Dear cErolian,

......

TERIMA KASIH!

Terima kasih kerana terus menyokong!

=======================

Nov 15, 2017

10 Perbuatan Pengguna Jalan Raya yang Kedengaran Seperti Satu Idea yang Bagus Kepada Sang Pelaku tapi Sebenarnya TIDAK.



Salam.




Seorang detektif terkemuka pernah berkata;
"Kalau nak kenali perangai sebenar seseorang,
beri dia minum kopi panas."
Kata dia, orang yang berperangai kurang sabar akan tunjuk perangai sebenar dia di saat air kopi panas tadi menyentuh bibir.

Aku bukan detektif terkemuka,
tapi aku juga ada tips nak kenal perangai sebenar seseorang.
Cara aku;
"Lihat cara dia memandu."

Aku pernah naik teksi yang pemandunya berjanggut lebat dan berkopiah.
Cakapnya lembut dan penuh tawadduk,
mukanya nampak seperti seorang yang sangat tenang dan sabar.
Tapi bila atas jalan raya, mencelah sana sini serupa pelesit.

Aku juga pernah menjadi penumpang kepada seorang pemandu perempuan.
Tapi bila di atas jalan raya yang sesak,
segala jenis kata kesat dari pelbagai level dan bahasa keluar dari mulut dia.
Mulut yang sama cium anak kecil dia setiap pagi.

Setakat ini, tips aku ini amat berkesan.
Nak tahu kenapa?
Sebab di atas jalan raya, kita akan temui dengan pelbagai perkara di luar jangkaan dan tak terduga.
Pada sesetengah pengguna jalan raya,
perkara yang dilakukan mereka mungkin satu idea yang bernas,
tapi pada hakikatnya adalah sebaliknya.
Perbuatan 'luar jangkaan' mereka mungkin membawa bahaya bukan sahaja ke atas diri mereka sendiri malah pengguna jalan raya yang lain.

Maka,
berikut adalah senarai 10 perbuatan pengguna jalan raya yang (pada aku) mungkin kedengaran satu idea yang bagus tapi sebenarnya hanya mengundang makian:


1. Pengguna jalan raya yang tiada pendirian; sekejap ke kiri sekejap ke kanan.

Semasa di dalam kesesakan, mungkin adalah idea yang bagus kalau kita dapat berada di lorong yang bergerak. Tapi bila lorong kanan bergerak, dia nak masuk ke kanan. Bila lorong kiri bergerak pula dia nak masuk ke kiri. Kesesakan itu jadi lebih teruk bila wujudnya manusia yang tiada pendirian ini, asyik nak tukar lorong sahaja.



2. Penunggang yang tidak pakai topi keledar, tapi pakai 'cap'.

Banyak berlaku di sekitar kawasan perumahan. Tidak pakai topi keledar tapi pakai cap. Nak kata jaga rambut takut rosak bila pakai topi keledar, dia pakai cap. Tahu tak bila tunggang motosikal hanya 60km/j sahaja boleh membuatkan topi kesayangan itu melayang ditiup angin? Lagi 'kelakar', topi keledar yang sepatutnya dipakai, diletak di bakul. Bila nampak polis di hadapan, menggelupur nak tukar cap dengan topi keledar.



3. Pemandu yang memecut laju semasa cuaca hujan.

Penat aku perah otak, tapi aku langsung tak dapat nak teka apa tujuan pemandu yang memecut laju semasa cuaca hujan. Bukan sahaja membahayakan diri sendiri, malah kalau berlaku sesuatu, akan melibatkan orang lain. Kalau nak kejar angkat kain jemuran di rumah sekalipun, hujan sudahpun turun. Kain baju yang tersidai semua sudahpun basah. Tak ada keperluan pun memecut.



4. Motosikal ditunggang songsang di jalan dua hala.

Kenderaan menyonsang di jalan sehala selalu kita nampak, dan kebanyakannya penunggang motosikal. Itu kita boleh faham juga sebab kadang kala jenis jalan sehala ini perlu pusing jauh baru boleh ke tempat yang dituju, jadi melawan arus adalah antara pilihan yang 'bernas'. Tapi yang jenis menyongsang jalan dua hala ini apa cerita pula? Bukankah jalan 'halal' ada di sebelah sana? Kenapa nak lawan arus dan mengundang bahaya?



5. Pengguna yang suka bunyikan hon semasa di dalam kesesakan.

Hon adalah antara salah satu cara kita nak berkomunikasi di jalanraya. Secara peribadi, aku berpendapat hon seperti satu makian dan carutan, sebab selalunya kita hon untuk mereka yang perlu dimaki dan dicarut di jalan raya. Tapi jenis yang bunyikan hon semasa jalan raya sedang sesak ini, buat aku garu kepala. Kenapa? Lepas bunyi hon, jalan tiba-tiba jadi lengang ke? Lepas bunyikan hon, semua kenderaan lain akan bagi laluan ke? Orang lain pun nak cepat juga, nak tengok drama TV senja juga. Bukan awak seorang je.



6. Penunggang motosikal yang berborak dengan penunggang motosikal lain semasa sedang bergerak.

Oh maiiii. Ini seperti jadi satu wabak bila masuk kawasan perumahan. Boleh diterima akal lagilah sebab kawasan perumahan ramai kenalan. Tak ditegur nanti bergaduh pula dalam group Whatsapp. Tapi ada juga jenis yang berborak berdua antara dua motosikal di atas jalan besar. Bruh! Kalau nak borak, berhentilah. Kalau nak bergerak, berhentilah borak. Kan senang?



7. Pengguna jalan raya yang dari belakang memotong kanan laju ke depan dan kemudian nak masuk simpang di kiri jalan.

Salah satu budaya yang patut ada pada setiap pengguna jalan raya ialah merancang perjalanan. Kalau rasa simpang atau susur yang perlu diambil sudah semakin hampir, perlahankanlah kenderaan dan rapat ke kiri jalan. Ini tidak, pergi pijak pedal minyak, memotong kenderaan lain sebelah kanan semata-mata nak masuk ke simpang atau susur sebelah kiri itu siapa suruh? Kan dah kena sumpah seranah segala kaum kerabat.



8. Pengguna jalan raya yang memecut laju di dalam kawasan perumahan / kawasan sekolah.

Beza antara manusia dan haiwan adalah manusia mempunyai akal. Akal bertindak sebagai enjin untuk kita menilai kewajaran sesuatu tindakan. Kawasan perumahan dan kawasan sekolah adalah kawasan aktif pejalan kaki. Malah pejalan kaki itu mungkin terdiri daripada anak-anak kecil yang pada lahiriahnya tidak matang lagi menilai bahaya. Jadi, bila ada kenderaan memecut laju di kawasan-kawasan ini, adakah tindakan itu wajar? Di manakah akal mereka pada waktu itu? Atau mungkin monyet yang sedang memandu?



9. Guna telefon bimbit semasa memandu.

Tinjauan statistik Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) menyatakan 80% punca kemalangan jalan raya adalah berpunca daripada kecuaian manusia, dan penyumbang terbesarnya adalah menggunakan telefon bimbit semasa memandu. Rata-rata semua manusia berakal tahu bahaya menggunakan telefon semasa memandu tapi kita semua masih lagi melakukannya tanpa mengira bahaya yang bakal menimpa. Balas Whatsapp, skrol Instagram, panggilan telefon, Bigo LIVE semasa memandu, semua itu kita tahu boleh mengundang bahaya tanpa perlu aku jelaskan bagaimana mekanisme-nya. Tapi masih ramai yang buat, kan? Kalian pun pernah buat, kan? Kan? Kan?



10. Penunggang (dan pembonceng) motosikal yang tidak pakai topi keledar dengan alasan 'dekat je!'

Dulu pernah ada iklan di TV di mana ada seorang ibu minta anak lelakinya ke kedai belikan sos. Anak tadi ke kedai naik motosikal tanpa pakai topi keledar dengan alasan 'dekat je'. Bila sos yang ditunggu tak sampai-sampai, si ibu keluar mencari anaknya dan kemudian menjumpai anaknya menjadi mangsa kemalangan. Sos yang dibeli anak tadi kini bercampur dengan darah yang mengalir dari kepalanya akibat cedera kemalangan.

Iklan di atas sangat memberi kesan kepada aku. Sampai sekarang, walaupun dekat, aku akan pakai topi keledar tanpa perlu disuruh. Orang yang nak membonceng aku pun aku wajibkan pakai topi keledar. Biarlah mereka kata aku skema atau lurus ikut peraturan, yang aku tahu aku tak mahu bertanggungjawab kalau jadi apa-apa ke atas mereka. Pada aku, tak ada baiknya tak pakai topi keledar.



xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx xxxxxxxxxxxx


Demikianlah senarai 10 perbuatan pengguna jalan raya yang (pada aku) mungkin kedengaran satu idea yang bagus tapi sebenarnya tidak. Mungkin ada lagi perbuatan lain tapi tak terfikir pula oleh otak aku semasa sedang menaip ini.

Diingatkan, ini pendapat peribadi aku selaku pengguna jalan raya dan penunggang motosikal. Naik moto ni, perspektif dia lain sikit dengan semasa memandu. Kita nampak lebih daripada pemandu kereta, malah dari sudut pandangan yang lebih tinggi.

Kalau kalian ada tambahan untuk senarai 10 ini,
silalah tambah di ruangan komen.
Aku hargai semuanya.

Ingatlah. Jika kalian menggunakan jalan raya,
pastikan kalian menjadi pengguna yang tidak menyesal.
Jangan tamatkan riwayat gemilang anda di jalan raya.
Pandulah dengan sabar dan berhemah.

Dan jika kalian nak lihat perangan pasangan kalian yang sebenar,
tengoklah cara pemanduan dia.
Atau mungkin boleh belanja dia minum kopi panas.




.







4 comments:

  1. pecut laju dalam hujan selalunya sebab nak ambik anak, bila hujan selalu jalan jem dan akan lambat, bila lambat balik, lambat la ambik anak. pendapat IQ sendiri sebab kadang IQ pun pecut balik walaupun keadaan hujan. huhu

    ReplyDelete
    Replies
    1. >IQ = Izyan Balqis

      Tapi bahaya tau memandu laju masa hujan tak kira apa pun alasan. Bukan bahaya untuk diri je, tapi bahaya untuk orang lain juga. Hati-hati ye :)

      Delete
  2. Salam singgah dan follow sini :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. >Julia Tarmidi

      Selamat singgah dan terima kasih follow sini :)

      Delete

"It's not what you've got, it's what you do with it." - cEro, 2026

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Namaku cEro.... Kacak, tinggi, putih gebu, badan tegap, macho.. Kalau korang nampak orang yang memenuhi kriteria di atas, dia BUKAN AKU..
PENERBITAN: