Mar 4, 2015

Sains Di Sebalik Baju Putih/Emas Biru/Hitam #TheDress



Bagi yang perasan, aku jarang berbicara tentang isu semasa.
Ini disebabkan pemilik blog ini (aku) bersifat narsistik,
hampir setiap tempat di dalam blog ini ada muka cEro.

Tidak.
Bukan itu sebabnya.
Sebab utama aku jarang berbincang tentang isu semasa adalah kerana kebanyakan entri dalam blog ini sudah dijadualkan lebih awal dari waktu ia diterbitkan.
Dengan kata lain, kalau aku tulis isu semasa dan jadualkannya untuk diterbitkan rabu dua minggu lagi, itu namanya sudah tidak jadi isu SEMASA.
Lagipun blog Buasir Otak lagi bagus dalam membincangkan isu semasa.

Tapi kali ini lain...
Biar aku berbicara tentang isu yang hangat minggu lepas.
Isu mengenai The Dress,
satu baju yang dikatakan berjaya memecah-belahkan internet dan memutuskan banyak talian persahabatan sesama kawan.



The Dress.


Ceritanya bermula apabila seorang pengguna Tumblr bernama swiked memuatnaik satu gambar baju perempuan ke dalam laman Tumblr-nya dan bertanyakan,
"guys please help me - is this dress white and gold, or blue and black?
Me and my friends can’t agree and we are freaking the f*ck out"

Terima kasih kepada internet,
gambar itu menjadi viral ke seluruh dunia di mana secara tiba-tiba manusia terbahagi kepada dua kumpulan;
Team White/Gold dan Team Blue/Black.
Satu kumpulan nampak baju itu sebagai baju putih dengan belang emas,
manakala satu lagi melihatnya sebagai baju biru belang hitam.
Fenomena berbeza pendapat ini digelar sebagai The Dress.

Internet sangat pelik. Isu macam ini pun boleh jadi viral.

Menurut undian dari satu laman web terkenal BuzzFeed, lebih 2 juta pengguna mengundi mereka nampak baju itu sebagai 'putih belang emas' sebagai majoriti.
Malangnya, majoriti bukanlah realiti.
Baju itu sudah dipastikan melalui gambar lain sebagai baju biru belang hitam.

Bagaimana perkara ini boleh terjadi?
Bagaimana kita selaku manusia boleh melihat gambar yang sama,
tapi nampak warna yang berbeza?

Ini sangat menarik minat aku untuk kaji,
jadi ini adalah artikel 'isu semasa' yang aku rumuskan dari penjelajahan aku mencari jawapan di dalam alam maya.

Kalau rajin google, banyak laman web di luar sana sudah menceritakan secara terperinci mengapa perbezaan ini berlaku.
Tapi kebanyakan artikel tersebut tidak tepat (pada aku) dan berbahasa inggeris.
Jadi aku akan cuba terangkan dalam Bahasa Malaysia seringkas dan setepat yang boleh mudah difahami.

Beza kumpulan Biru/Hitam dengan kumpulan Putih/Emas bukannya terletak kepada beza retina mata,
ataupun betapa sensitifnya mata kita,
ataupun setting di dalam telefon bimbit kita,
ataupun berapa lama mata kita terdedah kepada matahari seperti yang dibincangkan oleh sesetengah pihak.
Semua sebenarnya hanyalah satu isu bagaimana otak kita mentafsir maklumat yang dihantar dari mata.

Ya, otak.
Bila sebut tentang otak, aku jadi super-teruja.
Aku peminat nombor satu otak.


White Balance dan Tafsiran Otak.


Untuk memahami isu ini lebih lanjut,
kita kena faham satu lagi konsep iaitu 'keseimbangan putih' atau dalam bahasa lebih dikenali, white balance.

White balance adalah satu proses di mana para jurugambar and juruvideo (atau mereka-mereka yang mengiktiraf diri mereka sendiri dengan gelaran seperti itu) gunakan untuk menghilangkan pengaruh pencahayaan sekitar terhadap objek yang mahu ditampilkan di dalam gambar supaya objek putih di luar gambar akan kelihatan putih di dalam gambar. Bila putih di gambar sama seperti di luar gambar, maka warna lain akan turut kelihatan semulajadi tanpa perlu pedulikan pencahayaan sekitar.

