Feb 19, 2020

Kenapa Aku Perlu Ada Sampai DUA Akaun Instagram Untuk Melukis?


Salam.




"Kenapa kau perlu ada sampai dua akaun Instagram untuk melukis?"

Tidak.
Tiada siapa pernah tanya aku soalan di atas,
paling tidak tiada siapa yang berani bertanya berdepan.

Tapi soalan di atas adalah satu soalan yang sering kali aku tanya diri sendiri.

Kepada yang tidak tahu, aku ada dua akaun Instagram untuk melukis;
@cerolian dan @planetcero.
Untuk kendali satu akaun pun sudah buat aku lemas dan rimas,
tapi akhirnya aku ada sampai dua.
Persoalannya, kenapa?

Bila berbicara tentang melukis, aku sentiasa ada konflik dalaman.

Aku sedar sejak dari dulu lagi kemahiran melukis aku belum cukup baik.
Aku jadi cemburu melihat mereka-mereka yang lain dapat lukis lebih baik, dapat hasilkan karya lukisan (komik atau ilustrasi) yang jauh lebih tinggi kualitinya berbanding aku.
Jadi aku tekad untuk jadi lebih baik.
Paling tidak lebih baik daripada aku yang semalam.
Nak mencapai tahap tinggi mungkin jauh lagi, tapi aku mahu setiap kali aku hasilkan sesuatu, adanya peningkatan mutu.
Perkembangan sedikit demi sedikit inilah yang aku kejar.

Jadi,
untuk berkembang, aku kena banyak berlatih.
Banyak berlatih bermakna melukis sebanyak yang mungkin,
sebab itulah antara azam aku tahun ini (dan tahun lepas) adalah melukis 1000 lukisan dalam setahun.

TAPI...

Aku dapat ketenangan melalui proses melukis itu sendiri.
Melukis adalah hobi aku, menjadi 'escape route' aku apabila aku penat dengan kehidupan seharian.
Dengan lukisan, aku dapat ekpreskan diri aku yang mungkin tidak boleh aku luahkan dengan mulut dan kata-kata.

Dengan kata lain, aku mahu melukis apa yang aku mahu lukis,
secara bebas, bila-bila masa aku mahu,
di mana sahaja aku mahu.

Ini bercanggah dengan perkara pertama tadi di mana aku perlukan latihan berterusan untuk terus berkembang.

Sebahagian daripada kalian mungkin tidak nampak konfliknya di sini.
Aku mudahkan.

Separuh daripada aku mahu berkembang, bererti melukis sebanyak yang boleh.
Separuh lagi mahukan ketenangan, melukis bila mahu melukis.

Disebabkan konflik inilah, wujud DUA akaun Instagram aku untuk melukis.



@planetcero aku khususkan untuk proses perkembangan, di mana aku tetapkan jadual untuk diri sendiri dan muat naik karya (komik) dalam jadual yang aku sediakan.

Di situ, aku mengkaji apa yang membuatkan orang lain (yang aku cemburui) lebih berjaya dan aku aplikasikan di dalam hasil lukisan aku. Di situ juga di mana aku kejar azam lukis 1000 lukisan setahun tadi memandangkan komik empat panel bererti empat lukisan dalam satu karya. Di situ juga tempat aku untuk mengasah kreativiti dalam kemahiran menyampaikan mesej di mana aku belajar sedikit demi sedikit cara penyampaian mesej yang (lebih) berkesan.

Sebab itu, jika kalian ikuti aku di @planetcero, kalian akan dapati cara penyampaian aku sentiasa berubah kerana aku bereksperimentasi dengan segala benda.

@planetcero adalah tempat aku untuk berkembang.

Manakala,
akaun @cerolian pula adalah tempat di mana aku bebas untuk berkarya. Tiada peraturan tetap, tiada tema khusus, tiada jadual untuk muat naik. Di sini aku bebas untuk melukis apa sahaja yang aku mahu tanpa perlu tekanan mengejar tarikh masa.

Di sini juga aku bereksperimentasi, tetapi dalam bentuk yang lebih memuaskan hati sendiri berbanding mengejar bilangan 'likes'. Aku mendapat kepuasan pada proses penghasilan, bukan pada hasilnya. Apa yang aku kongsikan di @cerolian ini hanya sebahagian kecil kerana kebanyakan karya aku berhenti selepas ia siap tanpa perlu aku muat naik di mana-mana media sosial.

Subjek lukisan pun tiada konsep. Aku lukis apa yang aku mahu lukis. Sebab itu jika kalian ikuti aku di sini, kalian perasan yang aku suka lukis 'entah siapa-siapa entah' sebab kadang-kadang bila terlihat sesuatu (atau gambar seseorang) aku ada perasaan "ahh, nak lukis laa dia ni.."

Semuanya random di @cerolian.



Jadi, bila timbul persoalan
"Kenapa kau perlu ada sampai dua akaun Instagram untuk melukis?"
aku akan mengingatkan diri sendiri dengan tujuan kenapa dua akaun ini wujud.
Walaupun secara amnya miliki dua akaun tidak selesaikan konflik yang bercanggah di dalam diri, tapi paling tidak aku menyebelahi kedua-dua belah kerana pada aku, dua-dua konflik itulah yang membuatkan diri aku sebagai aku.

After all, why be yourself if you can be better,right?



Sekian.



  




.

1 comment:

  1. Pelan-pelan kayuh cEro. Aku pun ada 2 akaun sebenarnya, tp aku cuba utk fokus kat satu je skrg.

    ReplyDelete

"It's not what you've got, it's what you do with it." - cEro, 2026