Sep 18, 2019

Segalanya Sudah Terlambat


Salam.






Aku adalah antara orang yang menghabiskan zaman sekolah menengah di Sekolah Berasrama Penuh (SBP).

Bagi yang tahu konsep SBP, maka akan tahu bahawa walaupun satu tingkatan tidaklah seramai seperti di sekolah harian biasa, namun ukhwah antara kami sangat kuat. Segelintir boleh dilabel sebagai kawan rapat, namun keseluruhan satu tingkatan adalah kawan. Tiada yang dilabel lebih rendah daripada itu.

Batch aku hanya ada lebih kurang 130 orang, namun aku berani katakan kami semua 130 orang adalah kawan. Dan dapat kenal dan tinggal bersama selama 5 tahun menjadikan kami lebih terikat daripada kawan biasa.



M adalah seorang pelajar perempuan satu batch dengan aku. Berperwatakan sopan, sentiasa bersuara lembut dan menunduk ketika berbicara dengan sesiapa sahaja.

Aku hanya pernah satu kelas dengan M sekali sahaja sepanjang 5 tahun bersama. Kami tidaklah rapat, malah aku rasa boleh dibilang dengan jari sahaja saat aku berkesempatan duduk berbual bersama dia. Maklumlah, dia pelajar perempuan yang baik-baik, sedangkan aku ini pelajar lelaki yang...

Namun,
dalam beberapa kali kecil berkesempatan duduk berbual bersama itu, tiada satu pun antaranya membuatkan aku tidak selesa. Tiada kenangan tidak baik yang melibatkan M. Malah, bila difikirkan semula, langsung tidak pernah aku dengar kawan-kawan lain cakap buruk mengenai M.

Aku dapat simpulkan bahawa M ini seseorang baik dengan semua orang.

Namun,
seperti orang normal yang lain, selepas tamat persekolahan dan masing-masing bawa diri, hubungan persahabatan antara kawan-kawan tadi semakin lama semakin suram. Begitulah juga dengan aku.



Semasa di universiti,
aku terserempak dengan M di fakulti. Tidak sangka fakulti kami sebelah menyebelah. Entah kenapa, walaupun kami tidaklah rapat di sekolah dahulu, namun pertemuan seketika itu sudah cukup untuk buatkan kami duduk berbual mesra seperti kawan yang pernah rapat.

M masih seperti dahulu. Sopan, lembut, dan menunduk. Pada aku, M memang ada ciri-ciri perempuan yang layak dibuat isteri.

Aku terniat mahu jadikan M sebagai kawan rapat disebabkan aku langsung tidak berkesempatan untuk rapat dengan dia sewaktu zaman sekolah dahulu. Banyak muka asing di universiti, maka dapat lihat muka yang lama dikenali sejak berusia 12 tahun lagi sangatlah menyenangkan.

Namun,
pada ketika itu aku sedang bercinta dengan seorang perempuan yang berperasaan cemburu yang tinggi. Maka, aku terpaksa memilih untuk rapat dengan kawan sekolah (iaitu M), ataupun mengutamakan perasaan insan yang aku sayang (pada ketika itu).

Aku pilih untuk menjaga hati si dia.

Niat aku untuk rapat dengan M, aku ketepikan. Kalau berjumpa di fakulti, kami hanya bertukar senyuman dan berlalu begitu sahaja. Aku rasa dia faham.



Dan masa pun berlalu...

16 September yang lepas, awal tengahari, group Whatsapp batch sekolah aku bertubi-tubi masuk mesej. Biasanya aku hanya biarkan. Biasalah, kekadang kawan-kawan ni bergurau bertubi-tubi di dalam group itu. Namun kali ini aku terniat untuk membacanya. Mungkin sebab terlapang masa dengan cuti Hari Malaysia.

"Assalamualaikum.
Kawan-kawan, sahabat kita M telah pulang ke rahmatullah pada jam 10 pagi tadi."



Dua minggu sebelum ini group Whatsapp itu didatangi dengan berita bahawa M sedang sakit tenat akibat kanser ovari dan rawatan kemoterapi sudah tidak berkesan. M sudah tidak tahan kesakitan akibat rawatan dan hanya mahu berada di rumah.

Itu adalah berita mengenai M selepas bertahun-tahun menamatkan universiti. M seolah-olah hilang tanpa khabar berita daripada kawan-kawan sekolah dalam masa beberapa tahun sebelum ini. Dia tiada di dalam group itu kerana tiada siapa tahu nombor telefon yang digunakannya.

