Dear cErolian,

......

TERIMA KASIH!

Terima kasih kerana terus menyokong!

=======================

Vorteks #60 [Pengakhiran Baik] - Demi Masa...





“Selamat pagi, Johan. Selamat kembali.”
Satu suara kedengaran dari satu sudut bilik. Suara itu datang dari seorang lelaki pertengahan umur yang sedang duduk memerhati.
Suara itu datang dari Prof. E.
“Oh, rupanya saya bukan bermimpi.” Ayat pertama keluar dari mulut Johan.
“Prof, apa sudah jadi? Kita tidak berjaya ke?” tanya Johan kepada Prof. E.
Prof. E hanya tersenyum. Senyuman itu membuatkan kedut di wajahnya kelihatan jelas. Entah kenapa, pada pandangan Johan, Prof. E kelihatan lebih tua dari biasa.
“Lapan tahun kita tak berjumpa, langsung kau tak mahu tanya khabar aku, Johan?”
“Lapan tahun?” Johan kebingungan. Bukankah hanya semalam dia dan Prof. E berada di loteng bersama-sama Prof. Shah, Encik Ahmad dan Inspektor Bakar...
Johan tersedar akan sesuatu. Dia dengan segera memeriksa badannya. Dia tidak lagi berpakaian pesakit hospital. Dia meraba dada, belakang badan, bahu, tangan dan beberapa tempat lagi di tubuhnya. Tiada. Tiada luka tembakan.
Johan berwajah terkejut dan memandang ke arah Prof. E.
“Jangan risau. Sejurus selepas kau sampai malam tadi, kami terus periksa badan kau yang telanjang bulat itu. Tiada luka. Tiada luka tembakan,” terang Prof. E.
“Jadi...” Johan menunggu ayatnya dihabiskan.
“Ya. Selamat kembali ke tahun 2012.”

Selepas mengadu perutnya lapar, Prof. E membawa Johan ke dapur di tingkat bawah untuk sarapan.
“Kami sudah sediakan sarapan untuk kau. Makanlah. Isi semula perut kau tu, Johan.”
Tanpa berlengah, Johan menyumbat apa sahaja makanan yang dapat dicapainya ke dalam mulut. Prof. E hanya tersenyum menemaninya di kerusi sebelah.
Kedengaran pintu depan dibuka. Dua lelaki masuk dan terus menuju ke dapur. Mereka ialah Prof. Shah dan Inspektor Bakar.
“Johan, kau sudah sedar? Syukurlah.” Prof. Shah menghampiri Johan sebelum memeluknya. Janggal, tapi Johan biarkan sahaja. Dia tidak pernah sangka Prof. Shah boleh jadi semesra begini. Inspektor Bakar hanya berdiri di tepi sambil tersenyum.
“Aku jaga kau dari malam tadi tunggu kau sedar, tapi kau buat keputusan untuk sedar semasa aku berada di luar. Kau memang tak guna,” seloroh Prof. Shah. Johan hanya tersenyum. Dia masih gigih menjamah makanan.

