Dear cErolian,

......

TERIMA KASIH!

Terima kasih kerana terus menyokong!

=======================

Mar 29, 2017

Lelaki Dalam Cermin.


Salam.

Masih tiada komik hari ini.
Rabu terakhir bulan Mac, jadi termaktublah bahawa bulan Mac 2017 adalah bulan tanpa komik di blog cErolian.



Jangan risau ini bukan Past cEro,
ini Present cEro yang menaip terus daripada komputer milik orang lain dan menggunakan segala sumber yang ada hanya untuk menceritakan sesuatu.

Last few weeks, something big had happened to me.
That 'something' has changed how I see the world.
Aku kini melihat dunia ini dari sudut yang sangat berbeza sekali.
Tidak, aku tak berubah sepenuhnya.
Aku masih manusia sama yang pada sesetengah orang dianggap annoying, boring.
Yang berubah adalah pandangan aku terhadap sesuatu.

Aku sudah buat keputusan untuk tidak membuang masa kepada benda yang sia-sia.

Aku sudahlah mempunyai kawan yang sedikit,
jadi aku tidak mahu habiskan masa memikirkan perkara yang remeh macam kenapa orang sudah tidak mahu kawan dengan aku.
Orang sempurna mana nak kawan orang cacat.

Sesiapa yang nak anggap aku kawan, aku akan anggap dia kawan.
Sesiapa yang nak anggap aku orang asing, aku akan anggap dia orang asing.
Sesiapa yang nak bermusuh dengan aku, tolong, aku tak mahu ada musuh. Rugi.

Sesiapa yang nak anggap aku sahabat baik, beritahu.
Aku boleh jadi sahabat paling baik yang pernah ada.

Sesiapa yang rajin datang ke blog untuk ikut perkembangan aku, TERIMA KASIH.
Aku akan berusaha hargai dengan balas kunjungan
walaupun aku agak terbatas dengan teknologi sekarang.

Sesiapa yang rajin bertanya khabar di Fb, Twitter, IG
aku akan hargai dengan cara yang aku mampu.
Kita boleh jadi kawan (walaupun atas alam maya) atau kalau nak lebih daripada itu, kita boleh jadi kawan di alam nyata.

Sesiapa yang sayang aku, aku akan sayang dia balik.
Sesiapa yang kata sayang aku, tapi tak buat apa-apa,
aku pun akan tidak akan buat apa-apa.

Ini semua berkaitan tentang menghargai.
Kita tidak boleh minta dihargai tapi tidak menghargai orang lain.
Ia macam cermin.
Macam mana nak minta imej dalam cermin untuk senyum kalau kita sendiri bermasam muka?

Sebut pasal sayang dan menghargai,
Mak Abah aku sudah bagi hint keras suruh cari pasangan.
Perkara yang sudah lama aku lupakan.
Tapi aku faham maksud Mak Abah.
Orang baya aku semua sedang sibuk bercerita tentang anak masing-masing
aku pula cuma mampu senyum kepada anak kecil yang berselisih di kompleks membeli-belah.

Bukan tak mahu berkeluarga,
tapi aku rasa sangat susah untuk cari orang yang terima aku sepenuhnya.
Baik buruk kacak hodoh miskin kaya senang susah cacat sempurna aku.
Aku orang yang sangat berahsia.
Even keluarga pun tak semua tahu apa aku buat untuk hidup sebab aku rahsiakannya.
Jadi untuk jumpa seseorang yang dapat terima, faham,
sekaligus menyokong apa yang aku buat, rasanya menghampiri mustahil sebab secara logik, tiada siapa tahu apa aku buat.

Jadi macam mana?

Ada satu cara mudah, iaitu aku jadi orang lain.

Satu lagi keputusan yang aku ambil ialah aku mahu kumpul duit secara gigih dan gunakan duit itu untuk sambung belajar.
Orang macam aku ni, tidak akan ke mana tanpa ilmu,
jadi selagi aku mampu, aku akan terus kutip apa sahaja ilmu yang ada.

Bila aku kata aku melihat dunia dari sisi berbeza sekarang,
aku betul-betul maksudkannya.
Aku mampu melihat kesedihan di dalam diri lelaki yang aku pandang dalam cermin.
And I hate that.



Terima kasih sebab baca luahan hati aku ini.
Awal tahun dulu aku nak jadikan blog ini tempat yang 'fun',
tapi sebab aku tidak ada tempat untuk luah segala ini selain blog
jadi terpaksalah kalian baca luahan itu di sini.
Aku minta maaf.

