May 31, 2017

Gagal Ujian di Pertama Ramadan.



Salam.

Tiada komik minggu ini. Penat puasa.
Wahahahahaha (alasan paling busuk yang aku ada)


Untuk lebih lanjut tahu kesan cerita ini terhadap aku,
biar aku bawa kalian mengimbau kenangan aku beberapa tahun lalu.

Beberapa tahun lalu,
semasa aku dalam perjalan balik dari kerja,
duduk atas motosikal bertongkat kaki sedang menunggu lampu isyarat simpang empat,
satu peristiwa yang bakal terpahat kuat di kepala aku berlaku di depan mata.

Seekor nak kucing, sangat muda lagi, aku syak belum putus susu,
melintas serong simpang empat yang sibuk itu.
Lampu isyarat jalan sebelah kiri bertukar hijau,
dan kereta mula bergerak deras.
Anak kucing tadi berada di tengah simpang, dan...

Satu.
Dua.
Tiga.
Tiga kereta melintasi kucing itu, tapi dia masih selamat.
Namun nasib kucing itu tidak sebaik itu untuk kereta keempat.
Separuh badan kucing itu digilis tayar kereta.
Bunyi 'kraaak' jelas kedengaran.

Namun kucing itu tidak terus mati.
Dengan kudarat yang tinggal separuh, dia masih mengesot.
Mengesot hendak ke seberang.
Namun, kereta kelima dan keenam mengulangi tindakan kereta keempat tadi.

Kraak!
Kraak!

Bila jalan itu berlampu merah, dan jalan di hadapan pula berlampu hijau,
seorang penunggang motosikal berhenti di tengah jalan
dan mengutip apa yang masih ada dan dibawanya ke kawasan bertanah di sudut simpang.

Segala kejadian itu berlaku pantas,
tiada siapa mampu halang dan banteras.

Dan semua itu, audio dan visual, semuanya berlaku depan aku.

Bunyi 'krak' masih kedengaran di telinga aku tiap kali aku mengimbau kenangan itu.


-------------------------------------------------------


Melompat ke hari Sabtu lepas, selaku hari pertama Ramadan,
aku bergerak ke rumah famili untuk berbuka puasa bersama.

Semasa memasuki satu jalanraya ni,
aku ternampak anak kucing melintas jalan.
Berwarna putih dengan belang kelabu.
Memori hitam terbangkit kembali.

Aku berhentikan motosikal dan bergegas mengambil si kecil itu.
Dia mengiau di atas tangan aku.
Mesra walaupun tidak pernah kenal siapa aku.
Aku bawa dia ke tepi jalan.
Syukur jalan tidak sesibuk mana, satu dua sahaja kereta yang ada dan memperlahankan pemanduan.

Aku selamatkan nyawa seekor anak kucing.
Kalau aku tidak segera ambil dia di tengah jalan,
mungkin sekarang dia sudah menjadi mangsa tayar kereta jalanan.

Tapi ia tidak tamat di situ.

Kepala aku ligat menaakul.
Anak kucing sekecil ini sepatutnya bersama ibu kucing.
Mana ibu dia?
Aku jenguk sekitar kawasan, tiada tanda kucing mahupun bangkai kucing.
Langsung tiada tanda ada sarang kucing di sini.
Jadi dari mana kucing ini datang?

Kawasan kedai terdekat adalah 1 km di belakang.
Adakah kucing ini berjalan sejauh itu ke arah yang tiada halatuju?
Walaupun kawasan kedai di belakang, tapi untuk aku patah balik ke sana memerlukan aku untuk pusing satu pusingan besar, jadi aku batalkan niat untuk bawa anak kucing itu ke sana.

Jalan ke depan hanya menuju ke kawasan kilang.
Kawasan kilang penuh dengan anjing, jadi letakkan kucing itu ke sana seolah-olah menjadikan dia lauk dan mainan kepada si kaki salak di sana.

Masa semakin suntuk, langit semakin gelap.
Aku tak boleh buang masa.
aku juga masih tidak boleh buat keputusan.

Terfikir juga mahu dibawa sahaja kucing ini ke rumah dan dibela,
namun di rumah keluarga aku sudah ada 4 ekor kucing,
dan si ibu itu sungguh 'protective' terhadap anaknya,
jadi bawa masuk anak kucing liar luar lain bukan satu pilihan bijak.

Masa makin suntuk.
Aku masih tiada keputusan.

Akhirnya aku buat keputusan,
aku tinggalkan sahaja anak kucing itu di tepi jalan tadi.
Aku pujuk diri sendiri dengan kata ibunya ada di celah semak samun dan akan datang mengambil anaknya ke sisi.

Aku berlalu balik ke rumah,
meninggalkan si kecil yang terus mengiau memanggil.

Malam itu,
hati aku sangat tidak tenang.
Aku terfikir,
aku patut bawa si kecil itu ke tempat yang selamat tidak kiralah nak gelap ke, jauh ke.
Berkali-kali aku terfikir apa nasib anak kucing itu.
Hidupkah? Matikah?
Selamatkah? Kena lenyek juga kah?

Malam itu aku tak boleh tidur sebab terkenangkan apa yang aku sudah buat.
Bunyi 'kraak' terngiang-ngiang di benak kepala.

Esoknya aku terlewat bangun sahur.

Kalau ini dikatakan ujian di bulan Ramadan,
aku gagal dengan jayanya.





.

May 24, 2017

Pengembaraan cEro ke Kedai Buku.



Salam.

Mahukah kalian sertai aku dalam pengembaraan yang...hm...biasa?


========================= ============

Biasanya bila sebut perkataan 'pengembaraan' mesti terfikir sesuatu yang mencabar dan penuh rintangan, kan?
Daki bukit, terjun gaung, panjat tali, turun cerun.

Tapi sebenarnya, kan, tidak kira apa yang berlaku,
sama ada penuh cabaran, atau biasa, atau rutin, atau membosankan,
kalau kita perhati betul-betul,
ada 'cabaran'nya sendiri.

Pendek kata, semua perkara adalah pengembaraan.

Komik di atas tadi merupakan
satu lagi komik yang aku lukis tidak ikut format biasa.
Format biasa aku biasanya guna nisbah 12:9 untuk satu panel,
tapi komik ini nisbah dia 1:1, which is sesuai untuk media sosial.
Nisbah 12:9 sesuai dengan lebar blog aku sebab pembaca senang baca sambil skrol.

Mula-mula aku nak guna nisbah emas (golden ratio = 1.618) untuk panel komik
tapi nisbah tu tidak kena dengan lebar blog aku
sebab mungkin lebar blog ini pada mulanya sudah lari dari golden ratio.
Jadi dengan beberapa eksperimen, aku dapati 12:9 sangat sesuai dengan blog aku.
Itulah format panel yang aku pakai untuk kebanyakan komik aku di sini.

Orang kata,
karya seni yang cantik selalunya mengikuti nisbah emas 1.618,
tapi saya tidak perlukan pembaris untuk ukur wajah cantik awak sebab sekali pandang sudah tahu nisbahnya tepat dengan nisbah emas.
#PickuplineFail #BroCuba

Ok.
Jauh dah merepek dari pengembaraan ke pickupline.
Must. End. This. Quickly.

Jadi,
siapa lagi macam aku,
masuk kedai buku nak beli komik tapi meratap kesedihan sebab harganya ya ampuuuunn mahal bangat?
Siapa juga ada hobi suka masuk kedai buku sekadar baca tajuk buku yang tersusun di rak tanpa niat mahu membeli macam aku?
Kedai buku apa kedai kegemaran kalian?

Banyak ni soalan, jangan kata tak tahu nak komen apa pula nanti ;p




.

May 17, 2017

Tahi yang Mengikat Kita.



Salam.

Tiada komik minggu ini.
No particular reasons, saja je hehehe.




Maaflah aku rasa bersalah sangat bila update blog setiap minggu tapi tak ada kesempatan nak singgah blog kalian yang ada dalam blog list aku.
Kalian je laa yang rajin asyik singgah blog aku ni walaupun macam hidup segan mati tak mahu.
InsyaAllah nanti aku usahakan masa untuk singgah menyinggah blog kalian.

