Dear cErolian,

......

TERIMA KASIH!

Terima kasih kerana terus menyokong!

=======================

Vorteks #60 [Pengakhiran Benar] - Demi Masa...





“Selamat pagi, Johan. Selamat kembali.”
Satu suara kedengaran dari satu sudut bilik. Suara itu datang dari seorang lelaki pertengahan umur yang sedang duduk memerhati.
Suara itu datang dari Prof. Shah.
“Oh, rupanya saya bukan bermimpi.” Ayat pertama keluar dari mulut Johan.
“Prof, apa sudah jadi? Kita tidak berjaya ke?” tanya Johan kepada Prof. Shah.
Prof. Shah tidak memberi sebarang reaksi. Wajahnya kelihatan serius sehingga membuatkan kedut di wajahnya kelihatan jelas. Entah kenapa, pada pandangan Johan, Prof. Shah kelihatan lebih tua dari biasa.
“Lapan tahun kita tak berjumpa, langsung kau tak mahu tanya khabar aku, Johan?”
“Lapan tahun?” Johan kebingungan. Bukankah hanya semalam dia dan Prof. Shah berada di loteng bersama-sama Prof. E, Encik Ahmad dan Inspektor Bakar...
Johan tersedar akan sesuatu. Dia dengan segera memeriksa badannya. Dia tidak lagi berpakaian pesakit hospital. Dia meraba dada, belakang badan, bahu, tangan dan beberapa tempat lagi di tubuhnya. Tiada. Tiada luka tembakan.
Johan berwajah terkejut dan memandang ke arah Prof. Shah.
“Jangan risau. Sejurus selepas kau sampai malam tadi, aku terus periksa badan kau. Tiada luka. Luka tembakan kau sudah pulih,” terang Prof. Shah.
 “Jadi...” Johan menunggu ayatnya dihabiskan.
“Ya. Kau sudah kembali ke tahun 2012.”
Mereka berdua saling berbalas pandangan. Susah untuk Johan mengagak, tapi daripada reaksi wajah Prof. Shah, kelihatan dia seperti langsung tidak gembira dengan apa yang berlaku. Bukankah mereka sudah berjaya? Bukankah Johan sudah dapat pulang ke tahun 2012 bermakna semuanya seperti yang dirancang?
“Aku tahu kau lapar. Turun ke dapur, ada sedikit makanan,” Prof. Shah berdiri dan terus keluar dari bilik meninggalkan Johan sendirian. Johan jadi bingung dengan reaksi Prof. Shah.
“Apa sudah terjadi?”

Semasa melangkah turun menuju ke dapur, Johan dapat merasakan suasana rumah Prof. E berbeza jika dibandingkan dengan semasa dia, Azlan dan Fitri ‘menceroboh’ masuk tujuh hari lepas. Tiada kain putih yang menutup perabot. Dinding kelihatan kotor. Persekitaran juga kelihatan berhabuk tebal. Udara sedikit sesak sehingga dirasakannya agak sukar untuk bernafas.
Dapur yang Johan masuki sangat berbeza dengan dapur rumah Prof. E yang ada dalam ingatannya. Kelihatan Prof. Shah sedang membancuh kopi. Di atas sebuah meja buruk terdapat sebuku roti potong. Barangan lain kelihatan berterabur dan tidak tersusun.
Untuk mulakan perbualan, Johan bertanyakan satu soalan. “Prof, bukankah saya kena tembak? Tapi kenapa tak ada luka tembakan? Parut pun tak jumpa.”
Prof. Shah mengambil sedikit masa sebelum menjawab.
I am no expert in this, tapi Erman ada beritahu sesuatu, hanya kau sahaja dibenarkan merentas masa, maka bahan lain selain kau akan ditinggalkan. Sebab itu kami jumpa serpihan peluru yang tertanam dalam badan kau dulu di dalam timbunan baju selepas kau pergi lapan tahun lepas. Katanya, semasa disambar Kilat Thor, kau diuraikan dalam bentuk lebih kecil, kemungkinan dalam bentuk molekul berasingan dan dibawa pergi merentas dimensi masa melalui wormhole yang tidak boleh nampak dengan mata kasar. Bila kau sampai semalam, molekul tersebut disusun semula dan membentuk kau semula. Semasa proses susunan molekul itulah luka tembakan kau mungkin dipulihkan semula seperti dirinya yang asal.”
Johan mengangguk walaupun dia kurang faham sepenuhnya.
“Oh, ya! Mana Prof. E?”
Soalan Johan itu membuatkan Prof. Shah yang sedang mengacau kopi terhenti seketika. Soalan itu seperti mengganggu konsentrasi fikirannya. Johan mengambil sepotong roti dan memakannya sambil menunggu jawapan dari Prof. Shah. Johan dapat rasakan ada sesuatu yang tidak kena.
Selepas kelihatan lebih bertenang, Prof. Shah membawa dua cawan kopi dan duduk di kerusi sebelah Johan. Satu cawan untuk Johan, satu cawan lagi dihirup Prof. Shah. Mata Johan mengekori setiap tingkah perlakuan Prof. Shah. Dia yakin ada sesuatu yang ingin diberitahu, namun hanya menunggu ianya keluar dari mulut Prof. Shah.

