Dear cErolian,

......

TERIMA KASIH!

Terima kasih kerana terus menyokong!

=======================

Jan 10, 2018

6 Lagu yang Membawa Aku Kembali ke Zaman Silam


Salam.

Petang. Kita kepenatan.
Masuk bilik nampak katil memanggil-manggil.
Sebelum rebahkan diri, kita tekan suis ON pada radio.
Kita hempas diri atas katil yang empuk.
Mengeluh panjang bukan merungut, tapi kelegaan.
Penyampai radio berceloteh entah apa yang dibualkan.
Bukan kita tak dengar, tapi malas nak ambil kisah.
Katil dan bantal patut lebih diberikan prioriti.

Selepas itu, berkumandang satu lagu dari radio tadi.
Mendengar lagu itu, terus kita beliakkan mata.

Entah macam mana, lagu itu terus membawa kita ke memori satu ketika dahulu.
Secara tiba-tiba, kenangan pada waktu itu datang seperti air yang keluar dari kepala paip yang dipulas.
Kenangan yang manis buatkan kita tersenyum.
Kenangan yang pahit buatkan kita termenung.




Itu, para pembaca sekalian,
dipanggil 'music-evoked autobiographical memories', atau MEAM.
satu fenomena dalam sains kognitif yang (percaya atau tidak) masih tidak mampu diterangkan secara terperinci oleh para saintis masa kini.

Nope!
Ini bukanlah post ilmiah yang bercerita tentang MEAM
walaupun aku suka berborak pasal hal ini kalau dapat bersemuka face-to-face.
Kalau nak tahu lebih lanjut tentang MEAM,
dari Google boleh dapat lagi banyak info tentangnya.

Entri kali ini aku nak bercerita tentang ENAM lagu yang mampu membawa aku kembali ke zaman silam. Lagu-lagu ini adalah antara contoh MEAM yang berlaku pada diri aku.





1. DAN DAN Kokoro Hikareteku (Field Of View)

"DAN DAN 心魅かれてく
その眩しい笑顔に
果てない暗闇から飛び出そう Hold my hand"


Ya. Betul.
Lagu ini adalah lagu OPENING untuk anime Dragon Ball GT.

Sebenarnya masa aku kecil, aku lebih awal terdedah dengan Dragon Ball GT berbanding Dragon Ball Z walaupun secara kronologinya aku patut layan DBZ dulu berbanding DBGT.
Entah macam mana ceritanya, dekat rumah aku ada satu pita video Dragon Ball GT episod orang jahat Baby datang serang Bumi (Ya, aku sempat hidup dalam zaman pita video kaset yang kena main dengan VCR player tu. Aku purba). Aku mula kenal Dragon Ball daripada pita video itulah. Masa itu, anime Dragon Ball yang tayang di TV2 pagi sabtu ahad tu baru masuk episod awal-awal, episod Goku lawan Tentera Reben Merah. Jadi, jalan cerita DBGT agak tak masuk akal. Tapi berkat kegigihan, aku mula follow Dragon Ball yang ditayangkan di TV itu dan mana episod yang aku terlepas, aku ganti dengan bacaan komik Mutiara Naga. Dari situlah aku mula minat melukis.

Sebab itu kalau kalian sedar, lukisan komik aku ada pengaruh Dragon Ball yang kuat.

Lagu DAN DAN ini sangat menggamit zaman kanak-kanak aku. Tiap kali aku terdengar lagu ini, aku akan terkenang zaman hingusan aku dulu. Aku ulang tengok pita DBGT tu berulang kali sampai hafal lirik lagu dan dialognya. Dari situ juga aku mula minat bahasa Jepun. Dalam masa yang sama, fenomena Dragon Ball sangat terkenal seluruh Malaysia. Kanak-kanak (dan remaja) sebaya aku gigih kumpul kad dagangan (trading card) Dragon Ball dan saling bertukar-tukar kad dengan kawan. Masa itu, siapa ada kad yang rare, dialah power.

Bila fikir balik, mana pergi ek kad-kad aku tu semua?
*gosok dagu*




2. JIKA (Melly Goeslaw)

"Jika memang masih bisa mulut ku berbicara
Santun kata yang ingin terucap
Kan kudengar caci dan puji dirimu padaku..."