“Oh, boleh aku tanya sesuatu?” Inspektor Bakar mencelah.
“Walaupun serpihan peluru ditinggalkan lapan tahun lepas semasa Johan dibawa pulang, tapi kenapa di badan dia tiada luka peluru? Malah tiada parut?”
Johan juga ingin tahu jawapannya. Dia ingin tahu apa yang berlaku.
“Aku sendiri tiada jawapan tepat, tapi aku hanya boleh agak apa yang terjadi. Yang hanya dibenarkan merentas masa ialah Johan, bahan lain selain Johan akan ditinggalkan. Sebab itu kita jumpa serpihan peluru di dalam timbunan baju selepas dia pergi lapan tahun lepas. Seterusnya, semasa disambar Kilat Thor, Johan mungkin diuraikan dalam bentuk lebih kecil, kemungkinan dalam bentuk molekul berasingan dan dibawa pergi merentas dimensi masa melalui wormhole yang kita tidak boleh nampak dengan mata kasar. Semasa sampai semalam, molekul tersebut disusun semula dan membentuk Johan dalam ‘birthday suit’-nya. Semasa proses susunan molekul itulah luka tembakan Johan mungkin dipulihkan semula seperti dirinya yang asal.”
Prof. Shah mengangguk faham. Johan hanya mendengar tanpa sebarang respon. Inspektor Bakar masih menggaru kepalanya.
“Itu hanya telahan aku. Kita sedang berbincang tentang kuasa yang lebih besar dari pemahaman manusia,” jelas Prof. E.
“Jadi, sebab itukah kau culik Johan dari hospital lapan tahun dulu? Sebab Johan akan lebih cepat sembuh dan pulih selepas merentas masa berbanding menjalani pembedahan?” tanya Inspektor Bakar.
Prof. E dan Prof. Shah saling bertukar senyuman.
“Tidak. Pada waktu itu, aku cuma mahu hantar Johan pulang ke masa depan. Aku baru dapat tahu fenomena penyembuhan ini semasa menyambut Johan malam tadi. Kami sudah bersedia untuk bawa dia ke hospital jika lukanya melarat, tapi nampaknya tiada keperluan.”
Ketidakpastian dalam jawapan Prof. E itu sedikit sebanyak membuatkan Johan berasa gerun. Apa jadi kalau dirinya tidak sembuh dari luka tembakan? Apa jadi kalau lukanya makin melarat selepas merentas masa?
“Oh, Johan. Selepas makan, naiklah ke atas dan mandi. Pakaian dan barang-barangan kau semasa kau ceroboh rumah aku ini tujuh hari lepas aku letak di dalam bilik tadi. Telefon bimbit kau sudah aku cas penuh. Beberapa hari ini, telefon bimbit kau asyik berdering ada orang panggil. Mungkin penting. Nanti lepas kau siap, aku nak bawa kau jumpa seseorang.”
Tiada soalan dari Johan selepas mendengar penerangan panjang Prof. E. Johan masih belum sepenuhnya menyesuaikan diri sendiri selepas tujuh hari berada di tahun 2004.
Selepas selesai makan, Johan meninggalkan yang lain di dapur dan naik ke atas untuk mempersiapkan diri seperti yang diminta Prof. E.

Sambil Johan membutangkan bajunya, dia tersenyum. Pengalaman seminggu merentas ke masa silam, bertemu dengan watak-watak yang tidak pernah disangka ada sebelum ini, merupakan pengalaman yang amat bermakna kepadanya.
Pengalaman bersama dengan Prof. Erman dan Prof. Shah. Walaupun mereka berdua ada sejarah buruk bersama, akan tetapi melalui dirinya, mereka kini menjadi rapat dan baik semula. Pengalamannya berdepan dengan bahaya ketika di dalam misi menyelamat, bertembung dengan Bawi dan Galah. Johan tidak pernah sangka dia berani sampai begitu sekali. Semuanya kerana seseorang. Seseorang yang bernama Hani.
“Huh!” Johan mengeluh. “Jika hari ini sudah 23 haribulan, maka aku sudah terlambat. Ikutkan jadual, Hani dan Yusran bakal diijabkabulkan selepas Asar. Walaupun sekarang masih pagi, tapi siapalah aku sehingga mampu untuk membatalkan majlis pernikahan orang. Aku bukanlah wira yang berani merempuh majlis pernikahan seseorang dengan menunggang kuda seperti dongengan barat. Aku mungkin hanya memori masa silam Hani. Hani sudah buat pilihan dia sendiri. Aku yakin, pilihan dia adalah yang terbaik untuknya.”
Tangan Johan terberhenti dari habis mengenakan butang bajunya. Dia tertunduk dan terduduk di pinggir katil. Sambil pejamkan mata, dia terbayang akan Intan yang sedang ceria tersenyum. Matanya mula basah.
“Nampak gaya, square root of negative one masih kekal sebagai imaginary.”

