suka akan pengguna itu, kita akan calit (swipe) ke kanan, dan jika tidak, akan calit ke kiri. Jika pemilik gambar yang kita calit ke kanan itu juga calit ke kanan gambar kita, ini dipanggil 'match' dan kedua-dua pengguna boleh mula berinteraksi di bahagian mesej. Tinder adalah satu aplikasi mencari jodoh, walaupun pada asasnya 'jodoh' yang kita maksudkan itu adalah penampilan dalam gambar (dengan bantuan kapsyen diri di bahagian profil).

Ya. Tinder seperti satu katalog, cuma itemnya adalah mereka yang berpotensi menjadi jodoh.

"Aku tahu Tinder, tapi tak tahu sangatlah. Kenapa?"
Sengaja aku jawab sebegitu supaya memberi peluang Alif untuk lebih banyak bercerita.

"Begini. Aku sertai Tinder dengan harapan dapat cari jodoh."
Alif batuk buat-buat, aku tersenyum.

"Walaupun aku tahu banyak orang kata Tinder dipenuhi dengan orang yang hanya mahu mencari keseronokan, tapi aku rasa tak salah mencuba, kan?"
Ya. Aku setuju. Tinder sama seperti aplikasi lain seperti Facebook, Twitter dan Instagram. Tujuan utamanya adalah menjadi wadah permulaan kepada pertemuan, tapi para pengguna yang selalu salah guna. Banyak yang sertai Tinder dengan niat mahu memuaskan nafsu, sehinggakan ada orang yang malu untuk mengaku mereka sertai Tinder.

"Minggu pertama aku guna Tinder, aku dapat satu 'match'. Aku begitu teruja. Macam tiba-tiba muncul bayangan masa depan yang cerah di mana aku akan berumahtangga, berkeluarga dan bahagia. Perasaan dapat tahu at least ada seseorang yang 'swipe right' aku punya gambar walaupun muka aku macam ni, rasanya seronok sekali."

'...walaupun muka aku macam ni' sedikit mengganggu aku. Alif ni kacak kot. Kalau dia kata macam tu, aku ni kategori apa pula?

"Jadi nak nampak gentleman, aku mulakan perbualan."
Alif kemudian mengeluarkan telefon bimbitnya dan buka aplikasi Tinder. Dia ke bahagian mesej dan skrol ke atas mencari perbualan dia dengan 'match' pertamanya itu bernama Ba (juga bukan nama sebenar).

"Aku mulakan dengan beritahu aku tak pandai Tinder, jadi aku minta maaf kalau mesej pertama itu bukan seperti yang dia jangka. Aku rasa, aku patut jadi lebih 'cool' dan 'funny'." Alif bercerita sambil tunjukkan mesej pertamanya.

"Lepas tu dia balas. Aku jadi sangat teruja. Excited. Dapat bermesej dengan orang baru yang langsung kita tak kenal tapi anggap kita layak untuk di'swipe' ke kanan, bukankah itu satu yang mengujakan?"
Aku faham maksud Alif. Itu namanya 'increasing self-worthy'.

"Lama-lama, aku perasan sesuatu." Alif tunjukkan mesej Ba yang seterusnya.
"Setiap soalan aku, dia hanya akan jawab pendek dan selamat. Contohnya ini; aku tanya apa hobi dia, dia hanya balas 'saya tak ada apa-apa hobi'. Kemudian ada aku tanya apa makanan kegemaran dia, dia hanya balas 'saya makan apa-apa saja'. Ada satu soalan ni, aku punyalah cerita panjang tentang hujung minggu aku, lepas tu dia hanya balas 'oh, ye ke?' macam tu saja."

"Aku dapat rasakan yang dia bukan sahaja tak berminat nak tahu tentang aku, malah dia juga tak berminat nak ceritakan tentang diri dia sendiri. What's the point of having a conversation kalau hanya sebelah pihak sahaja yang memberi?"

Ya. Alif betul. Aku baca mesej-mesej balas si Ba tu pun dapat rasa yang dia tak berminat. Apa sebenarnya yang si Ba ni mahu pun kita tak dapat nak tangkap.

"Kemudian beberapa hari kemudian datang 'match' yang kedua..." sambung Alif sambil menunjukkan perbualannya dengan seorang lagi 'match' yang bernama Ta (masih bukan nama sebenar).

"Dari profil Ta, dia tunjukkan hanya separuh muka dia dalam satu-satunya gambar yang dia letak. Dia jenis yang aku suka. Putih dan gebu. Jadi bila dapat 'match' dengan dia, aku rasa seronok sangat."
Dalam benak kepala aku berkata, 'Dude! Itu baru separuh muka je...'

"Macam biasa, aku yang mulakan perbualan. Ia macam satu 'unspoken code' pula dalam Tinder yang mesti lelaki yang harus mulakan perbualan padahal dua-dua pihak swipe ke kanan."

"Ta best sikit. Dia banyak bercerita tentang diri dia. Dia nak tahu apa cerita aku. Nampaklah dia memang nak berkawan. Pada masa itu, memang dah tergambar dah dalam kepala aku yang kami bakal bersolat jemaah bersama-sama di rumah kelamin kami nanti."

Dude. Too fast dude.

"Tapi yang indah hanya sementara. Topik perbualan kami hanya berkisar tentang perkara yang sama; buat apa hari ini, sihat tak, makan apa dan sebagainya. Kami makin lambat membalas mesej masing-masing dan at one point, kedua-dua kami diam. Aku tunggu balasan dari dia sebab aku yang paling akhir meninggalkan mesej, tapi sampai sudah dia tidak balas. Jadi, aku rasa, Ta pun sudah tak berminat. Jujurnya, aku sendiri pun sudah makin tawar sebab 'hubungan' dan perbualan kami terlalu stagnant dan tak berkembang."

"Jadi, ada yang ketiga?" Aku tanya.

"That's the main problem. Tak ada. Hanya dua sahaja."

"Sudah beberapa minggu sudah berlalu, beratus gambar sudah aku 'swipe right', tapi masih tak ada yang match. Ada beberapa user yang pada aku sangat menepati citarasa (penampilan) aku dan aku swipe ke kanan dengan harapan tinggi akan mengena, tapi tetap tak ada." Muka Alif mula bertukar suram.

"Sedikit demi sedikit, aku dapat rasakan self-esteem aku menurun. Nilai aku rendah. Bayangkan dalam ramai-ramai yang aku sudah swipe ke kanan, tak ada satu pun yang membalas. Aku cuba turunkan jangkaan (expectation) aku dengan swipe ke kanan gambar perempuan yang tidak jatuh ke dalam 'type' pilihan aku, tapi masih tak ada siapa pun yang jadi match."


========================= ============


Ini masalah utama dan berterusan dalam manusia, termasuk diri aku.
Kita secara berterusan akan menilai diri kita sendiri. Self-worthy.
Hampir setiap masa, sama ada sedar atau luar sedar, kita menilai diri kita sendiri.
Pada satu tahap, kita menilai diri atas penilaian orang lain.

Kita rasa seronok bila gambar kita dalam instagram dapat 'like' banyak.
Dan bila 'like' yang kita dapat tak sebanyak yang kita anggap, kita jadi sedih.
Kita rasa seronok bila status atau gambar kita di Facebook mengundang reaksi yang banyak,
tapi bila satu masa reaksinya sedikit, kita rasa jatuh.
Kita rasa bangga bila tweet kita mendapat RT yang banyak, fav yang banyak,
tapi bila masa kita langsung tidak dapat sebarang RT atau fav, kita keluh.

Macam aku juga.
Aku menilai 'bagusnya' satu entri dalam blog ini dengan jumlah bilangan komen.
Banyak komen, banyaklah yang datang komen, maka post itu bagus.
Sedangkan aku sendiri tahu, banyak lagi entri lain yang isinya jauh lebih bagus
tapi sebab tak dapat komen sebanyak yang sepatutnya, aku pandang enteng tentang kebagusannya.

Sedar tak sedar kita banyak menilai diri kita berdasarkan penilaian orang lain,
padahal orang lain itu langsung tak mengenali kita seadanya.
Macam mana kita boleh beri kuasa menilai kepada orang yang tak kenal kita?

Ya.
Kita hidup dalam masyarakat sosial yang berkomuniti.
Malah beruk di hutan pun ada komuniti mereka sendiri.
Memang tak salah menilai diri dari sudut pandangan orang lain,
Tapi,
jangan jadikan penilaian itu sebagai tunjang penilaian diri.
Berapa nilai diri kita, kita sendiri tahu.
Apa yang orang lain nilai, sama ada ambil sebagai iktibar, atau tinggalkan sahaja.


========================= ============


"Nampaknya perkara ni macam makan diri kau," tanya aku kepada Alif.
"Aku rasa. Kalau hal Tinder ini membuatkan kau rasa nilai diri kau rendah, apa kata tinggalkannya. Kau boleh tinggalkan terus atau sekadar berehat dan cari alternatif lain yang boleh naikkan balik self-esteem kau tu."

"Macam apa?"

"Macam duduk berborak dengan orang sebenar, buat melalui aplikasi. Duduk di taman menikmati permandangan dan bila ada orang berselisih, sapa dengan senyuman. Mana tahu ada yang punya sama tujuan, dapat duduk bersama berbual hal-hal yang kalian suka."
Lol, I'm so good at giving advices, I don't even follow my own words. SEMBANG!

"Betul juga tu. Aku patut tinggalkan Tinder sekejap. Tak sangka benda macam ni pun boleh makan diri, kan?" Alif kembali tersenyum. Aku sedikit lega walaupun rasanya tidak membantu banyak mana pun.

Tinder merupakan satu tempat yang menarik untuk melihat perangai manusia.
Bak kata Oscar Wilde;
"Man is least himself when he talks in his own person.
Give him a mask, and he will tell you the truth."

Mungkin Tinder (seperti rangkaian media sosial yang lain) juga adalah 'topeng' kepada manusia.




.

Jan 10, 2018

6 Lagu yang Membawa Aku Kembali ke Zaman Silam


Salam.

Petang. Kita kepenatan.
Masuk bilik nampak katil memanggil-manggil.
Sebelum rebahkan diri, kita tekan suis ON pada radio.
Kita hempas diri atas katil yang empuk.
Mengeluh panjang bukan merungut, tapi kelegaan.
Penyampai radio berceloteh entah apa yang dibualkan.
Bukan kita tak dengar, tapi malas nak ambil kisah.
Katil dan bantal patut lebih diberikan prioriti.

Selepas itu, berkumandang satu lagu dari radio tadi.
Mendengar lagu itu, terus kita beliakkan mata.

Entah macam mana, lagu itu terus membawa kita ke memori satu ketika dahulu.
Secara tiba-tiba, kenangan pada waktu itu datang seperti air yang keluar dari kepala paip yang dipulas.
Kenangan yang manis buatkan kita tersenyum.
Kenangan yang pahit buatkan kita termenung.




Itu, para pembaca sekalian,
dipanggil 'music-evoked autobiographical memories', atau MEAM.
satu fenomena dalam sains kognitif yang (percaya atau tidak) masih tidak mampu diterangkan secara terperinci oleh para saintis masa kini.

Nope!
Ini bukanlah post ilmiah yang bercerita tentang MEAM
walaupun aku suka berborak pasal hal ini kalau dapat bersemuka face-to-face.
Kalau nak tahu lebih lanjut tentang MEAM,
dari Google boleh dapat lagi banyak info tentangnya.

Entri kali ini aku nak bercerita tentang ENAM lagu yang mampu membawa aku kembali ke zaman silam. Lagu-lagu ini adalah antara contoh MEAM yang berlaku pada diri aku.





1. DAN DAN Kokoro Hikareteku (Field Of View)

"DAN DAN 心魅かれてく
その眩しい笑顔に
果てない暗闇から飛び出そう Hold my hand"


Ya. Betul.
Lagu ini adalah lagu OPENING untuk anime Dragon Ball GT.

Sebenarnya masa aku kecil, aku lebih awal terdedah dengan Dragon Ball GT berbanding Dragon Ball Z walaupun secara kronologinya aku patut layan DBZ dulu berbanding DBGT.
Entah macam mana ceritanya, dekat rumah aku ada satu pita video Dragon Ball GT episod orang jahat Baby datang serang Bumi (Ya, aku sempat hidup dalam zaman pita video kaset yang kena main dengan VCR player tu. Aku purba). Aku mula kenal Dragon Ball daripada pita video itulah. Masa itu, anime Dragon Ball yang tayang di TV2 pagi sabtu ahad tu baru masuk episod awal-awal, episod Goku lawan Tentera Reben Merah. Jadi, jalan cerita DBGT agak tak masuk akal. Tapi berkat kegigihan, aku mula follow Dragon Ball yang ditayangkan di TV itu dan mana episod yang aku terlepas, aku ganti dengan bacaan komik Mutiara Naga. Dari situlah aku mula minat melukis.

Sebab itu kalau kalian sedar, lukisan komik aku ada pengaruh Dragon Ball yang kuat.

Lagu DAN DAN ini sangat menggamit zaman kanak-kanak aku. Tiap kali aku terdengar lagu ini, aku akan terkenang zaman hingusan aku dulu. Aku ulang tengok pita DBGT tu berulang kali sampai hafal lirik lagu dan dialognya. Dari situ juga aku mula minat bahasa Jepun. Dalam masa yang sama, fenomena Dragon Ball sangat terkenal seluruh Malaysia. Kanak-kanak (dan remaja) sebaya aku gigih kumpul kad dagangan (trading card) Dragon Ball dan saling bertukar-tukar kad dengan kawan. Masa itu, siapa ada kad yang rare, dialah power.

Bila fikir balik, mana pergi ek kad-kad aku tu semua?
*gosok dagu*




2. JIKA (Melly Goeslaw)

"Jika memang masih bisa mulut ku berbicara
Santun kata yang ingin terucap
Kan kudengar caci dan puji dirimu padaku..."


Lagu ini lebih spesifik. Tiap kali dengar akan bawa aku ke umur 16 tahun di mana aku sedang berada dalam bas yang dipenuhi dengan ahli kadet bomba daerah sedang dalam perjalanan pulang dari perkhemahan peringkat negeri. Waktu itu sudah masuk malam, hujan turun renyai dan titisan air di tingkap bas berlumba-lumba meleleh serong. Lagu inilah yang bermain di corong radio bas ketika itu.

