Dear cErolian,

......

TERIMA KASIH!

Terima kasih kerana terus menyokong!

=======================

Aug 30, 2017

Kain yang Dicat Warna Merah, Kuning, Putih dan Biru.



Salam.

Entri ini aku jadualkan pada 30 Ogos 2017,
maknanya sehari sebelum negara aku yang tercinta menyambut kemerdekaan ke-60.

Namun,
gambar di bawah sudah lama aku simpan,
semata-mata menanti hari rabu yang paling hampir dengan tarikh sambutan merdeka.

Ini gambarnya.


Mungkin sekali pandang itu hanya satu gambar biasa.
Aku ambil sendiri gambar ini dari atas sebuah jambatan di satu taman tasik yang berlokasi di sebuah bandaraya terkemuka dengan bulatan-bulatannya.
Kalau kalian perhati dengan teliti,
kalian tahu apa subjek utama gambar itu, kan?

YA. Bendera.
Lebih tepat lagi Jalur Gemilang kebanggaan kita.
Jalur Gemilang itu sedang terendam di dalam air tasik bersama dedaunan yang gugur.

Agak sedih melihat situasi begini.
Sewaktu ada, kita kibar dengan megahnya.
Habis peranan, menjadi objek bertaraf sampah.

Gambar ini diambil BUKAN pada bulan kemerdekaan.
Gambar ini diambil pada Mei 2017.
Aku tak pasti bagaimana Jalur Gemilang itu boleh berakhir di dalam air di bawah jambatan, tapi situasi sebegini menjadi lebih kerap bila masuk bulan kemerdekaan kita.

Permandangan seperti bendera yang dilanggar lenyek di atas jalanraya mesti pernah disaksikan kalian, kan?
Mungkin terjatuh dari kereta yang 'kononnya' penuh semangat merdeka dengan menyahut seruan kerajaan supaya mengibarkan Jalur Gemilang.
Persoalannya, macam mana boleh jatuh?

Aku selaku penunggang motosikal selalu sangat nampak bendera kita di tengah jalanraya.
Mana yang mampu aku berhenti dan kutip, aku buat.
Tapi kalau berada di lorong tengah lebuhraya yang laju berdesup,
aku memang tak mampu buat apa-apa.

Pendapat aku secara peribadi,
walaupun semangat menyibarkan Jalur Gemilang memang nampak semakin menular di kalangan rakyat kita belakangan tahun ini, tapi rasanya kita masih kurang rasa cintakan bendera kita.

Sebagai contoh,
aku pernah bertanya kepada seorang kenalan yang keretanya hanya tinggal tiang bendera di atas bumbung.
Tanya aku,
"Mana pergi bendera tu?"
Dia jawab,
"Jatuh entah dekat mana aku pun tak tahu. Tak apa. Bendera itu hanya 5 ringgit. Nanti aku beli lain."

Soalnya di sini bukan pada harga.
Soalnya, macam mana boleh tercabut?
Memanglah boleh kata tak sengaja,
tapi bendera tiang putih yang lekat pada bumbung kereta tu,
walaupun tapaknya ada pelekat dua hala,
tapi tiangnya hanya sekadar diselit di dalam lubang.
Pada kelajuan perlahan seperti 30 km/j pun sudah boleh buatkan bendera itu tertanggal.
Common sense kot.
Secure laa tiang dia dengan benda lain.
Gam ke, ikat ke, ataupun panaskan hujung tiang supaya boleh tercantum dengan tapak plastiknya.

Kekadang aku fikir,
bendera itu dicipta senang tercabut supaya bila tercabut, kita akan pergi beli baru.
Maka untunglah pembekal bendera di kedai-kedai luar sana.

Tidak kisahlah bendera itu hanya RM5,
atau bendera plastik yang batangnya berisi gula-gula berharga RM2,
ataupun sekadar bendera lukis dengan tangan pada kertas A4,
tapi paling tidak hormatlah bendera kita.
Tunjukkan rasa hormat tersebut dengan menjaganya betul-betul.
Kalau nak dibawa usung bersama kereta, pastikan tidak senang tercabut.
Kalau nak dibawa dengan tangan, jangan letak di punggung.

Bendera bersepah-sepah di tepi jalanraya disebabkan kita hanya anggap itu sebagai kain yang dicat warna merah kuning putih dan biru.
Bila ditanya, kita tahu itu Jalur Gemilang.
Bila disuruh hormat, kita kata hormat.
Tapi kita tidak menjaganya dengan betul.

Aku tidaklah kata aku bersemangat patriotik.
Aku sendiri gagal sejarah dan tidak pasang bendera di kenderaan.
Tapi pada aku,
kalau rasa tak mampu nak jaga dengan elok,
rasa-rasa akan melayang jatuh tercabut di tengah jalan,
rasa-rasa bakal berakhir di longkang seterusnya ke tasik,
baik dari awal tak payah kibarkan.

Kadang-kadang aku jatuh sedih bila tengok bendera di tiang-tiang bangunan kerajaan dan sekolah-sekolah menjadi lusuh, koyak dan tidak terjaga.
Pada aku, baik jangan kibarkan daripada kibarkan bendera sebegitu keadaannya.
Buat malu sahaja bila ada pelancong asing tengok bendera lusuh, kotor dan koyak.
Pasti mereka anggap kita pandang enteng dengan bendera sendiri yang sepatutnya dihormati.

Berbalik kepada cerita bendera terendam di air tasik awal tadi,
aku berusaha cari kayu yang cukup panjang untuk aku capai kutip bendera itu.
Malangnya tiada kayu yang cukup panjang kerana jambatan itu tinggi.
Namun bila kayu reput yang aku pegang patah sebahagiannya dan jatuh menimpa bendera itu,
bendera itu tenggelam ke dalam tasik dan tidak timbul kembali.

Tenggelamnya sama macam Jack Dawson tenggelam ke dalam Lautan Atlantik dalam cerita Titanic.
Walaupun sedih melihatnya,
tapi dalam hati aku sedikit gembira kerana paling tidak Jalur Gemilang itu tidak lagi menjadi tatapan umum tentang kebiadaban rakyat kita yang tak tahu menghargai bendera sendiri.

Near, far, wherever you are.
I believe that the heart does go on.

Selamat menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-60.
Negaraku. Sehati Sejiwa.



Aug 23, 2017

Mencari Bahagia.


Salam.

Nama aku cEro.
Pada hari aku malas, atau sibuk, atau sekadar nak berubah angin,
aku tak share komik di blog ini.
Aku akan taip panjang lebar dan letak image/gambar yang ada dalam galeri sebagai halwa mata.

Hari ini adalah hari itu.



Tapi itu tidak bermakna entri ini (dan entri hari-hari malas lain) tidak bermutu.

Mari aku bawa kalian semua ke hari ahad lepas dan bersama selami apa yang berlaku:



Hari ini hari ahad.
Dua hari lepas hari jumaat, aku mula demam kuat entah berjangkit dari mana.
Semalam sabtu, aku masih lagi terlantar di atas katil, demam, sambil mendengar organ dalaman aku berkocak.
Hari ini, ahad, aku sedang duduk di Taman KLCC, Kuala Lumpur
berpuluh kilometer daripada tempat aku terlantar semalam.

Lihatlah betapa lajunya perkembangan badan aku menyembuh.

Satu daripada nikmat yang Yang Maha Berkuasa berikan pada aku ialah nikmat cepat sembuh.
Walaupun semakin tua semakin terasa hilang nikmat tersebut
tapi nikmatnya masih ada, jadi alhamdulillah.

