Jun 27, 2018

Tanpa Tajuk #14



Salam.

Bertemu lagi kita di dalam entri Tanpa Tajuk,
satu entri di mana beberapa isu mahu aku kongsikan tapi isunya terlalu pendek untuk diberi satu post khusus, maka aku rangkumkan beberapa isu itu di dalam satu entri.

Kali ini, entri Tanpa Tajuk berkisar sekitar RAYA.
Edisi RAYA.

Tanpa membuang masa,
mari kita terus ke tajuk sebenar yang ingin dibincangkan...





1. Baju Raya.

Jadi, aku lelaki.
Lelaki memang dikenali dengan perangai 'simple' mereka dan aku tidak terkecuali.

Di hari raya, kita dituntut berpakaian kemas dan cantik.
Maka, hari raya adalah sebab kuat pada aku untuk beli baju baru. Baju raya.
Sebab pada hari lain, aku sangat jarang beli baju baru.

Jenis macam aku, senang.
Aku beli beberapa pasang baju baru untuk dijadikan baju raya
dan baju yang sama akan aku pakai sepanjang tahun.
Nak beli baju baru lain, tunggu raya tahun depan.
Sebab itu kalau kalian kenal aku secara peribadi,
kalian akan dapat perasan yang aku suka pakai baju yang sama berulang kali.
Aku pernah kena perli sebab asyik kenakan baju yang sama saja.

Alaa, kebetulan.
Aku jumpa orang yang perli itu mungkin dua minggu sekali sahaja,
dan kebetulan hari yang aku jumpa dia itu aku pakai baju sama dengan semasa aku pernah jumpa dia sebelum ini.
Terus kena perli pakai baju sama.

Masalahnya,
apa masalah kalau aku pakai baju sama pun?
Bukankah itu fungsi baju; untuk dipakai?
Takkan nak pakai sekali lepas tu simpan, kot. Ingat apa, lampin?
Tak faham sungguh dengan spesies orang yang baju pun boleh dijadikan bahan perli ni.







2. Nak OOTD Tapi Hujan.

Pada hari raya keempat (hari Isnin, 18 Jun) aku dan sekeluarga hadiri satu kenduri kahwin saudara.
Kenduri itu meraikan anak kepada sepupu nenek aku dapat menantu.
Lokasinya di Gurun, Kedah. Satu kawasan yang penuh dengan sawah padi luas terbentang.

Aku pakai satu baju yang baru aku beli berwarna merah.
Aku jarang ada baju merah, kerana pada aku merah terlampau menarik perhatian.
Aku ni jenis tak suka tarik perhatian orang, apatah lagi melalui pakaian.
Namun, kali ini sengaja aku pilih baju merah untuk ke kenduri. Kerana apa?

Ya! Tepat sekali. Kerana OOTD.

OOTD membawa maksud 'outfit of the day' merujuk kepada keghairahan generasi sekarang menayang apa yang dipakai mereka pada hari itu di media sosial.

Aku pakai baju merah semata-mata kerana mahu bergambar di sawah padi.
Sawah padi menghijau yang luas mata memandang,
dengan langit berwarna biru muda berhias awan putih perak,
dan kemudian ada seorang lelaki dengan rambut baru berbaju merah sedang beraksi di depan lensa kamera (telefon bimbit),
bukankah itu akan menghasilkan gambar OOTD yang menarik untuk dikongsikan di media sosial?

At least itu apa yang aku bayangkan.

Sampai sahaja di rumah kenduri, dari jauh nampak awan hitam mula berarak datang.
Seketika kemudian selepas selesai melantak hidangan,
hujan mula turun membasahi bumi.

Maka, hilanglah peluang untuk beraksi di depan lensa kamera (telefon bimbit) berlatarbelakangkan sawah padi menghijau luas mata memandang dan langit biru muda berhias awan putih perak.
Apa yang ada hanyalah langit gelap dan air hujan menitis meriah.

Nak tambah dramatik,
dek kerana kawasan sawah yang lapang, angin datang tepat ke khemah kenduri.
Air hujan masuk ke dalam khemah, membasahi semua yang berteduh di bawahnya.
Angin kuat meniup meja makan sampai terbalik, sekali dengan kerusi terseret jauh.
Dari tiga khemah kenduri yang ada, hanya satu sahaja selamat
TAPI dipenuhi dengan pengunjung yang berteduh mengelak basah.
Serba salah. Nak lari ke kenderaan, hujan sangat lebat.
Nak terus duduk kesian pula pengunjung lain yang belum sempat makan.

Walaupun boleh kata kenduri itu tergendala disebabkan hujan lebat,
namun tiada seorang pun tuan rumah dan para rewang yang bermuka kerut.
Mereka masih tersenyum lebar dan bergurau senda dengan tetamu yang datang.

Aku betul-betul kagum dengan positiviti kehidupan tuan rumah.




3. Socially Awkward.

Pada hari raya kesembilan, 23 Jun, sekali lagi aku dijemput ke kenduri kahwin.
Kenduri kali ini milik seorang kawan dari zaman sekolah dahulu.
Satu kenduri yang aku kena datang, kerana kawan aku ini adalah kawan yang sama-sama bergerak sekumpulan tiap kali ada kenduri kawan yang lain.
Kami berada dalam 'kem lelaki bujang' yang sentiasa bergerak bersama,
namun kali ini dia sudahpun bersara dari kem tersebut.

Alkisah,
kenduri berlangsung di Bangi, Selangor.
Walaupun sama Selangor, namun aku berada di Selangor sebelah sini
manakala Bangi berada di Selangor sebelah sana.
Berkerut juga dahi aku memikirkan jarak antara keduanya.

Pagi itu cuaca cantik.
Sarang burung belakang bilik aku riuh dengan kicauan burung.
Aku pula, bersiap untuk ke kenduri.
Menyarung baju 'baru' merah aku, baju yang sama aku pakai di raya keempat hari itu.
Disebabkan cuaca baik, aku buat keputusan untuk ke kenduri menaiki motosikal.
Dan itu adalah keputusan yang bakal aku kesali selepas itu.

Kusangkakan panas sampai ke petang,
namun hujan turun di tengahari (literally!)

Baru sahaja separuh perjalanan, hujan mula turun.
Bermula dengan renyai,
tapi disebabkan aku bawa motosikal, maka hujan renyai pun akan jadi basah.

Aku ambil keputusan berhenti di hentian satu lebuh raya ini.
Di hentian itu ada KFC, maka dengan seronoknya nak merasa Ayam Nacho yang iklan dekat TV tu.
Tapi, lain yang berlaku...




Maka, makanlah aku Ayam Nacho ni kaki lima luar kedai sambil melihat hujan membasahi Bumi.




4. Baju Merah dan Hujan (Lagi).

Bersambung cerita di atas.

Selepas selesai makan Ayam Nacho di kaki lima,
aku perasan hujan sudah reda.
Aku pun ambil kesempatan ini untuk teruskan perjalanan ke Bangi.

Pada hemat aku, baik aku sampai ke destinasi dulu.
Asalkan aku sampai, kalau nak hujan lebat sekalipun rasanya tiada masalah.

Malangnya, baru beberapa minit tayar berguling, hujan kembali turun.
Kali ini lebih lebat sampai tahap julat pandangan jadi terhad.
Aku sedang berada di lebuh raya,
walaupun di lebuh raya ada tempat berteduh untuk penunggang motosikal,
namun jaraknya dapat jumpa mungkin sekali dalam 5 km.
Bagi penunggang motosikal, 5 km di bawah hujan sudah memadai untuk basah.

