Jan 8, 2020

2019 dan Titik Paling Bawah.


Salam.




2019 bermula dengan aman. Aku sudah tanamkan beberapa azam dan misi untuk sepanjang tahun 2019 ini dan dengan perancangan yang aku rangka, azam dan misi itu bakal tercapai lebih 3/4 daripada keseluruhan apabila menjelang pertengahan tahun.

Namun beberapa kejadian berlaku di suku pertama tahun 2019. Kebanyakannya tidak menjejaskan perjalanan perancangan aku, sehinggalah tarikh 23 Mac 2019 tiba.

Aku ingat lagi, pada tarikh itu, semasa aku sedang menunggang motosikal dan cuaca sedikit hujan renyai, tiba-tiba pandangan mata aku jadi kabur. Aku perlahankan tunggangan dan akhirnya buat keputusan untuk singgah di sebuah masjid untuk berhenti dan mengenal pasti apa yang terjadi.

Pada mulanya aku sangka ada bendasing masuk ke dalam mata, namun selepas bersungguh aku gosok dan cuci mata dengan air, pandangan mata aku masih kabur. Aku buat keputusan untuk balik ke rumah dan biar tidur semalaman untuk lihat apa yang berlaku kemudian. Biasanya selepas tidur, badan akan 'reset' semula dan segalanya akan kembali normal.

Namun itu tidak berlaku.

Esoknya aku bangun tidur dan dapati, walaupun mata aku sudah tidak kabur, tetapi ada sesuatu lain pula berlaku. Pandangan mata aku menghasilkan dua imej. Aku nampak segalanya dalam gandaan dua.

Fenomena ini hanya terhasil dari sebelah mata sahaja, sedangkan jika aku menutup mata itu dan melihat dengan hanya sebelah mata satu lagi, semuanya normal sahaja. Aku syak sesuatu berlaku pada mata aku yang satu itu.

Kemudian, aku ke Hospital Universiti, tempat di mana mata aku pernah dirawat satu ketika dahulu. Di sana, aku disahkan mengalami satu keadaan yang dipanggil subluxated intraocular lens, atau dalam bahasa yang mudah difahami, kanta mata aku jatuh.

Pada tahun 2012 yang lepas, aku terpaksa menjalani satu pembedahan mata untuk membuang kanta mata original dan menggantikan dengan kanta mata buatan. Kini tahun 2019, kanta mata buatan tadi terjatuh lari dari kedudukan asalnya menyebabkan pandangan mata aku menghasil dua imej hasil biasan cahaya yang tidak sekata.

Pembedahan membetulkan semula kanta mata ini hanya boleh dijalankan selepas sebulan dan kos pembedahannya ialah RM 6000.

Jika aku lakukan pembedahan ini di hospital kerajaan, kosnya mungkin jauh lebih murah TAPI aku perlu tunggu lama lagi, mungkin bukan dalam tahun 2019 ini untuk menjalani pembedahan tersebut memandangkan keadaan aku dianggap sebagai 'bukan kritikal'. Jadi, aku buat keputusan untuk terus berurusan dengan hospital universiti ini memandangkan aku sudah ada rekod perubatan lengkap di sini. Kalau aku ke hospital kerajaan, aku perlu lalui semua dari awal segala prosedur yang sudah aku lalui di hospital universiti ini.

Tapi mana aku nak cari RM 6000 dalam masa suntuk ini?

Kebetulan sebelum semua ini berlaku, aku sudah habiskan wang simpanan aku (yang tidak seberapa itu) ke atas satu kecemasan melibatkan keluarga. Dalam masa sama juga, adik aku sedang bersiap sedia untuk dikahwinkan beberapa bulan lagi jadi aku langsung tidak minta bantuan keluarga.

Masa terlalu suntuk untuk satu jumlah wang yang besar.

Melambatkan pembedahan juga bukan satu pilihan. Sepanjang masa menunggu ini, pandangan mata aku menghasilkan dua imej sepanjang masa, menjadikan aku berada di dalam sakit kepala yang berpanjangan. Bayangkan segala yang kita nampak depan mata ada dua. Malah kedua-dua imej itu bukan bayangan. Kedua-duanya adalah realiti. Otak aku terpaksa memproses input dari mata dua kali ganda daripada biasa, dan disebabkan itu aku terpaksa menanggung sakit kepala yang berpanjangan. Waktu paling aman pada aku adalah tidur tetapi itu hanya dapat dicapai jika aku berjaya tidur dengan nyenyak. Sakit kepada membuatkan aku selalu tidak dapat tidur dengan nyenyak.

Bukan sahaja tekanan dari segi fizikal, malah mental juga.

Sudahlah mata aku nampak dua imej, dalam dua imej itu aku ada nampak imej lain pula yang tidak wujud. I'm seeing things. Semuanya hasil daripada tekanan mental yang berpanjangan.

Sebab itu aku mahu buat pembedahan secepat mungkin.

Setelah korek simpanan yang masih berbaki, cari akaun bank lain yang aku fikir masih ada simpanan, keluarkan simpanan Tabung Haji yang tidak seberapa, tetap tidak mencukupi.

Namun jumlah yang berjaya aku kumpul masih belum mencukupi. Aku hilang ikhtiar. Ada satu masa aku nekad untuk terus hidup dengan penglihatan dua imej ini. Aku mahu terbiasa dengan dua imej, dengan sakit kepala berpanjangan, dengan bayangan yang ada tapi tidak wujud. Tapi aku fikir balik, sampai bila?

Disebabkan keadaan aku ini, produktiviti aku menurun. Fizikal aku menurun. Mental aku menurun.

Aku berada di paling bawah pernah aku berada.

Berkali-kali aku menangis di dalam hujan air pancuran bilik mandi. Aku buntu.

Akhirnya aku buat keputusan untuk jual laptop aku yang paling aku sayang. Laptop yang banyak luang masa bersama aku, menghasilkan lukisan di blog ini, Instagram dan Facebook. Laptop yang sudah aku namakan kerana aku tahu aku amat sayangkannya. Aku terpaksa melepaskannya.

Selepas aku jual laptop, walaupun membantu, tetapi masih tidak mencukupi.

Aku ke masjid berhampiran untuk bertanyakan tentang bantuan zakat. Namun segala prosedur yang kena aku lalui amat menyusahkan, juga jika aku lalui semuanya masih tiada jaminan bakal diberikan bantuan. Malah sakit aku dilihat sebagai 'tidak kritikal' dan aku dianggap masih boleh berfungsi dalam masyarakat. Tiada bantuan kewangan yang aku dapat dari masjid. Aku kecewa.

Jujur aku cakap, terdetik beberapa kali dalam kepada aku untuk akhiri segala derita tekanan ini. Cuma aku belum cukup nekad. Hampir, tapi belum cukup nekad.

Aku kemudian dengan penuh rasa tebal muka mula meminta bantuan sesiapa yang aku dapat terfikir. Aku gunakan medium Instagram untuk meraih bantuan. Pada aku, kalau ada beberapa ratus orang masing-masing dermakan RM 10 kepada aku, aku sudah mampu teruskan dengan pembedahan. Namun walaupun follower aku di Instagram menjangkau ribuan, namun hendak mendapatkan ratusan orang menderma RM 10 adalah amat susah.

Walaupun hanya beberapa sahaja yang menderma, namun aku tahu mereka ikhlas menderma. Aku malu. Tidak sangka aku sudah teruk ke tahap meminta pada orang lain yang tidak aku kenali. Walaupun penuh rasa malu dan segan, namun aku terima segala yang didermakan dengan tangan terbuka.

Di dinding bilik aku sekarang terdapat senarai panjang nama mereka-mereka yang menderma kepada aku. Sengaja aku biarkan ia di situ supaya aku dapat ingat siapa yang membantu aku ketika aku susah. Mereka-mereka inilah yang aku berhutang. Hutang duit, juga hutang budi.

Akhirnya, pada 28 Mei, aku berjaya jalani pembedahan mengeluarkan kanta mata yang terjatuh itu dan menggantikannya dengan yang baru dan diikat dengan lebih kuat dan teguh. Peristiwa itu berlaku di hujung bulan Ramadan, dan hanya beberapa hari sebelum Hari Raya Aidilfitri.

Keluarga hanya diberitahu tentang pembedahan aku ini pada dua hari sebelum tarikh itu.

Aku kemudian memerlukan 6 bulan untuk proses penyembuhan. 28 November lalu, aku akhirnya dibenarkan menjalankan aktiviti-aktiviti normal seperti sebelum pembedahan. Kini aku tidak lagi melihat pandangan dengan dua imej.

Itulah tumpuan utama hidup aku sepanjang 2019 lalu. Boleh dikatakan itulah titik hitam paling bawah dalam hidup aku sepanjang tahun lepas, malah boleh dikatakan paling bawah untuk sepanjang dekad lepas.

Kini 2020 sudah tiba.

Aku mahu mula semula segala perancangan yang aku rangka pada awal 2019 lalu yang terbantut dek peristiwa ini. Aku harap tahun ini lebih lancar berbanding tahun sebelumnya.

Doakan aku.

Terima kasih jika kalian adalah antara yang membantu. Itu jasa yang aku tidak akan lupa sampai bila-bila.


Sekian.



  




.

3 comments:

  1. semoga cepat sembuh bro..
    wak 2009 dulu pon rabun sblh mata tp lepas gi lasik (rm3k) dh okay..

    ps. minta duit kt mesjid mcm minang putri gunung ledang tiara jacqulina je khanns.. kalo memey x bagi tolong dibuat mcm2 syarat hawauu

    ReplyDelete
  2. ouhh it sounds so hard to endure. Be strong cEro. May this year promises you something better than the past years.

    ReplyDelete
  3. Be strong.Allah bersama orang yang sabar

    ReplyDelete

"It's not what you've got, it's what you do with it." - cEro, 2026