Bas penuh dengan ahli kadet. Masing-masing lena kepenatan. Bau masam peluh dan tanah jelas terhidu. Sebahagiannya adalah pelajar sama sekolah dengan aku, sebahagian lagi adalah pelajar sekolah lain sekitar daerah yang sama. Ada lelaki, ada perempuan. Kami kenal (dan rapat) kerana perkhemahan itu. Mana tidaknya, dua bulan sebelum perkhemahan, kami sudah berkumpul untuk berlatih aktiviti seperti kawad kaki dan beberapa aktiviti fizikal yang lain.

Lagi menggamit memori, akulah ketua platoon rombongan itu.
*gosok bahu*




3. DARI KEKASIH UNTUK KEKASIH

"Entah berapa kali kucuba membohong hatiku ini.
Hebat dilanda rindu padamu namun semua alasan..."


Dicipta oleh M. Nasir dan dinyanyikan oleh Hattan,
aku tak pasti tajuk dia 'untuk' atau 'kepada'.
Lagu ini membawa aku ke zaman kolej dahulu.

Salah seorang senior aku (perempuan) sangat gilakan Mawi. Pada waktu itu, fenomena TsuMawi sedang berlaku. Senior aku ini (aku namakan dia F) beli satu VCD koleksi video muzik lagu nyanyian Mawi semasa di dalam Akademi Fantasia. F ini mahu 'rip' video tersebut tapi dia tidak tahu nak buat macam mana, jadi dia minta tolong aku. Disebabkan 'rip' video daripada VCD bukanlah susah mana, jadi aku tolong.

Salah satu lagu nyanyian Mawi semasa di dalam Akademi Fantasia ialah lagu Dari Kekasih Untuk Kekasih ini.

Pendekkan cerita, disebabkan pertolongan itu kami jadi rapat. Cukup rapat sampai menjadi buat mulut gosip para penghuni kolej yang lain bahawa ada 'senior perempuan bercinta dengan junior lelaki'. Jujurnya, aku memang senang dengan F ni, dan aku rasa pun si F ni senang dengan aku. Walaupun senior, tapi kami tiada kasta jadi hanya ber'saya-awak'. Pada hari jadi aku, dia beri hadiah sesuatu dengan kad tertulis 'walaupun kau bukan kekasih, namun bukan sekadar teman biasa...' di mana aku rasa itu lirik satu lagu yang aku tak pasti melodinya macam mana.

Kedengaran sweet, kan?
NOPE!

Rupanya F sebenarnya sudah bertunang. Tunang F sendiri telefon aku beri amaran supaya jauhkan diri aku dari tunang dia. Aku tak tahu F bertunang sampailah terima panggilan itu. Sampai sudah F berdiam diri, tak mengakui dia sudah bertunang dan tidak menafikan bila aku tanya.

Aku tak mahu jadi watak dalam drama, jadi aku jauhkan diri dari F. Sejak itu, aku akan jauhkan diri aku dengan sesiapa pun kawan perempuan yang sudah ada komitmen (ada pasangan, tunang, mahupun isteri orang)

Baru-baru ini ada satu drama di TV yang mainkan lagu ini sebagai lagu tema, dan aku tonton drama itu. Cuba teka siapa yang tidak senang duduk depan TV bila asyik terimbas kembali kenangan lama tanpa diundang?
*geleng kepala*




4. TENTANG SESEORANG (Anda)

"Cinta hanyalah cinta, hidup dan mati untukmu.
Mungkinkah semua tanya kau yang jawab..."


Semasa zaman universiti, aku ada satu kawan baik. Seorang perempuan. Bila habis kelas dan masing-masing buat hal sendiri, aku dan si M (bukan nama sebenar) ini akan pergi ke kompleks membeli belah untuk menyanyi di karaoke jamban sebagai satu wadah melepaskan tekanan. Pada yang tidak tahu, karaoke jamban ialah ruangan karaoke kecil yang meletakkan mesin karaoke dan dibayar ikut kadar coin yang ada. Lagu kegemaran kami, TENTANG SESEORANG dari Anda.

Lagu ini lagu wajib kami nyanyi dalam karaoke jamban selain beberapa lagu lain yang ada. Melodinya sedap, liriknya mudah dan tona nyanyian pun tak menderitakan. Dan berani aku katakan yang suara aku sedap bila nyanyi lagu ini *batuk batuk*

Ya. Lagu ini ibarat lagu tema untuk aku dan kawan baik aku si M itu. Jatuh bangun kami bersama. Semua rahsia kami kongsi, bincang dan gelakkan. Pada saat itulah aku dapat rasakan saat-saat manis seronoknya ada seorang kawan baik perempuan.