Jadi buat apa aku di Taman KLCC? Itu rahsia.
Yang tidak rahsia ialah sekarang jam sudah menunjukkan pukul 5 dan ikut jadual, pada jam 5 hingga 6 petang akan ada persembahan pancuran (pancutan) air di kolam Taman KLCC ini.

Cuba teka siapa yang duduk di tangga paling hadapan depan kolam Taman KLCC?
*aku angkat tangan*

Niat pertama aku adalah untuk swafoto berlatarbelakangkan pertunjukkan air pancut dan muat naik ke akaun sosial. Namun baru sahaja aku mula pegang telefon bimbit, sudah berpuluh orang lain lagi menghalang pandangan aku untuk berswafoto.

Aku mendengus perlahan, merungut kenapa perlu dihalang pandangan aku.
Kalau aku mampu lihat muka aku mencuka ketika itu, sudah tentu aku terus yakin alasan kenapa aku masih membujang.

Tapi kemudian 'kehidupan' ketuk kepala aku dengan kuat.

Untuk apa aku berswafoto?
Untuk siapa aku gigih nak berkongsi di laman-laman sosial?
Sesuatu yang indah (persembahan pancutan air) sedang berlaku di depan mata aku dan aku sekarang tengah merungut dan mendengus mengendahkan keindahan itu.

Aku kemudian turunkan telefon bimbit aku dan simpan ke dalam beg.

Aku pandang kiri dan kanan, depan dan belakang.
Ramai sungguh orang berswafoto.
Mereka tersenyum ketika diacu kamera, tapi di saat kamera diturunkan, muka mereka hilang senyuman.

Ini membuatkan aku terkenang tengahari tadi.
Semasa makan tengahari, aku berjalan di arked tempat permainan kanak-kanak.
Aku terpandang sebuah keluarga muda; seorang suami, seorang isteri dan seorang anak, bayi.
Si bayi diletakkan di atas kuda permainan.
Si isteri sedang mengacu kamera telefon bimbit.
Si suami berada menyorok di sebalik kuda tadi, keluar dari bingkai kamera namun memegang kuat kaki si bayi tadi, menyokongnya supaya tidak jatuh.

Si bayi kelihatan tidak stabil, maka menjadi tugas si suami untuk menyokong bayi tadi dengan lebih kukuh. Si isteri pula asyik memberi arahan kepada si suami supaya keluar daripada bingkai kamera, agar gambar yang ditangkap nanti kelihatan seperti bayi itu naik kuda mainan tanpa sokongan. Si bayi terpinga-pinga melihat keletah ibunya memberi arahan.

Ironinya,
tiada siapa antara mereka bertiga sedang tersenyum.
Tiada siapa pun yang kelihatan sedang bergembira menikmati saat 'bonding' keluarga mereka.
Jika situasi itu sempurna diambil dengan kamera menjadi satu gambar,
dan kemudian dikongsi di laman sosial,
aku juga tidak rasa ia adalah satu kebahagiaan.
Gambar yang dikongsi mungkin dapat mendatangkan senyuman kepada beberapa yang melihat, mendapat beberapa 'like' dan beberapa 'comment', namun adakah itu kebahagiaan?

Belakangan ini masyarakat kita sering dinilai melalui media sosial.
Bahagia adalah apabila kita berkongsi gambar senyum satu keluarga.
Popular adalah apabila akaun kita diikuti ribuan orang asing.
Glamor adalah apabila ramai berduyun-duyun komen gambar kita, status kita.
Penghargaan adalah dalam bentuk bilangan 'like' dan 'fav' di laman sosial.

Aku juga salah seorang daripada kelompok itu.
Aku pada mulanya kongsi hasil lukisan di laman sosial sebagai wadah untuk berkongsi bakat, pandangan dan kenangan.
Namun lama kelamaan aku mencari penghargaan daripada keseronokan media sosial itu.
Sesuatu yang dikongsi mendapat ribuan 'like', aku menjadi gembira.
Bila yang seterusnya tidak mencapai capaian 'like' seperti sebelumnya, aku menjadi sedih, marah dan terasa tidak dihargai.

