Dec 25, 2019

Umur Itu Unit Masa.


Salam.





Suatu waktu dahulu, sesi persekolahan pernah bermula bulan Disember, bukan Januari seperti sekarang. Saya pernah lalui zaman itu (seingat memori saya lah. Kalau salah, salahlah memori saya).

Semasa di awal darjah satu, sewaktu sepatutnya murid sebaya berumur 7 tahun, saya belum pun masuk 6 tahun. Sebab saya lahir hujung Disember. Tapi pada waktu itu siapa peduli dengan umur. Tiada sesiapapun di dalam kelas 1 Putih itu yang kisah tentang umur.

Sewaktu di sekolah menengah, salah seorang rakan satu tingkatan adalah pelajar PTS. Bagi yang tidak tahu PTS, Penilaian Tahap Satu ini adalah satu peperiksaan yang diduduki semasa darjah tiga di mana pelajar yang cemerlang boleh lompat terus ke darjah lima tanpa menempuh darjah empat.

Rakan satu tingkatan yang merupakan pelajar PTS ini, walaupun berlainan tahun kelahiran namun beza hari kelahiran kami hanya 20 hari. Saya lagi jauh beza hari dengan majoriti rakan lahir sama tahun berbanding dengan dia yang berbeza tahun, kerana saya lahir di hujung bulan Disember.

Semasa di universiti, seorang pelajar perempuan satu kelas desak saya untuk panggil dia 'kakak' hanya kerana dia lahir terlebih dahulu daripada saya sedangkan secara statusnya kami sebaya, satu kelas, dan sama semester.

Poin saya untuk cerita ringkas ini adalah, umur pada zahirnya cuma angka. Bergantung kepada individu itu untuk menilai keseriusan erti angka itu sendiri.

Masa itu relatif. Umur itu unit masa, maka umur juga relatif. Fikirkan.


Salam minggu terakhir dekad ini. Jumpa lagi di dekad yang mendatang, InsyaAllah.





Sekian.




  




.

Dec 18, 2019

Abah, Pembonceng, dan Perjalanan Dua Minit.


Salam.





Sesiapa yang sudah lama baca blog aku ini tahu bahawa mod pengangkutan utama aku untuk bergerak adalah motosikal. Sudah masuk dua angka pengalaman aku menunggang motosikal, terutamanya motosikal aku yang aku gelar sebagai 'Si Kuda Putih'.

Aku fikir, tiada lagi pengalaman baru yang dapat aku alami apabila sudah menunggang Si Kuda Putih untuk sekian lama. Maklumlah, segala perkara telah aku alami. Jatuh, bangun, hujan, panas, banjir, kemarau, hampir segala perkara pernah aku alami dengan kenderaan roda dua aku ini.

Tapi aku silap.

Baru-baru ini, aku alami pengalaman baru dengan motosikal aku.

Begini ceritanya...


Pada hujung minggu lepas, di rumah ibu bapa aku,
Abah meminta aku untuk menghantarnya ke satu tempat. Selaku manusia yang mahu jadi seorang anak yang baik, aku tidak menolak permintaan tersebut. Lagipun bukannya susah mana, hantarkan bapa sendiri kot. Kalau nak hantar anak dara orang lainlah cerita.

Pada mulanya aku fikir aku akan menunggang motosikal dan Abah membonceng, tapi hakikatnya Abah aku seorang pesara polis. Bagi yang tidak tahu, para pesara badan beruniform seperti askar dan polis ada perangai mereka tersendiri. Bagi mudah untuk diterangkan, mereka ada 'pride' mereka tersendiri, dan 'pride' Abah aku terletak pada perangai dia suka buat sesuatu perkara tanpa bergantung kepada orang lain.

Senang cerita, 'pride' Abah aku diterjemah kepada dia tidak mahu menjadi pembonceng. Dia mahu tunggang sendiri motosikal (milik aku) dan aku menjadi pembonceng.



Maka,
dapatlah aku pengalaman baru yang selama ini tidak pernah langsung terlintas dalam kepala aku; menjadi pembonceng kepada motosikal sendiri.

Bukannya aku tidak pernah menjadi pembonceng kepada motosikal sendiri. Pernah. Tapi ia berlaku lebih 10 tahun lalu di mana aku mengajar seseorang untuk belajar menunggang motosikal. 'Pelajar' aku itu menunggang, dan aku pula membonceng di belakang untuk memastikan dia tahu apa yang perlu dilakukan.

Tapi itu lebih 10 tahun lalu. Sungguh aku tidak sangka, selepas lebih 10 tahun, aku kembali menjadi pembonceng kepada Si Kuda Putih aku ini.

Ia satu perasaan yang lain (menjadi pembonceng).

Julat pandangan aku tidak seluas menjadi penunggang. Hanya kiri atau kanan, kerana pandangan hadapan adalah kepala berhelmet si penunggang (Abah aku). Aku juga seperti tiada kawalan terhadap motosikal aku sendiri, tidak seperti ketika menunggang. Jika aku mahu lihat ke belakang, aku perlu menoleh, tidak seperti ketika menjadi penunggang di mana cermin sisi adalah perkara yang sering aku jeling tanpa menoleh. Momentum berada di bahagian belakang juga berlainan. Bonggol yang rendah mampu membuatkan pembonceng rasa melambung. Angin tidak terus menerpa ke muka aku ketika menjadi pembonceng. Tangan terasa janggal tidak tahu mahu pegang mana. Kaki terpaksa dilipat tinggi untuk tapaknya terletak ke atas peletak kaki.

Semuanya terasa tidak biasa. Ini memang betul pengalaman baru.

Tapi apa yang lebih memberi aku impak adalah bagaimana pembonceng perlu memberi 100% kepercayaan kepada si penunggang. Kenderaan laju yang hanya dua titik di roda depan belakang sahaja mencecah ke tanah dan hanya dikawal oleh seorang, pembonceng di belakang memang perlu sepenuhnya percaya dengan kewarasan si penunggang di hadapan.

Selaku penunggang yang sudah lama menunggang, memberi kepercayaan yang melibatkan nyawa kepada orang lain adalah sesuatu yang...bagaimana aku mahu cakap...hm...sesuatu yang baru!

Nasib aku baik kerana penunggang ini adalah Abah aku.



Tapi dapat menjadi pembonceng kepada Abah adalah sesuatu yang sangat nostalgik.

Seingat memori aku, kali terakhir aku betul-betul menjadi pembonceng kepada motosikal yang ditunggang Abah adalah semasa aku kecil dahulu. Dapat merasa kembali pengalaman itu ketika sudah dewasa purba seperti sekarang, pada aku, sangat-sangat menggamit memori...


...walaupun perjalanannya hanya untuk dua minit sahaja.



Sekian.




  




.

Dec 11, 2019

Serigala Jahat, Agatha Christie, dan XPDC.


Salam.





Semalam aku berkesempatan untuk pergi ke jualan buku besar-besaran Big Bad Wolf (BBW) di MIECC, Seri Kembangan.

Aku tahu kalau tidak kena pada tempatnya, aku bakal berbelanja sakan untuk jualan ini. Prinsip aku mudah, daripada beli buku dan tidak dibaca, baik tidak beli buku dan biarkan buku itu dibeli oleh mereka yang akan membacanya.

Maka aku buat seberapa persediaan awal untuk menidakkan kemungkinan untuk berbelanja sakan, termasuklah:

1. Mensasarkan apa yang mahu dibeli (targeted buying)
2. Membawa jumlah tunai yang terhad
3. Pergi dengan pengangkutan awam
4. Pergi seorang diri.

Aku sasarkan untuk membeli buku hasil tulisan Agatha Christie kerana buku pertama Agatha Christie yang aku ada juga aku beli dari jualan BBW yang lepas. Dengan kata lain, selagi aku tidak dapat buku Agatha Christie, aku tidak akan pertimbang pun untuk beli apa-apa buku lain tidak kira betapa berminatnya aku terhadap buku itu.

Dengan membawa jumlah tunai yang terhad membuatkan aku mampu untuk merancang apa yang patut aku beli dan apa yang sekadar memuaskan nafsu ingin memiliki.

Pergi ke lokasi jualan dengan pengangkutan awam membuatkan aku mampu untuk merancang masa dan tidak terlalu lama habiskannya meninjau buku yang langsung tidak akan aku beli. Untuk makluman, tidak seperti dulu, MIECC dan lokasi aku sangat jauh dan memerlukan aku untuk bertukar mod pengangkutan awam sebanyak 3 kali, belum dikira berjalan kaki.

Tahu kan 'peer pressure' bila ke tempat sebegini dengan kawan dan kita rasa kita 'perlu' beli sesuatu hanya untuk dipandang oleh kawan sedangkan kita tak perlukan pun sesuatu itu? Aku berjaya singkirkan faktor itu dengan pergi ke sini seorang diri.

Okey.
Mari ke jalan cerita utama.



Sudut pertama yang ditemu pengunjung sejurus sahaja memasuki ruangan jualan ialah sudut buku terbitan tempatan. Banyak buku yang aku berminat untuk dapatkan tetapi aku terpaksa tangguh dulu kerana aku belum jumpa sasaran aku untuk kunjungan ini.

Tapi aku perasan satu. BBW dahulu dikenali sebagai jualan buku pada harga yang (sangat) murah, akan tetapi kali ini tidak begitu ketara penurunan harganya, terutamanya untuk buku terbitan tempatan. Buku yang (contohnya) di kedai buku biasa berharga RM25, di BBW ini dijual pada harga RM23. Hanya kurang RM 2.

Pada aku, baik aku beli di kedai buku biasa kerana kadang-kadang kedai tersebut memberi potongan diskaun sehingga 25%.

Satu untuk makluman, aku tidak akan beli buku sebab 'sokong kawan'. Aku beli buku sebab aku nak baca apa yang penulis itu tulis tidak kira penulis itu kawan aku atau tidak.

Sebab itu untuk BBW ini, aku akan fokus untuk beli buku luar, bukan buku tempatan hasil tulisan kawan-kawan. Dan sudah tentu Agatha Christie BUKAN kawan aku.



Disebabkan Agatha Christie menulis buku bergenre jenayah dan penyiasatan, maka bahagian yang paling logik untuk bukunya dijual adalah di 'fiction: crime thriller' dan di sudut itulah aku tuju kemudian.

Jumpa boxset koleksi buku Sir Arthur Conan Doyle. Tempting...tapi aku perlu fokus kepada sasaran. Jumpa beberapa buku Sidney Sheldon. Wow...tapi aku tetap kena fokus kepada sasaran. Jumpa sekumpulan koleksi buku David Baldacci. Aduhhh...fokus aku kena lebih kuat, kalau tidak...

Aku kemudian melompat ke sudut 'best seller' yang berada bersebelahan dengan 'crime thriller'. Selepas berpusing tangan kosong, berlaga siku dan punggung dengan troli pengunjung lain yang penuh, akhirnya aku jumpa boxset Agatha Christie dengan kumpulan tiga buku. Yes!

Tapi aku sasar nak beli buku secara individual, satu-satu, bukannya boxset. Aku takut aku tak terbaca. Lagipun salah satu daripada tiga buku dalam boxset itu aku pernah baca dulu walaupun bukan aku punya. Jadi aku buat keputusan untuk berjalan dulu dan mencari kalau-kalau ada buku Agatha Christie yang satu-satu. (kata kunci: kalau-kalau)

Jenuh aku menjelajah ke bahagian 'literature', 'non-fiction', termasuklah bahagian 'children' dan 'games & puzzles', tiada ketemu. Aku hanya jumpa satu buku playbook Agatha Christie untuk skrip pementasan. Walaupun Agatha Christie, tapi itu bukan yang aku cari. Maka aku kembali ke tempat boxset tadi.

Sesampai sahaja ke sudut 'best seller' tempat adanya boxset tadi, tinggal dua sahaja. Dan semasa aku sampai, ada dua pengunjung lain sedang berada di situ dan membelek kedua-dua boxset itu. Pada ketika itu baru aku tersedar realitinya aku bukanlah satu-satunya peminat Agatha Christie, pasti ramai lagi pengunjung yang mencari buku dia juga.

Dan aku betul. Kedua pengunjung tadi masing-masing mengambil boxset tersebut dan meletakkannya ke dalam troli mereka.

Sudut 'best seller' kini kehabisan boxset Agatha Christie.

Dan sudah aku pusing hampir sepuluh kali mencari kalau-kalau ada terjumpa boxset tersebut di mana-mana. Tetapi tiada. Aku juga pusing ke seluruh sudut lain dengan harapan kalau-kalau ada yang tak jadi nak beli boxset tersebut dan malas untuk memulangkannya ke tempat sepatutnya dan hanya letak di mana sahaja mereka suka, tapi tetap tiada.

Kaki sudah penat. Perut sudah lapar. Masa banyak terbuang. Buku belum dapat.

Aku hanya 1mm jaraknya dengan berputus asa.



Tiba-tiba 'common sense' datang menyinggah ke diri.

"Apa kata aku pergi ke kaunter informasi, bertanyakan sama ada masih ada stok atau tidak, dan minta bantuan para pekerja yang ada untuk mencarinya mungkin dari simpanan stok?" kata suara kecil aku. Aku rasa itulah yang akan orang lain buat dahulu, tidak seperti aku yang pergi berpenat mencari seluruh kawasan baru dapat idea tersebut.

Maka ke kaunter informasi-lah aku. Pekerja yang menanti di sana ramah melayan.

Satu aku nak tanya, kenapa semua pekerja BBW ni semuanya cantik-cantik belaka? Diorang ada letak 'penampilan menarik' sebagai kriteria pemilihan pekerja ke?

Anyway... kita teruskan cerita.



Aku ke kaunter informasi bertanya. Mereka kata ada stok, siap beri nombor rujukan meja (sudut tempat buku diletakkan) lagi. Aku ke sudut tersebut, sudut 'best seller' tadi, bertanyakan kepada seorang pekerja yang cantik, dan dia tolong carikan. Tiada di atas meja pameran, kemudian dia mencari di bawah meja balik kain lapik tempat stok disimpan. Dan jumpa!

Taaadaaa!
Boxset Agatha Christie kini berada di tangan aku.
Semuanya hanya berlangsung selama kurang 5 minit. Tapi akibat kebongokan aku untuk tidak bertanya, aku buang masa hampir dua jam lebih mencari.




Betul kata XPDC,
"Malu bertanya kawan, sesat cari jalan pulang."

Aku selalu nak tahu, 'kawan' dalam bait lirik itu bermaksud 'bertanya kawan' atau 'bertanya, kawan (kawan merujuk kepada diri kita)'?

Tapi kalau kalian introvert macam aku, 'bertanya' bukanlah semudah menyebutnya. Kami akan berusaha selesaikan sendiri dulu. Kalau buntu, barulah libatkan orang lain. Itu pun kalau cukup berani nak libatkan orang lain.



Dan sebagai penutup pengembaraan BBW ini, aku balik, aku letak buku-buku hasil belian aku atas rak, dan mungkin menjadi edisi terbaru barangan pengumpul habuk sebelum aku mula bacanya beberapa bulan (mungkin tahun) kemudian.



Sekian.





  




.

Dec 4, 2019

Jam Terakhir Dekad Ini.


Salam.





Ingat lagi awal tahun hari itu, kita semua berazam?

Aku pun.

Awal tahun 2019 lalu aku ada satu perancangan untuk sesuatu.
Namun, bulan dua belas sudah tiba,
nampaknya satu apa pun tidak berjalan untuk perancangan tersebut.

Ini memaksa aku untuk memikirkan semula semuanya.

Ada perkara yang perlu diubah.
Aku. Aku yang perlu berubah.


Kalian pula bagaimana?
Di jam terakhir dekad ini, sudahkah azam kalian dipenuhi?



Sekian.



  




.

Nov 27, 2019

Jangan Risau Tentang Mereka. Mereka Okey.


Salam.


Suatu hari aku disapa oleh seorang kanak-kanak kecil. Dia berkata,

"Rambut abang macam rambut samurai."

- merujuk kepada rambut aku yang diikat sanggul. Rambut aku bukanlah panjang seperti rambut perempuan, akan tetapi masih cukup panjang untuk disisir sekali dan diikat membentuk sanggul kecil. Masyarakat kini menggelarnya 'man bun'.

Kata-kata budak kecil itu membuatkan aku terdiam seketika, bukan kerana disamakan dengan pahlawan gagah dari Jepun zaman dahulu kala.

Aku balas dengan pertanyaan;

"Mana adik tahu rambut ini macam rambut samurai? Adik pernah tengok samurai ke?"

Pada aku, sudah tentu dia pernah tengok samurai, mungkin dalam bentuk kartun di televisyen. Tapi setahu aku tiada kartun bertemakan samurai sedang ditayangkan di TV, atau mungkin ada tapi aku tidak peduli.

"Saya nampak (di) dalam buku. Ensiklopedia. Ada gambar samurai."



Biar aku jelaskan di sini betapa majestiknya jawapan itu:

1) Budak itu rasanya dalam lingkungan umur 9 tahun, paling tinggi pun 11 tahun, berbual dengan aku yang purba ini dengan sopannya.

2) Budak itu baca buku. Di zaman rakan seusia dia bermain basikal, dia baca buku.

3) Budak itu baca ensiklopedia. Di zaman rakan seusia dia hanya gemar baca komik, dia baca ensiklopedia.

4) Budak itu ingat apa yang dia baca. Bermakna dia baca ensiklopedia itu bukan kerana paksaan sesiapa.


Dari situ aku sedar sesuatu.

Generasi muda zaman sekarang bukannya teruk seperti apa yang kita bayangkan. Baby boomer kata millennials teruk. Millienials kata Gen Z teruk. Sebenarnya benda buruk yang kita nampak pada generasi muda itu adalah apa yang diberi perhatian, apa yang di-highlight-kan. Banyak lagi benda baik yang berlaku yang mungkin kita tidak tahu adalah kerana ia tidak disensasikan seperti mana benda buruk.

Seorang budak kecil dapat bercakap dengan orang dewasa dan memetik sesuatu daripada ensiklopedia untuk dijadikan bahan bualan, pada aku, sudah cukup mengagumkan.

Generasi muda sekarang tidaklah teruk mana. Masih ada berlian di kalangan batu batan.

Jangan risau tentang mereka. Mereka okey.



Sekian.



  




.

Nov 20, 2019

Tanya Diri Sendiri.


Salam.

Entah kenapa, pengguna media sosial sangat suka terlebih-lebih guna sesuatu istilah.
Dan istilah terbaru yang menjadi 'mangsa' kini adalah toksik/toxic

Daripada hubungan yang toksik, pasangan yang toksik, kawan yang toksik, sehinggalah wujudnya ibu bapa yang toksik, semuanya dipetik masyarakat internet.

Tapi betulkah kita faham makna toksik itu sendiri?






Kita tidak perlu ilmu tinggi untuk memahami makna toksik.
Toksik itu sesuatu yang memberi mudarat kepada kita apabila bersama. Sisa toksik adalah sisa buangan yang memudaratkan. Bahan toksik adalah bahan yang memberi mudarat jika digunakan. Minuman detox adalah minuman yang bersifat nyah-toksin, bererti mampu menyingkirkan toksik dari dalam badan.

Jadi dengan itu, pelbagai [kata nama] yang toksik seperti yang selalu netizen sebutkan bererti [kata nama] tersebut adalah memberi mudarat kepada yang menyebutnya, betul?

Ya.
Konsepnya mudah, tapi tak semua netizen berkata tentang konsep yang sama. Mari kita ambil 'kawan yang toksik' (toxic friends) sebagai contoh jelas, memandangkan semua kita ada/pernah ada kawan.

Kawan toksik bermaksud kawan yang memberi mudarat kepada kita. Kawan yang menjatuhkan. Kawan yang negatif. Tapi adakah kawan yang tidak memberi kebaikan kepada kita ada kawan yang toksik?

Perlu ingat, 'tidak memberi kebaikan' adalah berbeza dengan 'memberi mudarat'. Tak percaya?

Biar aku beri contoh:
Daun kering aku letakkan di atas tapak tangan kiri. Daun kering itu tidak memberikan kebaikan kepada aku (dari segi zat), tetapi adakah daun kering itu memberikan mudarat kepada aku? Jawapannya, tidak. Maka, daun kering tidak toksik.

Cahaya matahari yang terpancar ke kulit. Cahaya matahari memberikan vitamin D (kebaikan) tetapi cahaya matahari juga agen kepada radikal bebas yang boleh mencetuskan barah kulit (mudarat). Adakah cahaya matahari itu toksik?
Jawapannya, bergantung kepada keadaan (dan konteks).

Raksa (merkuri) diletakkan di atas tapak tangan kanan. Raksa boleh meresap perlahan melalui sentuhan kulit dan memasuki badan melalui salur darah dan tersebar ke seluruh badan. Jika dosnya tinggi, pelbagai komplikasi akan berlaku. Tetapi jika dosnya rendah, boleh dikatakan tidak akan memberi sebarang kesan. Jadi, adakah raksa memberi kebaikan? TIDAK jika disentuh. Adakah raksa memudaratkan? YA, jika dosnya tinggi. Adakah raksa bersifat toksik? SUDAH TENTU. Raksa adalah antara bahan paling toksik yang senang ditemui di persekitaran kita.



Mari terjah ke beberapa contoh kawan yang dicanang 'toksik' di alam siber:

Kawan yang tidak ucapkan selamat semasa ulangtahun hari lahir kita.
Adakah mereka memberi kebaikan? TIDAK.
Adakah mereka memberi mudarat? TIDAK.
Adakah mereka toksik? Serius laa, nak gelar orang lain toksik hanya sebab tidak ucap selamat?

Kawan yang pinjam duit tetapi tidak tahu untuk membayar semula.
Adakah mereka memberi kebaikan? TIDAK.
Adakah mereka memberi mudarat? BERGANTUNG. Kalau kita tiada duit dan dia pula seronok berjoli dengan duit yang ada tanpa pedulikan kita, YA.
Adakah mereka toksik? BERGANTUNG.

Kawan yang bercakap buruk tentang kita di belakang.
Adakah mereka memberi kebaikan? TIDAK.
Adakah mereka memberi mudarat? YA.
Adakah mereka toksik? YA.

Kawan yang bila diajak keluar, sering kali diberikan alasan.
Adakah mereka memberi kebaikan? TIDAK.
Adakah mereka memberi mudarat? TIDAK.
Adakah mereka toksik? SUDAH TENTU TIDAK.


Tapi para penghuni alam siber tidak setuju dengan logik ini.
Pada mereka, semua kawan yang tidak memberi kebaikan adalah TOKSIK.
Termasuk kawan-kawan yang tidak memudaratkan. Pada sesetengah kita, jika seseorang itu tidak memberikan kita kebaikan, maka dia adalah toksik.

Itu masalahnya.

Kita terlalu 'entitled' untuk mendapat kebaikan daripada orang lain.
Kita rasa kita BERHAK untuk mendapat kebaikan daripada orang lain.
Sesiapa yang tidak berikan kita kebaikan, kita label sebagai toksik.
Kita sisihkan mereka, kita burukkan mereka.
Kita canang seantero digital bahawa mereka itu toksik.
Sedangkan para 'toksin' itu langsung tidak berikan mereka mudarat.

Kita tidak tahu beza 'tidak beri kebaikan' dengan 'beri mudarat'.
Dan akhirnya kita sendiri yang memberi mudarat kepada orang lain.
Kita bencikan toksik, tetapi kitalah sebenarnya toksik.



Sebelum kita melabel orang lain 'toksik', tanya diri sendiri;
Adakah mereka memberi mudarat?
Ataupun KITA sebenarnya yang memudaratkan?







Sekian.



  




.

Nov 13, 2019

Hidup Ini Bersifat Relatif.


Salam.






Cuba pilih satu daripada dua:

Adakah anda label diri anda ekstrovert ataupun introvert?
Ada masa kita suka bersama kawan-kawan, ada masa kita suka sendirian.
Jadi mana satu?

Adakah anda label diri anda tinggi atau rendah?
Berdiri bersama kanak-kanak membuatkan kita rasa diri tinggi,
tetapi berdiri sebelah pemain bola keranjang membuatkan diri terasa rendah.
Jadi mana satu?

Adakah anda label diri anda hitam ataupun putih?
Jika kita berkata tentang rambut, ya, kita hitam.
Tapi jika kita berbincang tentang gigi, ya, kita putih.
Jadi mana satu?

Adakah anda berada di luar atau di dalam?
Jika kita berada di dalam bilik,
ya, kita berada di luar bilik air,
tetapi kita juga berada di dalam rumah.
Jadi mana satu?

Adakah anda label diri anda baik atau jahat?
Jika dibandingkan dengan pembunuh bersiri, kita lebih baik.
Tetapi adakah kita lebih baik jika dibandingkan dengan bayi yang baru dilahirkan?


Di dalam kehidupan yang meraikan kepelbagaian, kita masih lagi dipaksa untuk duduk dalam label masing-masing.

