Oct 28, 2020

Suap Balik Negatif yang Memakan Diri.




Salam.
Mungkin pada kalian, aku sudah lama tak kemaskini blog ini. Tapi sebenarnya aku masih menulis blog setiap hari Rabu. Cuma kekosongan yang ada adalah disebabkan aku tidak tekan butang 'publish'. Segala coretan yang aku tulis hanya disimpan sebagai 'draft'. Selepas aku tamat menaip, aku terasa apa yang aku kongsikan itu terlalu peribadi dan kemudian aku buat keputusan untuk tidak kongsikannya di sini. Dan perkara itu berulang setiap minggu sehinggalah ke hari ini.

Tapi kenapa kali ini berbeza?

Kenapa kali ini aku tekan butang 'publish' itu?

Jawapannya,
kali ini aku perlu pandangan peribadi kalian.

Begini ceritanya...



Aku ada sukakan seseorang. Bukan suka pandang pertama. Aku sebenarnya sudah perhatikan dia lama juga. Pernah bertukar perbualan sekali dua tapi aku yakin dia tidak peduli pun kewujudan aku. Tapi yang pasti aku sedar kewujudan dia.

Bagi yang tidak tahu, aku senang suka orang. Seseorang hanya perlu buat baik pada aku dan aku akan mula sukakan dia.

Mengenalpasti kelemahan 'senang sukakan orang' ini, aku mula kembangkan satu suap balik negatif bagi membendung diri aku daripada terus sukakan orang. Pada aku, sukakan ramai orang tidak elok, apatah lagi kalau sudah libatkan hati dan perasaan. Aku lemah bab hati dan perasaan ini. Aku takut. Aku takut dilukai teruk lagi.

Jadi, bagi mengekang kelemahan aku itu daripada menguasai diri aku, aku bina satu mekanisme suap balik negatif yang akan menghalang aku daripada terus suka orang. Caranya, aku akan cari kelemahan dia dan 'highlight' kelemahan itu di dalam otak aku. Dengan cara itu, aku akan mula kurang sukakan orang kerana manusia ada kelemahan.

Aku pernah tulis mengenai ini di blog ini suatu masa lalu.

Mekanisme ini sangat berkesan. Sudah berapa kali, apabila aku mula nak baik dengan seseorang, nak kenal hati budi dia, akan berlaku sesuatu yang membuatkan aku dan orang itu menjadi jauh.

Dan mekanisme ini sangat berkesan sehinggakan aku turut lakukannya bukan sahaja kepada perempuan yang aku mula suka, tapi juga terhadap lelaki. Malah kepada ahli keluarga juga.

Pendek kata, aku akan mula menjauh dengan orang yang aku suka, tidak kira siapa.

Hasilnya, aku kini sendirian.

Kawan-kawan sama ada makan hati dengan aku, atau mereka berasa aku makin jauh dengan mereka, dan akan akhirnya sudah tidak berhubung.

Alasan mereka mungkin berbeza; Pemikiran berlainan. Tidak boleh masuk. Aku sombong. Mulut aku jahat. Aku berniat tidak baik. Dan macam-macam lagi. Semuanya berteraskan isu sama; aku bertindak balas negatif kepada orang yang aku mula suka.

Kalian yang baca entri ini juga mungkin salah seorang daripada 'mangsa' mekanisme aku itu.

Mekanisme yang aku cipta bertujuan untuk mengawal diri, kini memakan diri aku sendiri.

Ini bukan sesuatu yang aku banggakan. Namun, aku terlalu lama dan kerap lakukannya sehinggakan aku tidak tahu macam mana nak lari daripadanya. Tindakbalas ini automatik tanpa perlu aku cetuskan pun.



Berbalik kepada dia yang aku mula suka itu.

Aku tahu, kalau aku mula rapat dengan dia, mungkin bertukar status daripada kenalan kepada kawan, atau mungkin ke peringkat seterusnya, aku mungkin akan lakukan hal yang sama kepada dia. Dan kami mungkin berakhir menjadi orang asing.

Ia belum berlaku. Aku dan dia kini masih hanya kenalan.

Aku sukakan dia. Tapi aku takut kalau aku ke hadapan, aku akan kehilangan dia secara total.



Dan aku perlukan pandangan kalian tentang bagaimana boleh aku tangani isu aku ini. Aku tidak boleh duduk berbincang dengan kawan rapat dan orang sekeliling aku kerana aku tahu mereka tidak akan cuba memahami apa yang aku nak sampaikan. Ahhhh, aku rasa kalian yang baca entri ini pun tidak semua faham apa yang aku nak sampaikan, kan?

I don't know.
Aku tidak jangkakan akan dapat penyelesaian dengan bertanyakan di sini, tapi sini adalah SATU-SATUNYA medium untuk aku bertanya.



Entahlah. Mungkin aku lebih baik hidup sendirian sahaja agaknya.


Kemaskini 26 Oktober 2020:
Sehari selepas aku siap taip entri di atas dan tetapkan untuk diterbitkan pada hari Rabu 28 Oktober, aku dapat tahu si dia yang aku maksudkan di atas sudah berpunya.
Memegang prinsip tidak akan menjadi orang ketiga di dalam mana-mana perhubungan manusia, aku buat keputusan tidak akan meneruskan apa-apa perancangan aku terhadap dia.
Mungkin aku memang ditakdirkan untuk hidup sendirian.





    



 
 .