Dear cErolian,

......

TERIMA KASIH!

Terima kasih kerana terus menyokong!

=======================

Mar 25, 2015

Anjing dan Seragam Biru Abah.




Jangan pandang rendah terhadap kasih sayang seorang anak terhadap ayahnya.

Seorang anak ahli politik sanggup berusaha mengumpul seramai mungkin ahli keluarga dan pengikut-pengikutnya dan kemudian berhimpun beramai-ramai demi menyuarakan bantahan terhadap tindakan undang-undang ke atas bapanya yang ditahan atas kesalahan meliwat.

Para pengikut setia si ahli politik yang ditahan ini tanpa segan silu menjerit, melaungkan slogan keadilan yang dicari mereka sambil mencaci sistem perundangan negara yang dikatakan korup dan penuh calit hitam. Pada mereka, idola mereka itu teraniaya dan segala-galanya bermotifkan politik. Politik kerajaan yang ingin menjatuhkan lawan yang mampu menggugat periuk nasi emas mereka.

Berhimpun dari pagi ke tengahari.
Dari tengahari ke petang.
Dari petang ke malam.
Pemimpin-pemimpin parti politik berkenaan saling bersilih ganti bertukar muka, tidak pernah ada sekali bersama. Yang pengikut dan penyokong setia pula bersama-sama seisi keluarga dan anak juga anak kecil yang masih menyusu memang cukup setia sentiasa ada sepanjang masa di tempat berhimpun itu sanggup berpanas, berhujan demi idola tercinta.

Cuba teka siapa lagi yang ada sepanjang masa di tempat berhimpun itu dan sanggup berpanas dan berhujan?



Abah aku seorang polis.
Suatu pagi pada hari sepatutnya dia cuti, Abah mendapat satu panggilan dari balai menginginkannya untuk datang segera menyelia di tempat perhimpunan berkenaan.
Menyarungkan seragam biru gelapnya, Abah pun menurut arahan dan turun ke tempat perhimpunan.

Tugasnya hanyalah memastikan perhimpunan tanpa permit itu berlangsung dengan aman tanpa kerosakan dan kemudaratan memandangkan tempat berhimpun dikelilingi dengan harta benda awam yang bernilai.

Apabila Abah turun ke tempat berhimpun, dia tersentak apabila mendapat sapaan pertamanya.
Sapaan pertama yang dia dapat ialah caci-maki.
Caci-maki dari mulut si pengikut dan penyokong setia si ahli politik tadi.
Caci-maki dari mulut seorang suami yang pernah mengazankan anaknya satu tika dulu.
Caci-maki dari mulut si isteri yang mendodoikan anak dan berdoa agar anak itu menjadi anak yang menjadi.

"Bodoh!"
"Bangang!"
"Anjing!"
"Inilah muka anjing kerajaan!"

Baju seragam biru gelapnya bertompok-tompok dek dihujani air ludah dari mereka yang 'mencari keadilan'.



Balik abah malam harinya dengan muka sugul.
Jasmani letih, namun lebih jelas rohaninya tercalar.
Ibu dan bapanya manusia, tapi dia digelar anjing.

Kata Abah,
"Inilah kerja polis. Kami dibenci. Tapi bila terdesak, kami juga dicari nanti."

Apa salah seorang Abah mencari rezeki untuk bagi keluarga makan?
Musuh kamu adalah parti lawan, parti kerajaan, sistem perundangan,
kenapa orang yang mencari rezeki yang kamu anjingkan?

Adakah suatu hari nanti jika kerajaan bertukar tangan,
para pemakai seragam biru juga berhak menolak keamanan?



Cuba aku panggil ayah yang menjaga kau dari kecil sebagai bukan manusia tetapi binatang berkaki empat dengan lidah terjelir dan bergigi taring.
Cuba aku basahkan badan ayah kau dengan amilase liur yang pekat dengan kahak hijau.
Adakah pada ketika itu kau boleh tersenyum dan pusing berpaling?

Siapa beri kau hak untuk hina ayah orang lain?

