Dec 31, 2011

Tanpa Tajuk #6 [Akhir Kata 2011]



2011 menjadi tahun paling mencabar dalam hidup aku.
Dari membuat keputusan menolak impian peribadi,
sehinggalah ke menentukan masa depan diri,
semuanya ada berlaku dalam tahun ini.


AZAM

Beberapa azam aku tahun ini berjaya tertunai.
Namun, satu azam penting, iaitu buat 50 perkara baru, gagal untuk aku selesaikan.
Aku mampu penuhi hanya 3/4 azam tersebut.
Semuanya sebab aku terlalu lambat mula.
Aku habiskan setengah tahun tak buat apa-apa baru.

Tapi, bila aku mula, alhamdulillah,
aku mampu lihat banyak perkara dalam perspektif yang menarik.
Aku takkan senaraikan kesemuanya di sini.
Cukup aku bagi contoh seperti aku mula ambil kelas bahasa isyarat dan bercampur dengan kelompok orang cacat pendengaran, dan ia membuatkan aku memandang sesuatu perkara dengan lebih tajam kerana komunikasi bukan hanya sekadar suara dan bahasa.

Untuk tahun depan,
aku akan berazam mahu buat 100 perkara baru juga.


KERJA

Aku sudah mula kerja.
Sebenarnya, aku belum habis belajar pun,
tapi rezeki Tuhan, aku sudah dapat masuk kerja.
Tak perlu aku beritahu kerja apa,
tapi aku sangat seronok dengan kerja ini.
Walaupun luar bidang, aku anggap ini satu peluang untuk aku kembangkan ilmu berdasarkan pengalaman yang bakal aku dapat.


HANDSET

Beberapa hari sebelum krismas,
henset aku buat hal dan total 100% tak boleh digunakan.
Henset itulah yang menghasilkan kebanyakkan lukisan dalam blog ni.
Ya, aku lukis guna henset.

Sekarang aku pakai henset baru.
Walau lagi canggih dan boleh main Angry Birds,
henset baru ni tak boleh melukis.
Jadi, agak susah untuk aku menghasilkan lukisan (walaupun buruk) untuk blog ini.

InsyaAllah, aku bercadang nak beli graphic tablet (dari tahun lepas lagi berangan..) bila aku dapat duit sikit.


AWEK

Don't talk about it.
Seriously, aku sangat tak pandang ke arah tu.
Orang kata, lagi mencari lagi tak jumpa.
Kalau buat dek je, datang laa berduyun-duyun.

Untuk gadis-gadis yang baik hati di luar sana,
kalau berani mintak la bagi laa nombor fon korang.
Nanti kita SMS sama2, mana tau ada jodoh. HAHAHAHA!


RAMBUT

Sammpi ke hari ni, aku cukup tak tahu nak rias rambut aku macam mana.
Sampai ke tahap aku ambil keputusan tak nak sikat rambut,
mengakibatkan rambut aku kelihatan kembang macam Hafiz AF bila kering.
Oh! Aku pun tak suka pakai minyak, gel, or segala bagai product rambut.
Sampai masa perlu, aku shampoo.

Oleh sebab aku dah mula kerja, jadi aku kena jaga penampilan.
So, nampak gayanya, nak tak nak, kena laa sikat gak.
Hari tu mencari sikat tak jumpa,
tertimbus bawah barang-barang dalam laci.


BLOG

Aku tak tahu,
tapi aku kemungkinan tak mampu nak fokus ke blog sekerap dulu.
Sibuk sikit.
Tapi jangan risau,
walaupun pembaca blog ni boleh kira dengan jari,
selagi aku bernafas, insyaAllah
blog ini takkan terkubur.

Aku akan cuba menjadikan blog ini destinasi wajib kalian bila online.
YEAAAAHHHH!!!!


LISA

Aku frust gila Lisa nak kahwin dengan Yusry.
Tapi, dia kata dia bahagia,
so aku lepaskan dengan redha.
(Mungkin ini memang jalan takdirku...)




Terima kasih kerana membaca entri panjang dan boring ni.
Walaupun aku tahu sebahagian dari kalian baca separuh je.

Aku merasakan tahun 2011 menjadi titik pusing dalam hidup aku.
Segala-galanya berubah.
Permikiran, pandangan, sikap, kehidupan.
Semuanya terkesan dalam tahun 2011.