Maka,
basahlah aku seluruhnya.
Luar dalam semua sudah ditakluki oleh air hujan.

Bila fikir balik,
baru dua kali aku pakai baju merah ini
dan kedua-dua kali itulah hujan turun lebat tak ingat dunia.
Adakah baju ini pembawa hujan? Entah.
Mungkin jawapannya akan aku dapat pada kali ketiga aku pakai nanti.

Tentang kenduri,
walaupun akhirnya aku sampai juga ke Bangi,
namun aku buat keputusan untuk tidak masuk ke dalam ruang dewan kenduri itu.
Aku basah lenjun.
Aku rasa segan nak masuk dan menjadi tetamu.
Kalau aku masuk juga, aku mungkin akan mencacatkan majlis.

Maka,
selepas menghantar text kepada kawan aku si mempelai dan menerangkan segala apa yang berlaku,
aku ambil keputusan untuk berangkat balik ke rumah
meredah hujan yang masih lagi lebat tiada tanda mahu reda
tanpa menghadiri kenduri yang sudahpun aku sampai ke destinasinya.

Adakah keputusan aku ini betul?




5. Erti Kehidupan.

Kenapa perlu aku terus balik sedangkan masih hujan?
Jawapannya,
ada kemungkinan besar kalau aku terus tunggu di kawasan kenduri kawan aku itu
aku akan terserempak dengan kawan-kawan aku yang lain.
Sudahlah seluruh badan basah kuyup,
mesti lagi awkward bila berjumpa dengan kawna-kawan yang lain.

Kalian mungkin tak dapat tangkap keadaan basah aku seteruk mana.
Bayangkan,
jika aku berdiri setempat dengan pakaian aku yang basah kuyup itu,
akan ada air berwarna biru bertakung di bawah kaki aku
akibat daripada warna seluar jeans aku yang turun.
Begitulah teruknya basah aku.

OK. Moving on...

Aku balik dalam hujan lebat.
For note, menunggang motosikal dalam hujan lebat SANGAT BAHAYA.
Pertama, pandangan menjadi terhad.
Kedua, jalan licin dan bahaya untuk roda dua.
Ketiga, pemandu lain mungkin tak nampak kita.
Dan lebih penting,
JALAN RAYA DIPENUHI DENGAN ORANG BODOH.

Kenapa aku cakap bodoh?
Ada sejenis manusia di atas jalan raya, entah kenapa,
bila hujan dia akan memandu lebih laju daripada biasa.

Sampai sekarang aku tak tahu apa fungsi manusia jenis ini nak memandu laju di waktu hujan.
Langsung tak ada kebaikan. Keburukan bertambah adalah.

Alkisah,
ketika aku dalam perjalanan pulang di tengah kota Kuala Lumpur,
ada kereta ini dengan lajunya meredah lopak air hujan
dan air merecik ke arah aku yang sedang menunggang di sebelah.

Rasanya, dalam 3 saat aku tak nampak apa-apa sebab disimbah air.
Dan 3 saat sudah cukup untuk meragut nyawa aku jika ada kereta lain laju di belakang.

Alhamdulillah, dalam 3 saat itu aku selamat.
Tiada kereta laju di belakang aku.

Kereta tadi, kalau dia pandu perlahan, air tidak akan merecik besar ke arah aku.
Aku tahu, dia mesti langsung tak sedar yang dia sudah membutakan mata aku selama 3 saat dan hampir membuatkan nyawa aku melayang.
Aku tak pasti adakah dia seronok melanggar lopak air ataupun dia tidak sengaja.
Namun yang aku pasti,
kalau takdirnya aku hilang nyawa waktu itu,
pemandu kereta itu mungkin langsung tidak akan tahu dialah penyebabnya.

Semasa kelas memandu nak ambil lesen dahulu kita sudah diberitahu,
ketika hujan perlahankan kenderaan.
Bukan saja suka-suka suruh perlahan.
Ni jenis bebal sangat yang nak juga bawa laju masa hujan ni dah kenapa?

Sambung cerita.

Beberapa ratus meter di hadapan selepas kepada kejadian 'buta 3 saat' tadi,
berlakunya satu kemalangan, pelanggaran dua kereta akibat daripada jalan licin.
Aku tidak pasti adakah itu kereta yang sama dengan kereta yang langgar lopak air tadi tapi yang aku pasti warnanya sama.
Aku mahu percaya bahawa itu adalah kereta yang sama.
Aku tidak tahu sama ada pemandunya selamat atau tidak,
tapi aku harap pemandu itu selamat supaya dia dapat pengajaran daripada 'akibat' perbuatan dia tadi.

Menunggang motosikal di kala hujan lebat banyak mengajar aku.
Jalan raya adalah satu tempat yang sangat bahaya.
Malah berlipat kali ganda bahayanya bila kita menunggang motosikal.
Bertambah lagi bahayanya bila hujan turun.
Meningkat lagi bahayanya bila orang yang berada di atas jalan juga tidak menggunakan akal untuk berfikir tentang bahaya yang ada.

Aku kena lebih menikmati kehidupan kerana bila-bila masa kau boleh hilang nyawa atas jalan raya.
Sayangi mereka yang sayangi kita, kerana bila-bila masa sahaja semuanya akan tamat.

Aku bersyukur aku selamat.
Aku harap akan datang aku tidak akan hilang nyawa atas jalan raya.
Jalan raya bukan tempatnya untuk hilang nyawa.


========================= ============


Itu sahaja kali ini.
Let just hoping that minggu depan ada entri yang lebih berisi daripada aku.
Amin.







.

Jun 20, 2018

Sembang Syawal: MENUJU KE HADAPAN!



Salam.

Ini adalah satu entri yang dijadualkan pada tarikh 20 Jun 2018.
Tarikh berkenaan merupakan hari raya keenam,
dan aku pula hanya akan balik kampung pada hari raya ketiga,
dan aku tak pasti pada tarikh bila pula akan aku sentuh komputer untuk update blog,
maka entri ini ditulis lebih awal dan dijadualkan pada tarikh berkenaan.

Sebelum apa-apa, belum terlewat untuk aku ucapkan
SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI, MAAF ZAHIR BATIN.

Kalau aku ada terbuat silap dengan sesiapa yang membaca entri ini,
aku mohon kalian beritahu apa silap aku supaya aku boleh minta maaf dengan ikhlas.
Kalau kalian ada terbuat silap dengan aku pula,
anggaplah aku sudah maafkan kalian tanpa sebarang perasaan dendam terbuku di hati.




Untuk entri kali ini,
aku nak sembang tentang apa yang aku nak capai sebelum menjelang Syawal tahun hadapan (1440h):


1. Harap sempat dapat bertemu dengan Ramadan tahun depan.

Sounds cliche dan acah-acah bila aku kata aku harap aku sempat dapat bertemu Ramadan tahun depan, tapi memang itu yang aku harapkan. Secara umum, aku rasa Ramadan yang baru lepas ini (1439h) adalah lebih baik berbanding Ramadan tahun sebelumnya (1438h) namun aku tahu aku boleh jadi lebih baik. Sebab itu, aku harap aku panjang umur untuk bertemu Ramadan tahun depan (1440h) supaya aku boleh kekalkan momentum dan menjadi lebih baik daripada yang sebelumnya. InsyaAllah, Amin.



