Aug 31, 2016

Kini, Semua Orang Mampu Menyumbang Kepada Negara.



Salam.

Jika kalian sedang membaca ini pada rabu 31 Ogos 2016,
SELAMAT HARI MERDEKA!
Pada masa ini aku mungkin sedang berdiri di kalangan ribuan rakyat Malaysia yang lain di Dataran Merdeka melihat perarakan Hari Kebangsaan.

Bagi yang belum tahu, tiap-tiap tahun aku sudah beritahu,
aktiviti ke Dataran Merdeka pada 31 Ogos adalah aktiviti rutin tahunan keluarga,
atau lebih baik aku nyatakan ia adalah aktiviti rutin tahunan aku sendiri.

Penat, panas,
tapi berbaloi sebab boleh bersama-sama orang lain sambut merdeka.
Yaay!







"Jangan tanya apa sumbangan negara kepada kamu,
tanyalah apa sumbangan kamu kepada negara.
Apa sumbangan kamu terhadap Malaysia?"

Soalan di atas sudah lama dimomokkan kepada seluruh rakyat Malaysia.
Paling aku ingat semasa sekolah rendah dahulu, guru besar dengan semangatnya memberi ucapan sempena sambutan Hari Kebangsaan.
Dia petik penyataan di atas dan tinggalkan semua dengan persoalan.

Ya.
Awal-awal dengar memanglah rasa meremang,
buatkan kita giat memikirkan apa yang boleh kita buat untuk menyumbang kepada negara.
Aku pernah berangan nak jadi angkasawan pertama sebagai sumbangan aku kepada negara,
but then Dr Sheikh Muszaphar happened...

Tapi makin dewasa,
soalan itu tidak lagi beri kesan kepada aku.
Walaupun aku tak rasa aku ada menyumbang,
tapi aku juga terasa tidak bersalah untuk tidak menyumbang.
Hahahaha.

Tapi sekarang lain.
Jika ada yang bertanya apa sumbangan aku kepada negara,
aku dengan bangga dan mendabik dada akan berkata,
"GST!"

Ya, GST.
Sekarang semua orang mampu menyumbang kepada negara tanpa dipersoalkan.
Semua orang bayar GST.
Even kanak-kanak nak beli gula-gula dekat kedai runcit pun dikenakan GST.
Mereka juga sudah menyumbang kepada negara dari usia muda lagi.

Para pemimpin juga tidak boleh persoalkan sumbangan GST itu,
sebab GST memang menyumbang kepada pembangunan negara secara langsung.

Kini,
para pemimpin dan guru-guru besar seluruh negara sudah tidak boleh lagi mempersoalkan sumbangan kita seluruh rakyat kepada Malaysia.
Tiada lagi retorik yang kononnya mahu menaikkan semangat patriot di kalangan rakyat.
Kami rakyat tidak perlu bersusah payah mengutip pingat emas di sukan berprestij tinggi.
Kami rakyat juga tidak perlu lagi berangan jadi angkasawan.
Kami rakyat tidak perlu lagi bertungkus lumus buat kajian untuk mengejar Anugerah Nobel.

Jika kami mahu diingatkan apa sumbangan kami kepada negara,
cukup sekadar baca resit pembelian barang kami sebentar tadi.

Terima kasih, PM Najib.
Kini aku sudah boleh jawab soalan guru besar aku itu tadi dengan jayanya.


Selamat Hari Merdeka ke-59.
Merdeka! Merdeka! MERDEKA!




.

Aug 24, 2016

Kelengkeng Menerobos.







Salam.

Kalau kalian datang sini mengharapkan komik atau lukisan, ataupun hasil tulisan yang jiwang atau meruntun hati, maafkan aku. Aku masih di dalam mood malas tapi dalam masa sama tak mahu pecahkan rekod update setiap rabu.

Dan aku sedang berat menimbang untuk betul-betul hiatus sepenuhnya.
Mungkin hilang setahun and come back stronger.


Tapi,
untuk tidak menghampakan kalian yang gigih tunggu blog ini loading namun akhirnya kecewa akibat kemalasan cEro, aku tinggalkan entri ini dengan satu persoalan:



Bayangkan anda duduk satu rumah dengan si A.
Si A ini jenis yang sambil lewa, suka tinggalkan pintu rumah terbuka tidak berkunci, pagar tidak bermangga sedangkan dia hilang terperap di dalam bilik.
Berkali-kali nasihat suruh paling kurang tidak tinggalkan pintu tidak berkunci, tapi atas sebab-sebab tertentu, dia tak akan dengar nasihat anda.

