Dear cErolian,

......

TERIMA KASIH!

Terima kasih kerana terus menyokong!

=======================

Jan 25, 2017

Yang Disukai dan Yang Baik.



Salam

Tiada komik (lagi) hari ini.
Tapi aku nak berikan sedikit pandangan tentang sesuatu.
Ini adalah satu peringatan untuk semua orang TERMASUK diri aku sendiri.
Andai satu hari aku lupa diri dan buat perkara yang aku tegur di bawah,
kalian bolehlah mention aku di media sosial dan tempek URL entri ini sebagai beringatan buat diri aku.
Baru padan dengan muka aku.






Di atas adalah satu quote yang ada dalam simpanan aku.
David Hume adalah seorang ahli falsafah zaman dahulu yang banyak menyentuh soal seni dan nilai estetik.
Ya, memetik quote daripada orang yang umum tak kenali dan sudahpun lapuk dilupa zaman mungkin sedikit tak kena, tapi dengarkan dulu penjelasan aku.


Begini.
Belakangan satu dua tahun ini aku banyak habiskan masa mengenal para pelukis komik amatur tempatan yang ada di Malaysia seperti para geng Buasir Otak: The Komik dan beberapa lagi nama pelukis amatur yang selalunya aktif di Facebook dan Instagram.


Dalam masa yang singkat itu aku sudah dapat kesan dua kelompok dalam industri komik amatur ini:


1. Yang mengutamakan kebebasan berkarya.

- Bermakna dia nak bebas melukis apa sahaja yang dia minat tanpa sekatan. Katanya melukis adalah medium mereka mengekspreskan diri dan melepaskan tekanan hidup dan cara mereka bersuara tentang sesuatu. Kalau mereka mahu melukis komik berunsur kritikan sarkastik, mereka buat. Kalau pada mereka lawak lucah dan lawak homoseksual adalah perkara yang seronok untuk dilukis, mereka lukis.


2. Yang mementingkan nilai

- Mereka ini melukis (komik) untuk menyampaikan, atau paling kurang bersifat neutral, tidak memudaratkan. Mereka tahu apa yang mereka lukis mungkin akan menjadi tontonan umum dan menjadi inspirasi orang lain, jadi mereka mengelak untuk melukis sesuatu yang negatif. Kalau ada pendapat yang bercirikan peribadi, mereka tekankan itu adalah pandangan peribadi mereka dan menyampaikannya secara tidak keterlaluan.


(Sebenarnya wujud golongan ketiga yang menggelarkan mereka sebagai 'berkecuali', tapi pendapat aku mereka ini juga adalah salah satu daripada dua golongan di atas, cuma mereka tidak mengumumkan pendirian mereka atas faktor luaran lain seperti menjaga nilai persahabatan, jaga hubungan kerja dan sebagainya.)


Daripada deskripsi di atas, sudah jelas aku memihak di pihak yang mana, kan?

Dan aku rasa kalian yang baca pun dapat agak mana satu baik dan mana satu kurang baik, kan?

Tapi bertukar pendapat dengan golongan #1 adalah sedikit mencabar.
Mindset mereka memikirkan bahawa mereka tidak buat salah.
Malah sokongan dari ribuan followers (dan artis yang semi-professional) membuatkan pendirian mereka lebih kukuh dan tidak akan mudah menyerap teguran orang lain.


Dan di sinilah quote di atas memainkan peranan.



Suka dan Elok


Quote di atas menekankan bahawa dalam menilai sesuatu (seni), kita perlulah bijak membezakan antara soal 'adakah kita sukakannya?' dengan soal 'adakah ia bagus/elok/baik?'

Biar aku beri contoh mudah.

Seorang pelukis amatur yang terkenal di media sosial melukis komik lawak berunsur lucah, lebih spesifik, lawak tentang ajakan homoseksual.
Dia lukis, dia publish di media sosial dan dapat beribu likes.
Ya, ada sahaja golongan yang merasakan ia lawak, kelakar. Mereka sukakannya.
Tapi adakah lawak ini baik? Adakah lawak ini bagus?

