Oct 25, 2017

Dari Gastly ke Manusia Gagal.





Salam.

Jadi, kalau kalian follow aku di twitter dan instagram (@cerolian),
ataupun sudah cukup lama baca blog ini,
maka kalian akan tahu bahawasanya aku adalah pemain game Pokemon GO yang aktif.
Aku nak guna perkataan 'tegar', tapi 'aktif' lebih sesuai sebab aku ada jumpa ramai manusia yang lebih tegar daripada aku.

Pada yang tidak tahu, di dalam game Pokemon GO,
ada satu feature yang dinamakan 'buddy system'.
Buddy system ialah menjadikan satu pokemon pilihan sendiri sebagai 'teman pendamping', dan selepas berjalan beberapa kilometer yang ditetapkan, maka akan dapat 1 (satu) Pokemon Candy.
Candy ini boleh diguna untuk tingkatkan kuasa Pokemon tersebut
ataupun untuk mengevolusi Pokemon tersebut ke Pokemon evolusi yang seterusnya.

(Fuuuuhhh! It's really hard to explain just a feature in Pokemon GO to a non-player)

Buddy yang aku gunakan sekarang adalah Gastly.
Gastly adalah Pokemon jenis hantu.
Aku suka Pokemon hantu, mungkin sebab perangai aku macam hantu
ataupun bela Pokemon hantu membuatkan aku rasa diri lebih 'misteri'.

Gastly susah nak dijumpai di kawasan keliaran,
jadi aku jadikannya sebagai buddy kerana aku mahu evolusikan Gastly ini ke evolusi seterusnya iaitu Haunter dan seterusnya evolusi ke Gengar.
Gengar adalah antara Pokemon hantu yang (boleh dikatakan) kuat.

Juga,
dalam Pokemon GO selalu diadakan acara istimewa sempena sesuatu keraian.
Bermula 20 Oktober lepas sehingga 2 November ini, Pokemon GO meraikan Halloween.
Jadi sempena Halloween, Pokemon GO melepaskan 5 Pokemon hantu baru dari generasi ketiga Pokemon, dan juga meningkatkan kemunculan Pokemon jenis hantu lain di kawasan liar.

Sudah tentu aku suka.
Banyak Pokemon jenis hantu dapat aku tangkap
dan juga dapat miliki 5 Pokemon hantu baru dari generasi ketiga yang belum dilepaskan.

But I think I like it. Actually, I'm not.

Peningkatan kemunculan Pokemon jenis hantu bermakna peningkatan kemunculan Gastly, Pokemon yang menjadi buddy kepada aku.
Pada mulanya, Gastly yang muncul secara banyak membuatkan aku gembira.
Namun, terlalu banyak Gastly membuatkan aku jadi semakin tidak seronok.

Itulah tajuk isu aku hari ini:
TERLALU BANYAK SESUATU MENJADIKAN IA SEMAKIN TIDAK SERONOK.



LESS IS MORE, MORE IS LESS


Sebelum acara sempena Halloween ini,
aku sangat teruja bila Gastly buddy aku dapat kutip satu candy.
Dia akan dapat satu candy setiap 3 kilometer berjalan kaki.
Aku perlu kumpul 125 candy jika mahu evolusi sehingga ke Gengar.
Aku sudah ada 60 candy, jadi hanya perlu kumpul 65 candy lagi.
Dikira-kirakan, aku perlu berjalan 195 kilometer untuk mencapai tujuan itu.
Sebab itu setiap kali jumlah candy aku bertambah satu persatu,
aku jadi begitu teruja. Aku jadi seronok.
Aku jadi bersemangat mahu berjalan lagi.

Tapi, semasa acara Halloween ini,
hanya selepas 3 hari berlalu, aku sudah kumpul 400++ candy Gastly.
Semua disebabkan aku dapat tangkap Gastly di mana-mana sahaja.
Gastly muncul begitu banyak sehinggakan keseronokan dapat hanya SATU candy dari buddy aku tadi sudah tidak dapat aku rasai.
(Nota: setiap kali aku berjaya tangkap satu Gastly, aku akan dapat 3 candy, dan sempena Halloween, candy digandakan dua jadi akan dapat 6 candy untuk satu Gastly)

Aku patut gembira sebab sekarang aku sudah mampu evolusikan Gastly tadi ke Gengar,
tapi aku langsung tak gembira.

Untuk contoh yang lebih mesra umum,
bayangkan kalian di kedai baju.
Satu baju ini kelihatan sangat menarik,
malah hanya ada satu sahaja di ruangan pameran.
Pasti diri kita akan rasa mahu memilikinya, kan?
Tapi cuba bayangkan pula baju yang sama
tapi ada lebih 10 baju itu tersangkut di ruangan pameran,
pasti kita akan rasa 'alaaa, tak menariklah baju ini'.

Taktik sebegini yang selalu pemilik kedai gunakan.
Hanya satu baju dipamer, tapi kalau kita nak, kita akan ditanya saiz dan pekerjanya akan cari baju itu di tempat lain yang disimpan.
Sebab orang kedai itu tahu kalau dia tayang semua baju yang ada
mesti sambutannya kurang berbanding hanya tayang satu.

Kalian ada contoh lain yang bersifat sebegini?
Bila sedikit jadi menarik, bila banyak jadi kurang menarik?



SCARCITY EFFECT


Untuk satu keadaan yang sebaliknya tapi masih di bawah fenomena yang sama,
pernah tak kalian pergi ke pasaraya dan tertarik dengan perkataan seperti:
'Penghabisan stok!'
'Promosi Hanya Dua Hari'
'Hari Terakhir Promosi'
Bila nampak penyataan sebegini, tetiba rasa nak tengok apa yang dijual.
Kadang-kadang jual gayung plastik je,
tapi hati ini rasa nak beli je padahal dekat rumah mandi pakai shower.

Itu, dalam psikologi sosial dipanggil 'scarcity effect'.
(Tidak pasti apa namanya dalam bahasa, kalau ada yang tahu bolehlah berkongsi.)

Scarcity effect ini ialah meletakkan nilai lebih tinggi kepada barang yang kurang (scarce) dan meletakkan nilai yang rendah kepada barang yang banyak (abundant).

Dalam kes Gastly dan Pokemon GO aku tadi,
bila Gastly susah didapati (scarce), jadi aku rasa seronok memilikinya.
Bila Gastly berlambak dan senang nak dapat (abundant), aku sudah jadi tidak seronok.

Sama macam kes baju di ruangan pameran tadi.
Baju yang banyak tidak semenarik dengan baju yang hanya ada satu.

Ingat lagi McFlurry Durian yang pernah dikeluarkan McDonalds sedikit waktu lalu?
Walaupun harganya hampir dua kali ganda harga McFlurry biasa,
tapi sebab katanya ia promosi terhad,
maka McFlurry itu habis stok hanya selepas 3 hari dipasarkan.
(Cuba teka siapa yang tak sempat rasa? Yours truly)

Contoh yang sedikit di luar kebiasaan ialah telefon pintar.
Kenapa kalian fikir ada jenama yang keluarkan telefon pintar dengan harga beribu-ribu ringgit walaupun feature asas seperti bluetooth dan radio pun tiada di dalamnya?
Kerana bila letak harga mahal, jadi tidak ramai yang mampu milikinya,
sekaligus menjadikannya sukar didapati (scarce) dan nilai jika memilikinya tinggi.
Dengan kata lain, pengeluar telefon pintar itu bukan jual telefon semata-mata,
mereka jual 'keseronokan memiliki sesuatu yang orang lain tidak mampu miliki'.



MANUSIA DAN SCARCITY


Pernah satu ketika dahulu aku berbual dengan seorang lelaki pelajar kejuruteraan.
Katanya, dalam kelas dia yang seramai 20 orang, hanya ada 2 orang perempuan,
membuatkan 2 orang ini menjadi rebutan ramai walaupun pada dasarnya mereka itu hanyalah biasa-biasa sahaja.

Scarcity effect tidak hanya berlaku kepada barangan,
tapi boleh berlaku kepada manusia.

Kita selalu dengar tentang 'cabaran menjadi tunangan orang', kan?
Selalunya dikatakan ketika dalam tempoh bertunang,
akan ada pihak ketiga yang akan mengganggu hubungan itu.
Kalau lemah menempuh cabaran, maka hubungan tunangan boleh terganggu dan lebih teruk putus di tengah jalan.
Ini juga contoh 'scarcity effect' kepada manusia.

Bila seseorang menjadi tunangan (atau pasangan) seseorang,
sekaligus membuatkan diri dia sukar untuk didapati (scarce) dan nilainya meningkat.
Dia yang pada sebelumnya tidaklah semenarik mana,
terus menjadi sangat menarik selepas menjadi milik orang lain.