Dalam satu buku yang sedang aku baca (sejak dua tahun lepas),
ada satu bab kecil yang diberi tajuk 'Gods with Anuses'.
Aku berminat nak ulas sedikit isinya di sini.

Manusia semuanya berusaha untuk hidup kekal abadi.
Kita tahu, hanya Tuhan yang abadi.
Tapi manusia masih mahu mengejar kuasa Tuhan.
Maksud aku, bukannya cipta satu minuman yang membuatkan diri tak tua,
ataupun tukar diri menjadi separa robot supaya bahagian rosak boleh dibaiki,
juga bukan jadikan kesedaran diri dalam bentuk maya dan menjadi muka yang bercakap di dinding,

...tapi dengan meninggalkan sesuatu supaya terus dikenali.

Penulis buku menulis buku supaya hasil kerjanya menjadi kekal abadi walaupun penulis itu sendiri sudah tiada nyawa.
Penyanyi menghasilkan lagu dengan niat mahu lagu itu terus didendangkan selama mungkin.
Kita buat tanda pada arus sejarah dunia supaya satu hari nanti kita akan dikenang di dalam buku teks generasi akan datang.

Ada yang berjaya, ada yang tidak.
Elvis Presley yang sudah lama mati masih mendapat bayaran 60 juta Dolar pada 2009.
Itu namanya berjaya. Nama dia terus diingati walaupun dagingnya sudah tidak wujud.

Bagi contoh tidak berjaya pula,
aku pernah tulis cerita penuh bertajuk Vorteks di blog ini
tapi aku rasa tak ada siapa ingat nama watak utama lelaki dalam cerita itu, kan?
Itu contoh yang gagal.

Dalam bahagian 'Gods with Anuses'
penulis buku yang aku baca ini menulis, menekankan bahawa walaupun manusia sibuk menempa nama dalam ingatan dan lipatan sejarah, mahu terus 'hidup' kekal abadi, tapi musuh utama manusia untuk menggagalkan usaha itu bukannya makhluk lain, sebaliknya ada najis sendiri.

Tidak, najis yang aku maksudkan bukan metafora,
tapi najis sebenar-benar najis. Tahi. Tinja.

Apa yang dia maksudkan ialah
walaupun bagaimana agung kehidupan kau di dunia ini
walaupun betapa terkenalnya kau,
punya follower di Instagram dengan angkanya ada huruf k, M atau B.
Akhirnya, semua orang ini perlu berak juga dalam sesuatu masa.

I know. Kalian tak dapat tangkap lagi maksud aku di atas.
Begini.

Tahi.
Bahasanya sahaja selalu digunakan merujuk kepada taraf yang rendah.
Bahasa kesat untuk merendah dan menghina orang.
Gambar tahi sentiasa dipandang jelik.
Siapa suka lihat tahi?
Dengar perkataannya sahaja sudah membuatkan kita terbayang sesuatu yang busuk.

Tapi,
tahi datang dari semua orang.
Kau buat tahi. Aku buat tahi.
Artis kegemaran kau juga ada masanya dia buat tahi, kan?
Siapa kata orang terkenal tak berak?
Habis tu hampas makanan diorang pergi mana?

Aku suka Emma Stone.
Tapi bayangkan imej Emma Stone meneran dalam jamban menghasilkan bahan buangan yang warnanya tiada beza dengan warna bahan buangan orang lain, itu sudah boleh aku mengerutkan seluruh otot muka.

My point is,
walaupun manusia berbeza-beza,
ada daripada kita terkenal, ada yang tidak dikenali,
ada yang berjaya, ada yang masih berusaha,
ada yang kaya, ada yang kais pagi makan pagi,
ada yang rasa diri besar dengan merendahkan mereka yang lain,
tapi kita semua, KITA SEMUA, terikat pada satu ikatan yang sangat asas.
Terikat pada ikatan yang sangat fundamental, tiada teknologi mampu membezakannya.
Kita semua BERAK.
Kita semua MENGHASILKAN TAHI.
Dan tahi kita tiada beza.
Orang kaya tidak berak keluar emas.
Orang berjaya tidak berak keluar berlian.
Orang miskin tidak berak keluar batu.
Semua orang berak keluar tahi.

