Dear cErolian,

......

TERIMA KASIH!

Terima kasih kerana terus menyokong!

=======================

Jun 20, 2018

Sembang Syawal: MENUJU KE HADAPAN!



Salam.

Ini adalah satu entri yang dijadualkan pada tarikh 20 Jun 2018.
Tarikh berkenaan merupakan hari raya keenam,
dan aku pula hanya akan balik kampung pada hari raya ketiga,
dan aku tak pasti pada tarikh bila pula akan aku sentuh komputer untuk update blog,
maka entri ini ditulis lebih awal dan dijadualkan pada tarikh berkenaan.

Sebelum apa-apa, belum terlewat untuk aku ucapkan
SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI, MAAF ZAHIR BATIN.

Kalau aku ada terbuat silap dengan sesiapa yang membaca entri ini,
aku mohon kalian beritahu apa silap aku supaya aku boleh minta maaf dengan ikhlas.
Kalau kalian ada terbuat silap dengan aku pula,
anggaplah aku sudah maafkan kalian tanpa sebarang perasaan dendam terbuku di hati.




Untuk entri kali ini,
aku nak sembang tentang apa yang aku nak capai sebelum menjelang Syawal tahun hadapan (1440h):


1. Harap sempat dapat bertemu dengan Ramadan tahun depan.

Sounds cliche dan acah-acah bila aku kata aku harap aku sempat dapat bertemu Ramadan tahun depan, tapi memang itu yang aku harapkan. Secara umum, aku rasa Ramadan yang baru lepas ini (1439h) adalah lebih baik berbanding Ramadan tahun sebelumnya (1438h) namun aku tahu aku boleh jadi lebih baik. Sebab itu, aku harap aku panjang umur untuk bertemu Ramadan tahun depan (1440h) supaya aku boleh kekalkan momentum dan menjadi lebih baik daripada yang sebelumnya. InsyaAllah, Amin.



2. Harap status pada Syawal tahun hadapan tidak sama dengan sekarang.

Ini adalah sesuatu yang sangat aku beratkan sejak tahun lepas, namun aku rasa aku tidak cukup berusaha ke arahnya. Namun kali ini, aku akan anggap ini sebagai satu misi. Maksud aku status yang tidak sama bukan bermakna aku terdesak nak kahwin atau apa, tapi lebih kepada aku mahu melihat diri sendiri maju ke depan berbanding sebelumnya. Aku juga manusia biasa yang mahu disayangi dan menyayangi, mahu ada keluarga sendiri, mahu hidup berteman dan diteman. Namun, kesemua itu bukan berada di dalam kawalan aku sepenuhnya. Rezeki, jodoh, ajal maut bukan tugas manusia menentukannya. Doakan aku, ya!



3. Harap boleh buang perangai buruk.

Aku ada satu perangai buruk yang aku sendiri benci tapi sebab sudah lama jadi tabiat maka aku tak mampu nak halang. Maaf, aku tidak boleh beritahu apa perangai buruk aku itu buat masa sekarang, tapi aku sangat mahu buang perangai itu. Kalau aku berjaya buang nanti aku akan beritahu apakah ia. Tapi cukuplah kalian tahu, tabiat buruk itu sangat memberi kesan buruk kepada aku dan ia memudaratkan. Aku rasa, aku perlu lebih serius dalam merancang untuk membuang perangai ini. Susah, tapi aku tahu aku mampu.



4. Harap boleh dapat lebih banyak kawan yang bermanfaat.

Dengar macam harapan budak kecil yang baru masuk kelas tadika; mahukan lebih banyak kawan. Tapi hakikatnya aku memang kurang kawan. Dari usia aku umur 12 tahun aku sudah diajar berdikari dan tidak bergantung, maka kebanyakan perkara aku lakukan sendiri. Akibatnya, aku jadi kurang kawan, apatah lagi kawan yang bermanfaat. Kawan yang ada waktu susah senang. Kawan yang bukan berniat lain dalam berkawan. Jujurnya, pada usia aku ini, nak dapat kawan sejati agak susah. Namun aku yakin, kalau aku sendiri jadi seorang kawan yang baik, maka orang yang baik juga akan mahu berkawan dengan aku. Tapi itulah...nak jadi orang baik bukannya semudah yang disangka.



