Salam.
Nama aku cEro.
Di sini aku akan ceritakan 3 (tiga) kisah yang berlaku pada aku baru-baru ini. Selepas membaca ketiga-tiga kisah ini, tanpa perlu membaca kesimpulan pun aku yakin kalin mampu untuk menggali pengajaran yang cuba untuk aku sampaikan.
Kita mulakan.
Cerita 1
Salah seorang ahli keluarga terdekat datang memohon bantuan aku. Dia meminta aku untuk melukis peta lokasi untuk dimuatkan ke dalam kad jemputan perkahwinan. Katanya, di antara semua orang yang terdekat, akulah yang paling handal mentafsir peta. Aku tidak menafikannya. Kemahiran membaca dan mentafsir peta berkembang dalam diri aku disebabkan untuk mengimbangi kelemahan aku yang mudah sesat di jalanan.
Namun,
melukis peta untuk kad jemputan majlis perkahwinan pun ada seninya tersendiri. Peta itu perlulah ringkas, namun cukup membantu para hadirin untuk sampai ke destinasi. Peta adalah nadi utama sesebuah kenduri. Jika peta mengelirukan, mungkin jumlah hadirin juga akan mengecewakan.
Bukanlah mudah, namun juga tidaklah susah mana. Dalam masa kurang 1 jam sahaja aku sudah siapkan satu draf akhir lukisan tangan untuk peta tersebut. Kata bakal mempelai, tak apa lukis tangan pun sebab dia akan berikan draf itu kepada si tukang buat kad jemputan. Mereka yang akan digitalkannya sebelum dicetak.
Beberapa hari kemudian,
si bakal pengantin kirimkan pesanan Whatsapp kepada aku dengan pautan imej contoh kad jemputan yang bakal dicetak.
Aku perhatikan peta di dalam kad jemputan itu.
"Kenapa lain?" Hati kecil aku membentak.
Walaupun ia masih peta yang sama, namun petanya sangat berbeza dengan draf yang sudah aku bagi. Peta yang aku drafkan, walaupun sangat ringkas, namun masih membantu untuk sampai ke destinasi. Namun peta di kad jemputan ini adalah seperti versi lebih ringkas daripada peta ringkas aku tadi. Sangat ringkas, sampaikan ia seperti langsung tidak membantu.
"Macam mana?" tanya si bakal pengantin.
"Peta ringkas sangat. Kena tak guna je yang bagi hari itu?"
"Orang kad tu kata peta kena sangat ringkas, jadi dia tolong ringkaskan lagi."
"Tapi ini ringkas sangat. Susah orang nak baca nanti."
"Orang kad tu kata jangan risau, diorang sudah beratus kali dah buat kad kahwin untuk pelanggan. Katanya belum ada majlis lagi yang tak menjadi disebabkan peta."
Aku pun mendenguskan nafas.
"Iyalah. Pastikan diorang letak koordinat GPS. Benda tu pasti membantu," kata aku.
Cerita 2
Setelah selesai urusan di salah sebuah hospital universiti, aku pun ke tempat menunggu teksi. Selalunya aku hanya berjalan kaki ke stesen MRT yang berhampiran, namun kali ini cuaca seperti sangat terik dan mata aku sangat silau maka aku perlu naik teksi untuk ke stesen MRT tersebut.
Teksi yang paling depan menunggu untuk berlepas. Aku naik dan menyebut destinasi. Teksi pun mula bergerak.
Cuma...
...laluannya berbeza dengan laluan yang selalu aku lalu. Ini bukan kali pertama aku naik teksi untuk ke stesen MRT tersebut, tapi aku selalu berlakon seperti kali pertama. Laluan yang dilalui pemandu teksi itu lain daripada laluan yang selalu aku lalui.
Laluannya perlu masuk ke kawasan kediaman rumah teres dan banglo. Ada beberapa laluan sehala yang dipandu songsang. Ada beberapa simpang yang kelihatan perlu berhenti kerana pejalan kaki, namun si pemandu teksi terus memecut tanpa melihat sekitaran.
"Abang, laluan ini macam lain je daripada selalu saya lalu," soal aku.
"Jangan risau, dik. Ini jalan potong."
Peduli apa aku jalan potong. Kau redah jalan songsang sambil memandu dalam keadaan berbahaya. Kalau tambang meternya lebih tinggi daripada yang selalu aku bayar, aku akan bayar harga yang selalu aku bayar.
"Abang dah lama sangat dah pandu teksi ni, dik. Semua teksi guna jalan ni. Abang tahu jalan ni..."
Cerita 3
Lampu di sepanjang koridor sebuah bangunan tidak menyala apabila suis dihidupkan. Aku melaporkan kepada janitor yang berhampiran.
"Ah, lampu terbakar ni. Kena tukar lampu nampak gayanya..." kata janitor berkenaan sambil mengira jumlah lampu yang tidak bernyala.
"Tapi bang, kalau terbakar, takkan semua lampu terbakar serentak?" soal aku.
"Abang dah buat kerja ni berpuluh tahun, dik. Ini lampu terbakar ni."
Aku senyum sahaja tanpa melawan.
Beberapa hari kemudian,
aku lalu di koridor yang sama dan terserempak satu pasukan juruteknik sedang panjat tangga meninjau di sebalik atap siling.
"Kenapa bang?"
Sahaja aku bertanya.
"Tukar wayar lampu. Management ingat lampu terbakar. Dah ganti dah lampu baru banyak-banyak tapi tak hidup juga. Rupanya ada wayar kena rosak, kena gigit tikus kot." kata salah seorang juruteknik tersebut.
Aku senyum sambil terbayang wajah janitor dengan pengalaman berpuluh tahun tersebut.
Kesimpulan.
Pengalaman mengajar kita. Dengan kata lain, pengalaman memberikan kita ilmu. Dengan pengalaman, kita makin berilmu.
Isunya,
semakin banyak pengalaman, semakin banyak ilmu, sepatutnya manusia semakin merendah diri.
Namun,
adakah pengalaman mencetak beratus kad jemputan perkahwinan membenarkan kita meletakkan peta ringkas yang 'tidak membantu'? Adakah pengalaman sudah lama memandu teksi membenarkan kita memandu secara songsang dan berbahaya? Adakah pengalaman kerja berpuluh tahun akan menjadikan kita tidak mungkin akan tersilap nilai?
Dari pengalaman kita dapat ilmu, dan dengan ilmu kita sepatutnya lebih merendah diri.
Jika dengan pengalaman membuatkan seseorang semakin bongkak dan sombong, di mana sebenar silapnya?
Sekian.
.
ramai manusia yg bila dia lama sangat dalam bidang tu, dia lah paling tahu segalanya. hergh~
ReplyDeleteKan...
ReplyDelete