Tahi, benda paling jijik itu, mengingatkan kita walau tinggi mana kita terbang, akhirnya semua manusia (dan haiwan) tetap sama.

Dan walaupun kita fikir tahi adalah entiti tidak bermanfaat,
tapi tahilah yang mengingatkan kita tidak guna sombong bongkak berlagak sana sini.
Bila berak busuk juga.

You shit.
I shit.
Everybody shit.
Jadi jangan sombong sangat hidup ni, okay?

Sekian.

Nota kaki:
Buku yang aku sedang baca itu bertajuk
The 7 Laws of Magical Thinking,
ditulis oleh Matthew Hutson.




.

May 10, 2017

Tak Apa!



Salam.



Jangan kata
"Mungkin kau yang menjauhkan diri?"
sebab kalian tak tahu apa aku lalui.

------------------------------------

Dalam satu cerita yang tiada kaitan dengan komik di atas,
semalam aku didatangi seorang lelaki membawa kamera video dan mikrofon pin.
Dia ingin bertanyakan satu soalan untuk assignment video dia dan meminta aku menjadi responden.

Aku pun bersetuju.

Mikrofon pin dipasang, kamera mula dihidupkan,
dia pun bertanyakan aku satu soalan selepas suruh aku perkenalkan diri.

"Boleh beritahu kami perkara yang boleh disyukuri hari ini?"
Aku terdiam berfikir.
Melihat aku terdiam lama, dia ubah soalan,
"Mungkin perkara yang boleh disyukuri sepanjang minggu ini?"
Soalan itu lebih tepat memandangkan pada waktu itu masih pukul 10 pagi,
masih awal, tiada perkara besar yang berlaku pun lagi.
Bukan tiada apa yang patut aku syukuri,
cuma nanti jawapan yang akan keluar adalah 'klise'
seperti bersyukur dapat bangun dari tidur dan masih bernafas dengan kesihatan yang baik bla bla bla.

Aku tersenyum mendengar kemas kini soalannya itu.

"Hari Sabtu lepas saya ke tempat yang penuh dengan orang, Pesta Buku.
Esoknya hari Ahad, sepatutnya saya ada plan dengan seorang kawan
tapi atas sebab-sebab tertentu, plan tidak menjadi."

"Ya, saya sedikit ralat sebab saya sangat ternanti-nantikan plan itu.
Tapi bila dikenang balik, saya rasa saya bersyukur plan itu tidak menjadi."

"Hari Ahad itu saya mula berasa tidak sedap badan dan demam.
Demam menjadi semakin melarat, saya terbaring dua hari, Ahad dan Isnin."

"Saya syak, saya dijangkiti virus demam pada hari Sabtu ketika berselisih dengan pelbagai jenis manusia di Pesta Buku yang sesak. Kalau plan Ahad menjadi, saya mungkin akan jangkitkan virus demam itu kepada kawan saya. Sebagai kawan yang penting, saya tidak mahu dia sakit, apatah lagi dijangkiti daripada saya. Dia mungkin akan demam teruk dan seterusnya mungkin akan jangkitkan kepada yang lain di sekitarnya juga. Mungkin ada anak kecil yang terjangkit, orang tua, orang yang memang sedang sakit. Demam selsema, kalau salah orang, mungkin boleh membawa maut."

"Jadi saya bersyukur bahawa plan Ahad lepas tidak menjadi.
Kawan saya tidak terjangkit, dan mungkin ada nyawa yang selamat.
We will never know, kan?"

Itulah kehidupan.
Kadang-kadang kita merungut perjalanan hidup tidak seperti yang dirancang.
Namun kita lupa setiap perkara ada hikmahnya.
Mungkin hikmah bukan pada kita, tapi pada orang lain.
Kalau kita pandang segalanya secara positif,
tiada apa yang perlu dirungutkan, kan?

"Sekarang, walaupun demam saya sedikit sudah kebah,
tapi saya berdiri bersama encik, jadi mungkin encik akan terjangkit,"
kata aku dengan nada bergurau kepada lelaki tadi.

Dia balas,
"Kalau saya demam, saya tahulah siapa yang boleh saya persalahkan."
Kami ketawa besar macam kawan lama sudah kenal.