Alaaa, mudah cerita, kalau kulit kita sawo matang, tak kisah sama ada tangkap gambar di dalam bilik malap atau di bawah cahaya matahari, dengan adanya white balance ini, kulit kita akan tetap nampak sawo matang.



Kalau warna pada baju itu dikeluarkan satu persatu,
kita akan dapati warnanya bukanlah biru atau hitam atau putih atau emas.
Ianya lebih kelihatan seperti kelabu dan ungu gelap dan jingga gelap.

Tapi kenapa tiada yang kata baju itu warna ungu dan jingga?

Otak kita SANGAT HEBAT dalam mentafsir gambar terutamanya warna pada gambar supaya ianya kelihatan masuk akal.
Sebab itu kita tahu baju yang dipakai Hassan di dalam filem Sarjan Hassan lakonan P. Ramlee dan rumput yang dipijaknya berwarna hijau walaupun wayangnya hanya hitam putih.
Siapa tahu, mungkin semasa penggambaran filem tersebut, P.Ramlee pakai baju warna pink dan rumput pula berwarna jingga.

Sebagai contoh,
lihat imej di bawah ini:

Sumber: Vsauce video 'This Is Only Red'

Walaupun gambar di atas kelihatan mempunyai pelbagai warna,
tapi percayalah semua warna di dalam gambar di atas adalah MERAH.
Ada lebih dari 50 shades of merah (see what I did there?) dalam gambar tersebut tetapi disebabkan otak kita terlalu hebat mentafsir gambar, kita akan nampak seperti wujudnya hijau, kuning, biru, jingga dan banyak lagi warna selain merah di dalam gambar ini.

Kalau kita belajar tentang warna, kita akan tahu bahawa WARNA SENTIASA BERUBAH.
Bergantung kepada sumber cahaya,
warna putih boleh kelihatan biru, jingga mahupun kelabu.
Sebab itu kita celup baju sekolah putih kita dengan warna nila biru,
supaya di bawah cahaya matahari terik, baju biru kita kelihatan putih bersih sedangkan warna sebenarnya ialah putih yang sudah dicelup nila biru.

Otak kita sangat hebat mentafsir warna sebenar disebalik warna yang ditonjolkan oleh objek.
Tanpa kebolehan menafsir ini, otak kita akan jadi keliru kerana warna objek di sekeliling kita sentiasa berubah bergantung kepada sumber cahaya.


Gambar dan Kamera.


Tidak seperti mata dan otak kita yang super-hebat,
kamera perlu menentukan warna putih menggunakan input di dalam gambar yang bakal diambil dan kemudian akan ditafsirkan menggunakan konsep white balance supaya warna lain seperti biru, merah dan hijau adalah tepat dengan warna sebenar di luar gambar.

Disebabkan warna putih sentiasa ada di dalam mana-mana imej dan gambar, maka ianya bukan satu masalah besar bagi kebanyakan gambar.

Tetapi, dalam kes gambar The Dress ini,
kamera yang digunakan sangat teruk (atau mungkin bernasib baik) dalam mentafsir warna putih dan white balance.
Kamera tersebut telah meletakan warna putih yang ditafsirnya di titik sempadan beza antara dua kemungkinan bagaimana seseorang mentafsir gambar menggunakan otak seperti yang telah kita bincangkan tadi.
Sesetengah otak mentafsir bahawa putih adalah cahaya terang di dalam gambar dan menjadikan belang gelap itu berwarna emas manakala sesetengah otak lagi melihat warna putih di belakang gambar sebagai titik menafsiran menjadikan baju itu berwarna biru berbelang hitam.



Tiada orang yang boleh nampak kedua-dua gabungan warna (Putih/Emas dan Biru/Hitam) secara serentak, jadi mana satu yang otak kita tafsir dan selesa menerimanya, maka itulah warna yang JELAS kita nampak pada baju tersebut.

Semuanya berkaitan dengan menafsiran mengenai apa yang kita nampak.
Kita akan nampak apa yang kita mahu nampak.
Dalam istilah sains, ini dipanggil 'perception' atau persepsi.

Seperti entri itik dan arnab yang pernah aku buat dulu.

Otak kita melakukan banyak keputusan di bawah sedar seperti ini setiap hari,
namun kebiasaannya setiap dari kita membuat keputusan tentang tafsiran yang sama.
Bila minda bawah sedar kata 'cEro pakai baju kuning',
orang lain juga akan tafsir perkara yang sama sebab kesemua kita nampak cEro pakai baju kuning.

