Jan 22, 2020

Sebab Aku Mahu, Bukan Sebab Aku Perlu.


Salam.




Baru-baru ini aku bertanyakan kepada follower aku di Instagram (@cerolian) tentang satu perkara.

Komisyen.

Komisyen (dalam bidang seni) adalah istilah apabila kita melukis atas permintaan satu pihak dan pihak itu akan bayar atas harga yang dipersetujui kedua-dua pihak. Pendek kata, aku lukis untuk kau, dan kau bayar aku.

Bila aku tanya tentang hal komisyen di Instagram (sama ada perlu tak aku buka komisyen dan berapakah bayaran yang patut aku kenakan), rata-rata yang memberi pendapat mengatakan yang aku patut 'just go for it', dan soal bayaran 'lain cerita'.

Ia merupakan perkara tipikal di internet di mana apabila kita tanya pendapat, rata-rata majoriti akan beri pendapat yang positif. Patut ke tidak, jawabnya patut. Cantik ke tidak, jawabnya cantik. Menarik ke tidak, jawabnya menarik. Jadi jawapan kepada soalan aku di Instagram itu sedikit tidak membantu kerana secara asasnya aku tahu apa jawapan yang bakal aku dapat.

Aku boleh melukis. Jika dengan kemahiran melukis aku dapat menjana duit, kenapa aku tidak fikirkan tentang komisyen ini lebih awal, kan?

Aku bukan tidak tahu kewujudannya. Sudah banyak kawan-kawan melukis lain yang sudah lama buka untuk komisyen dan aku pasti sudah lama terfikir untuk melakukannya juga. Tapi kenapa baru sekarang aku menyuarakannya?

Pasti pernah berlaku sesuatu terhadap aku yang membuatkan aku tidak meneruskan niat untuk buka komisyen dari dulu lagi, kan?



Jadi untuk mengetahui jawapan kepada persoalan aku di atas, aku terpaksa duduk sejenak dan menyelami pengalaman lepas dan ini mengujakan aku. Tiada yang lebih mengujakan daripada pengembaraan mengenal diri sendiri.

Setelah beratus-ratus lipatan sulcus dan gyrus aku selak, akhirnya aku teringatkan satu pengalaman yang memungkinkan segala hal ini berlaku.



Satu ketika dahulu, dalam beberapa tahun lepas, ada salah seorang sama ada pembaca blog ini ataupun pengikut di mana-mana laman sosial @cerolian meminta aku untuk melukis diri dia. Katanya, hari itu hari jadi dia jadi kalau dapat hasil lukisan aku seolah-olah satu hadiah terindah yang tidak dapat diungkapkan (katanya!)

Mungkin pada waktu itu aku naif dan tidak mampu nak bercakap 'tidak', atau mungkin ketika itu testosteron memuncak sebab yang meminta itu seorang perempuan, atau mungkin aku sendiri jenis yang seperti jin dalam teko yang suka menunaikan hajat, atau kombinasi kepada ketiga-tiga asbab itu, aku turuti permintaan dia.

Beberapa ketika kemudian, lukisan khas untuk dia siap. Percuma. Diberikan sebagai hadiah.

Ya, aku dapat ucapan terima kasih daripada dia, tapi konteks terima kasih itu sedikit melukakan.

"Walaupun lukisan ini tak nampak sama pun dengan saya, tapi terima kasih."



Bayangkan,
kita ketepikan segala hal lain dan luangkan masa untuk melukis sesuatu atas permintaan dengan niat baik untuk memenuhi kehendak orang yang langsung tidak kita kenali, malah semuanya dilakukan secara percuma, dan apa yang kita dapat adalah...

...itu!

On my defense, sudah tentu lukisan itu tidak sama dengan yang sebenar. Itu lukisan. Hasil interpretasi aku terhadap subjek. Sudah tentu aku akan masukkan elemen diri sendiri ke dalam lukisan itu. Kalau nak ia dilukis 100% sama dengan subjek, bukankah lebih senang untuk tangkap gambar dan jadikan foto dan selesai? 100% sama.

Tapi lama muhasabah diri, aku sedar. Kemahiran aku masih belum ke tahap mampu zahirkan realiti ke atas lukisan.

I'm just not good enough.

Bukan aku tidak boleh dikritik. Tapi apa yang orang selalu lupa, walaupun aku tidak tonjolkan muka dan fizikal di bawah nama cEro, tapi aku masih lagi seorang manusia. Dibelah tapak tangan dengan pisau akan keluar darah juga.

Aku tidak boleh tipu yang aku memang sangat terluka dengan 'terima kasih' itu.



Sebagai mekanisme untuk mengelakkan diri daripada terluka seperti itu lagi, aku buat keputusan untuk tidak akan melukis atas permintaan sesiapa lagi, tidak kira berbayar atau percuma. Aku akan melukis jika dan hanya jika aku mahu, bukan disuruh.

Sebab itu buka komisyen bukanlah pilihan aku dahulu, dan mungkin juga bukan pilihan aku sekarang. Sebab aku tidak mahu mengecewakan, dan dikecewakan.

Aku mahu melukis sebab aku mahu melukis, bukan sebab aku perlu melukis.



Persoalan yang menarik untuk aku renungkan sekarang ialah,
adakah selepas beberapa tahun berlalu, kemahiran aku semakin meningkat dan jika aku buka komisyen, hasilnya akan menjadi lebih baik daripada 'tak nampak sama pun'?



Sekian.



  




.

3 comments:

  1. Aku cukup suka gambar yg ko lukiskan utk aku. Cantik! Sampai sekarang aku pakai buat DP kat telegram. haha tq.

    - chirpy_chummy -

    ReplyDelete
  2. OMG.... hey... listen.. bukalah komisyen.. pamerkan segala art yang pernah siapkan.

    Jadikan apa yang orang tu cakap sebagai satu motivasi, dan berfikiran positif.

    Setiap orang ada teknik lukisan masing-masing. Not all design gonna be the same as the original.

    pst: kalau sentiasa melukis, tak putus asa untuk berlatih.. insyaAllah kemahiran meningkat.

    Go for commercial... seriously...

    ReplyDelete
  3. Numpang promo ya gan
    kami dari agen judi terpercaya, 100% tanpa robot, dengan bonus rollingan 0.3% dan refferal 10% segera di coba keberuntungan agan bersama dengan kami
    ditunggu ya di dewapk^^^ ;) ;) :*

    ReplyDelete

"It's not what you've got, it's what you do with it." - cEro, 2026