Jaga-jaga.
Aku sudah nyatakan awal tadi.
Jangan pandang rendah terhadap kasih sayang seorang anak terhadap ayahnya.


Selamat Hari Polis ke-208




.




Mar 18, 2015

Menangis Air Mata Hijau.



The Stylus Story.


Tamat.

===================================================

Once again (and again),
sticky notes dan pen Pilot WIngGel 0.7 Black bekerjasama menghidangkan sebuah cerita yang berkisar tentang kebengongan seorang insan bernama cEro.

Pengajaran kisah:
Kalau ada barangan elektrik dan elektronik yang mahu disimpan lama, tanggalkan baterinya.
Jangan jadi si dungu yang menjahanamkan barangannya seperti aku.

Dan graphic tablet, tidak kisah apa jenamanya pun, bukannya murah.
Tak masuk 3 angka memang tak sah.

Kini,
aku memiliki satu tablet tanpa stylusnya.
Percubaan aku menjadi engineer tidak bertauliah untuk membaiki litar dalaman stylus tersebut hanyalah satu percubaan mentah dan sia-sia.
Ilmu tak cukup. Banyak lagi nak kena belajar.

Bateri yang sudah tamat tempoh mencair dan terus meleburkan papan litar.
Sebab itu cecair yang keluar dari stylus itu berwarna hijau.

And no,
tablet yang aku ceritakan ini ialah graphic tablet,
bukan tablet gadget yang kalian buat selfie dekat kedai makan tu.

Sekarang izinkan aku menangis di penjuru bilik
mengenang nasib yang semakin hari semakin mencabar.

**hembus hingus**




.




Mar 14, 2015

Selamat Hari Pi 2015


Salam.

Happy Pi Day.

Okay, nerd sangat bila semangat nak keluar dari norma dan publish entri hari sabtu semata-mata nak sambut Pi Day.
Hari ini (14 Mac) digelar sebagai Pi Day di seluruh dunia kerana tarikhnya, 3.14 ialah nilai Pi (π), simbol matematik yang paling terkenal pernah kita guna.

Namun,
pada tahun 2015 ini Pi Day lebih istimewa kerana tarikh sambutannya menjadi 3.14 15,
4 tempat perpuluhan tepat mengikuti nilai sebenar Pi.

Lebih istimewa lagi,
entri ini diterbitkan pada 9:27 pagi, menjadikannya 3.14 15 927, 7 tempat perpuluhan tepat mengikut nilai sebenar Pi.
Malangnya, entri tak boleh disetkan mengikut saat.
Kalau boleh, akan aku set entri ini diterbit pada 9:26 pagi 53 saat.

Poyo tak?
What say you?


Bagi yang lupa,
Pi (π) adalah satu nilai dan simbol yang banyak kita guna dalam matematik terutamanya berkaitan dengan bulatan.


Demi meraikan Pi Day,
di bawah adalah 7 fakta yang aku tahu mengenai Pi TANPA mencarinya dalam Google:


  1. Pi adalah nisbah ukur lilit sebuah bulatan berbanding diameternya.

    Dengan kata lain, kalau kalian ambil jangka lukis, tetapkan bukaannya kepada 1 cm dan lukis satu semi-bulatan di atas kertas, panjang semi bulatan itu ialah 3.14159 cm. Cubalah.

  2. Pi adalah konstan (constant).

    Bererti nilai Pi bagi duit syiling 5 sen kalian adalah sama dengan nilai Pi bagi orbit planet Neptune mengelilingi matahari (dengan beranggapan bahawa orbit planet Neptune berbentuk bulatan tepat).

  3. Nilai Pi (3.14159...) tidak mempunyai penghujung dan tidak berulang.

    Cuba fikir. Kalau angkanya tiada penghujung (infiniti) dan tidak berulang, maka ada satu segmen di dalam nilai Pi itu mengandungi nombor IC kita, nombor bank kita, nombor telefon crush kita yang kita tak berani nak tanya, dan jika kita ubah nama kita kepada nombor (contoh, c=3, e=5, r=18, o=15, cero=351815) juga akan muncul di dalam nilai Pi. Pendek kata, Pi memiliki segala data tentang apa sahaja. Fakta itu mampu membuatkan para numerophilia mencapai orgasma.

