Dear cErolian,

......

TERIMA KASIH!

Terima kasih kerana terus menyokong!

=======================
Showing posts with label Angker. Show all posts
Showing posts with label Angker. Show all posts

Jun 15, 2016

Misteri Jiran Rumah Atas: The Sequel


Salam.

Kalau kalian semua ingat lagi, aku pernah tulis satu entri berkenaan rumah kosong atas rumah. Untuk ringkasan, disebabkan aku tinggal di rumah kuarters empat tingkat di tingkat paling bawah, maka bermacam-macam bunyi dari rumah atas aku dapat aku dengar. Bunyi bola bergolek, guli bertaburan, bunyi barang berat jatuh, malah terdapat juga bunyi hentakkan kaki secara kuat. Pada mulanya aku ingat jiran atas rumah aku seorang yang aktif, tapi selepas dijelaskan oleh teman sebilik a.k.a roommate, rupanya rumah atas aku kosong tidak berpenghuni, menjadi tanda tanya kepada aku berkenaan dari mana datangnya bunyi-bunyi tersebut.


Itu ringkasan. Kini ada pula kesinambungannya.



Walaupun gangguan bunyi itu tidak pernah berhenti, tapi bukanlah selalu. Walaupun bukan selalu, tapi bila berlaku, aku tidak boleh buat tidak tahu. Aku mesti perasan. Bayangkan, sedang khusyuk baca komik Lawak Kampus sambil sekali sekala berdekah-dekah ketawa seorang diri, tiba-tiba datang bunyi berdentam seolah-olah ada bola boling jatuh menghempas. Sedang sedap korek hidung sambil layan siri Doctor Who tiba-tiba kedengaran bunyi guli-gli bertaburan. Siapa tidak perasan, kan?

Tapi sebab gangguan ni sudah berlaku lebih setahun, aku sudah tidak kisah. Malah bila berlaku, aku tersenyum saja.

Namun, gangguan ini kedengaran semakin kerap berlaku sejak beberapa minggu sebelum masuk bulan Ramadhan, malah tidak berhenti apabila Ramadhan menjelma. Risau juga aku.

Alkisah bermula apabila aku sendirian di satu malam Ramadhan baru-baru ini. Roommate tiada, orang lain pun tiada. Maka satu rumah adalah milik aku seorang. Niat hati nak pasang filem dekat TV lalu naikkan volume ke paras tinggi biar bergegar dinding rumah, tapi memikirkan jiran sebelah Makcik Nab yang ada bayi kecil cucu keduanya, aku batalkan niat orang bujang aku itu.

Angin di luar bertiup kencang tapi tiada hujan. Sekali sekala dengar bunyi daun kering berterbangan menghempas ke kaca tingkap. Suasananya seperti satu senario malam petanda sesuatu buruk bakal berlaku yang selalu dimainkan di dalam drama dan filem seram. Manalah tahu, ada psikopat pecah masuk rumah sambil bawa sabit dengan pemegang panjang berniat nak suka-suka cantas kepala penghuni rumah. Nauzubillah.

Sedang seronok membaca surat khabar sendirian di ruang tamu, keseorangan, tiba-tiba bunyi pintu diketuk.

Tok! Tok! Tok!

Jam di dinding tegak menunjukkan jam 11 malam, dan angin di luar masih begitu kencang. Kemalasan untuk bangun dari kusyen empuk ini membuatkan aku rasa patut diabaikan sahaja ketukan pintu itu. Lagipun kalau ia sesuatu yang penting, mesti nada ketukannya berbeza.

Tok! Tok! Tok!

Sekali lagi kedengaran ketukan. Tidak kuat, tidak gopoh, malah tidak bermaya. Siapa yang gigih mengetuk pintu rumah orang lain tengah malam sebegini? Nak kata teman serumah yang lain, masing-masing ada kunci sendiri. Kalau kunci hilang sekalipun, WhatsApp-lah beritahu.

Tok! Tok! Tok!

Ketukan kali ini buat aku tidak senang duduk. Gigih dia masih ketuk walaupun sudah aku abaikan. Kau ketuk sekali lagi, baru aku bangun pergi melayan.

Tok! Tok! Tok!

Cis!
Kata itu kota. Sebab sudah janji dengan diri sendiri, aku pun mengangkat punggung bergerak menuju ke pintu yang diketuk tadi. Tatkala tangan kau ingin membuka pintu, terasa sejuk sahaja tombolnya. Sejuknya meresap sampai ke otot. Seram pula rasa. Siapa di luar ya?

Tok! Tok! Tok!

“Siapa tu?” aku bertanya tanpa membuka pintu. Jantung sudah berdegup kencang seperti baru lepas tersentuh tangan dan bertentang mata dengan crush semasa mahu tolong dia angkat buku yang terjatuh di lantai, cuma bukan hormon serotonin dan oxytocin yang merembes, tapi hormon epinephrine dan cortisol yang memainkan peranan. Rasa seram menjalar seluruh badan dalam persediaan untuk ‘fight or flight’, walaupun rasanya respon yang aku akan lakukan hanyalah ‘flight’ sahaja.

“Siapa tu?” tanya aku sekali lagi, manalah tahu suara aku tadi tidak jelas kedengaran.

“Jiran.”
Kedengaran suara dari luar menjawab.

“Jiran mana?” tanya aku kembali.
“Jiran rumah atas.”

Kepala otak kau.
Atas rumah aku tu rumah kosong, mana ada orang tinggal. Bukankah bulan Ramadhan ni semua syaitan kena ikat tambat? Kenapa ada terlepas seekor menunggu aku buka pintu ni? Tak cukup ke kacau aku dengan baling guli dan golek bola boling?

Ketakutan sudah meresap ke seluruh sel saraf. Kalau orang lain yang kena, lama dah aku nasihatkan suruh baca apa-apa ayat Al-Quran yang patut. Ayat Kursi ke, Ayat Seribu Dinar ke, Al-Fatihah ke. Tapi sebab aku sendiri yang terkena, terkelu lidah terbeku otak. Aku ‘flight’. Aku lari ke dalam bilik selepas mencapai telefon bimbit aku di ruang tamu. Pantas, aku mencari nama roommate di dalam senarai ‘contact’ telefon aku. Jari sedang menggeletar, gigih aku skrol atas bawah senarai tersebut.

“Mana dia? Mana dia? Haaa, jumpa pun.”
Lalu aku tekan punat hijau, menunggu panggilan diangkat di hujung talian.