Oh! BTW, sekadar nak bagitahu.
Aku amat merindui seorang gadis ni.
Antara azam aku tahun depan adalah nak kumpul duit dan pergi melawat dia dekat tanah asing sana tu. Apsal laa berhijrah jauh sangat.
Siapa nak ikut?


SELAMAT TAHUN BARU 2012.

Dec 25, 2011

Punca Kuasa Dua kepada Enam Ratus Dua Puluh Lima ialah Hari Ini!




According to the National Pokedex number,
the above creature represents ME for today.
Yes, TODAY!

As it might sound AWESOME,
being a silver jubilee joe makes me feel like an arse!

People at my age already got family, even child,
but me, I'm still typing about my feeling in a blog to be shared with people that mostly, don't even know my name.

But what to do?
Life is neither easy nor difficult.
God's plan is God's plan.
Alhamdulillah.

postquam-scriptum:
Patutnya ada perkataan 'modulus' dalam tajuk entri ini.
Ya! Matematik!



.

Dec 23, 2011

Kalau Sudah Tiada Jodoh, Maka Tiadalah Harapannya











postquam-scriptum:
Henset aku rosak, jadi lukisan di atas aku lukis guna paint dan mouse. (patut burok!)

postquam-subscriptum:
Henset aku yang rosak ni ada nama, Io (pron: eye-yo)

postquam-subsubscriptum:
Sudah masuk seminggu aku tak pakai henset yang proper. Henset sementara sekarang aku pakai, hanya boleh dapat line bila aku keluar ke tengah jalan raya sana.

postquam-subsubsubscriptum:
Ada cadangan henset apa boleh aku beli yang boleh lukis jugak dan berada dalam liputan capaian kocek aku sebagai orang tak berapa nak berada?

Dec 14, 2011

Kerana Demam Adalah 20 Penyakit dan 80 Pemikiran.






Aku payah nak demam.
Tapi sekali demam, memang lunyai badan dikerjanya.
Ifrit segala virus semua nak datang bertandang.

Masa demam,
aku tak suka orang nampak keadaan aku.
Jika memerlukan bertemu orang,
aku akan sepenuh keringat persiap diri dengan muka kad poker
dan kekuatan supaya tak kelihatan sangat aku orang demam.

Bagi yang berfikiran sempit akan berkata,
"It's OK. Ego lelaki memang tak nak nampak lemah."

Tapi niat sebenar aku menyembunyikan demam adalah
aku tak mahu orang terjangkit.
Kerana demam adalah 20 penyakit dan 80 pemikiran.
Bila orang keliling tahu aku demam,
lalu terdetik di benak mereka fikir,
"Alamak, nanti aku mesti terjangkit demam dari dia.."

Tup tap tup tap
esoknya mereka demam, dan mereka kata
"Ni semua salah mamat tu..Kan dah jangkit kat aku.."

Jikalau tiada pun tahu aku demam,
maka tiada pun berniat akan terjangkit.
Jadi, dunia lebih aman.

Namun, aku bukan Shaheizy Sam.
Aku tak mampu berlakon sempurna setiap masa.

Dan bila di kenduri kahwin kawan seorang teman berkata,
"Eh, ko nampak macam demam. Take care, OK?
Jangan lupa makan ubat.."

Aku hanya mampu tersenyum dan bersyukur.

Bersyukur kerana itulah namanya kawan.
Sedikit keruh di air sudah disedarnya.
Secalit gelap di langit sudah dipayungnya.
Setitis manis di kopi sudah dirasanya.
Dan tiada kata lain melainkan doa.

At least, itu kawan pada aku.


Dec 7, 2011

Ajaran #16 - Tak Salah Kalau Sekali Sekala Jadi Melankolik


mel·an·chol·y[mel-uhn-kol-ee]
adjective
4. affected with, characterized by, or showing melancholy; mournful; depressed: a melancholy mood.
5. causing melancholy or sadness; saddening: a melancholy occasion.
6. soberly thoughtful; pensive.









Bila ada orang kata dia tak pernah bersedih,
berduka tentang sesuatu yang dialaminya,
fahamilah bahawa dia sedang menipu.
Namun, menipu bukan bererti dia penipu.