Cuma dalam kes gambar The Dress ini,
ianya mampu membuatkan kita manusia menafsir dua gambaran nyata yang berbeza mengenai warnanya.


Kenapa Berbeza?


Kenapa ada yang lihat warna tertentu dan yang lain pula melihat warna yang berbeza sedangkan gambar yang sama?
Jawapannya terletak kepada permulaan kita menafsir data yang diterima mata ke otak.

Dari awal kita sudah diberi dua pilihan, Putih/Emas dan Biru/Hitam.
Dan dari awal kita sudah meletakan diri di pihak mana.
Inilah yang kita panggil 'perception' (atau persepsi) dan kalau ditanya mana-mana ahli psikologi, 'perception' penuh dengan sifat berat sebelah, atau dalam bahasa mudah difahami, 'bias'.

Bias atau sifat berat sebelah ini boleh ditentukan oleh banyak faktor.
Antaranya ialah jangkaan (expectation).
Jika pertama kali kita melihat gambar The Dress ini di twitter kawan-kawan, dan tweet yang ditulisnya berbunyi
'Aku tak faham kenapa ada yang tak nampak baju ni warna putih dan emas..',
maka kita sudah meletakan jangkaan di dalam minda bawah sedar kita bahawa baju itu berwarna putih dan emas.
Maka apa yang kita akan nampak adalah baju warna putih berbelang emas.

Dan kita sudah tentu akan terima sifat berat sebelah kita.
Maka kalau kita nampak baju ini sebagai putih dan emas pada awalnya,
sudah jadi susah untuk kita TIDAK nampaknya sebagai putih dan emas.
What you've seen cannot be unseen.

Tapi realiti tidak semestinya sama dengan apa yang kita nampak.




Otak kita sangat hebat dalam menafsir persekitaran,
dan itulah antara ciri-ciri yang membolehkan kita terus hidup sebagai makhluk yang berada di puncak siratan makanan.

Namun,
otak kita bukanlah sempurna.
Kita harus menerima hakikat bahawa lain orang lain yang dia nampak.
Kalau kita boleh terima hakikat itu, maka apa yang orang lain nampak adalah sama benarnya dengan apa yang kita nampak walaupun realitinya berbeza.

Jadi,
pergi jumpa balik kawan kalian yang terputus persahabatan dek kerana masing-masing nampak baju itu dalam warna yang berbeza.
Berbaiklah semula.
Dari konteks persepsi, dia tidak salah, anda pun tidak sepenuhnya benar.
Menghormati tafsiran otak dan akal orang lain adalah lebih penting daripada menegakkan siapa yang benar dan siapa yang salah walaupun realitinya jelas dan berbeza.

Gunakanlah organ jeli di dalam plat kranium yang kita junjung setiap masa itu.
Jangan disebabkan baju yang bukan pun kita punya, kita kehilangan insan bernama kawan.

...and by the way,
aku team Biru/Hitam.




.

47 comments:

  1. sebenarnye x tau pon isu kaler baju ni jadi viral. aku bukan pengunjung facebook / twitter / tumblr. mase kawan aku forward gambo baju ni, teros aku nampak kaler biru dan hitam. x terfikir pon pasal white balance bagai..
    benda jadi complicated sebab manusia yang suka complicatedkan dier..haha..boleh ke pk gitu..

    ReplyDelete
    Replies
    1. @MS. NO NAME
      Hahaha...kira kau ni team Blue/Black arr ni??
      Tp hal remeh camni pun mampu buat putus talian persahabatan ooo...
      Manusia memang hebat dlm merumitkan perkara remeh.

      Delete
  2. Aku nampak white gold. Tengok macam mana pun mmg white gold. Dan memang betul pun baju ni boleh buat orang bergaduh. Aku pun siap ber'debat' pasal warna asal baju ni kat Fb.

    Aku terangkan pasal sains optik, kawan aku plak berkeras pasal emosi.
    Hahaha... malas nak fikir.

    ReplyDelete
    Replies
    1. @Aujinz #TeamWhiteGold

      Dalam bab betul salah camni, semua org akan cuba menegakkan stand masing2. Tiada siapa suka kalah, apatah lagi atas perkara remeh camni...
      That's why isu The Dress ni, pd aku secara peribadi, sangat bahaya.
      Hehehe

      Delete
  3. tak faham celah mana yang white gold dan blue black pasal aku nampak pink purple.dah.muktamad.

