Mar 25, 2020

Silakan Minum Kopi yang Terhidang...


Salam.




Detektif hebat terkemuka pernah memberi pesanan kepada anak muridnya;
"Jika mahu kenal perangai sebenar seseorang, hidangkannya minuman kopi panas."

Saat bibir yang merupakan antara bahagian kulit paling sensitif bersentuhan dengan air kopi panas, perangai sebenar dia akan muncul.

Yang baran akan melenting.
Yang sabar akan bertenang.
Yang merancang akan menjangka.
Yang kabut akan terkejut.
Yang benci akan memaki.
Yang suka akan ketawa.
Yang baik akan mengerti.
Yang jahat akan mencerca.

Tapi waktunya hanya seketika.
Kerana lumrah manusia adalah bertopeng.
Waktu pendek ketika bibir bersentuhan air kopi panas, topeng mereka tercabut dan sejurus mereka sedar wajah mereka terbuka, maka akan segera mereka menutup semula dengan topeng lain pula.

Saat kecil krisis seperti itu mampu menonjolkan perasaan seorang manusia,
apatah lagi saat manusia diserang wabak maut seantero dunia.

Pada waktu krisis inilah kita boleh nampak perangai sebenar manusia.

Tidak perlu aku sebut siapa, kerana sewaktu kalian baca ayat di atas, pasti ada wajah yang tertera dalam benak fikiran kalian, kan? Siapa dia?

Harap dia bukan kita.

Ingat.
Pada waktu krisis seperti ini kita boleh nampak perangai sebenar manusia.
Seperti saat kopi panas menyentuh bibir kita,
dan juga seperti saat dunia diserang wabak durjana.

Jadi,
silakan minum kopi yang terhidang.
Aku di sini cuma mahu memandang.


Sekian.



  




.

2 comments:

"It's not what you've got, it's what you do with it." - cEro, 2026