2. Harap status pada Syawal tahun hadapan tidak sama dengan sekarang.

Ini adalah sesuatu yang sangat aku beratkan sejak tahun lepas, namun aku rasa aku tidak cukup berusaha ke arahnya. Namun kali ini, aku akan anggap ini sebagai satu misi. Maksud aku status yang tidak sama bukan bermakna aku terdesak nak kahwin atau apa, tapi lebih kepada aku mahu melihat diri sendiri maju ke depan berbanding sebelumnya. Aku juga manusia biasa yang mahu disayangi dan menyayangi, mahu ada keluarga sendiri, mahu hidup berteman dan diteman. Namun, kesemua itu bukan berada di dalam kawalan aku sepenuhnya. Rezeki, jodoh, ajal maut bukan tugas manusia menentukannya. Doakan aku, ya!



3. Harap boleh buang perangai buruk.

Aku ada satu perangai buruk yang aku sendiri benci tapi sebab sudah lama jadi tabiat maka aku tak mampu nak halang. Maaf, aku tidak boleh beritahu apa perangai buruk aku itu buat masa sekarang, tapi aku sangat mahu buang perangai itu. Kalau aku berjaya buang nanti aku akan beritahu apakah ia. Tapi cukuplah kalian tahu, tabiat buruk itu sangat memberi kesan buruk kepada aku dan ia memudaratkan. Aku rasa, aku perlu lebih serius dalam merancang untuk membuang perangai ini. Susah, tapi aku tahu aku mampu.



4. Harap boleh dapat lebih banyak kawan yang bermanfaat.

Dengar macam harapan budak kecil yang baru masuk kelas tadika; mahukan lebih banyak kawan. Tapi hakikatnya aku memang kurang kawan. Dari usia aku umur 12 tahun aku sudah diajar berdikari dan tidak bergantung, maka kebanyakan perkara aku lakukan sendiri. Akibatnya, aku jadi kurang kawan, apatah lagi kawan yang bermanfaat. Kawan yang ada waktu susah senang. Kawan yang bukan berniat lain dalam berkawan. Jujurnya, pada usia aku ini, nak dapat kawan sejati agak susah. Namun aku yakin, kalau aku sendiri jadi seorang kawan yang baik, maka orang yang baik juga akan mahu berkawan dengan aku. Tapi itulah...nak jadi orang baik bukannya semudah yang disangka.



5. Harap mampu untuk sambung belajar.

Kalau kalian baca blog aku, aku sering kali kata nak sambung belajar. Tapi aku dapati banyak halangan yang melintang menghalang aku untuk teruskan niat itu. Jauh di sudut hati aku sedar, aku sendiri pun tidak cukup nekad untuk merealisasikannya. Dengan usia yang makin lanjut, aku sedar otak aku pun tidak secerdas zaman muda remaja dahulu. Api semarak mahu sambung belajar pun sudah semakin malap. Apa yang aku perlukan adalah menyemarakkan kembali keinginan itu DAN cukup mampu dari segi fizikal, mental dan material untuk terus menuntut ilmu.



6. Harap kesihatan semakin baik dan berkekalan.

Antara faktor utama yang menyekat perkembangan aku belakangan tahun ini ialah faktor kesihatan. Tidak ramai tahu, even keluarga sekalipun, yang aku ni pada dasarnya bukanlah sihat mana. Tapi aku sedaya upaya sorokannya dan 'berlakon' tiada apa-apa di depan orang lain. Alhamdulillah, selepas struggle beberapa ketika, aku rasa aku makin sihat dan aku harap kesihatan ini akan terus meningkat semakin baik dan berkekalan. Dan dengan menyebut kesihatan, aku maksudkan kesemuanya; dari segi mental, fizikal, dan juga spiritual.



7. Harap segala dugaan dapat ditempuhi dengan jayanya.

Dulu aku suka berdoa agar aku dijauhi dari dugaan yang menjatuhkan. Tapi baru-baru ini aku diajar supaya tidak berdoa sedemikian kerana dugaan sentiasa akan datang. Dugaan, ujian dan cabaran adalah tanda Tuhan Yang Maha Penyayang menyayangi kita. Maka, mintalah doa supaya kita diberi kekuatan untuk menempuh segala dugaan yang tiba. Kalau kita kuat dan bersedia, apa juga dugaan yang datang tidak akan mematahkan semangat, pendirian dan iman kita.


------------------------- ------------


Ada seseorang pernah beritahu, jangan suka sangat nak beritahu azam, harapan atau misi kita kepada umum. Sebab takut nanti kalau tidak tercapai, kena balik dengan diri kita. Cukup sekadar diri sendiri sahaja tahu, sudah memadai.

Namun aku rasa, cara itu cara selamat. Aku lagi suka mengumumkan azam aku. Dengan memberitahu azam kita, kita seperti ada satu daya tolak untuk merealisasikannya. Kalau hanya diri sendiri tahu, kita akan jadi mudah untuk mengenepikannya.

Sengaja aku tidak beritahu secara terperinci tentang cara aku untuk realisasikan azam aku ini. Aku ada perancangan sendiri dan aku harap perancangan aku berjalan lancar.

Sama-sama kita majukan diri supaya jadi lebih baik berbanding hari sebelumnya.

Sekian.





.

Jun 18, 2018

HARI KOMUNITI: Episod Dinosaur Batu.




Salam.

Bertemu kita sekali lagi dalam segmen Hari Komuniti, segmen di mana aku menulis hanya untuk kepuasan diri sendiri.

Jika kalian baca episod lepas, aku ada mengutarakan kerisauan bahawa Hari Komuniti untuk bulan Jun jatuh pada raya kedua Hari Raya Aidilfitri. Disebabkan Hari Raya Aidilfitri jatuh pada 15 Jun DAN Pokémon GO Community Day pula dijadualkan pada esoknya, 16 Jun maka aku jadi bimbang aku tak dapat nak menikmati Hari Komuniti itu sepenuhnya. Tambahan pula Pokémon istimewa untuk Hari Komuniti kali ini ialah Larvitar, salah satu Pokémon meta yang kuat di dalam permainan ini.

Tapi, aku dapat rasa Tuhan Yang Maha Besar sayangkan aku.

Beberapa minggu sebelum Hari Raya Aidilfitri, atas sebab-sebab tertentu, aku dikhabarkan kami sekeluarga hanya dapat balik ke kampung berhari raya pada hari raya ketiga. Untuk raya pertama dan kedua, cukup sekadar beraya di belantara konkrit ini.

Maka, aku bolehlah sertai Pokémon GO Community Day kali ini. Alhamdulillah.

Sebelum apa-apa, ini adalah entri berkaitan Pokémon GO, maka akan terdapat banyak istilah dan frasa berkaitan permainan aplikasi Pokémon GO yang mungkin akan memberikan cabaran kepada para pembaca bukan pemain untuk memahami.

'Hari Komuniti', atau nama sebenarnya Pokémon GO Community Day adalah satu hari dalam setiap bulan anjuran pihak Niantic Inc. selaku pembangun aplikasi Pokémon GO di mana pada hari berkenaan akan menampilkan satu Pokémon tertentu dan dilepaskan secara banyak dalam jangka masa 3 jam. Semasa tempoh 3 jam berkenaan, bonus-bonus tertentu juga akan diberikan kepada para pemain. Hari Komuniti adalah satu acara yang dinantikan oleh para pemain Pokémon GO.

Aku ada bercerita panjang lebar tentang Hari Komuniti yang pernah berlangsung sebelum ini:
Januari - 'Tangkap Pikachu di Taman.'
Februari - 'Memburu Anak Naga Merah Jambu.'
Mac - 'Mencari Raksasa Bawang.'
April - 'Episod Biri-Biri Elektrik Merah Jambu.'
Mei - 'Episod Si Naga Hitam.'

Dan seperti yang sudah aku ceritakan tadi, untuk bulan Jun, Hari Komuniti berlangsung pada 16 Jun 2018 dari jam 11 pagi hingga 2 petang (waktu Malaysia) dan Pokémon Larvitar akan menjadi Pokémon penampilan istimewa.


#246 LARVITAR
Rock Skin Pokémon
Larvitar is born deep under the ground. To come up to the surface, this Pokémon must eat its way through the soil above. Until it does so, Larvitar cannot see its parents.



Larvitar adalah Pokémon jenis Batu dan jenis Tanah. Evolusi Larvitar, iaitu Tyranitar adalah antara segelintir Pokémon yang mampu memilki nilai CP melebihi 3000.

Pada Hari Komuniti kali ini, bonus yang akan diterima pemain ada 3x Experience Point (XP) bagi setiap Pokémon yang ditangkap di dalam tempoh masa 3 jam itu dan jika Larvitar dievolusikan kepada Tyranitar dalam tempoh masa itu, Tyranitar itu akan dapat move 'Smack Down' sebagai Fast Move istimewa. Smack Down adalah serangan pantas paling kuat bagi jenis batu.



PERSEDIAAN

Tiada persediaan khusus aku lakukan untuk menghadapi Hari Komuniti kali ini. Kebetulan aku sudahpun ada seekor Larvitar dengan CP yang tinggi dan IV mencecah 98% tersedia di dalam simpanan. Aku cuba untuk kumpul 1480 coins supaya aku boleh beli Community Day Special Box, tapi Hari Komuniti kali ini berlaku serentak dengan acara Water Festival maka sepanjang acara ini, sudah tersedia Special Box yang tidak banyak beza dengan Special Box untuk Hari Komuniti.

Aku berhasrat mahu simpan coin untuk Hari Komuniti bulan depan kerana ikut jadual, Hari Komuniti bulan Julai akan berlangsung sedikit awal; 8 Julai (kalau aku tidak silap).



MISI

Disebabkan Hari Komuniti jatuh pada hari raya kedua, maka aku tidak menetapkan misi-misi yang tidak realistik. Aku, kalau boleh, mahu bermain hanya pada tempoh masa 3 jam itu sahaja dan kembali sambung beraya sesegera selepas itu.

Misi aku kali ini:

1. Tangkap sebanyak mungkin Larvitar dalam tempoh 3 jam Hari Komuniti.
2. Tangkap paling kurang TIGA shiny Larvitar supaya salah satunya boleh dievolusi kepada shiny Pupitar dan satu lagi dievolusi kepada shiny Tyranitar (dengan fast move Smack Down)
3. Kutip Experience Point (XP) sebanyak mana yang mampu.

Untuk kali ini, disebabkan faktor jarak dan hari raya, aku jadikan (sekali lagi) Taman KLCC sebagai destinasi aku memburu Larvitar.


Taman KLCC, Kuala Lumpur.



HARI KEJADIAN

Aku keluar dari rumah seawal 9:30 pagi menuju ke Pusat Bandar Kuala Lumpur. Hari ini hari raya kedua, maka memang boleh agak dan rasa jalan raya menjadi lengang daripada kenderaan. Warga kota tak kira bangsa ambil kesempatan cuti raya untuk pulang ke kampung. Aku pun tidaklah kejar masa sangat, aku menunggang si kuda putih aku secara santai di lebuh raya.

Sampai ke destinasi jam 10:15 pagi. Walaupun aku kata jalan raya lengang, namun sekitar KLCC dipenuhi dengan orang. Lebih tepat lagi, dipenuhi dengan warga asing yang mengambil masa cuti untuk bersiar-siar beramai-ramai bersama kawan. Dapat dilihat juga Taman KLCC dipenuhi dengan pemain Pokémon GO bukan beragama Islam, kerana pemain Melayu kebanyakannya sedang menikmati raya kedua di kampung. Hanya segelintir sahaja orang berbangsa Melayu yang dapat aku kenalpasti (termasuklah diri aku).

Sejurus sahaja menjejakkan kaki di Taman KLCC, ada Level 5 Legendary Raid sedang berlangsung di sebuah PokéGym di tengah Taman KLCC. PokéGym itu dikenali sebagai 'Colorful Playground' dan merupakan gym yang layak memberi jemputan menentang Mewtwo. Maka, tanpa berlengah masa, aku segera ke sana untuk menentang Legendary Boss untuk waktu ini; Kyogre.

Kyogre adalah Pokémon lagenda dari generasi ketiga dan sudah pernah keluar sebagai Legendary Raid Boss pada satu masa lalu. Namun, kini Kyogre kembali dengan peluang untuk dapatkan Kyogre versi shiny (badan birunya bertukar warna merah jambu).

Dan, cuba teka siapa yang berjaya mendapatkannya?


Pink Levitating Whale.


LUCKY!
Untuk makluman, jika lobi raid penuh dengan 20 pemain, maka paling kurang satu pemain akan dapat shiny Kyogre. Juga, shiny Kyogre ini mempunyai kadar tangkapan 100%, bermakna dengan sekali balingan yang mengena sahaja sudah memadai untuk menangkapnya. Sebab itu aku ambil kesempatan dengan memberi shiny Kyogre ini dengan Pinap Berry, supaya Kyogre Candy yang bakal aku terima akan berganda menjadi 6.

Selepas beberapa ketika, jam sudahpun menunjukkan pukul 11 pagi dan Pokémon GO Community Day untuk bulan Jun pun BERMULA!

Sepanjang 3 jam tempoh masa ini, aku berjaya tangkap 9 shiny Larvitar.
Ya, kalian baca betul. SEMBILAN!.


Sebagai perbandingan, yang kiri adalah Larvitar biasa dan yang kanan ialah Larvitar shiny. Warna Larvitar shiny sedikit gelap dan lebih kehijauan berbanding Larvitar biasa.
Shiny Larvitar ini adalah yang pertama ditangkap; pada jam 11:04 dengan CP 483.


Mengikut turutan tangkap dari kiri:
Jam 11:24 CP 86, jam 11:50 CP 62, jam 11:58 CP 388, jam 12:41 CP 61


Mengikut turutan tangkap dari kiri:
Jam 12:47 CP 273, jam 12:51 CP 298, jam 12:59 CP 481, jam 13:14 CP 99



Pada jam 11:30 pagi, aku mengevolusi Larvitar dengan IV 98% yang sudah berada dalam simpanan kepada Tyranitar yang hebat dengan fast move Smack Down.


Sengaja aku evolusikan awal-awal supaya aku boleh lebih fokus menangkap sebanyak mungkin Larvitar yang lain.



Pada jam lebih kurang 12 tengahari, satu telur hitan Level 5 Legendary Raid Boss menetas di PokéGym berdekatan. Aku ambil kesempatan ini untuk menentang Level 5 Raid Boss Kyogre untuk kali kedua hari ini.

Dan, sekali lagi nasib menyebelahi aku...


Another Pink Levitating Whale.


...buat kali kedua dalam masa kurang 2 jam, aku berjaya dapat satu lagi shiny Kyogre!
LUCKY!!

Pada kemunculan awal Kyogre dahulu, aku hanya mampu tangkap satu sahaja Kyogre biasa untuk disimpan. Tidak sangka untuk kali ini, aku berjaya tangkap DUA shiny dalam masa yang singkat.



ASING DI TANAH SENDIRI.

Seperti yang pernah aku cakap tadi, walaupun hari ini hari raya kedua, namun Taman KLCC dipenuhi dengan orang. Gambar di bawah adalah gampar para pemain Pokémon GO yang sedang khusyuk menatap telefon masing-masing sambil memburu shiny Larvitar.




Perasan tak kebanyakan dalam gambar itu adalah pemain bukan berbangsa Melayu, kan? Sebilangan kecil sahaja pemain Melayu yang sanggup gadaikan hari raya keduanya untuk permainan.

Gambar seterusnya pula adalah gambaran bahawa betapa penuhnya Taman KLCC disinggahi warga asing yang sedang bercuti raya. Aku sampai rasa macam orang asing di tanah air sendiri.




Tapi pada aku, selagi mana mereka tidak buat kacau dan onar, atau mengganggu orang lain, maka aku rasa tiada masalah kalau mereka nak bersiar-siar pun. Mereka juga manusia yang mahu sekali-sekala berseronok, kan?



MASA UNTUK EVOLUSI

Oh, pada penghujung jam 1 menghampiri jam 2, aku pun mengevolusi satu shiny Larvitar kepada shiny Tyranitar (memerlukan 125 Larvitar candy) dan juga satu shiny Larvitar kepada shiny Pupitar (memerlukan 25 Larvitar candy). Kini, aku sudah memiliki satu keluarga shiny Larvitar yang lengkap.


Shiny Larvitar berwarna lebih kehijauan.
Shiny Pupitar berwarna keunguan.
Shiny Tyranitar berwarna perang-perang tanah.



Aku tamatkan Hari Komuniti aku pada jam 2 petang. Sebenarnya, disebabkan ada gangguan teknikal di awal tempoh masa tadi (di mana menyebabkan munculnya pelbagai jenis 'error' yang membuatkan pemain Pokémon GO kegeraman), pihak Niantic memberi tambahan 2 jam (sehingga jam 4) untuk menangkap Larvitar.

Namun, seperti yang sudah aku beritahu, cukup rasanya segala yang aku dapat tangkap. Memanjangkan lagi tempoh aku bermain tidak akan memberikan kebaikan kepada aku.

Tapi sempat lagi aku menyertai Level 5 Legendary Raid sebelum bergerak balik. Walaupun tidak berjaya menangkap Kyogre itu (dan Kyogre itu bukan shiny), tapi aku masih lagi dapat sejumlah XP yang banyak.



ULASAN

Adakah misi aku untuk Hari Komuniti kali ini selesai?

1. Tangkap sebanyak mungkin Larvitar.

Menurut data, sebelum Hari Komuniti aku sudah tangkap 23 Larvitar di keliaran. Selepas tempoh 3 jam Hari Komuniti ini, data menunjukkan aku sudah tangkap sejumlah 125 Larvitar. Ini menjadikan aku berjaya menangkap 102 Larvitar pada Hari Komuniti ini.


2. Tangkap paling kurang 3 shiny Larvitar.

Aku berjaya tangkap SEMBILAN shiny Larvitar. Hehe!


3. Kutip Experience Point (XP) sebanyak mana yang mampu.

Menurut rekod yang sudah aku simpan lebih awal, XP aku sebelum Hari Komuniti adalah Level 36: 1,587,009 XP. Manakala selepas tamat Hari Komuniti pula adalah Level 36: 1,718,464 XP. Ini menjadikan jumlah XP yang berjaya aku kutip sepanjang tempoh 3 jam Hari Komuniti ini ialah (1,718,464 - 1,587,009) 131,455 XP. Semuanya daripada 3 Legendary Raid dan bonus 3x XP untuk setiap tangkapan.


Kesimpulannya,
Hari Komuniti untuk bulan Jun ini sangat menyeronokkan kerana bukan sahaja aku mampu tangkap 9 shiny Larvitar, malah aku juga berjaya miliki 2 shiny Kyogre.





HARI KOMUNITI SETERUSNYA, BULAN JULAI

Tarikhnya sudahpun dijadualkan pada 8 Julai 2018. Tarikhnya sedikit awal kerana Niantic ada merancang pelbagai acara lain daripada lewat Jun sehingga ke bulan Ogos. Mungkin hanya tarikh itu sahaja yang sesuai dijadikan Hari Komuniti untuk bulan Julai.

Daripada senarai Pokémon penampilan istimewa untuk Hari Komuniti yang terdahulu, kita sebenarnya dapat teka apa Pokémon yang bakal ditampilkan seterusnya di bulan Julai:

Bulan 1 - Pikachu
Bulan 2 - Dratini
Bulan 3 - Bulbasaur
Bulan 4 - Mareep
Bulan 5 - Charmander
Bulan 6 - Larvitar

Semenjak bulan 3, Pokémon starter yang original (Bulbasaur) mengambil kedudukan berselang satu bulan (Bulbasaur pada bulan 3 dan Charmander pada bulan 5). Maka adalah selamat untuk meneka pada bulan Julai, Pokémon Squirtle akan menjadi Pokémon penampilan istimewa Hari Komuniti.

Kali ini aku 100% pasti ketepatannya.

Squirtle, walaupun bukanlah antara keluarga Pokémon jenis air yang kuat, namun masih ada nilainya. Nilainya akan bertambah selepas moveset istimewa untuk Blastoise diumumkan kelak. Aku pasti aku tidak akan ketinggalan untuk menyertai Hari Komuniti pada bulan Julai depan.



Sekian sahaja episod Hari Komuniti kali ini.
Kalau panjang umur, jumpa lagi pada bulan hadapan.

Buh-bye!
*sambil menunggang shiny Tyranitar ke arah matahari terbenam*




.

Jun 13, 2018

Sembang Ramadan: SAYANG & BENCI!



Salam.

Bertemu lagi kita dalam slot Sembang Ramadan,
slot di mana aku bersembang dengan kalian dengan menggunakan blog sebagai medium.
Ini adalah edisi terakhir untuk Ramadan 1439h dan insyaAllah kalau umur panjang tahun depan kita bersua kembali.

Minggu ini kita (aku) akan sentuh satu isu yang dekat dengan aku;
SAYANG & BENCI.




Lelaki lawannya perempuan.
Hitam lawannya putih.
Siang lawannya perempuan.
Langit lawannya bumi.
Sayang lawannya benci.

Tapi, bolehkah kedua-dua entiti berlawanan ini berada bersama?


Beberapa minggu lepas, aku bergaduh dengan seseorang yang dilabel keluarga.
Walaupun aku kata 'gaduh', tapi sebenarnya ia berlaku sebelah pihak sahaja.
Aku dimarah, diherdik, dihina, dicerca oleh si dia ini,
dan atas dasar hormat, aku langsung tidak melawan.
Bukan hormat kepada si dia, tapi hormat kepada ahli keluarga aku yang lain kerana peristiwa memalukan itu berlaku di hadapan ahli keluarga yang lain.
Ketika berlaku, aku perlahan-lahan melarikan diri ke bilik,
namun selepas aku masuk ke bilik pun aku masih lagi dikutuk, dihina, dimaki, dimarahi.

Itu adalah titik paling menyakitkan dalam hidup aku;
dihina dan dimalukan di hadapan keluarga sendiri, OLEH keluarga sendiri.

Disebabkan kejadian itu,
aku jadi benci dengan si dia ini.
Kalau boleh, aku langsung tidak mahu bersua muka dengan dia.
Aku rasa jijik dapat bernafas satu udara dengan dia.
Aku langsung tidak mahu tahu keberadaan dia.
Bagi aku, dia kini adalah orang asing.

Tapi, macam mana aku benci sekalipun,
dia masih keluarga. Dan aku sayang ahli keluarga aku.

Bertitik-tolak daripada peristiwa itu aku sedar satu perkara.
'Sayang' dan 'Benci', walaupun sering dilabel sebagai dua entiti yang berlawanan,
namun masih mampu wujud untuk satu orang dalam satu masa.

Aku benci dia.
Tapi kalau berlaku sesuatu terhadap dia, aku sanggup jadi galang ganti
kerana aku sayang dia.

Bila berbincang dengan ahli keluarga yang lain,
mereka cadangkan kepada aku supaya aku minta maaf kepada dia tu.
Tapi aku tak boleh.
Bukan ego, cuma yang dihina adalah aku,
yang dimaki adalah aku,
yang dituduh macam-macam adalah aku,
pada hari kejadian itu, satu perkataan pun langsung aku tak keluarkan kepada dia,
jadi atas premis apa perlu aku minta maaf?

Bayangkan,
si A hina si B, tapi kenapa si B perlu meminta maaf kepada si A?
Bukankah si A yang patut meminta maaf?

Pada aku, kalau dia nak minta maaf,
aku dengan seikhlas hati boleh memaafkan.
Aku ni, walaupun pendendam, tapi juga cepat hilang dendam.

Tapi, aku tahu.
Tidak akan mungkin si dia akan datang kepada aku dan meminta maaf.
Maklumlah, dia berstatus lebih atas.
Berpangkat lebih tinggi.
Daripada perangai dia yang aku kenal sejak dari kecil,
aku tahu, dia tidak akan mungkin meminta maaf.

Aku?
Seperti yang aku katakan tadi,
tiada keperluan untuk aku yang meminta maaf.
Yang disakiti itu, aku.
Yang menyakiti itu, dia.
Langsung tak logik untuk aku yang perlu meminta maaf.
Aku langsung tak buat salah dekat dia.

Tapi untuk hari raya yang bakal tiba satu dua hari lagi ini,
di kala semua ahli keluarga berkumpul untuk merayakannya,
aku berharap pada hari itu segalanya akan selesai.

Bagaimana itu aku tak pasti.
Adakah dia akan merendahkan egonya untuk meminta maaf kepada aku yang lebih rendah ini?
Ataupun aku akan reda dan anggap segala-galanya seperti tidak pernah berlaku?
Ataupun ada sesiapa yang mahu jadi orang tengah kepada kami berdua?
Aku tak pasti.

Yang aku pasti adalah
dalam diri aku ada perasaan benci dan sayang kepada dia itu.
Aku benci dia kerana dia hina aku seperti aku tiada maruah.
Tapi aku sayang dia kerana dia adalah keluarga.

Walaupun lelaki lawannya perempuan, tapi masih wujudnya khunsa di antaranya.
Walaupun hitam lawannya putih, tapi masih wujud kelabu di antaranya.
Walaupun siang lawannya malam, tapi masih wujud senja dan subuh di antaranya.
Walaupun langit lawannya bumi, tapi masih wujud udara di antaranya.

Walaupun sayang lawannya benci, tapi kedua-duanya ada di dalam hati ini.









Selamat Hari Raya Aidilfitri.
Maaf Zahir Batin.





.

Jun 11, 2018

PENYELIDIKAN LAPANGAN: Episod Burung Ais Lagenda.



Salam.


Hi. Aku cEro.
Selamat datang ke episod baru Penyelidikan Lapangan.

Sila baca episod sebelum ini:
1 - Episod Burung Api Lagenda.
2 - Episod Burung Elektrik Lagenda.

Dan pemberitahuan!
Ini adalah entri yang sarat dengan istilah-istilah khusus untuk permainan aplikasi Pokémon GO yang akan memberi sedikit cabaran kepada pembaca bukan pemain untuk memahami.




Pada 24 Mei 2018 yang lalu, terteranya satu artikel di dalam ruangan berita aplikasi Pokémon GO memberitahu sesuatu yang bakal berlaku di bulan Jun ini.




Bagi yang malas membaca, secara ringkasan, pada bulan Jun, Pokémon lagenda Articuno akan menggantikan Pokémon lagenda Zapdos sebagai ganjaran apabila mengumpul cukup cop setem di dalam Penyelidikan Lapangan (Field Research). Juga, set baru untuk senarai tugasan Field Research juga akan dilepaskan yang lebih menjurus kepada Pokémon jenis air.

Ya. Seperti yang dijangka.
Pada bulan April, Niantic memberikan Moltres sebagai Pokémon ganjaran untuk Field Research. Bulan Mei pula giliran Zapdos. Maka sudah dijangkan pada bulan seterusnya, iaitu Jun, giliran Articuno pula tiba. Namun walaupun tugasannya lebih fokus kepada Pokémon jenis air, namun Articuno sebenarnya ada Pokémon jenis ais (dan jenis terbang).

Maka, pengembaraan aku untuk menangkap Articuno pun BERMULA!


------------------------- ------------


Setelah dikira, hari ketujuh aku pada minggu keempat bulan Mei akan jatuh tepat pada 1 Jun. Maka, aku boleh jadi antara yang pertama mendapatkan Articuno sebagai ganjaran mengumpul cop setem Field Research.











Jadi, seperti yang boleh dilihat, hari ketujuh aku jatuh pada 1 Jun.
Aku boleh jadi antara yang pertama dapat ganjaran Articuno.




Seperti biasa, muncul dahulu Proferssor Willow mengucapkan tahniah ke atas kegigihan aku tanpa gagal mengutip cop setem tarikh setiap hari sejak daripada mula diperkenalkan feature Field Research.

Namun...






...yang muncul adalah masih Zapdos, bukan Articuno.

Aku kebingungan. Aku tenung kalendar beberapa saat. Betul. Hari itu memang 1 Jun. Sepatutnya aku boleh dapat Articuno bila masuk bulan Jun, tapi kenapa wujud lagi si Zapdos ini?

Disebabkan aku bukanlah sebodoh yang diri aku sangkakan, aku dapat selesaikan persoalan itu.

Dalam berita dimaklumkan bahawa kesemua perubahan (pertukaran Zapdos kepada Articuno dan set baru tugasan Field Research) akan dilepaskan pada 1 Jun 2018 jam 1 PM PDT. Bermakna, pada zon masa Pasific Daylight Time (PDT) adalah jam 1 petang namun pada zon masa Malaysia iaitu GMT 8+, adalah pada jam 4 pagi keesokan harinya. Maknanya, aku hanya boleh dapat Articuno pada jam 4 pagi, 2 Jun 2018.

"Hahahaha. Lain kali, baca artikel tu betul-betul. Ngok!" kata cEro kepada diri sendiri.

Maka, pengembaraan aku untuk menangkap Articuno pun (sekali lagi) BERMULA!


------------------------- ------------


Kalau aku berkeras juga mahu Articuno, aku kena skip satu hari tiada cop setem tarikh. Aku tak mahu. Aku mahu rekod bersih tidak pernah terlepas mengumpul cop tarikh.

Jadi, daripada niat mahu menjadi antara terawal mendapat ganjaran Articuno, aku menjadi antara yang terlewat menerimanya (kena tunggu seminggu).










Selesai dapat cop setem tarikh pada hari ketujuh (8 Jun),
muncul Professor Willow, sekali lagi bagi kali keberapa entah, mengucapkan tahniah.




Lalu...





...akhirnya, muncul juga si Burung Ais Lagenda ini. Articuno pada level 15.




Walaupun bukanlah yang terbaik, namun Articuno merupakan Pokémon jenis ais yang menduduki tangga kedua (setakat ini) dari segi dasar serangan (tempat pertama adalah Jynx). Aku sudahpun ada Articuno (hanya satu) semasa musim Legendary Raid dahulu. Penambahan Articuno semata-mata hanya untuk mendapatkan candy lebih supaya aku dapat power-up Articuno aku yang sudah sedia ada.



Ulasan.

Maka lengkaplah sudah tiga Pokémon burung lagenda (Articuno, Zapdos dan Moltres) sebagai ganjaran kepada Field Research. Ganjaran sebegini sangat berguna untuk mereka-mereka yang baru main (atau baru bermain semula) dan mereka yang terlepas Legendary Raid untuk burung-burung lagenda ini dahulu.

Apa yang lebih menarik adalah untuk meneka apa pula Pokémon yang bakal dijadikan ganjaran Field Research pada bulan Julai nanti.

Kalau mahu meneka, aku rasa Niantic akan beri Pokémon lagenda daripada trio 'beast'; Raikou, Suicune dan Entei. Rasanya disebabkan pada awal dahulu dimulakan dengan Pokémon api, maka kali ini Entei akan memulakan giliran, kemudian Raikou dan seterusnya Suicune.

Tapi, seperti tekaan aku yang sebelum ini, selalunya akan salah. Pada aku, tak semestinya kena bagi Pokémon lagenda sahaja. Mungkin Niantic boleh juga jadikan Pokémon yang 'rare' ataupun 'regional' sebagai ganjaran Field Research.

Apa-apapun, kita tunggu sahaja jawapannya nanti.



Nantikan episod seterusnya dalam siri Penyelidikan Lapangan di bulan hadapan.
Selamat menjalankan penyelidikan!





.

Jun 8, 2018

Komik 'Krik! Krik! Krik!' oleh Svetlana Chmakova. BERBALOIKAH?



Salam.

Bertemu sekali lagi dalam segmen 'BERBALOIKAH?',
satu segmen di mana aku mempersoal keberbaloian sesuatu.
Dan untuk edisi kali ini, aku akan kupas mengenai sebuah komik yang diberi tajuk 'Krik! Krik! Krik!' oleh Svetlana Chmakova.




Tersangkut!

Satu hari di bulam Mac lepas aku berjalan masuk ke sebuah kedai buku bernama 'terkenal' dan pusing-pusing di dalamnya. Tiada niat dalam hati mahu membeli apa-apa buku kerana banyak lagi buku dan komik di rumah yang belum sempat dibaca. Tapi perangai aku yang suka pusing-pusing tak ada tujuan di kedai buku memang tak boleh nak buang. Entahlah. Ada sesuatu di dalam kedai buku yang mendamaikan, berbeza dengan kedai-kedai lain.

Bila berjalan di bahagian komik, dalam banyak-banyak komik yang aku tinjau, mata aku tertarik pada satu komik ini. Tajuknya 'Krik! Krik! Krik!'. Tajuknya sahaja sudah menarik minat aku, tambahan lagi dengan rekaan muka depan yang minimalis dan kemas. Komik itu berbalut plastik dan tiada buku yang sudah dibuka untuk dijadikan 'browsing book', tapi hati aku sudahpun terpaut dengan buku ini (dalam 75%).

Bila dibaca nama pelukisnya, Svetlana Chmakova, aku teka ini nama orang Russia. Dan dari belekan aku dapati komik ini adalah terbitan Kadokawa Gempak Starz dan diterjemahkan ke Bahasa Malaysia.

Tiba-tiba aku jadi kurang senang (peratusan terpaut menurun ke 50%) kerana (pada aku) terjemahan Kadokawa Gempak Starz ke Bahasa Malaysia adalah sedikit kurang bermutu. Mereka menggunakan campuran bahasa pasar dan bahasa tinggi menjadikan aku kurang senang. Pada aku, adalah lagi baik mereka menggunakan 100% bahasa standard dan bukan campuran bahasa pasar. Walaupun pada pihak mereka, mereka akan 'bold'kan tulisan untuk bahasa pasar sebagai tanda bahasa itu tidak boleh digunakan di dalam peperiksaan, tapi aku tetap tidak senang dengan campuran bahasa itu.

Sebenarnya, aku pernah kecewa dengan terjemahan Kadokawa Gempak Starz untuk siri komik Sherlock. Bahasa pasar di dalam komik itu mencacatkan keseluruhan cerita Sherlock yang sepatutnya berprofil tinggi dan menarik untuk dibaca. Menyesal aku tidak beli komik Sherlock itu yang versi bahasa inggeris punya.

Aku pun gigih ke bahagian komik bahasa inggeris untuk mencari kalau-kalau ada komik 'Krik! Krik! Krik!' ini dalam bahasa inggeris. Harganya sudah tentu lebih mahal sedikit, tapi pada aku itu berbaloi berbanding dikecewakan dengan bahasa yang tidak menyenangkan. Untuk siri komik Sword Art Online memang ada versi bahasa inggeris punya, tapi untuk buku komik 'Krik! Krik! Krik!' langsung tiada. Sama ada memang tiada atau kedai buku itu tidak menjualanya, aku kurang pasti.

Maka, walaupun hati sudahpun tersangkut, tapi dengan perasaan yang agak berat dan takut akan dikecewakan, aku pun beli buku komik 'Krik! Krik! Krik!' versi Bahasa Malaysia ini. Lama jugalah buku ini mengumpul debu di atas meja aku, menunggu untuk dibaca (dan diulas).






Krik! Krik! Krik! oleh Svetlana Chmakova.

Jadi, aku buat sedikit penggalian terhadap siapa Svetlana Chmakova ini di internet. Daripada pencarian aku, Svetlana Chmakova adalah seorang pelukis yang mempunyai dua kerakyatan; Kanada dan Russia. Beliau berasal dari Russia dan berhijrah ke Kanada pada usia 16 tahun dan kini berusia 39 tahun (2018) dan menjadi pelukis komik sepenuh masa.

Komik 'Krik! Krik! Krik!' hasil karya Svetlana Chmakova dalam bahasa inggeris berjudul 'Awkward'. Komik 'Awkward' ini diterbitkan pada tahun 2015. Selepas Awkward, beliau juga ada mengeluarkan beberapa komik lain antaranya bertajuk 'Brave' (2017) dan 'Crush' (2018).

Kalau kalian nampak pattern, Svetlana cuba mahu menghasilkan komik dengan awalan tajuk dengan susunan huruf A-B-C; A untuk Awkward, B untuk Brave dan C untuk Crush. Mungkin pada masa akan datang, komik seterusnya akan bertajuk dengan huruf awalan D.

Entah macam mana bila diterjemah ke Bahasa Malaysia, tajuk Awkward menjadi 'Krik! Krik! Krik!', terus lari dari rancangan asal Svetlana. Nampak sangat orang yang terjemahkan komik ini tidak mengambil kira tentang apa yang Svetlana cuba nak rancangkan. But moving on...

Aku sudahpun membeli buku ini. RM 15 harganya, dan jika itu harga untuk dikecewakan rasanya mungkin akan sedikit menyakitkan.






Sinopsis Ringkas.

Komik 'Krik! Krik! Krik!' berkisar tentang watak utama perempuan bernama Penelope Torres, yang juga dipanggil Peppi. Naratifnya bersifat nama pertama, bermakna Peppi sendiri menceritakan kisah ini untuk pembaca. Bergenre 'slice of life' dan kehidupan zaman persekolahan, komik ini boleh dianggap ringan dan mudah dibaca.

Ceritanya bermula apabila Peppi baru berpindah masuk ke sebuah sekolah menengah dipanggil Sekolah Menengah Berrybrook. Bermula dengan satu peristiwa yang memalukan namun ia menjadi titik mula perkenalannya dengan seorang budak lelaki dari Kelab Sains. Lebih mengeruhkan keadaan, Kelab Sains dan Kelab Seni yang disertai Peppi bermusuhan teruk dan mengakibatkan timbulnya pelbagai masalah.

Komik ini menekankan konflik Peppi untuk menyesuaikan diri di dalam suasana sekolah baru dan perselisihan antara kedua-dua Kelab Sains dan Kelab Seni dan bagaimana Peppi tersepit di antara permusuhan itu.

Komik ini, selepas dibaca, benar-benar membawa kita (pembaca) balik ke zaman sekolah menengah dahulu di mana kawan-kawan bukanlah semuanya satu kepala dan kebanyakan mereka berada di fasa memberontak dan banyak menimbulkan masalah terhadap orang sekeliling.






Ulasan.

Kelas Sains dan Kelab Seni, huh? Bila aku baca sahaja komik ini, serta merta aku dapat 'relate'. Aku sendiri ahli kelab seni dan kelab sains, pada dasarnya dua-dua kelab ini sangatlah berlainan dan kelainan itulah yang membaca kepada permusuhan atau persahabatan.

Jalan ceritanya ringan dan ringkas. Sesiapa sahaja boleh baca komik ini tanpa pening kepala. Walaupun berlatarbelakangkan zaman persekolahan, namun komik ini sesuai untuk dibaca oleh sesiapa sahaja termasuklah pakcik tua yang sudah lama tinggalkan zaman sekolah.

Lukisan Svetlana yang ringkas dan bersifat 'doodle-ish' memberikan impak kuat terhadap jalan cerita. Jalan cerita santai dan ceria sebegini tidak sesuai dengan lukisan yang teliti dan berat.

Naratif oleh watak utama sendiri, iaitu Peppi, sangatlah berkesan dalam penyampaian sehingga membuatkan kita yang membaca seperti berada di dalam badan Peppi dan dapat merasakan segala apa yang Peppi rasakan.

Watak-watak di dalam komik ini pun, walaupun kebanyakannya sebaya, namun masing-masing ada kekuatan tersendiri. Lebih menarik, Svetlana menerapkan nilai kepelbagaian kaum di dalam komik ini kerana watak-wataknya tidak tertumpu hanya kepada watak orang berkulit putih sahaja. Hampir semua bangsa, warna kulit dan agama ada, termasuklah Muslim berhijab melalui watak Akilah dari Kelab Surat Khabar. Sesuatu yang jarang dilihat di dalam komik barat. Mungkin ini kerana Svetlana menetap lama di Kanada yang sememangnya terkenal dengan keharmonian pelbagai bangsanya.

Ya. Seperti yang dijangka, terjemahan ke Bahasa Malaysia sedikit tidak membantu ditambah lagi dengan tercampurnya bahasa pasar. Banyak lawak yang aku rasa tidak sampai selepas diterjemah. Aku rasa jika komik ini dibaca dalam bahasa asalnya iaitu bahasa inggeris, kesannya lebih mendalam.

Namun isu bahasa ini tidak langsung memburukkan jalan cerita kerana kebanyakan plotnya boleh difahami hanya melalui lukisan dan ekspresi sekeliling. Lingua hanyalah bersifat sekunder dalam pemahaman keseluruhan ceritanya. Segalanya datang daripada hasil kerja, pengalaman dan kreativiti Svetlana sendiri.

Komik ini 100% berwarna namun warna yang digunakan adalah minimal dan bernada lembut. Langsung tidak serabut. Aku suka bagaimana warna yang tidak sepatutnya menarik (seperti warna merah jambu belacan) menjadi sangat menonjol hanya kerana ia digunakan tidak berlebihan. Kaleris daripada penerbitan tempatan kita harus belajar cara warna seperti ini supaya hasil lukisan pengkarya tidak rosak dan tenggelam dengan warna yang tidak membantu. (YES! I'm talking about you, Komik-M)

Ringkasnya, aku rasa Svetlana Chmakova adalah seorang genius. Aku kini merupakan peminat baru dia, dan lepas ni aku akan cari dia di media sosial dan follow dia. Kalau ada bukunya yang lain akan dijual di Malaysia, aku pasti akan beli (jika dan hanya jika aku mampu)






Berbaloikah?

Memiliki lebih daripada 220 mukasurat berwarna pada buku bersaiz A5, komik ini memang berbaloi dihabiskan masa untuk dibaca. Mempunyai 5 bab cerita dan satu bab penutup, keseluruhan komik ini tidak terlalu berlebihan malah menyenangkan. Selepas mula baca, kita seperti terus tenggelam di dalamnya. Sedar-sedar sahaja sudah hampir habis dibaca.

Dan semua itu didapati hanya pada harga RM 15. Walaupun pada aku harga itu terlalu besar untuk satu komik, namun ia boleh diterima kerana ini adalah komik import yang diterjemah. Sudah tentu harganya akan jadi berbeza berbanding komik tempatan yang dihasilkan anak tempatan. Maka, komik ini memang SANGAT BERBALOI berbanding dengan harga jualannya.

Saiznya sepadan dengan saiz komik lain yang berada di rak simpanan aku, maka sudah tentu komik ini berbaloi untuk disimpan dan dijadikan koleksi. Seperti yang aku kata di atas, jika komik Brave dan Crush karya Svetlana dijual juga oleh Kadokawa Gempak Starz, aku akan beli dan jadikannya simpanan koleksi.

Jujurnya, aku suka gaya lukis dan penceritaan komik ini. Lukisannya sangat ringkas namun berkesan. Susun letak watak dan objek walaupun nampak bersahaja, tapi aku percaya Svetlana cukup teliti memikirkannya memandangkan hasilnya sangat berkesan. Pada aku, buku ini sangat berbaloi untuk dijadikan panduan melukis bagi pelukis amatur seperti aku.

Keseluruhan, buku komik 'Krik! Krik! Krik!' ini kini merupakan antara buku komik kesayangan aku. Aku pasti kalau aku baca banyak kali sekalipun, tetap tidak akan mengecewakan dan sudah tentunya berbaloi.






Penutup.

Aku tidak pasti sama ada disebabkan aku mula baca dengan ekspektasi (jangkaan) yang rendah atau apa, tapi aku berpendapat tindakan aku untuk membeli buku ini walaupun pada mulanya takut dikecewakan adalah tepat. Aku langsung tidak menyesal membeli buku komik ini malah ini membuatkan aku terfikir entah-entah banyak lagi buku komik seperti ini di luar sana yang bersifat memberi inspirasi tapi tidak diberikan perhatian dek kerana lambakan komik lain yang kurang bermutu.

Mungkin aku sebagai pembeli dan pembaca patut bersifat sedikit terbuka dan berani mencuba membaca buku-buku 'underdog' seperti ini. Aku kena lebih berani mencuba.

Tapi bercakap mengenai komik 'Krik! Krik! Krik!' ni, aku rasa, kalian patut beli dan baca komik ini.






Jika ada antara kalian mahu memilikinya tapi tidak tahu mana mahu cari, boleh PM aku di media sosial utama @cerolian dan aku boleh belikan dan seterusnya hantarkan kepada kalian (sudah tentu dengan sedikit bayaran tambahan).

Komik 'Krik! Krik! Krik!' hasil karya Svetlana Chmakova terbitan dan edaran Bahasa Malaysia oleh Kadokawa Gempak Starz ini boleh didapati di kedai-kedai buku di seluruh negara pada harga pasaran RM 15.00 (Semenanjung Malaysia) dan RM 17.00 (Sabah/Sarawak).

Kalian juga boleh kenali Svetlana Chmakova lebih lanjut di laman web svetlania.com







.