Tapi, menjadi milik orang bukanlah satu-satunya cara untuk manusia menjadi 'scarce'.

Seorang artis perempuan N dahulunya tidak bertudung dan sangat seksi.
Pada ketika itu dia sudah dikira menarik.
Tapi kini dia sudah bertudung sopan dan tidak seksi lagi,
serta merta dia menjadi idaman kebanyakan lelaki di luar sana.
Ini kerana sesuatu yang bernilai kepadanya kini tidak lagi ditayang
menjadikannya 'scarce' dan meningkatkan nilai dirinya.

Kita juga pernah dengar orang kata 'jangan jual murah sangat'
merujuk kepada hubungan sosial sesama manusia, kan?
Maksudnya, untuk menarik hati seseorang,
jangan terlalu mudah untuk luahkan perasaan suka walaupun sebenarnya kita memang suka.
Perlu ada jual mahal sedikit supaya sampai masa kita akan lebih dihargai.
Kalau kita terlalu senang untuk didapati,
maka kita tidak akan lebih dihargai.



KESIMPULAN


Aku sudah tulis panjang lebar tentang 'scarcity effect' dan contoh-contohnya.
At this point you will wonder what exactly is my point, kan?
Selalunya dalam post-post aku sebelum ini,
walaupun isunya besar dan umum,
aku akan jadikannya isu personal dan kaitkan dengan diri aku sendiri.
Sudah tentulah kali ini juga aku akan kaitkan dengan diri sendiri,
ini blog aku, mestilah aku akan bercerita tentang diri aku.

My point is,
semua isi di atas adalah contoh perkara yang akan aku fikirkan dalam kepala.
Bila kita nampak sesuatu perkara yang kita tahu, bukankah ia sangat mengujakan?
Aku berminat melihat perkara sebegini berlaku.
Dan aku juga berminat untuk bualkan perkara seperti ini dengan orang lain.
Daripada bercerita tentang cuaca hari ini ataupun gosip artis ataupun isu politik yang tidak habis-habis, pada aku, hal seperti di atas berlipat kali ganda lebih menarik untuk dibualkan.

Ceritanya,
suatu hari aku duduk di bangku rehat sebuah taman.
Tiba-tiba aku didatangi seorang perempuan, mungkin sebaya mungkin lebih muda.
Dia duduk di sebelah aku dan hadiahkan aku senyuman.
Aku balas senyuman, kemudian dia mulakan bualan.
Dia memuji cuaca yang baik dan langit yang cerah.
Aku iyakan sahaja kerana semuanya memang fakta.
Dia tanya tentang harga petrol terkini sama ada naik atau turun.
Aku kata aku tidak tahu dan tidak ambil tahu.

Suasana menjadi janggal.
Kedua-dua kami diam.
Aku terus belek telefon, tangkap Gastly dalam Pokemon GO.
Dia pula terus diam, dan kemudiannya berlalu tanpa suara.

Inilah salah satu sebab kenapa aku masih bujang sehingga sekarang.
Aku tahu 'scarcity effect' dan beberapa perkara lain dalam sains sosial,
tapi aku sendiri tidak tahu cara untuk bersosial.
Aku tidak tahu cara untuk membalas perbualan manusia.
Aku tahu apa yang menjadikan manusia menarik,
tapi aku sendiri tidak jadikan diri aku sendiri menarik.

Aku seorang yang gagal.




.

Oct 18, 2017

25 Hari! [Bahagian Akhir : Kisah Klasik Untuk...]


Salam.

Selamat menyambut Deepavali kepada yang menyambut.
Walaupun aku yakin tak ada pembaca blog ini yang sambut Deepavali,
tapi kalau ada silalah beritahu. Manalah tahu, kan?

At this point, you have to agree with me that
this blog is becoming more and more boring.
Aku asyik borak perkara yang tidak menyeronokkan
dalam nada yang langsung tiada positif.
Siapa suka, kan?

I'm sorry, but please bear with me.
This is just a phase, it'll eventually pass, I'm sure.

Jadi, ini adalah bahagian terakhir untuk siri [25 Hari!].
Bahagian pertama aku sentuh bagaimana aku demam selama 25 hari.
Bahagian kedua aku mempersoalkan hobi melukis aku.
Bahagian ketiga pula aku berbicara tentang penamat riwayat.

Jadi,
untuk bahagian terakhir ini,
apa lagi besar daripada kematian sehinggakan aku letak isunya pada bahagian terakhir dan bukannya cerita tentang mati?