Bayangkan lawak ini dijadikan gurauan pelajar di sekolah.
Mula-mula buat lawak ajak gay sesama kawan.
Bila lawak semakin basi, tingkatkan level dengan meraba-raba.
Mula-mula raba bahagian biasa-biasa. Badan, belakang, tangan.
Kemudian nak lagi ekstrem raba tempat lebih sensitif, kemaluan.

Ya.
Aku tahu ini hanya andaian, hipotetikal.
Bila difikirkan tak mungkinlah pelajar sekolah boleh buat begitu.
Tapi betulkah ini takkan berlaku?
Berapa peratus kalian yakin perkara ini TIDAK akan berlaku?
Atau nak tunggu berlaku dahulu baru nak menuding jari?

Aku takkan sentuh mendalam tentang bab agama sebab aku bukan pakar.
Tapi semua sedia maklum Islam menolak hubungan sejenis.
Adakah ini bermakna kita ada hak menjadikannya satu bahan lawak umum?
Adakah tak wujud langsung golongan homoseksual di kalangan orang Islam?
Adakah kita mahu anak kecil kudus yang tak tahu apa, terbaca komik berunsur lucah kita, dan mula bertanya dan terfikir tentang kehidupan seksual? Seksual sejenis?

Adakah hanya sebab mahu mengejar beberapa ribu likes di Instagram,
hanya mahukan kebebasan berkarya,
hanya mahukan keterbukaan dalam menyuarakan pendapat,
kita sanggup korbankan kesucian anak kecil tadi?

Think about it.

Namun siapa yang berhak menilai semua ini?
Jawapannya, SEMUA ORANG.
Smua orang berhak menilai karya si polan itu.
Kalau rasa karya seseorang itu memberi nilai negatif dan memudaratkan, jangan sokong.
Jangan like, jangan komen, jangan share.
Kalau rasa mampu, tegur secara berhemah.
Kekuatan orang 'famous' ni datang dari sokongan follower mereka.
Kalau tidak ramai sokong maka dia sendiri akan tahu dia ada buat sesuatu yang salah.
Kalau dia tidak tinggi ego, dia akan berubah.




Tidak Hanya Untuk Seni


Ya. Majoriti pembaca entri ini tidak terlibat secara langsung dalam seni,
jadi mungkin contoh di atas tidak lekat sangat di sanubari.
Namun suka aku ingatkan,
soalan 'suka atau baik' ini tidak hanya merangkum bidang seni.
Ia boleh diterjemah kepada semua aspek.

Ini contoh yang aku boleh beri:

Bayangkan seseorang bernama Ayu, bertudung tapi suka mencarut.
Katanya mencarut itu personaliti dia.
Dia dapat lepaskan tekanan dan kemarahan hanya dengan mencarut.
Bila disuruh berubah, dia gunakan istilah 'aku adalah aku' dan 'terimalah seadanya'
jadi dia tetap degil dengan perangai suka mencarut dia.

Ayu SUKA mencarut. Tapi adakah mencarut BAIK untuk dia?

Ayu bertudung. Islam.
Selalu di kelilingi dengan orang Islam malah juga yang orang bukan Islam.
Dia adalah representasi kepada agama dia, iaitu Islam.

Sekali lagi aku tanya,
adakah personaliti 'mencarut' dia itu BAIK untuk dia dan agama dia?
Adakah hanya kerana dia SUKA, jadi dia BERHAK mencarut?
Apa pandangan orang bukan Islam bila mendengar carutan yang semudah angin keluar dari mulut dia?
Dalam era agama Islam dicalit dengan pelbagai tohmahan seperti sekarang ini,
adakah personaliti suka mencarut dia itu dapat memberi apa-apa kebaikan?