Tahu kan orang ada kata yang lelaki dan perempuan tak boleh jadi kawan baik sebab nanti akan ada yang terluka? It turns out that benda itu betul. Salah seorang daripada kami telah pun melangkaui garis sempadan dengan meluahkan perasaan 'lebih dari kawan' kepada seorang lagi. Dan sejak dari itu, things were never be the same again.

But tiap kali aku pergi karaoke, aku tetap akan pilih lagu ini. Sebagai tanda hormat pada kenangan.
*tangan di dada*




5. HANABI (Mr. Children)

"決して捕まえることの出来ない
花火のような光だとしたって
もう一回、もう一回
もう一回、もう一回 "


Jadi, kalau kalian cukup lama baca blog ini kalian akan tahu betapa signifikannya lagu ini kepada aku. Lagu ini mengingatkan aku kembali kepada saat aku buat keputusan yang paling bodoh sekali dalam dunia.

Lagu ini adalah lagu tema untuk drama Jepun, Code Blue. Semasa aku sedang rajin melayan satu persatu drama ini, pada masa yang sama aku sedang berkenalan dengan seorang perempuan, L (partly nama sebenar). Pendekkan cerita (sebab kalian boleh tahu cerita panjangnya), kedua-dua kami masing-masing ada perasaan terhadap satu sama lain tapi masing-masing tidak pernah berkata apa-apa, or at least, aku tetap terus menidakkannya.

Kami banyak luangkan masa bersama, bergurau senda, sakat-menyakat, keluar bersama, sampai ke tahap aku sudah pernah bertemu empat mata dengan abah dia sendiri di rumah dia sendiri, tapi masih aku menidakkannya. Aku tetap kata ini semua hanyalah 'rebound', disebabkan aku baru sahaja putus hubungan dengan seseorang pada ketika itu. Kemuncaknya, si L mahu kata putus, dan aku pilih TIDAK. Dan itu adalah keputusan paling bodoh pernah aku buat dalam hidup.

Tiap kali lagu HANABI ini berkumandang di corong music player aku (sebab ada dalam playlist), tiap kali itulah aku termenung tengok dinding putih menyesali apa yang pernah aku putuskan. Me sucks!
*ketuk kepala sendiri*




6. TALKING TO THE MOON (Bruno Mars)

"My neigbors think I'm crazy
but they don't understand.
You're all I had. You're all I had."


Lagu ini adalah lagu 'aftermath' kepada cerita di atas.

Selepas buat satu keputusan paling bodoh dalam sejarah manusia pernah buat, aku asyik fikirkan apa yang akan berlaku kalau aku buat keputusan sebaliknya? Apa yang boleh aku lakukan untuk terus hidup dalam keputusan ini? Adakah peluang lagi untuk aku patah balik? Apakah cara terbaik untuk aku perbaiki segala yang telah berlaku?

Disebabkan semua persoalan di atas (dan banyak lagi) ini aku selalu fikirkan seorang diri di dalam bilik sambil merenung langit malam melalui tingkap, maka kebanyakannya hanyalah soalan monolog dalam aku tanya kepada bulan. Dan bila aku terdengar lagu 'Talking to The Moon' ini, sudah tentau aku terbayangkan muka hodoh aku duduk tepi tingkap meratap takdir kisah cinta gagal yang terjadi atas kebodohan aku sendiri.

Lagipun, masa bersama si dia dulu, bulan adalah satu objek yang aku rasa sangat estetik di mana tidak kira di mana kami berada, jauh atau dekat, bila kami lihat bulan di langit malam, kami sedang lihat pada bulan yang sama. Seperti satu bebenang ghaib panjang yang menghubungkan kami tidak kira di titik mana kami berada atas muka bumi ini.
*ewah*




========================= ============


Dan itulah ENAM lagu yang mampu membawa aku mengimbau kenangan silam.
Ada beberapa lagi tapi aku terhadkan hanya ENAM sebab aku tahu,
walaupun aku tulis hanya ENAM, tapi masih ada yang tak baca sampai habis pun hahahahahahaha

"Yo, C! Kenapa kau suka sangat imbau kenangan silam ek? Tak boleh move on ke?"

Aku percaya tidak semua memori akan hilang dengan mudah dari dalam kepala. Sesetengah memori, sama ada manis atau pahit, akan tetap tercetus balik jika ada pengaruh-pengaruh yang tertentu (seperti kes di atas, lagu). Kita tidak boleh senang-senang lupa benda yang kita nak lupa. Dan pada aku, cara terbaik untuk terus hidup dengan kenangan sekejap hilang sekejap muncul ini adalah dengan bercerita tentangnya. Sama ada kenangan itu manis atau pahit, kita tidak boleh nafikan bahawa kenangan itulah yang menjadikan kita seperti diri kita sekarang. Jadi aku pilih untuk bercerita tentangnya di sini, di dalam blog peribadi aku ini, bukan bermakna aku tidak boleh move on, tapi ini bermakna aku move along with them all. Benda yang tidak boleh kita tinggalkan, jadi kita galas bersama ke depan dengan senyuman.

