Dear cErolian,

......

TERIMA KASIH!

Terima kasih kerana terus menyokong!

=======================

Jan 15, 2020

Aku Adalah Pemain Solo.


Salam.




Anak muda zaman sekarang dibezakan ke dalam dua kelompok jenis; satu yang suka bermain permainan video/aplikasi di telefon dan berkurung, satu lagi jenis yang suka bermain di luar rumah. Mungkin dua kelompok ni juga dilabel orang ramai sebagai introvert/ekstrovert, atau sosial/anti-sosial, tapi secara peribadi aku rasa kedua-dua klasifikasi ini tidak menepati kelompok yang aku nak perkatakan ini.

Ada ibu bapa risau anaknya terlalu kerap bermain permainan dari telefon bimbit sampaikan tidak keluar bersosial di luar. Kemudian, datang satu permainan aplikasi yang memadam jurang antara dua kelompok ini.

Pokémon GO.



Pokémon GO adalah permainan aplikasi yang mula dikeluarkan pada tahun 2016 dan pernah menjadi fenomena dunia. Ia merupakan satu permainan aplikasi di telefon bimbit, dan dalam masa sama, bersifat geo-lokasi yang memerlukan pemain untuk berada di luar dan bergerak untuk terus bermain. Pokémon GO adalah jambatan penghubung antara dua dunia; permainan telefon bimbit dan bersosial di luar.

Pada awal kemunculan Pokémon GO, ia menjadi satu fenomena besar di mana semua orang bermain permainan ini. Selebriti, anak kecil, pakcik-makcik, semuanya dilihat mahu mencuba fenomena ini. Malah terdapat siaran khas TV yang membincangkan impak Pokémon GO kepada masyarakat, sesuatu yang tidak pernah dilakukan stesen TV untuk mana-mana permainan aplikasi mobil yang pernah wujud.

Tapi lama kelamaan Pokémon GO dilihat semakin suram. Bagi majoriti manusia, Pokémon GO dilihat semakin mati kerana 'fenomena'nya sudah tidak terlihat. Tiada lagi orang yang main Pokémon GO. Untuk orang biasa, Pokémon GO bagai sudah mati dan muncullah ungkapan 'ada lagi ke yang main Pokémon GO?'.

Tapi apa yang mereka tidak tahu adalah yang hilang dan berhenti bermain Pokémon GO adalah mereka yang sertai 'bandwagon' ketika hype Pokémon GO masih panas. Para peminat sebenar Pokémon masih bermain Pokémon GO.

Malah jika dibandingkan permainan ini semasa pada mula kemunculannya 2016 dengan yang kini 2020, jauh beza cara permainannya dan Pokémon GO ini masih berkembang dan tiada tanda-tanda akan mati.

Pokémon GO masih ada dan kuat walaupun tidak sepopular di saat awal kemunculannya. Yang masih main adalah peminat dan yang betul setia meminati.



Jika kalian baca blog aku, kalian tahu betapa sukanya aku bermain Pokémon GO ini dan pernah satu masa aku anggap Pokémon GO adalah penyelamat kepada masalah 'susah mahu bersosial' yang dialami aku.

Paling tidak pada masa itu, aku anggap ia benar.

Ya.
Pada saat awal-awal aku bermain Pokémon GO dahulu, aku rasa Pokémon GO ini 'memaksa' aku (dalam segi yang baik) untuk bersosial dengan orang luar. Aku lakukan raid dengan pemain Pokémon GO yang aku tak kenal. Aku mula berbual dan berkenalan dengan pemain di kawasan sekeliling. Kami sama-sama bertukar maklumat jika ada Pokémon yang jarang ditemui muncul.

Ada satu masa, jelas tersurat dalam post entri aku mengenai Pokémon GO tentang bagaimana permainan ini mengubah cara hidup sosial aku.

Tapi sudah lebih tiga tahun bermain Pokémon GO, aku mula nampak elemen yang paling aku tidak gemari dalam permainan ini.

Elemen manusia.



Sebenarnya, pada mula kemunculannya, semua pemain Pokémon GO mahu menjadi yang terbaik bersama-sama. Kebanyakan feature di dalam permainan ini memerlukan kerjasama pemain (seperti raid dan battle) sebab memang itulah misi asal Pokémon GO, mengikat pemain secara sosial.

Namun lama kelamaan para pemain mula tunjukkan perangai sebenar.