Tidak sangka berita pertama tentangnya selepas beberapa tahun ini adalah dia sedang menderita sakit kanser.

Lebih tidak aku sangka, dua minggu selepas berita itu, dia sudah tiada.



Aku sedih.

Namun aku juga terasa terkilan dengan diri sendiri.

Di saat aku berpeluang untuk rapat dengan dia, aku pilih pilihan lain. Aku boleh sahaja terus berkawan dengan dia sebagai kawan lama satu sekolah, namun aku tidak melakukannya. Ketika dia hilang, aku langsung tidak mengingati dirinya. Ketika dia dikhabarkan sakit, langsung tiada rasa untuk menziarah. Pada waktu itu, aku hanya terfikir 'InsyaAllah kalau aku ke tempat dia, aku ziarah' namun aku tahu itu hanya omong kosong. Segalanya sudah terlambat.



Mendapat berita kematian sentiasa menginsafkan aku.

Namun,
dapat berita kematian kawan sebaya sendiri lain penangannya. Diri rasa kerdil sangat. Bila-bila sahaja boleh ditarik segalanya, termasuk nyawa.



Aku memohon agar kalian yang sedang membaca ini, sedekahkanlah Al-Fatihah buat arwah M. Tak mengapa kalian tidak tahu nama dia. Allah Maha Mengetahui. Doakan dia berada di kalangan orang-orang yang beriman seperti mana yang dilihat ketika hayatnya.

Al-Fatihah.



  




.

Sep 11, 2019

Lelaki Yang Bencikan Hasil Lukisannya Sendiri.


Salam.






Tajuknya sahaja sudah menerangkan segala isi yang bakal aku sampaikan.

Rata-rata yang baca blog ini tahu bahawa melukis adalah sesuatu yang sangat aku gemari.
Itu hobi aku. Aku suka melukis.

Jika ditanya sejak bila aku mula suka melukis, aku akan kata sejak lima tahun tapi aku tahu sebenarnya lebih awal daripada itu lagi. Melukis sudah menjadi sebahagian daripada diri aku.

Aku tidak semestinya perlukan alatan pun untuk melukis. Kadang-kadang jari sendiri melayang-layang membayangkan apa yang boleh dilukis di atas udara. Ia spontan. Bila rasa nak melukis, aku lukis.


Tapi sejak belakangan dua tiga tahun ini, aku perasan sesuatu.
Aku menjadi benci akan lukisan aku sendiri.
Aku masih suka melukis, namun apabila proses melukis itu selesai, aku tiba-tiba jadi benci akan hasil lukisan aku tadi.

Dan lebih merisaukan, perasaan benci itu makin lama makin bertambah.

At one point, I shreded all my artworks just because i hated them so much.





Aku tidak tahu kenapa. Aku tidak tahu apa punca.

Aku cuba bertanya kepada beberapa kawan 'melukis' yang lain. Mereka kata adalah perkara biasa seseorang pelukis itu untuk tidak berpuas hati dengan hasil lukisan sendiri. Kata mereka, itu tanda bahawa pelukis itu mahu hasilkan yang lebih baik, tanda mahu majukan diri.

Masalahnya, aku bukan tidak berpuas hati. Aku benci.

Bila aku ceritakan kisah aku 'shred' semua hasil lukisan aku jadi cebisan kertas kecil dek kerana benci, mereka terdiam. Tiada jawapan.


Aku pernah Google isu ini, mencari penyelesaian.
Kebanyakan perbincangan di internet tentang isu ini berkisar di sekitar keinginan kita untuk jadi lebih baik. Kita benci hasil lukisan kita kerana kita rasa kita boleh buat lebih baik sedangkan hasil yang berada di depan mata menafikan pemikiran kita. We think we can do better.

Tapi agak berbeza dengan aku. Aku (secara jujur) langsung tidak peduli tentang mutu, kualiti, nilai artistik setiap lukisan yang aku hasilkan. Aku hanya suka melakukan proses melukis. Melukis adalah hobi aku. Hanya hobi.

Hakikatnya, tidak kira betapa bagusnya hasil lukisan aku, atau betapa buruknya mereka, aku benci setiap lukisan aku sama rata. Sebab itu apabila semua lukisan itu kena 'shred' (3 kali aku guna perkataan 'shred'. Apa shred dalam BM, ya? Malas nak selak kamus) semua lukisan aku berakhir di dalam tong sampah yang sama tidak kira lukisan bagus atau buruk.



Sampai sekarang aku tiada jawapan untuk isu aku ini.
Aku harap ia tiada kaitan dengan kesihatan mental atau rohani. Penat laa sikit-sikit nak kait kesihatan mental.

Tapi aku nampak corak benci aku itu. Makin lama benci aku makin kuat.
Aku harap satu masa nanti sebelum kebencian itu tidak lagi boleh dibendung dan dikawal, aku sudah dapat cari penyelesaian untuk isu ini.

Yang aku mahukan hanya satu; untuk tidak membenci hasil lukisan sendiri.



Kalian ada pandangan, tips, atau nasihat berkaitan isu ini?





  




.

Sep 4, 2019

RUKUN NEGARA : Menurut Aku.


Salam.


Rukun Negara.
Kebanyakan daripada kita mampu mengucapkannya hanya dengan memori. Hampir setiap pagi Isnin semasa di 11 tahun zaman sekolah dahulu kita melaungkan ikrar yang terisi Rukun Negara. Malah terpampang senarai Rukun Negara di halaman kulit belakang buku latihan sekolah kita. Kebanyakan sekolah juga ada dihias indah dengan mural besar terkandung Rukun Negara.

Rukun Negara begitu dekat dengan kita semasa di zaman sekolah. Adalah sukar untuk kita menyingkirkan memori tersebut setelah dewasa kini.

Namun,
walaupun kita mampu melafazkan 5 prinsip Rukun Negara dengan lancar, adakah kita benar-benar memahaminya? Ataupun ia hanya seperti bait lirik lagu kegemaran kita yang lancar dinyanyikan namun langsung tiada pemahaman?





Maka,
minggu ini sempena Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia, aku (cEro) akan menguji diri sendiri tentang kefahaman mengenai Rukun Negara dan melihat sejauh mana ia selari dengan maksud sebenar yang cuba disemai oleh perangkanya dahulu.

Aku cadangkan kalian pun ambil sehelai kertas, senaraikan kesemua 5 prinsip Rukun Negara dan cuba huraikan satu demi satu untuk melihat sejauh mana kalian faham tentang Rukun Negara ini.

[Nota: Aku tekankan sekali lagi, huraian untuk Rukun Negara di bawah ini adalah mengikut pemahaman aku. Huraian ini langsung tidak boleh dijadikan sumber rujukan dan akademik. Jika ia lari, tidak tepat, dan tidak sama sekali dengan maksud sebenar, kesalahan sepenuhnya berada di bahu aku.]

Huraian Rukun Negara mengikut aku adalah seperti berikut:


RUKUN NEGARA
Kepercayaan kepada Tuhan
Kesetiaan kepada Raja dan Negara
Keluhuran Perlembagaan
Kedaulatan Undang-undang
Kesopanan dan Kesusilaan


Rukun Negara adalah 5 prinsip yang harus dipegang oleh kita selagi mana kita mahu digelar sebagai rakyat Malaysia. Seperti Rukun Islam yang lima (5), Rukun Iman yang enam (6), dan Rukun Solat yang tiga belas (13), Rukun Negara yang lima ini haruskan dipenuhi secara menyeluruh dan tiada satu prinsip pun yang boleh ditinggalkan.



1. Kepercayaan kepada Tuhan.

Tuntutan beragama menjadi prinsip pertama Rukun Negara kerana agama adalah teras kepada negara. Walaupun agama Islam adalah agama rasmi Malaysia, tetapi tiada halangan untuk agama lain mengamalkan kepercayaan mereka di Malaysia. Namun, secara konsepnya Malaysia tidak menerima golongan Atheist kerana jika 'Kepercayaan kepada Tuhan' adalah prinsip pertama untuk rakyat Malaysia, maka golongan yang tidak percayakan kewujudan Tuhan tidak akan lengkap Rukun Negaranya.


2. Kesetiaan kepada Raja dan Negara.

Konsep setia adalah menurut perintah selagi tidak melanggar tuntutan agama (prinsip pertama tadi) dan keseluruhan prinsip itu sendiri. Dua entiti yang diberikan kesetiaan adalah Institusi Diraja dan negara (Malaysia) itu sendiri. Perkataan 'Raja' merujuk kepada Yang Dipertuan Agong sebagai penaung negara dan para Raja dan Sultan Negeri sebagai penaung kerajaan negeri masing-masing. Perkataan 'Negara' pula merujuk kepada negara kita dan pemimpin negara yang dilantik secara demokrasi oleh rakyat. Kesetiaan kepada dua entiti ini perlu ada jika mahu memenuhi Rukun Negara.