Sedar tidak sedar, aku jadikan penilaian di media sosial sebagai penilaian kebahagiaan.
Banyak 'like', banyak 'fav', maka aku bahagia.
Kurang 'like', kurang 'fav', maka kesedihan yang mendatang.

Itu aku.
Dan aku rasa orang lain juga sebegitu.

Sebab itu ketika mulanya persembahan air pancut di Taman KLCC,
berpusu-pusu orang mahu berswafoto berlatarbelakangkan persembahan itu.
Namun persembahan itu berlangsung satu jam.
Pada minit ke-15, orang mula reda dan makin kurang yang berswafoto.
Pada minit ke-30, tiada lagi orang berswafoto.
Orang ramai hanya lalu lalang tidak pedulikan air pancut itu.

Aku yang masih duduk di tangga paling hadapan ini buat keputusan untuk TIDAK BERSWAFOTO, sebaliknya dalam baki masa yang ada, menikmati segala keindahan yang ada.

Air pancut yang tersusun dengan corak dan bentuk, deruan air jatuh ke bawah seperti satu mainan akustik indah yang tidak ada alat muziknya. Berlatarbelakangkan pokok menghijau, berbumbungkan langit biru bersulam awam putih kelabu gebu, aku rasa, keputusan aku untuk meletakkan telefon bimbit ke tepi dan menikmati keindahan ini adalah satu keputusan yang amat bernas pernah aku buat pada kebelakangan ini.

Alam ini sungguh indah, lebih indah jika diperhatikan dengan mata sendiri berbanding lensa kamera yang kaku.

Namun,
ini bukan bermakna aku akan berhenti semua kegiatan di media sosial.
Aku masih lagi akan kongsi komik di Instagram dan Facebook dan berharap akan dapat banyak 'like' dan 'comment'.
Aku juga masih lagi akan tweet di Twitter, menyampaikan perasaan aku.
Namun mungkin pada pandangan aku sekarang, aku akan buat itu jika dan hanya jika aku adakan mendapat kebahagiaan daripadanya.

Aku buat semua itu bukan kerana tuntutan sosial,
aku buat semua itu kerana aku mahu bahagia.
Kerana bagaimana orang itu bahagia terpulang sepenuhnya kepada individu itu.
Mungkin ada yang bahagia memaksa anak naik kuda mainan untuk dijadikan tatapan rakan di media sosial.
Mungkin ada yang bahagia berswafoto di depan pancutan air walaupun selepas itu tidak diendahkan.
Mungkin juga ada yang bahagia menjadi seseorang yang dirahsiakan identiti di seraya jaringan internet.

Dan seperti entri-entri aku sebelum ini,
entri ini juga pada dasarnya tiada poin,
namun bagi orang yang berfikir, banyak isinya.
Begitulah aku menyebar bahagia di blog ini.

Selamat tinggal.



.

Aug 16, 2017

Teruja dengan Perkara Remeh.


Salam.




Aku adalah sejenis orang yang sangat cepat teruja dengan perkara kecil/remeh/trivia.
Aku rasa macam pernah bagitahu dalam blog ini tapi aku lupa dalam entri yang mana satu.

Baru-baru ini aku main game Pokemon GO dan dapat tangkap satu Pokemon lagenda yang diberi nama Zapdos.
Aku punya excited, teruja mengalahkan budak kecil dapat mainan.
Aku mesej semua kawan aku yang main Pokemon GO termasuklah adik aku.
Salah seorang yang menjadi mangsa keterujaan aku adalah seorang kawan ni.

Dari respon dia aku rasa dia dah tahu aku cerita tentang Pokemon,
tapi dia tetap teka hal lain.
Bila aku beritahu aku teruja sebab dapat tangkap Zapdos,
aku tidak pasti reaksi dia yang sebenarnya
tapi kalau aku di tempat dia, aku mesti akan bagi reaksi macam;
"hek eleeehhhh!!!"