Telefon bimbit Johan berdering, sekaligus membawa Johan kembali ke alam realiti. Disebabkan deringannya bukan muzik tema Doraemon, maka Johan tahu yang memanggilnya bukan emaknya.
Azlan. Itu yang tertulis di ID pemanggil.
Johan menekan butang hijau untuk menjawab.
“Wei, mana kau menghilang? Lama aku cuba call, kenapa tak jawab?” suara Azlan meninggi di hujung talian.
“Aku cuti. Aku berehat di rumah,” jawab Johan.
“Hahaha, jangan tipu. Aku tahu kau sedang merawat luka di hati...”
Johan hanya mendiamkan diri.
“...tapi kau ada tengok berita tak Rabu lepas?” sambung Azlan.
“Berita apa?”
“Kau seriously tak tahu? Berita baik tu?”
“Er...macam mana nak kata ek. Aku terputus hubungan dengan dunia luar selama seminggu, jadi aku tak tahu apa-apa berita.”
Seriously? Beritanya tentang square root of negative one girlfriend kau tu, Hani.”
“Kenapa dengan Hani?” tanya Johan.
Selepas mendengar penjelasan panjang lebar dari Azlan di hujung talian, Johan mula mengangkat kepala dan berdiri tegak. Dia menamatkan panggilan, menghabiskan butang bajunya, dan kemudian terus bergegas ke tingkat bawah menuju ke dapur.
“Prof! Prof tahu tak...”
Ayat Johan termati apabila melihat tiada siapa di dapur. Johan kemudian mencari di ruang tamu, juga tiada sesiapa. Dia kemudian kembali naik ke tingkat atas dan meninjau setiap bilik yang ada, juga tiada. Yang ada cuma perabot yang dilapik dengan kain putih untuk menghalang habuk.
“Mana mereka pergi?” detik hati Johan.
Johan kemudian naik ke tingkat loteng rumah. Namun dia tetap gagal mencari sesiapapun. Prof. E, Prof. Shah, mahupun Inspektor Bakar, ketiga-tiga mereka seolah-olah lesap dari rumah tersebut.
“Mungkin mereka keluar...”
Johan turun ke tingkat bawah sambil berlari anak untuk meninjau luar rumah. Niatnya mahu melihat sama ada mereka bertiga ada di luar rumah atau paling kurang mengesan sama ada kereta mereka masih berada di situ.
Selepas membuka pintu dan mengambil beberapa langkah ke depan, kaki Johan terhenti. Johan kaku seketika selepas melihat siapa yang sedang berdiri di laman rumah. Seorang gadis sedang berdiri tegak dengan senyuman dalam jarak lima meter. Sedikit kesayuan terpancar dari mata gadis itu, mungkin dek kerana matanya yang kelihatan basah bersinar.
Johan masih tidak percaya dengan apa yang sedang dilihatnya. Berdiri di hadapannya adalah seorang gadis yang selama ini hanya dilihatnya di kaca televisyen mahupun di layar perak.
Berdiri di hadapannya ialah Hani. Intan Farhani Ahmad.

“Hai, Johan,” tegur Hani.
“Ha...Hai,” balas Johan, gagap.
“Awak kenal saya lagi?” tanya Hani sambil melangkah merapatkan diri.
“Ha...Ha...” Johan masih tergagap.
“Isnin lepas, saya bertemu dengan Prof Erman. Dia cari saya di tempat kerja. Dia sudah ceritakan segala-galanya kepada saya. Saya sudah tahu segalanya.”
Hani merapatkan lagi jurang di antara mereka.
“Saya...Awak...” Johan hilang perkataan.
“Pada mulanya saya tak percaya. Saya anggap Prof gila. Lagipun, siapa yang boleh percaya perkara seperti merentas masa. Prof. Erman pun sama seperti awak, dia juga terus hilang lapan tahun lepas. Dia dengan tiba-tiba datang semula mencari saya selepas lapan tahun dan terus bercerita tentang itu, bukanlah sesuatu yang mudah untuk diterima. Tapi selepas diterangkan lebih terperinci oleh Prof Erman dan Prof Shah, saya jadi semakin faham dan dapat menerimanya.”
“Saya...” Johan masih kelu lidah.
“Bila difikirkan semula, semuanya masuk akal apabila selama lapan tahun saya berusaha mencari awak, mencari seseorang yang bernama Yusran, tapi sampai sudah tidak kesampaian. Rupanya yang patut dicari bukannya Yusran, tetapi Johan.”
Hani masih melangkah perlahan.
“Tapi...awak dan Yusran...”
“Saya bersyukur nama awak bukan Yusran. Yusran yang saya kenal tu sangat teruk, mempergunakan kontrak untuk mencari publisiti murahan sehingga menjerat saya ke arah perkahwinan.” Hani sudah berada di hadapan Johan. Dia kemudian menggenggam baju Johan dan meletakkan kepalanya di dada Johan.
“Semua salah awak. Disebabkan awak guna nama Yusran, disebabkan awak nyanyikan lagu Kanvas, saya terjerat dengan lelaki durjana itu. Bila dapat tahu penyanyi kepada lagu yang pernah awak nyanyikan itu bernama Yusran, saya mula teruja dan mahu mengenali dia. Rupanya dia bukan Yusran yang sama. Malah, dia sendiri pernah berkata lagu itu diciplaknya semasa terdengar seseorang menyanyikannya di belakang lori. Pihak pengurusan pula sukakan idea publisiti untuk menjodohkan saya dengan Yusran, tapi di saat saya mahu menolak, segala-galanya sudah terlambat. Saya terikat dengan kontrak.”
Johan hanya diam mendengar.
“Dunia glamor sangat kejam. Saya tak pernah suka dia. Saya sukakan Yusran yang lain. Saya rindukan Yusran yang menjadi penyelamat saya.”
Genggaman Hani semakin kuat. Dek tidak mampu menahan perasaannya lagi, Hani menangis sambil menekup mukanya ke dada Johan.
Lapan tahun bukanlah satu jangka waktu yang singkat. Johan faham, segala yang ditanggung Hani sepanjang lapan tahun itu bukan sesuatu yang kecil. Malah dia kagum dengan Hani kerana masih mampu tersenyum dan memberi harapan positif kepada seluruh dunia terutama kepada peminatnya.
“Jangan risau. Segala-galanya sudah berakhir, kan?” Johan menepuk-nepuk bahu Hani. Hani kembali menjarakkan diri untuk melihat wajah Johan.
“Saya baru dapat tahu tadi, awak batalkan perkahwinan awak dan mengumumkan untuk bersara dari dunia glamor. Betul, kan?” tanya Johan.
“Ya, saya memang sudah lama fikirkannya. Tapi selepas berjumpa dengan Prof Erman tempoh hari, saya jadi tekad. Walaupun masih banyak lagi perlu diuruskan, tapi segala-galanya memang akan tamat.”
“Kalau begitu, mari kita mulakan semula. Hai, nama saya Johan. Saya berumur 23 tahun dan sedang belajar di univeriti dalam jurusan perubatan.” Johan menghulurkan tangannya untuk bersalam.
“Nama saya Intan Farhani. Boleh panggil saya Intan. Saya menganggur sekarang. Harap awak boleh belanja saya makan malam bila-bila awak senang.” Hani menyambut salam Johan.