Setiap orang ada episod sedih dalam diri.
Tapi tak semua orang bersedia berkongsi cerita mengenainya.
Apa yang mampu kita buat adalah
memberikan mereka sedikit ruang dan masa.

Kerana percayalah,
masa sentiasa dapat merawat luka.

postquam-scriptum:
Jadi, bagaimana cara kalian menghadapi episod sedih diri?
Menangis, berkurung, atau letak ke tepi dan lupakan sahaja?




.

Dec 5, 2011

Dan Jarum Bulan Sedang Menunjukkan Angka Dua Belas


Disember datang lagi.

Seperti Mei,
Disember adalah antara bulan yang aku kurang minat.

Ada satu hari dalam Disember di mana hati aku penuh dengan benci dan dendam, namun harus aku cari topeng kegembiraan untuk dipakai kerana hari tersebut juga adalah hari yang sepatutnya senyuman sentiasa terukir di bibir aku.

Ingin tahu kenapa?

Bila secebis diri kalian yang bernama hati telah kalian isi dengan penuh kasih sayang cinta dan setia, dan akhirnya cebisan itu dicampak si dia ke dalam tong sampah busuk bernama alasan pada hari yang sepatutnya merupakan hari keraian diri sendiri, baru kita berdua boleh duduk berborak berbincang tentang dendam berteman secawan teh pahit berperisa kenangan.



Ya. Aku seorang pendendam.


.

Dec 2, 2011

"Jika Kau Rasa Dia Cantik, Lihat Semula"



"Beauty is in the eye of the beholder."

Kebanyakan 'average people' setuju dengan penyataan di atas.
Namun, 'above-average people' pula menolaknya.
Kerana pada mereka,
walaupun kecantikan itu subjektif dan tiada definisi tetap,
namun ciri-ciri wajah orang yang cantik kebiasaannya lebih kurang sama.

Orang pandai memang selalu camtu, semua nak ditolaknya.

Dari fakta sains yang pernah aku baca tapi tak ingat dah mana sumbernya,
wajah orang yang digelar cantik biasanya 'simetri'.
Bermaksud, kiri dan kanan wajahnya adalah sama, tak ada mulut herot, tak ada hidung kembang sebelah.

Namun,
siapalah kita nak mendefinisikan kecantikan?



Peluang duduk melepak dengan kawan-kawan lama memang menyeronokkan.
Tambahan pula,
kebanyakkan kawan-kawan sebaya aku,
sama ada sibuk dengan awek masing-masing,
mereka sibuk dengan tunang masing-masing,
atau sibuk dengan persiapan kahwin,
atau sibuk dengan isteri masing-masing,
ataupun sibuk dengan anak masing-masing.

Jadi,
bila sekali sekala dapat jumpa,
memang semua topik keluar, A sampai Z.

"Perempuan ada dua jenis.."
Kawan aku si Alberto (sudah tentu bukan nama sebenar) sudah bermula...

"Satu : Perempuan cantik.
Dua : Perempuan Tak Cantik."

Sebelum apa-apa,
biar aku minta maaf dulu jika ada para gadis yang baca blog ini dan terasa.
Ianya fakta umum, anda berhak menolak atau menerimanya,
terpulang pada diri.

"Dan Perempuan Cantik ada dua jenis..
Satu : Perempuan cantik yang bila kita pandang lama-lama wajahnya, dia masih cantik.
Dua : Perempuan cantik yang bila kita pandang lama-lama wajahnya, wajahnya jadi 'distorted', dan kita akan mula terjumpa cela yang memberitahu diri bahawa 'alaaa, perempuan ni bukannya cantik sangat pun..'"

Semua yang mendengar, terlopong.

Namun, aku sedikit sebanyak memahami apa yang si Alberto cuba sampaikan.



Kita ambil contoh gambar di atas.

Secara peribadi,
sekali pandang, dia aku kategorikan cantik.
Sudah tentulah, dia model kot.

Tapi, bila aku tatap lama-lama muka dia,
aku sudah mula notis celaan.
Nampak dagu dia agak besar, dan dia cover dengan rambut yang mengurai.
Anak rambut dia berselerak, membuatkan dia kelihatan agak tidak terurus.

Lama-lama aku pandang,
aku merasakan dia ni bukanlah cantik sangat,
tapi still dalam kategori cantik, kan?