Jawapannya, MASA DEPAN.

Sejak beberapa tahun belakangan ini,
aku sudah setkan impian aku untuk sambung belajar.
Jadi, aku kumpul duit untuk tujuan itu sebab rasanya semua tahu,
nak belajar ini bukannya sepuluh sen dua ongkosnya.
Makan ribu riban juga.

Please don't talk about sponsorship.
Tak senang tau nak minta sponsor, even pinjaman sekalipun.
Jadi cara paling mudah ialah dengan sponsor diri sendiri.

Ok, sambung cerita...

Begini.
Aku simpan duit.
Bila duit mula nak banyak, ada sesuatu berlaku.
Jadi aku kena guna duit simpanan itu.
Lepas sudah reda, aku mula simpan semula.
Bila duit mula nak banyak balik, sesuatu lain pula berlaku.
Jadi aku kena guna duit simpanan itu lagi.

Dan perkara ini berulang lagi dan lagi dan lagi...

Ada orang terdekat perlukan duitlah.
Motosikal aku buat hal teruklah.
Aku kena buat pembedahanlah.
Aku pindah rumahlah.
Macam-macam lagi perkara berlaku yang memerlukan aku untuk guna duit simpanan itu.

Kalau asyik guna, bila rasanya aku boleh sambung belajar?

Aku ketepikan peningkatan kerjaya diri sebab aku tak mahu terikat.
Aku mahu, bila tiba masanya, aku akan terus masuk belajar tanpa perlu habiskan mana-mana kontrak.
Pada sesetengah orang, nampak macam aku buang masa.
Tapi itulah, impian aku bukan untuk berjawatan besar,
aku cuma mahu sambung belajar.

Semasa demam 25 hari aku itu, aku ada terfikir.
Seperti ada sesuatu yang tidak izinkan aku untuk sambung belajar.
Segala rancangan aku untuk sambung belajar, semuanya tidak menjadi.

Bahasa orang selalu guna ialah 'belum ada rezeki',
tapi aku ini bukannya makin muda.
Kalau sekarang tiada rezeki, bila lagi?
Takkan aku nak sambung belajar pada usia emas, kot?
Orang lain masa tua nak hidup senang dengan anak cucu,
aku pula masa tua sibuk selak buku, study untuk exam.

Bila aku fikir lagi secara mendalam,
masalah utama aku bukannya 'tiada keizinan',
tapi lebih kepada kekangan kewangan.

Aku rasa, aku tidak cukup tekad untuk menyimpan.
Aku bukanlah dari keluarga kaya raya, tapi aku juga tidak susah.
Aku juga bukanlah jenis yang mengejar kekayaan,
aku selesa dengan hidup aku sekarang.
Cuma,
dari konteks mahu sambung belajar,
adalah sangat beruntung kalau aku ini kaya raya.
Alangkah baiknya kalau duit bukan sesuatu yang memeningkan kepala.
Bila mahu, buat, dan akan dapat. Kan best?

(Dan sekarang aku kedengaran seperti seorang yang sangat tidak bersyukur)

Aku percaya satu hari nanti ada rezeki aku.
Mungkin bukan sekarang, tapi pasti ada bahagian untuk aku.
Aku cuma harap aku tidak terlambat.

Mungkin juga aku perlu lebih banyak bersedekah kerana dengan bersedekahlah, rezeki kita menjadi murah.

Ya. Masa depan.
Aku mahu sambung belajar, tapi aku tidak mampu.
Aku juga tidak dapat tingkatkan kerjaya kerana peluangnya bukan datang selalu.
Aku juga tidak mampu berkeluarga kerana...sekali lagi...tak mampu.

Jadi rasanya...
...apa akan jadi pada masa depan aku?





.

Oct 11, 2017

25 Hari! [Bahagian 3 : Persamaan Mutlak]



Salam.

Terkejut ada bahagian 3?
Pada aku, benda ni boleh dijangka.
Logiklah kalau ada bahagian 2, sudah tentu ada bahagian 3, kan?

Bagi yang baru baca blog ni, ini ringkasannya;
25 Hari (bahagian 1) aku bercerita tentang demam selama 25 hari yang aku alami.
Bahagian 2 pula aku memetik bagaimana demam 25 hari itu mengubah perspektif aku terhadap hobi melukis aku, yang pada aku sekarang, bukan lagi satu hobi yang menyeronokkan.

Dalam bahagian ketiga ini,
aku akan sentuh isu yang lebih berat, tapi tiada siapa yang dapat lari daripada memikirkannya.

Bila kau demam terlantar atas katil,
mata merenung dinding, memandang siling dek kerana badan tidak boleh bergerak.
Datang pula sensasi lain, kau dapat rasa organ dalaman kau bergerak-gerak,
mesti kau akan terfikir tentang sesuatu ini, kan?

Mesti kau akan fikir tentang KEMATIAN.


Tuan-tuan, puan-puan yang dihormati,
Satu persamaan mutlak antara semua manusia di atas muka bumi ini,
juga persamaan mutlak antara semua makhluk bernyawa yang pernah wujud dari awal kewujudan alam sehinggalah sekarang,
adalah kita semua akan merasai MATI.

Pada saat aku demam teruk dan terlantar tak dapat bergerak,
terdetik dalam hati aku,
"Adakah ini penamatnya?"
"Adakah usia aku (sekian-sekian) tahun akan tamat di atas katil ini?"
"Apa akan berlaku selepas aku mati?"
"Siapakah yang akan bersedih dengan kematian aku?"
"Adakah mereka yang akan berseronok bila aku pergi?"
"Adakah perginya aku akan menyusahkan orang lain? Atau memudahkan hidup orang lain?"

Let say I died.
Yang paling terkesan tentulah famili.
Mereka bersedih, berduka dalam satu masa tertentu.
Tapi selepas berlalu masa itu, mereka pun akan teruskan hidup, kan?
Sampai bila mahu bersedih, kan?
Akhirnya, hanya dikenang ketika waktu tertentu sahaja, seperti tarikh hari lahir dan pada hari raya.
Sampai satu masa, walaupun kepada keluarga sendiri, kita akan hanya menjadi sejarah.

Belum cakap kawan/kenalan lagi.
Beberapa hari pertama ketiadaan kita, mungkin mereka akan terkesan.
Yang baik akan sedekahkan al-fatihah,
yang tak berapa baik hanya taip 'al-fatihah' di status facebook.
Mungkin ada yang jadi ralat persoalkan diri kenapa waktu hidup dahulu tak spend time lebih, tapi majoriti akan teruskan hidup seperti biasa selepasnya, kan?

Tempat kerja?
Mungkin kerana tamat begitu sahaja,
jadi akan menyusahkan pengurusan untuk periksa balik progress kerja kita.
Mana yang perlu diteruskan, akan diserahkan kepada pekerja lain.
Mana yang senyap, akan terus disenyapkan, kecuali berbangkit kemudian hari.
Jawatan yang kosong, akan diisi calon lain.
Dan hidup semua orang pun akan terus menjadi normal seperti biasa.

This will not only happen to me.
Ini akan berlaku kepada semua orang.
Orang besar, orang kecil, orang ternama, orang tiada nama.
Yang beza hanyalah masa orang keliling nak 'move on'.

Kita umpama bintang di angkasa raya.
Hilang satu dek supernova, esok hanya tinggal sebagai debu angkasa.

Jadi, for once, kenapa memilih untuk melakukan perkara sia-sia semasa hidup?


Apa kata kita lakukan sesuatu yang memberi impak kepada orang lain, walaupun sesudah kita tiada.
Kita berbuat baik kepada semua orang, termasuk mereka yang tidak kita kenal,
supaya apabila kita tiada nanti, kita tetap berada di dalam doa mereka.

Aku tidak kata aku sudah baik,
tapi aku ingin jadi baik.
Aku tidak mahu dikenali dengan sifat negatif aku.
Aku mahu diingati kerana kebaikan aku, walaupun untuk seketika.

Semua itu aku fikirkan semasa terlantar demam atas katil.

Jadi, untuk itu,
aku di sini ingin memohon maaf kepada semua yang sedang membaca.
Aku tidak pasti apa salah yang pernah aku buat,
tapi kalau ada, maafkanlah aku.
Kita baiki segala yang tidak elok antara kita.

Berhari-hari aku terbaring sambil merasa organ dalam badan bergerak.
Mati itu pasti.
Aku cuma harap, kalau aku pergi,
aku akan pergi dalam keadaan orang yang kenal aku akan doakan yang baik-baik untuk aku, bukannya berasa lega aku sudah tiada.

Sekali lagi,
aku minta maaf.

Bye.





.

Oct 4, 2017

25 Hari! [Bahagian 2 : Jawapan Untuk Soalan]


Salam.