  4. Pi (π) adalah huruf kecil ke-16 tulisan Greek.

    Dulu aku hafal semua urutan huruf Greek, tapi memori yang tak berhubung tak dapat dikekalkan sangat. Hahaha

  5. Special Pi Day seperti hari ini hanya muncul sekali setiap 100 tahun.

  6. Kalau tak salah, 14 Mac juga tarikh lahir Albert Einstein.

  7. Zaman sekolah dulu, aku guna 22/7 sebagai π.

    Ianya nilai paling hampir dengan nilai sebenar Pi walaupun tak tepat. Tapi pelajar zaman sekarang (tak salah aku) tekan kalkulator je nak masukan nilai Pi.



Cukuplah.
Kalau kalian ada apa-apa fakta mengenai Pi yang tak aku tulis di sini,
silakanlah berkongsi di ruang komen.

Dan maaflah kalau terlebih teruja dengan Pi Day.
Alaa...Bukan selalu. Hehe.

**kenyit mata**



.




Mar 11, 2015

Jeans Biru Jeans Hitam


Dulu,
aku tidak pernah kisah tentang fesyen pakaian,
apatah lagi fesyen untuk lelaki.

Bagi yang pernah bertemu aku in person pasti tahu bahawa penampilan aku sangat biasa, plain dan tidak menonjol.
Kadang-kadang koordianasi warna, baju dan seluar pun tidak sesuai.

Even suatu masa dahulu aku pernah tidak menggemari seluar jeans atas disebabkan fahaman tipikal mengenainya seperti ketat, berat dan tidak selesa.

Tapi selepas diperkenalkan oleh seseorang,
seluar jeans merupakan sebahagian dari wardrobe wajib aku.
Tidak kira warna biru atau hitam atau kelabu, jeans mendapat tempat dalam hati aku.
Bukan sahaja tahan dan selesa dipakai, malah seluar jeans mampu mengubah imej aku dari Super-Selekeh-Baru-Bangun-Tidur kepada Jejaka-Budiman-yang-Melayan-Tetamu.

Dan kini aku diperkenalkan kepada skinny jeans untuk lelaki.



Sejak beberapa tahun kebelakangan ini,
skinny jeans merupakan di antara jenis seluar yang paling versatile dan sering menjadi pilihan lelaki untuk bergaya.
Berbeza dengan potongan jeans biasa, skinny jeans mempunyai potongan yang agak runcing di bahagian betis dan menonjolkan bentuk kaki anda.

Memang betul,
harus diakui bahawa bukan semua bentuk tubuh badan yang sesuai untuk menyarungkan jeans jenis ini melainkan anda mempunyai saiz badan yang sederhana besar dan kaki yang panjang.
Jadi,
jika anda tertanya-tanya apakah gaya atau padanan yang sesuai untuk kelihatan ‘perfect’ apabila memakai sepasang men skinny jeans, you may check this out!


Sarungkan skinny jeans bersama sepasang kemeja dan disempurnakan bersama sepasang loafer untuk gaya seorang ‘gentleman’.


Mungkin ini bukan gaya yang jarang kelihatan di Malaysia, tetapi apa salahnya untuk sekali-sekala bertukar angin bukan?


Gaya yang paling ‘common’ seperti memadankan skinny jeans bersama t-shirt dan jacket could never go wrong!



Pada aku,
apalah salahnya kalau kita mahu sentiasa bergaya.
Tidak perlu sampai mengikut trend terkini fesyen yang kadang-kadang boleh sampai tahap mengarut.
Apa yang perlu ialah keselesaan dan penampilan yang nak ditonjolkan.
Mungkin menukar cara berpakaian mampu menambat hati si gadis yang selama ini tak pandang pun anda walau sebelah mata.