Lagu ini lebih spesifik. Tiap kali dengar akan bawa aku ke umur 16 tahun di mana aku sedang berada dalam bas yang dipenuhi dengan ahli kadet bomba daerah sedang dalam perjalanan pulang dari perkhemahan peringkat negeri. Waktu itu sudah masuk malam, hujan turun renyai dan titisan air di tingkap bas berlumba-lumba meleleh serong. Lagu inilah yang bermain di corong radio bas ketika itu.

Bas penuh dengan ahli kadet. Masing-masing lena kepenatan. Bau masam peluh dan tanah jelas terhidu. Sebahagiannya adalah pelajar sama sekolah dengan aku, sebahagian lagi adalah pelajar sekolah lain sekitar daerah yang sama. Ada lelaki, ada perempuan. Kami kenal (dan rapat) kerana perkhemahan itu. Mana tidaknya, dua bulan sebelum perkhemahan, kami sudah berkumpul untuk berlatih aktiviti seperti kawad kaki dan beberapa aktiviti fizikal yang lain.

Lagi menggamit memori, akulah ketua platoon rombongan itu.
*gosok bahu*




3. DARI KEKASIH UNTUK KEKASIH

"Entah berapa kali kucuba membohong hatiku ini.
Hebat dilanda rindu padamu namun semua alasan..."


Dicipta oleh M. Nasir dan dinyanyikan oleh Hattan,
aku tak pasti tajuk dia 'untuk' atau 'kepada'.
Lagu ini membawa aku ke zaman kolej dahulu.

Salah seorang senior aku (perempuan) sangat gilakan Mawi. Pada waktu itu, fenomena TsuMawi sedang berlaku. Senior aku ini (aku namakan dia F) beli satu VCD koleksi video muzik lagu nyanyian Mawi semasa di dalam Akademi Fantasia. F ini mahu 'rip' video tersebut tapi dia tidak tahu nak buat macam mana, jadi dia minta tolong aku. Disebabkan 'rip' video daripada VCD bukanlah susah mana, jadi aku tolong.

Salah satu lagu nyanyian Mawi semasa di dalam Akademi Fantasia ialah lagu Dari Kekasih Untuk Kekasih ini.

Pendekkan cerita, disebabkan pertolongan itu kami jadi rapat. Cukup rapat sampai menjadi buat mulut gosip para penghuni kolej yang lain bahawa ada 'senior perempuan bercinta dengan junior lelaki'. Jujurnya, aku memang senang dengan F ni, dan aku rasa pun si F ni senang dengan aku. Walaupun senior, tapi kami tiada kasta jadi hanya ber'saya-awak'. Pada hari jadi aku, dia beri hadiah sesuatu dengan kad tertulis 'walaupun kau bukan kekasih, namun bukan sekadar teman biasa...' di mana aku rasa itu lirik satu lagu yang aku tak pasti melodinya macam mana.

Kedengaran sweet, kan?
NOPE!

Rupanya F sebenarnya sudah bertunang. Tunang F sendiri telefon aku beri amaran supaya jauhkan diri aku dari tunang dia. Aku tak tahu F bertunang sampailah terima panggilan itu. Sampai sudah F berdiam diri, tak mengakui dia sudah bertunang dan tidak menafikan bila aku tanya.

Aku tak mahu jadi watak dalam drama, jadi aku jauhkan diri dari F. Sejak itu, aku akan jauhkan diri aku dengan sesiapa pun kawan perempuan yang sudah ada komitmen (ada pasangan, tunang, mahupun isteri orang)

Baru-baru ini ada satu drama di TV yang mainkan lagu ini sebagai lagu tema, dan aku tonton drama itu. Cuba teka siapa yang tidak senang duduk depan TV bila asyik terimbas kembali kenangan lama tanpa diundang?
*geleng kepala*




4. TENTANG SESEORANG (Anda)

"Cinta hanyalah cinta, hidup dan mati untukmu.
Mungkinkah semua tanya kau yang jawab..."


Semasa zaman universiti, aku ada satu kawan baik. Seorang perempuan. Bila habis kelas dan masing-masing buat hal sendiri, aku dan si M (bukan nama sebenar) ini akan pergi ke kompleks membeli belah untuk menyanyi di karaoke jamban sebagai satu wadah melepaskan tekanan. Pada yang tidak tahu, karaoke jamban ialah ruangan karaoke kecil yang meletakkan mesin karaoke dan dibayar ikut kadar coin yang ada. Lagu kegemaran kami, TENTANG SESEORANG dari Anda.

Lagu ini lagu wajib kami nyanyi dalam karaoke jamban selain beberapa lagu lain yang ada. Melodinya sedap, liriknya mudah dan tona nyanyian pun tak menderitakan. Dan berani aku katakan yang suara aku sedap bila nyanyi lagu ini *batuk batuk*

Ya. Lagu ini ibarat lagu tema untuk aku dan kawan baik aku si M itu. Jatuh bangun kami bersama. Semua rahsia kami kongsi, bincang dan gelakkan. Pada saat itulah aku dapat rasakan saat-saat manis seronoknya ada seorang kawan baik perempuan.

Tahu kan orang ada kata yang lelaki dan perempuan tak boleh jadi kawan baik sebab nanti akan ada yang terluka? It turns out that benda itu betul. Salah seorang daripada kami telah pun melangkaui garis sempadan dengan meluahkan perasaan 'lebih dari kawan' kepada seorang lagi. Dan sejak dari itu, things were never be the same again.

But tiap kali aku pergi karaoke, aku tetap akan pilih lagu ini. Sebagai tanda hormat pada kenangan.
*tangan di dada*




5. HANABI (Mr. Children)

"決して捕まえることの出来ない
花火のような光だとしたって
もう一回、もう一回
もう一回、もう一回 "


Jadi, kalau kalian cukup lama baca blog ini kalian akan tahu betapa signifikannya lagu ini kepada aku. Lagu ini mengingatkan aku kembali kepada saat aku buat keputusan yang paling bodoh sekali dalam dunia.

Lagu ini adalah lagu tema untuk drama Jepun, Code Blue. Semasa aku sedang rajin melayan satu persatu drama ini, pada masa yang sama aku sedang berkenalan dengan seorang perempuan, L (partly nama sebenar). Pendekkan cerita (sebab kalian boleh tahu cerita panjangnya), kedua-dua kami masing-masing ada perasaan terhadap satu sama lain tapi masing-masing tidak pernah berkata apa-apa, or at least, aku tetap terus menidakkannya.

Kami banyak luangkan masa bersama, bergurau senda, sakat-menyakat, keluar bersama, sampai ke tahap aku sudah pernah bertemu empat mata dengan abah dia sendiri di rumah dia sendiri, tapi masih aku menidakkannya. Aku tetap kata ini semua hanyalah 'rebound', disebabkan aku baru sahaja putus hubungan dengan seseorang pada ketika itu. Kemuncaknya, si L mahu kata putus, dan aku pilih TIDAK. Dan itu adalah keputusan paling bodoh pernah aku buat dalam hidup.

Tiap kali lagu HANABI ini berkumandang di corong music player aku (sebab ada dalam playlist), tiap kali itulah aku termenung tengok dinding putih menyesali apa yang pernah aku putuskan. Me sucks!
*ketuk kepala sendiri*




6. TALKING TO THE MOON (Bruno Mars)

"My neigbors think I'm crazy
but they don't understand.
You're all I had. You're all I had."


Lagu ini adalah lagu 'aftermath' kepada cerita di atas.

Selepas buat satu keputusan paling bodoh dalam sejarah manusia pernah buat, aku asyik fikirkan apa yang akan berlaku kalau aku buat keputusan sebaliknya? Apa yang boleh aku lakukan untuk terus hidup dalam keputusan ini? Adakah peluang lagi untuk aku patah balik? Apakah cara terbaik untuk aku perbaiki segala yang telah berlaku?

Disebabkan semua persoalan di atas (dan banyak lagi) ini aku selalu fikirkan seorang diri di dalam bilik sambil merenung langit malam melalui tingkap, maka kebanyakannya hanyalah soalan monolog dalam aku tanya kepada bulan. Dan bila aku terdengar lagu 'Talking to The Moon' ini, sudah tentau aku terbayangkan muka hodoh aku duduk tepi tingkap meratap takdir kisah cinta gagal yang terjadi atas kebodohan aku sendiri.

Lagipun, masa bersama si dia dulu, bulan adalah satu objek yang aku rasa sangat estetik di mana tidak kira di mana kami berada, jauh atau dekat, bila kami lihat bulan di langit malam, kami sedang lihat pada bulan yang sama. Seperti satu bebenang ghaib panjang yang menghubungkan kami tidak kira di titik mana kami berada atas muka bumi ini.
*ewah*




========================= ============


Dan itulah ENAM lagu yang mampu membawa aku mengimbau kenangan silam.
Ada beberapa lagi tapi aku terhadkan hanya ENAM sebab aku tahu,
walaupun aku tulis hanya ENAM, tapi masih ada yang tak baca sampai habis pun hahahahahahaha

"Yo, C! Kenapa kau suka sangat imbau kenangan silam ek? Tak boleh move on ke?"

Aku percaya tidak semua memori akan hilang dengan mudah dari dalam kepala. Sesetengah memori, sama ada manis atau pahit, akan tetap tercetus balik jika ada pengaruh-pengaruh yang tertentu (seperti kes di atas, lagu). Kita tidak boleh senang-senang lupa benda yang kita nak lupa. Dan pada aku, cara terbaik untuk terus hidup dengan kenangan sekejap hilang sekejap muncul ini adalah dengan bercerita tentangnya. Sama ada kenangan itu manis atau pahit, kita tidak boleh nafikan bahawa kenangan itulah yang menjadikan kita seperti diri kita sekarang. Jadi aku pilih untuk bercerita tentangnya di sini, di dalam blog peribadi aku ini, bukan bermakna aku tidak boleh move on, tapi ini bermakna aku move along with them all. Benda yang tidak boleh kita tinggalkan, jadi kita galas bersama ke depan dengan senyuman.

Jadi,
kalian ada lagu yang menggamit memori?
Memori indah atau memori pahit?
Lagu apa? Macam mana ceritanya?
Ada lagu khusus yang mengingatkan kalian tentang aku tak?
Hehehe





.




14 comments:

  1. Bro, cerita tunang orang tu macam best je. Kau tak nak story lebih ke? Buat satu entri khusus.

    ReplyDelete
    Replies
    1. >Anonymous

      Hahaha. Cerita sedih laju je korang suruh story kan?
      Tengoklah nanti camne. Hahaha

      Delete
  2. Kau memang malang bercinta.

    ReplyDelete
    Replies
    1. >Anonymous

      Hmm...Apa nak buat. Dah nasib badan macam tu :(

      Delete
  3. Thank you for sharing this term; music-evoked autobiographical memories. Tak tahu pun benda ni ada specific term.

    As for me, I have few songs that remind me to good and bad memories. Tapi, malaslah nak share kat sini. Nanti jadi karangan pula. Haha :D

    btw, dah lama tak dengar lagu Tentang Seseorang. Teringat zaman muda tiba-tiba.

    ReplyDelete
    Replies
    1. >Farah

      Sebenarnya, samalah. Tak sangka fenomena tu ada nama tersendiri. Gigih para saintis buat kajian hahaha.

      Teringat zaman muda? Ehhh, Farah bukannya purba pun. Masih muda lagi, kan? Hehehe

      Delete
  4. Suka semua lagu dalam list ni :D

    ReplyDelete
    Replies
    1. >Noor Maizan

      Tapi mana satu yang PALING Mai suka?
      :)

      Delete
  5. tak faham betul dgn perempuan perangai macam ni. dah tahu diri tu dah bertunang sibuk nak rapat dgn laki lain apahal.

    ReplyDelete
    Replies
    1. >Anonymous

      Entahlah. Pasti ada cerita dari pihak dia yang kita tak tahu (dan takkan tahu). Tapi itulah orang kata dugaan bertunang. Cuma aku tak mahu jadi sebahagian daripada drama itu huhuhu

      Delete
  6. Aku rasa semua orang macam kau, bila terdengar lagu akan terngiang balik exact moment time lagu tu berkemundang satu ketika dulu. Dan tak semua momen terakam dengan lagu, means moment yg terkesan dalam hati je walaupun kita tak berniat nak simpan memori tu bersekali dengan lagu tu. apa aku cakap ni ahahhaha

    lagu JIKA tu aku suka! haha

    ReplyDelete
    Replies
    1. >NAD

      Kan? Lain orang lain lagu yang akan bawa mengembara ke zaman lalu. Kau pun mesti ada punya beberapa lagu yang spesifik untuk momen-momen tertentu, kan?

      Jom, kalau ada peluang karaoke dengan aku, kita nyanyi lagu JIKA. Hahahaha

      Delete
  7. list lagu lama2 je ni. mungkin kau tak hidup sezaman dgn aku

    ReplyDelete
    Replies
    1. >Anonymous

      Hahaha. Lagu kau dalam zaman apa?
      Lagi lama ke atau baru-baru ni je?

      Delete

"It's not what you've got, it's what you do with it." - cEro, 2026

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Namaku cEro.... Kacak, tinggi, putih gebu, badan tegap, macho.. Kalau korang nampak orang yang memenuhi kriteria di atas, dia BUKAN AKU..
PENERBITAN: