Jul 3, 2019

Bebelan Hujung Syawal.



Salam.



Jadi,
bulan Syawal pun sudah berada di penghujungnya.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, ramai kenalan seperti saudara mara, rakan lama, dan jiran tetangga yang dapat bertemu semasa rumah terbuka, kenduri, mahupun kunjungan ke rumah akan bertanyakan soalan yang sama;

"Kau bila nak kahwin?"

Sudah tentu mereka tidak bertanya seperti itu. Mereka sekarang semakin kreatif, maka soalan yang sama diubah frasa menjadi lebih segar dan menyegarkan, seperti;

"Sampai bila nak datang seorang ni?"
"Isteri mana? Tak ikut?"
"Anak sudah berapa?"

...dan yang semaksud dengannya.

Seperti biasa,
aku sudahpun sediakan satu set jawapan untuk soalan sedemikian. Jawapan nombor dua paling kerap aku gunakan tahun ini ialah;

"Jodoh belum sampai lagi..."
sambil ketawa kecil dan tersenyum basi.

Perkataan 'jodoh' itu sedikit sebanyak membuatkan si yang bertanya akan berusaha untuk tidak memanjangkan soalan kerana tanyalah siapapun orang Islam, mereka akan tahu bahawa jodoh adalah antara perkara yang tidak berada di dalam tangan manusia. Kebanyakan yang bertanya akan terus tukar topik bila aku sentuh soal jodoh.

Dan aku gunakan perkataan 'kebanyakan' di dalam perenggan di atas disebabkan masih ada segelintir daripada mereka yang bertanya akan memanjangkan isu dengan berkata,

"Kau memilih sangat ni..."

dan meletakkan aku di kandang mereka yang patut dipersalahkan.

Kalau kalian kenal aku, dan aku rasa kalian tidak, sebenarnya aku langsung bukan seorang yang memilih dalam soal jodoh berpotensi. Malah, syarat utama aku cukup mudah; bakal jodoh aku perlu sukakan aku kerana aku, dan bukan sukakan aku disebabkan mereka sukakan seseorang yang mereka anggap sebagai aku.

Dengar mudah, bukan?

Sudah tentu orang yang sukakan kita itu sukakan diri kita. Kalau mereka sukakan orang lain, kenapa mereka kata mereka suka kita, kan?

Tapi dalam isu aku, ia tidak semudah membina ayat dengan 12 patah perkataan seperti di atas.

Kebanyakan mereka yang 'pernah' kata mereka suka aku sebenarnya sukakan persona yang aku tonjolkan di medium lain. Mereka sukakan alter ego aku. Mereka langsung tidak kenal siapa aku. Malah, mereka tidak mahu kenal pun siapa diri aku yang sebenar. Mereka fikir, hanya kerana mereka sudah baca satu dua perkara tentang aku di medium-medium itu, maka mereka sudah kenal aku. Sedangkan mereka tidak tahu pun satu perkara tentang aku. Nama aku, pekerjaan aku, warna kegemaran aku, makanan kegemaran aku. Langsung mereka tidak ingin tahu.

Kalau kalian fikir aku suka warna kuning, kalian salah sama sekali.

Inilah salah satu sebab utama kenapa aku asingkan kehidupan realiti aku dan alter ego aku sebagai cEro.



Tipulah kalau aku kata aku tidak langsung risau soal jodoh. Anak-anak buah aku pun sudah semakin membesar dan semakin bertambah setiap tahun. Kawan-kawan sebaya pun lebih banyak bercerita tentang 'prosedur kemasukan murid darjah satu/ tingkatan satu di sekolah kerajaan' di dalam group WhatsApp berbanding dengan rancangan nak lepak kedai mamak mana malam nanti.

Tahu kan satu group WhatsApp kawan-kawan satu sekolah yang penuh dengan gambar keluarga kecil masing-masing berpakaian sedondon dan letak wordart di bahagian atas gambar yang tertulis 'Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir Batin daripada kami sekeluarga' tu? Jujurnya, aku pun nak buat gambar macam tu.

Tipulah kalau aku tidak risau. Aku risau.

Jadi bila saudara mara, rakan lama, dan jiran tetangga selalu sangat bertanyakan keberadaan status aku yang seorang ini, sekaligus mengingatkan aku kepada kerisauan yang sentiasa membelenggu diri di waktu sepatutnya aku makan hidangan yang sedap di atas meja di depan dan bergembira, kalian rasa apa patut aku rasa?



Nak tahu apa jawapan pertama paling kerap diberikan aku apabila ditanya soalan sedemikian?

"Diri sendiri pun sudah nak jaga, macam mana nak jaga anak orang pula nanti?"

Itulah jawapan paling jujur aku pernah beritahu. Di dalam jawapan itu terkandung segala perkara yang boleh sesiapapun bahaskan. Jawapan itu mengandungi penjelasan mengenai status ekonomi aku, status kesihatan aku (mental dan fizikal), kesediaan diri aku sendiri, kesediaan pihak satu lagi, perancangan masa hadapan, dan tanggungjawab berkeluarga.



Aku ni, nak bedah mata sendiri pun kena minta belas ihsan orang beri sumbangan.
Kau fikir aku mampu nak jadi ketua keluarga?







  




.

1 comment:

  1. aku pon naik lali dah kena tanya soalan tu cero. moga diberi kekuatan & ketabahan pada kita utk menempuh hari-hari mendatang dgn soalan2 tu.

    dan moga kau diberi kesembuhan segera dgn sebaiknya :)

    ReplyDelete

"It's not what you've got, it's what you do with it." - cEro, 2026