Salam.
Entri ini patut aku publish minggu lepas, tapi aku lupa tekan butang 'publish/schedule' jadi dia terperuk dalam folder draft.
Tak apalah. Moving on...
Kebiasaannya, minggu pertama awal bulan aku akan buat entri kompilasi #KomikcEr0 dari instagram Planet cEro untuk bulan sebelumnya, tapi kali ini aku mahu fokuskan kepada satu sahaja daripada beberapa komik yang aku lukis dalam bulan Mac; komik bertajuk [Degil] bertarikh 21 Mac 2020.
Ini komiknya:
Semasa entri ini ditaip, komik tersebut mendapat jumlah perkongsian sebanyak 1061 share dengan capaian 94,257 pengguna di laman Facebook dan 5800 likes dan puluhan komen di laman Instgram, tidak termasuk dengan berpuluh-puluh repost oleh page lain. Bagi page Facebook yang hanya ada 3000 likers, dan pengikut Instagram yang juga lebih kurang hanya 4000 followers, angka-angka ini satu angka yang besar.
Kalau yang kenal aku tahu bahawa bukan angka yang aku kejar di media sosial. Panjang lebar aku pernah taip tentang prinsip aku 'mahu dikenali tapi tidak mahu terkenal' di blog ini.
Satu prinsip aku dalam melukis komik (secara suka-suka) ini, aku tidak suka explain komik aku. Tapi untuk komik [Degil] ini aku terpaksa beri penerangan kerana, well... nak puaskan hati semua orang memang satu perkara yang mustahil.
TUJUAN.
Tujuan aku lukis komik [Degil] ini, obviously, adalah untuk gertak orang ramai supaya jangan degil. Pada tarikh komik berkenaan dikongsi (22 Mac), baru beberapa hari sahaja Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan untuk membendung menularan wabak pandemik COVID-19. Masih ramai lagi rakyat Malaysia yang berdegil dan keras kepala untuk ikut arahan kerajaan. Bukan susah, duduk rumah je kot.
Komik [Degil] ini menekankan perangai rakyat kita yang penuh dengan alasan untuk bantah arahan kerajaan. Dari empat panel (aku akan gelar 'kotak' untuk pemahaman walaupun dari kecil aku panggil 'panel') itu, tiga daripadanya adalah ringkasan tentang sikap rakyat kita. Aku sentuh dari tiga aspek utama yang aku nampak iaitu; sudut agama, sudut ekonomi, dan sudut sosial.
PENERANGAN UNTUK SETIAP KOTAK.
Kotak pertama:
Isu agama. Masalah 'faith over fear' adalah sentimen utama manusia nak mengingkar arahan pemerintah. Isu ini tidak terpencil hanya untuk agama Islam, malah semua agama pun alami isu yang sama.
Kotak ini paling banyak menarik perhatian orang. Masalahnya, para pembaca suka kaitkan kotak ini dengan kluster Ijtimak Tabligh yang menjadi kluster terbesar penularan COVID-19 di Malaysia. Golongan liberal menjadikan poin ini sebagai alasan menolak agama. Para pencinta agama pula menuduh aku menfitnah agama sendiri dengan mengatakan aku menghina tabligh.
Baca balik kotak pertama itu. Tiada perkataan 'Islam' dan tiada perkataan 'Tabligh' wujud di dalam kotak itu. Perkataan 'Agamawan' juga aku letakkan koma atas, dengan tujuan menunjukkan golongan dalam kotak ini melabel diri sendiri agamawan padahal tuntutan agama adalah menghindari mudarat.
Ada kata pakaian watak di dalam itu menunjukkan pakaian orang Islam. Ustazah aku kata,
"Jangan letak agama pada pakaian."
Aku tunjukkan lukisan itu kepada rakan bukan beragama Islam yang aku ada. Mereka kata nampak seperti pope Katholik, ada yang nampak seperti tabib cina. Warna yang aku gunakan juga general, tiada pengkhususan untuk mana-mana agama.
Macam yang aku kata, isu 'faith over fear' ini berlaku di dalam mana-mana agama. Dalam kotak pertama ini aku guna letakkan agama tanpa pengkhususan.
Aku dapat inbox berbau kebencian hanya untuk kotak ini. Mereka tuduh aku fitnah agama sendiri. Bila aku tak sebut mana-mana agama, tapi kau melenting kata itu agama kau, rasanya siapa sebenarnya yang fitnah agama sendiri?
Kotak kedua:
Kotak ini menyentuh isu ekonomi, terutamanya para majikan yang tamat tetap mahu terus pekerjanya bekerja sedangkan arahan kerajaan suruh duduk di rumah. Walaupun dikatakan hanya industri penting dan berkeperluan sahaja yang boleh teruskan operasi perniagaan (seperti sektor makan, penghantaran, dan perubatan), tetapi ramai majikan label perniagaan sendiri sebagai penting dan berkeperluan. Kedai kasut penting dan berkeperluan apa?
Majikan ini paksa pekerja mereka pergi bekerja sebab takut tak masuk duit dan rugi. Mereka bagi kata putus 'nak kerja atau berehat selamanya' kepada pekerja mereka seolah-olah pekerja tiada kesihatan yang perlu dititikberatkan.
Kita faham, COVID-19 ini memang akan beri kesan ke atas perniagaan. Tapi bukan perniagaan kita sahaja, malah semua pun turut terkesan. Tiada yang berkecuali.
Apa yang penting adalah bertolak ansur dengan semua pihak. Kalau nak fikirkan diri sendiri sahaja, memang tak akan ke mana.
Lagipun, apa guna duit banyak ekonomi kukuh tapi tiada manusia untuk membentuk masyarakat? Nak jual kasut dekat kawasan yang tiada penghuni sebab semua penghuni sudah mati akibat wabak?
Kotak ketiga:
Kotak ini menyentuh isu sosial. Lebih tepat, media sosial. Berduyun-duyun artikel di Facebook, mesej-mesej di Whatsapp yang nak berkongsi cara berkesan melawan virus COVID-19 ini. Daripada yang masuk akal, sampailah ke yang langsung tiada logik.
Bayangkan, letak campuran bawang, serai, kunyit, dan halia di depan pintu dapat 'halang' virus dari masuk ke rumah?
Pada aku, golongan 'Pakcik Wassap' inilah yang paling penting dalam mencegah penularan virus COVID-19 ini. Kebanyakan mereka tidaklah 'internet savvy' sangat dan hanya baca apa yang dikongsi di grup Whatsapp sebagai sumber informasi. Kalau salah info, maka salahlah apa yang mereka percaya. Mereka hanya akan ikutkan sahaja apa yang mereka baca.
'Pakcik Wassap' juga mempunyai pemikiran yang berlainan daripada golongan muda. Golongan muda boleh fikir tentang logiknya sesuatu perkara seperti adakah logik air lemon dapat cegah virus. Orang biasa dapat fikir, kalau lemon boleh cegah virus, maka seluruh dunia disaran untuk minum lemon. Tapi 'Pakcik Wassap' pula lain. Mereka baca, mereka percaya. Itu bahaya.
'Pakcik Wassap' juga adalah golongan berusia yang kebanyakannya jenis rasa betul dan tidak mahu dengar kata orang lain terutamanya yang lebih muda. Mereka percaya apa yang mereka percaya, jadi bila ada orang menafikan mereka, mereka rasa tercabar dan tidak mahu percayakan orang tadi.
Inilah definisi sebenar DEGIL. Sebab itu aku letak golongan ini di kotak ketiga. Dalam komik empat kotak, kotak ketiga dan keempat selalunya adalah 'revelation', kotak terpenting dalam 4 kotak itu.
Tapi, itulah...
...kalian yang membaca masih tak move on lagi dari kotak pertama tadi.
Kotak keempat:
Ini COVID-19. Aku sebenarnya tak perlu pun letak 'CORONA' sebagai nama tapi tahap pemahaman pembaca berbeza jadi aku letakkan juga.
Sengaja aku lukis virus pembunuh ini sebagai kelihatan comel. Seperti COVID-19 yang sebenar, tidak kelihatan secara luaran tapi memegang 'pisau' dan menanti di sebalik 'ketidaknampakan' untuk mengelar tekak sesiapa yang ada.
Kalau kalian perasan, orientasi lukisan juga berubah. Tiga kotak sebelumnya dilukis dari sudut kanan, tetapi COVID-19 ini dilukis berbeza dari sudut kiri, melambangkan perbezaan kedudukan dengan tiga kotak sebelumnya. Ini adalah musuh. Musuh yang membunuh. Berdegil tidak akan membantu, malah akan memudaratkan.
Kalaulah COVID-19 kelihatan seperti lelaki hijau yang berjalan-jalan di luar sambil memegang pisau menanti untuk menikam sesiapa sahaja yang dilihatnya, adakah tiga golongan tadi masih lagi nak berdegil?
Itu intipati sebenar komik aku.
KESIMPULAN.
Aku meletakkan pelbagai falsafah dan pemahaman aku terhadap komik ringkas empat kotak ini. Ini menjadikan komik ini adalah antara yang terbaik pernah aku lukiskan. Aku faham kenapa komik ini mencapai lebih 90 ribu pengguna di Facebook.
Tapi seluruh falsafah dan capaian itu tidak bermakna kalau kita terlalu lama fokus kepada kotak pertama dan abaikan kotak-kotak lain.
Dalam entri sebelum ini aku ada ceritakan bagaimana krisis membuatkan semua orang menunjukkan perangai sebenar. Daripada komik ini juga dapat menunjukkan perangai sebenar kita.
Yang buatkan aku kecewa ialah mereka-mereka yang menuduh aku menfitnah agama. Jahat-jahat aku pun tidaklah sampai aku nak fitnah agama sendiri. Agak-agaklah...
Sekian.
.