3. Keluhuran Perlembagaan.

'Luhur' menurut pemahaman aku adalah suci, mulia, dan darjat yang tinggi. 'Perlembagaan' pula adalah undang-undang asas, dasar yang dibentuk semasa mula-mula negara kita dirangka. 'Keluhuran Perlembagaan' bermaksud percaya bahawa undang-undang asas dan dasar yang dibentuk menjadi perlembagaan Malaysia adalah bersifat suci, mulia dan tinggi, dan haruslah dipegang kukuh tanpa perlu dipertikaikan. Sesuatu yang 'suci' tidak perlu diubah hanya kerana ia tidak memenuhi tuntutan segelintir kelompok yang dahagakan kelebihan masa kini.


4. Kedaulatan Undang-undang.

'Daulat' bermaksud mempunyai hak yang tinggi dan kuasa yang besar. Daulat selalu digunakan kepada golongan diraja kerana kedudukan mereka yang lebih tinggi (dari sudut pangkat) berbanding rakyat biasa. Maka, 'Kedaulatan Undang-undang' merujuk kepada kedudukan undang-undang negara yang tinggi, besar, dan mulia, yang perlu dipatuhi oleh sesiapa sahaja (termasuklah golongan diraja; sebab itu digunakan perkataan 'daulat') dan tiada siapa lebih tinggi daripada undang-undang negara. Bak kata pepatah; di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.


5. Kesopanan dan Kesusilaan.

'Sopan' berkaitan perbuatan fizikal yang baik dan adab yang tertib. Tutur kata yang baik. Bahasa tubuh yang baik. 'Susila' adalah perkara yang sama namun lebih merujuk kepada dalaman yang baik. Pemikiran yang baik. Syak wasangka yang baik.

'Kesopanan dan Kesusilaan' bererti sebagai rakyat Malaysia, kita perlu saling hormat-menghormati sesama kita sebagai individu mahupun sebagai bangsa. Walaupun masing-masing berbeza agama, kaum, dan adat, dengan adanya sopan dan susila dalam diri setiap individu, perbezaan itu tidak akan mengganggu perpaduan dan ketenteraman negara.

Semua kejadian berunsurkan perkauman yang berlaku belakangan ini, semuanya adalah akibat daripada tiadanya kesopanan dan kesusilaan di dalam diri. Pendek kita, kita kurang adab.




Itulah 5 prinsip Rukun Negara yang dapat aku huraikan mengikut pemahaman aku.

Di bawah adalah huraian 5 prinsip Rukun Negara menurut yang tertulis di dalam Wikipedia. Aku 'copy' dari sana selepas aku tulis huraian aku sendiri di atas.

Mari kita bandingkan.



1. Kepercayaan kepada Tuhan.

Bangsa dan Negara ini telah diwujudkan atas kepercayaan yang kukuh kepada Tuhan. Melalui kepercayaan beragama yang betul akan menjadikan bangsa dan negara ini sebagai satu bangsa dan negara yang berdaulat. Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Islam ialah agama Persekutuan, tetapi agama dan kepercayaan-kepercayaan lain boleh diamalkan dengan aman dan tenteram di mana-mana bahagian di dalam Persekutuan. Jawatankuasa penggubal Rukun Negara menyedari akan pentingnya agama dan kepercayaan kepada Tuhan dalam kehidupan manusia. Ketiadaan agama boleh meruntuhkan keperibadian seseorang dan juga sesuatu bangsa dan negara. Menyedari betapa pentingnya keteguhan pegangan anggota masyarakat terhadap ajaran agama masing-masing, prinsip ini telah dipilih sebagai prinsip pertama dalam Rukun Negara.


2. Kesetiaan kepada Raja dan Negara.

Malaysia mengamalkan Sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berpelembagaan dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara. Selaras dengan kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai Raja mengikut Perlembagaan, sistem beraja juga diamalkan di setiap negeri, dan Yang Di-Pertua Negeri bagi negeri-negeri yang tidak beraja. Seri Paduka Baginda, Raja-Raja dan Yang Di-Pertua Negeri adalah merupakan lambang perpaduan rakyat. Kesetiaan kepada Raja dan Negara bermaksud, bahawa setiap warganegara hendaklah menumpukan sepenuh taat setia, jujur dan ikhlas kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Di peringkat negeri pula, rakyat dikehendaki menumpukan taat setia kepada raja yang memerintah negeri tempat mereka bermastautin tanpa mengurangkan taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong.


3. Keluhuran Perlembagaan.

Keluhuran perlembagaan menekankan perlunya rakyat menerima, mematuhi dan mempertahankan keluhuran atau kemuliaan Perlembagaan Negara iaitu sumber perundangan yang tertinggi. Fungsinya untuk memberi perlindungan kepada setiap rakyat negara ini akan hak dan keistimewaan mereka sebagai warganegara. Setiap warga negara Malaysia dikehendaki menghormati, menghargai, serta memahami maksud dan kandungan serta latar belakang sejarah pembentukan Perlembagaan Negara. Perlembagaan Negara telah digubal berasaskan kesepakatan semua kaum dan semua pihak di negara ini. Dengan demikian ia merupakan satu kontrak sosial rakyat yang tidak boleh dipersoalkan dan diganggu gugat oleh mana-mana individu atau mana-mana pihak. Perlembagaan Malaysia menentukan pola politik dan kedudukan sosio-ekonomi rakyat di negara ini. Ia adalah sumber rujukan bagi segala hal yang berkaitan dengan sistem pemerintahan, perundangan, kedudukan dan hak sosio-ekonomi rakyat.


4. Kedaulatan Undang-undang.

Keadilan diasaskan atas kedaulatan undang-undang di mana setiap rakyat sama tarafnya di sisi undang-undang negara. Kebebasan asasi terjamin bagi semua warganegara Malaysia. Undang-undang negara berasaskan kepada Perlembagaan. Oleh itu kedaulatannya perlu diterima dan dipertahankan. Tanpa undang-undang, hidup bermasyarakat dan bernegara tidak aman dan stabil. Oleh itu undang-undang negara dijamin pula oleh institusi kehakiman yang bebas dan berwibawa. Setiap negara memerlukan undang-undang untuk mengawal dan mewujudkan satu masyarakat yang aman, stabil dan makmur. Kewujudan undang-undang akan menjamin kehidupan anggota masyarakat dapat bergerak dengan licin dan teratur tanpa sebarang kekacauan, di mana semua anggota masyarakat akan merasa selamat. Hak-hak semua rakyat boleh diamalkan dengan bebas asalkan tidak melanggar undang-undang serta perkara-perkara sebagaimana yang dijamin oleh Perlembagaan Negara.


5. Kesopanan dan Kesusilaan.

Prinsip ini menekankan perkembangan personaliti dan tingkah laku seseorang rakyat. Tujuannya adalah untuk membentuk warganegara yang bersopan santun dan bersusila selaras dengan kempen Budi Bahasa dan Nilai Murni yang dijalankan sekarang. Sifat individu yang bersopan santun dan bersusila adalah amat penting dalam konteks perhubungan antara satu sama lain dalam masyarakat pelbagai kaum di negara ini. Sikap bersopan santun dan bersusila patut diamalkan bagi membentuk individu dan masyarakat yang berdisiplin serta bermoral tinggi yang akan mewujudkan sebuah masyarakat yang harmoni. Tatasusila ini membenci tingkah laku yang angkuh atau menyinggung perasaan seseorang atau sesuatu golongan. Tingkah laku sopan juga mengandungi suatu darjah kesusilaan yang tinggi dalam kedua-dua kehidupan persendirian dan kehidupan bernegara. Prinsip ini menjadi panduan supaya perilaku masyarakat sentiasa terpelihara dan berkembang sesuai dengan keperibadian bangsa dan nilai-nilai murni.




Jujur,
aku tahu majoriti kalian langsung tak baca pun huraian di atas (mungkin sebab panjang dan bahasanya). Tak apa.

Daripada bacaan aku, dapat aku rumuskan huraian aku pada mula tadi tidaklah lari jauh mana pun (kecuali terdapatnya istilah-istilah khusus yang tidak aku sampaikan) dan huraian aku masih di dalam konteks yang sama.

Kesimpulannya,
aku mampu huraikan Rukun Negara dan tidak jauh beza dengan huraian rasmi. Namun persoalannya sekarang, adakah aku amalkan apa yang aku faham? Ataupun ia sama seperti ketika lampu isyarat merah muncul di jalan di mana kadang-kadang aku turuti kadang-kadang aku langgari?

Adakah kalian amalkan apa yang kalian faham dalam Rukun Negara?



...and the journey continues...



  




.