Salam.
Biar aku mulakan
dengan memberitahu bahawa aku kurang pandai nak bercerita, apatah lagi nak
bercerita kisah seram. Jadi, jangan buat andaian bahawa cerita yang bakal aku
sampaikan ini akan membuatkan kalian tidak dapat lelap mata tidur malam ini.
Ceritanya
bermukadimahkan aku pada usia 12 tahun. Pada usia tersebut, aku mula perasan
yang mata aku semakin rabun bertitik-tolak dari peristiwa aku gagal untuk
fokuskan penglihatan apabila sedang cuba skodeng crush aku dari jauh. Walaupun aku tahu aku rabun, tapi aku hanya
mula pakai cermin mata (secara sambilan - on
and off) pada 5 tahun kemudian, itupun disebabkan aku terpaksa bertungkus
lumus belajar untuk SPM.
Seperti orang buta,
walaupun cacat penglihatan namun deria-deria yang lain menjadi tajam.
Lima tahun
bergelumang dalam arena kerabunan tanpa cermin mata menyebabkan aku mampu
mengasah beberapa kemahiran istimewa: Telinga, hidung dan penglihatan periferal
(peripheral vision) aku menjadi
tajam. Aku mampu dengar dengan baik, aku mampu hidu dengan baik, malah aku
mampu kenalpasti objek bergerak dengan baik.
Tapi aku masih
rabun. Rabun membuatkan aku sangat gagal dalam cam muka.
Okey, cukup
mukadimah. Terus ke isi utama.
Aku tinggal di
tingkat paling bawah sebuah kuarters empat tingkat. Bilik yang aku tinggal
sekarang dihuni dua orang termasuk aku. Walaupun bilik agak sempit, tapi
disebabkan jadual kehidupan kami selalu berbeza, maka aku dan rakan sebilik aku
(si Roommate) jarang berada di dalam bilik pada masa yang sama. Bila seorang
kerja malam, seorang lagi kerja siang, dan sebaliknya.
Satu malam, aku
berseorangan di dalam bilik. Aku nak bagitahu yang aku sedang membaca buku tapi
kalau aku bagitahu, mesti kalian tak percaya sebab kalian tahu betapa tak suka
membacanya aku ini. Maka, anggaplah aku sedang melayari internet seorang diri
di dalam bilik.
Tiba-tiba, ada bunyi
benda bergolek dari siling atas bilik aku. Bunyi datang dari lantai bilik atas
bilik aku.
Seperti yang panjang
lebar aku cerita dalam mukadimah tadi, telinga aku sangat tajam apatah lagi
bawah suasana malam yang sunyi dan kurang pencemaran bunyi. Dari bunyi
tersebut, aku dapat menaakul bahawa bunyi bergolek itu datang dari objek
berbentuk sfera, keras dan berat dengan diameter objek tersebut lebih dari lima
inci dan kurang dari sepuluh inci. Objek terbaik untuk ciri-ciri tersebut, pada
aku, ialah bola boling.
"Neraka apakah
yang difikirkan oleh jiran di atas bermain golek bola boling pada malam hari
nan syahdu begini," aku mengomel seorang diri.
Bunyi bergolek itu
tidak berhenti sekali, malah ianya bersambungan setiap selang beberapa saat
sehingga hampir sepuluh minit seolah-olah cukup untuk meliputi keseluruhan
lantai bilik. Golek ke utara, patah balik ke selatan, pusing ke timur, kemudian
kembali ke utara, dan giliran barat, dan selatan, dan utara dan seterusnya dan
seterusnya....
Bercita-cita hendak
menjadi jiran yang baik, aku batalkan niat aku untuk menjerit kuat sebagai
amaran supaya jiran di atas hentikan apa sahaja yang dia sedang lakukan. Bunyi
golekan itu agak menjengkelkan walaupun tidaklah bingit. Pada aku, ianya lagi
menjengkelkan daripada bunyi katil bergoncang malam jumaat. Namun, aku kekal
positif dengan memberitahu diri sendiri bahawa jiran di atas sedang praktis
balingan bola boling untuk pertandingan yang akan disertainya esok hari. Dia
perlu menang kerana jika dia kalah, tanah pusaka arwah bapanya di kampung akan
tergadai dek hutang piutangnya kepada lintah darat. Lagipun crush-nya, si Daiyan anak ketua kampung
juga bakal datang memberi sorakan semangat untuknya. Gagal bukan pilihan, sebab
itu dia perlu berlatih.
Sedang aku asyik
mereka back story untuk jiran atas tersayang aku itu, bunyi golekan berhenti.
Aku sangka ianya akan bersambung lagi, tapi kali ini ianya berhenti terus.
Tiada sambungan.
Aku senyum. Aku
lega. Aku mengantuk. Aku tutup lampu dan aku tidur.
Keesokan pagi, aku
bertembung dengan si Roommate di dalam bilik. Aku bersiap untuk pagi, dia baru
pulang dari kerjanya. Selaku teman sebilik yang baik, aku mulakan perbualan
kosong,
"Bro, jiran
atas rumah kita ni ada tournament
boling ke? Malam tadi giat betul dia praktis golek-golek bola..."
Perlahan, si
Roommate menoleh pandangannya ke arah aku. Mukanya jelas tertulis tidak tidur
malam. Namun, dia kelihatan seperti perlu beritahu sesuatu kepada aku. Dia buka
mulutnya dan bertanya,
"Kau dengar apa
malam tadi?"
"Jiran atas
kita golek bola boling," jawab aku.
"Atas bilik
ni?"
Aku angguk.
Si Roommate terdiam
seketika. Dia menarik nafas dalam-dalam sebelum sambung berkata.
"Bro, atas
rumah kita ni tak ada orang tinggal. Dekat empat bulan dah kosong."
Kami berdua berdiri
tegak bertentang mata tanpa kata-kata. Perlahan-lahan aku berpusing badan dan
meneruskan rutin bersiap aku. Si Roommate pun dengan perlahan merebahkan diri ke
atas katilnya untuk menggantikan waktu tidurnya.
Tiada lagi perbualan
tentang bilik rumah atas atau mana-mana tournament
boling.
.