Maybe, just maybe, next week ada entri yang FUN.

For now, bye. Live well.




.

Mar 22, 2017

Analogi Bot Penyelamat.




Salam.

Satu hari seorang kawan bertanyakan satu soalan hipotetikal berkenaan sesuatu:

Sebuah kapal penumpang karam di tengah lautan. Para penumpang terkapai-kapai di permukaan air. Ada satu bot penyelamat (lifeboat) dan sudah ada 50 orang di atasnya. Hanya ada satu bot, dan satu bot hanya mampu memuatkan 60 orang sahaja. Namun, masih terdapat 100 orang penumpang lagi yang sedang meronta-ronta terkapai-kapai di permukaan lautan. Bot yang terlampau padat dan melebihi kapasiti sudah tentu akan meningkatkan risiko bot itu untuk karam juga dan seterusnya meningkatkan lagi kadar kematian.

Satu bot, 10 tempat kosong lagi, dan 100 orang mahu diselamatkan.
Apa tindakan paling terbaik untuk situasi begini?




Yang belajar psikologi akan tahu ini adalah soalan cetusan minda daripada ahli falsafah terkenal yang juga merupakan seorang ahli ekologi bernama Garrett Hardin, sebagai analogi kepada tanggungjawab manusia membantu mereka yang memerlukan.

Sudah tentu, aku budak biologi, tidak belajar psikologi,
jadi jawapan aku sudah tentu selamatkan seberapa banyak yang boleh.
Ada 10 ruang lagi boleh diisi, jadi tindakan terbaik adalah selamat 10 orang lagi.

Tapi penyelesaian itu hanya akan mencetuskan isu yang lain pula.

Kalau mahu selamatkan 10 orang lagi,
siapa 10 orang yang terpilih daripada 100 orang tadi?
Bagaimana kriteria memilih 10 orang lain?
Wanita dan anak kecil?
Saudara rapat dan kenalan?
Orang kaya dan ahli politik yang berpengaruh?
Ahli akademik dan cerdik pandai?

Dan apa alasan menolak orang yang tidak layak diselamatkan?
Lelaki dewasa berbadan tegap yang ada peluang tinggi untuk terus hidup?
Penjenayah dengan rekod jenayah panjang dan memudaratkan?
Musuh perniagaan dan pesaing dalam kerjaya atau kehidupan?

Namun soalan yang terbesar ialah
SIAPA YANG LAYAK MENENTUKAN 10 ORANG TERSEBUT?

Dan semua ini perlu difikirkan dalam masa singkat sedangkan semua orang dalam situasi ini, sama ada di atas bot atau yang sedang terkapai-kapai, semuanya sedang panik memegang nasib nyawa diri sendiri.

Dalam keadaan panik, semua orang mahu selamatkan diri sendiri.
Jadi siapa boleh beri jaminan bahawa orang yang ditolak dari naik bot akan menurut kata dengan hati yang tenang tanpa melawan?





Aku pun berfikir lama untuk soalan situasi di atas.
Mari kita selami keadaan bagi tiga individu berlainan keadaan:



1. Golongan yang sedang berada di dalam air.

Sudah tentu orang yang di dalam air mahu dia diselamatkan tidak kira siapa dia.
Sudah tentu dia mahu jadi seorang daripada 10 orang yang harus diselamatkan.
Sama ada dengan kebenaran atau tidak, sudah tentu akan ada jenis orang yang akan bersungguh-sungguh mahu naik ke atas bot.

Jika kita tanyakan soalan 'adakah anda perlu diselamatkan' kepada mereka,
sudah tentu jawapan mereka adalah YA.

10 ke, 100 ke, karam ke, timbul ke, asalkan mereka selamat, mereka sudah tidak peduli itu semua.



2. Golongan yang sudah berada di atas bot.

Walaupun mereka ini boleh tarik nafas lega,
tapi kalau mereka tidak buat sesuatu, lambat laun pasti akan ada orang dari dalam air yang akan berkeras mahu naik ke atas bot juga dan menggunakan kekerasan.

Maka, mahu atau tidak mahu perlu ada seseorang yang ambil tindakan.
Dia perlu buat keputusan sama ada memilih untuk mengambil 10 orang lagi,
atau tidak ambil sesiapa langsung,
atau menolak orang tertentu di atas bot, dan gantikan dengan orang lain dari dalam air.
Orang ini juga perlu bersedia untuk menggunakan kekerasan jika perlu.

Tanggungjawab orang ini amat besar.
Setiap kematian yang ada, walaupun bukan secara langsung dari dia,
dia perlu dipertanggungjawabkan.

Sudah tentu, tiada siapa mahu jadi individu ini.
Maka, majoriti orang atas bot akan bersikap diam dan berharap orang lain yang akan muncul ke depan.



3. Golongan yang tiada di tempat kejadian, iaitu anda.

Sudah pasti penilaian daripada orang lain yang tiada di tempat kejadian adalah berbeza.
Berbeza kerana mereka tidak rugi dari segi apa-apa.

Kebanyakan mereka (kita) akan fikir untuk selamatkan sebanyak yang boleh.
Ada juga yang berfikiran utamakan wanita dan kanak-kanak dahulu (di mana ini adalah prosedur standard kecemasan di seluruh dunia).
Ada juga yang terfikir, kalau dia berada di atas bot, dia akan korbankan diri bertukar tempat dengan orang yang lebih disayangi (seperti keluarga dan kenalan) dan kalau kalian adalah salah seorang yang berfikiran sebegitu, ketahuilah bahawa memikirkannya lebih mudah daripada melaksanakannya.

Golongan ini jugalah yang akan menilai individu yang tidak benarkan orang dari dalam air naik ke bot adalah individu jahat tidak kira apa pun alasannya.




Okey.

Pada tahap ini kalian mesti fikir apa poin sebenar yang cuba aku nak sampaikan, kan?


Sebenarnya, pada aku,
setiap perkara yang berlaku di dunia ini sentiasa akan berkisar pada pendapat tiga golongan tadi, iaitu; (1) Si Pemberi, (2) Si Penerima, dan (3) Si Penonton.

Golongan yang banyak bersuara adalah golongan Penonton tadi.
Contohnya kalau ada berlaku sesuatu perkara viral, seperti video ibu dera anak menjadi tular, sudah tentu yang banyak bersuara adalah golongan yang tiada kaitan sedangkan apa yang kita perlu tahu adalah mungkin ada cerita lain berlaku di sebalik video itu. Mungkin si ibu sedang mengalami tekanan mental, ataupun deraan itu tidaklah sedahsyat yang digembar-gemburkan, sekadar pukulan yang bersifat mengajar, atau mungkin si ibu terikut emosi dan melakukan kesilapan yang sudah tentu juga akan memberi kesan kepada dirinya.

Kesimpulannya,
kita manusia sangat suka menilai sesuatu tanpa usul periksa.
Nasihat aku kalau berlaku sesuatu, tahu dulu pokok pangkal segala cerita,
terutamanya jika kita dari pihak 'Penonton', kaji dahulu apa alasan 'Pemberi' dan 'Penerima' berkelakuan sedemikian.
Banyak contoh boleh aku beri, tapi aku sudah malas menaip hahahaha.



Sebagai penutup,
beritahu aku apa pendapat kalian tentang situasi bos penyelamat di awal entri tadi?
Apa tindak terbaik yang kalian rasa patut dilakukan semua orang?


Ya, aku tahu.
Blog ini sudah semakin bosan.
Tiada komik dan asyik entri teks panjang lebar.
Tapi kalian kena faham dari konteks cEro sebagai 'Pemberi'.
cEro sedang mengalami fasa sukar yang dia sendiri tidak tahu bagaimana mahu menghadapi, jadi berikanlah cEro sedikit masa untuk kembali bersinar dan berpijar seperti dulu kala.

Pendek kata, cEro malas. Hahahaa!

Terima kasih kerana baca sampai habis. Moga bermanfaat. YOU'RE THE BEST!








.

Mar 15, 2017

Kisah Kucing Biru dan Lelaki Berbaju Kuning.




Salam.

Suatu petang aku keluar mahu membeli makanan.
Nafsu diri sangat ingin makan donut inti kacang merah.
Nasib baik gerai menjualnya sampai hanya dengan berjalan kaki,
tak perlulah aku nak habiskan minyak kenderaan bergerak jauh.
Berjalan kaki, badan pun sihat.

Dalam perjalanan pulang, aku ikut lorong belakang deretan rumah teres.
Jalan pintas, namun kawasan ini agak bahaya.
Bukan sahaja banyak anjing liar berehat, tapi lalu belakang rumah orang mungkin akan membuatkan aku dituduh berniat mencuri, apatah lagi muka tak kacak macam aku memang senang kena tuduh.

Pantang disebut anjing,
tiba-tiba ternampak seekor anjing sedang menyalak ke arah sesuatu di hadapan aku.
Ada sesuatu sedang menyorok di bawah timbunan sampah.
Anjing tersebut menyalak ke arah timbunan sampah tersebut,
namun tak dapat nak capai sesuatu yang menyorok itu kerana lubang tempat persembunyiannya itu kecil, tidak muat saiz anjing yang besar.

Mungkin yang menyorok itu kucing ketakutan.

Dulu masa kecil aku berangan mahu jadi ahli bomba sebab mahu jadi hero.
Tapi bila besar, aku tahu jadi hero tak semestinya perlu menjadi ahli bomba.
Cukup sekadar menyelamatkan kucing jalanan yang dibuli anjing liar sudah layak menjadikan aku hero.

Maka aku pun sebagai hero, menghalau anjing tadi dengan melemparkan batu ke arahnya.
Nasib baik anjing itu lari.
Kalaulah dia terkam ke arah aku,
aku memang sudah sedia kekuda untuk langkah seribu,
pecut laju berlari menyelamatkan diri.

Aku pun menghampiri timbunan sampah tadi dan meninjau apa yang sedang menyorok.
Lalu keluar satu makhluk dari tempat persembunyian tersebut.
Seekor kucing, tapi...

"Terima kasih, bro!"
Kucing tadi berterima kasih kepada aku.
Walaupun, YA, aku terkejut kucing itu boleh bercakap,
tapi lebih mengejutkan aku adalah kucing itu berbulu biru dan berekor bulat merah.

Belum pernah seumur hidup aku melihat kucing berwarna biru.

"Saya tahu awak terkejut. Tapi biar saya terangkan situasi," kata kucing biru itu.
Kalau ikutkan hati, mahu sahaja aku lari meninggalkan kepelikan ini tapi perasaan ingin tahu lebih kuat mendominasi diri daripada perasaan takut.

"Saya kucing dari masa hadapan. Robot kucing untuk lebih tepat. Entah macam mana saya tersesat ke zaman ini dan terperangkap dalam ancaman anjing liar ganas tadi. Awak datang tepat pada masanya dan selamatkan saya. Untuk itu, saya ucapkan terima kasih."

Fakta bahawa dia adalah robot kucing sedikit menenangkan aku sebab warna dia biru. Kalau aku ada kucing robot pun aku akan warnakan dia warna kelabu metalik dengan jalur cahaya lampu biru gelap di sisi badannya. Baru nampak futuristik. Tapi kata kucing itu, dia dari masa hadapan. Kelakar apa yang dia buat ini? Mana ada wujud mesin merentas masa. Paling tidak aku belum pun dapat siapkan satu lagi. Mungkinkah aku akan berjaya cipta satu di kemudian hari?

"Disebabkan awak sudah selamatkan saya, saya akan hadiahkan awak SATU daripada TIGA alat masa hadapan yang ada dalam poket saya ini. Sebenarnya poket saya ada banyak alat canggih dari masa hadapan, cuma saya baru sahaja bersihkan poket ini. Jadi banyak barang yang sudah saya keluarkan dan lupa untuk dimasukkan semula."

Kucing biru itu tunjukkan poket kecil di depan perut dia.
Alat apa yang canggih sangat boleh disimpan dalam poket kecil macam itu?
Pencukur bulu ketiak nyamuk?
Pengepit kuku lipas?
Kain lap cermin mata labah-labah?

"Ini dia alat pertama...!!"
Kucing itu keluar sesuatu dari dalam poketnya tadi. Barang itu sangat besar, dapat keluar dari poket yang kecil itu memang melanggar segala hukum fizik yang pernah diajar di semua universiti dunia.




"...PINTU SUKA HATI!!"

Kucing itu keluarkan sedaun pintu dari poketnya.
Aku hampir pitam melihat kemustahilan itu.

"Pintu ini boleh bawa awak ke mana sahaja awak mahu tidak kira jarak. Hanya sentuh tombol pintu dan fikirkan, atau sebutkan, tempat yang hendak dituju dan buka daun pintu ini dan...TADAAAAA!"