    ReplyDelete
    Replies
    1. @Miss Fireflies
      #TeamPinkPurple errr...

      Ni jenis orang yang nak kena pukul ramai2 ni...hahahaha

      Delete
  4. Aku fes tgk blue black. Pastu tgk komen ckp white gold, nampak white gold. Tapi lepas tu nampak blue black. Yang takleh blah wane asal dia jauh lg biru dr biru yg aku nampak. Royal blue. I mean. Whaaaaaaaaaaatttttt?

    ReplyDelete
    Replies
    1. @Dea Day
      #TeamBlueBlack to #TeamWhiteGold to #TeamBlueBlack again.

      Tapi seluruh dunia setuju dan sebulat suara yg baju sebenar itu sangat laa tak cantik malah huduh...hahahah

      Delete
  5. aku cuma nampak semua putih sahaja, sebab aku setkan brightness ke maximum.

    ReplyDelete
    Replies
    1. @Prince of Noob
      #TeamAllWhite hehe

      Wahahahaha....Aku suka bila boleh switch dr Blue/Black ke White/Gold bila-bila masa kalau adjust brightness. Macam magik!

      Delete
  6. #TeamBlueBlack
    adakah faktor gua suka gila kat warna biru turut mempengaruhi otak? apa2 warna pun, dress tersebut tetap huduh di mata gua ><

    ReplyDelete
    Replies
    1. @Zyra Roxx
      #TeamBlueBlack geng!

      Mungkin kot. Mungkin sblum first kau nampak gambar baju tu, kau ada nampak benda biru disekeliling kau dulu...kot.

      Delete
  7. oo.. jd warna asal baju tu mmg biru hitam. Tp dia lebih cantik warna putih gold. hehe...

    ReplyDelete
    Replies
    1. @Amna Shark
      Kalau warna dia putih gold, nampak lagi classy kan?
      Jap...Amna team mana?

      Delete
  8. sbb baju ni jer viral satu dunia hahaha, penerangan nya pun panjang gila... nice info psl white balancce :D

    ReplyDelete
    Replies
    1. @Khairulsyarafi Ruang Monolog
      Hahaha...
      Terima kasih kerana membaca penerangan yg panjang lebar itu.
      Hehehe

      Delete
  9. aku tak amek port warna apa pun..asal aku tau logik di sebalik kejadian dahla, settle.. Tima kasih sebab buat aku lebih paham..hehehe..

    ReplyDelete
    Replies
    1. @Lee-kun
      Hahaha...bagus orang macam kau ni...
      Bagus sebab tak masuk campur hal orang gaduh...hehehe

      Delete
  10. sejak aku nampak post pasal the dress ni kat fb, memang awal-awal lagi aku nampak white & gold.

    Aku pelik acane orang boleh nampak biru hitam, dok fikir lah aku yang buta warna ke orang lain yang buta warna.

    Tapi bila tengok balik post ni and gambar kat bebawah, nampak lah dress ni dalam keadaan white&gold, and blue&black. Brightness gambar punya pasal. Maka konfidenlah gua, yang gua tak buta warna.

    ReplyDelete
    Replies
    1. @nanadhoi
      #TeamWhiteGold

      Hahaha...
      Bukan kau seorang, ramai jugak yg menafikan fakta bila didedah warna sebenar baju tu. Ramai jugak yg kata photoshop dan color manipulation.
      Tapi bila dah tau konsep, kita boleh switch dr Blue/Black ke White/Gold ke Blue/Black balik sesuka hati kita...hehehe

      Delete
  11. Terbaik cEro!

    ReplyDelete
  12. Pergh... gigih betul ko elaborate pasal isu ni, thorbaek~ ;3

    First time aku nampak picture baju ni kat yahoo news aritu, aku terus pikir baju ni warna kelabu kebiruan, dengan jalur2 warna kelabu gelap... and, this dress ain't that bad, would look good on a girl with fair skin. Seriously ada yang bergaduh sampai tahap putus kawan pasal warna baju ni je? Damn... LoL

    ReplyDelete
    Replies
    1. @plain83
      #TeamBlueBlack

      Serius ada yg gaduh sbb mende remeh ni...
      Pd aku, design baju ni okey, tapi material dia tak sesuai. Orang yg pakai mungkin akan rasa gatal kalau pakai lama2...hehehe

      Delete
    2. Tapi seriously, kau masih guna Yahoo News utk baca berita????

      Delete
    3. Awat? Kuno sangat ka yahoo news tu? Huhuh... aku still guna yahoo mail so that's why aku selalu bukak yahoo site, maka aku akan nampaklah news headlines dia...warui no? >:v

      Delete
    4. @plain83
      Wahahaha...tak kuno sangat. Cuma laa ni byk lagi source berita yg lagi pantas dr Yahoo News...hehehe

      Delete
  13. Saya memang nampak biru hitam je. Tak pernah lagi nampak white/gold.

    Dan sebenarnya, saya masih lagi tak faham kenapa benda ni boleh jadi viral.

    ReplyDelete
    Replies
    1. @Farah
      #TeamBlueBlack

      Hahaha...cuba naikkan contrast gambar tu dan fokus kpd warna hitam. Warna hitam akan jadi warna gold.
      Tu laa pasal...
      Benda remeh macam ni pun boleh jadi kecoh satu dunia...

      Delete
  14. Replies
    1. @CikMai
      Hahaha...cara paling mudah nak hilangkan pening ialah dengan abaikan isu ni...hehehe

      Delete
  15. banyak kali tengok black/blue.. sekali jer tgk white/gold masa tengah scroll down dashboard blog

    ReplyDelete
    Replies
    1. @nourel A
      Okey apa kalau ada nampak jugak white/gold tu...
      Setengah org yg tak boleh nampak masih lagi mempertikaikannya...hehehe

      Delete
  16. sangat sains. serupa macam baca journal. haha

    ReplyDelete
    Replies
    1. @mashy_entah
      Perli aku laa tu...hahahah

      Delete
    2. serius. kau just letak quote satu dua, pastu buat references, dah boleh publish online, bak kata sv aku lah. hahahaha

      Delete
    3. @mashy_entah
      Hahaha...Kalau nak tulis thesis, bab nak cari references tu laa yg paling tak best sakali...hahaha

      Delete
  17. kecoh pasal baju ni dalam ofis..pakat duk bergaduh sebut colour masing2..hakikatnya aku nmpk colour gold kelabu..haha..tapi takda la smp putus sahabat..-_-

    ReplyDelete
    Replies
    1. @Mime MF
      Hahaha..
      Nasib baik tak putus sahabat.
      Tapi mmg ada kes sampai tak bertegur sapa hanya sbb berlainan pandangan...
      Parah tu rasanya...hehe

      Delete
  18. Sapa lar pencetus perbalahan tue. Teringin nak tau sapa dia. Hebat smpai jadi viral 1 dunia kecoh.

    ReplyDelete
    Replies
    1. @Lizzie Yasmin
      Kheeeennnn....
      Padahal benda remeh je. Warna baju, apa nak kecoh sangat...hehehe

      Delete
  19. Aku baca sampai habeh sebab aku suka color and otak. So topic ko tulis kali nie macam kebabommm dalam otak aku *insert sparkle meme :D

    Aku nampak in between. Camne lak? Aku nampak hitam dekat dekat nak gold and biru dekat dekat nak putih. So aku team mane??! Alamak..

    ReplyDelete
    Replies
    1. @Yusro Yusoh
      Bagi case orang yang nampak in between in,
      sama ada kau ada expectation utk nampak dua2 jenis warna ATAU
      kau tak ada expectation langsung...hehehe

      Tapi otak memang terbaik!
      **thumb up with sparkling teeth**

      Delete
  20. kawan aku baru tunjuk tadi pasal benda alah ni .. tapi kenapa aku nmpk baju ni blue n gold ?? hahahaha .. berbeza sungguh dari orang lain ... black n white aku tak nmpk plak ... hahahaha

    ReplyDelete
    Replies
    1. @Farah Amira
      Mungkin sbb kau tak ada initial bias kot.
      Most people aku expect dia nampak white/gold OR blue/black tap mungkin kau expect utk nampak white & gold & blue & black...hehehe

      Delete
  21. Saya pun nampak blue & gold . blue & black tkde . white & gold pun takde huh. lama juga tenung tau '(

    ReplyDelete
  22. Nak tanye saya mula ii nmpk putih gold tapi tak lama lepas tu saya nmpk biru hitam sampaikan gmbr yg Ade Dua warna putih gold Dan biru hitam jadi warna biru hitam je

    ReplyDelete

"It's not what you've got, it's what you do with it." - cEro, 2026