Inilah yang kawan aku maksudkan dengan
Perempuan cantik yang bila kita pandang lama-lama wajahnya, wajahnya jadi 'distorted', dan kita akan mula terjumpa cela yang memberitahu diri bahawa 'alaaa, perempuan ni bukannya cantik sangat pun..'




Lalu,
si Alberto sambung...

"Sebab tu, kita kena berhati-hati dengan ungkapan 'cinta pandang pertama', kerana dengan sekali pandang, kita hanya nampak perkara yang ingin ditonjolkan seperti kecantikan, kecerahan, keayuan."

"Jika kalian terasa sudah jatuh cinta pandang pertama,
always reconfirm it by looking back at the person.
If it still love at sight, reconfirm it again.
If it still, reconfirm it again..and again..and again...
Do it like 1000 times, then it is a genuine feeling.
Tak rugi pun kalau recomfirm your feeling berulang kali"

Kami yang mendengar pun jadi macam

"ooooooooH"

sambil mengangguk-angguk tanda faham.

Itulah nasihat dari lelaki yang beranak dua dan sedang menanti kelahiran anak ketiga.
Aku yang bujang dan tak berpunya ni (promote) hanya mampu mendengar.

.

Nov 27, 2011

Prinsip Yang Keras Aku Pegang



Seorang kawan berseloroh sebelum aku pergi Brunei hari tu.

"Bro, pergi Brunei cari laa sorang calon.."

Yeah right,
macam laa ada masa aku nak melayan jiwang kat sana.




6 hari aku di Brunei,
dan sudah tentu bukan seorang dua orang Brunei aku kenal di sana.
Ramai.
Dan mostly, adalah perempuan.

Dan dalam ramai-ramai tu,
aku rapat dengan seorang gadis Brunei ni.
Pada aku, dia memang ada kriteria yang aku idamkan.
Tak perlulah aku sebut di sini, kerana ianya terlalu spesifik.
Dengan kata lain, affection itu ada, tapi segalanya terlalu awal untuk dipanjangkan.

Atau mungkin dalam kes aku, TERLALU SINGKAT.

6 hari.
3 hari pertama, aku dan dia tak bertegur.
Paling hebat pun, kami bertentang mata, bertukar senyuman.
Biasa.

Namun,
hari ketiga kami bertukar menjadi rapat selepas aku dapati dia mempunyai hobi yang sama; melukis.
Memang dari dahulu lagi aku sentiasa mengkagumi perempuan dengan tangan seni.
Dan dia tak tahu aku juga mempunyai skill sedemikian (walaupun tak sehebat mana)

Dari sesi bertanyakan hobi,
kami bertukar jenaka,
belajar bahasa Brunei,
bertanya latar belakang,
sehinggalah ke tahap memberi masing-masing dengan nama samaran.

Ya, kami semakin rapat.



Kalian tahu sesuatu tentang prinsip?
Prinsip adalah sesuatu yang kita pegang dan tahan walaupun apa keadaannya sama ada menyebelahi kita atau sebaliknya.

Selepas sesi add-menge'add' dalam facebook,
aku ambil masa stalk profil dia beberapa minit.

Lalu aku tersenyum. Sinis.

"No wonder semuanya berjalan dengan lancar.."
Aku merungut dalam hati.
Selalunya, aku akan menghadapai masalah bila mula tersuka dengan seseorang.
Tapi kali ini, semuanya terlalu mudah dan cepat.
Rupa-rupanya...








"..She's in a relationship.."







Prinsip aku sejak dari tahun 2005,
aku tak akan terlibat secara emosi dengan sesiapa yang sedang berada dalam perhubungan.
Kekasih orang, tunang orang, isteri orang, emak orang.
Aku tidak akan terlibat dengan sesiapapun di antara mereka.

Di hadapan laptop, di atas katil di dalam bilik hotel
bertemankan pancaran wifi tak stabil
aku masih tersenyum.

Aku bangun,
tukar ke tuala dan mandi.

Walaupun memang terniat dalam diri
mahu dilanggar prinsip itu,
namun air panas dari air mandian pancuran
menyedarkan aku.
Aku syukur ianya hanya di tahap 'affection'..




"..let's just not put any hope....yet!"

Nov 18, 2011

Impresi Pertama di Tanah Asing


Sebelum pesawat AirBus 320 selamat 'touchdown' lantai Brunei,
aku sempat jenguk ke luar tingkap pesawat
dan membuat tinjauan pertama.

Tidak seperti jangkaan,
Brunei masih hijau.
Bukan maksud aku hijau 'mentah',
tapi hijau HIJAU.
Hijau yang dipenuhi dengan tumbuhan.

Aku jadi perak sekejap.



Pemerhatian pertama aku ialah bangunan.
Tiada bangunan tinggi, mencakar langit.
Sedangkan aku berada di Bandar Seri Begawan,
ibunegara bagi Brunei.

Kemudian aku difahamkan,
rupanya ada undang-undang pembangunan di mana
setiap bangunan tidak dibenarkan dibina melebihi tinggi menara masjid.
Dan dikatakan, bangunan paling tinggi hanyalah 8 tingkat.
Namun, fakta itu datang dari mulut orang Malaysia,
bukan orang Brunei sendiri, jadi kesahihannya masih boleh diragui.

Namun, aku mempercayainya.

Dan juga hampir semua papan tanda kedai, bangunan dan pejabat di Brunei mempunyai tulisan jawi selain nama dalam tulisan rumi.
Bagi yang merangkak membaca jawi macam aku,
mim, ya, kaf, dal, wau, nun, lam, dal, sin
berbunyi McDonald's



Yang menjadi kekaguman aku ialah
semua pemandu di Brunei seperti sangat mengutamakan pejalan kaki.
Jika kita di Malaysia,
kita hanya melintas jalan bila tiada kereta.
Namun di Brunei,
mereka hanya memandu bila tiada yang mahu melintas jalan,
walaupun hanya seorang, mereka tetap akan berhenti sampai si pelintas selamat sampai ke seberang.

Itu sedikit sebanyak impresi pertama aku tentang Brunei.
Namun persinggahan aju baru masuk hari kedua,
ada empat hari lagi, banyak lagi kena observe.


postquam-scriptum:
Ada banyak yang aku nak tulis pasal Brunei,
aku mampu menulis beribu perkataan, tapi aku tiada gambar yang banyak, jadi kalian pasti akan kebosanan membaca.
Tunggu next entri aku, insyaAllah, aku akan sertakan dengan pelbagai gambar.
Al-maklum, travel sorang-sorang, maka takde sape laa nak tolong ambilkan gambar bila memerlukan.

Nov 16, 2011

Setiap Perkara Bermula Dengan Kali Pertama


Pada masa aku menggunakan jari jemari aku menekan papan kekunci laptop ni, aku sedang merempat tepi kaki lima dekat LCCT.

Dan sudah tentu aku akan 'schedule'kan entri ni ke jam 0900 seperti biasa.



Ya, aku akan naik flight, ke luar negara.
Tak jauh pun, Brunei je.
Atas alasan apa? Aku tak ada kuasa nak beritahu.
"I have to kill you after I told you."
Something like that laa, tapi takde laa confidential tahap mission impossible punya.

Actually,
this is my first time ke luar negara.
Almaklumlah, keluarga aku bukan berada sangat.
Sekadar sederhana sahaja.
Jadi, ini memang peluang fresh aku untuk timba pengalaman baru.
(Kan aku dah kata, aku dah masuk gear turbo dah dalam menyelesaikan azam tahun 2011 aku)

Kenapa aku kata aku tengah merempat?
Flight aku pagi, dalam masa subuh,
The only possible transportation for me available at the midnight, jadi terpaksa laa merempatkan diri di kaki lima beberapa jam.

Setiap yang kali pertama, mesti gementar lain macam.
Tambahan, aku kena bergerak sendirian.
Dan laa first time, sengsorang plak tu.
Dibuatnya kena tipu, memang apa pun aku tak tahu.

Tapi, at least aku dah study sikit.
Aku dah ada 'survivor kit' dah dalam otak aku.
Jadi, insyaAllah aku selamat.

Kalian sila doakan aku.

Actually aku cilok wifi dari lounge premium.
Baik aku keluar dulu sebelum diorang perasan.
Nanti apa-apa hal, kalau tempat aku kat Brunei nanti ada sumber internet, aku update lagi.

And don't worry laa sayang...
This blog is far from being a travel blog.
Aku tak sekaya tu nak travel selalu...
Cuma pengalaman travel ke luar sorang2 memang tak boleh dibiarkan basi dalam diri sendiri.