Juga Untuk Segala Keputusan


Bayangkan anda mahu beli kerusi untuk meja belajar di rumah.
Anda nampak satu kerusi yang sangat menarik hati di kedai perabot.
Tempat letak tangannya ada muncung berduri dengan kepala tengkorak besi di hujung.
Belakangnya dihias dengan susunan pedang membentuk kipas.
Sisi tempat sandarnya penuh dengan duri besi.
Anda rasakan kerusi ini sangat sesuai dengan jiwa rocker dan metal anda.
Anda SUKAkannya.

Tapi adakah ia baik untuk anda (dan orang keliling anda)?

Anda mahu pakai kerusi itu di rumah keluarga.
Rumah itu ada adik anda yang kecil berusia 5 tahun.
Adik anda selalu keluar masuk ke dalam bilik anda dan anda tidak mampu sentiasa menghalangnya.

Fikir sekali lagi,
adakah kerusi yang penuh dengan bucu tajam dan duri besi baik untuk anda gunakan walaupun anda sukakannya disebabkan jiwa anda seorang rocker dan metal?
Ternyata kerusi itu tidak selamat, adakah hanya kerana SUKA maka anda boleh abaikan segalanya?

Persoalan 'suka dan baik' ini boleh digunapakai untuk segala keputusan.
Kadang-kadang yang kita suka tak semestinya baik.
Kadang-kadang yang baik tak semestinya kita suka.
Namun memang ada yang kita suka dan juga membawa kebaikan.
Itulah yang terbaik dalam membuat keputusan.

Beritahu aku contoh kalian sendiri di ruang komen.




Peribadi VS Persekitaran


At this point,
kalian mesti sudah dapat tangkap beza nyata antara SUKA dan BAIK, kan?

'Suka' lebih bersifat peribadi.
Azwan suka melukis lucah.
Ayu suka mencarut.
Aku suka makan burger.

Tapi 'baik' lebih kepada kesan dan natijah terhadap unsur luar.
Melukis lucah tidak baik untuk generasi muda.
Mencarut membawa imej buruk kepada agama.
Makan burger mengundang kolesterol.

Tidak.
Aku tidak kata kalian kena buang terus lupus semua 'personaliti' kalian yang tidak baik walaupun itu yang terbaik.

Kalian masih lagi boleh melukis lucah (walaupun tak elok) tapi janganlah publish di instagram dan sebarkannya di media sosial dan berbangga dengannya. Lukis simpan senyap sendiri sudah kalau sangap sangat. Dosa pahala fikir sendirilah, dah besar kot.

Kalian masih boleh mencarut (walaupun berdosa) cuma janganlah mencarut di khalayak ramai dan dalam masa sama bawa imej agama. Kalau tak tahan sangat dengan dugaan dunia, tak boleh sabar dah mulut tu dari nak menuturkan kata-kata kesat, tukar carutan itu dengan nama-nama yang umum. Aku ada seorang kawan yang mencarut, tapi dia ganti carutan itu dengan perkataan 'ikan'. Apa signifikan ikan aku tak pasti. Tak tanya.

Kalian masih boleh makan burger (yaaay!) tapi pastikan janganlah berlebihan dan diselangilah dengan aktiviti yang sihat. Ini tak, makan tak jaga, senaman tak buat, lepas tu expect badan sentiasa sihat dan kolestrol terkawal. Itu mustahil brother oiii (mmm..kay)



Akhir Kata


Aku tidak tujukan entri ini kepada sesiapa.
Tapi kalau ada yang terasa, aku minta maaf seikhlasnya.
Kalau ada mana-mana poin yang terkena batang hidung berjerawat tu sama-samalah kita memuhasabah diri.
Aku tak kata aku ni all-good all-great.
Aku tahu aku sendiri baaaaaaanyak sangat cacat cela yang ada.
Anggap sahaja aku nasihat sebab aku sayangkan kalian.
Kalau aku tak sayang, aku dah anggap kalian tak wujud dah dalam universe aku.
Kau buat hal kau, aku buat hal aku.
Tapi sebab aku sayang (3 kali ulang poin sayang), aku nasihat.
Sama-samalah kita berubah.