Untuk mengaitkan apa yang aku cakap di atas dengan komik di awal tadi,
mungkin setiap mereka yang pergi itu ada hikmahnya.
Mungkin tanpa aku mereka akan lebih bahagia,
atau tanpa mereka aku akan lebih matang?
We may never know, kan?

Kalian pula,
apa yang boleh kalian syukuri pada hari ini?
Mungkin sepanjang minggu ini?






.

May 3, 2017

Jatuh Cinta 'Dengar' Pertama.


Salam.

Seperti yang dijanjikan beberapa minggu lalu,
kali ini ada komik.
Yaay!
*krik krik tiada yang jerit bersama*




Selalunya selepas komik,
akan ada cerita panjang lebar yang pada mulanya berkisar tentang isi komik dan menular ke cerita yang tak ada kena mengena.
Tapi kali ini aku tak tahu nak kembangkan isi komik ini dalam bentuk penulisan,
jadi aku nak cerita satu hal yang langsung tiada kaitan.

Satu hari itu aku dengan sengaja mahu mengenang segala kenangan aku masa dulu.
Aku duduk bersila atas katil dan pejam mata dalam gelap.
Aku bayangkan satu persatu, wajah insan-insan yang pernah pegang hati aku.
Adalah beberapa orang, tapi segan pula nak beritahu berapa di sini.

Aku bayangkan wajah mereka satu persatu.
Cantik. At least cantik pada aku pada waktu itu.
Kebetulan aku dapat kesan mereka ada satu persamaan, which also aku tak boleh nak reveal dekat sini takut kena kecam.
Yes, aku ada 'type' aku sendiri.
Aku manusia yang sedikit konservatif,
jadi secara tipikal, aku akan jatuh hati dengan fizikal dahulu sebelum mengenal hati budi.

Ya, bila bercakap tentang fizikal, mesti ramai fikirkan muka.
Macam aku cakap, mereka semua cantik pada aku,
tapi sebab cantik itu subjektif, jadi cantik pada aku mungkin tak pada kalian.

Tapi fizikal yang aku cakap di atas bukan merujuk kepada muka.
Aku sebut tentang suara.
Aku manusia kolot yang jatuh hati pada suara dahulu sebelum kenal hati budi.
Sebab itu aku tidak risau nak jatuh cinta pandang pertama,
aku lebih risau jatuh cinta 'dengar' pertama.

Kembali ke sesi mengenang kenangan lama.
Aku cuba untuk bayangkan suara mereka semua sekali dengan muka.
Cuba teka apa yang berlaku?
Aku gagal!
Aku gagal untuk mengingat semula suara mereka.

Aku pernah dengar tapi tak pasti dari mana,
perkara pertama yang kita lupa tentang seseorang ialah suara mereka.
Ya. Kita lupa suara dahulu sebelum perkara lain.

Cuba kalian cuba.
Cuba fikirkan seseorang yang pernah ada dalam hidup kalian
Keluarga yang sudah tiada, mereka yang sudah putus hubungan, putus ikatan,
dan bayangkan wajah mereka.
Kemudian dalam bayangan mereka itu, bayangkan dia sebut ayat di bawah;

"MUNGKIN SEGALA PERKARA ADA HIKMAH SAMA ADA UNTUK KITA ATAU UNTUK ORANG LAIN."

Adakah kalian masih boleh mendengar suara orang yang kalian bayangkan?

Majoriti akan gagal mendengar suara, atau mungkin yang keluar adalah suara orang lain.
Tapi tak semua.
Jika ingatan kita kuat tentang seseorang itu,
kita akan tetap ingat suara dia tidak kira berapa lama tidak dengar.
Seseorang itu mesti begitu berharga dalam hidup kita.

Jadi,
sementara masih ada masa.
Cubalah untuk mendengar, meneliti dan menikmati segala suara yang ada di keliling kalian.
Ia mungkin kedengaran tidak penting sekarang,
tapi satu hari nanti, mungkin,
suara itulah yang paling kalian rindukan.

Bak kata Nash dalam nyanyiannya;
"Tiada lagi kudengar kidungmu.
Tiada lagi derai tawamu.
Hanya kesepian yang kian mencengkam jiwaku."

Tetiba rasa nak pergi karok. JOM!




.