Pada anda, jangan sampai satu masa rumah kena masuk pencuri atau perompak, barang hilang barulah nak diambil kira nasihat tersebut. Jika hal itu berlaku, maka semuanya sudahpun terlambat.

Tapi satu-satunya cara untuk ubah perangai si A ini adalah dengan biarkan hal itu berlaku, maksudnya selagi tidak berlaku rompakan dan kecurian, si A tidak akan berubah. Anda sangat mahukan si A berubah.

Maka,
anda pun rancang satu kejadian rompakan di rumah anda sendiri.

Bersama-sama beberapa kawan yang boleh dipercayai, anda rompak rumah anda sendiri di kala si A berada di rumah yang dibiar terbuka pintunya. Semuanya dalam kawalan, tidak kecederaan, barang yang 'dirompak' juga bukanlah berharga tinggi sangat.

Sejak dari peristiwa itu, si A berubah menjadi berjaga-jaga dengan keselamatan rumah.

Misi anda berjaya.




Sekarang, ini persoalannya:
Adakah perbuatan anda itu BETUL dari segi moral, agama dan undang-undang?





.

Aug 17, 2016

Kisah Lamborghini di Lebuhraya.






Salam.


Hidup sentiasa ada jatuh bangun.

Lebuhraya Persekutuan a.k.a Federal Highway.
Bagi yang tidak tahu di mana, ringkas aku beritahu bahawa lebuhraya ini sentiasa ada penggunanya. Segala jenis kenderaan sentiasa berpusu-pusu menggunakannya kerana lebuhraya ini menghubungkan tiga bandar besar di Lembah Klang iaitu Shah Alam, Petaling Jaya dan sudah tentu, Kuala Lumpur.

Aku pengguna tegar Federal Hughway.
Walaupun laluan motosikal disediakan, tetapi jalannya tidak pernah sempurna.
Sempit dan menyusahkan.
Berlubang di sini, tidak rata di sana.
Berpasir di sini, bertakung air di sana.
Tidak pernah tidak ada makian dan carutan di laluan sikal ini.

Tapi aku tetap menggunakannya.

Suatu petang,
aku menelusuri laluan sikal bersama 'kuda putih' aku.
Waktu puncak menunjukkan umat manusia sedang pulang dari tugas 9-5 mereka.
Maka bersesaklah di atas jalanraya dengan kenderaan yang majoritinya beroda empat.

Kami di laluan sikal pun apa kurangnya.
Ada yang 'samseng', kerjanya nak memecut sahaja.
Langsung tidak diendahkan pengguna lain.
Macam dia sahaja yang nak pulang ke rumah cepat.

Aku tidak suka memecut di laluan sikal.
Aku lebih suka kekal pada satu kelajuan yang stabil.
Menikmati permandangan keliling, gelagat manusia rimba konkrit.
Hanya dalam satu jam perjalanan, pelbagai senario dapat aku lihat.

Untuk makluman,
dari laluan sikal juga dapat melihat jalanraya utama (walaupun tidak setiap masa).

Jalanraya yang sesak, kereta perlahan merangkak.
Berderu dari jauh di depan bunyi kereta berkuasa besar.
Bila aku kecilkan iris,
apa yang aku nampak adalah sebuah kereta jenama Lamborghini.

Aku cukup ilmu daripada hasil tontonan siri TV Top Gear untuk mengetahui bahawa kereta itu bukan sahaja berkuasa besar, malah bukan calang-calang harganya.
Kalau tidak silap, itu model Aventador.
Juga kalau tidak silap, hanya sekelompok kecil sahaja pemilik kereta tersebut di negara tanah tumpah darah aku ini.
Ia bukan mampu dimiliki oleh orang biasa.

Tapi malangnya,
kereta berkuasa besar, berharga besar, dipandu oleh orang besar itu
bukan sahaja perlu beratur sekali merangkak dalam kesesakan
malah perlu juga bercampur dan berada sekelompok dengan kereta lain yang mungkin harganya hanya secebis sahaja daripada harga dirinya.

Aku tergelak kecil.

Potensi kereta itu cukup besar.
Di lapangan yang sesuai, kereta itu mampu memecut laju.
Memecut laju meninggalkan mana-mana kereta yang berada di kiri dan kanan.
Bunyi enjinnya serupa ngauman sang singa raja di hutan yang buas.
Buas mengetawakan mereka yang ditinggalkannya di belakang bersama kepulan asap hasil ledakan enjin berkuasa besar.

Namun, malangnya
raja di jalanraya kini terperangkap merangkak di Federal Highway.
Bersama-sama yang lain sedikit demi sedikit maju ke hadapan.
Potensi yang ada hanya sekadar kebanggaan sendiri, tiada siapa peduli.
Hanya menjadi tatapan orang sekeliling dengan kemegahan luarannya
dan menjadi bahan tawa insan seperti aku yang nampak ironi hidupnya.