Hidup ini bersifat relatif, perbandingan.
Bila kita dilabel, kita dibandingkan dengan sesuatu yang lain
sekaligus kita tidak dinilai berdasarkan diri kita.

Tetapi apabila kita pula melabel,
kita keluarkan pelbagai teori untuk memenangkan hujah kita.
Sedangkan kita tahu yang menilai secara mutlak bukanlah kita,
tetapi Dia.



Sekali lagi.
Cuba pilih satu daripada dua:

Adakah anda label diri anda baik atau jahat?


Sekian.



  




.

Nov 6, 2019

Kuasa Luar Biasa.


Salam.






"Aku nak kuasa luar biasa yang mana aku makan banyak mana sekalipun, berat badan aku tidak akan bertambah."

Itu rungutan seseorang yang aku kenal. Mungkin ceritanya, dia ini jenis yang makan sedikit pun sudah naik berat badan. Tidak susah pun untuk memahami orang jenis sebegini. Makan dan makanan sepatutnya menjadi salah satu nikmat dalam kehidupan. Jika makan sedikit pun sudah menyebabkan berat badan naik, maka ini membataskan seseorang itu untuk menikmati nikmat tersebut.

Namun,
jika 'makan banyak mana sekalipun, berat badan tidak akan bertambah' adalah satu kuasa luar biasa, satu super power, maka aku adalah seorang manusia berkuasa luar biasa.

Ya.
Kalau kalian mengikuti aku di media sosial (Facebook, Twitter, Instagram: @cerolian) maka kalian tahu aku banyak kali merungut tentang berat badan. Bukan berat badan yang naik dengan cepat, tapi berat badan yang tak naik-naik walaupun berapa banyak aku makan. Itu kuasa luar biasa aku.

Dalam blog ini pun aku sudah ceritakan mengenainya banyak kali.

'Kuasa luar biasa' ini tidaklah luar biasa mana, dan tidaklah seseronok yang kalian fikirkan.



Bayangkan,
aku berbadan kurus. Dengan pakaian berlapis pun orang masih nampak aku berbadan kurus. Walaupun Indeks Jisim Badan (BMI) aku masih berada di paras normal, namun ia berada di bahagian bawah normal, di mana dengan hilang satu dua kilogram sahaja aku turun ke paras 'underweight'.

Maka,
normallah jika misi aku adalah untuk naikkan berat badan. Aku sasarkan untuk berada di titik tengah BMI normal, dan ini memerlukan aku untuk menambahkan lagi berat badan.

Jalan paling mudah dan (mungkin) berkesan ialah dengan makan.



Namun, ia tidak semudah yang disangka.

Tidak kira berada banyak aku makan, berat aku akan bertambah sedikit sahaja dan esok lusa akan turun balik ke ukuran asal. Pernah satu kali, aku timbang sebelum makan dan makan sebanyak mungkin dan kemudian timbang sekali lagi selepas makan. Bacaannya semakin menurun, bukan semakin menaik. Sampai sekarang aku tidak faham logik di sebalik kejadian itu.

Tapi aku tidak mahu sebarangan makan. Aku tahu kalau kita beriya sumbat mulut dengan bermacam-macam makanan, kemungkinan untuk diserang sakit akibat makanan adalah tinggi. Paras kolesterol meningkat, lemak dalam darah meningkat, tekanan darah tinggi, risiko kencing manis, risiko sakit jantung, risiko serangan angin ahmar, semua boleh didapati hanya melalui makanan (dan gaya hidup yang tidak sihat).

Aku tidak mahu dalam keghairahan aku untuk menaikkan berat badan ke paras BMI normal, aku diserang sakit lain pula. Nak normal biar sihat. Kalau sakit, tak normal namanya.

Dan jika kalian fikir makan banyak tapi tak naik berat badan adalah satu 'kuasa luar biasa' yang menyeronokkan, kalian silap.



Dan apabila aku ceritakan hal 'makan banyak tapi tak naik berat badan' ini kepada seorang kawan, dia membalas dengan satu cadangan penyelesaian;

"Kahwinlah. Selalunya lelaki lepas kahwin akan naik berat badan."

Tidak mungkin untuk aku berkahwin hanya kerana bertujuan untuk naikkan berat badan.



Sekian.



  




.

Oct 30, 2019

Potensi atau Sumpahan.


Salam.






Lebih 10 tahun dahulu,
aku pernah saksikan pertunjukan silap mata yang dilakukan oleh seorang kenalan. Ia bukan satu persembahan pentas yang gah, sekadar sesi mesra sesama kawan-kawan yang duduk lepak di kedai mamak. Si tukang buat silap mata itu hanya menunjukkan satu 'trick' kad daun terup.

Namun, percayalah, sesi yang berlangsung kurang 10 minit itu menjadi titik penting dalam perkembangan personaliti aku sehingga kini.

'Trick' dia sangat mudah. Dia menunjukkan aku satu kad dan menyuruh aku ingatkan kad tersebut. Kemudian kad itu dimasukkan ke dalam bahagian tengah dek bersama kad yang lain dan kemudian dia memetik jarinya dan kemudian menyuruh aku mengambil lihat kad paling atas dek dan BOOOM kad itu adalah kad yang tadi yang sepatutnya berada di tengah dek kini berada di atas dek sekelip mata.



Undur sedikit masa ke zaman sekolah dulu, sewaktu sesi empat mata bersama seorang guru, aku diberitahu oleh guru tersebut bahawa aku punyai satu trait yang (katanya) memberikan aku potensi jauh untuk terus maju; iaitu sifat ingin tahu yang tinggi.

Aku sedar tentang itu. Setiap perkara yang menimbulkan persoalan, aku akan cari jawapannya. Kadang kala jawapan yang aku cari memakan hari. Kadang kala selagi tidak aku dapatkan jawapan kepada satu persoalan, tidur aku akan terganggu, rutin aku akan berubah, dan banyak perkara yang sepatutnya aku lebih tumpukan akan terabai hanya kerana perlu mencari jawapan kepada satu soalan.

Kalau itu yang dikatakan 'potensi untuk terus maju', aku dapat rasakan ia satu trait yang lebih merugikan diri aku berbanding memberi kemajuan.



