Bagi yang perasan, aku jarang berbicara tentang isu semasa.
Ini disebabkan pemilik blog ini (aku) bersifat narsistik,
hampir setiap tempat di dalam blog ini ada muka cEro.
Tidak.
Bukan itu sebabnya.
Sebab utama aku jarang berbincang tentang isu semasa adalah kerana kebanyakan entri dalam blog ini sudah dijadualkan lebih awal dari waktu ia diterbitkan.
Dengan kata lain, kalau aku tulis isu semasa dan jadualkannya untuk diterbitkan rabu dua minggu lagi, itu namanya sudah tidak jadi isu SEMASA.
Lagipun blog
Buasir Otak lagi bagus dalam membincangkan isu semasa.
Tapi kali ini lain...
Biar aku berbicara tentang isu yang hangat minggu lepas.
Isu mengenai
The Dress,
satu baju yang dikatakan berjaya memecah-belahkan internet dan memutuskan banyak talian persahabatan sesama kawan.
The Dress.
Ceritanya bermula apabila seorang pengguna Tumblr bernama
swiked memuatnaik satu gambar baju perempuan ke dalam laman Tumblr-nya dan bertanyakan,
"guys please help me - is this dress white and gold, or blue and black?
Me and my friends can’t agree and we are freaking the f*ck out"
Terima kasih kepada internet,
gambar itu menjadi viral ke seluruh dunia di mana secara tiba-tiba manusia terbahagi kepada dua kumpulan;
Team White/Gold dan
Team Blue/Black.
Satu kumpulan nampak baju itu sebagai baju putih dengan belang emas,
manakala satu lagi melihatnya sebagai baju biru belang hitam.
Fenomena berbeza pendapat ini digelar sebagai
The Dress.
Internet sangat pelik. Isu macam ini pun boleh jadi viral.
Menurut undian dari satu laman web terkenal
BuzzFeed, lebih 2 juta pengguna mengundi mereka nampak baju itu sebagai 'putih belang emas' sebagai majoriti.
Malangnya, majoriti bukanlah realiti.
Baju itu sudah dipastikan melalui gambar lain sebagai baju biru belang hitam.
Bagaimana perkara ini boleh terjadi?
Bagaimana kita selaku manusia boleh melihat gambar yang sama,
tapi nampak warna yang berbeza?
Ini sangat menarik minat aku untuk kaji,
jadi ini adalah artikel 'isu semasa' yang aku rumuskan dari penjelajahan aku mencari jawapan di dalam alam maya.
Kalau rajin google, banyak laman web di luar sana sudah menceritakan secara terperinci mengapa perbezaan ini berlaku.
Tapi kebanyakan artikel tersebut tidak tepat (pada aku) dan berbahasa inggeris.
Jadi aku akan cuba terangkan dalam Bahasa Malaysia seringkas dan setepat yang boleh mudah difahami.
Beza kumpulan Biru/Hitam dengan kumpulan Putih/Emas bukannya terletak kepada beza retina mata,
ataupun betapa sensitifnya mata kita,
ataupun setting di dalam telefon bimbit kita,
ataupun berapa lama mata kita terdedah kepada matahari seperti yang dibincangkan oleh sesetengah pihak.
Semua sebenarnya hanyalah satu isu bagaimana otak kita mentafsir maklumat yang dihantar dari mata.
Ya, otak.
Bila sebut tentang otak, aku jadi super-teruja.
Aku peminat nombor satu otak.
White Balance dan Tafsiran Otak.
Untuk memahami isu ini lebih lanjut,
kita kena faham satu lagi konsep iaitu 'keseimbangan putih' atau dalam bahasa lebih dikenali,
white balance.