Postquam-scriptum:
Actually, i wonder....
Masih adakah kawan-kawan yang membaca blog aku ni?
Ke tahap aku meraban syok sendiri sorang2?
Tu laa, malas lagi update, semua kawan dah lari..
Sob..sob.. (T_T)


.

Nov 14, 2011

Ajaran #15 - Selepas 20 Tahun, Kita Akan Lebih Menyesali Perkara Yang Kita Tak Buat Dari Perkara Yang Kita Pernah Buat.





Sedang seorang lelaki tua sibuk slide skrin tablet PC di tangannya untuk membaca berita dari laman sesawang, datang seorang kanak-kanak baya 5-6 tahun meluru ke ribanya.

"Atuk, atuk!"
Pekat pelat si kecil masih jelas. Namun itu yang dikatakan sesetengah kita 'tomey'.

"Kenapa cucu atuk ni? What's up pal?"
Atuk pun meletakkan tablet PC ke tepi, mengabaikan apa sahaja berita yang dicanang media, dan merangkul kedua belah ketiak cucunya, angkat, dan meletakkan cucunya selesa di atas riba.

"Semalam cikgu kat tadika bagi assignment."

"Pergh!!"
Bentak hati kecil Si Atuk.
"Budak-budak zaman sekarang ni, kecik-kecik dah guna perkataan 'assignment'. Aku dulu masuk U baru faham assignment tu hape."

"Apa assignmentnye Cu oi?"

"Gini.. Cikgu cakap suruh ceritakan pengalaman berharga zaman muda ahli keluarga. Ada kawan cakap datuk dia dulu ahli politik. Ada nenek sorang ni pula, dulu pernah jadi artis terkenal siap kawen dengan lelaki ada Lamborghini lagi."

Kerut kedut di dahi si Atuk dah bertambah. Kepelikan.

"Atuk pulak? Muda-muda dulu apa perkara membanggakan pernah Atuk buat?"

.....

....

...

..

Lama si Atuk merenung muka berharap cucunya untuk mendengar pengalaman muda dia. Itu bukan masalah.

Masalahnya,
perkara paling membanggakan si Atuk pernah buat semasa zaman muda adalah menjadi Anonymous Blogger dengan setiap post blog mendapat 8-12 komen sahaja.

Sudah pasti, itu bukanlah sesuatu yang besar dan boleh dibanggakan.

Tapi, apa patut si Atuk beritahu cucunya?

Si Atuk sudah berpeluh, sementara cucunya masih menatap wajah si Atuk dengan penuh sinar harapan di matanya.





-------------------


Aku terjaga.
Deng!!

Rupanya mimpi.
Tu laa, sapa suruh tidur lepas Asar nak ke Maghrib?
Kan dah mimpi merapu.



Tapi,
aku ada satu prinsip tentang mimpi.

Jika kita mimpi,
dan bila terbangun kita masih lagi ingat mimpi itu dengan jelas,
maka mimpi itu adalah satu petunjuk kepada kita tentang sesuatu.
Mimpi itu ada maksud tersirat yang perlu kita ungkai.
Adalah menjadi tanggungjawab kita merungkai maksud sebenar mimpi tersebut.

Dan untuk mimpi di atas,
ianya mudah.

"You need to get off the computer, get out and enjoy life!"



postquam-scriptum:
Dan dengan itu, aku bersungguh-sungguh mahu menghabiskan azam tahun 2011 aku.




.

Nov 10, 2011

AkuBenci: Kenapa Ambil Tarikh Yang Sama?











Wahai kawan-kawanku,
aku amat berbesar hati kerana dijemput ke majlis perkahwinan kalian walaupun dek kerana kemajuan teknologi, kalian hanya menjemput dengan menggunakan 'facebook invites' dan tiada lagi kad kahwin dengan bau bedak yang wangi beralamatkan rumah aku.

Terima kasih aku ucapkan.

Tapi kenapalah tarikh majlis kalian kebanyakkannya serentak dalam satu hari yang sama?
Aku pun nak berkongsi saat bahagia kalian disebabkan nampak gayanya aku lambat lagi nak buat majlis sendiri.
Tapi kalau dah kes satu hari ada 4-5 majlis, macam mana aku nak buat keputusan?