Mereka yang berada di level tinggi mula membuli mereka yang di level rendah. PokéGym hanya dikawal oleh sekelompok pemain. Tiada tolak ansur kepada mereka yang datang dari luar kelompok mereka. Majoriti pemain kini miliki lebih dari satu ID pemain kerana pada mereka, mudah untuk jatuhkan Gym atau Raid jika miliki ID yang banyak.

Aku sendiri miliki 3 group Whatsapp untuk Pokémon GO. Ketiga-tiga group itu adalah dari sekitaran kawasan tempat tinggal aku, kawasan yang sama. Bayangkan satu kawasan, tapi ada tiga group Whatsapp. Itu pun yang aku ada. Yang aku tak ada aku tak pasti berapa. Dari situ sudah kelihatan betapa berkelompoknya pemain Pokémon GO.

Dan aku tahu ini berlaku bukan hanya di kawasan aku, tapi juga di kawasan lain di seluruh dunia.

Pemain mula tamak. Raid yang sepatutnya dilakukan bersama-sama pemain lain, kini mampu dilakukan sendirian kerana masing-masing ada lebih dari satu ID pemain. Malah ada yang ada sehingga 6 ID pemain kerana senang apabila jatuhkan Gym, boleh masukkan keenam-enam ID itu ke dalam Gym itu tanpa pedulikan pemain lain. Monopoli berlaku.

PokéGym yang berada berhampiran kawasan kediaman adalah milik peribadi. Siapa orang luar berani jatuhkan tidak akan dapat bertahan lama, hanya beberapa minit sahaja Gym tersebut akan kembali ke 'pemilik'nya.

PokéGym yang berada di kawasan umum pula akan dijatuhkan sekiranya Gym tersebut tidak penuh enam, tidak kira sama ada Gym tersebut baru diambil alih atau tidak. Aku sendiri, dengan hanya satu ID, jatuhkan Gym dan kemudian ditendang balik keluar hanya kerana tiada orang lain sempat masuk ke dalam Gym yang aku jatuhkan tadi.

Di dalam group Whatsapp pula, pemain akan perlekehkan pemain lain yang tiada di dalam group. Nama ID pemain akan dijadikan bahan gelak. Jika tidak mahu perangai mereka tersebar luas, mereka akan berjenaka di dalam bahasa mereka, bukan BM.

Semasa raid di PokéGym, mereka yang datang dari satu kelompok hanya akan masuk ke dalam raid melalui laluan private group. Maka pemain satu ID seperti aku tidak dapat masuk ke raid tersebut disebabkan private group perlukan akses password. Adalah mustahil untuk satu ID menjatuhkan raid seperti raid tier 4 dan tier 5. Maka mereputlah aku di situ tiada orang mahu main bersama disebabkan mereka hanya bermain sesama mereka sahaja.



Pokémon GO sepatutnya mengikat manusia secara sosial melalui permainan aplikasi. Tapi dengan kehadiran 'manusia' di dalam elemen, permainan yang sepatutnya menjadi pengikat, kini menjadi penyebab kepada pengasingan individu. Yang tamak terus berleluasa. Yang normal akan tersisih, jauh dan semakin jauh.

Aku suka Pokémon GO, dan aku akan terus bermain.

Namun aku sudah buat keputusan sejak daripada dahulu lagi bahawa aku akan jauhkan diri sebaik mungkin daripada 'elemen manusia' ini selagi mampu, walaupun itu bermakna aku akan terlepas sebahagian besar daripada isi permainan itu sendiri seperti raid dan battle.

Di dalam permainan sosial Pokémon GO, aku adalah pemain solo.


Sekian.



  




.


3 comments:

  1. Terima kasih bagi hadiah dalam pokemon go

    ReplyDelete
  2. I haven't been here for quite a while. wow

    ReplyDelete
  3. Numpang promo ya gan
    kami dari agen judi terpercaya, 100% tanpa robot, dengan bonus rollingan 0.3% dan refferal 10% segera di coba keberuntungan agan bersama dengan kami
    ditunggu ya di dewapk^^^ ;) ;) :*

    ReplyDelete

"It's not what you've got, it's what you do with it." - cEro, 2026

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Namaku cEro.... Kacak, tinggi, putih gebu, badan tegap, macho.. Kalau korang nampak orang yang memenuhi kriteria di atas, dia BUKAN AKU..
PENERBITAN:


Protected by Copyscape Online Plagiarism Check
Creative Commons License