Ingat!
Bezakan antara SUKA dan BAIK.
Jangan menghalalkan perkara yang tidak elok hanya kerana kita sukakannya.
Jangan keliru antara apa yang kita suka dengan apa yang baik untuk dunia.

Dan berhentilah lukis komik lucah yang tak membawa manfaat tu.
Fans/followers pun jangan backup gigih sangat, takut nanti pelukis lupa diri.

Sekian.
Terima kasih kerana membaca entri ini yang panjang lebar dan bosan ini.

Tinggalkan pendapat jujur kalian tentang isu 'SUKA vs BAIK' ini di ruang komen, ya.





.

Jan 18, 2017

Archoke Nama Diberi.




Salam.

Kalau kalian cukup setia membaca blog ini,
kalian akan tahu salah satu perangai aku ialah suka bagi nama pada barang.
Moto aku, handphone aku, komputer aku, dan banyak lagi semuanya aku bagi nama.
Barang yang aku tak letak nama sama ada bukan milik aku ataupun aku ada rasa yang barang itu mungkin akan jadi milik orang lain.

Nama komputer aku ialah Archoke.






Archoke pada asasnya sebuah laptop,
namun beberapa bulan lalu skrin dia ada masalah gelap hampir 70%,
baiki di kedai sedikit susah sebab Archoke model lama, tahun 2008.
Jadi aku buat keputusan untuk sambungkan Archoke dengan satu LCD monitor.

Pada hari Archoke disambung LCD monitor, aku sudah ambil mobiliti dia.
Dia tidak lagi boleh aku pack dan bawa menjelajah macam selalu aku buat dahulu.

Lagipun sendi Archoke antara skrin dengan keypad sedikit lemah dimamah usia.
Jadi aku nak kurangkan pergerakan sendi itu, aku jadikan dia stationary di atas meja.

Lama kelamaan, Archoke disambung dengan beberapa lagi barang luaran seperti speaker, external hard disk, drawing tablet dan beberapa USB port tambahan.

Jadi,
bila kawan aku tanya aku pakai PC ke laptop,
secara peribadi aku tak mampu nak jawab.
Walaupun Archoke sebuah laptop, tapi kini dia lebih kepada sebuah PC.
Entah...aku rasa dia sendiri dah celaru identiti.
Chimera mungkin?

Oh,
dan bila aku cakap dengan kawan-kawan, aku bahasakan Archoke sebagai 'komputer'.
Seorang kawan aku ni kata aku kedengaran macam pakcik-pakcik tua yang buta IT bila sebut 'komputer'.
Katanya, orang zaman sekarang sama ada sebut PC, ataupun sebut laptop, atau notebook, atau macbook, atau tablet PC, atau tablet atau lain-lain lagi istilah yang ada.

Tahu tak bila orang sebut 'tablet',
aku akan terbayang bongkah batu leper yang orang zaman Rom Purba dulu buat ukir ketuk-ketuk guna pahat tu?
Rasanya otak aku masih ketinggalan zaman, sebab tu laa orang kata bila aku sebut 'komputer' kedengaran macam pakcik buta IT.
Generation gap mungkin? Hmmm...

Funny bila fikir balik,
nama Archoke aku ambil sempena nama Archimedes, ahli matematik terkemuka Greek.
Mulanya aku nak letak nama Archie, tapi Archie kedengaran macam nama lelaki yang feminim, tak ganas langsung.
Archoke pula, sebab ada perkataan 'choke' dengar macam ganas gila hahahaha.

Nama komputer pun aku letak nama orang dulu-dulu.
Ye laa, takkan aku nak letak nama Putra Arryan Mikail Ezekiel Danial Danish Evans Da Silva macam nama budak-budak zaman sekarang, kan?


So what do you think?
Adakah kalian juga suka beri nama pada barang-barang kesayangan?
Adakah Archoke sebuah laptop ataupun PC?
Adakah sebutan 'komputer' kedengaran pakcik-pakcik pada kalian?
Apa pendapat kalian tentang nama Archoke? Ganas tak?