Kucing itu membuka pintu, dan kelihatan satu tempat lain di sebalik pintu tersebut. Kalau tidak silap, itu menara Eiffel di Paris, Perancis. Wow! Aku kagum tak terkata. Lagi mengkagumkan aku ialah tangan bulat kucing tersebut mampu memegang tombol pintu. Ketidaklogikan apakah ini?

"Dengan pintu ini, tidak perlu lagi naik kenderaan berjam-jam lamanya hanya untuk pergi ke satu tempat. Awak boleh pergi ke mana-mana sahaja, bila-bila masa dan tanpa kenderaan!"
Semangat kucing biru itu menerangkan. Macam juru jualan langsung pula aku tengok.

Aku angkat tangan mahu bertanya soalan.

"Wahai kucing. Saya ada soalan. Pintu besar itu keluar dari poket kecil awak. Adakah kebolehan itu datang dari poket awak? Maksudnya kalau saya ambil pintu suka-suki..."

"..suka hati. Pintu Suka Hati!" kucing itu betulkan aku.

"Ya, suka hati. Kalau saya pilih pintu suka-suki ini, jadi saya kena usung pintu besar bagak ini ke sana ke marilah, kan?"

Kucing itu memegang dagunya dan mengerutkan dahinya.
Tangan bulat pegang dagu. COMELNYAAAAA!

"Betul. Tiada pilihan selain daripada mengusung pintu ini ke sana-sini. Nasib saya baik sebab ada poket dimensi."




"Oh, kalau awak tak mahu yang ini, saya tunjukkan alat kedua."
Kucing itu mengeluarkan sesuatu yang lain dari poketnya. Sehelai kain.

"Kain tudung bawal?" tanya aku.

"Bukanlah! Ini KAIN CAHAYA MASA!!"
Aku tidak faham kenapa setiap kali dia nak sebut nama alat dia,
dia akan sebut dengan nada tinggi yang riang dan gembira.

"Kain ini mampu ubah segala barang yang dibungkusnya sama ada ke masa lampau atau ke masa depan. Biar saya buat demonstrasi."

Kucing itu mengambil keluar sehelai baju lusuh, kotor dan busuk dari timbunan sampah tempat dia berdiri dan membungkus baju lusuh itu dengan alat canggih kain bercorak jam analog itu tadi. Selepas beberapa saat, dia buka kembali bungkusan itu dan mengeluarkan baju tadi. Baju itu sudah tidak lusuh, malah nampak sangat baru dan bersih. Siap ada tag harga lagi.

"Lihat. Baju yang buruk boleh kembali menjadi baru. Kain Cahaya Masa ini membuatkan baju buruk tadi ke masa baju itu masih baru dahulu. Tapi kena hati-hati. Lagi lama dibiar berbungkus, lagi jauh dia akan bergerak merentas masa. Kalau saya tinggalkan lebih lama, mungkin baju ini akan menjadi selembar kain, atau mungkin hanya akan jadi segumpal kapas, bergantung kepada bahannnya. Kalau terbalikkan kain ini, barang yang dibungkus akan bergerak ke masa hadapan dan menjadi buruk dan kotor kembali."

Aku angkat tangan sekali lagi untuk bertanya soalan.

"Maksudnya kain tudung bawal corak jam itu memanipulasi masa barang yang dia bungkus, kan? Time manipulation. Tapi adakah barang yang dibungkus akan mengekalkan memori yang ada?"

"Memori? Apa maksud awak?" tanya kucing itu.

"Memori. Maksudnya kalau contoh saya bungkus telefon bimbit saya yang sudah lama dan uzur bertukar menjadi baru, adakah memori macam segala nombor telefon dan gambar yang disimpan di dalamnya juga akan turut hilang?"

"Hmmm..." kucing itu mengerutkan dahinya berfikir.

"Kalau kononnya saya yang berumur 50 tahun ingin kembali menjadi muda seperti 25 tahun. Saya bungkus badan saya dengan kain ini. Adakah nanti memori saya dari umur 26-50 tahun akan hilang?"
Aku cuba terangkan dengan lebih lanjut supaya kucing itu faham.

"Hmmm...Saya tak pernah cuba bungkus manusia, tapi rasanya kalau kain ini merentas masa, maknanya segala memori yang sudah tercipta akan lenyap kalau diundurkan ke masa lampau."

"Huh!!" Aku mendengus kekecewaan.




