Aug 21, 2019

Peraturan Dicipta Untuk Dilanggar.


Salam.

Aku berdiri di tengah bilik bujangku, melihat sekeliling. Bilik ini, walaupun berselerak dipenuhi barangan peribadi, tetapi aku gelar keadaan ini sebagai 'selerak yang sistematik' kerana aku tahu apa dan di mana sesuatu barangan itu berada. Dan aku tidak mahu keadaan ini berubah.

Di satu sudut bilik dihuni oleh timbunan tinggi buku, komik, dan majalah. Setelah dibelek, majoritinya adalah bahan bacaan yang masih belum aku baca.

Ya, aku ada satu sindrom yang juga dihidapi ramai lagi para 'pembaca' di luar sana, iaitu; sindrom beli buku tapi tidak baca.




Tidak. Bukan aku langsung tidak akan baca. Aku akan baca juga kesemuanya. Namun, walaupun setiap insan punyai sama 24 jam setiap hari, akan tetapi 24 jam aku seolah-olah hanya 24 minit (okey, mungkin tidaklah 24 minit. Macam melampau sangat), aku tiada cukup masa untuk lakukan semuanya dalam masa yang sesempit itu.

Memikirkan perangai 'beli tapi tidak dibaca' bakal memberikan aku bencana di mana aku ada kemungkinan akan mati ditimbus timbunan buku yang semakin meninggi, aku dengan ligat memikirkan penyelesaian.

Penyelesaian aku yang satu ini mudah. Aku cipta satu peraturan untuk diri sendiri.

Peraturannya;
Aku hanya dibenarkan beli satu bahan bacaan selepas aku berjaya habiskan membaca satu bahan bacaan yang ada.

Jika aku mahu beli komik baru, aku perlu habiskan (paling kurang) satu komik yang belum dibaca.
Jika aku mahu beli majalah baru, aku perlu habiskan (paling kurang) satu majalah yang masih menimbun.
Dan jika aku mahu beli buku (fiksyen atau bukan fiksyen) yang baru, aku perlu habiskan (paling kurang) satu buku yang masih berbau baru di bilik itu.

Mesti ada antara kalian yang terfikir,
jika habis satu ditambah satu, maka kesannya timbunan buku di bilik tidak akan berkurang, tetapi semakin bertambah.

Yang fikir begitu tidak salah, cuma misi aku bukanlah mahu merendahkan timbunan, tetapi mahu mengawal kemasukan. Maka dengan menyekat buku baru masuk sekiranya tiada yang sudah dihabiskan akan membuatkan kemasukan buku ke 'gudang' timbunan di bilik itu lebih terkawal (walaupun secara aklinya, tiada masalah yang diselesaikan. Aku tetap akan berpeluang mati ditimbus timbunan buku yang semakin membukit.

Dan peraturan ini aku ikut dengan baiknya selama tiga bulan pertama. Ternyata kawalan kemasukannya berkesan. Timbunan buku itu lambat untuk meninggi. Malah ada kesan sampingan lain seperti aku dapat mengawal dan mengurangkan pembelanjaan aku ke arah membeli buku, dan melebihkan pembelanjaan ke arah membeli aiskrim (yang juga merupakan salah satu daripada 99 masalah yang sedang aku hadapi kini).

Walaupun aku berjaya ikut selama 3 bulan, tetapi selaku pembaca setia blog aku ini (terima kasih) kalian pasti tahu akan penamat cerita ini, kan?


Ya.
Baru-baru ini aku ke kedai buku dan 'terserempak' dengan satu buku yang aku cari selama ini. Tidak perlulah aku bongkar buku apakah itu tetapi cukuplah aku beritahu bahawa buku ini memainkan peranan penting dalam pembentukan minda aku semasa aku kecil dahulu.

Mengikut peraturan, aku perlu habis baca satu buku untuk beli satu buku baru. Malangnya, pada ketika itu aku belum habiskan buku yang sedang aku baca. Maka secara logiknya aku tidak boleh beli buku itu.

Tapi di rak di kedai, buku itu hanya ada dua naskhah sahaja, membuatkan aku terfikir pada waktu itu adalah satu-satunya peluang yang ada untuk aku miliki buku itu. Jika aku tangguhkannya, aku mungkin akan hilang peluang tersebut.


Maka, dengan hati yang berat, aku terpaksa melanggar peraturan yang aku cipta sendiri dengan membeli buku tersebut.

Dan buku tersebut, kini, sedang berada di bahagian atas timbunan buku-buku yang sudah dan belum dibaca aku, di satu sudut bilik aku.


Aku berdiri di tengah bilik bujangku, melihat sekeliling. Bilik ini, walaupun berselerak dipenuhi barangan peribadi, tetapi di satu sudut dihuni oleh timbunan tinggi buku, komik, dan majalah yang majoritinya masih belum aku baca.

Bila difikirkan,
aku ada kemungkinan akan mati ditimbus timbunan buku yang semakin menggunung.






...and the journey continues...



  




.

3 comments:

  1. Aku tak nampak kau update pape, tau sudahla aku yang ko dah tertimbus dek buku-buku kau.. XP

    ReplyDelete
  2. aku sejak g kerja naik lrt ni barulah ada masa nak membaca

    ReplyDelete
  3. Yelah tu, aku baru2 ni je start beli buku. Tu pun baca part yg aku nak je. Pastu tak habis baca gak.. dah rasa nak bei buku lain yg orang suggest. Haha..

    ReplyDelete

"It's not what you've got, it's what you do with it." - cEro, 2026