Nov 25, 2020

Ganjaran untuk Diri Sendiri.

Salam.
Hello kawan-kawan yang aku suka.

Dalam entri dua minggu lepas aku ada berkongsi aku berjaya menyelesaikan salah satu daripada azam aku tahun ini iaitu menderma darah 10 kali. Aku juga ada kata bahawa pencapaian sebegitu di dalam tahun mencabar 2020 ini adalah sesuatu yang besar dan aku patut beri ganjaran kepada diri sendiri.

Dan semalam, 24 November, aku belikan sesuatu sebagai ganjaran untuk diri sendiri.

Sesuatu itu adalah satu headphone bluetooth. Ia bukannya dari jenama yang terkemuka tapi berfikir dua tiga kali juga untuk membelinya disebabkan harga.

But why specifically a bluetooth headphone?

Sebenarnya pada suatu ketika dahulu yang tidak lama mana pun, sedang aku dengar lagu dari komputer riba di atas meja dengan menggunakan earphone berwayar, tiba-tiba telefon aku yang berada di atas katil berdering dan aku kemudian dengan pantas bangun mahu capai telefon itu tanpa menyedari telinga aku masih berwayar bersambung dengan komputer maka tertariklah seluruh komputer riba itu jatuh dari atas meja disebabkan kebodohan diri.

Pada masa itu aku nekad mahu beli satu headphone/earphone yang tidak berwayar.

Dan tibalah hari ini, aku sudahpun memiliki satu headphone bluetooth.

Pada mulanya aku mahu beli jenis yang earpod benda seketul kecil yang boleh sumbat dalam telinga tu sebab fikir senang kalau aku nak gunakan earphone di mana-mana. Benda earpod tu kan kadang-kadang orang tak perasan pun kalau sumbat dalam telinga jadi bolehlah aku layan apa-apa tanpa orang lain perasan.

Tapi earpod SANGAT MAHAL.
Walaupun jenis jenama yang tidak terkenal pun masih mahal.
Berpeluh aku tengok tanda harga.

Maka, simpanlah hajat aku untuk beli earpod tu. Mungkin sesiapa yang baik hati boleh berikannya kepada aku pada tarikh hari jadi aku yang tidak lama lagi ini sebagai hadiah. TIDAK, aku tidak berharap. Tapi kalau jadi realiti, itu akan menjadikan aku manusia paling gembira. Tidak, tidak. Aku tidak berharap. Cuma.... *senyum*

Ok, moving on.

Pada waktu aku nyahkotak (unboxing) headphone yang baru aku beli ini semalam, aku sedikit terkejut kerana ia ringan dan kelihatan sedikit kecil. Aku cuba pakai di kepala tetapi bahagian tekup telingan headphone itu tidak sampai ke telinga aku. Aku jadi risau. Adakah aku bangang terbeli headphone untuk kanak-kanak tadika? Adakah aku kena scam? Adakah kepala aku terlalu besar untuk manusia normal?

*Tiba-tiba kenangan aku diejek kepala besar oleh kawan sekolah semasa darjah dua dahulu muncul balik ke dalam benak fikiran aku.*

Jawapannya,
aku memang bangang, tapi bukan sebab tersalah beli atau kena scam, tapi sebab tangkai headphone itu jenis yang boleh laras. Ia dilaras ke saiz paling kecil bagi mengecilkan ruang kotak. Tapi apabila aku laraskannya dan cuba memakainya, tekup telinga itu betul-betul muat ke telinga aku hanya selepas aku cuba laras yang paling besar. Ternyata kepala aku betul-betul besar.

Cuma walaupun muat-muat sahaja pada larasan paling besar, tapi disebabkan tangkainya ada lapik lembut, maka kepala aku tidak rasa sakit dicengkam pun. Sangat selesa. Sangat fit dengan kepala. Bila aku cuba pakai dan berlari-lari sekitar bilik untuk mencuba kelasakannya, headphone ini tidak jatuh pun. Langsung tidak tertanggal dari kepala.

Aku sukakannya.

Tapi aku tahu headphone sebegini hanya akan aku pakai di dalam bilik sahaja kerana ia terlalu menonjol. Bayangkan kalau aku usung headphone ini ke dalam MRT atau tempat awam, sudah tentu akan menarik tumpuan orang ramai. Aku tak suka begitu.

Mungkin perlu kumpul duit mulai sekarang untuk beli earpod yang mahal itu.



