Dear cErolian,

......

TERIMA KASIH!

Terima kasih kerana terus menyokong!

=======================

Aug 23, 2017

Mencari Bahagia.


Salam.

Nama aku cEro.
Pada hari aku malas, atau sibuk, atau sekadar nak berubah angin,
aku tak share komik di blog ini.
Aku akan taip panjang lebar dan letak image/gambar yang ada dalam galeri sebagai halwa mata.

Hari ini adalah hari itu.



Tapi itu tidak bermakna entri ini (dan entri hari-hari malas lain) tidak bermutu.

Mari aku bawa kalian semua ke hari ahad lepas dan bersama selami apa yang berlaku:



Hari ini hari ahad.
Dua hari lepas hari jumaat, aku mula demam kuat entah berjangkit dari mana.
Semalam sabtu, aku masih lagi terlantar di atas katil, demam, sambil mendengar organ dalaman aku berkocak.
Hari ini, ahad, aku sedang duduk di Taman KLCC, Kuala Lumpur
berpuluh kilometer daripada tempat aku terlantar semalam.

Lihatlah betapa lajunya perkembangan badan aku menyembuh.

Satu daripada nikmat yang Yang Maha Berkuasa berikan pada aku ialah nikmat cepat sembuh.
Walaupun semakin tua semakin terasa hilang nikmat tersebut
tapi nikmatnya masih ada, jadi alhamdulillah.

Jadi buat apa aku di Taman KLCC? Itu rahsia.
Yang tidak rahsia ialah sekarang jam sudah menunjukkan pukul 5 dan ikut jadual, pada jam 5 hingga 6 petang akan ada persembahan pancuran (pancutan) air di kolam Taman KLCC ini.

Cuba teka siapa yang duduk di tangga paling hadapan depan kolam Taman KLCC?
*aku angkat tangan*

Niat pertama aku adalah untuk swafoto berlatarbelakangkan pertunjukkan air pancut dan muat naik ke akaun sosial. Namun baru sahaja aku mula pegang telefon bimbit, sudah berpuluh orang lain lagi menghalang pandangan aku untuk berswafoto.

Aku mendengus perlahan, merungut kenapa perlu dihalang pandangan aku.
Kalau aku mampu lihat muka aku mencuka ketika itu, sudah tentu aku terus yakin alasan kenapa aku masih membujang.

Tapi kemudian 'kehidupan' ketuk kepala aku dengan kuat.

Untuk apa aku berswafoto?
Untuk siapa aku gigih nak berkongsi di laman-laman sosial?
Sesuatu yang indah (persembahan pancutan air) sedang berlaku di depan mata aku dan aku sekarang tengah merungut dan mendengus mengendahkan keindahan itu.

Aku kemudian turunkan telefon bimbit aku dan simpan ke dalam beg.

Aku pandang kiri dan kanan, depan dan belakang.
Ramai sungguh orang berswafoto.
Mereka tersenyum ketika diacu kamera, tapi di saat kamera diturunkan, muka mereka hilang senyuman.

Ini membuatkan aku terkenang tengahari tadi.
Semasa makan tengahari, aku berjalan di arked tempat permainan kanak-kanak.
Aku terpandang sebuah keluarga muda; seorang suami, seorang isteri dan seorang anak, bayi.
Si bayi diletakkan di atas kuda permainan.
Si isteri sedang mengacu kamera telefon bimbit.
Si suami berada menyorok di sebalik kuda tadi, keluar dari bingkai kamera namun memegang kuat kaki si bayi tadi, menyokongnya supaya tidak jatuh.

Si bayi kelihatan tidak stabil, maka menjadi tugas si suami untuk menyokong bayi tadi dengan lebih kukuh. Si isteri pula asyik memberi arahan kepada si suami supaya keluar daripada bingkai kamera, agar gambar yang ditangkap nanti kelihatan seperti bayi itu naik kuda mainan tanpa sokongan. Si bayi terpinga-pinga melihat keletah ibunya memberi arahan.

Ironinya,
tiada siapa antara mereka bertiga sedang tersenyum.
Tiada siapa pun yang kelihatan sedang bergembira menikmati saat 'bonding' keluarga mereka.
Jika situasi itu sempurna diambil dengan kamera menjadi satu gambar,
dan kemudian dikongsi di laman sosial,
aku juga tidak rasa ia adalah satu kebahagiaan.
Gambar yang dikongsi mungkin dapat mendatangkan senyuman kepada beberapa yang melihat, mendapat beberapa 'like' dan beberapa 'comment', namun adakah itu kebahagiaan?

Belakangan ini masyarakat kita sering dinilai melalui media sosial.
Bahagia adalah apabila kita berkongsi gambar senyum satu keluarga.
Popular adalah apabila akaun kita diikuti ribuan orang asing.
Glamor adalah apabila ramai berduyun-duyun komen gambar kita, status kita.
Penghargaan adalah dalam bentuk bilangan 'like' dan 'fav' di laman sosial.

Aku juga salah seorang daripada kelompok itu.
Aku pada mulanya kongsi hasil lukisan di laman sosial sebagai wadah untuk berkongsi bakat, pandangan dan kenangan.
Namun lama kelamaan aku mencari penghargaan daripada keseronokan media sosial itu.
Sesuatu yang dikongsi mendapat ribuan 'like', aku menjadi gembira.
Bila yang seterusnya tidak mencapai capaian 'like' seperti sebelumnya, aku menjadi sedih, marah dan terasa tidak dihargai.

Sedar tidak sedar, aku jadikan penilaian di media sosial sebagai penilaian kebahagiaan.
Banyak 'like', banyak 'fav', maka aku bahagia.
Kurang 'like', kurang 'fav', maka kesedihan yang mendatang.

Itu aku.
Dan aku rasa orang lain juga sebegitu.

Sebab itu ketika mulanya persembahan air pancut di Taman KLCC,
berpusu-pusu orang mahu berswafoto berlatarbelakangkan persembahan itu.
Namun persembahan itu berlangsung satu jam.
Pada minit ke-15, orang mula reda dan makin kurang yang berswafoto.
Pada minit ke-30, tiada lagi orang berswafoto.
Orang ramai hanya lalu lalang tidak pedulikan air pancut itu.

Aku yang masih duduk di tangga paling hadapan ini buat keputusan untuk TIDAK BERSWAFOTO, sebaliknya dalam baki masa yang ada, menikmati segala keindahan yang ada.

Air pancut yang tersusun dengan corak dan bentuk, deruan air jatuh ke bawah seperti satu mainan akustik indah yang tidak ada alat muziknya. Berlatarbelakangkan pokok menghijau, berbumbungkan langit biru bersulam awam putih kelabu gebu, aku rasa, keputusan aku untuk meletakkan telefon bimbit ke tepi dan menikmati keindahan ini adalah satu keputusan yang amat bernas pernah aku buat pada kebelakangan ini.

Alam ini sungguh indah, lebih indah jika diperhatikan dengan mata sendiri berbanding lensa kamera yang kaku.

Namun,
ini bukan bermakna aku akan berhenti semua kegiatan di media sosial.
Aku masih lagi akan kongsi komik di Instagram dan Facebook dan berharap akan dapat banyak 'like' dan 'comment'.
Aku juga masih lagi akan tweet di Twitter, menyampaikan perasaan aku.
Namun mungkin pada pandangan aku sekarang, aku akan buat itu jika dan hanya jika aku adakan mendapat kebahagiaan daripadanya.

Aku buat semua itu bukan kerana tuntutan sosial,
aku buat semua itu kerana aku mahu bahagia.
Kerana bagaimana orang itu bahagia terpulang sepenuhnya kepada individu itu.
Mungkin ada yang bahagia memaksa anak naik kuda mainan untuk dijadikan tatapan rakan di media sosial.
Mungkin ada yang bahagia berswafoto di depan pancutan air walaupun selepas itu tidak diendahkan.
Mungkin juga ada yang bahagia menjadi seseorang yang dirahsiakan identiti di seraya jaringan internet.

Dan seperti entri-entri aku sebelum ini,
entri ini juga pada dasarnya tiada poin,
namun bagi orang yang berfikir, banyak isinya.
Begitulah aku menyebar bahagia di blog ini.

Selamat tinggal.



.


14 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. kadang aku pun terasa aku terkena arus begini...sedih jugak sebab aku boleh jadi lalang...tapi, lagi bahagia, even dalam or luar kamera kita masih bersuka ria. dan tak semua orang boleh rasa macam tu. jajahan paling bahaya diantara penjajah yang pernah menjajah.
    perang era moden: penjajahan minda dan personaliti...

    sedih nya...

    ReplyDelete
    Replies
    1. >sofie adie

      Aku rasa semua orang tak terlepas dari arus ini.
      Tapi bila rasa macam dah jauh sangat dah hanyut dalam arus, tak salah kita saling ingat-mengingati.

      Aku ada (bekas) kawan yang dah hanyut dalam arus populariti media sosial. Bila kita nak tarik dia balik, dia label kita sebagai dengki. Sedih ooo...

      Delete
  3. Saya tak minat selfie-selfie nih. Sebab memang sedar diri tak cantik hehe

    ReplyDelete
    Replies
    1. >Erni Hasmiza

      Jangan macam tu. Cantik itu subjektif ikut mata yang melihat. Mungkin kita tak secantik orang cantik di luar sana, tapi kena ingat, orang luar sana pun cantik mereka adalah buatan. Cuba suruh dia selfie masa baru lepas bangun tidur atau semasa memerut, hilang dah cantiknya :)

      Delete
  4. Speechless aku baca entry ni. Kau sampaikan apa yang ada dalam fikiran aku dengan cara yang lebih mendalam. Kebanyakan dari kita memang hidup atas 'like' di media sosial. Syukurlah kalau sedar itu hanya berpura-pura dan sementara. cukuplah kita je tahu bahagia kita.

    semoga kau sentiasa berbahagia C. :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. >NAD

      Untuk zaman sekarang, aku rasa susah generasi muda nak lari dari kegilaan like dan fav di media sosial ni. Tapi itulah, pada aku, jangan sampai kita cipta bahagia yang artifisial dan tinggalkan bahagia yang sebenar.

      You too, Nad. Semoga kau sentiasa bahagia di mana sahaja kau berada dan dengan siapa pun kau bersama. Amin. :)

      Delete
  5. paparan di laman sosial, lagi-lagi dalam bentuk visual banyak yang hanya lakonan.ramai terlepas peluang 'menikmati' sebab sibuk ambil gambar dan video.sebab tu lah aku malas ada akaun instagram.takut jangkit perkara sama

    ReplyDelete
    Replies
    1. >SalbiahM

      Kan. Konsepnya tak salah nak bermedia sosial, tapi kenalah berpada-pada. Biar kita yang kawal media tu, bukan media yang kawal kita. Biar kita yang bahagia dan media hanya sampingan, bukannya dalam media kita bahagia dan hidup sebenar adalah sampingan. Kan?

      Delete
  6. aku ada akaun media sosial tp hanya sekadar utk tak lost contact dgn kwn2. aku akan like & love segala gmbr mahupun status yg diorang update.

    tapi aku sendiri akan elak untuk terlalu over used media sosial. aku tak berapa update sgt media sosial aku kecuali blog sbb pada aku blogging ni lain mcm skit feel dia. walaupon kat blog takde pon button like tp kalo ada kwn2 blog yg drop komen tu perasaan dia entah mcm nak terbang.

    ReplyDelete
    Replies
    1. >anamizu

      Baguslah Ana. Biar bersederhana. Tak perlu obses dan tertekan kerana media sosial. Fungsi media sosial memang untuk menghubungkan, bukannya membinasakan.

      Blog memang seronok. Walaupun tak dinafikan blog makin dilupakan, tapi keseronokkan berblog memang lain daripada media sosial. :)

      Delete

"It's not what you've got, it's what you do with it." - cEro, 2026

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Namaku cEro.... Kacak, tinggi, putih gebu, badan tegap, macho.. Kalau korang nampak orang yang memenuhi kriteria di atas, dia BUKAN AKU..
PENERBITAN:


Protected by Copyscape Online Plagiarism Check
Creative Commons License