Jadi,
kalian ada lagu yang menggamit memori?
Memori indah atau memori pahit?
Lagu apa? Macam mana ceritanya?
Ada lagu khusus yang mengingatkan kalian tentang aku tak?
Hehehe





.

Jan 3, 2018

6 Peringatan Aku Bawa dari Tahun 2017 ke Tahun 2018.



Salam.

Pada saat aku taip entri ini,
2018 belum berkunjung tiba.
Tapi atas sebab-sebab tertentu, aku sambut tahun baru seminggu awal dari masa sepatutnya.
Jadi...

Selamat Tahun Baru 2018.


Yass!


Nak atau tak, tahun baru bermaksud umur baru.
Kita yang sekarang adalah hasil daripada semua pengalaman yang pernah kita alami,
dengan kata lain, pengalamanlah yang mengajar kita dan menjadikan kita diri kita yang sekarang.

Pengalaman adalah satu proses.
Dan produknya adalah kita.

Dengan itu,
hari ini aku nak berkongsi ENAM (6) peringatan yang aku bawa dari tahun 2017 ke tahun 2018.



1. ADA DUA JENIS ORANG DALAM HIDUP KITA.

Secara asasnya, ada dua jenis orang yang wujud dalam hidup kita.
Pertama, YANG SEMENTARA; dan yang kedua, YANG KEKAL.

Golongan sementara merangkumi hampir 98% orang yang kita kenal.
Mereka jenis yang datang dan pergi. Hanya bersinggah sementara.
Tapi dalam golongan sementara ini, ada yang aku kategorikan sebagai parasit.

Kalau kalian baca entri-entri lepas,
aku selalu sentuh pasal golongan yang 'bila sudah dapat (atau tidak dapat) apa yang dia mahu, dia akan pergi'.
Itulah parasit.
Mungkin orang yang baca entri-entri itu fikir aku hanya merujuk kepada satu (dua) orang spesifik sahaja, tapi untuk tahun 2017, aku jumpa 8 orang jenis macam itu secara spesifik.
Mereka rapat dengan aku hanya bertujuan,
jadikan kita hanya sebagai tools, alat untuk mereka kecap sesuatu.
Bila mereka sudah dapat apa yang mereka nak,
atau mereka rasa mereka takkan dapat apa yang mereka nak,
dia blah. Chiaw. Yilek. Null.

Aku yakin dalam hidup kalian pun ada kenal seorang dua daripada golongan parasit macam ni, kan?
Jauhi mereka. Mereka tidak bawa apa-apa kebaikan untuk kita.


Golongan yang kekal adalah mereka yang sentiasa ada di tempatnya tidak kira apa pun.
No matter who you are,
where you're from,
what you did, mereka akan sentiasa ada di tempat mereka.
Dia mungkin tidak rapat, tapi tidak kira apa, dia tidak berganjak.
Dia tidak akan menjauh, dia mungkin akan lebih rapat.

Ibu bapa, adik-beradik, keluarga? KEKAL.
28K followers di Instagram? SEMENTARA.
Kawan yang setahun sekali jumpa tapi masih rapat dan akrab? KEKAL.
Kawan yang ajak belanja minum sebab nak jual MLM? PARASIT.
Kawan sekolah yang suka tanya kita kerja apa padahal seribu kali dah kita beritahu? SEMENTARA.
Orang yang DM kata kita ni crush dia padahal bila kita tak layan dia kata kita sombong dan burukkan pada orang lain? PARASIT.
That person yang selalu RT dan FAV tweet kita? SEMENTARA (KOT)
Kawan yang tanya kita 'are you OK?' bila nampak status panjang lebar kita di FB? KEKAL.

Tipsnya,
banyakan yang KEKAL. Kurangkan yang SEMENTARA. Jauhi PARASIT.

Ya, aku tahu.
Ultimately kita semua SEMENTARA. Semua orang akan pergi juga.
Tapi aku sedang bercerita tentang kehidupan.
Alam selepas kehidupan, itu sudah di luar cerita aku.




2. KITA TIDAK SELALU DAPAT APA YANG KITA MAHUKAN.

Perkara ini aku sudah pelajari melalui pengalaman sejak dari darjah 4 lagi,
bila aku kena reject dengan crush aku dan lepas tu dia pergi beritahu kawan-kawan dia dan kawan-kawan dia ejek aku selama berbulan-bulan.
(Wow, aku patut buat satu entri khusus tulis tentang cerita ini!)

Dari situ aku tahu,
kita selalu nak makan coklat yang diletakan di kaunter bayaran pasaraya
tapi kita tak ambil dan bayar sebab kita tahu,
tak semua perkara yang kita nak kita akan dapat.