Sekian.


  
.

Nov 18, 2020

Di Mana Perlu Aku Mula.

Salam.
Aku nak jadi penulis, tapi aku tak tahu bagaimana nak mula.

Ya.
Aku simpan cita-cita nak jadi penulis (apabila aku kata 'penulis', aku maksudkan penulis seperti penulis novel, penulis cerita pendek fiksyen mahupun bukan fiksyen yang menghasilkan buku fizikal).

Pada dasarnya aku rasa aku tidak layak nak jadi penulis disebabkan aku bukanlah pembaca novel yang setia. Aku tidak pernah habis baca novel. Novel amat memerlukan komitmen masa untuk dihabiskan, maka selalunya aku akan terberhenti di pertengahan jalan.

Macam mana seseorang yang tidak pernah habis baca novel mahu menulis cerita?

Tapi aku tidak mahu menulis novel. Paling tidak bukan ke situ arah yang aku mahu tuju.

Aku mahu tulis cerita pendek. Jenis yang sekali baca sudah habis. Cerita yang tidak panjang tapi masih memberi kesan kepada pembaca. Tapi yang seronoknya, cerita pendek yang banyak ini kalau dibaca dengan betul, akan menjadi satu cerita yang panjang kerana semua ceritanya berada di dalam alam yang sama.

Aku tidak pasti dengan orang lain, tapi disebabkan aku banyak membaca dan melukis komik dari kecil lagi, maka di dalam kepala aku ada satu alam ciptaan aku sendiri yang terdiri daripada watak-watak yang aku sendiri reka. Bermula dengan satu watak, kemudian lama kelamaan bertambah lagi sedikit demi sedikit dan sedar tidak sedar, untuk usia aku sekarang, alam itu cukup besar sehinggakan otak aku tak mampu nak kawal.

Sebab itu aku mahu tulis cerita pendek. Cerita ini cerita mereka, dan aku mahu abadikan cerita mereka dalam bentuk fizikal di alam nyata dan dikongsikan dengan orang lain, bukan sekadar cetusan impuls di dalam kepala sendiri.

Tapi masalahnya aku tidak tahu di mana perlu aku mula.

Kalau aku tulis cerita pendek itu di blog ini, tiada audiens yang cukup untuk aku sebarkannya. Jadi aku perlu tulis cerita di medium yang lain, satu medium yang aku masih tidak tahu apakah ia.

Di mana perlu aku mula?






Sekian.
  
.

Nov 11, 2020

Setahun Hanya Sepuluh Kali.

Salam.

 



Salah satu azam aku, bukan pada tahun ini 2020 sahaja, malah beberapa tahun yang sebelumnya adalah mahu derma darah setahun 10 kali.

Bila aku kata derma 10 kali setahun, aku maksudkan derma aferesis. Derma darah aferesis berbeza dengan derma darah biasa. Derma darah biasa hanya boleh dilakukan sekali setiap 90 hari (3 bulan), manakala derma aferesis pula boleh dilakukan setiap dua minggu.

Jika boleh derma setiap dua minggu, maka jika setahun ada 52 minggu aku mampu menderma 26 kali, kan? Logiknya, 10 kali bukanlah sesuatu yang susah mana pun, kan?

TIDAK.

Derma darah aferesis tidak seperti derma darah biasa. Derma darah aferesis memerlukan kita untuk setkan temujanji lebih awal, tidak seperti derma darah biasa yang boleh dilakukan secara tanpa temujanji. Walaupun biasanya boleh dilakukan setiap dua minggu, namun kadang-kadang ada hari yang sudah penuh dan kuota tidak menjamin dapat tarikh setiap dua minggu.

Tapi kalau sekali setiap TIGA minggu sekalipun, maka masih ada 17 peluang setahun, kan?

TIDAK.

Tetap tiada jaminan boleh dapat tarikh untuk setiap tiga minggu. Malah sekali sebulan pun hanya boleh dilakukan oleh orang yang betul-betul komited.

Tapi, kalau sekali sebulan pun masih dapat 12 peluang setahun, kan? Tetap lebih daripada 10, kan?

TIDAK.

Kerana dalam kes aku, aku tidak akan derma darah pada bulan puasa. Bukan tidak boleh, tapi timing yang diberikan tidak kena. Untuk bulan puasa, sama ada datang awal pagi sementara badan masih bertenaga, ataupun datang selepas berbuka kerana sudah dapat kembali tenaga. Dan YA, derma aferesis memang memerlukan tenaga. Derma biasa hanya mengambil masa 15-20 minit tetapi derma aferesis biasanya mengambil masa satu jam.

Jadi, azam derma 10 kali setahun, pada aku, masih mampu dicapai tetapi tidaklah semudah yang difikirkan. Ini membuatkan azam itu lebih bermakna.

Tetapi, pada tahun-tahun sebelum ini aku langsung gagal nak mencapai 10 kali setahun. Selalunya disebabkan aku terlalu ambil mudah dalam mengira masa. Tapi tahun lepas pula azam itu terganggu kerana aku perlu jalani pembedahan mata. Semua penderma yang melalui apa-apa pembedahan perlu berehat selama paling kurang 6 bulan sebelum boleh menderma semula. Malah penderma aferesis perlu mula dengan menderma darah utuh dahulu sekali (atau dua kali) sebelum boleh menderma aferesis kembali.

Sebab itu, pada tahun 2019, aku hanya mampu menderma darah DUA kali sahaja setahun.

Namun,
pada 9 November lalu, aku menderma darah aferesis. Itu adalah pendermaan ke-90 untuk entri buku merah aku dan pendermaan ke-10 untuk tahun 2020 ini.

Maka dengan itu, aku berjaya selesaikan salah satu azam aku untuk tahun ini.

Tahniah kepada diri sendiri.

Bila difikir semula, pencapaian sebegitu di dalam tahun mencabar 2020 ini adalah sesuatu yang besar, kan? Mungkin aku patut beri ganjaran kepada diri sendiri.



Sekian.


  
.

Nov 4, 2020

Matlamat yang Dicabut.

Salam.


 



Sesuatu berlaku baru-baru ini yang membuatkan aku mempersoal kesemuanya.

Salah satu perkara yang aku persoalkan ialah matlamat blog ini.

Sejak dari awal lagi aku tahu apa matlamat blog ini. Blog ini adalah medium utama aku meluahkan tentang apa sahaja yang aku mahu luahkan. Kadang-kadang manusia mahu mendengar, tapi tidak betul-betul mendengar. Aku tidak katakan medium manusia sebagai tempat luahkan perasaan tidak bagus, tapi kadang-kadang kita kena mengelak daripada manusia tersebut membentuk satu persepsi.

Sedangkan batu yang dititik air setiap hari pun akan berlekuk sampai satu ketika, inikan pula manusia.

Jadi,
matlamat blog ini jelas. Medium untuk aku meluahkan perasaan tanpa meninggalkan persepsi kerana para pembacanya terdiri daripada mereka-mereka yang BUKAN di sekeliling kehidupan aku.

Tapi, betulkah itu halnya?

Sudah tidak terkira lagi manusia yang aku kenal melalui medium blog ini. Bermula dengan kenalan maya, berubah ke kenalan di dunia luar, dan ada yang sudah bergelar kawan.

Jadi, bukankah blog ini sudah tidak menjalankan matlamatnya? Iaitu menjadi tempat aku luahkan perasaan tanpa perlu memikirkan persepsi orang. Kini sebahagian daripada audien blog ini adalah orang yang aku kenal, juga orang yang berada di sekeliling aku.

Aku tidak boleh lagi nak luahkan sebarangan di sini kerana akan ada, YA, AKAN ADA yang akan bawa perkara yang aku luahkan ini ke dunia sebenar. Bukan sekali dua, banyak kali juga aku sudah beri peringatan bahawa perkara dalam blog hanya dibincangkan di dalam blog, bukan di dunia luar, tapi malangnya sudahpun namanya manusia, maka ada juga yang terlepas walaupun sudah diingat banyak kali.

Haaaaahh!! *Mengeluh*

Kenapa hidup ini susah sangat.

Aku cuma mahu jadikan blog ini tempat luah perasaan, kenapa perlu ada juga cabaran sebegini?

Aku sudah di tahap dapat merasakan bahawa segala perkara yang aku mahukan, walaupun sekadar perkara mudah seperti ini pun susah nak dapat.

Adakah lebih baik untuk aku pendamkan dalam diam-diam tanpa perlu luahkan kepada sesiapa? Adakah cara itu lebih baik walaupun aku tahu bakal memakan diri sendiri?



Sekian.


.   
.