.

Jan 11, 2017

Mengejar Kesempurnaan.



Salam.
Tiada komik minggu ini.

Baiklah, sebelum kita teruskan cerita,
aku mahu perkenalkan kalian kepada dua orang tunggak utama topik yang bakal aku sentuh ini:


1) Yura Yu.

Yura ialah seorang kawan/ pelukis/ blogger yang aku mula kenal melalui blog ini. Disebabkan circle pembaca blog ini tak luas mana jadi aku rasa kalian sudah pun kenal siapa Yura. Dia juga terlibat dalam beberapa projek buku Buasir Otak: The Komik. Antara perkara yang sangat aku kagum dengan Yura ialah lukisan dia sangat beridentiti. Sekali pandang sudah tahu ini hasil tangan Yura, sesuatu yang sangat susah untuk dimiliki walaupun bagi pelukis professional. Kenali dia lebih lanjut di blognya, Road Not Taken.


2) Jake Parker.

Jake Parker ialah seorang pelukis komik, artis konsep, ilustrator dan juga animator terkenal. Dia sangat dikenali kerana memulakan cabaran 30 hari melukis di bulan Oktober yang dikenali sebagai Inktober. Dia rajin berkongsi tips dan hasil kerjanya di laman-laman sosial yang ada termasuklah Facebook, Tumblr dan YouTube.




Jadi sekarang kalian sudah kenal tunggak utama topik aku kali ini,
biar aku mulakan cerita.


Satu hari di hujung tahun lepas 2016,
Yura sebagai salah seorang friend dalam Facebook aku ada share satu video.
Video tersebut ialah satu klip pendek berdurasi satu minit saat yang dihasilkan Jake Parker, bercerita tentang sesuatu yang memberi inspirasi terhadap penonton.

Ini videonya:






Finished, Not Perfect.


I want you to repeat this mantra.
Finished, not perfect.
Finishing a thing is way more important
than having something that's perfect but not finished.
One of the best ways to learn how to do something is to, actually, go out and do it.


If you wanna draw comics, go draw a comic.
If you wanna illustrate a picture book, go illustrate a picture book.
If you wanna be a concept artist for feature films, start designing characters and environments for an animated film that you've made up.


The key thing there is that you do it,
and the most important part is that you finish it.
You finished project is probably gonna stink but that's not what's important.
What's important is that you have the ability to take an idea from start to finish.


If you are worried about perfection,
if you are worried about being good,
you're gonna hate whatever you do perfectly now a year from now.
You are not gonna like it because you've moved on. You've gotten better.
So why should you stress about it being perfect now,
if you know you are naturally gonna become better in future.


The world wants and it needs people who finish things.
So, remember now,
part of becoming an amazing artist is having the ability to finish something.






In case kalian skip video dan narative panjang berjela yang gigih aku taip di atas,
video itu menekankan bahawa sangat penting untuk HABISKAN sesuatu daripada menjadikan ia SEMPURNA.
HABISKAN lagi penting daripada SEMPURNA.

Jake Parker dalam video tersebut menekankan tiada guna kalau kita nak hasilkan sesuatu dengan perfect dan sempurna tapi hasilnya tidak siap. Siap dan habiskan sesuatu lebih penting daripada menjadikannya sempurna kerana dengan masa, kita akan semulajadi menjadi sempurna.



Bila aku tertonton video yang Yura kongsikan di Facebook itu,
tetiba rasa macam ada lembing tertusuk terpacak tembus ke perut aku.
Video itu sangat kena dengan aku.

Jujurnya, aku ada 645,878 kerja yang belum siap dan terbengkalai.
Dan angka enam digit itu bukan satu exaggeration.
Aku ada perangai di mana bila aku mulakan sesuatu dan rasakan ia tak best atau tak capai piawaian, aku akan tinggalkan.
Perangai macam ni laa yang menjadikan wujudnya banyak kerja terbengkalai.
(or orang zaman sekarang panggil WIP, untuk work in progress)



Aku tertonton video yang Yura kongsikan itu pada satu malam sebelum tidur.
Lepas aku habis layan video tersebut, aku terdiam kaku.
Aku persoalkan segala yang sudah aku lakukan sepanjang masa ini.
Kalaulah aku tidak ikutkan perangai suka tinggalkan kerja aku itu, mesti sudah jauh aku boleh improve, kan?