Sama seperti kehidupan,
kita semua adalah sebuah kereta Lambo.
Di lapangan yang sesuai, kita mampu meledakkan potensi diri.

Namun,
tidak semua daripada kita berada di lapangan yang sesuai.
Ada di antara kita tersilap langkah memilih lapangan yang salah.
Lapangan di mana potensi kita tidak digunakan sepenuhnya.
Lapangan di mana kita terperangkap dengan keadaan sekeliling yang menyesakkan.
Lapangan di mana apa yang kita boleh buat hanyalah bertahan, maju dengan perlahan dan berdoa agar di hujung jalan terdapatnya lapangan lain yang lebih sesuai untuk diri kita.

Kepada semua Lambo yang sedang meronta di luar sana,
BERTABAHLAH.
Jika ada peluang, carilah lapangan yang sesuai dengan diri anda.

Kita semua adalah sebuah Lambo.








.

Aug 10, 2016

L untuk...




Salam.

Present cEro's here.
Life's suck!

'Hidup ibarat roda.'
Aku selalu tak puas hati bila orang guna ungkapan di atas.
Kalau hidup ibarat roda, dan roda adalah bulat,
maka kita akan tahu selepas atas, pasti akan ke bawah.
Selepas bawah, pasti akan ke bawah.

Namun kehidupan bukan macam tu,
ada kala, bila kita ke bawah, kita akan ke bawah lagi,
ke bawah lagi, dan lagi, dan lagi dan lagi.
Roda mana yang ke bawah dan ke bawah dan ke bawah dan ke bawah?
Roda yang tidak bergerak, maka yang bawah akan tetap di bawah.

Mat salleh keluarkan ungkapan 'life is like a roller coaster'.
Sedikit tepat berbanding roda,
tapi kebanyakan roller coaster hanya berdurasi beberapa saat.
Sangat jarang adanya roller coaster yang berdurasi makan minit.
Dalam beberapa saat itulah adanya naik ke atas turun terjunam naik ke atas balik terjunam balik.
Tidak kira berapa teruk dan ngeri sekalipun roller coaster tersebut,
ia hanya berdurasi beberapa saat.

Namun kehidupan bukan macam tu,
kehidupan bukan berdurasi beberapa saat.
Ngeri-ngeri kehidupan, kita tak tahu bila akan berakhir.
Jatuh terjunam kehidupan, kita tak tahu sakit mana jatuhnya.
Pecut daki jauh mana sekalipun, akhirnya graviti juga yang mainkan peranan.



Jujur kata, aku dah penat struggle dalam kehidupan.
Aku sekarang bagai sedang berada di dalam LIMBO,
jauh jatuh ke dimensi bawahan dan buntu mencari jalan keluar.



Dulu, Past cEro, adalah seorang yang mempunyai harapan tinggi.
Dia selalu katakan dirinya berpotensi besar dan telah ditakdirkan untuk melakukan sesuatu yang bakal mengubah dunia.

Namun sekarang,
sebagai Present cEro, aku rasa aku sangat useless, tak berguna.
Sejenis manusia yang tiada masa depan dan tidak layak untuk apa-apa.
Potensi? Ptuuihhh!! Itu kata-kata milik angan-angan.
Mengubah dunia? Itu semua delusi. DELUSI!
Berapa kuat aku berusaha, aku tetap di takuk yang lama.
Berapa kuat aku meronta, belitan makin ketat menyeksa.

Usia makin bertambah, masa makin suntuk.
Sampai ke tahap ini aku merasakan apalah yang akan terjadi kepada Future cEro?
Akan wujudkah Future cEro?


Jujur kata, aku dah penat.





This is a cry for help.



.

Aug 3, 2016

4 Cerita 1 Hari.


Salam.

Aku Past cEro.
Jika kalian terbaca entri ini,
malangnya, Present cEro masih lagi berada di dalam hiatus a.k.a kemalasan untuk melukis.

Present cEro ni tamak orangnya.
Dia nak kekal record up entri setiap rabu,
tapi dalam masa sama dia pemalas hanya nak gosok perut atas katil empuk.
Maka yang jadi mangsa adalah aku, Past cEro, yang terpaksa perah otak memikirkan entri yang patut di-schedule-kan untuk setiap hari rabu. Heh!

Mari pendekkan bebelan dan terus ke isi utama.

Minggu ini aku mahu kongsikan 4 cerita pendek yang berlaku ke atas diri aku dalam masa satu hari.



Cerita 1


Beberapa hari lalu aku berniat mahu memohon sesuatu.
Apa sesuatu itu, biarlah rahsia dulu. Kalau jadi, aku bagitahu dekat sini.

Aku buka website tempat memohon itu untuk keterangan lanjut.
Dalam fikiran aku, mungkin kena isi borang online tertentu,
atau upload beberapa dokumen butiran peribadi diri,
atau hantar butiran melalui emel.
Maksud aku, dalam kepala aku semua prosedurnya adalah online,
maka bersiul-siullah aku sambil membaca keterangan itu.
Manakan tidak, benda online ni kan cepat, mudah dan berkesan.

Tup tup dia minta hantarkan surat permohonan ke alamat tertentu.
Empat kali aku gosok mata, tak percaya dengan apa yang diberitahu.
Betul ke di zaman dunia di hujung jari, masih ada organisasi besar yang masih gunakan metod klasik pos siput untuk urusan?

Sudah lama aku tinggalkan subjek Bahasa Malaysia.
Jadi apabila aku terpaksa menulis atu surat kiriman rasmi,
maka terkontang-kantinglah diri ini menggoogle format surat kiriman rasmi.

Siap surat selepas berpenat lelah mengarang ayat bodek,
maka sudah tiba masa untuk print.

Printer aku tidak berfungsi. Jari tengah aku hulurkan.

Terpaksa menapak keluar mencari kedai yang ada perkhidmatan print.
Terjumpa satu kedai. Sehelai 30 sen katanya.
Aku perlu print 5 helai, maka RM1.50 terbang di situ.
Aku juga perlukan sampul surat, maka tambah lagi 60sen.
Setem pula, sebab surat saiz A4 tidak dilipat,
maka aku tampal setem RM1 walaupun aku tak pasti sebenarnya berapa kos setem untuk surat sedemikian.

Dekat situ sahaja sudah hilang RM3.10,
itupun belum tentu lagi surat itu selamat sampai ke destinasi.
Padahal kalau dia buat permohonan itu secara online, percuma je, confirm sampai pula tu.




Cerita 2


Surat yang sudah diprint, diisi ke dalam sampul, ditutup dan disetem sudahpun berada di tangan.

Hari ini hari Jumaat.
Aku terfikir kalau aku ke pejabat pos awal pagi,
surat akan sempat dikutip dan kemungkinan untuk surat berkenaan sampai ke destinasi pada hari yang sama pun tinggi memandangkan surat tersebut masih beralamat di dalam Wilayah Persekutuan yang sama.

Tapi pemikiran aku itu naif.

Aku sampai di pejabat pos pada pukul 10:05 pagi.
Tong merah tercatat bahawa surat di tong tersebut dikutip setiap hari bekerja jam 10 pagi.

Maka termencarutlah mulut ini di hadapan pejabat pos.

Kutipan surat untuk hari itu sudah terlepas (5 minit lalu).
Disebabkan esoknya Sabtu, bercuti, maka kutipan seterusnya adalah pada hari Isnin.

Jadi untuk apa aku semangat menaip surat, print, sampulkan, setemkan, dan bergegas ke pejabat pos kalau kutipannya adalah pada 3 hari kemudian?

Kalau aku lepak-lepak tulis surat dengan ayat mantap fantastik bombastik pada hari Sabtu, dan sampul dan setemkan pada hari Ahad, aku masih mampu mengejar masa kutipan yang sama.

Pengajarannya,
jangan hantar surat pada hari Jumaat. Rugi.




Cerita 3


Petang Jumaat itu aku ke sebuah pasaraya jenama terkemuka *batuk* *batuk* *Tesco Rawang* *batuk* bertujuan untuk membeli rak buku supaya boleh digunakan untuk mengisi komik-komik yang bergelimpangan di lantai bilik.

Alkisah aku dihampiri oleh seorang gadis manis semasa mahu adjust motosikal di ruangan parkir.

Ya, muka di manis. Ayu. Aku rasa ini jenis yang Ankel Jonni suka.
Tapi dia menghampiri sambil membawa beberapa dokumen di tangan,
jadi rasanya dia menghampiri aku bukanlah disebabkan aku sudah mencuri hati dia, tapi dia ada mahukan sesuatu daripada aku.

"Abang, ada 5 minit tak?" kata dia.

"Saya ada seluruh hayat masa untuk awak, tapi saya tahu awak cuma mahukan wang saya, kan?" cetus hati aku. Tak berani nak berchia-chia depan-depan. Huhu

"Saya lapar. Lain kali boleh?"
"Alaa, bang. 2 minit je pun takpe. 2 minit je."

Gadis tu sudah buat suara manja, aku macam kalah sikit.
Maka, aku jenguk jam di henset dan mula time masa 2 minit.

"Okay, 2 minit dari sekarang..."

Gadis itu gigih bercerita tentang skim insurans yang dijual. Skim yang sama macam iklan TV yang boleh apply guna telefon tu, alaa yang serendah RM10 tu, alaa yang satu keluarga pun boleh apply sama tu.

Gaya gadis itu bercerita sangat menarik.
Aku pun makin lama makin tertarik mahu join insurans tersebut.
Daripada suara dan gerak tubuh, aku teka dia ni orang Johor tapi aku tak ada poin kukuh untuk sokong tekaan aku.
Aku bajet selepas habis dua minit dia membebel, mungkin aku akan minta nombor telefon dia supaya aku boleh set masa lain kali untuk berborak lebih panjang mengenai masa depan kami bersama skim insurans yang dia jual itu.

Sekarang tak boleh, sebab aku lapar.
Arwah Cikgu Latifah ajar, "Jangan buat keputusan besar ketika lapar".

Tapi pada minit 1:45, gadis itu terbuat satu kesilapan.
Dia kata,
"Insurans ini sesuai untuk mereka yang berpendapatan kecil dan penunggang motosikal"

Kalau kalian kenal aku melalui blog dan media sosial,
kalian akan tahu aku amat sensitif dalam bab samakan penunggang motosikal dengan taraf pendapatan.
Mungkin sebab aku hanya pakai T-shirt lusuh, berkasut kotor dan bermotosikal, dia sudah label aku berpendapatan rendah. Itu, pada aku, satu penghinaan.

Memang betul, aku pun bukannya kaya mana.
Tapi poin aku di sini bukanlah betul atau tidak faktanya,
tapi perangai suka pukul rata semua orang sama. Itu aku tak suka.
So...

"Okay, 2 minit sudah tamat. Apa kata awak bagi pamplet yang awak pegang tu supaya saya dapat fikirkannya semasa saya sedang menjamu selera di dalam."

Gadis itupun dengan muka kecewa hulurkan aku pamplet berkenaan dan aku pun berlalu meninggalkan calon jodoh yang sudah aku tolak hanya kerana tersalah cakap.




Cerita 4


Selepas menjamu selera sambil menjadikan pamplet skim insurans sebagai lapik cawan basah, aku keluar dari medan selera dan masuk ke dalam pasaraya untuk meninjau rak buku pilihan hati.

JUMPA.
Satu rak buku 5 tingkat dengan harga yang berpatutan.
Aku ni jenis yang kalau dah jumpa, malas nak tinjau tempat lain dah walaupun aku tahu kalau pergi kedai perabot luar sana mesti ada yang lagi murah.

Rak itu jenis adjustable paranya,
maka kalau akan datang aku mahu jadikannya 6 tingkat,
apa yang perlu aku buat ialah beli papan yang sama saiz dan pasang.

Aku ni pun boleh tahan bodoh orangnya.
Aku terus panggil pekerjanya dan proceed ke kaunter untuk bayar.
Nanti aku akan suruh mereka hantar delivery ke rumah aku memandangkan aku hanya datang dengan motosikal.

"Maaf ya, Bang. Di sini tiada delivery."

Tersenyum senget aku mengenangkan kebodohan diri.

Kotak rak buku itu setinggi 1.8 cm dan berkeberatan 31.0 kg.
Ligat kepala otak aku cari solusi macam mana aku nak angkut kotak sebesar ni guna motosikal sampai ke rumah.

Patutlah berlambak barangan dekat pasaraya ni.
Rupanya sebab tiada home delivery.
Rak buku macam ni boleh lagi kalau nak sumbat ke dalam kereta (kalau ada).
Kalau yang datang nak beli peti sejuk, nak bawa balik macam mana?

Siapa operational manager dekat sini? Panggil kejap aku nak sekolahkan.


xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx xxxxxxxxxxxx



Begitulah 4 cerita yang berlaku dalam satu hari cuti aku.
Terima kasih kerana baca sampai habis.
Saja aku tak letak apa-apa image sebab nak uji siapa yang sanggup baca bebelan aku sampai habis walaupun tanpa apa-apa gambar. Huhuhu
Siapa baca sampai habis, beritahu di ruangan komen.


Ok,
apa kata kalian pergi desak Present cEro suruh dia rajin sikit melukis untuk blog ini.
Pergi herdik atau maki dia di media sosial atas id @cerolian
Gamaknya lepas kena maki sebab malas, dia akan berubah tak?
Huhuhu





.