Tapi, tahun 2017 mengingatkan aku kembali kepada pengajaran itu.

Pada tahun 2017 aku pernah buka hati aku untuk seseorang.
(Aku ada mention hal ni dalam entri lepas)
Aku tak boleh nak terangkan betapa susahnya aku nak buka hati,
tapi ia terjadi juga.
Tapi atas sebab-sebab yang aku tak boleh jelaskan secara terperinci,
aku dapat tahu peratusan untuk perasaan itu berbalas mungkin kurang dari 2%.
Jadi aku buat keputusan "Tak apalah! Lupakanlah!"

Ya, kalian mungkin akan kata aku cepat putus asa sebelum mencuba.
Tapi I don't really like rejections.
They make things become awkward.
Kalau aku luahkan perasaan dan aku kena reject,
suasana tidak akan kembali sama macam sebelum aku kena reject, kan?
Aku macam boleh okay lagi dengan suasana sekarang,
jadi aku buat keputusan untuk tidak teruskan hasrat hati.

(Oh, kisah ini pun patut ada entri khusus sendiri.)



3. SEMUA ORANG ADALAH PLAYER 1

Point ini juga aku selalu ulang dalam entri-entri lepas.
Tahu kan, masa naik kapal terbang, ada taklimat kecemasan sebelum berlepas,
kita diberitahu jika berlaku kecemasan
kita kena pakaikan topeng oksigen pada diri kita dulu
sebelum kita tolong pakaikan kepada orang lain, kan?

It's because we all are THE PLAYER 1.

Kalau kalian main game, kalian akan jadi satu watak dalam game tersebut.
You are PLAYER 1.
Kalian kawal wataknya, berjalan, berlari, bertarung.
Mati PLAYER 1, matilah kita.
Even kalau game itu ada multiplayer, dan kalian jadi PLAYER #2,
kalian masih lagi PLAYER 1, cuma sebagai PLAYER #2.
PLAYER #2 mati, maka matilah kita.

Begitu juga kehidupan.
Nak tak nak kita akan pentingkan diri kita sendiri,
walaupun kadang-kadang kita tak sedar.

Kita maki hamun orang yang halang laluan semasa dalam perjalanan pulang kerja,
tapi kita lupa, dia pun mahu pulang kerja juga.
Kita merungut cashier lambat kira barang di kaunter bayaran,
tapi kita lupa, itu mungkin hari pertama dia.
Kita cerita kisah putus cinta dengan salahkan pihak satu lagi
tapi kita lupa, belah kita pun ada salahnya juga.

My point is,
kalau kita faham yang semua orang adalah PLAYER 1,
kita akan faham semua orang sedang lalui pertarungan sendiri,
pertarungan dalam permainan yang digelar kehidupan.
Semua orang berjuang untuk diri sendiri.
Pertarungan kau susah tak bermakna pertarungan orang lain itu senang.

Cuma dalam kehidupan,
if you die, you die. No reset button.




4. PERCAYAKAN INTUISI DIRI.

Ingat lagi awal-awal entri tadi aku kata kita adalah produk kepada pengalaman?

Naluri atau intuisi juga terbentuk daripada pengalaman.
Macam mana kita tahu terjun dari ketinggian 50cm tidak akan menyakitkan?
Macam mana kita tahu terjun dari ketinggian 3 meter akan menyakitkan?
Ini kerana pada satu waktu dulu, kita pernah terjun cukup tinggi dan merasakan kesakitan.
Maka kita ada naluri, ada intuisi bahawa terjun lebih tinggi daripada terjunan sakit tadi juga akan mengundang kesakitan.
(Aku dapat rasa aku sedang merumitkan analogi)

Bayangkan kita tengah bercakap dengan seseorang.
Kita dapat rasa yang dia seperti tidak berminat dengan apa yang kita cakap.
Bagaimana kita tahu dia tidak berminat?
Bukannya dia beritahu kita pun, kan?

Itu semua datang dari naluri, intuisi.
Mungkin bahasa badan dia seperti tidak selesa.
Mungkin respon dia tidak seperti yang kita sangka.
Mungkin nada suaranya rendah menandakan dia tidak suka.
Semua itu kita dapat kesan dari naluri dan intuisi.
Dan naluri dan intuisi datang dari pengalaman.

Sentiasa percayakan naluri dan intuisi kita.
Dan bertindaklah ke arah yang sepatutnya.

Pendek kata,
kalau dah rasa orang tu tak suka, move on. Don't linger.




5. SENTIASA KENAL KELEMAHAN DIRI.

Orang ramai selalu salah anggap di sini.
Pada orang ramai, untuk maju, kita kena kenal kelebihan yang kita ada.
Sebab itu orang cantik nak jadi artis, selebriti, model.
Orang pandai nak jadi ahli akademik, saintis.
Orang petah bercakap nak masuk politik, pakar motivasi.

It's not wrong.
Tapi pada aku (secara peribadi) kalau nak maju,
kenali kelemahan diri.

Kelemahan orang Saiya dalam Dragon Ball adalah ekornya.
Jika ekor orang Saiya ditarik, maka badan mereka jadi lemah.
Sebab itu Goku potong ekornya.
Tapi Bezita (Vegeta) lagi pandai.
Dia latih ekor dia supaya tidak lemah apabila ditarik.
Malah ekor yang sepatutnya jadi kelemahan dia, adalah senjata terbaik dia ketika mula-mula datang ke Bumi menentang Goku.

Begitu juga kita.
Kalau kita dapat kenal kelemahan kita,
dan kita berusaha menanganinya,
aku yakin, kita semua akan terus maju
dan jadi lebih baik daripada sebelumnya, kan?

Aku ada BANYAK kelemahan.
Aku pemalas.
Aku tak cam muka orang.
Aku selalu sesat jalan.
Aku sangat sangat sangat suka bertangguh.
Aku rasa, kalau aku dapat lawan segala kelemahan aku itu
aku akan jadi diri aku yang lebih baik, kan?
Logik, kan?




6. TAK SEMUA ORANG SUKA KITA, TAPI HANYA SEGELINTIR SAHAJA YANG BERANI BERITAHU.

Hidup berpuluh tahun bergelumang dengan manusia mengajar aku
bahawa kebanyakan dari kita adalah hipokrit.
Termasuk diri kita sendiri.

Lumrahlah, ada yang suka kita, ada yang tak suka kita.
Yang suka itu bagus, tak ada masalah.
Yang tak suka pun pada dasarnya bukanlah satu masalah.
Tapi yang tak suka, tapi buat-buat suka, ITU MASALAH.

Tapi kalau kita cukup bersedia, kita akan faham bahawa
adalah normal bila kita tidak disukai seseorang.
Daripada kita pening kepala fikir kenapa orang tak suka kita,
baik kita terus fokus kepada orang yang suka kita.

Daripada pengajaran ini kita akan tahu
terdapat 3 jenis orang yang perlu kita hadapi:

1) Yang suka kita.
Kita layan sebaik mungkin. Hargai mereka. Sayangi mereka. Jangan khianati mereka.

2) Yang tidak suka kita.
Kalau mampu, berbuat baik kepada mereka. Kalau tidak mampu, abaikan sahaja mereka. Jika mereka tidak beri nilai tambah kepada kehidupan kita, kenapa perlu kita peduli?

3) Yang tidak suka kita tapi pura-pura suka kita.
Kenalpasti mereka ini. Awasi secara dekat. Kalau mampu, berbuat baik kepada mereka. Kalau tidak mampu, cukup sekadar jangan cari hal dengan mereka. Kalau mereka beri keburukan kepada kita, jauhi mereka. Yang penting, jangan balas apa yang mereka buat. Sabar, itu kuncinya.



------------------------- ------------


Terima kasih kerana membaca.
Mungkin ada bahagian yang kalian tak faham sangat apa aku maksudkan.
Sebab entri ini tujuan utamanya adalah sebagai peringatan kepada diri aku sendiri.
Jadi asalkan aku faham, sudah memadai.
Kalau-kalau satu hari nanti aku rasa putus asa dengan kehidupan,
dan bila aku baca balik entri ini,
aku ingat balik apa pengajaran yang aku bawa dari pengalaman lepas.

Aku pernah sebut benda ni.
Kita kena ingat, orang kata hidup ibarat roda.
Tapi kalau roda, kita tahu selepas di bawah, kita akan naik ke atas.
Jadi aku lebih rasa hidup ibarat roller coaster.
Ada masa naik tinggi, tapi waktu jatuh turun laju.
Sekejap tersenggok ke kanan, sekejap ke kiri.
Jatuh lagi, jatuh lagi.
Belum sempat nak hadapi yang jatuh tadi, kita jatuh lagi sekali.

Tapi dengan pengajaran yang kita dapat dari pengalaman,
dengan peringatan yang kita tinggalkan untuk masa hadapan,
aku rasa setiap senggok, setiap jatuh naik hidup kita
walaupun sukar, kita akan mampu hadapinya.

Sebab kita adalah produk kepada pengalaman.
Dan pengalamanlah yang membentuk diri kita menjadikan seperti sekarang.

Keep moving forward!
Don't give up!
Ayuh!

Selamat Tahun Baru 2018!




.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Namaku cEro.... Kacak, tinggi, putih gebu, badan tegap, macho.. Kalau korang nampak orang yang memenuhi kriteria di atas, dia BUKAN AKU..
PENERBITAN:


Protected by Copyscape Online Plagiarism Check
Creative Commons License