Sep 5, 2018

Kenapa Baiki Kalau Tidak Rosak?



Salam.




31 Ogos merupakan Hari Kemerdekaan untuk seluruh rakyat Malaysia. Hari tersebut merupakan cuti umum, hari yang sepatutnya diraikan oleh seluruh rakyat.

Entah sejak bila mula, setiap tahun hari cuti 31 Ogos, paginya kami sekeluarga akan menyambutnya di Dataran Merdeka melihat perarakan sempena Hari Merdeka. Bukan kewajiban, tapi kami semua faham ini adalah salah satu daripada aktiviti tahunan keluarga selain daripada Hari Raya dan juga sambutan hari lahir.

Keutamaan diletakkan kepada aktiviti ini. Jika ada ahli keluarga yang perlu bekerja pada hari tersebut, dia akan sedaya upaya memohon cuti. Selalunya tiada masalah kerana pada 31 Ogos memang cuti umum untuk semua orang. Jika ada antara kami yang ada hal lain pada hari berkenaan, maka hal itu perlu tunggu. Keutamaan tinggi jatuh pada sambutan Hari Merdeka bersama-sama keluarga di Dataran Merdeka.

Tiap tahun, walaupun di Dataran bersesak dengan umat manusia, kadang kala berhujan walau selalunya berpanas terik, tapi langsung tiada rungutan di pihak kami. Itulah yang seronoknya. Keramaian itulah yang menjadikannya meriah. Ketidaktentuan cuaca itulah cabarannya. Apapun yang berlaku pada hari berkenaan, kami akan akhiri dengan gelak tawa satu keluarga ketika duduk di kedai mamak ditemani cawanan teh tarik di waktu tengahari sebelum pulang ke rumah.

Entah sejak bila mula, kami tidak pernah tinggal sekalipun aktiviti ini. Pernah sekali Hari Merdeka jatuh dalam bulan puasa. Perarakan tiada, tapi sambutan rasmi dilakukan di Stadium Tertutup Bukit Jalil. Kami masih lagi pergi menyambutnya walaupun penat berdiri dalam keadaan puasa. Langsung tiada rungutan.

Pada orang luar, kami nampak seperti sebuah keluarga yang pergi memeriahkan sambutan Hari Merdeka di Dataran Merdeka. Mereka tidak salah. Memang tepat, kami sekeluarga ke Dataran untuk menyambut Hari Merdeka bersama-sama ribuan lagi rakyat Malaysia dan pelancong asing.

Tapi pada kami, ini adalah satu hari di mana kami sekeluarga berkumpul, bergerak, bersorak, dan berseronok bersama-sama. Ini adalah antara waktu yang sedikit untuk kami sekeluarga bersama-sama. Kadang kala, Hari Raya pun kami tidak mampu berkumpul bersama-sama seperti Hari Merdeka.

Pada kami, Hari Merdeka adalah 'bonding day' keluarga kami.




Pada 31 Ogos 2018 lepas, sambutan Hari Merdeka ditukar dan diadakan di Putrajaya, tidak lagi di Dataran Merdeka. Kata pemimpin nombor satu negara, disebabkan sekarang tampok kerajaan dipegang oleh kuasa baru, maka sambutan Merdeka kali ini lebih bermakna dan perlu diberi pembaharuan. Maka, Hari Merdeka tidak disambut di Dataran Merdeka seperti selalu, tapi di Putrajaya.

Jarak Putrajaya dari Dataran Merdeka bersamaan dengan DUA KALI GANDA jarak Dataran Merdeka dari kediaman keluarga aku di mana terdapatnya dua orang tua aku. Dengan kata lain, kalau kami mahu sertai sambutan dan perarakan di Putrajaya, kami perlu bergerak TIGA KALI GANDA jarak yang sepatutnya kami lalui untuk ke Dataran Merdeka.

Ibu bapa aku bukannya muda lagi. Jarak sebegitu amat memakan tenaga. Malah, acara bermula jam 7 pagi di Putrajaya. Rasanya pada jam berapa pagi perlu kami mula bergerak ke sana? Bagaimana dengan Subuh kami? Bagaimana dengan tidur kami?

Menitikberatkan segala kemungkinan boleh berlaku dengan perubahan jarak tersebut, maka kami sekeluarga dengan rasa kesal dan kecil hati sepakat buat keputusan untuk tidak turun ke tapak acara menyambut Hari Merdeka pada tahun 2018 ini.

Walaupun kami sekeluarga masih lagi menyambutnya di rumah bersama-sama, namun kami hanya mampu menonton perbarisan dan perarakan hanya melalui layar kaca.

Dan aku sangat kesal dan kecil hati dengan perkara ini.




Hanya kerana ada orang berkuasa untuk mengubahnya, maka tradisi untuk menyambut Merdeka di Dataran telahpun terganggu.

Pendapat aku, tiada langsung masalah untuk menyambutnya di Dataran seperti selalu. Kawasannya lapang, strategik, dan boleh dicapai dengan pengangkutan awam dan jalan darat dengan mudah. Lokasinya juga mesra pelancong. Peniaga di sekitarnya juga sudah tahu apa yang patut mereka jangkakan setiap kali ada sambutan Merdeka. Laluan trafik, laluan awam, semuanya sudah dikuasai kerana acara ini sudah dilakukan berkali-kali. Segala kelemahan sudahpun dikenalpasti dan diperbaiki dari semasa ke semasa.

Dataran Merdeka adalah satu lokasi yang ideal, sedangkan Putrajaya, walaupun dikatakan sebagai pusat pentadbiran rasmi kerajaan, namun masih lemah dari sudut pengangkutan awam. Kawasannya walaupun lapang, tapi terlalu lapang sehingga para pengunjung perlu duduk jauh untuk meninjau perbarisan. Seperti ada satu jurang, satu 'gap' pemisah antara rakyat dan mereka yang berarak.

Dahulu, semasa kerajaan sekarang menjadi pembangkang, ketika diberi kebenaran untuk berhimpun dan berkumpul di sebuah stadium untuk acara Bersih mereka, mereka juga memilih untuk tidak menurutinya dan tetap berhimpun dan berkumpul di Dataran Merdeka. Kata mereka (pada waktu itu), Dataran adalah satu tempat simbolik yang sangat rapat dengan 'kemerdekaan', sesuatu yang mereka perjuangkan. Namun kini, Dataran Merdeka bukan lagi simbol bagi mereka.

Kenapa perlu diubah lokasi acara sambutan Hari Merdeka hanya kerana kerajaan bertukar tangan? Tiada salahnya Dataran Merdeka sehingga perlu ditukar.

Why fix if not broken?





.

3 comments:

  1. Lepas ni wakil kerajaan kena datang rumah kau tanya kat mana preferred venue untuk apa-apa majlis rasmi kerajaan sebab penting sangat kau ni.

    ReplyDelete
  2. Kan? Aku pun rasa patut kekalkan je kat dataran merdeka.. urghh

    ReplyDelete
  3. couldnt agree more, you got your point there as i felt the same. haishh macam2.

    ReplyDelete

"It's not what you've got, it's what you do with it." - cEro, 2026