Dear cErolian,

......

TERIMA KASIH!

Terima kasih kerana terus menyokong!

=======================

Mar 29, 2017

Lelaki Dalam Cermin.


Salam.

Masih tiada komik hari ini.
Rabu terakhir bulan Mac, jadi termaktublah bahawa bulan Mac 2017 adalah bulan tanpa komik di blog cErolian.



Jangan risau ini bukan Past cEro,
ini Present cEro yang menaip terus daripada komputer milik orang lain dan menggunakan segala sumber yang ada hanya untuk menceritakan sesuatu.

Last few weeks, something big had happened to me.
That 'something' has changed how I see the world.
Aku kini melihat dunia ini dari sudut yang sangat berbeza sekali.
Tidak, aku tak berubah sepenuhnya.
Aku masih manusia sama yang pada sesetengah orang dianggap annoying, boring.
Yang berubah adalah pandangan aku terhadap sesuatu.

Aku sudah buat keputusan untuk tidak membuang masa kepada benda yang sia-sia.

Aku sudahlah mempunyai kawan yang sedikit,
jadi aku tidak mahu habiskan masa memikirkan perkara yang remeh macam kenapa orang sudah tidak mahu kawan dengan aku.
Orang sempurna mana nak kawan orang cacat.

Sesiapa yang nak anggap aku kawan, aku akan anggap dia kawan.
Sesiapa yang nak anggap aku orang asing, aku akan anggap dia orang asing.
Sesiapa yang nak bermusuh dengan aku, tolong, aku tak mahu ada musuh. Rugi.

Sesiapa yang nak anggap aku sahabat baik, beritahu.
Aku boleh jadi sahabat paling baik yang pernah ada.

Sesiapa yang rajin datang ke blog untuk ikut perkembangan aku, TERIMA KASIH.
Aku akan berusaha hargai dengan balas kunjungan
walaupun aku agak terbatas dengan teknologi sekarang.

Sesiapa yang rajin bertanya khabar di Fb, Twitter, IG
aku akan hargai dengan cara yang aku mampu.
Kita boleh jadi kawan (walaupun atas alam maya) atau kalau nak lebih daripada itu, kita boleh jadi kawan di alam nyata.

Sesiapa yang sayang aku, aku akan sayang dia balik.
Sesiapa yang kata sayang aku, tapi tak buat apa-apa,
aku pun akan tidak akan buat apa-apa.

Ini semua berkaitan tentang menghargai.
Kita tidak boleh minta dihargai tapi tidak menghargai orang lain.
Ia macam cermin.
Macam mana nak minta imej dalam cermin untuk senyum kalau kita sendiri bermasam muka?

Sebut pasal sayang dan menghargai,
Mak Abah aku sudah bagi hint keras suruh cari pasangan.
Perkara yang sudah lama aku lupakan.
Tapi aku faham maksud Mak Abah.
Orang baya aku semua sedang sibuk bercerita tentang anak masing-masing
aku pula cuma mampu senyum kepada anak kecil yang berselisih di kompleks membeli-belah.

Bukan tak mahu berkeluarga,
tapi aku rasa sangat susah untuk cari orang yang terima aku sepenuhnya.
Baik buruk kacak hodoh miskin kaya senang susah cacat sempurna aku.
Aku orang yang sangat berahsia.
Even keluarga pun tak semua tahu apa aku buat untuk hidup sebab aku rahsiakannya.
Jadi untuk jumpa seseorang yang dapat terima, faham,
sekaligus menyokong apa yang aku buat, rasanya menghampiri mustahil sebab secara logik, tiada siapa tahu apa aku buat.

Jadi macam mana?

Ada satu cara mudah, iaitu aku jadi orang lain.

Satu lagi keputusan yang aku ambil ialah aku mahu kumpul duit secara gigih dan gunakan duit itu untuk sambung belajar.
Orang macam aku ni, tidak akan ke mana tanpa ilmu,
jadi selagi aku mampu, aku akan terus kutip apa sahaja ilmu yang ada.

Bila aku kata aku melihat dunia dari sisi berbeza sekarang,
aku betul-betul maksudkannya.
Aku mampu melihat kesedihan di dalam diri lelaki yang aku pandang dalam cermin.
And I hate that.



Terima kasih sebab baca luahan hati aku ini.
Awal tahun dulu aku nak jadikan blog ini tempat yang 'fun',
tapi sebab aku tidak ada tempat untuk luah segala ini selain blog
jadi terpaksalah kalian baca luahan itu di sini.
Aku minta maaf.

Maybe, just maybe, next week ada entri yang FUN.

For now, bye. Live well.




.

Mar 22, 2017

Analogi Bot Penyelamat.




Salam.

Satu hari seorang kawan bertanyakan satu soalan hipotetikal berkenaan sesuatu:

Sebuah kapal penumpang karam di tengah lautan. Para penumpang terkapai-kapai di permukaan air. Ada satu bot penyelamat (lifeboat) dan sudah ada 50 orang di atasnya. Hanya ada satu bot, dan satu bot hanya mampu memuatkan 60 orang sahaja. Namun, masih terdapat 100 orang penumpang lagi yang sedang meronta-ronta terkapai-kapai di permukaan lautan. Bot yang terlampau padat dan melebihi kapasiti sudah tentu akan meningkatkan risiko bot itu untuk karam juga dan seterusnya meningkatkan lagi kadar kematian.

Satu bot, 10 tempat kosong lagi, dan 100 orang mahu diselamatkan.
Apa tindakan paling terbaik untuk situasi begini?




Yang belajar psikologi akan tahu ini adalah soalan cetusan minda daripada ahli falsafah terkenal yang juga merupakan seorang ahli ekologi bernama Garrett Hardin, sebagai analogi kepada tanggungjawab manusia membantu mereka yang memerlukan.

Sudah tentu, aku budak biologi, tidak belajar psikologi,
jadi jawapan aku sudah tentu selamatkan seberapa banyak yang boleh.
Ada 10 ruang lagi boleh diisi, jadi tindakan terbaik adalah selamat 10 orang lagi.

Tapi penyelesaian itu hanya akan mencetuskan isu yang lain pula.

Kalau mahu selamatkan 10 orang lagi,
siapa 10 orang yang terpilih daripada 100 orang tadi?
Bagaimana kriteria memilih 10 orang lain?
Wanita dan anak kecil?
Saudara rapat dan kenalan?
Orang kaya dan ahli politik yang berpengaruh?
Ahli akademik dan cerdik pandai?

Dan apa alasan menolak orang yang tidak layak diselamatkan?
Lelaki dewasa berbadan tegap yang ada peluang tinggi untuk terus hidup?
Penjenayah dengan rekod jenayah panjang dan memudaratkan?
Musuh perniagaan dan pesaing dalam kerjaya atau kehidupan?

Namun soalan yang terbesar ialah
SIAPA YANG LAYAK MENENTUKAN 10 ORANG TERSEBUT?

Dan semua ini perlu difikirkan dalam masa singkat sedangkan semua orang dalam situasi ini, sama ada di atas bot atau yang sedang terkapai-kapai, semuanya sedang panik memegang nasib nyawa diri sendiri.

Dalam keadaan panik, semua orang mahu selamatkan diri sendiri.
Jadi siapa boleh beri jaminan bahawa orang yang ditolak dari naik bot akan menurut kata dengan hati yang tenang tanpa melawan?





Aku pun berfikir lama untuk soalan situasi di atas.
Mari kita selami keadaan bagi tiga individu berlainan keadaan:



1. Golongan yang sedang berada di dalam air.

Sudah tentu orang yang di dalam air mahu dia diselamatkan tidak kira siapa dia.
Sudah tentu dia mahu jadi seorang daripada 10 orang yang harus diselamatkan.
Sama ada dengan kebenaran atau tidak, sudah tentu akan ada jenis orang yang akan bersungguh-sungguh mahu naik ke atas bot.

Jika kita tanyakan soalan 'adakah anda perlu diselamatkan' kepada mereka,
sudah tentu jawapan mereka adalah YA.

10 ke, 100 ke, karam ke, timbul ke, asalkan mereka selamat, mereka sudah tidak peduli itu semua.



2. Golongan yang sudah berada di atas bot.

Walaupun mereka ini boleh tarik nafas lega,
tapi kalau mereka tidak buat sesuatu, lambat laun pasti akan ada orang dari dalam air yang akan berkeras mahu naik ke atas bot juga dan menggunakan kekerasan.

Maka, mahu atau tidak mahu perlu ada seseorang yang ambil tindakan.
Dia perlu buat keputusan sama ada memilih untuk mengambil 10 orang lagi,
atau tidak ambil sesiapa langsung,
atau menolak orang tertentu di atas bot, dan gantikan dengan orang lain dari dalam air.
Orang ini juga perlu bersedia untuk menggunakan kekerasan jika perlu.

Tanggungjawab orang ini amat besar.
Setiap kematian yang ada, walaupun bukan secara langsung dari dia,
dia perlu dipertanggungjawabkan.

Sudah tentu, tiada siapa mahu jadi individu ini.
Maka, majoriti orang atas bot akan bersikap diam dan berharap orang lain yang akan muncul ke depan.



3. Golongan yang tiada di tempat kejadian, iaitu anda.

Sudah pasti penilaian daripada orang lain yang tiada di tempat kejadian adalah berbeza.
Berbeza kerana mereka tidak rugi dari segi apa-apa.

Kebanyakan mereka (kita) akan fikir untuk selamatkan sebanyak yang boleh.
Ada juga yang berfikiran utamakan wanita dan kanak-kanak dahulu (di mana ini adalah prosedur standard kecemasan di seluruh dunia).
Ada juga yang terfikir, kalau dia berada di atas bot, dia akan korbankan diri bertukar tempat dengan orang yang lebih disayangi (seperti keluarga dan kenalan) dan kalau kalian adalah salah seorang yang berfikiran sebegitu, ketahuilah bahawa memikirkannya lebih mudah daripada melaksanakannya.

Golongan ini jugalah yang akan menilai individu yang tidak benarkan orang dari dalam air naik ke bot adalah individu jahat tidak kira apa pun alasannya.




Okey.

Pada tahap ini kalian mesti fikir apa poin sebenar yang cuba aku nak sampaikan, kan?


Sebenarnya, pada aku,
setiap perkara yang berlaku di dunia ini sentiasa akan berkisar pada pendapat tiga golongan tadi, iaitu; (1) Si Pemberi, (2) Si Penerima, dan (3) Si Penonton.

Golongan yang banyak bersuara adalah golongan Penonton tadi.
Contohnya kalau ada berlaku sesuatu perkara viral, seperti video ibu dera anak menjadi tular, sudah tentu yang banyak bersuara adalah golongan yang tiada kaitan sedangkan apa yang kita perlu tahu adalah mungkin ada cerita lain berlaku di sebalik video itu. Mungkin si ibu sedang mengalami tekanan mental, ataupun deraan itu tidaklah sedahsyat yang digembar-gemburkan, sekadar pukulan yang bersifat mengajar, atau mungkin si ibu terikut emosi dan melakukan kesilapan yang sudah tentu juga akan memberi kesan kepada dirinya.

Kesimpulannya,
kita manusia sangat suka menilai sesuatu tanpa usul periksa.
Nasihat aku kalau berlaku sesuatu, tahu dulu pokok pangkal segala cerita,
terutamanya jika kita dari pihak 'Penonton', kaji dahulu apa alasan 'Pemberi' dan 'Penerima' berkelakuan sedemikian.
Banyak contoh boleh aku beri, tapi aku sudah malas menaip hahahaha.



Sebagai penutup,
beritahu aku apa pendapat kalian tentang situasi bos penyelamat di awal entri tadi?
Apa tindak terbaik yang kalian rasa patut dilakukan semua orang?


Ya, aku tahu.
Blog ini sudah semakin bosan.
Tiada komik dan asyik entri teks panjang lebar.
Tapi kalian kena faham dari konteks cEro sebagai 'Pemberi'.
cEro sedang mengalami fasa sukar yang dia sendiri tidak tahu bagaimana mahu menghadapi, jadi berikanlah cEro sedikit masa untuk kembali bersinar dan berpijar seperti dulu kala.

Pendek kata, cEro malas. Hahahaa!

Terima kasih kerana baca sampai habis. Moga bermanfaat. YOU'RE THE BEST!








.

Mar 15, 2017

Kisah Kucing Biru dan Lelaki Berbaju Kuning.




Salam.

Suatu petang aku keluar mahu membeli makanan.
Nafsu diri sangat ingin makan donut inti kacang merah.
Nasib baik gerai menjualnya sampai hanya dengan berjalan kaki,
tak perlulah aku nak habiskan minyak kenderaan bergerak jauh.
Berjalan kaki, badan pun sihat.

Dalam perjalanan pulang, aku ikut lorong belakang deretan rumah teres.
Jalan pintas, namun kawasan ini agak bahaya.
Bukan sahaja banyak anjing liar berehat, tapi lalu belakang rumah orang mungkin akan membuatkan aku dituduh berniat mencuri, apatah lagi muka tak kacak macam aku memang senang kena tuduh.

Pantang disebut anjing,
tiba-tiba ternampak seekor anjing sedang menyalak ke arah sesuatu di hadapan aku.
Ada sesuatu sedang menyorok di bawah timbunan sampah.
Anjing tersebut menyalak ke arah timbunan sampah tersebut,
namun tak dapat nak capai sesuatu yang menyorok itu kerana lubang tempat persembunyiannya itu kecil, tidak muat saiz anjing yang besar.

Mungkin yang menyorok itu kucing ketakutan.

Dulu masa kecil aku berangan mahu jadi ahli bomba sebab mahu jadi hero.
Tapi bila besar, aku tahu jadi hero tak semestinya perlu menjadi ahli bomba.
Cukup sekadar menyelamatkan kucing jalanan yang dibuli anjing liar sudah layak menjadikan aku hero.

Maka aku pun sebagai hero, menghalau anjing tadi dengan melemparkan batu ke arahnya.
Nasib baik anjing itu lari.
Kalaulah dia terkam ke arah aku,
aku memang sudah sedia kekuda untuk langkah seribu,
pecut laju berlari menyelamatkan diri.

Aku pun menghampiri timbunan sampah tadi dan meninjau apa yang sedang menyorok.
Lalu keluar satu makhluk dari tempat persembunyian tersebut.
Seekor kucing, tapi...

"Terima kasih, bro!"
Kucing tadi berterima kasih kepada aku.
Walaupun, YA, aku terkejut kucing itu boleh bercakap,
tapi lebih mengejutkan aku adalah kucing itu berbulu biru dan berekor bulat merah.

Belum pernah seumur hidup aku melihat kucing berwarna biru.

"Saya tahu awak terkejut. Tapi biar saya terangkan situasi," kata kucing biru itu.
Kalau ikutkan hati, mahu sahaja aku lari meninggalkan kepelikan ini tapi perasaan ingin tahu lebih kuat mendominasi diri daripada perasaan takut.

"Saya kucing dari masa hadapan. Robot kucing untuk lebih tepat. Entah macam mana saya tersesat ke zaman ini dan terperangkap dalam ancaman anjing liar ganas tadi. Awak datang tepat pada masanya dan selamatkan saya. Untuk itu, saya ucapkan terima kasih."

Fakta bahawa dia adalah robot kucing sedikit menenangkan aku sebab warna dia biru. Kalau aku ada kucing robot pun aku akan warnakan dia warna kelabu metalik dengan jalur cahaya lampu biru gelap di sisi badannya. Baru nampak futuristik. Tapi kata kucing itu, dia dari masa hadapan. Kelakar apa yang dia buat ini? Mana ada wujud mesin merentas masa. Paling tidak aku belum pun dapat siapkan satu lagi. Mungkinkah aku akan berjaya cipta satu di kemudian hari?

"Disebabkan awak sudah selamatkan saya, saya akan hadiahkan awak SATU daripada TIGA alat masa hadapan yang ada dalam poket saya ini. Sebenarnya poket saya ada banyak alat canggih dari masa hadapan, cuma saya baru sahaja bersihkan poket ini. Jadi banyak barang yang sudah saya keluarkan dan lupa untuk dimasukkan semula."

Kucing biru itu tunjukkan poket kecil di depan perut dia.
Alat apa yang canggih sangat boleh disimpan dalam poket kecil macam itu?
Pencukur bulu ketiak nyamuk?
Pengepit kuku lipas?
Kain lap cermin mata labah-labah?

"Ini dia alat pertama...!!"
Kucing itu keluar sesuatu dari dalam poketnya tadi. Barang itu sangat besar, dapat keluar dari poket yang kecil itu memang melanggar segala hukum fizik yang pernah diajar di semua universiti dunia.




"...PINTU SUKA HATI!!"

Kucing itu keluarkan sedaun pintu dari poketnya.
Aku hampir pitam melihat kemustahilan itu.

"Pintu ini boleh bawa awak ke mana sahaja awak mahu tidak kira jarak. Hanya sentuh tombol pintu dan fikirkan, atau sebutkan, tempat yang hendak dituju dan buka daun pintu ini dan...TADAAAAA!"

Kucing itu membuka pintu, dan kelihatan satu tempat lain di sebalik pintu tersebut. Kalau tidak silap, itu menara Eiffel di Paris, Perancis. Wow! Aku kagum tak terkata. Lagi mengkagumkan aku ialah tangan bulat kucing tersebut mampu memegang tombol pintu. Ketidaklogikan apakah ini?

"Dengan pintu ini, tidak perlu lagi naik kenderaan berjam-jam lamanya hanya untuk pergi ke satu tempat. Awak boleh pergi ke mana-mana sahaja, bila-bila masa dan tanpa kenderaan!"
Semangat kucing biru itu menerangkan. Macam juru jualan langsung pula aku tengok.

Aku angkat tangan mahu bertanya soalan.

"Wahai kucing. Saya ada soalan. Pintu besar itu keluar dari poket kecil awak. Adakah kebolehan itu datang dari poket awak? Maksudnya kalau saya ambil pintu suka-suki..."

"..suka hati. Pintu Suka Hati!" kucing itu betulkan aku.

"Ya, suka hati. Kalau saya pilih pintu suka-suki ini, jadi saya kena usung pintu besar bagak ini ke sana ke marilah, kan?"

Kucing itu memegang dagunya dan mengerutkan dahinya.
Tangan bulat pegang dagu. COMELNYAAAAA!

"Betul. Tiada pilihan selain daripada mengusung pintu ini ke sana-sini. Nasib saya baik sebab ada poket dimensi."




"Oh, kalau awak tak mahu yang ini, saya tunjukkan alat kedua."
Kucing itu mengeluarkan sesuatu yang lain dari poketnya. Sehelai kain.

"Kain tudung bawal?" tanya aku.

"Bukanlah! Ini KAIN CAHAYA MASA!!"
Aku tidak faham kenapa setiap kali dia nak sebut nama alat dia,
dia akan sebut dengan nada tinggi yang riang dan gembira.

"Kain ini mampu ubah segala barang yang dibungkusnya sama ada ke masa lampau atau ke masa depan. Biar saya buat demonstrasi."

Kucing itu mengambil keluar sehelai baju lusuh, kotor dan busuk dari timbunan sampah tempat dia berdiri dan membungkus baju lusuh itu dengan alat canggih kain bercorak jam analog itu tadi. Selepas beberapa saat, dia buka kembali bungkusan itu dan mengeluarkan baju tadi. Baju itu sudah tidak lusuh, malah nampak sangat baru dan bersih. Siap ada tag harga lagi.

"Lihat. Baju yang buruk boleh kembali menjadi baru. Kain Cahaya Masa ini membuatkan baju buruk tadi ke masa baju itu masih baru dahulu. Tapi kena hati-hati. Lagi lama dibiar berbungkus, lagi jauh dia akan bergerak merentas masa. Kalau saya tinggalkan lebih lama, mungkin baju ini akan menjadi selembar kain, atau mungkin hanya akan jadi segumpal kapas, bergantung kepada bahannnya. Kalau terbalikkan kain ini, barang yang dibungkus akan bergerak ke masa hadapan dan menjadi buruk dan kotor kembali."

Aku angkat tangan sekali lagi untuk bertanya soalan.

"Maksudnya kain tudung bawal corak jam itu memanipulasi masa barang yang dia bungkus, kan? Time manipulation. Tapi adakah barang yang dibungkus akan mengekalkan memori yang ada?"

"Memori? Apa maksud awak?" tanya kucing itu.

"Memori. Maksudnya kalau contoh saya bungkus telefon bimbit saya yang sudah lama dan uzur bertukar menjadi baru, adakah memori macam segala nombor telefon dan gambar yang disimpan di dalamnya juga akan turut hilang?"

"Hmmm..." kucing itu mengerutkan dahinya berfikir.

"Kalau kononnya saya yang berumur 50 tahun ingin kembali menjadi muda seperti 25 tahun. Saya bungkus badan saya dengan kain ini. Adakah nanti memori saya dari umur 26-50 tahun akan hilang?"
Aku cuba terangkan dengan lebih lanjut supaya kucing itu faham.

"Hmmm...Saya tak pernah cuba bungkus manusia, tapi rasanya kalau kain ini merentas masa, maknanya segala memori yang sudah tercipta akan lenyap kalau diundurkan ke masa lampau."

"Huh!!" Aku mendengus kekecewaan.




"Baiklah, kalau awak tak suka ini. Ada satu lagi."
Kucing itu menyeluk poket dimensinya mengeluarkan sesuatu.

"LAMPU PENGECIL 2.0!"
Siap ada versi 2.0 lagi. Canggih sungguh alat itu walaupun nampak macam sekadar lampu suluh biasa sahaja.

"Dulu masa versi 1.0, lampu ini ada dua jenis; Lampu Pengecil dan Lampu Pembesar. Sekarang dalam versi 2.0, kedua-dua lampu ini digabungkan menjadi satu," terang si kucing itu.

"Bila ditekan suis pengecil dan halakan cahaya lampu ini ke arah objek, objek itu akan mengecil."
Kucing itu menghalakan cahaya lampu itu ke arah baju tadi. Baju itu menjadi kecil, sama saiz dengan baju untuk patung mainan.

"Dan bila ditekan suis pembesar, cahaya itu akan membesarkan objek yang dipancarkannya."
Baju yang tadi kecil menjadi besar, sama besar macam baju saiz XXXXXXXXXXXL yang selalu ditayang di kedai pakaian bersaiz besar.

"Awak boleh aplikasikan lampu ini untuk semua objek. Contohnya kalau rasa tak ada tempat letak kereta, bolehlah dikecilkan kereta tersebut dan disimpan di dalam poket. Kalau nak pakai, gunakan pula lampu pembesar."

"Wow, menarik! Tapi tidakkah nanti kereta itu akan cepat rosak? Maksudnya kalau disimpan di dalam poket, dan tanpa sengaja poket itu bergoncang-goncang sana sini, bukankan boleh rosak kereta tadi dibuatnya?"

Kucing itu mengerutkan dahinya lagi. Rasanya dia rasa semakin menyampah sebab ada sahaja kata-katanya yang aku bangkang dan hujahkan.

"Ya. Rasanya kalau barang seperti kereta, mungkin agak tidak sesuai disimpan dalam poket. Tapi kalau ada makanan kegemaran yang sayang nak makan sebab kuantiti sikit, gunakan lampu pembesar akan buatkan makanan itu jadi besar dan boleh dimakan banyak. Seronok, kan?"

Aku angguk faham.

"Baiklah. Saya ada TIGA alat ini sahaja. Awak pilihlah mana satu yang awak mahu. Saya akan hadiahkan sebagai tanda terima kasih kerana selamatkan saya tadi," ujar kucing itu lagi.




JADI,
KALAU KALIAN ADALAH AKU,
MANA SATU YANG KALIAN PILIH?

1. PINTU SUKA HATI,
2. KAIN CAHAYA MASA, atau
3. LAMPU PENGECIL 2.0?

Tinggalkan pilihan kalian di ruangan komen.












"Baiklah, saya pilih yang ini," sambil aku mengambil alat pilihan aku.
"Sebagai tanda terima kasih saya pula, saya belanja awak makan donut inti kacang merah yang sedap ini." Aku hulurkan donut yang baru aku beli tadi.

"Tapi saya ada satu lagi soalan."

"Apa dia?" balas kucing itu.

"Begini. Kalau awak adalah kucing robot yang datang dari masa hadapan dan ada tiga alat canggih dalam poket dimensi awak, kenapa awak tak gunakan alat awak itu semasa diperangkap anjing tadi? Boleh sahaja awak keluarkan Pintu Suka-Suki awak itu dan lari ke tempat lain, atau gunakan Kain Tudung Bawal tadi untuk jadikan anjing yang besar dan ganas itu kembali menjadi anak anjing yang lemah, ataupun guna Lampu Suluh Ajaib untuk kecilkan saiz anjing itu supaya tidak mampu melawan saiz awak?"

Kucing itu buat muka tidak puas hati dengan aku.

"Walaupun awak pakai cermin mata dan berbaju kuning, tapi awak tak sama macam lelaki bercermin mata dan berbaju kuning yang pernah saya kenal. Awak lebih menjengkelkan."

Kucing itu pun berjalan laju, hilang lesap dari pandangan mata.



Sekian. Terima kasih kerana membaca sampai habis walaupun panjang lebar.





.

Mar 8, 2017

Dunia Egosentrik.


Salam.

      "Jadi pada hari minggu tempoh hari, aku ada janji mahu bertemu dengan seorang kawan di satu tempat. Disebabkan aku berkenderaan (motosikal) sedangkan kawan aku tidak berkenderaan, maka kami akan bertemu di satu tempat yang mudah dicapai oleh dia tapi sedikit jauh dari tempat aku."





"Dan ini adalah perkara yang berlaku kepada aku bermula dari awal pagi sehinggalah sampai ke tempat yang dijanjikan:


1.      Setelah bersiap dan bersedia untuk memulakan perjalanan, aku mencari kunci motosikal di atas rak tempat selalu aku letakkannya. Tiada. Oh, lupa. Semalam housemate pinjam motosikal aku, kunci pasti masih ada padanya.


2.      Ketuk bilik housemate mahu bertanya keberadaan kunci motosikal aku, tapi ketukan tidak berbalas. Lama sudah ketuk ni. Masuk terus nanti kata ceroboh privasi pula. Lantaklah. Masuk sajalah.


3.      Buka pintu bilik housemate, rupanya dia masih lagi membuta tidur. Tidur mati agaknya. Sampai bergegar rumah aku pintu tadi langsung tak diendahkannya. Aku tepuk dia perlahan-lahan dan bertanyakan perihal kunci motosikal, namun mungkin dia salah anggap suara aku yang perlahan itu sebagai dodoian agaknya. Dia makin ketat menarik selimut.


4.      Cara lembut bertanya tidak menjadi, aku tiada pilihan selain meninggikan suara. Bila dijerit bertanyakan kedudukan kunci motosikal aku, dia hanya menjawab 'carilah dekat ruang tamu, manalah aku tahu'. Ya, sama-sama sebab berterima kasih kepada aku kerana meminjamkan motosikal aku itu. Ingatkan aku kembali di lain hari supaya tidak lagi meminjamkannya kepada kau, wahai housemate-ku, walaupun masa mahu meminjam ayat yang keluar dari mulut kau cukup manis berbicara.


5.      Ke ruang tamu aku tuju. Tiada kunci dalam medan pandangan mata. Sudah satu kerja pula mencari kunci sendiri. Nampak gayanya perangai 'letak balik benda di tempat ia diambil' hanya diamalkan aku dan perpustakawan sekolah sahaja.


6.      Masa lebih banyak dihabiskan aku mencari kunci berbanding masa untuk bersiap tadi. Cari punya cari punya cari, jumpa bertindih jauh bawah timbunan majalah. Aku tarik nafas panjang menahan diri daripada mengeluarkan kata-kata kesat. Rantai kunci di kunci tersebut kelihatan kotor tercalit cecair berwarna hitam. Dengan sabar, aku lap kotoran itu dengan tisu sambil ingatkan diri sendiri supaya menjadi lebih 'kedekut' di masa akan datang.


7.      Melihat motosikal di laman rumah diparkir senget, tidak tepat di bawah bumbung tidak seperti yang aku selalu lakukan. Nasib baik malam tadi tidak hujan. Kalau hujan, mesti basah satu-satunya motosikal kesayangan aku itu. Sekali lagi aku ingatkan diri supaya jangan terlalu baik hati di masa akan datang.


8.      Pagar rumah dibuka. Sekali lagi aku menghela nafas panjang, mengeluh. Sebuah kereta diparkir baik punya tepat di hadapan pagar rumah. Kereta milik jiran sebelah. Ya, dia tahu kami rumah bujang hanya pakai motosikal dan memang ada ruang untuk motosikal keluar masuk (walaupun sempit), tapi apa sebab dia perlu tutup laluan kami sedangkan depan rumah dia kosong dan boleh diparkir kereta?


9.      Setelah gigih menerobos ruang sempit untuk keluarkan motosikal, aku berjaya. Amarah dalam hati sudah berbisik suruh senikan satu calar panjang di depan kereta itu, tapi kesabaran masih bersarang dalam diri. Paling tidak buat masa ini.


10.      Perjalanan dimulakan. Baru sahaja keluar simpang perumahan, terlihat satu lubang jalan rosak yang baru. Eh? Bukan ke baru minggu lepas jalan ini ditampal? Pihak yang tampal itu tampal guna apa? Ubat gigikah?


11.      Jalan selepas simpan sedikit sempit, muat satu kereta sahaja. Ada kereta dari belakang mahu laju, maka aku rapat ke kiri benarkan diri dipotong. Entah tidak pasti dia tidak berkeyakinan atau sekadar kebodohan bermaharajalela, tak dapat-dapat juga dia memotong walaupun sudah jenuh ke kiri aku rapat. Nasib baik depan sana jalan sedikit luas. Ohhh, lesen 'P' rupanya. Percubaan.


12.      Ke destinasi memerlukan aku melalui lebuhraya. Lorong masuk motosikal di tol berada di kiri plaza. Cuba teka apa juga yang berada di kiri plaza? Ya, dua biji kereta yang kelihatan seperti satu konvoi sedang berhenti betul-betul di lorong masuk motosikal, mengganggu pengguna motosikal lain daripada masuk lebuhraya. Lagi seronok, mereka buat muka tidak bersalah. Ada yang keluar dari kereta untuk berbual telefon, ada juga yang berbual-bual di tepi jalan dengan seronoknya tanpa menghiraukan pengguna motosikal yang kena gigih menyelit celah sempit yang mereka sebabkan.


13.      Berada di lebuhraya, di lorong kiri. Ini bukan lebuhraya yang menyediakan laluan khas motosikal, jadi motosikal terpaksa berkongsi lorong dengan lori 2 tan, lori 5 tan, dan lori 10 tan. Terbayang jasad diri sendiri terselit celah tayar. Ngeri.


13.      Kereta di hadapan memandu perlahan di lorong kiri. Tak apa. Itulah fungsi lorong kiri, untuk pemanduan perlahan. Tapi rupanya kereta itu dipandu perlahan supaya orang di dalamnya boleh buka tingkap dan buang segala sampah sarap makanan dari dalam kereta ke luar. Kulit pisang, tin minuman, plastik, kulit kuaci, ada juga lampin bayi. Pada sesetengah orang, Bumi adalah tong sampah besar mereka. Masalahnya mereka juga adalah isi 'tong sampah' itu.


14.      Motosikal aku sudah 10 tahun, maka tidak semantap dahulu. Berada di atas lebuhraya dengan kelajuan 90 ke 100 km/j sudah memadai, sebab itu aku selesa di lorong kiri. Tapi bila ada kenderaan lain yang lebih laju membunyikan hon di belakang aku memberitahu aku lambat, aku hanya berharap dia terlibat dalam kemalangan jalanraya di depan sana. Kalau nak potong, potong sajalah di sebelah kanan. Apa masalah? Nak kena duduk kiri dan bunyikan hon sudah kenapa?


15.      Keluar lebuhraya, aku dapat rasa angin tayar makin kurang, terima kasih kepada sampah sarap yang aku terlanggar di tepi lebuhraya. Menjengah ke stesen minyak selepas plaza tol untuk menggunakan pam angin. Namun, tempat pam angin dihalang oleh kereta yang menyinggah. Berpuluh ruang lain untuk parkir, kenapa pilih di ruang pam angin?


16.      Aku memilih untuk pam angin di stesen minyak lain, 10km di hadapan sana. 10km tidaklah jauh, namun hati jadi semakin jauh bila sampai sahaja, terlihat papan pemberitahuan di pam angin tertulis 'PAM ROSAK'.


17.      Menuju ke destinasi, aku berhenti di satu lampu isyarat merah. Baru sahaja lampu bertukar menjadi hijau 0.01 saat tadi, kereta belakang sudah bunyikan hon macam aku sejam berkampung di tengah jalan. Jalan itu abah dia punya agaknya.


18.      Semakin menghampiri tempat yang dijanji, aku masuk ke satu pusat komersial. Jalannya sehala, jadi kalau terlepas satu lorong, kena pusing satu pusingan baru boleh masuk semula ke lorong itu. Satu pusingan bukannya dekat. Boleh turun satu kotak meter minyak tahu.


19.      Kebiasaannya di laluan jalan sehala, pasti akan wujud motosikal yang menyongsang arus. Itu masih boleh diterima akal walaupun ternyata salah. Tapi apa cerita kalau kereta pula yang menyongsang arus? Nak pula bertembung dengan kereta lain di jalan sempit akibat parkir dua lapis, masing-masing tak mahu mengalah dan mengakibatkan laluan tersekat sejauh mata memandang.


20.      Sudah jumpa kedai mamak yang dijanjikan sebagai tempat pertemuan. Aku mencari tempat letak motosikal. Kosong parkir untuk motosikal sudah diisi dengan kereta yang tidak tahu bahasa. Kotak parkir kereta pula tidak dibenarkan parkir motosikal. Habis tu, aku boleh parkir mana?


21.      Aku naik ke bahu jalan untuk parkir. Lantaklah. Ada dua tiga motosikal lain juga yang buat perkara sama. Baik punya parkir, aku tersedar hampir sedikit lagi aku akan terpijak segumpal najis semasa mahu menurunkan kaki dari motosikal. Nasib tak terpijak.


22.      Aku ingat aku lambat sebab banyak perkara sudah berlaku. Aku memang lambat 5 minit dari waktu yang dijanjikan. Tapi rupanya kawan aku itu lagi lambat. Dia belum sampai. Tidak apa, aku boleh tunggu.


23.      Aku SMS dia beritahu aku sudah sampai. Tiada balasan. Tunggu 5 minit, tiada. Tunggu 10 minit, tiada juga. Tunggu 20 minit, masih tiada. Sudah 30 minit, masih menunggu. Wow!


24.      45 minit menunggu, dapat satu SMS balasan. 'Sorry, tak jadilah jumpa. Ada hal lain.'


25.      Aku balas SMS, 'Tapi aku dah sampai ni'. Dia pula balas, 'Ala, bertimbang rasalah sikit. Aku ada hal penting lain. Janganlah pentingkan diri sangat'. Ehhhh? Bukankah kau yang ajak jumpa awal-awal hari itu? Ada masalah nak luahkan pada aku konon katanya? Marahnya aku.


26.      Bayar teh tarik, berdengus aku berjalan ke motosikal dalam keadaan marah. Ternampak ada sesuatu terselit di pemegang motosikal aku. Satu surat. Bukan surat cinta. Surat saman. Saman parkir kenderaan bukan di ruangan parkir.


...and that's it. That's why I'm here."



      "Maksud kau, kau masuk sini sebab dapat saman salah parking?" tanya Hadi untuk kepastian.

      "Oh, tak. Aku masuk sini atas kesalahan membunuh. Kawan yang aku cerita janji tapi tak datang tadi tu, sekarang sudah jadi arwah, jadi arang. Aku ikat dia dekat pokok dan bakar guna petrol hidup-hidup. Sekejap lagi polis akan bawa aku ke ibu pejabat untuk soal siasat lanjut."

      Hadi terdiam mendengar cerita lelaki berkumis tebal itu. Kelihatan sekumpulan polis pengiring menghampiri lokap tempat mereka berdua berkongsi itu. Seorang polis mula membuka pintu lokap dan mengeluarkan gari.

      "Kau masuk sini sebab apa?" tanya lelaki itu kepada Hadi sambil polis menyiapkan gari di pergelangan tangannya.

      "Err...er...Aku kena tangkap sebab conteng dinding bangunan awam...," jawab Hadi terketar-ketar.

      "Kau tahu, dunia kita ini dunia egosentrik. Semua orang pentingkan diri sendiri tanpa memikirkan orang lain. Mereka rasa mereka lebih tinggi daripada orang keliling mereka. Mereka rasa mereka sentiasa perlu diutamakan tanpa menghiraukan orang yang betul-betul perlukan keutamaan. Pada mereka, kesusahan mereka sahaja penting. Susah orang lain mereka tidak peduli."

      "Kau bukan macam tu, kan? Hadi?" tanya lelaki itu sebelum dibawa pergi sambil bergari oleh polis pengiring tadi. Hadi hanya mampu melihat lelaki itu dibawa pergi, lelaki yang menjadi mangsa kekejaman egosentriknya manusia dunia.



      "Tak. Tidak. Aku tidak mahu jadi sebahagian daripada manusia egosentrik."
      Hadi berbisik seorang diri.


Adakah kalian seorang egosentrik?






.

Mar 1, 2017

4 Cerita 1 Hari II


Salam.

Sekali lagi, aku Past cEro.
Jika kalian terbaca entri ini,
bermakna kalian sedang membaca entri simpanan yang ditulis khusus untuk diterbitkan apabila Present cEro not available.

Selaku Past cEro, aku tak tahu apa yang berlaku kepada Present cEro.
Mungkin dia malas, atau dia ketiadaan capaian internet,
atau paling teruk mungkin dia dah tak ada lagi di dunia ini.
Let just hope that it's not the case.


Mari pendekkan bebelan dan terus ke isi utama.

Minggu ini aku mahu kongsikan 4 cerita pendek
yang berlaku ke atas diri aku dalam masa satu hari yang sama.
Tiada komik, tiada gambar.
Aku juga tak janji minggu depan ada komik atau tidak.




Cerita 1

Satu hari di bulan Februari 2017,
aku diperlukan untuk menghadiri satu seminar.
Seminar itu berkisar tentang bagaimana mahu menjadi orang yang berjaya,
satu topik yang paling sungguh sangat amat klise bila adanya seminar.

Isinya sama macam seminar motivasi lain.
Berfungsi nak tingkatkan motivasi orang dalam bekerja.
Tiada isi yang terlalu istimewa untuk aku kongsi dalam entri ini pun.

Actually I'm okay with seminar.
Selagi acaranya tak makan masa panjang dan bonus kalau ada makanan di hujung acara, aku sangat okey.

Tapi si penyampai telah buat satu perkara yang membuatkan aku berubah daripada jadi 'okey' kepada 'cepatlah aku nak keluar dari dewan ni.'

Dia petik satu quote yang selalu aku dengar,
quote dari tak lain tak bukan, penulis fiksyen Narnia.



"You are never too old to set another goal or to dream a new dream."
          - C.S. Lewis            



Kalau kalian baca blog aku yang satu lagi,
kalian akan tahu betapa tak gemarnya aku dengan quote itu.

Tiada yang salah dengan quote itu,
cuma quote itu disebut oleh orang yang sudah berjaya,
sudah kaya raya, sudah tercapai impiannya.

Bahkan kalau kalian perasan, semua quote yang kononnya 'bermotivasi' pasti akan disebut oleh orang yang berjaya.

Kalau kau dah berjaya, dah ternama,
kau sebutlah apa pun sama ada kata-kata motivasi klise
ataupun ayat yang tak masuk akal sekalipun macam pandu kereta ke KLCC,
pasti ada yang berminat untuk bukukan
atau jadikan isi dalam slide powerpoint ceramah motivasi.

Adakah kata-kata perangsang daripada seorang penjual goreng pisang kurang nilainya berbanding kata-kata orang yang berjaya hanya kerana penjual goreng pisang 'kurang' berjaya?

This is why (secara peribadi) aku rasakan penceramah motivasi zaman sekarang sangat klise, bosan, sama dan tiada nilai beza dengan berjuta penceramah motivasi yang lain.
Sehinggakan beberapa penceramah motivasi yang ada asyik ulang isi yang sama tak kira berapa kali keluar TV atau jadi penceramah dalam seminar motivasi.

Dan kalau kalian korek lebih dalam,
bayaran mereka bukan calang-calang harganya tau.
Padahal isi sama dan modalnya hanya air liur.

Aku pun nak jadi penceramah motivasi juga.




Cerita 2

Aku teruskan mendengar ceramah walaupun hati tidak ikhlas lagi.
Peserta lain pun sudah ramai beralih perhatian bermain handphone sendiri.
Aku tiada handphone (lebih tepat tiada smartphone. Phone aku hanya boleh call dan sms HANYA untuk tujuan emergency) jadi aku hanya boleh conteng-conteng atas buku yang disediakan.

Highlight seminar ini adalah adanya cabutan bertuah pada hujung program.
Hadiah utamanya ialah telefon bimbit Samsung Galaxy J7 2016.
Sebab itu ramai yang masih gigih bertahan walaupun sudah kontang minat.
Aku?
Walaupun hadiahnya best, sebiji handphone,
tambahan lagi aku tengah tak ada smartphone ni,
tapi aku tahu nasib aku tak pernah baik dalam cabutan bertuah.
Aku tetap kekal di dalam dewan hanya kerana air cond dan jamuan percuma di hujung acara.

Tapi bila tiba sesi cabutan bertuah yang ditunggu ramai,
nama aku dipanggil.

YA. NAMA AKU DIPANGGIL SEBAGAI PEMENANG.

Tapi bukan pemenang hadiah utama, cuma hadiah sampingan.
Sebuah travel adapter; kepala plug yang ada macam-macam jenis pin.
Kalau kalian kaki travel luar negara, kalian tahu benda ini sangat berguna.
Walaupun aku banyak travel, tapi aku travel dalam Malaysia saja.
Jadi benda ni literally useless to me.

Tiga kali nama aku dipanggil,
tapi aku membatu diam tak nak bangun dari tempat duduk.
Nasib baik tak ada siapa kenal aku,
jadi orang anggap nama yang dipanggil sudah keluar dewan.

YA.
Aku menang cabutan bertuah tapi aku tak ambil hadiah.

Kalian mesti anggap aku ni bodoh dan rugi.
Walaupun tak guna adapter tu, ambil je laa, kan?
Mana tahu berguna kemudian hari.
Atau boleh dijadikan hadiah kepada orang lain?

Begini,
alasan aku tidak ambil hadiah itu ialah
aku ada satu kepercayaan (karut) yang tuah pada diri aku adalah terhad.
Sebab tu dari kecil lagi aku tak pernah menang cabutan bertuah.
Aku bangun tidur dapat hidup sehari lagi pun dah rasa sangat bertuah.
Disebabkan tuah aku ada limit, aku takut kalau aku ambil hadiah itu,
tuah aku akan kehabisan.
Jadi perkara yang akan berlaku kepada aku seterusnya hanyalah perkara buruk.
Aku masih ada separuh hari lagi untuk ditempuhi.
Aku tak mahu habiskan hari aku melalui perkara buruk.

Ya, aku tahu. Kepercayaan karut.

Lagipun,
travel adapter sangat tak berguna kepada aku.
Lainlah dapat smartphone, berguna jugalah jadinya.
Jadi daripada aku ambil dan tak pakai,
kan lagi bagus hadiah tu diberi kepada orang yang guna dan pakai?

Seriously aku langsung tak ralat.




Cerita 3

Habis seminar, ada jamuan.
Rugi aku tunggu jamuan sebab makanan dia tak sedap.
Kalau aku tahu tak sedap dah lama aku balik,
or at least melencong ke shopping mall yang berdekatan.

Hari hampir petang.
Aku nak elak kesesakan jalanraya disebabkan waktu puncak orang balik kerja
jadi sama ada aku bergerak balik rumah sekarang
ataupun aku tunggu habis waktu puncak baru balik.

Ya,
walaupun aku pakai motosikal (disebut Kuda Putih)
dan boleh menyelit-nyelit dalam kesesakan,
tapi aku kalau boleh tak nak makan asap kenderaan lain.
Nak selit-selit pun makan tenaga banyak oooo, ingat senang?

Aku buat keputusan untuk balik sekarang, tak tunggu.

Malangnya,
separuh jalan, hujan mula turun.

Selalunya sebab destinasi dituju adalah rumah,
jadi aku tak kisah basah redah hujan.
Tapi sebab kali ini aku bawa dokumen sensitif,
dan aku tak mahu dokumen itu basah dan rosak atas kendalian aku
jadi aku buat keputusan untuk berteduh di bawah satu jejambat.

Di bawah jejambat sudah penuh dengan penunggang motosikal lain.
Ada yang duduk berbual dengan kenalan.
Ada yang duduk hisap rokok, vape.
Tapi majoritinya bermain smartphone mereka masing-masing.

Aku yang tak ada smartphone ni duduk menatap air hujan menitis membasahi jalan tar.

Tersenyum aku memikirkan
teknologi yang sepatutnya memberi nilai tambah dalam kehidupan
kini sudah menjadi raja yang mengawal manusia.
Berapa ramai kita yang tak tentu arah bila tak ada smartphone di tangan.
Lihat sahaja berapa ramai lebih banyak habiskan masa bersama smartphone
berbanding masa bersama mereka yang tersayang.
Kalau di kedai makan sekalipun, tangan tak lekang daripada memegang smartphone.
Nak mula makan pun bukan tadah tangan baca doa
tapi snap gambar makanan dulu seolah-olah satu ritual wajib.

Itulah 'deep thought' aku ketika melihat hujan.
Padahal kalau aku ada smartphone pun, aku akan jadi seperti mereka.

Sebulan sudah aku tak ada smartphone.
Mula-mula memang parah tak keruan tak buka IG, Fb atau twitter satu hari.
Tapi tempoh parah tu seminggu awal sahaja.
Selepas itu hidup jadi makin senang.

Sejak tidak ber'smartphone' ini,
aku sudah habiskan berbelas buku dan komik yang sebelum ini tak habis-habis dibaca.
Mana tak, bila bosan tak ada benda lain nak buat,
nak tak nak aku akan capai buku/komik yang ada.

Habis mengelamun,
melihat hujan sudah sedikit reda, aku buat keputusan untuk redah.
Dokumen sensitif aku seal betul-betul supaya tak basah.
Yang lain basah tak apa.

Hasilnya,
aku sampai rumah dengan basah kuyup, luar dalam atas bawah.




Cerita 4

Merasakan meter tenaga aku semakin kontang,
aku tak boleh duduk dan berbaring sebelum selesai benda lain
sebab kalau aku buat begitu, confirm terlelap sampai sudah.

Jadi aku mandi, berak, makan dan selesaikan apa yang wajib/patut
menggunakan baki tenaga yang ada.
Bila betul-betul selesai, aku pun berjalan ke katil seperti zombi.

Sebelum sempat terjun ke atas katil,
aku click suis on radio yang berada di hujung katil.

Sambil berbaring berehat,
aku dengarkan celoteh dan lagu yang berkumandang dari corong radio.

Tetiba ada satu lagu yang sangat sedap didengar dan layan.
Tapi aku tak tahu lagu apa, siapa penyanyinya dan apa tajuknya.

Selalunya kalau jadi keadaan begini,
aku akan google sebahagian lirik lagu yang aku dengar tu.
Selalunya berhasillah, akan dapat tajuk lagu dan penyanyinya dari result carian Google.

Tapi kali ini aku ada masalah sikit...

Bukannya aku malas nak bangun dari katil dan pergi ke komputer untuk Google,
tapi masalahnya lagu yang sedap dan layan ini...
...
...
...
...lagu bahasa Korea. K-pop.

Aku tak tahu nak taip lirik apa dalam Google.
Aku tak dapat tangkap perkataan lirik yang disebut.
Kalau aku dapat tangkap sekalipun, tak salah aku bahasa Korea ni apa yang disebut tak sama dengan apa yang dieja dalam Roman.

Apa yang aku tahu lagu tu bernada begini:
"Na naa na naa naa parappa naa na naa~~!"
Which is sangat tak membantu bila aku cuba bunyikan dekat adik aku yang gila k-pop.

So tell me,
macam mana aku nak tahu lagu K-pop tu lagu apa?


xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx xxxxxxxxxxxx



Begitulah 4 cerita yang berlaku dalam satu hari aku.
Terima kasih kerana baca sampai habis.
Saja aku tak letak apa-apa image sebab nak uji siapa yang sanggup baca celoteh aku sampai habis walaupun tanpa apa-apa gambar (padahal malas huhuhu)
Siapa baca sampai habis, beritahu di ruangan komen.


Ok,
apa kata kalian pergi jenguk apa sudah jadi dengan Present cEro.
Hidup lagi ke tidak?
Pergi maki dia di media sosial @cerolian
tapi sebab dia tak ada smartphone,
mungkin media sosial bukan cara terbaik untuk berhubung dengan dia.
Kalaulah dia dah tak ada, sedekahkanlah Al-Fatihah untuk dia, ya.
Huhuhu





.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Namaku cEro.... Kacak, tinggi, putih gebu, badan tegap, macho.. Kalau korang nampak orang yang memenuhi kriteria di atas, dia BUKAN AKU..
PENERBITAN:


Protected by Copyscape Online Plagiarism Check
Creative Commons License