“Hello?” Suara roommate di hujung talian kedengaran.
“Hello bro! Balik cepat, bro! Aku duduk rumah sorang ni. Balik cepat, bro! Please!”
“Kenapa ni? Aku dah on the way, tapi ada laa setengah jam lagi. Kenapa?”
“Ada benda ketuk pintu tadi… Lepas tu… Lepas tu…”
“Lepas tu apa? Neves pula aku tunggu kau tergagap-gagap ni.”
“Lepas tu… Lepas tu…”
“Kau sebut lepas tu lagi, aku letak fon. LEPAS TU APA, BANGANG!”
“Lepas tu, dia claim yang dia tu jiran atas rumah kita. Atas rumah kita mana ada orang tinggal, kan? Habis tu dia siapa? Baliklah cepat. Please!”

Hujung talian senyap seketika. Beberapa saat kemudian, talian terputus. Lebih kepada diputuskan.

Berbakul aku mencarut. Tak guna punya roommate. Ingatkan sahabat sehati sejiwa sangat, rupanya meninggalkan aku di kala aku betul-betul memerlukan.

Entah macam mana, aku end up terlena di atas katil sendiri dengan telefon bimbit di tangan.
.
.
.
.
.
.
.

Bila aku tersedar kembali, ternampak kelibat roommate sedang duduk di atas katilnya, memerhatikan aku.

“Kau dah balik? Apa sudah jadi?” tanya aku.

“C, aku nak kata kau bangang, tapi aku tak sampai hati. Tapi rasanya kau memang bangang tak boleh dibendung lagi ni…” Roommate bercakap dengan nada yang tenang tetapi sinis.

“Sudah 2 bulan rumah atas kita ni diduduki orang. Tadi, jiran kita tu ketuk pintu sebab nak minta ambilkan baju dia yang terjatuh ke balkoni rumah kita sebab kena tiup angin kuat malam tadi.”

“Eh? Ye ke?”

“Lain kali, cubalah hidup dalam harmoni sikit dengan mengambil tahu jiran sekeliling. Jiran masuk rumah dua bulan pun kau tak ambil tahu. Apa punya masyarakat daa…”

Aku pun tergaru-garu kepala yang tidak gatal sambil tersenyum serupa kerang busuk.


Nota kaki:
Cerita ditokok tambah untuk menghasilkan suasana lebih dramatik.







.

Apr 6, 2016

"Kelip Sahaja Mata. Jangan Melawan."



Salam.

Bertemu sekali lagi dalam Siri Angker.

Salah satu elemen utama cerita seram adalah suasana gelap. Suasana gelap selalu dikaitkan dengan waktu malam. Sebab itu kebanyakan cerita seram menjadikan waktu malam sebagai latar belakang kisah. Gelap dan malam selalu dikhabarkan sebagai menyembunyikan 'sesuatu'. 'Sesuatu' yang tidak diketahui itulah yang menjadikan para audiens (pembaca) cerita seram tidak senang duduk.

Kali ini, aku ingin berkongsi satu cerita daripada seorang kawan yang juga menjadikan bilik study (bilik belajar) di waktu malam sebagai latar belakang cerita.

Umum tahu mengenai Doctor Who, satu siri TV dari Britain mengenai seorang alien pengembara masa. Salah satu spesis makhluk jahat di dalam siri tersebut dikenali sebagai Weeping Angel (Bidadari yang Meratap). Weeping Angel berbentuk seperti patung batu bidadari dengan wajah yang tenang dan bersayap. Tetapi jangan tertipu dengan wajahnya itu kerana dia akan 'makan' mangsa jika mangsanya berada dalam lingkungan dan kelip mata. Weeping Angel hanya akan bergerak dan menghampiri mangsa jika dia tiada di pandangan mangsanya. Untuk menghalang dari serangan Weeping Angel, mangsa perlu untuk tidak berkelip sehingga berada di jarak tertentu sebelum melarikan diri.

Satu hari di sebuah asrama, Faizal berniat untuk mengulangkaji pelajaran pada waktu malam. Walaupun jauh lagi waktu musim peperiksaan, tapi sebagai pelajar berdisiplin, Faizal mahu bersedia lebih awal supaya tidak kelam kabut di kemudian hari.

Malam itu, selepas jam sudah melepasi waktu wajib tutup lampu bilik iaitu pukul 12 tengah malam, Faizal terus bergegas turun ke bilik study.

"Huh!" Faizal mengeluh.

Sangkaan Faizal sangat tepat. Bilik study langsung tidak berpenghuni. Kesemua rakan sebaya dan pelajar tingkatan lain lebih gemar untuk ulangkaji pada saat akhir, paling tidak itulah anggapan Faizal. Padanya, lantaklah, tiada orang lagi bagus. Boleh fokus.

Faizal mengambil tempat di meja hujung sekali membelakangi dinding. Bilik study bersaiz gabungan tiga bilik dorm memanjang dengan 10 baris meja sebagai susunan. Dari tempat Faizal melabuh, pandangannya luas dapat melihat hingga ke hujung bilik.

Tanpa berlengah, Faizal membuka buku Fizik dan cuba memahami segala yang diajar gurunya siang tadi. Untuk memberi lebih fokus, dia mengeluarkan pemain mp3 miliknya dan menyumbat telinganya dengan fon telinga sambil memasang lagu-lagu pilihan. Trek pertama adalah lagu 'Pada Syurga Di Wajahmu' nyanyian Nash. Klasik, tapi masih menjadi kegemarannya.

Sedar tidak sedar, bilangan lagu silih berganti, jam sudah menunjukkan waktu pukul 2 pagi.

Faizal masih fokus dengan latihan fiziknya. Sekali sekala dia melihat keliling bagi menghilangkan penat tumpuan. Bila mata Faizal melihat ke hujung bilik study, dia ternampak seseorang sedang duduk di baris meja paling hujung.

"Eh, bila pula dia ada situ? Siapa tu?" ujar hati Faizal. Faizal kemudian melihat jam di tangannya. Dua lima minit pagi.

"Siapa yang baru nak mula study pukul 2 ni?" Faizal cuba mengecilkan matanya untuk memfokus wajah lelaki tersebut, manalah tahu kalau-kalau kenal.

"Eh, tak salah tadi dia duduk di meja hujung. Kenapa sekarang dia di meja tu?"

Kedudukan lelaki tadi sudah berada di meja baris kesembilan. Entah bila dia bangun dan berpindah meja.

"Kalau dia nak belajar, kenapa tak nampak ada bawa masuk buku? Duduk tegak je, apa dia nak buat?" Soalan demi soalan berlegar di fikiran Faizal.