Dengan men skinny jeans, apa salahnya, kan?

Kalian suka seluar jeans?



.




Mar 4, 2015

Sains Di Sebalik Baju Putih/Emas Biru/Hitam #TheDress



Bagi yang perasan, aku jarang berbicara tentang isu semasa.
Ini disebabkan pemilik blog ini (aku) bersifat narsistik,
hampir setiap tempat di dalam blog ini ada muka cEro.

Tidak.
Bukan itu sebabnya.
Sebab utama aku jarang berbincang tentang isu semasa adalah kerana kebanyakan entri dalam blog ini sudah dijadualkan lebih awal dari waktu ia diterbitkan.
Dengan kata lain, kalau aku tulis isu semasa dan jadualkannya untuk diterbitkan rabu dua minggu lagi, itu namanya sudah tidak jadi isu SEMASA.
Lagipun blog Buasir Otak lagi bagus dalam membincangkan isu semasa.

Tapi kali ini lain...
Biar aku berbicara tentang isu yang hangat minggu lepas.
Isu mengenai The Dress,
satu baju yang dikatakan berjaya memecah-belahkan internet dan memutuskan banyak talian persahabatan sesama kawan.



The Dress.


Ceritanya bermula apabila seorang pengguna Tumblr bernama swiked memuatnaik satu gambar baju perempuan ke dalam laman Tumblr-nya dan bertanyakan,
"guys please help me - is this dress white and gold, or blue and black?
Me and my friends can’t agree and we are freaking the f*ck out"

Terima kasih kepada internet,
gambar itu menjadi viral ke seluruh dunia di mana secara tiba-tiba manusia terbahagi kepada dua kumpulan;
Team White/Gold dan Team Blue/Black.
Satu kumpulan nampak baju itu sebagai baju putih dengan belang emas,
manakala satu lagi melihatnya sebagai baju biru belang hitam.
Fenomena berbeza pendapat ini digelar sebagai The Dress.

Internet sangat pelik. Isu macam ini pun boleh jadi viral.

Menurut undian dari satu laman web terkenal BuzzFeed, lebih 2 juta pengguna mengundi mereka nampak baju itu sebagai 'putih belang emas' sebagai majoriti.
Malangnya, majoriti bukanlah realiti.
Baju itu sudah dipastikan melalui gambar lain sebagai baju biru belang hitam.

Bagaimana perkara ini boleh terjadi?
Bagaimana kita selaku manusia boleh melihat gambar yang sama,
tapi nampak warna yang berbeza?

Ini sangat menarik minat aku untuk kaji,
jadi ini adalah artikel 'isu semasa' yang aku rumuskan dari penjelajahan aku mencari jawapan di dalam alam maya.

Kalau rajin google, banyak laman web di luar sana sudah menceritakan secara terperinci mengapa perbezaan ini berlaku.
Tapi kebanyakan artikel tersebut tidak tepat (pada aku) dan berbahasa inggeris.
Jadi aku akan cuba terangkan dalam Bahasa Malaysia seringkas dan setepat yang boleh mudah difahami.

Beza kumpulan Biru/Hitam dengan kumpulan Putih/Emas bukannya terletak kepada beza retina mata,
ataupun betapa sensitifnya mata kita,
ataupun setting di dalam telefon bimbit kita,
ataupun berapa lama mata kita terdedah kepada matahari seperti yang dibincangkan oleh sesetengah pihak.
Semua sebenarnya hanyalah satu isu bagaimana otak kita mentafsir maklumat yang dihantar dari mata.

Ya, otak.
Bila sebut tentang otak, aku jadi super-teruja.
Aku peminat nombor satu otak.


White Balance dan Tafsiran Otak.


Untuk memahami isu ini lebih lanjut,
kita kena faham satu lagi konsep iaitu 'keseimbangan putih' atau dalam bahasa lebih dikenali, white balance.

White balance adalah satu proses di mana para jurugambar and juruvideo (atau mereka-mereka yang mengiktiraf diri mereka sendiri dengan gelaran seperti itu) gunakan untuk menghilangkan pengaruh pencahayaan sekitar terhadap objek yang mahu ditampilkan di dalam gambar supaya objek putih di luar gambar akan kelihatan putih di dalam gambar. Bila putih di gambar sama seperti di luar gambar, maka warna lain akan turut kelihatan semulajadi tanpa perlu pedulikan pencahayaan sekitar.

Alaaa, mudah cerita, kalau kulit kita sawo matang, tak kisah sama ada tangkap gambar di dalam bilik malap atau di bawah cahaya matahari, dengan adanya white balance ini, kulit kita akan tetap nampak sawo matang.



Kalau warna pada baju itu dikeluarkan satu persatu,
kita akan dapati warnanya bukanlah biru atau hitam atau putih atau emas.
Ianya lebih kelihatan seperti kelabu dan ungu gelap dan jingga gelap.

Tapi kenapa tiada yang kata baju itu warna ungu dan jingga?

Otak kita SANGAT HEBAT dalam mentafsir gambar terutamanya warna pada gambar supaya ianya kelihatan masuk akal.
Sebab itu kita tahu baju yang dipakai Hassan di dalam filem Sarjan Hassan lakonan P. Ramlee dan rumput yang dipijaknya berwarna hijau walaupun wayangnya hanya hitam putih.
Siapa tahu, mungkin semasa penggambaran filem tersebut, P.Ramlee pakai baju warna pink dan rumput pula berwarna jingga.

Sebagai contoh,
lihat imej di bawah ini:

Sumber: Vsauce video 'This Is Only Red'

Walaupun gambar di atas kelihatan mempunyai pelbagai warna,
tapi percayalah semua warna di dalam gambar di atas adalah MERAH.
Ada lebih dari 50 shades of merah (see what I did there?) dalam gambar tersebut tetapi disebabkan otak kita terlalu hebat mentafsir gambar, kita akan nampak seperti wujudnya hijau, kuning, biru, jingga dan banyak lagi warna selain merah di dalam gambar ini.

Kalau kita belajar tentang warna, kita akan tahu bahawa WARNA SENTIASA BERUBAH.
Bergantung kepada sumber cahaya,
warna putih boleh kelihatan biru, jingga mahupun kelabu.
Sebab itu kita celup baju sekolah putih kita dengan warna nila biru,
supaya di bawah cahaya matahari terik, baju biru kita kelihatan putih bersih sedangkan warna sebenarnya ialah putih yang sudah dicelup nila biru.

Otak kita sangat hebat mentafsir warna sebenar disebalik warna yang ditonjolkan oleh objek.
Tanpa kebolehan menafsir ini, otak kita akan jadi keliru kerana warna objek di sekeliling kita sentiasa berubah bergantung kepada sumber cahaya.


Gambar dan Kamera.


Tidak seperti mata dan otak kita yang super-hebat,
kamera perlu menentukan warna putih menggunakan input di dalam gambar yang bakal diambil dan kemudian akan ditafsirkan menggunakan konsep white balance supaya warna lain seperti biru, merah dan hijau adalah tepat dengan warna sebenar di luar gambar.

Disebabkan warna putih sentiasa ada di dalam mana-mana imej dan gambar, maka ianya bukan satu masalah besar bagi kebanyakan gambar.

Tetapi, dalam kes gambar The Dress ini,
kamera yang digunakan sangat teruk (atau mungkin bernasib baik) dalam mentafsir warna putih dan white balance.
Kamera tersebut telah meletakan warna putih yang ditafsirnya di titik sempadan beza antara dua kemungkinan bagaimana seseorang mentafsir gambar menggunakan otak seperti yang telah kita bincangkan tadi.
Sesetengah otak mentafsir bahawa putih adalah cahaya terang di dalam gambar dan menjadikan belang gelap itu berwarna emas manakala sesetengah otak lagi melihat warna putih di belakang gambar sebagai titik menafsiran menjadikan baju itu berwarna biru berbelang hitam.



