Suatu masa beberapa hari yang lalu,
Abang W menelefon aku untuk berjumpa,
"Duduk-duduk, lepak-lepak, catching up.." katanya.
L dan keluarga baru saja balik dari bercuti panjang di luar negara.
Walaupun nama bercuti, tapi sebenarnya Abang W dan Abah meninjau peluang perniagaan baru di sana.
Ketika duduk semeja dengan Abang W,
aku sangkakan L ikut sama.
Rupanya hanya kami berdua.
Bla bla bla cakap kosong tanya khabar sana sini,
akhirnya Abang W sampai ke tujuan asal mengajak aku minum petang bersama.
"Kami dapat peluang baik untuk kembangkan perniagaan di sana.
Tapi, untuk berbuat demikian, kami perlu menetap lama di sana."
Aku macam tahu apa yang bakal Abang W sampaikan.
"Abang dan Abah sepakat setuju untuk tinggal di sana.
Tapi, L tidak setuju. Dia mahu terus tinggal di Malaysia."
"Kau tahu L tidak sihat. Jantung dia lemah.
Duduk tinggal seorang di Malaysia adalah masalah bagi dia.
Pak Harun dan Mak Tom (pembantu rumah) pun ikut kami sekali.
Mereka sudah setuju.
Jadi, L tiada siapa yang boleh menjaga dia seorang di sini."
"Lalu, Abah kemukakan satu cadangan kepada Abang.
Iaitu KAHWINKAN L"
Aku membeliakkan biji mata.
"Abah cadangkan cari L seorang suami yang boleh jaga dia.
Seseorang yang bertanggungjawab, dan ada di sisi dia ketika dia sihat atau sakit.
Abah dan Abang tiada orang lain di fikiran melainkan KAU."
"Kalau kau setuju,
segala perbelanjaan perkahwinan kami akan tanggung.
Kita buat besar-besaran, atau kecil-kecilan, itu semua terletak di tangan kau.
Kami juga akan bagi kau satu jawatan di syarikat kami di sini.
Sama ada mahu mula dari bawah atau terus ke pangkat tinggi,
itu juga terletak di tangan kau.
Tapi kami dah ada kekosongan satu jawatan pengurus di pejabat."
"Kau boleh jaga L.
Kamu boleh tinggal di rumah kami sekarang.
Kami akan carikan pembantu rumah lain untuk kamu.
Apa yang penting, kau mampu menjaga L di sini."
"Kalau kau setuju, kita akan berbincang lanjut dengan Abah.
Kau adalah antara sebab kuat L tidak mahu berpindah."
Tiada kata dari aku.
"Tak apa. Kami bagi masa untuk kau fikirkan.
Pergilah minta pendapat keluarga dan kawan-kawan.
Ini peluang terbaik untuk kau tingkatkan taraf hidup."
"Tapi kalau kau tak setuju dengan cadangan ini,
kami terpaksa melawan kerelaan hati L
dan bawa dia tinggal bersama kami di sana
untuk jangka masa yang kami sendiri tak tahu berapa lama."
"Dan aku berpeluang kehilangan L buat selamanya" benak hati aku berbisik.
"Balik dan fikirkan dahulu.
Ambil berapa lama mana masa yang diperlukan.
Tapi ikut rancangan, sebelum musim bunga tiba,
kami akan berpindah ke sana."
"Dan L tidak tahu cadangan ini.
Hanya selepas kau buat keputusan, baru kami beritahu dia.
Maafkan Abang!"
Lalu, aku larut dalam celah retakan hati.
postquam-scriptum:
Kalau aku setuju, hidup aku berubah serta merta.
Kalau aku tidak setuju, aku berpeluang kehilangan hati.
Kalau aku setuju, ada jalan yang khusus untuk aku.
Kalau aku tidak setuju, aku terus begini.
Kalau aku setuju, masa depan aku bukan lagi impian aku.
Kalau aku tidak setuju, keinginan aku bukan lagi satu harapan.
postquam-subscriptum:
Baru aku sedar, pada momen aku taip entri ini,
pilihan yang kelihatan dua, sebenarnya hanya satu dari awal.
Pendek kata, keputusan sudah ditetapkan awal lagi.
Dan ianya sangat menyakitkan.
postquam-subsubscriptum:
Jauh di sudut hati aku, aku agak terhina bila dia kata peluang ini akan tingkatkan taraf hidup aku.
Tapi, itulah realiti.
Bila aku cuba ceritakan hal ini kepada seorang kawan,
dia kata aku terlalu drama..
Ya, aku harap semua ni drama.
Dari kecil, aku hanya nak hidup dengan ringkas.
Tapi, disebabkan keringkasan itulah, hidup aku makin rumit.
Aku harap ini hanya satu cerita slot Akasia.
ya allah ~ sebijik mcm dalam drama dalam TV! tak sangka dalam life skrg pun ada yg mcm nie
ReplyDeletebtw cero, sabarlah. pikir baik2. mintak petunjuk dari Allah. Aku tahu tu sbb aku pernah berada di tempat kau, membuat keputusan utk msa depan dimana kita ada dua pilihan yang dua dua pilihan itu memberi impak yang berbeza
papehal chill bro ! :D
Allah bg dugaan dekat kau masa ini sebab Dia nak bagi kau kebahagian pada masa depan nanti :)