Berbalik kepada silap mata tadi. Memang lumrah tukang silap mata tidak akan membongkarkan rahsia mereka sewenang-wenang. Malah juga lumrah kepada mereka tidak akan ulang silap mata itu berkali-kali di hadapan orang yang sama. Aku yakin kalau aku lihat buat kali kedua (atau ketiga), aku akan dapat bongkarkan 'misteri' bagaimana kad itu boleh naik ke atas dek sedangkan depan mata aku diletakkan di tengah dek. Tapi si tukang silap mata berkeras tidak mahu mengulang persembahannya di hadapan aku.

Balik rumah dalam keadaan tidak puas hati, aku cari jawapannya di tempat yang memiliki segala jawapan, iaitu INTERNET.

Dari situ, aku mula kenal dengan satu channel YouTube ini yang mengajar 'trick' untuk silap mata daun terup. Dan dari channel itulah, akhirnya, aku tahu bagaimana silap mata kad tadi dilakukan.

Namun aku sudah tercelup basah ke dalam kolam ilmu yang tak sepatutnya aku dekati. Aku mula ketagih untuk mengetahui bagaimana 'trick' daun terup lain dilakukan. Aku layan semua video tutorial. Channel YouTube itu bertujuan untuk mengajar mereka-mereka yang nak berjinak-jinak dengan silap mata daun terup, tapi aku layan setiap video yang ada bukan untuk jadi tukang silap mata. Aku cuma mahu tahu bagaimana sesuatu 'magik' itu tercipta. Aku hanya mahu jawapan kepada soalan.



Sehinggalah pada suatu hari beberapa tahun lalu, aku terlibat dengan satu acara di sebuah negara jiran. Rombongan yang mewakili Malaysia itu termasuklah beberapa orang artis, orang penting kerajaan, dan beberapa wakil daripada bidang-bidang tertentu, termasuklah aku. Salah seorang yang mengikuti rombongan itu ada seorang ahli silap mata yang sedang semakin naik menempa nama ketika itu.

Dalam satu sesi makan malam, aku duduk semeja dengan 6 orang lain ahli rombongan, termasuklah ahli silap mata tersebut. Dia berbesar hati untuk melakukan silap mata daup terup. Satu perkara tentang silap mata daun terup adalah ia lebih berkesan untuk dilakukan secara 'close-up' berbanding atas pentas. Maka, ahli silap mata itu pun lakukan aksinya di hadapan kami berenam semeja dengannya.

Sepanjang sesi berkenaan, kesemua lima orang yang lain semuanya terpesona dengan silap mata yang ditunjukkan. Kalau dilihat riak wajah seorang demi seorang, cukup jelas ekspresi yang ditonjolkan. Ada yang keliru, ada yang skeptik, ada yang teruja. Yang pastinya kesemua mereka sangat kagum dengan persembahan yang disaksikan, kecuali seorang...

...AKU.

Kesemua 'trick' yang dipersembahkan, sama ada aku pernah lihat, ataupun terbitan kepada sesuatu yang pernah aku lihat. Yang jelas kesemua 'trick' itu aku tahu bagaimana dilakukan. Ini hasil daripada dedikasi aku menghabiskan 'ulangkaji' video tutorial daripada channel YouTube yang aku ceritakan tadi.

Menyedari aku tidak seteruja yang lain, ahli silap mata tadi menghampiri aku selepas tamat sesi makan malam. Dia bertanya, "Kenapa you nampak tak seronok semasa I buat magik tadi?"

"I'm sorry. Bukan magik you tak menjadi, cuma saya sudah tahu bagaimana semua trick untuk magik tu dilakukan."

"Oh, the curse of knowledge."

"What?" Aku bertanya.

"Oh, tak. Dalam dunia magician, kami sendiri pun tak excited bila nampak magik yang sudah kami tahu rahsianya. Sebab itu magician tidak akan buat persembahan di hadapan magician yang lain kecuali kalau trick itu betul-betul original dicipta. Hence, the curse of knowledge. If you know something will happen, you will not surprise when it happened."



Fast forward ke beberapa hari lalu (sewaktu cerita ini ditulis). Ada tular satu video seseorang buat silap mata daun terup dan keterujaan si perakam video melihatnya. Di ruangan komen ada seseorang lain menerangkan bagaimana 'trick' itu dilakukan, dan kemudian disusuli dengan komen orang lain yang berkata,

"Tak perlulah susah-susah nak reveal magic dia, bro... Kesian orang penat-penat belajar dan practice... Have some respect."

Aku dulu pernah menjadi orang yang seronok menerangkan sesuatu 'trick' silap mata. Keinginan untuk nampak pandai menguasai diri. Tapi kini aku faham dek kerana keseronokan aku itu, aku tarik keseronokan orang lain sehinggakan sekarang aku hilang langsung rasa seronok tidak seperti orang lain.



Sifat ingin tahu yang tinggi mungkin satu potensi. Mungkin juga satu sumpahan. Berhati-hati.



Sekian.



  




.

Oct 23, 2019

Dua Lebih Baik Daripada Satu.


Salam.






Aku rasa aku terlalu lama hidup sendirian.

Bukan merungut, tetapi apabila kita terlalu lama berada dalam satu keadaan, atmosferanya menjadi kaku dan stagnan. Bayangkan kita keluar rumah, dan walaupun cuacanya cerah namun suasananya kaku. Tiada angin. Tiada kicauan burung. Tiada bunyi kenderaan. Malah tiada deruan unggas, cengkerik, lalat, cicak. Tiada apa.

Itulah rasanya apabila terlalu lama hidup sendirian.

Di bawah aku senaraikan perkara yang menjadi lebih menarik apabila dilakukan berdua berbanding seorang diri (berdasarkan daripada pengalaman sendiri):

  1. Dapat ucapan selamat pagi (selain daripada diri sendiri).

  2. Merungut tentang kehidupan atau apa sahaja.

  3. Tengok wayang cerita yang menarik.

  4. Tengok wayang cerita yang teruk

  5. Buat plan untuk tengok wayang yang belum ditayangkan lagi.

  6. Makan aiskrim.

  7. Cuba makan aiskrim promosi baru.

  8. Cuba makan burger promosi baru.

  9. Masuk kedai buku tapi tak beli buku.

  10. Masuk kedai buku dan komen semua tajuk buku novel yang kadang-kadang tak masuk akal.

  11. Masuk kedai buku dan rasa geram melihat komik yang banyak tapi belum mampu dibeli.

  12. Masuk kedai buku dan cuba semua jenis pen yang menarik hati.

  13. Main mainan gendang di arked.

  14. Main mainan lumba kereta di arked.

  15. Main mainan hoki udara (air hockey) di arked.

  16. Ketawakan siapa yang kalah ketika bermian di arked.

  17. Jalan-jalan di kompleks membeli-belah.

  18. Jalan-jalan di taman.

  19. Main Pokémon GO semasa Community Day di taman.

  20. Bersaing siapa paling banyak dapat tangkap shiny semasa Community Day Pokémon GO.

  21. Cuba duo lawan raid level 4 dalam Pokémon GO.

  22. Lawan raid level 5 legendary dalam Pokémon GO.

  23. Berjalan menuju ke masjid/surau untuk singgah solat.

  24. Makan makanan percuma di masjid ketika singgah solat.

  25. Makan makanan percuma/tester di pasaraya.

  26. Merungut kenapa barisan panjang sangat di kaunter bayaran pasaraya.

  27. Merungut kenapa di kaunter bayaran ekspres ada ramai beratur sambil bawa lebih daripada bilangan item yang dibenarkan.

  28. Minta duit sen ketika pekerja di kaunter bayaran minta duit sen.

  29. Berdebat ke mana perginya 20 sen yang dibayar untuk plastik.

  30. Duduk lepak tepi bangunan melihat hujan turun.

  31. Tunggu hujan reda sambil makan waffle panas.

  32. Duduk tepi tasik sambil tengok awan.

  33. Duduk tepi tasik sambil tengok matahari terbenam.

  34. Merungut kenapa sayur yang dipesan untuk makan malam lebih banyak batang daripada daun.

  35. Dapat ucapan selamat malam (selain daripada diri sendiri).

...dan lain-lain lagi.


Aku tahu,
semua ini boleh dilakukan seorang diri dan masih seronok untuk dilakukan.
Tapi aku percaya semua ini kalau dilakukan bersama seseorang, dan seseorang itu istimewa, semuanya akan jadi berlipat kali ganda lebih menyeronokkan.


Aku rasa aku terlalu lama hidup sendirian.

Bukan merungut, tetapi apabila kita terlalu lama berada dalam satu keadaan, atmosferanya menjadi kaku dan stagnan.

Aku tidak kata hidup seorang itu teruk, cuma aku rasa aku perlukan lebih warna dalam hidup aku.


Sekian.



  




.

Oct 16, 2019

Hujan Oktober.


Salam.






Aku bukan benci hujan. Aku cuma lebih gemarkan suasana tidak hujan.

Hujan itu rahmat.
Itu sesuatu yang tiada siapa boleh pertikaikan.

Air dari langit turun ke bumi dan membasahi dan menyuburkan tanah. Suasana lembab dan sejuk menyegarkan keadaan yang sebelumnya kering dan tandus. Air yang ditadah boleh diminum semua hidupan sama ada manusia, haiwan, mahupun tumbuhan.

Langsung aku tidak nafikan hujan itu satu rahmat.


Belakangan ini hujan turun terlalu kerap, malah boleh dikatakan setiap petang (di tempat aku). Sebagai penunggang motosikal, hampir setiap hari aku basah kuyup dek hujan. Baju yang basah disidai sebelum dibasuh, hari ini bertambah lagi sedangkan yang semalam (dan kelmarin) punya masih belum sempat kering. Kelembapan udara di luar rumah tinggi, di dalam rumah pun juga tinggi hasil daripada pakaian yang tersidai sana sini.

Emosi jangan cakaplah...
Hujan sememangnya menenangkan. Namun sebenarnya yang menjadi tenang adalah mereka yang menikmati hujan ketika berada di bawah lindung bumbungan. Bagi kami (aku) yang setiap hari berbumbungkan langit ketika hujan, hujan sangatlah tidak menenangkan. Air hujan menutup pandangan. Bunyi titisan menguasai segenap gegedang telinga. Bau 'semasa' hujan langsung tidak sama dengan bau 'sebelum' dan 'selepas' hujan. Tak percaya, cubalah bau sendiri.

Sebab itu hujan sangat terkesan terhadap emosi aku.

Luar basah. Dalam basah. Emosi basah.
Hujan betul-betul satu cabaran yang, untuk orang yang memahami, bukan mudah untuk ditempuh.

Aku bukan benci hujan. Aku cuma lebih gemarkan suasana tidak hujan.

Namun secawan kopi panas selepas selesai mandi bilas air hujan adalah satu nikmat yang tidak boleh diungkap kata. Itu pun jika selamat sampai ke rumah untuk menikmatinya.


Sekian.



  




.

Oct 9, 2019

Pelawak.

Salam.


Aku orangnya begini:

Aku dapat tahu ada filem menarik bakal ditayangkan. Aku cari tarikh tayangan filem itu di Malaysia. Aku tulis peringatan atas kertas memo. Aku tampal di dinding bilik.

Jenis aku, aku suka tonton filem di hari pertama tayangan sebab aku sangat sangat sangat sangat sangat sangat benci spoiler.

Baru-baru ini,
salah satu filem yang tersenarai di dinding aku ialah filem Joker.

Aku sangat teruja kerana dikatakan filem ini adalah pemula kepada francais DC Dark yang mengetengahkan watak-watak jahat daripada komik DC dalam kebebasan terjemahan si sutradara masing-masing.

Daripada trailer juga kelihatan filem ini sangat menarik dan lain daripada mana-mana filem adaptasi daripada komik yang ada sekarang.

Aku sangat teruja menunggu tarikh tayangan. Aku layan video YouTube mengenai bedah siasat sedutan trailer. Aku baca artikel-artikel (tanpa spoiler) yang ditulis oleh mereka yang sudah menontonnya lebih awal. Aku rancang perjalanan hidup supaya aku dapat menontonnya di tarikh hari pertama tayangan.

Namun semakin hari menghampiri, semakin aku rasa tidak sedap hati.

Betul-betul satu hari sebelum tarikh tayangan, aku buat keputusan untuk tidak pergi menonton filem Joker ini.

Alasan aku mudah:

Untuk orang yang sedang meniti di atas titian yang kecil dan rapuh, perkara terakhir yang dia perlukan adalah satu tolakan kecil yang membolehkan dia hilang keseimbangan dan jatuh.

Aku tidak mahu filem Joker ini menjadi tolakan kecil itu.

Aku pilih aku.

Sekian.

Oct 2, 2019

Merah Jambu.

Salam.



Kisahnya,
laptop aku dihantar ke klinik untuk dirawat buat kali kedua.

Untuk itu, nikmatilah gambar merah jambu yang ada dalam galeri telefon bimbit aku ini sementara menunggu laptop kembali ke tangan.

Aku ada 1000 idea untuk update blog, namun 999 daripadanya memerlukan laptop, maka ini sahajalah satu yang tinggal.

Tell me, do you like merah jambu?
🐷🐷🐷

Terima kasih.

Sep 18, 2019

Segalanya Sudah Terlambat


Salam.






Aku adalah antara orang yang menghabiskan zaman sekolah menengah di Sekolah Berasrama Penuh (SBP).

Bagi yang tahu konsep SBP, maka akan tahu bahawa walaupun satu tingkatan tidaklah seramai seperti di sekolah harian biasa, namun ukhwah antara kami sangat kuat. Segelintir boleh dilabel sebagai kawan rapat, namun keseluruhan satu tingkatan adalah kawan. Tiada yang dilabel lebih rendah daripada itu.

Batch aku hanya ada lebih kurang 130 orang, namun aku berani katakan kami semua 130 orang adalah kawan. Dan dapat kenal dan tinggal bersama selama 5 tahun menjadikan kami lebih terikat daripada kawan biasa.



M adalah seorang pelajar perempuan satu batch dengan aku. Berperwatakan sopan, sentiasa bersuara lembut dan menunduk ketika berbicara dengan sesiapa sahaja.

Aku hanya pernah satu kelas dengan M sekali sahaja sepanjang 5 tahun bersama. Kami tidaklah rapat, malah aku rasa boleh dibilang dengan jari sahaja saat aku berkesempatan duduk berbual bersama dia. Maklumlah, dia pelajar perempuan yang baik-baik, sedangkan aku ini pelajar lelaki yang...

Namun,
dalam beberapa kali kecil berkesempatan duduk berbual bersama itu, tiada satu pun antaranya membuatkan aku tidak selesa. Tiada kenangan tidak baik yang melibatkan M. Malah, bila difikirkan semula, langsung tidak pernah aku dengar kawan-kawan lain cakap buruk mengenai M.

Aku dapat simpulkan bahawa M ini seseorang baik dengan semua orang.

Namun,
seperti orang normal yang lain, selepas tamat persekolahan dan masing-masing bawa diri, hubungan persahabatan antara kawan-kawan tadi semakin lama semakin suram. Begitulah juga dengan aku.



Semasa di universiti,
aku terserempak dengan M di fakulti. Tidak sangka fakulti kami sebelah menyebelah. Entah kenapa, walaupun kami tidaklah rapat di sekolah dahulu, namun pertemuan seketika itu sudah cukup untuk buatkan kami duduk berbual mesra seperti kawan yang pernah rapat.

M masih seperti dahulu. Sopan, lembut, dan menunduk. Pada aku, M memang ada ciri-ciri perempuan yang layak dibuat isteri.

Aku terniat mahu jadikan M sebagai kawan rapat disebabkan aku langsung tidak berkesempatan untuk rapat dengan dia sewaktu zaman sekolah dahulu. Banyak muka asing di universiti, maka dapat lihat muka yang lama dikenali sejak berusia 12 tahun lagi sangatlah menyenangkan.

Namun,
pada ketika itu aku sedang bercinta dengan seorang perempuan yang berperasaan cemburu yang tinggi. Maka, aku terpaksa memilih untuk rapat dengan kawan sekolah (iaitu M), ataupun mengutamakan perasaan insan yang aku sayang (pada ketika itu).

Aku pilih untuk menjaga hati si dia.

Niat aku untuk rapat dengan M, aku ketepikan. Kalau berjumpa di fakulti, kami hanya bertukar senyuman dan berlalu begitu sahaja. Aku rasa dia faham.



Dan masa pun berlalu...

16 September yang lepas, awal tengahari, group Whatsapp batch sekolah aku bertubi-tubi masuk mesej. Biasanya aku hanya biarkan. Biasalah, kekadang kawan-kawan ni bergurau bertubi-tubi di dalam group itu. Namun kali ini aku terniat untuk membacanya. Mungkin sebab terlapang masa dengan cuti Hari Malaysia.

"Assalamualaikum.
Kawan-kawan, sahabat kita M telah pulang ke rahmatullah pada jam 10 pagi tadi."



Dua minggu sebelum ini group Whatsapp itu didatangi dengan berita bahawa M sedang sakit tenat akibat kanser ovari dan rawatan kemoterapi sudah tidak berkesan. M sudah tidak tahan kesakitan akibat rawatan dan hanya mahu berada di rumah.

Itu adalah berita mengenai M selepas bertahun-tahun menamatkan universiti. M seolah-olah hilang tanpa khabar berita daripada kawan-kawan sekolah dalam masa beberapa tahun sebelum ini. Dia tiada di dalam group itu kerana tiada siapa tahu nombor telefon yang digunakannya.

Tidak sangka berita pertama tentangnya selepas beberapa tahun ini adalah dia sedang menderita sakit kanser.

Lebih tidak aku sangka, dua minggu selepas berita itu, dia sudah tiada.



Aku sedih.

Namun aku juga terasa terkilan dengan diri sendiri.

Di saat aku berpeluang untuk rapat dengan dia, aku pilih pilihan lain. Aku boleh sahaja terus berkawan dengan dia sebagai kawan lama satu sekolah, namun aku tidak melakukannya. Ketika dia hilang, aku langsung tidak mengingati dirinya. Ketika dia dikhabarkan sakit, langsung tiada rasa untuk menziarah. Pada waktu itu, aku hanya terfikir 'InsyaAllah kalau aku ke tempat dia, aku ziarah' namun aku tahu itu hanya omong kosong. Segalanya sudah terlambat.



Mendapat berita kematian sentiasa menginsafkan aku.

Namun,
dapat berita kematian kawan sebaya sendiri lain penangannya. Diri rasa kerdil sangat. Bila-bila sahaja boleh ditarik segalanya, termasuk nyawa.



Aku memohon agar kalian yang sedang membaca ini, sedekahkanlah Al-Fatihah buat arwah M. Tak mengapa kalian tidak tahu nama dia. Allah Maha Mengetahui. Doakan dia berada di kalangan orang-orang yang beriman seperti mana yang dilihat ketika hayatnya.

Al-Fatihah.



  




.