Tiada orang yang boleh nampak kedua-dua gabungan warna (Putih/Emas dan Biru/Hitam) secara serentak, jadi mana satu yang otak kita tafsir dan selesa menerimanya, maka itulah warna yang JELAS kita nampak pada baju tersebut.

Semuanya berkaitan dengan menafsiran mengenai apa yang kita nampak.
Kita akan nampak apa yang kita mahu nampak.
Dalam istilah sains, ini dipanggil 'perception' atau persepsi.

Seperti entri itik dan arnab yang pernah aku buat dulu.

Otak kita melakukan banyak keputusan di bawah sedar seperti ini setiap hari,
namun kebiasaannya setiap dari kita membuat keputusan tentang tafsiran yang sama.
Bila minda bawah sedar kata 'cEro pakai baju kuning',
orang lain juga akan tafsir perkara yang sama sebab kesemua kita nampak cEro pakai baju kuning.

Cuma dalam kes gambar The Dress ini,
ianya mampu membuatkan kita manusia menafsir dua gambaran nyata yang berbeza mengenai warnanya.


Kenapa Berbeza?


Kenapa ada yang lihat warna tertentu dan yang lain pula melihat warna yang berbeza sedangkan gambar yang sama?
Jawapannya terletak kepada permulaan kita menafsir data yang diterima mata ke otak.

Dari awal kita sudah diberi dua pilihan, Putih/Emas dan Biru/Hitam.
Dan dari awal kita sudah meletakan diri di pihak mana.
Inilah yang kita panggil 'perception' (atau persepsi) dan kalau ditanya mana-mana ahli psikologi, 'perception' penuh dengan sifat berat sebelah, atau dalam bahasa mudah difahami, 'bias'.

Bias atau sifat berat sebelah ini boleh ditentukan oleh banyak faktor.
Antaranya ialah jangkaan (expectation).
Jika pertama kali kita melihat gambar The Dress ini di twitter kawan-kawan, dan tweet yang ditulisnya berbunyi
'Aku tak faham kenapa ada yang tak nampak baju ni warna putih dan emas..',
maka kita sudah meletakan jangkaan di dalam minda bawah sedar kita bahawa baju itu berwarna putih dan emas.
Maka apa yang kita akan nampak adalah baju warna putih berbelang emas.

Dan kita sudah tentu akan terima sifat berat sebelah kita.
Maka kalau kita nampak baju ini sebagai putih dan emas pada awalnya,
sudah jadi susah untuk kita TIDAK nampaknya sebagai putih dan emas.
What you've seen cannot be unseen.

Tapi realiti tidak semestinya sama dengan apa yang kita nampak.




Otak kita sangat hebat dalam menafsir persekitaran,
dan itulah antara ciri-ciri yang membolehkan kita terus hidup sebagai makhluk yang berada di puncak siratan makanan.

Namun,
otak kita bukanlah sempurna.
Kita harus menerima hakikat bahawa lain orang lain yang dia nampak.
Kalau kita boleh terima hakikat itu, maka apa yang orang lain nampak adalah sama benarnya dengan apa yang kita nampak walaupun realitinya berbeza.

Jadi,
pergi jumpa balik kawan kalian yang terputus persahabatan dek kerana masing-masing nampak baju itu dalam warna yang berbeza.
Berbaiklah semula.
Dari konteks persepsi, dia tidak salah, anda pun tidak sepenuhnya benar.
Menghormati tafsiran otak dan akal orang lain adalah lebih penting daripada menegakkan siapa yang benar dan siapa yang salah walaupun realitinya jelas dan berbeza.

Gunakanlah organ jeli di dalam plat kranium yang kita junjung setiap masa itu.
Jangan disebabkan baju yang bukan pun kita punya, kita kehilangan insan bernama kawan.

...and by the way,
aku team Biru/Hitam.




.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Namaku cEro.... Kacak, tinggi, putih gebu, badan tegap, macho.. Kalau korang nampak orang yang memenuhi kriteria di atas, dia BUKAN AKU..
PENERBITAN: