May 9, 2018

Si Gadis yang Menunduk.



Salam.

Baca juga:
Si Gadis Kedai Kasut.
Si Gadis Juruwang Kedai Serbaneka.


Apa musuh kepada kehidupan?

Jika hidup lawannya adalah mati, adakah musuh kepada kehidupan adalah kematian?

Tapi kematian adalah permulaan kepada satu kehidupan ke alam lain. Bukankah itu bermakna kematian hanyalah seperti satu peristiwa? Seperti satu transisi? Seperti satu persinggahan? Seperti berhenti di kawasan rehat dan rawat sebelum sambung meneruskan perjalanan di lebuh raya? Maka, kematian bukanlah musuh kepada kehidupan.

Kalau bukan kematian, apakah musuh kepada kehidupan?




Malam semakin gelap. Suasana semakin sunyi. Bulan di langit hampir ditutupi awan, namun masih megah memantul sinaran matahari dari sebelah sana.

Pintu rumah dibuka. Seseorang memasukinya. Dua lagi lelaki yang sedang enak menjamu selera di meja makan serentak berpaling ke arah pintu. Yellow dan Green ternampak susuk seseorang yang bahunya merendah, kepalanya menunduk, wajahnya berkerut di tengah.

Memperkenalkan Blue, salah seorang daripada tiga penghuni rumah sewa berkenaan. Seorang lelaki berkerjaya dan masih bujang, namun statusnya tidak seperti rakan serumahnya yang lain. Blue adalah tunangan orang.

Blue masuk terus duduk di meja makan, menyertai Yellow dan Green. Wajahnya jelas sedang gelisah dan bersedih. Kebiasaannya Blue akan melaungkan salam sekuat alam ketika melangkah masuk ke rumah itu bagi memberi petanda kepulangannya kepada dua lagi rakannya itu. Tapi kali ini tiada salam, hanya yang ada ialah suram, seperti ada satu awan hitam yang mengekori Blue di atas kepalanya.

Yellow dan Green kedua-duanya sedar ada sesuatu yang tidak kena, namun tiada seorang pun daripada mereka yang berani memula tanya kenapa. Mata Yellow bertukar pandangan, sekejap ke arah Green, sekejap ke arah Blue. Begitu juga dengan mata Green. Suasana di meja makan sekelip mata bertukar sunyi.

"Aku mahu minta pendapat korang tentang satu perkara, tapi kalau aku ceritakannya, aku seperti sedang membuka aib seseorang. Tapi aku tak mampu nak simpan. Aku tak tahu apa patut aku buat..."

Blue menekup mukanya dengan kedua-dua tapak tangannya sejurus habis memulakan bicara. Sekali lagi Yellow dan Green bertukar pandangan mata. Kedua-dua mereka sedar masalah yang bakal diceritakan Blue ini bukan sesuatu yang kecil dan boleh dibawa jenaka seperti yang mereka selalu lakukan sesama mereka sebelum ini.

Yellow kemudian memegang bahu kiri Blue dengan tangan kanannya. Walaupun Yellow mempunyai prinsip tidak suka masuk campur masalah orang lain, namun dia sanggup melupakan seketika prinsipnya itu demi kawan baiknya ini.

"Kita bertiga kawan baik. Aku bagi pihak kami berdua berjanji, segala apa yang bakal kau ceritakan ini akan kami simpan sebagai rahsia sebaik mungkin, selagi nyawa dikandung badan. Kan?" Yellow mengangkat kening ke arah Green meminta persetujuannya atas ikrar yang dilafazkannya tadi.

"Ya. Ceritalah. Biar beban itu kita kongsi sama-sama," balas Green.

Blue membuka tekupan mukanya. Matanya seperti sedang bergenang, namun belum berlinang. Seorang lelaki yang hampir menitiskan air mata menahan beban sebuah aib, rasanya, sudah tentu bukan satu perkara kecil yang akan diceritakan.

"Begini..."
.
.
.
.
.

Wajah Blue sungguh ceria. Dia sedang duduk di sebuah meja makan, menanti kedatangan seseorang istimewa buat dirinya. Cik tunang sudah lama tidak ditemuinya dek kerana masa dan tuntutan kerja masing-masing yang tidak mengizinkan. Tambahan pula, cik tunang baru sahaja pulang daripada kursus di sebuah pulau peranginan selama seminggu. Dengarnya, sesiapa yang pergi ke kursus itu bakal dinaikkan pangkat dalam masa terdekat. Rezeki cik tunang sebagai juruaudit sebuah syarikat nampaknya semakin murah. Blue juga turut bersyukur mengenainya.

Blue dan Jasmine sudah berkenalan dan mula bersama semenjak dari zaman universiti lagi. Mereka bertunang selepas masing-masing sudah mula bekerja tetap. Masuk bulan hadapan bermakna genapnya usia pertunangan mereka selama satu tahun. Jika semua perancangan menjadi, maka mereka berdua akan diijab kabul dalam masa enam bulan lagi.

Keputusan untuk bertunang selama setahun enam bulan diambil oleh kedua-dua mereka kerana masing-masing mahu kukuh di dalam kerjaya dahulu sebelum melangkah ke tahap yang seterusnya. Jasmine seorang juruaudit akaun, manakala Blue pula seorang eksekutif pemasaran. Kedua-dua mereka mahu stabil berkerja dan mengumpul duit sebelum betul-betul mahu memberi komitmen kepada sebuah hubungan perkahwinan.

Hanya dengan beberapa mesej sebelumnya, Blue dan Jasmine menetapkan untuk makan malam bersama. Jasmine akan datang dihantar rakan serumahnya dan akan bertemu dengan Blue terus di kedai itu.

Dari jauh, nampak Jasmine memasuki ke dalam kedai makan tersebut. Blue membetulkan duduknya dengan senyuman ceria masih terukir di bibir. Hatinya sungguh riang akhirnya dapat bersua jumpa dengan tunang tersayang.

"Maaf, lama tunggu?" tanya Jasmine sambil menarik kerusinya untuk duduk. Kepala Jasmine menunduk, tiada temuan mata di antara mereka berdua membuatkan Blue terasa sedikit kurang senang.

"Tak. Tak lama. Abang pun baru sampai." Membahasakan dirinya 'abang' semenjak bertunang, pada mulanya sedikit kekok di mulut Blue namun selepas hampir setahun semuanya sudah terbiasa.

"Kita pesan makanan, boleh? Saya lapar."

Pelik. Biasanya Jasmine akan membahasakan dirinya sebagai 'sayang', namun kali ini hanya 'saya' yang keluar. Jasmine juga terus mahu memesan makanan tanpa bertanya khabar dahulu kepada Blue. Lebih seminggu mereka tidak bertemu, malah bermesej-mesej di telefon bimbitpun semakin kurang atas alasan 'sedang berkursus', kemudian sekarang langsung tidak bertanya khabar. Sekali lagi, Blue terasa sedikit kurang senang.

Pelayan kedai dipanggil Jasmine. Mereka berdua memesan makanan daripada senarai menu di tangan. Pelayan mengambil pesanan dan kemudian pergi bersama-sama senarai menu tadi meninggalkan mereka berdua.

"Sayang apa khabar? Macam mana kursus? Okey semua?" Blue memulakan.

Jasmine terdiam dan tertunduk seperti tidak mahu menjawab soalan Blue itu. Jelas riak wajah Jasmine seperti sedang menahan sesuatu. Blue yakin kali ini ada sesuatu yang tidak kena sudah berlaku.

"Abang, saya minta maaf. Saya ada sesuatu yang mahu diceritakan," Jasmine bersuara. Blue diam menunggu apa yang mahu diceritakan oleh Jasmine itu.

"Sebelum sayang mulakan cerita, abang janji dahulu tidak akan marah sayang. Boleh?"

Blue mengangguk setuju. Tenang sedikit hati Blue mendengar perkataan 'sayang' tadi. Lagipun, marah memang bukan cara Blue. Dia lebih bersifat memendam dan mengikut apa yang dirancang orang lain. Lagipun dia tidak terfikir akan ada sebab untuknya memarahi tunang yang dia sayangi sepenuh hati ini. Segala masalah, padanya, boleh diselesaikan dengan cara baik tanpa perlu marah-marah.

"Sayang minta maaf. Sayang rasa bersalah sangat dengan abang. Sayang tahu apa yang sayang buat ini tidak betul. Sayang sedar semua itu. Sayang rasa bersalah sangat. Sayang tak dapat nak terus berdiam diri. Abang seorang yang baik, sayang tak sanggup nak terus simpan hal ini daripada abang."

Jantung Blue berdegup laju. Bakal ada sesuatu yang akan berlaku.

"Semasa di Pulau Tioman tempat kursus itu, ada seseorang ini. Namanya Aswad. Dia juga sertai kursus itu sebagai juruaudit, tapi dari cawangan syarikat yang lain."

Hilang senyuman dari wajah Blue. Cerita daripada seorang perempuan bergelar tunang yang melibatkan seorang lelaki lain, pada pendapat Blue, tidak akan berakhir dengan baik.

"Kami satu kumpulan di dalam kursus itu. Disebabkan satu kumpulan, kami selalu bersama. Kami menjadi rapat. Tiap kali berjumpa, kami akan duduk bersama, berdua. Seminggu di sana, kebanyakan masa kami sentiasa bersama."

Jasmine menunduk. Dia terdiam. Dia tidak langsung dapat melihat wajah Blue. Dia dipenuhi dengan rasa bersalah. Suasana di meja itu sunyi seketika sebelum Blue sambung bertanya.

"Jadi, Aswad ini macam pengganti abang semasa sayang di sana? Begitu?"

Jasmine mengangguk. Kemudian dia cepat-cepat menggelengkan kepala tanda menafikan anggukan tadi.

"Jadi, sayang sudah jatuh hati dengan Aswad tu? Sayang nak putus dengan abang?" tanya Blue, terus.

Jasmine menggelengkan kepala.

"Sayang sayang abang lagi. Sayang tak nak putus dengan abang."

"Habis tu? Kalau Aswad hanya satu fling semasa sayang berada di sana, kenapa abang nampak sayang macam rasa bersalah sangat?"

Jasmine terus menunduk. Dia mula menitiskan air mata. Blue menghela nafas keras dan kemudian bersandar. Dia lemah dengan air mata perempuan, apatah lagi datang dari mata kekasih hatinya itu.

"Sayang kesunyian. Seminggu kami rapat di sana. Hampir setiap masa kami bersama. Setiap masa."

Blue membuntangkan matanya seperti memahami sesuatu.

"Kami terlanjur."



Gelap.

Walau mata Blue terbuka luas, tapi penglihatannya gelap. Mendengar perkataan yang disangka terkeluar dari mulut orang di depannya itu menjadikan persekitarannya tiba-tiba gelap.

"Seminggu di sana, kami sentiasa bersama. Bermula dengan borak-borak biasa, kemudian bertukar kepada sentuhan dan akhirnya..."

Blue terus mendiam.

"Sayang minta maaf. Saya tak patut buat begitu. Saya tak tahu apa yang membuatkan sayang sanggup buat perkara itu. Sayang minta maaf. Sayang tak mahu kehilangan abang. Sayang sayang abang. Maafkan sayang."

Blue masih diam. Pelayan datang membawa makanan yang dipesan tadi. Mungkin dia perasan keadaan tegang di antara Blue dan Jasmine, maka dicepatkan tindakannya meletak hidangan. Tanpa berkata apa, selepas selesai menghidang, pelayan itu terus segera berlalu menjauhkan diri dari ketegangan itu.

Blue terfikir, patutlah dari awal tadi tiada temuan mata. Patutlah kepala Jasmine asyik menunduk. Patutlah dia segera ingin memesan makanan. Patutlah tiada tanya khabar walau sudah lama tidak bertemu. Patutlah tertukar panggilan antara 'saya' dengan 'sayang'. Patutlah nada suara pun lemah lembut. Malah tempat makan yang dipenuhi orang ini pun dipilih Jasmine kerana padanya sudah tentu Blue tidak akan meninggikan suara di tempat awam kerana itu adalah peribadinya. Semua ini adalah langkah pertahanan diri Jasmine kerana dia mempunyai rasa bersalah yang tinggi terhadap diri Blue.

"Abang? Cakaplah sesuatu. Janganlah diam macam ni. Abang maafkan sayang tak?"

Suara Jasmine membawa Blue kembali semua ke meja makan tersebut.

"Kita makan, habiskan makanan, dan saya akan hantar awak pulang ke rumah," jelas Blue, ringkas dan tidak berperasaan. Jasmine tahu dia sudah melukakan hati tunangnya itu, namun dia tiada daya selain daripada diam dan menurut sahaja kemahuan Blue.

Jasmine selesai makan walaupun tidak habis. Makanan Blue pula langsung tidak disentuhnya. Sepanjang sesi makan, Blue hanya termenung jauh dan berdiam diri. Blue kemudian bangun menyelesaikan bil dan kedua-dua mereka bergerak ke kereta tanpa ada sepatah kata pun bertukar antara mereka. Kedua-duanya diam membisu.

Sepanjang perjalanan ke rumah Jasmine juga tiada kata. Jasmine menunggu juga Blue memulakan kata. Pada dia, marahlah, herdiklah, jerkahlah, jika itu dapat memberikan keputusan. Namun Jasmine tahu, semua itu bukan peribadi Blue. Blue mendiamkan diri adalah tindakannya menghadam apa yang terjadi. Tiada marah, tiada herdik, tiada jerkah. Cuma diam.

Sampai sahaja di hadapan rumah Jasmine sesudah Blue memberhentikan kereta, Jasmine dari tempat duduk penumpang menggunakan dua tapak tangannya memegang lengan kiri Blue. Blue tiada reaksi. Matanya masih keras menghala ke hadapan.

"Abang. Maafkan sayang. Sayang sayangkan abang. Tapi sayang tahu sayang salah. Keputusan semua terletak di tangan abang. Kalau abang mahu putus, sayang reda. Sayang faham. Tapi sayang tak mahu putus. Sayang sayangkan abang."

Melihat Blue terus tidak memberi reaksi, Jasmine mula membuka pintu kereta dan keluar. Apabila Jasmine dilihat pada jarak yang selamat, Blue terus masuk gear, memijak pedal minyak, dan pergi meninggalkan Jasmine. Blue tiada tempat lain mahu dituju selain daripada rumah sewanya sendiri, mencari dua teman baiknya bagi melepaskan perasaan.
.
.
.
.
.
"Begitulah..."

Yellow dan Green terdiam mendengar cerita Blue. Tiada kata mampu dilafazkan mereka selepas mendengar dugaan yang Blue hadapi.

"Apa patut aku buat? Tunang aku sendiri sudah mengkhianati aku..." Blue kembali menekup mukanya dengan dua telapak tangan.

Green memandang Yellow. Yellow membalas pandangan Green. Green memberi isyarat dengan kepalanya ke arah Blue. Yellow memahami, namun masih tidak berani untuk bertindak. Green sekali lagi memberi isyarat dengan kepalanya ke arah Blue, kali ini dengan lebih keras. Yellow mengangguk faham, dan reda.

"Begini, bro." Tangan Yellow kembali ke bahu Blue.

"Selepas apa yang kau tahu ini, kau masih sayangkan dia?"

Blue membuka tekupan muka dan memandang Yellow seolah-olah tidak tahu apa patut dia jawab.

"Kau ada dua pilihan sekarang. Kalau kau rasa kau tidak dapat terima semua yang sudah berlaku ini, lebih baik kau putuskan dengan cara baik. Simpan aib dia elok-elok dan putuskan dengan cara paling hemat tanpa melukakan hati mana-mana pihak, termasuk dia, keluarga dia, dan keluarga kau sendiri."

Green mengangguk tanda setuju dengan kata-kata Yellow tadi.

"Tapi, kalau kau masih sayangkan dia dan bersedia untuk memaafkan dia, kau kena betul-betul ikhlas dan reda. Sampai bila-bila pun jangan diungkit hal ini. Walaupun kau tidak mungkin akan lupakannya, tapi jangan langsung bangkitkan hal ini lagi. Kalau kau berdua jadi kahwin, dan berkeluarga, ada anak, jangan sesekali timbulkan kembali cerita ini walaupun pada masa itu kau sedang marah atau waktu berselisih pendapat. Kau kena simpan semua hal ini dalam hati dan terima dia sepenuhnya, baik buruk kisah silam dia."

"Kalau kau sayang dia, dan kau rasa kau mampu lakukan apa yang aku kata tadi, kami akan sokong kau tidak kira apa pun keputusan kau."

Green sekali lagi mengangguk. Yellow tersenyum.

"Terima kasih, kawan. Terima kasih." Senyuman kembali ke wajah Blue.




Apa musuh kepada kehidupan?

Jika musuh diberi definisi sebagai sesuatu yang merosakkan, bukankah pengkhianatan boleh dilabel sebagai musuh kehidupan? Pengkhianatan memberi kesan buruk kepada yang hidup, menghilangkan rasa percaya, menjadikan diri penerima berasa perit, sakit dan merana. Pengkhianatan menjejaskan kehidupan seseorang, menjadikan seseorang itu tidak dapat menikmati kebahagiaan kehidupan.

Maka, bukankah musuh kepada kehidupan adalah pengkhianatan? Daripada manusia kepada manusia.




Baca ulasan cEro mengenai 3 cerita pendek yang ditulisnya semenjak 2 Rabu sebelum ini:
Ulasan GYB




.

2 comments:

"It's not what you've got, it's what you do with it." - cEro, 2026