Perangai cepat teruja aku ni pun pernah berlaku semasa balik kampung raya tempoh hari.
Aku dapat tangkap kunang-kunang dalam tangan.
Aku punyalah teruja aku pergi tunjuk dekat setiap ahli keluarga yang ada sambil mulut berkumat-kamit tentang bagaimana awesome-nya kunang-kunang sebab dapat keluarkan cahaya di belakang badan.
Habis satu cerita semua tentang kunang-kunang daripada macam mana mereka gunakan cahaya itu untuk mencari pasangan, sehinggalah ke bagaimana cahaya itu terbentuk (bioluminescence).

Ahli keluarga aku semua buat muka bosan dengar aku buat ceramah biologi.

Ada juga satu ketika itu bagaimana aku teruja dapat tangkap cicak guna perangkap cicak, aku siap snap berpuluh gambar cicak itu dari pelbagai sudut sebagai kenangan.
Penuh galeri handphone aku dengan gambar cicak terkena perangkap.

The thing is,
aku jarang teruja untuk perkara besar.
Bila sesuatu besar berlaku kepada aku, aku lebih bersikap diam dan berfikir.

Tapi bila fikir balik,
besar kecil satu perkara adalah subjektif kepada individu.
Pada aku, dapat tangkap Zapdos adalah perkara besar, walaupun bagi sesetengah orang itu bukanlah satu perkara yang patut diraikan. Hehehe

Kalian bagaimana?
Senang teruja tak dengan perkara remeh?





.

Aug 9, 2017

Dan Dan dan Dandanan



Salam.

Bertahun sudah aku hidup,
tapi baru-baru ini aku baru dapat tahu satu bakat terpendam dalam diri aku.

Aku berbakat dalam mendandan rambut.






Oh, sebelum kalian salah sangka,
maksud aku 'dandan rambut' bukan bererti buat rambut macam pendandan rambut professional yang ada di salon tu.
Maksud aku dandan ialah buat braid.

Macam mana aku boleh tahu?
Masa aku rambut panjang (hari tu) aku selalu dandan rambut sendiri.
Duduk depan cermin dan mula dandan rambut.
Semasa tengah rambut panjanglah peluang aku nak cuba dekat rambut sendiri.
Kalau rambut pendek, maka memang tak akan jadilah jawabnya.

Hasil kerja dandanan aku tu memang kemas (rasanyalah) sebab tak ada rambut yang terkeluar.
Lebih mengagumkan adalah bila aku tanya orang lain (perempuan),
ramai yang bagitahu memang bukan senang nak dandan rambut sendiri.
Aku dapat buat dengan mudah, maka sebab itulah aku rasa mendandan rambut adalah bakat terpendam aku.

Masa kecil dulu aku selalu tolong adik-adik aku dandan rambut.
Maklumlah, aku tak ada adik lelaki.
Jadi bila duduk rumah bosan, aku heret adik-adik perempuan aku jadi mangsa eksperimen rambut.

Lagipun dari kecil lagi aku rasa aku sudah ada bakat dalam kerja seni tangan ni.
Aku suka masa subjek pendidikan seni bab anyaman.
Sampai berpuluh-puluh hasil anyaman aku buat padahal cikgu nak satu saja.

Tapi rasanya,
bakat mendandan rambut aku ni berhenti setakat rambut sendiri saja, kot.
Sebab aku nak jadi apa kalau nak kembangkan bakat aku ni lagi jauh, kan?
Takkan nak jadi hairstylist pula, padahal aku pandai mendandan je?

Mungkinlah nanti kalau ada isteri, aku boleh dandankan rambut dia.
Tapi aku macam lagi suka perempuan rambut pendek,
jadi macam mana nak praktikkan bakat dandanan aku ni?

Looking back,
dan dan je kata skil dandanan aku ni sejenis bakat.
Aku tak pernah suruh sesiapa nilai pun, entah-entah mutunya teruk.
Hahahahahahahaha.

Hmmmmmmmmmmmmmm...

Okay,
cukup setakat ini.
Di kesempatan ini aku nak mohon maaf kalau post blog aku beberapa ketika sebelum ini agak negatif.
Blog (maybe) is the only way for me to channel all my frustrations since I'm living in a big ass pretentious world.

Jadi,
kalian ada bakat terpendam yang baru kalian kenalpasti?
Apa kata cuba sesuatu yang baru, yang luar dari kebiasaan kalian.
Mana tahu ada terjumpa bakat yang sebelum ini tak tersangka adanya. Kan?

See you next week.







.

Aug 2, 2017

Kenapa Sesetengah Manusia Menganggap Menamatkan Riwayat Sendiri adalah Pilihan yang Bernas?

Salam.

Kepada yang sedang membaca,
aku harap dapat baca hasil tulisan aku ini sampai habis.
Sebab kalau kalian baca separuh sahaja, kalian boleh tersalah anggap tulisan ini berbentuk negatif.

Dalam sains, tujuan mutlak makhluk bernyawa hidup adalah untuk kelangsungan spesies. Dengan kata lain, spesies yang dapat hidup lama dengan membiak berganti generasi adalah lebih hebat daripada spesies yang pupus di tengah jalan.

Dalam agama juga mengharuskan manusia meramaikan umat. Kahwin dan memiliki zuriat adalah dituntut. Tapi, aku bukan ahli agama untuk membicarakan tentang aspek ini dengan lebih mendalam.

Jika kedua-dua sains dan agama sangat menyarankan kehidupan, kenapa ada sesetengah manusia yang menganggap menamatkan riwayat sendiri adalah satu pilihan yang bernas?




Richard Dawkins pada 1976 telah menerbitkan satu buku bertajuk 'The Selfish Gene'. Buku tersebut membicarakan tentang bagaimana makhluk hidup (termasuk manusia) sudah dimaktubkan dalam gen dan DNA untuk memilih strategi evolusi yang mengelak daripada kepupusan (bukannya 'selfish gene' yang membawa erti setiap manusia sudah memiliki sifat selfish tertulis dalam diri sendiri).

Tahu kan bagaimana bila jari kita tersentuh objek panas, tangan akan tertarik ke arah berlawanan dengan sendiri secara refleks, tidak perlukan organ otak untuk mentafsir bahaya? Itulah 'selfish gene'. Evolusi dengan sendiri memilih manusia yang refleks terhadap kebahayaan. Jika kita tiada refleks itu, maka manusia akan mudah musnah dan pupus.

Tapi kalau kita sedar objek itu panas dan masih mahu menyentuhnya, sebagai contoh kita memegang cerek yang panas untuk dialih tempat, kita mampu 'batalkan' refleks itu. Namun, akibatnya kulit jari tangan kita akan merah dan mungkin melecur.

Dengan kata lain, walaupun kita ada 'selfish gene', tapi kita juga mampu membatalkannya walaupun tahu akibat yang bakal kita hadapi.

Jadi, kenapa ada orang memilih untuk membunuh diri sendiri walaupun tahu mati itu menyakitkan? Kenapa ada yang sanggup 'batalkan' refleks elak bahaya walaupun tahu akibatnya?


-------------------------------


Naluri semulajadi manusia adalah suka untuk berada dalam kawalan sendiri. We like to be in control. Namun, sifat alami semua perkara yang berlaku dalam kehidupan ada dua; (1) ada perkara yang boleh kita kawal dan (2) ada perkara yang tidak boleh kita kawal.

Bayangkan kita sedang bersiap ke tempat kerja pada waktu pagi. Kita buka almari dan pilih baru kita. Hari ini hari rabu, jadi kita memilih untuk pakai baju merah atas sebab-sebab tertentu. Maka itu pilihan kita. Kita boleh sahaja pakai baju hijau, tapi kita tetap pilih merah sebab kita mahukannya. Kita dalam kawalan. Ini adalah contoh perkara yang boleh kita kawal.

Bayangkan pula kita ke tempat kerja setiap pagi. Kita akan lalui beberapa lampu isyarat. Ada masa kita akan lalui lampu isyarat merah, ada masa akan lalui lampu isyarat hijau. Kalau boleh, kita mahukan lampu-lampu isyarat itu sentiasa hijau supaya perjalanan kita lancar. Namun, lampu isyarat itu bukan dalam kawalan kita. Yang merah kita tak boleh hijaukan, kecuali dengan menunggu. Ini adalah contoh perkara tidak boleh kita kawal.

Kehidupan yang harmoni adalah dapat imbangkan kedua-dua aspek tadi. Perkara yang tidak boleh dikawal akan diimbang dengan perkara yang boleh dikawal. Terlampau banyak mengawal akan membebankan, begitu juga terlalu banyak perkara tidak terkawal.

Bayangkan pula seseorang ini, hilang majoriti kawalannya. Segala perkara perlu dilakukan mengikut kehendak orang lain, bukan kehendaknya. Dia mahu pakai baju merah di hari rabu tapi atas sebab-sebab lain, dia kena pakai baju warna hijau bukan kegemarannya. Ke tempat kerja, ada kemalangan di persimpangan lampu isyarat menyebabkan dia lambat sampai. Sampai sahaja di pejabat, dia dimarahi bos kerana lambat. Dimarahi pula di depan rakan sekerja lain sehingga malu dan dipandang serong. Tengahari tidak boleh keluar berehat kerana perlu selesaikan tugasan yang patut diselesaikan pagi tadi (yang lewat). Masuk petang perut lapar sebab tidak rehat di tengahari. Dipaksa pula pulang lewat tanpa gaji kerana pagi sudah sampai lambat. Balik malam penat, hendak berehat di rumah tapi apabila dibaca notifikasi group whatsapp yang bertubi-tubi, rupanya group rakan sekerja tentang bercerita perihal si dia yang datang lambat. Diperlekeh. Dicemuh. Dijadikan bahan jenaka.

Beritahu aku, siapa tidak tertekan jika berada di dalam keadaan di atas.

Beritahu aku juga, siapa dapat bertahan jika keadaan di atas berulang hampir setiap hari.

Segala-galanya dianggap tidak terkawal, tidak dalam kawalan dan tidak boleh dikawal.
Dia hilang keseimbangan aspek kawalan yang kita bincangkan di atas tadi.

Untuk mendapatkan kembali kawalan yang disangka hilang, dia buat keputusan atas tekanan. Dalam kehidupan yang tidak dalam kawalannya, dia mahu sesuatu yang dapat dikawal. Dia mahu sesuatu yang besar. Apa lagi besar dalam kehidupan selain menentukan bagaimana penamatnya, kan?

Jadi, untuk kesekian kalinya, dia buat keputusan untuk menamatkan segala-galanya, termasuk nyawanya, dan pilihan itu adalah pilihannya sendiri. Dia 'kawal' keputusan akhir dalam dirinya. Pada dia, paling tidak keputusan besar itu adalah keputusan dia sendiri, bukan sesuatu yang orang lain putuskan untuk dia.

Sebab itu, pada sesetengah manusia, menamatkan riwayat sendiri adalah satu pilihan yang 'bernas'.


-------------------------------


Dari perspektif orang yang mahu menamatkan riwayat sendiri, itu adalah penamat segala-galanya. Namun itu tidak benar. Dia tidak fikir jauh dari sudut yang lebih luas.

Yang hanya tamat adalah penderitaan dia dan nyawa dia. Namun banyak lagi yang akan berlaku selepas itu.

Contoh, bagaimana dengan keluarga dia? Akan ada orang yang bersedih dan terkesan dengan tindakannya. Akan ada orang yang rasa sedih dengan pemergiannya. Keluarga, ibubapa yang membesarkannya, pasangan, anak-anak, kawan-kawan, semua itu akan mendapat kesan daripada tindakannya tadi.

Apabila riwayat dia tamat, maka dia perlukan orang lain untuk menguruskannya. Tiada mayat yang boleh turun sendiri dari tali gantung dan masuk sendiri ke dalam kubur. Selepas kematian, dia akan susahkan orang di sekeliling, dan kebanyakan orang sekeliling ini adalah orang-orang yang rapat yang terkesan dengan tindakannya tadi.

Bagaimana dengan kerja? Terbengkalai. Bagaimana dengan tanggungjawab lain? Nafkah keluarga? Hutang piutang? Pinjaman kewangan siapa perlu langsaikan? Adakah masalah benar-benar selesai selepas dia tiada? Adakah yang tadi mencemuh, memperlekeh dia akan berhenti memperlekeh? Mungkin bukan perlekeh dia, tapi akan perlekehkan orang lain pula.

Jika kalian yang baca ini ada memikirkan menamatkan riwayat sendiri untuk lari daripada masalah, fikirkan semula. Perkara tidak tamat hanya kerana nyawa kita tamat.


-------------------------------


Beberapa tahun lalu ada satu kes seorang pelajar universiti yang menggantung diri di dalam bilik hostelnya kerana tekanan belajar. Aku ikut secara rapat kes tersebut. Aku tidak mahu menjelaskannya lebih terperinci tapi ketahuilah, walaupun sudah beberapa tahun berlalu, keluarga pelajar tersebut masih lagi bersedih dan hidup tertekan dalam cemuhan masyarakat.

Ya. Keluarga orang yang bunuh diri akan dipandang rendah masyarakat walaupun itu bukan salah mereka. Sampai sudah mereka akan dilabel memiliki ahli keluarga yang membunuh diri. Ibubapa akan dikatakan tidak pandai mendidik anak. Dilabel juga kurang didikan agama. Adik beradik akan dikenali sebagai 'keluarga yang ada ahlinya bunuh diri'.

Keperitan tidak hilang selepas hanya satu nyawa hilang. Malah akan lebih teruk daripada sebelumnya.


-------------------------------


Entri ini bukan untuk mengecam mereka yang mengalami tekanan perasaan dan mereka yang ada memikirkan untuk menamatkan riwayat sendiri. Entri ini adalah untuk memberitahu bahawa tindakan itu BUKAN SATU PILIHAN kerana kesan dan akibatnya lebih teruk daripada yang kita fikirkan.

Sekali lagi aku ulang,
MENAMATKAN RIWAYAT SENDIRI BUKAN SATU PILIHAN.

Jika ada yang membaca entri ini terfikir untuk menamatkan riwayat sendiri, nasihat aku, fikirkannya semula. Mintalah bantuan. Banyak saluran bantuan kaunseling yang ada. Kalau kalian mampu buka blog ini untuk baca entri ini, maka kalian juga mampu mencari saluran bantuan yang ada tersedia.

Walau bagaimana teruk sekalipun tekanan yang kalian hadapi, hadapi dengan sabar.
Remember, the thing about being at the bottom is the only way to go is UP.
Asalkan jangan putus asa, segala-galanya ada jalannya.


Dear friend, if you're reading this, I'm with you. Please be strong and don't give up.





.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Namaku cEro.... Kacak, tinggi, putih gebu, badan tegap, macho.. Kalau korang nampak orang yang memenuhi kriteria di atas, dia BUKAN AKU..
PENERBITAN:


Protected by Copyscape Online Plagiarism Check
Creative Commons License