Dah laa semua kawan-kawan rapat pulak tu..

Kesian aku..Aku benci...!!!

Nov 6, 2011

Salam AidilAdha 1432h




Sorong papan tarik papan,
Buah keranji dalam perahu;
Salam Aidiladha aku ucapkan,
Makan rendang jangan lupa kat aku.

Makan ulam berlauk pari,
Duduk si dara bersopan santun;
Kalau kalian bijak bestari,
Jom komen dalam bentuk pantun.

Ada beran?

Nov 4, 2011

Ajaran #14 - Ujian Diturunkan Tuhan Bukan Untuk Kita Jadi Makin Bodoh.












Seorang makcik pernah berkata dalam pertemuan kami baru-baru ini,
"Ujian diturunkan Tuhan bukan untuk kita jadi makin bodoh."

Semua dari kita ada 'chapter' masing-masing dalam buku kehidupan.
Kadang kala ianya gembira,
kadang kala ianya sedih,
namun ianya bukan alasan untuk berhenti mencuba.

Oct 31, 2011

Kebebasan Memilih dan Cara Hidup



Lately I was wondering myself,
"Adakah usia aku cukup untuk aku lihat dan nilai kemanusiaan?"

Jawapan yang aku ada,
"Tidak pernah cukup.."
Tapi, aku tetap mencari jawapan walaupun aku tahu,
perjalanan yang aku mulakan ini memang tiada noktah.

Jumaat lalu,
aku terlibat dengan sebuah majlis korporat.
Apa yang menjadi isu pada aku bukan majlis itu,
tapi parti selepas majlis itu
yang digelar 'post-party'.

Selalu aku dengar hanya dari cerita orang.
Namun, first-hand experience begini sangat bermakna.

Tetamu yang berbilang bangsa, agama dan negara.
Makanan dihidang beraneka rupa.
Hiburan disertakan setiap masa.
Satu yang menarik minat aku.
Minuman.

Tiga minuman disediakan.
Air kosong, coke dan sejenis air kuning digelar arak.

Air kosong itu jernih.
Coke gelap kehitaman.
Arak itu kuning keemasan.
Ya, dari warna kita mampu membezakannya.
Namun, segala pilihan tetap di tangan kita.

Aku tak terkejut ada Islam kita bergelaskan air kuning.

Kerana aku tahu,
ini yang mereka gelar
'Freedom of Choice'
Salah pilihan anda, itu salah anda.


Keesokkannya,
di sebalik muka syiling yang satu lagi,
semasa dalam perjalanan aku (dan seorang kawan) pulang dari timur tanah air,
bersaksikan pekat gelap langit dek malam,
kami yang terlalu letih berkeputusan berehat sebentar di sebuah surau.

Setiba di depan surau tersebut kami tersedar,
rupanya ianya sebuah sekolah maahad tahfiz,
yang mengajar anak-anak muda menghafal Al-Quran.

Setelah mengetahui niat kami mahu tidur seketika dari keletihan perjalanan panjang,
seluruh ahli maahad itu dengan tangan terbuka menerima kedatangan kami.
Malah kami dilayan sebegitu baik,
diberi kami sleeping bag (dipanggil bedding), bantal,
dibukanya kipas untuk keselesaan,
ditegurnya mereka yang bising supaya tidak mengganggu tidur kami.

Jika bibir kita kerap memainkan irama lagu hit terkini,
bibir mereka sentiasa basah dengan ayat suci.
Jika gerak kita sentiasa kasar mengikut rasa dan hati,
gerak mereka sopan, lembut, tertib peribadi.

Dengan hanya duduk di sebelah mereka,
aku sudah terasa sejuk, nyaman dan tenang.

Kerana aku tahu,
ini yang mereka gelar
'Way of Life'


Dan bila dalam dua hari sahaja aku mampu merasai kedua-dua keadaan manusia,
aku sangat bersyukur.



Postquam-scriptum:
Haha, dah laa lama giler tak update, pastu bila update je buat pulak post yang banyak perkataan dari gambar. Nevermind if korang tak baca habis, korang yang rugi, aku cuma nak berkongsi pengalaman best yang aku alami. Oh, by the way, korang patut komen dan berkata "Welcome back cEro, we tot u dah tiada di alam ini.."