"Baiklah, kalau awak tak suka ini. Ada satu lagi."
Kucing itu menyeluk poket dimensinya mengeluarkan sesuatu.

"LAMPU PENGECIL 2.0!"
Siap ada versi 2.0 lagi. Canggih sungguh alat itu walaupun nampak macam sekadar lampu suluh biasa sahaja.

"Dulu masa versi 1.0, lampu ini ada dua jenis; Lampu Pengecil dan Lampu Pembesar. Sekarang dalam versi 2.0, kedua-dua lampu ini digabungkan menjadi satu," terang si kucing itu.

"Bila ditekan suis pengecil dan halakan cahaya lampu ini ke arah objek, objek itu akan mengecil."
Kucing itu menghalakan cahaya lampu itu ke arah baju tadi. Baju itu menjadi kecil, sama saiz dengan baju untuk patung mainan.

"Dan bila ditekan suis pembesar, cahaya itu akan membesarkan objek yang dipancarkannya."
Baju yang tadi kecil menjadi besar, sama besar macam baju saiz XXXXXXXXXXXL yang selalu ditayang di kedai pakaian bersaiz besar.

"Awak boleh aplikasikan lampu ini untuk semua objek. Contohnya kalau rasa tak ada tempat letak kereta, bolehlah dikecilkan kereta tersebut dan disimpan di dalam poket. Kalau nak pakai, gunakan pula lampu pembesar."

"Wow, menarik! Tapi tidakkah nanti kereta itu akan cepat rosak? Maksudnya kalau disimpan di dalam poket, dan tanpa sengaja poket itu bergoncang-goncang sana sini, bukankan boleh rosak kereta tadi dibuatnya?"

Kucing itu mengerutkan dahinya lagi. Rasanya dia rasa semakin menyampah sebab ada sahaja kata-katanya yang aku bangkang dan hujahkan.

"Ya. Rasanya kalau barang seperti kereta, mungkin agak tidak sesuai disimpan dalam poket. Tapi kalau ada makanan kegemaran yang sayang nak makan sebab kuantiti sikit, gunakan lampu pembesar akan buatkan makanan itu jadi besar dan boleh dimakan banyak. Seronok, kan?"

Aku angguk faham.

"Baiklah. Saya ada TIGA alat ini sahaja. Awak pilihlah mana satu yang awak mahu. Saya akan hadiahkan sebagai tanda terima kasih kerana selamatkan saya tadi," ujar kucing itu lagi.




JADI,
KALAU KALIAN ADALAH AKU,
MANA SATU YANG KALIAN PILIH?

1. PINTU SUKA HATI,
2. KAIN CAHAYA MASA, atau
3. LAMPU PENGECIL 2.0?

Tinggalkan pilihan kalian di ruangan komen.












"Baiklah, saya pilih yang ini," sambil aku mengambil alat pilihan aku.
"Sebagai tanda terima kasih saya pula, saya belanja awak makan donut inti kacang merah yang sedap ini." Aku hulurkan donut yang baru aku beli tadi.

"Tapi saya ada satu lagi soalan."

"Apa dia?" balas kucing itu.

"Begini. Kalau awak adalah kucing robot yang datang dari masa hadapan dan ada tiga alat canggih dalam poket dimensi awak, kenapa awak tak gunakan alat awak itu semasa diperangkap anjing tadi? Boleh sahaja awak keluarkan Pintu Suka-Suki awak itu dan lari ke tempat lain, atau gunakan Kain Tudung Bawal tadi untuk jadikan anjing yang besar dan ganas itu kembali menjadi anak anjing yang lemah, ataupun guna Lampu Suluh Ajaib untuk kecilkan saiz anjing itu supaya tidak mampu melawan saiz awak?"

Kucing itu buat muka tidak puas hati dengan aku.

"Walaupun awak pakai cermin mata dan berbaju kuning, tapi awak tak sama macam lelaki bercermin mata dan berbaju kuning yang pernah saya kenal. Awak lebih menjengkelkan."

Kucing itu pun berjalan laju, hilang lesap dari pandangan mata.



Sekian. Terima kasih kerana membaca sampai habis walaupun panjang lebar.





.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Namaku cEro.... Kacak, tinggi, putih gebu, badan tegap, macho.. Kalau korang nampak orang yang memenuhi kriteria di atas, dia BUKAN AKU..
PENERBITAN:


Protected by Copyscape Online Plagiarism Check
Creative Commons License