Apr 11, 2018

80 000 km bersama Elisa.


Salam.

Jadi 4 hari berturut-turut, huh?
New record untuk pemalas macam cEro ni.


Gambar sekadar hiasan, walaupun sebenarnya ini gambar satu jalur cahaya matahari menyinar dari celah awan dan jatuh tepat ke atas rumah aku. Divine sangat!


Ceritanya,
pada ahad lepas ada sesuatu yang memerlukan aku untuk ke Shah Alam.
(Kalau kalian baca entri ini, kalian tahu kenapa)

Perjalanan ke Shah Alam sejauh 35 km dan mengambil masa hampir satu jam. Aku ke sana bersama si kuda putih, motosikal kesayangan aku sebagai mod pengangkutan yang paling aku gemari. Macam yang banyak kali aku kongsikan, tunggang motosikal ini lain perasaan dia berbanding memandu kenderaan lain. Perasaan angin laju bergesel di pipi (walaupun akibatnya muka jadi berhabuk) tak akan sama dengan perasaan angin masuk ikut tingkap kereta yang terbuka. Penunggang motosikal juga boleh menoleh kiri kanan atas bawah tanpa perlu dihalang pandangannya seperti pemandu kereta yang terasa seperti duduk dalam kotak.

Kalau kalian penunggang motosikal yang juga memandu kereta, kalian akan faham perasaan perbezaan ini. Lain.

Sambung cerita...

Dalam perjalanan menuju ke Shah Alam, aku sentiasa memastikan kelajuan dan kandungan petrol supaya boleh merancang. Maklumlah, motosikal ini berusia lebih 10 tahun, maka kuasa enjin dan penggunaan minyak tak se-efisen semasa baru dahulu.

Bila aku jenguk ke bahagian dashboard, meter menunjukkan angka hampir mencapai 80,000 km. Angka lebih tepat dalam 79,9XX maka aku ambil keputusan untuk memerhati meter itu. Satu pencapaian kot bila semua nombor dalam meter itu akan bertukar serentak. Ini satu saat yang aku tak boleh nak lepaskan.

Bila meter hampir ke petunjuk 79,999.9, aku berhenti di tepi lebuhraya. Aku cari kawasan yang dilihat selamat untuk berhenti. Mujur pada waktu itu kenderaan tidak banyak dan yang ada pun tidak memecut laju.


Maaf, kamera kualiti rendah. Tapi siapa peduli :)


Meter motosikal aku menunjukkan 79,999.9, menandakan aku hanya perlu bergerak 100 meter sahaja untuk menyaksikan kesemua penunjuk nombor bertukar serentak menunjukkan 80,000.0. Bagi sesetengah orang, hal sebegini mungkin biasa dan tiada apa yang perlu diterujakan pun. Namun bagi aku, sesuatu yang 'remeh' seperti inilah yang jarang kita lihat dan perlu berasa teruja. Atau mungkin aku yang jenis cepat teruja. Hahaha.

Gigih aku bergerak perlahan-lahan bagi mendapatkan that exact moment. Lalu,...




Taraaaa!!!
Petunjuk nombor meter bertukar serentak, menunjukkan angka tepat 80,000.0. Ini bermakna si kuda putih aku ini sudahpun bergerak 80,000 km sejak daripada awal kelahiran dia. It's a milestone moment!

Masa untuk FAKTA NERDA!:
Ukur lilit bagi Bumi kita adalah lebih kurang 40,000 km, ini bermakna jika dibuat perbandingan, si kuda putih aku ini sudah mengembara seperti DUA kali mengelilingi Bumi. Wow!

Tiba-tiba aku jadi sebak dan dramatik. Walaupun secara empiriknya 80,000 km untuk 10 tahun bukanlah satu pencapaian yang membanggakan, tapi majoriti penuh jarak dan masa itu adalah perjalanan motosikal aku ini bersama aku. Ya, aku yang menunggang 80,000 km itu bersama-sama.



Elisa

Pada lebih 10 tahun lalu sewaktu pertama kali aku bertemu dengan si kuda putih ini, aku namakan dia Elisa. Kenapa Elisa? Sebenarnya dahulu aku berangan mahu menjadikan kereta Lotus Elise sebagai kenderaan pertama aku.


Lotus Elise putih idaman kalbu.
Image DigitalTrends.com


Hey, apa salahnya berangan tinggi-tinggi, kan?

Namun akhirnya aku settle dengan motosikal putih sebagai kenderaan pertama atas nama aku sendiri. Jadi, bagi mengenang angan-angan Lotus Elise yang tidak kesampaian, aku namakan motosikal aku ini sebagai Elisa.

Walaupun Elisa nama perempuan, namun aku anggap motosikal ini tiada jantina (genderless) sebab bukankah akan kedengaran awkward jika aku kata 'aku tunggang Elisa setiap hari bila ada masa lapang'.

Namun tiap kali aku bercerita tentang motosikal aku kepada orang dan sebut nama Elisa, mereka akan jadi banyak tanya. It's really hard to explain kegemaran aku untuk letak nama ke atas barang-barang aku. Banyak barang aku yang bertaraf harta akan aku beri nama seperti Juno untuk telefon aku sekarang, Rhea untuk laptop yang sedang aku gunakan ini dan Caroline untuk nama wifi yang sedang aku pakai.

Disebabkan sesetengah orang tak dapat terima perangai aku yang suka namakan barang, maka aku selalu gunakan 'Si Kuda Putih' untuk gambaran kepada Elisa. Kalau yang dengar itu tak faham juga, rasanya dia memang ada masalah memproses perkataan.


Bersama dengan Elisa lebih sepuluh tahun bermakna kenangan kami bersama bukan sedikit. Elisa boleh dikatakan sentiasa ada bersama aku ketika susah senang. Elisa adalah teman paling lama aku pernah ada. Even handphone pun bertukar berkali-kali namun Elisa tetap masih bersama aku.

Ketika aku sedang menuntut ilmu di universiti, Elisalah peneman aku.
Ketika aku asyik bercinta, Elisa juga ada bersama.
Ketika aku berseronok bersama kawan-kawan, Elisa juga ada bersama.
Ketika aku putus cinta dan dibuang seperti sampah, Elisa masih bersama aku.
Aku ingat lagi sakitnya putus cinta, aku tunggang Elisa pada waktu malam (pagi, 2 pagi) dengan laju di lebuh raya dan menangis sepuas-puas hati. Tiada satu pun manusia tahu aku menangis pada waktu itu, tapi Elisa ada bersama aku.

Ketika hujan, ketika panas, ketika ribut, ketika banjir kilat, Elisa juga ada bersama.
Ketika aku kemalangan jatuh dan akibatnya hilang dexterity tangan kanan, Elisa juga jatuh bersama.
Ketika aku alami kemurungan akibat sesuatu yang berada di luar kawalan aku, Elisa masih juga ada.

Ketika aku ingin kembali mengenal erti cinta tapi akhirnya terlepas sesuatu yang istimewa, Elisa juga ada bersama.
Elisa juga saksi bahawa betapa sukarnya aku nak melawan kehendak hati, menentang sesuatu yang datang tapi tidak diiktiraf jiwa.

Ketika aku kena ulang alik ke hospital menerima rawatan mata yang pada dasarnya keluarga aku pun tidak tahu tentang sakit aku itu, Elisalah menjadi teman aku.
Ketika aku berusaha untuk menapakkan diri di tempat aku sekarang, Elisa juga berusaha bersama aku.
Kami jatuh bersama, kami bangun bersama.
Kadang-kadang aku yang angkat Elisa bangun, kadang-kadang Elisa yang menjadi punca aku bangun.

Pada aku, Elisa adalah teman yang kita semua mahukan, tapi tiada siapa pernah ada.
Dia tidak memilih kawan, dia juga tidak menolak kawan.
Dia tidak banyak songeh namun kadang-kadang mahu juga belaian.

Jujur aku cakap, aku dengan Elisa (sebuah motosikal yang pada dasarnya tidak bernyawa) bercakap seperti kawan. Kadang kala bila aku rasa marah, aku cakap dengan Elisa. Tahu sahajalah perangai manusia lain bila atas jalan raya. Yang alim pun dah serupa Sus scrofa domesticus. Elisa pasti tahu betapa banyaknya sumpah serana cemuh maki hamun yang pernah aku lontarkan bila bertemu dengan perangai manusia atas jalan raya, namun dia tetap bersama aku.

Jika tiba-tiba datang Emma Stone, atau sesiapa yang cantik di luar sana buat ultimatum suruh pilih antara dia dengan Elisa, undoubtedly aku akan pilih mereka sebab Elisa bukan pilihan. Elisa sudah jadi sebahagian daripada aku. Seperti kaki, seperti tangan, seperti kepala. Mana boleh kita nak asingkan kaki, tangan dan kepala dan ditukarkan kepada orang lain, kan?



Perjalanan ke Shah Alam sepatutnya mengambil masa kurang sejam tapi terasa seperti berjam-jam lamanya. Aku terimbas kembali hampir kesemua kenangan aku bersama Elisa sepanjang 10 tahun dan 80,000 km ini. Yang baik, yang buruk, yang beremosi, yang mengundang kemarahan, semuanya terimbas. It's an emotional ride.

Tapi hakikatnya 10 tahun bukan satu jangka masa yang singkat. Kalau ada anak, sudah masuk darjah 4. Jangka masa itu lama, apatah lagi jika dipandang dari sudut jangka hayat kenderaan. Elisa sendiri keadaannya bukan tip-top seperti satu masa dahulu. Namun aku janji kepada Elisa dan diri aku sendiri, selagi boleh, selagi mampu dan selagi ada aku tetap akan baiki Elisa tidak kira berapa usianya dan bagaimana keadaannya.

Elisa, you'll always be my number one!
Sekian.


Ini adalah pemandangan senja yang sempat aku snap ketika santai melepak tepi lebuh raya bersama Elisa. Ini adalah salah satu daripada pemandangan lanskap paling cantik yang pernah aku tengok seumur hidup aku, dan aku lakukannya bersama dengan Elisa.





.

2 comments:

  1. It's like you are seeing your Elisa as a living creature, not a inanimate object.

    ReplyDelete
    Replies
    1. >Anonymous

      When you have small number of friends, inanimate object also seems to feel like a living creature.

      Delete

"It's not what you've got, it's what you do with it." - cEro, 2026