Aku tutup komputer, aku panjat katil dan aku baring nak tidur.
Namun selama hampir 2 jam aku asyik termenung dalam gelap memikirkan isi video berkenaan.

Yang menariknya, 'Finished, not Perfect' ini bukan sahaja boleh digunakan untuk pelukis dan orang yang terlibat dengan seni, namun boleh juga diaplikasikan di dalam setiap perkara dalam kehidupan.

Contohnya,
jika kita berazam nak menabung satu hari satu ringgit, adalah penting untuk menghabiskan azam itu sehingga hujung tahun, bukannya berhenti bila terskip satu hari.
Jika kita mahu cat dinding bilik, adalah penting untuk habiskan kerja cat itu sehingga tamat daripada sibuk memikirkan cat warna apa yang sesuai, berus apa yang diperlukan, macam mana nak bagi bilik nampak luas dan sebagainya.

Kadang-kadang kita terlalu kejarkan kesempurnaan sehingga mengabaikan lumrah semulajadi manusia yang akan menjadi lebih baik mengikut masa.


Jadi, untuk tahun 2017, aku tak ada azam lain yang spesifik.
Aku hanya mahu habiskan kesemua kerja terbengkalai aku dan teruskan mengamalkan prinsip 'Finished, not Perfect' ini selagi yang aku mampu.




Terima kasih teramat sangat kepada Yura sebab kongsikan video itu di Facebook.
Kalau dia tak kongsikannya, mungkin sampai sudah angka kerja terbengkalai aku melonjat mencapai 7 digit.

Aku nak berterima kasih kepada Jake Parker juga,
tapi dia orang besar jadi aku ucap dalam blog ni je laa hahahaha.
Kalian pergilah subscribe channel dia di YouTube.
Dia banyak kongsi tips dan inspirasi untuk melukis.
Tapi video dia panjang-panjang berpuluh-puluh minit,
whereas aku punya video attention span hanya sampai maksima 12 minit setengah je.
Lepas tempoh tu aku dah jadi cepat naik bosan hahaha.


Dan akhirnya, aku nak melontarkan rasa kagum terhadap diri sendiri.
Nampak tak aku mulakan entri ini dengan memperkenalkan dua orang yang memainkan peranan besar dalam cerita aku dan akhirnya aku twist dan tetap menjadikan diri sendiri sebagai watak utama dalam cerita ini?
Aku sangat hebat manipulasi cerita dan jadikannya berpusat pada diri sendiri.
Kalau aku tak kenal diri sendiri, mesti aku dah label diri sebagai narsissis yang hebat.

If only I have that ability to manipulate people in real life hahahaha.



Okay,
jumpa minggu depan.
InsyaAllah ada komik (if you're looking forward to one hahahaha)





.

Jan 4, 2017

Aku, Tahun Baru dan Memori Indah yang Membanjiri Otak.



Salam.
Selamat tahun baru.
Pejam celik pejam celik sudah tahun 2017.
Terasa macam baru minggu lepas je tahun 2016 #IYKWIM




Jadi untuk entri pertama tahun 2017 ini aku mahu lari daripada kebiasaan.
Biasanya aku akan bercerita tentang azam,
sama ada azam tahun baru ataupun tercapaikah azam tahun lepas.

Namun kali ini aku mahu bercerita tentang sambutan tahun baru aku.


Tidak seperti tahun-tahun lepas, tahun baru kali ini aku sambut di tempat baru.
Kawasannya ceruk, hujung bandar dan tak ada apa pun yang menarik.
Macam dulu, rumah aku di Bandar Besi itu dekat dengan kawasan tumpuan orang,
jadi tiap kali tahun baru, pasti ada sambutan letupan bunga api.