“Johan, lapan tahun bukanlah satu jangka waktu yang singkat. Banyak perkara boleh berlaku.” Ayat yang keluar dari mulut Prof. Shah agak menggerunkan Johan.
“Aku tak pasti macam mana nak beritahu kau. Mungkin aku patut mula dari awal,” Prof. Shah menghirup kopi dari cawannya sekali lagi sebelum menyambung kata-katanya.
“Selepas kau pergi, kami semua hidup seperti biasa. Erman tinggalkan rumah ini dan pulang kepada keluarganya. Budak perempuan itu pula, Intan, seperti yang kau ceritakan, mula berjinak dalam dunia glamor selepas mendapat kebenaran dari bapanya, Ahmad. Aku tetap mengajar di universiti. Semuanya berjalan dengan lancar.”
Johan serius mendengar.
“Tapi segalanya bermula selepas dua tahun kemudian, lebih kurang enam tahun lepas. Penjara Induk Arahjaya diserang. Beberapa banduan dapat melarikan diri hasil bantuan orang luar. Salah seorang daripada banduan tersebut ialah Bawi.”
“BAWI?” Johan terkejut.
“Ya, Bawi. Dia selamat selepas ditembak Inspektor Bakar lapan tahun lepas. Selepas itu, dia dibicara di mahkamah dan sedang dalam proses menunggu disabitkan kesalahan. Kalau menurut rekod segala kesalahan dia sebelum ini, dia mungkin dijatuhkan hukuman gantung.”
Mungkin?” tanya Johan.
“Belum pun dia disabitkan kesalahan, dia berjaya lepas dari penjara hasil bantuan dari kawannya seorang lagi, Galah.”
“Galah...” Johan sedang membayangkan wajah Galah.
“Walaupun polis sedaya upaya menjejak mereka, tapi mereka berjaya sembunyikan diri. Sehinggalah pada suatu hari, Balai Polis Utama Arahjaya diserang sekumpulan penjenayah bersenjata yang digelar Freedom. Mereka diketuai oleh Bawi sendiri. Mereka menawan balai polis itu dan kemudian membunuh beberapa anggota polis sebagai amaran. Inspektor Bakar adalah salah seorang dari mangsa.”
Johan tersentak dari tempat duduknya.“Inna lillahi wa inna ilaihi raji’un… Inspektor Bakar..” Johan hilang kata-kata. Dia menekup mukanya.
“Kerajaan dan badan berkuasa cuba berunding dengan Freedom, tapi Freedom tidak mahu berbincang, malah bercadang untuk sesuatu yang lebih besar.”
“Apa yang mereka mahu?”
“Kawasan jajahan. Disebabkan Balai Polis Utama Arahjaya mempunyai simpanan senjata dan kenderaan perisai yang besar, maka Freedom menggunakannya untuk menawan beberapa kawasan di Bandar Selatan. Oleh sebab kerajaan dan pasukan keselamatan yang tinggal tidak mempunyai bekalan senjata yang cukup, ditambah pula dengan ancaman bahaya terhadap nyawa orang awam, maka kerajaan terpaksa bersetuju memberi sebahagian Bandar Selatan sebagai kawasan jajahan mereka.”
“Kenapa kita tidak minta bantuan luar?”
“Negara luar anggap semua ini hanya konflik dalaman Arahjaya, malah ada negara yang mendapat faedah dari kejatuhan Arahjaya, maka mereka tidak pedulikan permintaan kita.”
Prof. Shah bangun dari kerusinya.
“Mari ikut aku.”

Johan mengekori Prof. Shah dari belakang. Mereka menuju ke pintu dan keluar ke laman rumah.
“Lihatlah. Enam tahun sudah berlalu. Hampir 80 peratus Bandar Selatan kini sudah dalam jajahan Freedom.”
Kata-kata Prof. Shah menyokong apa yang Johan nampak. Dari laman tempat mereka berdiri, kelihatan beberapa rumah sedang terbakar dijilat api. Asap hitam menjulang ke langit. Langit di atas kawasan perumahan itu kelihatan gelap disebabkan asap. Kawasan perumahan yang dulu kelihatan harmoni dan terjaga, kini seolah-olah kawasan terbiar. Dinding rumah menjadi hitam dek asap. Sampah sarap berada di mana-mana. Kereta-kereta buruk tersadai, malah ada yang seperti sudah rentung terbakar. Pemandangan begini bukan pemandangan biasa di negara yang aman.
“Arahjaya kini terbahagi kepada dua; tanah kerajaan dan jajahan Freedom. Kawasan jajahan Freedom juga dipanggil Parahjaya oleh orang awam.”
“Parahjaya?”
“Ya. Kita sedang dalam zaman parah. Zaman perang dalaman. Kita sedang berperang dengan Freedom. Dengar khabar, Freedom juga mendapat bantuan dari negara luar yang berminat untuk takluk Arahjaya. Sebab itu mereka menjadi semakin kuat hari demi hari. Satu perkara yang mereka gemar lakukan ialah membakar rumah dan kereta tanpa sesuka hati tanpa sebab musabab.”
Johan terperasankan sesuatu. Tiada manusia.
“Mana penduduk? Mana orang lain?” tanya Johan bernada tinggi.
“Pada awal serangan, kebanyakan penduduk dapat lari selamatkan diri ke utara. Tapi selepas Bandar Selatan dijajah, baki penduduk yang tinggal dipaksa berpindah ke timur Bandar Selatan untuk bekerja. Mereka diberi tempat tinggal dan makan dengan syarat mereka bekerja untuk Freedom. Bercucuk tanam, mengumpul hasil hutan, membuat makanan, malah ada yang menjadi pekerja di kilang proses dadah.”

Johan memandang sekeliling. Pandangannya jatuh ke arah rumah di seberang jalan. Rumah keluarga Encik Ahmad. Rumah itu kelihatan kosong, rosak dan sudah lama terbiar.
Johan bergerak rapat ke arah Prof. Shah.
“Mana Prof. E? Mana keluarga Encik Ahmad? Mana Intan?” Dia kemudian menggenggam kedua-dua bahu Prof. Shah dan menggoncangkan badan Prof. Shah.
“MANA MEREKA?” tempik Johan.
“Antara serangan Freedom terawal adalah bangunan yang menempatkan pejabat urusan majalah Remaja Kini, tempat di mana Intan bekerja. Bawi berniat mahu cari Intan, atas dasar ingin membalas dendam dengan apa yang pernah berlaku kepadanya. Tapi Intan berjaya melarikan diri.”
Johan terkelu mendengar penerangan Prof. Shah.
“Bawi kemudian keluarkan tawaran kepada siapa sahaja untuk bawa Intan kepadanya sebagai tukaran kepada sebahagian kawasan tanah di Bandar Selatan. Walaupun kedengaran kejam, tapi oleh kerana desakan hidup dalam perang, ada segelintir kelompok orang awam mula mencari Intan dengan harapan dapat hidup lebih senang. Kini, Intan dan satu keluarga Encik Ahmad sedang dalam pelarian. Keberadaan mereka dirahsiakan.”
Johan terduduk atas lantai. Dia sudah kehilangan kata-kata untuk bersuara.
“Satu hari, Bawi ada dapat laporan tentang kedudukan Intan. Dalam satu serbuan, Intan hampir ditangkap dan ditawan, akan tetapi aku dan Erman cuba datang menghalang. Akibatnya, Erman pula yang ditangkap dalam usaha dia membantu Intan dan keluarganya melepaskan diri. Aku, Intan dan keluarga dapat lepas. Tapi Erman...”
“Kenapa dengan Prof E?...” tanya Johan dengan suara lemah.
“Sebagai pengajaran kepada orang awam yang lain, Erman diseksa di hadapan khalayak ramai. Selepas dua hari diseksa dengan teruk, Bawi buat keputusan menamatkan riwayat Erman dengan kejamnya.”
Tertunduk Johan ke tanah mendengar cerita Prof. Shah. Air mata membasahi pipinya.
“Kenapa...Kenapa boleh jadi begini?”
Prof. Shah menjadi sebak melihat reaksi Johan terhadap kenyataan yang dia ceritakan. Dia kemudian memapah Johan yang sudah menjadi lemah dan longlai masuk ke dalam rumah. Dibawanya Johan ke bilik tidur tadi untuk berehat dan bertenang. Johan berbaring di atas katil. Namun badannya kaku, dia hanya merenung siling bilik.
Prof. Shah duduk di sebelah Johan memandang ke arah tingkap.

“Prof..?”
“Ya?”
“Adakah semua yang terjadi ini salah saya?”
“Kenapa kau kata begitu, Johan?”
“Semasa kali pertama Prof Erman sedar saya dari masa depan, dia ada kata pada saya yang kewujudan saya di waktu itu terlalu bahaya. Saya adalah kewujudan yang tak sepatutnya ada.”
Prof. Shah hanya mengangguk diam.
“Adakah disebabkan saya pergi merentas masa ke lapan tahun lepas membuatkan masa depan jadi berubah daripada yang sepatutnya saya lalui?” sambung Johan.
Prof. Shah menghela nafas dalam-dalam sebelum dihembusnya panjang.
“Erman pernah beritahu aku, sejak dari serangan pertama Freedom, dia dapat merasakan bahawa jalur masa sekarang tidak sama dengan jalur masa yang kau lalui. Dengan kata lain, kau kini sedang berada di jalur masa alternatif sedangkan ini adalah jalur masa sebenar kepada kami yang lain. Ini bukan jalur masa kau. Ada sesuatu berlaku yang membuatkan jalur masa ini menyimpang daripada yang sepatutnya. Ianya mungkin dari perlakuan kau, tapi mungkin juga dari perlakuan orang lain. Mungkin perkara kecil yang mencetuskan sesuatu yang lebih besar kemudiannya. Pernah dengar orang kata a butterfly flapping its wings in the east can cause a tornado in the west’?”
“The Butterfly Effect,” jawab Johan.
Precisely! Sebab itu kau tidak boleh salahkan diri kau dengan apa yang sudah berlaku. Apa yang boleh kita usahakan ialah mencari penyelesaian untuk segala masalah yang ada.”
Suasana bilik menjadi senyap dan sunyi.

“Johan..?”
“Ya?”
“Kau nak tahu apa lagi yang Erman cakap tentang kau?”
“Apa?”
“Dia suruh aku janji kepadanya untuk tunggu kau di sini pada malam tadi. Dia suruh aku janji akan sambut kau dengan makanan sebab katanya kau akan lapar. Dia juga suruh aku berjanji untuk memastikan kau selamat walau apa pun yang terjadi. Katanya, jika ada kau dan Intan, segala-galanya boleh kembali aman seperti sedia kala. Sebab itu dia sanggup korbankan diri hanya untuk memastikan Intan selamat.”
Tiada tindak balas dari Johan. Bilik kembali menjadi senyap dan sunyi.
“Tapi...”
Johan dengan perlahan mengubah posisi badannya dari berbaring kepada duduk. Prof. Shah hanya melihat perlakuan Johan itu.
“Semasa kita baru berjumpa tempoh hari...bukan, lapan tahun lepas, saya ada beritahu bahawa Intan bukan sebarang selebriti. Intan adalah idola orang ramai yang membawa pengaruh positif kepada semua orang. Walaupun saya anggap sebegitu, tapi saya tidak tahu pula sampai begini sekali Arahjaya jadi jika tiada Intan.”
Prof. Shah tundukkan kepalanya. Dia sendiri tidak tahu apa yang patut dia respon dengan kenyataan Johan itu.
“Kalau benar jika ada saya dan Intan maka segala-galanya boleh kembali aman, apa patut saya buat? Dari mana patut saya mulakan? Apa peranan saya? Apa peranan Intan? Bagaimana kami boleh terus berjuang untuk hidup?”
Johan menekup mukanya.
“Saya dibawa merentas masa. Saya fikir saya istimewa. Saya jadi wira selamatkan anak gadis dalam bahaya. Tapi apa yang saya dapat? Apa yang saya sudah buat kepada masa depan?”
Prof. Shah sedar Johan masih menyalahkan diri sendiri.
“Saya tidak patut mengganggu takdir dan masa. Masa tidak patut berlagak wira. Saya hanya manusia biasa. Saya bukan lelaki istimewa yang merentas masa.”
Bilik itu kini dipenuhi dengan bunyi esakan Johan. Tiada apa yang Prof. Shah boleh katakan lagi untuk mengembalikan semangat Johan.

Adakah ini pengakhirannya?
Adakah tiada jalan untuk mengembalikan keamanan di Arahjaya?
Adakah Johan dan Intan memang tidak ditakdirkan bersama?


Takdir dan masa adalah sesuatu yang misteri. Tiada manusia mampu melawannya. Jika sudah tertulis, maka jadilah ia.



TAMAT?


Kritikan membina amat dialu-alukan.
Message di Empire State of cEro.
Mention di twitter @cerolian.
Emel di ceroofcerolian[at]gmail[dot]com

Sila baca entri penutup oleh cEro di sini.

Terima kasih kerana terus menyokong.



.




4 comments:

  1. pergh... tamat? adakah ini "jalur" pengakhiran yang sebenar?

    ReplyDelete
  2. jalur sebenar nampak merapu!bukan kerana ia bad ending tapi mana ada ngara di dunia ini akan menyerahkan wilayah kpda pganas?langsung tak realistik

    ReplyDelete
  3. ending sebenar sangat teruk.penulis cuba membuatkan ending sebenar kelihatan havoc tapi hakikatnya tidak sama sekali!Mana ada government yang sgup lpaskan wilayah mreka percuma kpda pganas?jika kerajaan sprti ini wujud pasti krajaan itlah yg plg truk spanjang zaman

    ReplyDelete
  4. Kalau pengakhiran cmni mesti ada sambungan nye kan..

    ReplyDelete

"It's not what you've got, it's what you do with it." - cEro, 2026

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Namaku cEro.... Kacak, tinggi, putih gebu, badan tegap, macho.. Kalau korang nampak orang yang memenuhi kriteria di atas, dia BUKAN AKU..
PENERBITAN: