Mar 25, 2019

HARI KOMUNITI: Episod Cicak Pokok.



Salam.

Selamat datang ke episod baru Hari Komuniti Pokémon GO.

Ringkasan episod terdahulu:
Dalam perjalanan ingin menjadi yang terbaik berbanding yang lain, aku (cEro) sudah melalui 14 kali Hari Komuniti. 'Hari Komuniti', atau nama sebenarnya Pokémon GO Community Day adalah acara bulanan bagi pemain Pokémon GO yang mula diperkenalkan pada awal tahun 2018 di mana setiap edisi Hari Komuniti akan menampilkan Pokémon istimewa bersama-sama dengan pelbagai lagi bonus dan ganjaran untuk pemain.

Untuk ketahui lebih lanjut mengenai episod Hari Komuniti yang terdahulu,
sila klik link ini: Hari Komuniti

Dan sebagai pengingatan, ini adalah entri berkaitan Pokémon GO. Maka, di dalam entri ini akan terdapat banyak istilah dan frasa berkaitan permainan aplikasi Pokémon GO yang mungkin akan memberikan cabaran kepada para pembaca bukan pemain untuk memahami.

Untuk bulan Mac, Pokémon istimewa yang ditampilkan adalah mengikuti tradisi meletakkan Pokémon pemula setiap selang satu bulan, Pokémon pemula daripada Generasi Ketiga Hoenn ; TREECKO.

Sumber: Niantic, Inc. (Twitter: @PokemonGOApp)



TREECKO.

Treecko adalah Pokémon pemula jenis rumput daripada Wilayah Hoenn (Generasi Ketiga). Namanya adalah gabungan daripada Tree (pokok) dan Gecko (cicak), sesuai dengan penampilannya yang kelihatan seperti cicak dan berwarna hijau.

Pokédex untuk Pokémon GO menerangkan Treecko sebagai:

'Wood Gecko Pokémon:
Treecko has small hooks on the bottom of its feet that enable it to scale vertical walls. This Pokémon attacks by slamming foes with its thick tail.
'

Pemilihan Treecko sebagai Pokémon istimewa untuk ditampilkan di Community Day ini menepati trend Niantic untuk meletakkan Pokémon pemula setiap selang satu bulan. Treecko adalah salah satu (dan yang pertama) daripada tiga Pokémon pemula untuk Wilayah Hoenn (generasi ketiga) selain Torchic (jenis Api) dan Mudkip (jenis Air).



HARI KOMUNITI YANG 'BAHARU'.

Ada beberapa perkara yang menjadikan Hari Komuniti kali ini sebagai 'baharu'.

Pertama,
jika sebelum ini Hari Komuniti berlangsung berbeza tarikh mengikut wilayah (region) masing-masing, namun Niantic Inc. selaku pembangun aplikasi permainan ini mengumumkan bahawa setiap Hari Komuniti selepas ini akan berlangsung pada tarikh yang sama dan pada waktu tempatan yang sama tidak kira zon masa; iaitu 3:00 petang hingga 6:00 petang, dan Hari Komuniti Treecko ini adalah yang pertama untuknya.

Bermakna, selepas ini, waktu untuk Hari Komuniti adalah dari 3 petang sehingga 6 petang waktu tempatan, bukan lagi 11 pagi sehingga 2 petang seperti Hari-Hari Komuniti sebelum ini.

Ini sedikit sebanyak mengganggu rutin yang selalu aku amalkan sepanjang 14 kali Hari Komuniti sebelum ini.

Kedua,
Hari Komuniti ini adalah Hari Komuniti pertama selepas aku berjaya mencapai level tertinggi di dalam permainan ini; iaitu Level 40. Aku berjaya naik ke level 40 betul-betul sehari sebelum Hari Komuniti.

Bermakna, misi Hari Komuniti kali ini tidak lagi menitikberatkan pengumpulan XP untuk naik level, kerana aku sudahpun capai level tertinggi di dalam permainan.



PENGUMUMAN RASMI.

Pengumuman rasmi pertama Treecko sebagai watak utama Hari Komuniti untuk bulan Mac keluar pada 22 Februari 2019 lalu, namun maklumat lanjut mengenai Hari Komuniti itu telah diumumkan Niantic pada tarikh 20 Mac 2019 di dalam bahagian berita di dalam permainan dan di seluruh platform media sosial yang ada.







Ringkasnya, untuk Hari Komuniti bulan Mac 2019:

- Hari Komuniti berlangsung pada 23 Mac 2019 (Sabtu) jam 3-6 petang waktu tempatan.
- Treecko sebagai watak utama.
- Bonus 4x keberkesanan Incubator (jarak eram telur menjadi 1/4)
- Modul Umpan akan berpanjangan selama 3 jam Hari Komuniti.
- Grovyle yang dievolusikan akan menjadi Sceptile akan dapat gerakan serangan istimewa, Frenzy Plant.

Frenzy Plant adalah serangan daripada jenis rumput yang amat kuat, pernah diperkenalkan semasa Hari Komuniti Bulbasaur dan Chikorita sebelum ini.

Dan sudah tentu, walaupun tidak diumumkan, perkara yang ditunggu-tunggu pemain Pokémon GO setiap kali menjelang Hari Komuniti adalah kemunculan Pokémon dalam varian shiny-nya. Dan itulah yang aku tunggu hampir setiap kali Hari Komuniti.



PERSEDIAAN AWAL.

Semasa aku terbitkan entri Hari Komuniti Swinub sebelum ini, aku sudah tekad untuk capai level 40 sebelum Hari Komuniti yang seterusnya. Namun, seminggu sebelum tarikh Hari Komuniti ini, aku masih ketinggalan lebih kurang 1,000,000 XP sebelum boleh capai level 40.

Maka, sepanjang seminggu sebelum Hari Komuniti, aku berhempas pulas untuk naikkan XP. Aku gigih mencari paling kurang 20,000 XP sehari. Nasib baik kebetulan di sekitar tempat aku selalu bermain ada banyak raid level rendah (level 1, 2, dan sebahagiannya level 3) yang boleh aku selesaikan secara solo.

Pada hari Jumaat, sehari sebelum Hari Komuniti, aku berjaya naik ke level 40.





Naik ke level 40 memberikan aku ganjaran yang banyak, antaranya 4x Egg Incubator. Egg Incubator ini amat sesuai kerana salah satu bonus Hari Komuniti kali ini adalah jarak eraman yang menjadi 1/4 daripada jarak biasa. Aku sudah simpan 6 telur 10km untuk dieram. Telur 10km akan menjadi hanya 2.5km sahaja pada Hari Komuniti.



MISI.

Kini aku sudah berada di level 40, misi aku untuk Hari Komuniti kali ini (dan Hari-Hari Komuniti yang akan datang) akan sedikit berbeza.
Antara misi yang sudah aku tetapkan termasuklah:

1. Tangkap sebanyak mungkin Treecko.
2. Tangkap paling kurang 3 shiny Treecko.
3. Dapatkan satu Sceptile dengan serangan rumput Frenzy Plant, dan satu shiny Sceptile dengan serangan rumput Frenzy Plant.
4. Selesaikan semua misi di atas sebelum bateri jatuh 50%.


Ya. Misi di atas sama macam misi sebelum ini, tapi percayalah, gaya permainan aku sangat berlainan kerana satu faktor ini; tempat aku bermain bukan lagi di Taman KLCC tetapi hanya sekitar kawasan rumah aku. Atas tujuan kerahsiaan dan sedikit keseronokan, mari kita gelar sekitar kawasan rumah aku sebagai 'Ground cEro'.


Ground cEro, Malaysia.



HARI KEJADIAN, HARI KOMUNITI.

Aku sudah kira, anggaran ada lebih kurang 20 PokéStop dan 11 PokéGym di sekitar Ground cEro yang boleh aku capai. Namun disebabkan Hari Komuniti tidak mementingkan PokéStop (mungkin sekadar perlu untuk isi semula PokéBall yang digunakan), maka aku tidak perlu memaksimakan capaian PokéStop dalam perjalanan aku.

Dengan berbekalkan Si Kuda Putih, pukul 3 petang aku dimulakan dengan berada di PokéStop pertama.


Screenshot di dalam permainan pada pukul 2:59 petang (kiri) dan 3:00 petang (kanan). Corphish bertukar menjadi Treecko, menandakan Hari Komuniti sudah bermula.



Selepas bermula waktu Hari Komuniti, aku pun mengeram telur 10km yang aku ada dengan Incubator yang aku dapat dari ganjaran naik level 40 menjadikan telur itu hanya perlu menetas selepas 2.5km (dan Incubator percuma aku digunakan untuk eram telur 7km, menjadikannya hanya 1.8km sahaja)


4 Incubator digunakan untuk eram 4 telur 10km, dan Incubator percuma untuk telur 7km.



Aku juga menggunakan 200 Pokécoin yang aku ada untuk beli 'storage' simpanan Pokémon (+50) kerana seperti yang dapat dilihat pada gambar di atas, simpanan aku sudah hampir cecah had.



Pengembaraan memburu si cicak pokok pun BERMULA.

Ground cEro adalah tempat aku selalu bermain Pokémon GO di sekitar kawasan rumah aku, jadi aku sudah tahu beberapa titik yang menjadi sarang Pokémon. Apa yang aku perlu buat adalah pergi ke titik itu dan tangkap seberapa banyak Pokémon dan Treecko yang ada, dan berharap setiap Treecko yang ditekan di peta adalah shiny.

Dan shiny pertama aku berjaya ditangkap pada 23 minit selepas Hari Komuniti bermula.


Beza antara Treecko biasa dengan varian shiny.
Yang biasa berwarna hijau, yang shiny berwarna hijau terang dengan ekor merah.


Pada jam 3:37 petang, aku sudah berjaya tangkap 3 shiny Treecko.


Mengikut turutan tangkap dari kiri:
Jam 15:23 CP 40, jam 15:36 CP 419, jam 15:37 CP 39


Langit tiba-tiba gelap dan hujan pun turun. Disebabkan aku bermotosikal, aku tiada pilihan lain selain berteduh di kawasan berhampiran, lebih tepat, masjid berhampiran.

Sambil menunggu hujan reda, aku pun evolusikan satu Treecko yang aku simpan sebelum ini (dengan IV 96% dan Attack 15) kepada Grovyle dan seterusnya kepada Sceptile yang memiliki serangan rumput Frenzy Plant.


Treecko ke Grovyle memerlukan 25 candy. Grovyle ke Sceptile memerlukan 100 candy.


Selepas berpuluh minit menunggu hujan yang langsung tidak reda, aku buat keputusan untuk solat berjemaah Asar di masjid itu memandangkan kebetulan waktu Asar sudah masuk (Asar masuk jam 4:27 petang).

Aku sudah dapat 3 shiny Treecko, maka aku sudah cukup. Aku boleh sahaja balik tanpa perlu habiskan Hari Komuniti sehingga pukul 6, kan? Tapi selepas solat Asar, aku dapati hujan sudah reda, maka terdatang niat untuk meneruskan Hari Komuniti sehingga ke saat terakhir.

Dengan motosikal, aku bergerak ke satu demi satu titik muncul Pokémon dan PokéStop yang ada. Aku ada kurang satu jam sahaja lagi untuk Hari Komuniti, tapi aku tidak tergesa-gesa kerana seperti yang aku katakan, aku sudah cukup (dapat shiny).

Sehingga ke akhir waktu (6 petang), aku berjaya tangkap tambahan 3 lagi shiny Treecko menjadikan jumlah shiny yang berjaya aku tangkap Hari Komuniti kali ini kepada ENAM.


Mengikut turutan tangkap dari kiri:
Jam 17:08 CP 720, jam 17:43 CP 512, jam 17:50 CP 12


Aku memilih shiny Treecko dengan CP 720 sebagai calon untuk dievolusikan kepada shiny Sceptile untuk simpanan, menjadikan aku berjaya memperoleh kesemua keluarga shiny Treecko.


Shiny Grovyle kelihatan lebih menarik daripada shiny Sceptile.


Dan pada jam 6 petang, Hari Komuniti untuk bulan Mac pun TAMAT.




ULASAN

Adakah misi aku untuk Hari Komuniti kali ini selesai?

1. Tangkap sebanyak mungkin Treecko.

Menurut data, sebelum Hari Komuniti, aku pernah tangkap 168 Treecko. Selepas Hari Komuniti pula, data menunjukkan aku sudah tangkap Swinub sejumlah 220. Ini bermakna, sepanjang Hari Komuniti, aku berjaya tangkap [220-168=] 52 Swinub.
Aku mungkin boleh tangkap lebih banyak jika hujan tidak turun untuk satu pertiga waktu Hari Komuniti.


2. Tangkap paling kurang 3 shiny Treecko.

Daripada 52 Treecko yang aku tangkap sepanjang tempoh Hari Komuniti ini, 6 daripadanya adalah shiny.


3. Dapatkan satu Sceptile dengan serangan rumput Frenzy Plant, dan satu shiny Sceptile dengan serangan rumput Frenzy Plant.

Aku berjaya evolusikan satu Grovyle kepada Sceptile dengan serangan rumput Frenzy Plant, dan juga satu shiny Sceptile dengan serangan rumput Frenzy Plant.


4. Selesaikan semua misi di atas sebelum bateri jatuh 50%.

Menurut data, pada Treecko shiny ketiga aku, bateri menunjukkan berada pada tahap 84%.
Maka, aku berjaya.


Kesimpulannya,
walaupun Hari Komuniti ini dilabel sebagai 'baharu' dengan perubahan waktu yang sangat tak kondusif, tetapi hari ini boleh dikira berjaya. Highlight utama hari ini adalah shiny Sceptile (walaupun pada aku shiny Grovyle lebih cantik).

Aku juga langsung tidak menggunakan Star Piece atau Lucky Egg, sebab aku tidak memikirkannya.

Juga menurut data, sepanjang tempoh Hari Komuniti ini juga, aku berjaya tingkatkan XP aku daripada 20,020,655 kepada 20,046,638 XP. Peningkatan 25,983 XP. Namun XP sudah tidak bermakna lagi memandangkan aku sudah capai level 40.


Berjalan-jalan ditemani sekumpulan Treecko.




HARI KOMUNITI SETERUSNYA.

Jika perlu meneka, aku rasa Pokémon seterusnya yang akan ditampilkan pada Hari Komuniti bulan depan (bulan April) adalah Ralts.

Biasanya Pokémon yang akan dipilih adalah daripada golongan Pokémon yang bersifat meta terhadap permainan, datang dari kelompok telur 10 km, dan memiliki dua kali evolusi. Ralts mempunyai cabang evolusi yang lain untuk Kirlia; iaitu Gardevoir dan Gallade, menjadikan Pokémon ini sesuai untuk menarik minat para pemain.

Namun aku juga berharap Hari Komuniti menjadi medan Niantic untuk memperkenalkan Pokémon baru seperti yang pernah dilakukan pada Hari Komuniti bulan lepas (bulan Februari) dengan Mamoswine. Mungkin sekali lagi boleh diadakan Hari Komuniti untuk Eevee dan memperkenalkan Glaceon dan Leafeon semasa Hari Komuniti tersebut.

Bermain Pokémon GO untuk Hari Komuniti di sekitar kawasan rumah aku (Ground cEro) bukanlah satu idea yang teruk. Walaupun jelas terdapat beza untuk jumlah titik muncul, PokéStop, dan PokéGym yang ada, tapi disebabkan XP bukan lagi misi utama, maka aku boleh lebih bermain dengan santai.

Tarikh pula, mungkin jatuh pada 13hb atau 14hb April, kerana minggu depannya (20/21hb) adalah Hari Easter. Aku tidak rasa Niantic mahu buat event pada hari keramaian seperti itu.

Apa-apapun, yang pasti, jawapan hanya akan diketahui pada hujung bulan Mac ini..



Sekian sahaja episod Hari Komuniti kali ini.
Bertemu lagi di episod bulan April yang bakal menyusul kemudian.

Buh-bye!
*berlalu pergi sambil menunggang Leafeon*



Ikuti cEro di media sosial:

  




.

No comments:

Post a Comment

"It's not what you've got, it's what you do with it." - cEro, 2026