Salam.
Aku Past cEro.
Jika kalian terbaca entri ini,
malangnya, Present cEro masih lagi berada di dalam hiatus a.k.a kemalasan untuk melukis.
Present cEro ni tamak orangnya.
Dia nak kekal record up entri setiap rabu,
tapi dalam masa sama dia pemalas hanya nak gosok perut atas katil empuk.
Maka yang jadi mangsa adalah aku, Past cEro, yang terpaksa perah otak memikirkan entri yang patut di-schedule-kan untuk setiap hari rabu. Heh!
Mari pendekkan bebelan dan terus ke isi utama.
Minggu ini aku mahu kongsikan 4 cerita pendek yang berlaku ke atas diri aku dalam masa satu hari.
Cerita 1
Beberapa hari lalu aku berniat mahu memohon sesuatu.
Apa sesuatu itu, biarlah rahsia dulu. Kalau jadi, aku bagitahu dekat sini.
Aku buka website tempat memohon itu untuk keterangan lanjut.
Dalam fikiran aku, mungkin kena isi borang online tertentu,
atau upload beberapa dokumen butiran peribadi diri,
atau hantar butiran melalui emel.
Maksud aku, dalam kepala aku semua prosedurnya adalah online,
maka bersiul-siullah aku sambil membaca keterangan itu.
Manakan tidak, benda online ni kan cepat, mudah dan berkesan.
Tup tup dia minta hantarkan surat permohonan ke alamat tertentu.
Empat kali aku gosok mata, tak percaya dengan apa yang diberitahu.
Betul ke di zaman dunia di hujung jari, masih ada organisasi besar yang masih gunakan metod klasik pos siput untuk urusan?
Sudah lama aku tinggalkan subjek Bahasa Malaysia.
Jadi apabila aku terpaksa menulis atu surat kiriman rasmi,
maka terkontang-kantinglah diri ini menggoogle format surat kiriman rasmi.
Siap surat selepas berpenat lelah mengarang ayat bodek,
maka sudah tiba masa untuk print.
Printer aku tidak berfungsi. Jari tengah aku hulurkan.
Terpaksa menapak keluar mencari kedai yang ada perkhidmatan print.
Terjumpa satu kedai. Sehelai 30 sen katanya.
Aku perlu print 5 helai, maka RM1.50 terbang di situ.
Aku juga perlukan sampul surat, maka tambah lagi 60sen.
Setem pula, sebab surat saiz A4 tidak dilipat,
maka aku tampal setem RM1 walaupun aku tak pasti sebenarnya berapa kos setem untuk surat sedemikian.
Dekat situ sahaja sudah hilang RM3.10,
itupun belum tentu lagi surat itu selamat sampai ke destinasi.
Padahal kalau dia buat permohonan itu secara online, percuma je, confirm sampai pula tu.
Cerita 2
Surat yang sudah diprint, diisi ke dalam sampul, ditutup dan disetem sudahpun berada di tangan.
Hari ini hari Jumaat.
Aku terfikir kalau aku ke pejabat pos awal pagi,
surat akan sempat dikutip dan kemungkinan untuk surat berkenaan sampai ke destinasi pada hari yang sama pun tinggi memandangkan surat tersebut masih beralamat di dalam Wilayah Persekutuan yang sama.
Tapi pemikiran aku itu naif.
Aku sampai di pejabat pos pada pukul 10:05 pagi.
Tong merah tercatat bahawa surat di tong tersebut dikutip setiap hari bekerja jam 10 pagi.
Maka termencarutlah mulut ini di hadapan pejabat pos.
Kutipan surat untuk hari itu sudah terlepas (5 minit lalu).
Disebabkan esoknya Sabtu, bercuti, maka kutipan seterusnya adalah pada hari Isnin.
Jadi untuk apa aku semangat menaip surat, print, sampulkan, setemkan, dan bergegas ke pejabat pos kalau kutipannya adalah pada 3 hari kemudian?
Kalau aku lepak-lepak tulis surat dengan ayat mantap fantastik bombastik pada hari Sabtu, dan sampul dan setemkan pada hari Ahad, aku masih mampu mengejar masa kutipan yang sama.
Pengajarannya,
jangan hantar surat pada hari Jumaat. Rugi.
Cerita 3
Petang Jumaat itu aku ke sebuah pasaraya jenama terkemuka
*batuk* *batuk* *Tesco Rawang* *batuk* bertujuan untuk membeli rak buku supaya boleh digunakan untuk mengisi komik-komik yang bergelimpangan di lantai bilik.
Alkisah aku dihampiri oleh seorang gadis manis semasa mahu adjust motosikal di ruangan parkir.
Ya, muka di manis. Ayu. Aku rasa ini jenis yang
Ankel Jonni suka.
Tapi dia menghampiri sambil membawa beberapa dokumen di tangan,
jadi rasanya dia menghampiri aku bukanlah disebabkan aku sudah mencuri hati dia, tapi dia ada mahukan sesuatu daripada aku.
"Abang, ada 5 minit tak?" kata dia.
"Saya ada seluruh hayat masa untuk awak, tapi saya tahu awak cuma mahukan wang saya, kan?" cetus hati aku. Tak berani nak berchia-chia depan-depan. Huhu
"Saya lapar. Lain kali boleh?"
"Alaa, bang. 2 minit je pun takpe. 2 minit je."
Gadis tu sudah buat suara manja, aku macam kalah sikit.
Maka, aku jenguk jam di henset dan mula time masa 2 minit.
"Okay, 2 minit dari sekarang..."
Gadis itu gigih bercerita tentang skim insurans yang dijual. Skim yang sama macam iklan TV yang boleh apply guna telefon tu, alaa yang serendah RM10 tu, alaa yang satu keluarga pun boleh apply sama tu.
Gaya gadis itu bercerita sangat menarik.
Aku pun makin lama makin tertarik mahu join insurans tersebut.
Daripada suara dan gerak tubuh, aku teka dia ni orang Johor tapi aku tak ada poin kukuh untuk sokong tekaan aku.
Aku bajet selepas habis dua minit dia membebel, mungkin aku akan minta nombor telefon dia supaya aku boleh set masa lain kali untuk berborak lebih panjang mengenai
masa depan kami bersama skim insurans yang dia jual itu.
Sekarang tak boleh, sebab aku lapar.
Arwah Cikgu Latifah ajar, "Jangan buat keputusan besar ketika lapar".
Tapi pada minit 1:45, gadis itu terbuat satu kesilapan.
Dia kata,
"Insurans ini sesuai untuk mereka yang berpendapatan kecil dan penunggang motosikal"
Kalau kalian kenal aku melalui blog dan media sosial,
kalian akan tahu aku amat sensitif dalam bab samakan penunggang motosikal dengan taraf pendapatan.
Mungkin sebab aku hanya pakai T-shirt lusuh, berkasut kotor dan bermotosikal, dia sudah label aku berpendapatan rendah. Itu, pada aku, satu penghinaan.
Memang betul, aku pun bukannya kaya mana.
Tapi poin aku di sini bukanlah betul atau tidak faktanya,
tapi perangai suka pukul rata semua orang sama. Itu aku tak suka.
So...
"Okay, 2 minit sudah tamat. Apa kata awak bagi pamplet yang awak pegang tu supaya saya dapat fikirkannya semasa saya sedang menjamu selera di dalam."
Gadis itupun dengan muka kecewa hulurkan aku pamplet berkenaan dan aku pun berlalu meninggalkan calon jodoh yang sudah aku tolak hanya kerana tersalah cakap.
Cerita 4
Selepas menjamu selera sambil menjadikan pamplet skim insurans sebagai lapik cawan basah, aku keluar dari medan selera dan masuk ke dalam pasaraya untuk meninjau rak buku pilihan hati.
JUMPA.
Satu rak buku 5 tingkat dengan harga yang berpatutan.
Aku ni jenis yang kalau dah jumpa, malas nak tinjau tempat lain dah walaupun aku tahu kalau pergi kedai perabot luar sana mesti ada yang lagi murah.
Rak itu jenis adjustable paranya,
maka kalau akan datang aku mahu jadikannya 6 tingkat,
apa yang perlu aku buat ialah beli papan yang sama saiz dan pasang.
Aku ni pun boleh tahan bodoh orangnya.
Aku terus panggil pekerjanya dan proceed ke kaunter untuk bayar.
Nanti aku akan suruh mereka hantar delivery ke rumah aku memandangkan aku hanya datang dengan motosikal.
"Maaf ya, Bang. Di sini tiada delivery."
Tersenyum senget aku mengenangkan kebodohan diri.
Kotak rak buku itu setinggi 1.8 cm dan berkeberatan 31.0 kg.
Ligat kepala otak aku cari solusi macam mana aku nak angkut kotak sebesar ni guna motosikal sampai ke rumah.
Patutlah berlambak barangan dekat pasaraya ni.
Rupanya sebab tiada home delivery.
Rak buku macam ni boleh lagi kalau nak sumbat ke dalam kereta (kalau ada).
Kalau yang datang nak beli peti sejuk, nak bawa balik macam mana?
Siapa operational manager dekat sini? Panggil kejap aku nak sekolahkan.
xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx xxxxxxxxxxxx
Begitulah 4 cerita yang berlaku dalam satu hari cuti aku.
Terima kasih kerana baca sampai habis.
Saja aku tak letak apa-apa image sebab nak uji siapa yang sanggup baca bebelan aku sampai habis walaupun tanpa apa-apa gambar. Huhuhu
Siapa baca sampai habis, beritahu di ruangan komen.
Ok,
apa kata kalian pergi desak Present cEro suruh dia rajin sikit melukis untuk blog ini.
Pergi herdik atau maki dia di media sosial atas id
@cerolian
Gamaknya lepas kena maki sebab malas, dia akan berubah tak?
Huhuhu
.