Sebelum aku mulakan entri hari ini,
kalian yang (masih) baca blog ini tak kisah ke post kebelakangan ni tak ada komik/gambar dan text sepenuhnya?
Kalau kisah, beritahu aku.
Kalau mampu aku akan ubah nanti.

Kalau kalian baca entri lepas,
doktor beritahu aku tiga demam dalam kurang sebulan yang aku alami sebenarnya hanya satu demam yang panjang.
Semasa demam panjang itu, banyak perkara aku fikirkan.
Antaranya ialah hobi aku melukis.

Sepanjang demam itu bermula sehinggalah hari ini, aku langsung tidak melukis.
Biar aku beritahu kenapa.

Sudah tentu sepanjang demam aku tidak melukis sebab aku demam.
Asyik terbaring tidur dan lemah satu badan.
Tapi masa sihat balik, pun aku tak melukis langsung.
Aku langsung tak ada hati nak pegang pen atau stylus untuk melukis.

Semuanya disebabkan aku rasa aku sudah hilang motivasi untuk melukis.
Kalau tanya aku yang 5 tahun lalu, aku akan kata melukis adalah hobi aku.
Bila aku buat hobi aku, aku rasa seronok dan puas.
Tapi kalau tanya aku sekarang, aku rasa walaupun aku melukis,
aku sudah tidak puas dan tidak seronok seperti dulu.

Aku dapat rasa sendiri yang pada satu tahap,
aku sudah tidak ada improvement dalam melukis.
Skil melukis aku sudah sampai 'bumbung'nya, dan tak akan naik lagi.
Lukisan aku pun bukanlah cantik mana, bukanlah menarik mana,
jadi bila aku rasa aku tiada improvement, aku hilang motivasi.

Logiklah.
Buat apa aku terus struggle kalau hasilnya tiada kemajuan?
Buat apa aku nak terus melukis kalau kepuasan pun tiada, seronok pun tiada, kemajuan pun tiada.
Benda lain yang habis lagi adalah.
Masa habis, peralatan melukis habis, kertas habis.

Pada tahap aku sekarang, aku rasa segalanya tidak berbaloi.
Macam yang aku cakap tadi, aku sudah hilang motivasi.

Beberapa tahun lepas memang seronok melukis.
Dari komik aku, aku dapat kenalan baru dan ramai sama ada di media sosial ataupun di blog ini.
Banyak projek komik yang aku sertai.
Banyak bakat lain yang aku cemburui.
Dari orang asing menjadi kenalan menjadi kawan,
saat itu memang seronok.

Tapi kini tidak lagi.

Most of them friends yang aku kenal masa itu
sudah tunjukkan warna sebenar mereka.
You know...human. Give them time, they'll show you their true color.
Of course, kumpulan yang dulu masing-masing gigih menonjolkan diri dengan lukisan
kini sudah berpuak-puak, berpecah-belah.
Dia ini tak nak kawan dengan dia ini.
Dia ini tak boleh ngam dengan dia ini.
Dia ini pulaukan dia ini.
Macam-macam karenah dalam kumpulan kecil itu.

Sudahlah industri melukis komik pun sudah kecil,
orang dalamnya pun nak berpuak-puak lagi.
Ini membuatkan aku semakin kurang minat.

Aku sendiri pun.
Dengan prinsip anonymity aku tergadai.
Entah apa salah, aku kini bermasam muka dengan beberapa yang lain.
Macam bakat aku yang aku ceritakan tadi,
aku tidak nampak kemajuan dalam apa-apa cabang, termasuklah dalam hubungan sosial dengan para geng melukis.

Sebab itu, kini, aku hanya berdiam diri dalam kumpulan tadi.
Masih baca mesej-mesej mereka di group chat,
tapi sekadar baca.
Takut bila aku masuk campur, ada yang jauh hati.

Sebab itulah, kini,
aku jadi malas nak melukis.
Aku hilang motivasi. Langsung tak ada sebab lagi untuk aku terus melukis.

It's sad, to not to do what once we loved to do,
but I kinda have no choice.

Aku tak tahu masa depan,
tapi untuk masa sekarang, aku masih mencari jawapan.
Jawapan kepada satu soalan yang aku tanya diri aku masa demam 25 hari hari tu.
Soalan yang berbunyi;
"Kenapa perlu untuk aku terus melukis?"

Kalau kalian rasa ada jawapannya,
bolehlah beritahu aku.
Sebab sekarang, aku langsung tak ada jawapan.

Bye.






.