Johan dan Hani saling berbalas senyuman. Johan menyapu air mata di pipi Hani. Hani meminta maaf kerana sudah membasahkan baju Johan dengan air mata. Mereka berdua terpandang beberapa orang yang sedang berdiri di seberang jalan bertentangan dengan rumah Prof. E. Kelihatan Prof. E, Prof. Shah, Inspektor Bakar, Encik Ahmad dan Puan Nora sedang berdiri memandang mereka berdua sambil tersenyum riang. Hani membalas senyuman mereka dengan lambaian tangan. Johan mengajak Hani berjalan ke arah mereka semua.

“Jadi, betullah yang awak ni setahun lebih muda dari saya, ya? Awak juga peminat setia saya, kan?” seloroh Hani.
“Peminat fanatik, square root of negative one girlfriend,” jawab Johan sambil mengangguk dan tersenyum.
Imaginary!” balas Hani. “Banyak perkara yang nak saya ceritakan kepada awak. Saya ada lapan tahun punya cerita untuk awak.”

“Jangan risau, saya ada seumur hidup untuk awak. Lagipun, saya kan lelaki yang merentas masa.”



TAMAT?


Kritikan membina amat dialu-alukan.
Message di Empire State of cEro.
Mention di twitter @cerolian.
Emel di ceroofcerolian[at]gmail[dot]com

Sila baca entri penutup oleh cEro di sini.

Terima kasih kerana terus menyokong.



.


4 comments:

  1. congratez!!abiss jgak ek cita k cero,....nnt, bebila free baru boleyh stat baca dari epi 1 ...ak follow smpay epi bopa je ntah sblom neyh..ak x sabo x suka mnggu ...dok tgu bila laaa ending..baru ak akan baca btol2...hew3...weknd nie boleyh sta baca lain...

    ReplyDelete
  2. oh... ending "jalur alternatif" ini begitu idealistic bagi aku... nampaknya aku prefer the "jalur sebenar" one... hahah

    ReplyDelete
  3. tak ada apa yg boleh dikatakan lg.syabas kpd pnulis..crita yg sangat bagus..tapi kalau syarikat melayu yang buat cerita vorteks ni jadi filem mesti bosan

    ReplyDelete
  4. E eh.. ending mcm cite korea la..hee.. At least good effort utk menamatkan cite. Terima kasih sbb perah otak sajikan cerita pd kami.

    ReplyDelete

"It's not what you've got, it's what you do with it." - cEro, 2026

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Namaku cEro.... Kacak, tinggi, putih gebu, badan tegap, macho.. Kalau korang nampak orang yang memenuhi kriteria di atas, dia BUKAN AKU..
PENERBITAN:


Protected by Copyscape Online Plagiarism Check
Creative Commons License