Angin di luar bilik study bertiup menghasilkan bunyi desir di tingkap. Pandangan Faizal beralih ke langsir tingkap yang melayang-layang secara tiba-tiba.

"Uh, terkejut aku. Tiba-tiba ada angin, apakah?" Mata Faizal kembali ke arah lelaki tadi. Lelaki tadi kini berada di meja baris kelapan.

"Bangsat!" Menyedari lelaki itu semakin menghampiri, Faizal bertekad tidak mahu melepaskan pandangan mata darinya.

"Bila dia bangun dan ubah tempat? Dia saja nak kenakan aku ke? Adakah itu Sig? Sig saja yang rajin nak kenakan aku macam ni." Faizal mengecilkan matanya untuk melihat siapakah gerangan lelaki tersebut.

"Sig, kau ke tu?" Sig adalah teman baik Faizal di kelas.
"Sig. Jangan main-main, Sig. Pukul dua pagi ni..."

Lelaki itu diam seribu bahasa tidak menjawab. Dari pandangan mata Faizal, lelaki itu sedang tepat melihat ke wajahnya, tapi akibat pencahayaan lampu di atas kepala, Faizal gagal mengenalpasti siapa lelaki tersebut.

Faizal kelip mata kerana terlalu lama melihat jauh. Lelaki itu kini berada di meja baris ketujuh, selari dengan kedudukan Faizal.

"Celaka. Itu bukan manusia. Manusia takkan mampu bergerak sekelip mata macam tu."

Tanpa Faizal sedari, dia telah kelip mata sekali lagi luar kawalan. Lelaki itu berada di meja baris keenam.

"Dia bergerak menghampiri aku bukan sahaja waktu aku beralih pandangan, malah waktu aku kelip mata. Apa patut aku buat? Apa patut aku buat?"

Sekali lagi secara luar kawal, Faizal kelip mata. Lelaki itu kini berada di meja baris kelima.

Baris kelima sudah cukup dekat untuk Faizal meneliti wajah sebenar lelaki itu. Faizal memfokuskan bola matanya dan apa yang dia nampak ialah wajah seram seorang lelaki yang tidak dikenali sedang senyum lebar menampakkan gigi yang runcing diasah tajam.

Faizal terkejut. Dia mahu lari dari situ tapi badannya kaku. Matanya hanya tertumpu ke muka lembaga berwajah seram itu. Dia tidak mampu langsung menggerakkan sendi badannya akibat terlalu takut.

Hanya kelopak mata yang boleh bergerak.

"Aku tak boleh kelip mata. Nanti dia akan datang dekat lagi."

Merah mata Faizal menahan pedih tidak berkelip. Lembaga tadi masih keras tersenyum di meja baris kelima.

"Mata pedih. Kalau aku pejam sekali, dia akan bergerak ke depan..."
Baru sahaja mahu menyusun strategi, angin dari luar meniup masuk ke dalam bilik study menjadikan mata Faizal bertambah pedih. Dia terkelip tanpa disedari.

Lembaga tadi kini di meja baris keempat.

Peluh membasahi dahi dan leher Faizal. Perasaan sejuk datang menjengah seluruh badannya, mungkin itulah yang dinamakan seram sejuk rasanya. Dia panik, tapi kaku. Apa patut dia buat, itu yang bermain difikirannya.

"Kelip sahaja mata kau, Faizal. Jangan melawan."

Tiba-tiba ada suara datang entah dari mana membuatkan Faizal tersentak dari kerusinya dan terkelip beberapa kali.

Selepas itu, hanya jeritan memenuhi bilik study di awal pagi.




Esoknya, bilik dorm Faizal disinggahi Sig.

"Mana Fai? Kenapa dia tidak datang sekolah? Dia demam ke?" tanya Sig kepada salah seorang ahli dorm Faizal.

"Oh, kau tak tahu ke? Warden jumpa Fai pengsan di bilik study. Katanya belajar kuat sangat..." jawab salah seorang ahli dorm.
"Eh, pandai je. Kalau belajar kuat pun takkan sampai rambut jadi putih?"
"Orang kata malam tadi dengar jeritan dari bilik study. Jeritan Faizal kot?"

Sig garu kepala.
"Apa sudah jadi dengan kau, Fai?" ujar kecil Sig.



Selamat mengulangkaji pelajaran semua. Jangan kelip mata banyak sangat, takut ada yang mendekati.





Lagi di dalam Siri Angker #cerolian:

#1 Misteri Jiran Rumah Atas.
#2 Misteri Peristiwa Di Koridor Sekolah.
#3 Misteri Bilik Basuh Blok B.
#4 Misteri Bilik Study Jam Tiga Pagi.



Feb 3, 2016

Misteri Bilik Study Jam Tiga Pagi.

Salam.

Bertemu kita sekali lagi di dalam Siri Angker.

Seramnya sesebuah cerita itu tidak hanya bergantung kepada isi dan jalan ceritanya sahaja. Malah terdapat juga faktor luar lain yang memain peranan. Antara faktor luar yang dapat aku kenal pasti ialah faktor ketinggian imaginasi pendengar, suasana persekitaran ketika mendengar, dan juga perasaan ‘dekat’ dengan cerita yang disampaikan.

                Untuk minggu ini, aku akan berkongsikan sebuah cerita yang (pada aku) sangat dekat dengan diri aku. Cerita ini disampaikan oleh seorang kenalan perempuan yang pernah menginap di asrama puteri (aspuri) di sebuah sekolah berasrama penuh.

Sudah menjadi kebiasaan, pelajar di sekolah berasrama akan berkongsi menggunakan kemudahan yang tersedia ada di asrama untuk kehidupan seharian. Bilik basuh, bilik TV, bilik mandi dan bilik belajar (bilik study) tidak menjadi hak milik sesiapa, semuanya dikongsi tidak kira oleh pelajar senior mahupun pelajar junior.

Semakin menghampiri waktu peperiksaan, sama ada peperiksaan besar, peperiksaan penggal mahupun sekadar ujian bulanan, bilik study akan menjadi tumpuan ramai. Dek kerana peraturan keras asrama melarang sebarang lampu dibuka selepas jam 12 malam, hanya di bilik study sahaja pelajar dibenarkan menyambung usaha menelaah buku pelajaran dan menyiapkan tugasan persekolahan.

Cerita bermula apabila Trisha dan Foziah merancang untuk mengulangkaji pelajaran di bilik study selepas jam 12 malam nanti.

“Kena cepat tau, Tri. Kalau lambat nanti tak dapat meja bawah kipas,” kata Foziah.

“Alaa, Fo. Kau pergilah chop dulu letak buku ke, botol air ke. Aku nak lipat baju yang aku baru angkat dari ampaian tadi dulu,” balas Trisha.

Mereka berdua bukannya selalu menghabiskan masa di bilik study. Kalau diikutkan, tidur lebih menyeronokkan. Tapi memikirkan ujian bulanan yang hampir tiba, dan masih banyak lagi bab dari subjek Sains Tingkatan Tiga yang belum mereka kuasai, nikmat tidur terpaksa diketepikan dahulu.

Jam menunjukkan pukul 12.30 pagi.

Bilik study penuh dihuni pelajar yang ingin mengulangkaji. Hampir setiap kerusi yang disediakan diduduki pelajar. Meja juga dipenuhi dengan buku-buku pelajaran. Suasana sedikit hingar-bingar kerana ada pelajar yang masih berbual-bual dan belum memulakan aktiviti mengulangkaji. Kadang kala terdengar suara meminta keadaan supaya diam, tapi diamnya takkan bertahan lama. Maklumlah, bila berkumpul sesama kawan, ada sahaja topik perbualan yang mahu diceritakan.

Trisha berjalan laju dari dormnya menuju ke bilik study. Dia sedar dia sedikit lewat. Dalam hatinya terbayang wajah tidak puas hati Foziah dan seribu alasan yang bakal dikeluarkannya. Sesampai sahaja Trisha di bilik study, merayap matanya mencari kelibat Foziah. Nampaknya Foziah gagal mendapat kedudukan strategik di bawah kipas kerana ketiga-tiga spot bawah kipas sudah dikuasai pelajar-pelajar yang lebih senior. Lalu mata Trisha tertumpu ke arah satu kelompok meja di sebelah tingkap. Ternampak susuk badan Foziah tertunduk membaca nota dengan telinganya disumbat fon telinga.

“Woi, sorry lambat. Banyak pula baju kena lipat tadi,” sergah Trisha. Melihat Trisha di sebelah kirinya menarik kerusi untuk diduduki, Foziah menanggalkan sebelah fon telinganya dan kemudian berkata;

“Ah, banyak kau punya alasan. Sudahlah kita tak dapat tempat bawah kipas. Kena pula duduk tepi tingkap. Tak best tahu, duduk tepi tingkap. Banyak cicak.”

Ya. Keburukan duduk di tepi tingkap ialah kewujudan cicak yang kadang kala tak peduli akan kehadiran manusia. Sama ada mereka mahu bergaduh, bernyahtinja, mengawan, mahupun sekadar duduk diam tanpa gerakan, langsung tidak dipedulikan manusia yang berada berhampiran.

Tanpa membuang masa, Trisha terus membuka buku Sains dan memulakan sesi menelaah. Secara peribadi, Sains bukanlah satu subjek kegemaran baginya. Dia lebih gemarkan subjek bahasa dan sejarah. Namun bab pertama subjek Sains Tingkatan Tiga sangat menarik perhatiannya. Sekali sekala terdengar Trisha tergelak kecil melihat entah apa rajah di buku rujukannya itu.

Jam sudah menunjukkan pukul lima minit selepas satu pagi.

Belum pun habis satu bab, mata Trisha sudah menjadi berat. Syaitan bergayut di bulu mata membuatkannya terasa mahu memejam. Trisha berpaling ke arah Foziah di sebelah yang kelihatan sangat fokus dengan apa yang dibacanya.

“Fo, aku mengantuklah. Ada gula-gula tak?” Tanya Trisha.

“Tak adalah, Tri. Minumlah air masak yang aku bawa ni.” Foziah menghulurkan botol air mineral yang dibawanya. Trisha meneguk dua tiga kali dengan harapan dapat menghilangkan rasa mengantuknya, tapi ia hanya bertahan selama dua tiga minit sahaja.

“Fo, aku rasa aku nak nap sekejap. 5 minit. Nanti kau kejut aku boleh?” pinta Trisha.

“Okey,” jawab Foziah, ringkas.

Trisha pun menolak bukunya ke tepi. Berbantalkan lengan, dia merebahkan kepalanya ke meja dan selepas beberapa saat, hilang diulik mimpi.

Lima minit sudah berlalu, Foziah mengejutkan Trisha dari tidurnya.

“Tri, dah lima minit dah. Bangunlah. Kata nak sambung study.”
Merasakan tidurnya masih belum cukup untuk dihabiskan, Trisha meminta tambahan 5 minit. Foziah hanya menggelengkan kepala, menurut saja kehendak Trisha itu.

Jam sudah menunjukkan pukul 1.45 pagi.

Trisha terjaga dari tidurnya sendiri tanpa dikejut Foziah. Dengan mata kuyu, dia memerhatikan sekeliling bilik study. Jumlah pelajar sudah berkurangan, mungkin sudah ramai yang menghabiskan sesi ulangkaji mereka dan pulang ke bilik dorm masing-masing. Trisha kemudian menjeling ke arah Foziah di sebelah. Foziah mengadap ke tingkap sambil bertongkatkan lengan kirinya membaca nota di tangan.

Melihat Foziah yang tekun mengulangkaji, Trisha senyum seorang diri. Namun desakan matanya yang semakin layu memaksa Trisha untuk kembali berbantalkan lengan dan menyambung nap-nya.

“Lima minit lagilah,” ujar hati Trisha kepada diri sendiri.

Setelah beberapa ketika, Trisha sekali lagi terjaga dari tidurnya. Melihat sekeliling, tiada lagi pelajar lain yang berada di bilik study itu selain dirinya dan Foziah di sebelah.

“Alamak, aku terlajak tidurkah?”
Trisha melihat jam di dinding. Jarum pendek ke arah angka tiga manakala jarum panjang tegak di angka dua belas. Sudah pukul 3 pagi.

“Fo, dah pukul tiga dah. Kenapa kau tak kejut aku, wei?”
Trisha menolak bahu Foziah tanda tidak puas hati. Masakan tidak, satu bab pun tidak dihabisnya mengulangkaji. Sedar-sedar saja sudah pukul tiga pagi.

Tindakan Trisha itu tidak diendahkan Foziah. Foziah masih lagi bertongkatkan tangan kirinya mengadap tingkap di sebelah kanan sambil membaca nota.

“Kenapa kau tak kejut aku, Fo. Habislah aku. Banyak lagi tak baca ni…”

“Kau dah bangun?”
Suara garau dari Foziah itu sedikit mengganggu Trisha.
“Aku bukan tak nak kejut kau, tapi aku suka tengok kau tidur tadi.”

Tangan kiri Foziah diturunkan ke atas meja. Kepalanya masih memandang ke kanan. Perlahan-lahan kepala Foziah berpaling ke arah Trisha di sebelah.

“Tapi malangnya aku tiada mata untuk tengok kau tidur dengan nyenyaknya, Trisha.”

Trisha terkejut melihat wajah Foziah. Wajah Foziah yang memaling ke arahnya itu tidak mempunyai mata, hidung dan mulut. Wajahnya kosong. Namun walaupun wajah itu kosong, tapi jelas di permukaan kulitnya, wajah itu sedang tersenyum dan tepat memandang ke arah Trisha.

“Kau sambunglah tidur. Biar aku teman kau di sini lagi.”

Dari cerita penghuni aspuri yang lain, terdengar jeritan yang kuat memecah hening pagi dari arah bilik study pada jam tiga pagi. Trisha dijumpai kaku keseorangan di bilik study keesokan paginya. Foziah tidak pernah datang ke bilik study pada malam itu kerana tertidur di katil di bilik dorm-nya.


Selamat mengulangkaji pelajaran di waktu malam. Pastikan anda kenal siapa yang menemani anda di sebelah.




Lagi di dalam Siri Angker:

#1 Misteri Jiran Rumah Atas.
#2 Misteri Peristiwa Di Koridor Sekolah.
#3 Misteri Bilik Basuh Blok B.




.

Oct 7, 2015

Misteri Bilik Basuh Blok B.


Salam.

Kehidupan di asrama memang tidak akan lekang dari cerita angker dan seram. Aku yakin semua sekolah dan asrama ada cerita seram tersendiri. Malah kalau ceritanya lebih kurang sama sekalipun, bukanlah sesuatu yang mengejutkan. Ini adalah kerana cerita seram di asrama diturunkan melalui lisan seperti dari seorang senior kepada juniornya, atau dari seorang warden/ustaz/cikgu kepada anak-anak muridnya (bergantung kepada keadaan).

Dan seperti cerita lisan yang lain, cerita seram asrama juga tidak terlepas dari tokok tambah yang kadang kala sedikit melampau bertujuan untuk menjadikan jalan ceritanya menarik dan berkesan. Mungkin sebenarnya peristiwanya bersifat kecil, seperti contoh ternampak bayang haiwan berlari, kemudian disensasikan melalui lisan yang berulang kali, sehinggalah menjadi cerita makhluk hitam besar setinggi bangunan 4 tingkat yang bermata merah. Alaa, macam konsep permainan telefon buruk.

Pendahuluan tamat. Sekarang kalian tahu bahawa cerita seram asrama bukanlah 100% realiti.

Kali ini, aku ingin berkongsi antara kisah seram yang pernah diceritakan oleh senior aku semasa di asrama dahulu. Satu kisah seram yang berlatarbelakangkan bilik basuh asrama.

Aspura (semua tahu ianya singkatan kepada 'asrama putera', merujuk kepada asrama pelajar lelaki) sekolah aku mempunyai empat blok; Blok A, B, C dan D. Dengan setiap blok mempunyai 4-6 dorm, dan setiap satu dorm berkapasiti antara 10-20 orang pelajar, menjadikan jumlah penghuni asrama lebih kurang 300 orang pelajar.

Namun, di Aspura hanya terdapat dua bilik basuh; satu di Blok B dan satu lagi di Blok D. Setiap bilik basuh hanya ada tiga tempat basuh dan setiap tempat basuh hanya ada dua paip air, menjadikan pada satu masa, bilik basuh hanya mampu menampung 12 orang pelajar.

This is just math. You can skip it actually. Hehe.

Kekurangan tempat basuh menjadikan bilik basuh sentiasa penuh dengan pengguna semasa hujung minggu. Maklumlah, hujung minggu adalah masa yang paling sesuai untuk membasuh semua baju busuk pelajar asrama yang dikepam di dalam locker masing-masing. Hal ini menjadikan bilik basuh sebagai tempat rebutan pada hari sabtu dan ahad. Bila berbicara tentang rebutan, maka yang menang sudah tentulah pelajar senior. Tiada konsep siapa cepat dia dapat. Jika senior datang, pelajar junior perlu beri ruang. Itu lumrah, at least itulah yang berlaku pada masa aku dulu. Hahaha.

Jadi, untuk menyelesaikan tugasan membasuh pakaian, pelajar junior perlulah menjadi kreatif dalam mencari masa membasuh.

Kisah seram ini berkisarkan tentang dua pelajar junior membasuh pakaian. Atas tujuan dramatik, aku berikan nama mereka Safuan (dipanggil Wan) dan dan Tengku Usman (aka T.U, disebut Tu).

Pukul tiga pagi, Safuan bersendirian berada di tempat basuh paling dalam di bilik basuh Blok B, menyental kotoran yang terlekat di pakaiannya. Ini merupakan cara kreatifnya mencari masa untuk membasuh pakaian. Pukul tiga pagi sangat sesuai kerana pada waktu ini, semua orang sedang nyenyak tidur dan tiada lagi warden yang meronda (of course lah, warden pun kena tidur juga, kan?). Baju yang dibasuh juga boleh disidai sementara di dalam bilik basuh sebelum akan dibawa ke ampaian kain di belakang asrama apabila hari mula cerah nanti.

Sedang khusyuk Safuan membasuh, seorang lagi menjengah di pintu bilik basuh, bertuala sambil menjinjing baldi berisi pakaian. Tidak lain tidak bukan, itu ialah Tengku Usman, teman satu dorm dengan Safuan.

"Eh, Wan. Awal kau bangun? Aku ingat aku bangun paling awal..." sapa Tengku Usman.

"Kau nak membasuh juga ke?" tanya Safuan.

"Mestilah. Takkan nak pergi memancing pula kot!" seloroh Tengku Usman dengan jenaka yang klise untuk orang yang sudah terang lagi bersuluh. Tengku Usman meletakkan baldinya di tempat basuh bersebelahan dengan Safuan. Dibukanya paip, air berderu keluar mengisi baldi dan membasahi isinya.

"Berani kau turun seorang diri ke bilik basuh ni pagi buta macam ni ya, Wan"
Safuan tersenyum tanpa jawapan.

"Aku bukan apa, banyak benda aku dengar pasal bilik basuh ni."
Kata-kata Tengku Usman membuatkan dahi Safuan berkerut tiga. Kuajaq betoi pergi buka cerita macam tu pagi-pagi macam ni.

"Kau jangan main-main, Tu. Kita tengah dalam bilik basuh ni," Safuan beri amaran. Tengku Usman tersenyum sambil memberus seluarnya.

Suasana terdiam seketika di antara mereka berdua.

"Hmmm hmmmm hmmmmmmm!" Tengku Usman mula humming satu lagu. (Aku tak tahu humming dalam BM. Kamus kata humming = senandung, tapi aku rasa kurang tepat sebab humming sekadar bunyi, senandung macam nyanyi perlahan-lahan)

Muka Safuan berubah. Dia tahu irama lagu yang di-humming oleh Tengku Usman itu.

"Air pasang malam surut pukul lima..." Tengku Usman kini bukan sekadar humming, malah menyanyikan liriknya sekali.

"Nyonya bangun pagi, siram pokok bunga..." Nyanyian Tengku Usman membuatkan Safuan berdiam diri. Siapa selesa kalau dengar lagu seperti itu pagi-pagi buta di bilik basuh, kan?

"Pokok bunga melur tanam tepi kolam...
Itik bertelur ayam mengeram..."

"Tu, boleh tak tukar lagu? Atau lagi bagus kalau kau tak nyanyi langsung. Takut nanti warden terdengar, masak kita." Safuan cuba mencari alasan mematikan nyanyian Tengku Usman.

"Okey-okey! Aku nyanyi lagu lain. Lagu yang moden sikit..."
Safuan mendengus panjang mendengar jawapan Tengku Usman itu. Yang nak kena menyanyi juga tu, dah kenapa? Tak faham betul...


"Ke manaaaa...Bintang beribu..."
Tengku Usman mula menyanyikan lagu Ukays bertajuk Seksa.

"Di malam ini..Tiada satupun yang kelihatan kecuali kelam..."

Irama nyanyian Tengku Usman semakin perlahan, suaranya menjadi semakin bass, semakin dalam, seolah-olah sengaja mahu membuatkan hati berdebar.

"Mungkinkah... hujankan turun... menemani malam...
Makin sepilah... malamku ini... Tiada teman bicara..."

Tengku Usman pusingkan kepalanya ke arah Safuan dan bertanya,
"Kau takut ke, Wan? Kau takut ke aku nyanyi macam tu?"

Safuan tanpa memandang ke arah Tengku Usman, menggelengkan kepalanya.
"Tak Tu. Tak!"

"Kalau tak, biar aku sambung lagi..." jelas Tengku Usman.

"WALAUPUN... LENAKU PANJANG!
Eh, bukanlah!
Sepatutnya macam ni lirik dia..." Tengku Usman sambung lagi.

"WALAUPUN... LEHERKU PANJANG!" Tengku Usman berpaling ke arah Safuan semula.
Tengku Usman ingin melihat reaksi ketakutan di muka Safuan. Niatnya memang mahu menyakat kawannya itu. Dalam hatinya sudah berketawa kecil, menanti reaksi dari Safuan.

"Leherku panjang?" tanya Safuan sambil memusingkan kepalanya ke arah Tengku Usman.

"MACAM NI?"

Tiba-tiba leher Safuan menjadi panjang seperti ular yang berlingkar. Semakin panjang, semakin panjang sehingga memenuhi ruang di bilik basuh. Kepala Safuan yang bergigi taring panjang dan berambut gerbang laju menerjah ke depan muka Tengku Usman.

Maka menjeritlah Tengku Usman ketakutan. Niat Tengku Usman mahu mengenakan Safuan tidak kesampaian kerana rupanya dialah yang terkena.


Seperti klise cerita seram yang lain, aku pun habiskan cerita kali ini dengan plot tergantung. Apa yang jadi kepada Tengku Usman, tiada siapa tahu, dan tiada siapa dapat ceritakan dengan tepat.

Selamat membasuh baju di tengah malam.


"WALAUPUN... LEHERKU PANJANG!"









.

Sep 2, 2015

Misteri Peristiwa Di Koridor Sekolah.


Salam.

Biar aku bongkarkan satu rahsia mengenai blog ini. Bila kalian ada terjumpa entri tanpa komik dan panjang lebar macam entri ini, ataupun entri tulis tangan macam entri sebelum ini, maknanya sama ada aku sedang sibuk dengan urusan duniawi ataupun aku malas nak melukis. Sebab entri sebegini aku banyak buat secara bundle dan simpan di dalam draft untuk senang di-schedule di kemudian hari.

Dalam kes kali ini, ianya kedua-duanya; aku sibuk dan aku malas.

Sebagai pendahuluan, aku mahu beritahu bahawa aku dahulu bersekolah menengah di sebuah sekolah berasrama penuh yang dikelilingi hutan dan ladang sawit. Juga menurut sejarah, daerah sekolah aku itu memang terkenal dengan cerita askar Jepun potong kepala dan yang paling baru, kisah Mona Fendi. Dengan setting yang sebegitu hebat, sekolah itu mempunyai pelbagai cerita angker dan 'urban legend' yang kebanyakannya diturunkan secara lisan dari para senior. Lagenda Budak Hitam, Lagenda Tangga 13, Perbarisan Askar Jepun, semuanya menarik untuk dicerita, tapi tidak seronok untuk didengar.

Namun, ustaz sekolah aku pernah berkata bahawa orang yang selalu diganggu itu bermakna imannya sedang diuji. Lagi tinggi imannya, lagi kerap dia akan diganggu. Selama 5 tahun aku bersekolah di situ, hanya sekali sahaja aku pernah merasakan pengalaman angker sendiri. Nampak sangat tahap iman aku tak berapa nak tinggi (mengeluh).

Ini adalah kisah pengalaman angker aku sendiri. Tapi tak seseram pengalaman orang lainlah.


Okey, selesai mukadimah. Kita masuk bahagian memperkenalkan watak yang terlibat.

Semasa aku di tingkatan empat, aku dilantik sebagai Presiden bagi Persatuan Kadet Bomba dan Penyelamat sekolah. Semasa perlantikan, walaupun berasa penuh bangga tapi jelas kelihatan satu muka yang tidak berpuas hati. Namanya Luqman (nama separuh benar) dan dia memegang jawatan sebagai timbalan kepada aku.

Dari segi fizikal dan kredibiliti, aku rasa Luqman lebih layak memegang jawatan presiden berbanding diri aku. Luqman berbadan sasa dan tegap, sentiasa kemas dengan baju masuk ke dalam seluar sedangkan aku kerempeng, tiada otot dan kurang kacak. Aku rasa satu-satunya kelebihan aku yang membolehkan aku dilantik sebagai presiden ialah aku hafal semua arahan (command) dalam kawad dan aku cepat ingat amali dan teori yang diajar Cikgu Bomba. Oh ya, suara aku juga kuat dan sesuai sebagai komander perbarisan.

Berbalik kepada Luqman, walaupun dia tidak membantah, tapi di wajahnya jelas tidak puas hati. Walaupun aku tidak kisah kalau mahu bertukar jawatan, tapi jawatan itu diamanahkan mengikut kiraan undi dan pemilihan, maka nak tak nak aku terpaksa menerimanya. Jadi, aku berkeputusan ingin berbaik-baik dengan Luqman. Rasanya susah kalau presiden dan timbalan bermasam muka, kan?


Seterusnya ialah isi sebenar cerita.

Ceritanya bermula pada suatu malam pada waktu kelas prep. Bagi yang tidak tahu, kelas prep ialah kelas persediaan (preparation class = prep class) di mana para pelajar sekolah asrama wajib naik ke kelas pada waktu malam (biasanya selepas Maghrib atau Isyak) sehingga ke lebih kurang pukul 11 bagi tujuan menyiapkan kerja sekolah, mengulangkaji pelajaran ataupun kadang-kadang menghadiri kelas tambahan. Walaupun itu tujuan sebenarnya, tapi kebanyakan pelajar menghabiskan masa dengan berbual sesama rakan, tidur, atau dalam kes aku, baca komik GTO.

Setelah habis satu jilid komik GTO aku baca (aku minat Kanzaki Urumi), aku berasa lapar dan dahaga. Lalu aku keluar ke kelas dengan alasan konon mahu ke tandas, tapi sebenarnya aku menuju ke belakang kantin sekolah dan memesan mee goreng sambal bungkus dalam plastik dan sebungkus air sirap ikat tepi untuk dibedal secara bersembunyi di belakang kelas.

Sewaktu dalam perjalanan pulang dari kantin, dengan mata yang melilau mencari takut-takut ada cikgu disiplin meronda, aku ternampak satu susuk tubuh sedang berjalan ke arah bertentangan dengan aku di koridor sekolah. Koridor itu gelap tak berlampu, maka dari jauh memang tak dapat cam siapakah gerangan yang sedang berjalan itu. Setelah diamati, alhamdulillah, pemilik susuk tubuh itu bukanlah cikgu disiplin tapi milik Luqman. Alaa, Luqman si timbalan aku tu...

Jadi aku fikir adalah lebih baik kalau aku bertegur sapa mesra dengan Luqman bagi mengurangkan ketegangan di antara kami, tambahan lagi kami bukan satu kelas yang sama, maka masa itu merupakan masa terbaik untuk berbaik dengan Luqman.

Bila Luqman berada di dalam kawasan julat suara, aku tegur dia.
"Yo, Luqme. Sihat? Pergi mana?"

Luqman dengan muka tidak berekspresi, terus berlalu berselisih dengan aku tanpa jawapan.

"It's okay. Mungkin dia tak sihat kot. Atau mengantuk nak pergi tandas cuci muka..."
Sepatutnya aku berfikiran positif seperti itu, tapi sebenarnya tidak. Aku mencarut memaki hamun dia di dalam hati.
"Dah tak dapat jawatan tu janganlah nak masam muka dengan aku. Sombong betul..."

Aku meneruskan langkah menuju ke kelas. Cerita seterusnya hanyalah rutin biasa; aku makan sembunyi di belakang kelas, habis makan sambung baca komik Kindaichi pula, kemudian bunyi loceng kelas prep habis, semua pelajar bergerak ke dewan makan untuk minum malam (supper) dan seterusnya pulang ke dorm masing-masing dan bersiap untuk tidur sebelum 'light off' pukul 12 malam.

Di dorm, aku berbual dengan seorang lagi kawan yang bernama Redha (ya, ini nama sebenar).
"Yo Redha. Tadi aku jumpa Luqme masa prep. Dia diam semacam je. Dia tidur dalam kelas ke?" Redha merupakan rakan sekelas Luqman. Sebenarnya soalan itu sekadar mahu buka perbualan, aku tak jangka pun sebarang jawapan dari Redha.

Tapi Redha berdiam diri seketika sambil tepat memandang ke wajah aku. Tangan dia yang sedang meletakkan kemeja ke penyangkut baju pun terberhenti seperti ada tertekan butang 'pause' dalam DVD.

"Kenapa?"
Aku tanya Redha melihatkan reaksi dia yang semacam itu.

"C, Luqme mana naik prep. Dia sakit perut salah makan. Dia berehat dekat bilik sakit sepanjang malam tadi. Aku sendiri yang hantar dia ke bilik sakit."

Mengenali Redha yang sentiasa serius dan tidak suka berjenaka, aku tahu dia tidak menipu. Tapi persoalannya, kalau Luqman tak naik kelas prep malam itu, siapa yang aku selisih dan tegur semasa di koridor tadi?







.

Feb 25, 2015

Blackout.




Another failed attempt membuat komik tanpa melukis disebabkan ketiadaan scanner.
I'm sorry.

Ceritanya begini,
sejak aku menulis entri Misteri Jiran Rumah Atas,
aku ada satu obsesi terhadap cerita separa mistik dan paranormal.
Setiap kali aku keluar bertemu kawan,
aku akan bertanyakan mana-mana pengalaman mistik dan pelik yang pernah mereka alami.
Sekarang semua tersimpan rapi dalam otak. Haha.

Cerita di atas adalah pengalaman seorang kawan yang bernama Aswad (bukan nama sebenar).
Sejak dari peristiwa tersebut,
Aswad nekad untuk berpindah keluar mencari rumah sewa baru.
Tak pasti sama ada yang bersamanya itu adalah manusia ataupun bukan,
tapi mana-mana satu pun, padanya, tetap bahaya.

Zaman sekarang, manusia lebih menakutkan daripada entiti bukan manusia.

Pada aku,
aku tak pasti mana lebih menakutkan
sama ada Aswad yang sepatutnya berseorangan tapi ditegur,
atau yang menegur itu lebih tahu kedudukan barang di rumah Aswad daripada Aswad sendiri.

Kalau kalian ada kisah paranormal yang menarik untuk diceritakan,
jangan segan hantar message kepada aku di Facebook Empire State of cEro
ataupun emel terus ke ceroofcerolian[at]gmail[dot]com
Selagi ianya tak ada unsur tahyul dan syirik, I'm all good!

Tengah mood paranormal sekarang ni...Gah gah gah!




.

Feb 4, 2015

Misteri Jiran Rumah Atas.

Salam.

                Biar aku mulakan dengan memberitahu bahawa aku kurang pandai nak bercerita, apatah lagi nak bercerita kisah seram. Jadi, jangan buat andaian bahawa cerita yang bakal aku sampaikan ini akan membuatkan kalian tidak dapat lelap mata tidur malam ini.

                Ceritanya bermukadimahkan aku pada usia 12 tahun. Pada usia tersebut, aku mula perasan yang mata aku semakin rabun bertitik-tolak dari peristiwa aku gagal untuk fokuskan penglihatan apabila sedang cuba skodeng crush aku dari jauh. Walaupun aku tahu aku rabun, tapi aku hanya mula pakai cermin mata (secara sambilan - on and off) pada 5 tahun kemudian, itupun disebabkan aku terpaksa bertungkus lumus belajar untuk SPM.

                Seperti orang buta, walaupun cacat penglihatan namun deria-deria yang lain menjadi tajam.

                Lima tahun bergelumang dalam arena kerabunan tanpa cermin mata menyebabkan aku mampu mengasah beberapa kemahiran istimewa: Telinga, hidung dan penglihatan periferal (peripheral vision) aku menjadi tajam. Aku mampu dengar dengan baik, aku mampu hidu dengan baik, malah aku mampu kenalpasti objek bergerak dengan baik.

                Tapi aku masih rabun. Rabun membuatkan aku sangat gagal dalam cam muka.

                Okey, cukup mukadimah. Terus ke isi utama.

                Aku tinggal di tingkat paling bawah sebuah kuarters empat tingkat. Bilik yang aku tinggal sekarang dihuni dua orang termasuk aku. Walaupun bilik agak sempit, tapi disebabkan jadual kehidupan kami selalu berbeza, maka aku dan rakan sebilik aku (si Roommate) jarang berada di dalam bilik pada masa yang sama. Bila seorang kerja malam, seorang lagi kerja siang, dan sebaliknya.

                Satu malam, aku berseorangan di dalam bilik. Aku nak bagitahu yang aku sedang membaca buku tapi kalau aku bagitahu, mesti kalian tak percaya sebab kalian tahu betapa tak suka membacanya aku ini. Maka, anggaplah aku sedang melayari internet seorang diri di dalam bilik.

                Tiba-tiba, ada bunyi benda bergolek dari siling atas bilik aku. Bunyi datang dari lantai bilik atas bilik aku.

                Seperti yang panjang lebar aku cerita dalam mukadimah tadi, telinga aku sangat tajam apatah lagi bawah suasana malam yang sunyi dan kurang pencemaran bunyi. Dari bunyi tersebut, aku dapat menaakul bahawa bunyi bergolek itu datang dari objek berbentuk sfera, keras dan berat dengan diameter objek tersebut lebih dari lima inci dan kurang dari sepuluh inci. Objek terbaik untuk ciri-ciri tersebut, pada aku, ialah bola boling.

                "Neraka apakah yang difikirkan oleh jiran di atas bermain golek bola boling pada malam hari nan syahdu begini," aku mengomel seorang diri.

                Bunyi bergolek itu tidak berhenti sekali, malah ianya bersambungan setiap selang beberapa saat sehingga hampir sepuluh minit seolah-olah cukup untuk meliputi keseluruhan lantai bilik. Golek ke utara, patah balik ke selatan, pusing ke timur, kemudian kembali ke utara, dan giliran barat, dan selatan, dan utara dan seterusnya dan seterusnya....

                Bercita-cita hendak menjadi jiran yang baik, aku batalkan niat aku untuk menjerit kuat sebagai amaran supaya jiran di atas hentikan apa sahaja yang dia sedang lakukan. Bunyi golekan itu agak menjengkelkan walaupun tidaklah bingit. Pada aku, ianya lagi menjengkelkan daripada bunyi katil bergoncang malam jumaat. Namun, aku kekal positif dengan memberitahu diri sendiri bahawa jiran di atas sedang praktis balingan bola boling untuk pertandingan yang akan disertainya esok hari. Dia perlu menang kerana jika dia kalah, tanah pusaka arwah bapanya di kampung akan tergadai dek hutang piutangnya kepada lintah darat. Lagipun crush-nya, si Daiyan anak ketua kampung juga bakal datang memberi sorakan semangat untuknya. Gagal bukan pilihan, sebab itu dia perlu berlatih.

                Sedang aku asyik mereka back story untuk jiran atas tersayang aku itu, bunyi golekan berhenti. Aku sangka ianya akan bersambung lagi, tapi kali ini ianya berhenti terus. Tiada sambungan.

                Aku senyum. Aku lega. Aku mengantuk. Aku tutup lampu dan aku tidur.


                Keesokan pagi, aku bertembung dengan si Roommate di dalam bilik. Aku bersiap untuk pagi, dia baru pulang dari kerjanya. Selaku teman sebilik yang baik, aku mulakan perbualan kosong,

                "Bro, jiran atas rumah kita ni ada tournament boling ke? Malam tadi giat betul dia praktis golek-golek bola..."

                Perlahan, si Roommate menoleh pandangannya ke arah aku. Mukanya jelas tertulis tidak tidur malam. Namun, dia kelihatan seperti perlu beritahu sesuatu kepada aku. Dia buka mulutnya dan bertanya,

                "Kau dengar apa malam tadi?"

                "Jiran atas kita golek bola boling," jawab aku.

                "Atas bilik ni?"

                Aku angguk.

                Si Roommate terdiam seketika. Dia menarik nafas dalam-dalam sebelum sambung berkata.

                "Bro, atas rumah kita ni tak ada orang tinggal. Dekat empat bulan dah kosong."

                Kami berdua berdiri tegak bertentang mata tanpa kata-kata. Perlahan-lahan aku berpusing badan dan meneruskan rutin bersiap aku. Si Roommate pun dengan perlahan merebahkan diri ke atas katilnya untuk menggantikan waktu tidurnya.


                Tiada lagi perbualan tentang bilik rumah atas atau mana-mana tournament boling.










.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Namaku cEro.... Kacak, tinggi, putih gebu, badan tegap, macho.. Kalau korang nampak orang yang memenuhi kriteria di atas, dia BUKAN AKU..
PENERBITAN:


Protected by Copyscape Online Plagiarism Check
Creative Commons License