Aku suka bunga api. Hanabi.
Pada aku bunga api romantik.
Tiap kali aku tengok bunga api, aku akan terimbau kenangan bersama seseorang.
Ia kenangan yang indah jadi aku tak ada niat nak buang dari memori.

Namun kali ini aku terpaksa bertahun baru di tempat baru.
Kawasan ceruk dan tiada ramai orang ini pastinya tak ada sambutan tahun baru.
Tiada sambutan bermaksud tiada bunga api.

Jauh dalam hati aku, aku dah redha yang kali ini aku akan sambut tahun baru tanpa bunga api. Rasa ralat, tapi apa boleh aku buat. Bukannya aku taukeh bunga api pun.

Detik semakin tiba, aku hanya mengadap TV menanti apakah sambutan tahun baru yang akan ditayangkan, namun TV pun seolah-olah tak meraikan tahun baru. Kalau dulu siap ada lintas langsung dari Dataran lagi nak kira detik 12 malam. Kali ini tiada. Sama ada budget lagi ataupun negara sudah dijajah pemikiran tidak mahu meraikan apa-apa lagi, aku pun tak pasti.

Lima...
Empat...
Tiga...
Dua...
Satu...

SELAMAT TAHUN BARU!

Aku sambut sendiri, sendirian, berseorangan.

TIba-tiba aku terdengar bunyi berdentum.
Agak jauh, tapi aku tahu itu tidak lain tidak bukan adalah dentuman bunga api.

YA, BUNGA API!

Rupanya kawasan ceruk hulu macam ni pun ada orang sambut tahun baru dengan bunga api.

Aku segera keluar rumah ikut pintu belakang.
Nampak dari jauh bunga api meriah menghias langit malam.
Berdentum satu-satu. Meletup di udara dan membentuk corak bunga.

Aku tersenyum.
Alhamdulillah.
Rupanya Yang Maha Besar masih lagi mahu aku meraikan tahun baru dengan melihat bunga api.
Hati aku dah redha dah takkan nampak bunga api kali ini tapi sebaliknya bunga api masih ada.
Tersenyum aku sendiri.
Segala memori indah semuanya kembali membanjiri otak aku.

Terima kasih Ya Tuhan.
Terima kasih untuk kesempatan ini sekali lagi.







Oh ya,
ini adalah cerita beberapa jam sebelum tahun baru.
Aku dan beberapa orang lain makan di sebuah kedai makan hispter.
Ada seorang antara kami order sup ketam, dan ia berbau sedap.

Bagi yang tidak tahu, aku alergik dengan ketam.
Bila aku makan ketam walaupun hanya sekadar sup,
muka aku akan bengkak bermula daripada bibir.
Kadang-kadang bau ketam yang dimasak di dapur pun boleh buat bibir aku bengkak.

Tapi sebab aku orang sains, aku tahu alergik adalah tindakbalas badan terhadap sesuatu.
Disebabkan badan manusia sentiasa berubah, sesuatu yang kita alah dahulu mungkin sahaja sudah tidak alah sekarang.

Seorang kenalan aku dulu pernah alah terhadap daging kambing semasa dia kecil tapi sekarang dia sudah dewasa dia sudah tidak alah lagi.

Aku pun anggap aku mungkin sudah tidak alah kepada ketam,
jadi aku ambil keputusan untuk hirup satu sudu sup ketam yang diorder tadi.





Sekarang cuba teka,
siapa sambut bunga api tahun baru 2017 dengan bibir besar membengkak mengalahkan Angelina Jolie?







Jadi,
macam mana dengan tahun baru kalian?
Ada perkara menarik yang boleh dikongsi?




.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Namaku cEro.... Kacak, tinggi, putih gebu, badan tegap, macho.. Kalau korang nampak orang yang memenuhi kriteria di atas, dia BUKAN AKU..
PENERBITAN:


Protected by Copyscape Online Plagiarism Check
Creative Commons License