White balance adalah satu proses di mana para jurugambar and juruvideo (atau mereka-mereka yang mengiktiraf diri mereka sendiri dengan gelaran seperti itu) gunakan untuk menghilangkan pengaruh pencahayaan sekitar terhadap objek yang mahu ditampilkan di dalam gambar supaya objek putih di luar gambar akan kelihatan putih di dalam gambar. Bila putih di gambar sama seperti di luar gambar, maka warna lain akan turut kelihatan semulajadi tanpa perlu pedulikan pencahayaan sekitar.
Alaaa, mudah cerita, kalau kulit kita sawo matang, tak kisah sama ada tangkap gambar di dalam bilik malap atau di bawah cahaya matahari, dengan adanya
white balance ini, kulit kita akan tetap nampak sawo matang.
Kalau warna pada baju itu dikeluarkan satu persatu,
kita akan dapati warnanya bukanlah biru atau hitam atau putih atau emas.
Ianya lebih kelihatan seperti kelabu dan ungu gelap dan jingga gelap.
Tapi kenapa tiada yang kata baju itu warna ungu dan jingga?
Otak kita SANGAT HEBAT dalam mentafsir gambar terutamanya warna pada gambar supaya ianya kelihatan masuk akal.
Sebab itu kita tahu baju yang dipakai Hassan di dalam filem Sarjan Hassan lakonan P. Ramlee dan rumput yang dipijaknya berwarna hijau walaupun wayangnya hanya hitam putih.
Siapa tahu, mungkin semasa penggambaran filem tersebut, P.Ramlee pakai baju warna pink dan rumput pula berwarna jingga.
Sebagai contoh,
lihat imej di bawah ini:
Sumber: Vsauce video 'This Is Only Red'
Walaupun gambar di atas kelihatan mempunyai pelbagai warna,
tapi percayalah semua warna di dalam gambar di atas adalah MERAH.
Ada lebih dari 50 shades of merah (see what I did there?) dalam gambar tersebut tetapi disebabkan otak kita terlalu hebat mentafsir gambar, kita akan nampak seperti wujudnya hijau, kuning, biru, jingga dan banyak lagi warna selain merah di dalam gambar ini.
Kalau kita belajar tentang warna, kita akan tahu bahawa WARNA SENTIASA BERUBAH.
Bergantung kepada sumber cahaya,
warna putih boleh kelihatan biru, jingga mahupun kelabu.
Sebab itu kita celup baju sekolah putih kita dengan warna nila biru,
supaya di bawah cahaya matahari terik, baju biru kita kelihatan putih bersih sedangkan warna sebenarnya ialah putih yang sudah dicelup nila biru.
Otak kita sangat hebat mentafsir warna sebenar disebalik warna yang ditonjolkan oleh objek.
Tanpa kebolehan menafsir ini, otak kita akan jadi keliru kerana warna objek di sekeliling kita sentiasa berubah bergantung kepada sumber cahaya.
Gambar dan Kamera.
Tidak seperti mata dan otak kita yang super-hebat,
kamera perlu menentukan warna putih menggunakan input di dalam gambar yang bakal diambil dan kemudian akan ditafsirkan menggunakan konsep
white balance supaya warna lain seperti biru, merah dan hijau adalah tepat dengan warna sebenar di luar gambar.
Disebabkan warna putih sentiasa ada di dalam mana-mana imej dan gambar, maka ianya bukan satu masalah besar bagi kebanyakan gambar.
Tetapi, dalam kes gambar The Dress ini,
kamera yang digunakan sangat teruk (atau mungkin bernasib baik) dalam mentafsir warna putih dan
white balance.
Kamera tersebut telah meletakan warna putih yang ditafsirnya di titik sempadan beza antara dua kemungkinan bagaimana seseorang mentafsir gambar menggunakan otak seperti yang telah kita bincangkan tadi.
Sesetengah otak mentafsir bahawa putih adalah cahaya terang di dalam gambar dan menjadikan belang gelap itu berwarna emas manakala sesetengah otak lagi melihat warna putih di belakang gambar sebagai titik menafsiran menjadikan baju itu berwarna biru berbelang hitam.
Tiada orang yang boleh nampak kedua-dua gabungan warna (Putih/Emas dan Biru/Hitam) secara serentak, jadi mana satu yang otak kita tafsir dan selesa menerimanya, maka itulah warna yang JELAS kita nampak pada baju tersebut.
Semuanya berkaitan dengan menafsiran mengenai apa yang kita nampak.
Kita akan nampak apa yang kita mahu nampak.
Dalam istilah sains, ini dipanggil 'perception' atau persepsi.
Seperti entri
itik dan arnab yang pernah aku buat dulu.
Otak kita melakukan banyak keputusan di bawah sedar seperti ini setiap hari,
namun kebiasaannya setiap dari kita membuat keputusan tentang tafsiran yang sama.
Bila minda bawah sedar kata 'cEro pakai baju kuning',
orang lain juga akan tafsir perkara yang sama sebab kesemua kita nampak cEro pakai baju kuning.
Cuma dalam kes gambar The Dress ini,
ianya mampu membuatkan kita manusia menafsir dua gambaran nyata yang berbeza mengenai warnanya.
Kenapa Berbeza?
Kenapa ada yang lihat warna tertentu dan yang lain pula melihat warna yang berbeza sedangkan gambar yang sama?
Jawapannya terletak kepada permulaan kita menafsir data yang diterima mata ke otak.
Dari awal kita sudah diberi dua pilihan, Putih/Emas dan Biru/Hitam.
Dan dari awal kita sudah meletakan diri di pihak mana.
Inilah yang kita panggil '
perception' (atau persepsi) dan kalau ditanya mana-mana ahli psikologi, '
perception' penuh dengan sifat berat sebelah, atau dalam bahasa mudah difahami, '
bias'.
Bias atau sifat berat sebelah ini boleh ditentukan oleh banyak faktor.
Antaranya ialah jangkaan (
expectation).
Jika pertama kali kita melihat gambar The Dress ini di twitter kawan-kawan, dan tweet yang ditulisnya berbunyi
'Aku tak faham kenapa ada yang tak nampak baju ni warna putih dan emas..',
maka kita sudah meletakan jangkaan di dalam minda bawah sedar kita bahawa baju itu berwarna putih dan emas.
Maka apa yang kita akan nampak adalah baju warna putih berbelang emas.
Dan kita sudah tentu akan terima sifat berat sebelah kita.
Maka kalau kita nampak baju ini sebagai putih dan emas pada awalnya,
sudah jadi susah untuk kita TIDAK nampaknya sebagai putih dan emas.
What you've seen cannot be unseen.
Tapi realiti tidak semestinya sama dengan apa yang kita nampak.
Otak kita sangat hebat dalam menafsir persekitaran,
dan itulah antara ciri-ciri yang membolehkan kita terus hidup sebagai makhluk yang berada di puncak siratan makanan.
Namun,
otak kita bukanlah sempurna.
Kita harus menerima hakikat bahawa lain orang lain yang dia nampak.
Kalau kita boleh terima hakikat itu, maka apa yang orang lain nampak adalah sama benarnya dengan apa yang kita nampak walaupun realitinya berbeza.
Jadi,
pergi jumpa balik kawan kalian yang terputus persahabatan dek kerana masing-masing nampak baju itu dalam warna yang berbeza.
Berbaiklah semula.
Dari konteks persepsi, dia tidak salah, anda pun tidak sepenuhnya benar.
Menghormati tafsiran otak dan akal orang lain adalah lebih penting daripada menegakkan siapa yang benar dan siapa yang salah walaupun realitinya jelas dan berbeza.
Gunakanlah organ jeli di dalam plat kranium yang kita junjung setiap masa itu.
Jangan disebabkan baju yang bukan pun kita punya, kita kehilangan insan bernama kawan.
...and by the way,
aku team Biru/Hitam.
.