5. Harap mampu untuk sambung belajar.

Kalau kalian baca blog aku, aku sering kali kata nak sambung belajar. Tapi aku dapati banyak halangan yang melintang menghalang aku untuk teruskan niat itu. Jauh di sudut hati aku sedar, aku sendiri pun tidak cukup nekad untuk merealisasikannya. Dengan usia yang makin lanjut, aku sedar otak aku pun tidak secerdas zaman muda remaja dahulu. Api semarak mahu sambung belajar pun sudah semakin malap. Apa yang aku perlukan adalah menyemarakkan kembali keinginan itu DAN cukup mampu dari segi fizikal, mental dan material untuk terus menuntut ilmu.



6. Harap kesihatan semakin baik dan berkekalan.

Antara faktor utama yang menyekat perkembangan aku belakangan tahun ini ialah faktor kesihatan. Tidak ramai tahu, even keluarga sekalipun, yang aku ni pada dasarnya bukanlah sihat mana. Tapi aku sedaya upaya sorokannya dan 'berlakon' tiada apa-apa di depan orang lain. Alhamdulillah, selepas struggle beberapa ketika, aku rasa aku makin sihat dan aku harap kesihatan ini akan terus meningkat semakin baik dan berkekalan. Dan dengan menyebut kesihatan, aku maksudkan kesemuanya; dari segi mental, fizikal, dan juga spiritual.



7. Harap segala dugaan dapat ditempuhi dengan jayanya.

Dulu aku suka berdoa agar aku dijauhi dari dugaan yang menjatuhkan. Tapi baru-baru ini aku diajar supaya tidak berdoa sedemikian kerana dugaan sentiasa akan datang. Dugaan, ujian dan cabaran adalah tanda Tuhan Yang Maha Penyayang menyayangi kita. Maka, mintalah doa supaya kita diberi kekuatan untuk menempuh segala dugaan yang tiba. Kalau kita kuat dan bersedia, apa juga dugaan yang datang tidak akan mematahkan semangat, pendirian dan iman kita.


------------------------- ------------


Ada seseorang pernah beritahu, jangan suka sangat nak beritahu azam, harapan atau misi kita kepada umum. Sebab takut nanti kalau tidak tercapai, kena balik dengan diri kita. Cukup sekadar diri sendiri sahaja tahu, sudah memadai.

Namun aku rasa, cara itu cara selamat. Aku lagi suka mengumumkan azam aku. Dengan memberitahu azam kita, kita seperti ada satu daya tolak untuk merealisasikannya. Kalau hanya diri sendiri tahu, kita akan jadi mudah untuk mengenepikannya.

Sengaja aku tidak beritahu secara terperinci tentang cara aku untuk realisasikan azam aku ini. Aku ada perancangan sendiri dan aku harap perancangan aku berjalan lancar.

Sama-sama kita majukan diri supaya jadi lebih baik berbanding hari sebelumnya.

Sekian.





.




4 comments:

  1. Selamat hari raya, cEro and hopefully you'll get achieve those goals next year, insya Allah :)

    ReplyDelete
  2. Semoga semua azam cEro ditunaikan hendakNya. Amin!
    Salam aidilfitri!

    ReplyDelete
  3. Selamat hari raya

    ReplyDelete
  4. Selamat Hari Raya Aidilfitri C, Maaf Zahir & Batin~ :)

    ReplyDelete

"It's not what you've got, it's what you do with it." - cEro, 2026

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Namaku cEro.... Kacak, tinggi, putih gebu, badan tegap, macho.. Kalau korang nampak orang yang memenuhi kriteria di atas, dia BUKAN AKU..
PENERBITAN: