Sep 19, 2018

Kisah Anak Kecil Yang Melangkah.



Salam.

Semasa sesi 'membunuh masa' sampai merayau di dalam pusat membeli belah, berlaku satu kejadian yang, walaupun sekejap, tapi sangat membuatkan aku berfikir panjang.

Untuk menceritakan kejadian yang hanya berlaku kurang 10 saat itu, aku mulakan dahulu dengan menghuraikan mengenai tiga subjek utama dalam cerita ini;




Pertama.
Di sesetengah pusat membeli belah masa kini ada satu perkhidmatan sewaan kereta mini mainan untuk kanak-kanak. Ada jenis yang boleh dikawal dengan alat kawalan jauh, selalunya menjadi pilihan kepada para ibu bapa yang memiliki anak yang masih sangat kecil dan tidak tahu mengawal. Ada juga jenis yang boleh dipandu sendiri oleh kanak-kanak itu, jenis seperti kereta sebenar versi mini yang digerakkan hanya dengan memijak pedal di kaki dan dikawal dengan stereng di tangan.

Perkhidmatan sewaan kereta mini ini menjadi kegilaan para kanak-kanak dan mungkin menjadi mimpi ngeri kepada ibu bapa mereka.



Kedua.
Disebabkan belakangan ini seperti berturut-turut sangat dikeluarkan model terbaru telefon bimbit, maka kedai yang menjual telefon bimbit begitu giat membuat promosi. Telefon bimbit keluaran terbaru diberi kedudukan utama di kedai. Model terbaru yang dipamer untuk dicuba menjadi tarikan sesiapa sahaja yang lalu lalang di hadapannya.

Aku sendiri sudah berada di usia di mana tidak lagi begitu tertarik dengan keluaran baru telefon bimbit, tapi kadang kala berminat juga untuk membelek satu di ruang pamer.



Ketiga.
Sebuah keluarga baru dengan seorang bapa muda, ibu muda, dan anak kecil mereka dalam usia lingkungan 2-3 tahun. Anak kecil itu seperti masih baru belajar berjalan. Langkahnya kekadang kecil, kekadang lebar, kekadang terhenti, kekadang laju meluru. Si bapa berada di belakang, menjaga ke mana arah anak itu melangkah. Si ibu pula berada di tepi sambil mengusung segala beg dan bekalan yang disediakan untuk kesayangan mereka berdua itu.

Pusat membeli belah menjadi pilihan utama para ibu bapa yang memiliki anak kecil kerana suhu dalamannya yang nyaman sesuai untuk anak mereka. Tidak perlu risaukan cuaca seperti berada di luar. Lagipun, sambil meluangkan masa dengan anak dapat juga si ibu dan si bapa mencuci mata.



Aku, sebagai si pemerhati, berjalan di belakang keluarga muda itu. Aku tidak berkejar ke mana-mana, jadi tiada keperluan untuk aku memintas mereka. Lagipun, comel juga melihat keletah si anak yang kelihatan gigih menapak satu persatu sambil sekali sekala bergelak ketawa riang.

Alkisah,
keluarga itu bakal melalui satu ruangan. Di sebelah kiri terdapatnya kedai telefon bimbit yang sedang giat mempromosikan model terbarunya. Ada ruang pamer di hadapan untuk sesiapa yang ingat mencuba. Di sebelah kanan pula adalah ruangan yang menjadi tempat sewaan kereta mini mainan. Terdapat beberapa kanak-kanak lain sedang seronok 'memandu' kereta masing-masing, termasuk seorang dewasa yang sedang khusyuk mengawal kereta mini yang dihuni anak kecilnya dengan alat kawalan jauh.

Anak kecil keluarga muda tadi sedang menghampiri ruangan itu. Pada pendapat aku, dia akan berlari ke kanak, ke arah tempat sewaan kereta mini itu disebabkan kemeriahan kanak-kanak di situ. Logiklah anak kecil untuk tertarik dengan perkara yang seronok bagi mereka.

Tapi aku silap.

Anak kecil tadi berlari masuk ke dalam kedai telefon bimbit. Dia menghampiri ruangan pameran dan kemudian berjengket untuk mencapai salah satu telefon bimbit yang dipamerkan. Nasib baik tempat pameran itu sedikit tinggi dan tidak dapat dicapainya. Ibu bapa yang menyedari tindakan itu segera menahan anak kecil mereka. Si bapa mengangkat anaknya untuk didukung, tapi anak kecilnya itu masih lagi gigih meluruskan tangan untuk mencapai telefon bimbit yang ada. Wajahnya jelas kecewa apabila jarak di antara telefon bimbit itu dengan dirinya semakin jauh dibawa bapanya pergi.

Seorang anak kecil diberi pilihan untuk memilih di antara kereta mini dan telefon bimbit. Anak itu pilih telefon bimbit.



Kata Saidina Ali R.A,
"Jika mahu melihat masa depan sesebuah negara, maka lihatlah pemuda-pemudinya pada hari ini."


Sekian.




.

6 comments:

  1. kanak2 sekarang terlalu terdedah dengan teknologi yang membangun...huhu what will happen to our future generation?

    ReplyDelete
    Replies
    1. >Cuya

      Let's just hope our future will be okay. Takkan sama itu memang sudah tentu, tapi harap-harap walaupun berbeza tapi masih lagi okey 😁

      Delete
  2. Budak2 skrg sukakan gadjet
    Bagaimana oah nasib permainan tradisional

    ReplyDelete
    Replies
    1. >budoxe

      Kan. Takde siapa nak perkenalkan permainan tradisional dekat generasi muda. Jom?

      Delete
  3. Budak tu tertarik dengan yang tinggi.budak tu dah bapak budak.

    ReplyDelete
    Replies
    1. >Alif Hazedi

      Eh, ye ke budak tertarik dengan benda tinggi??

      Delete

"It's not what you've got, it's what you do with it." - cEro, 2026