Dear cErolian,

......

TERIMA KASIH!

Terima kasih kerana terus menyokong!

=======================

Oct 31, 2018

Adakah Anda Akan Lakukannya?



Salam.

Bayangkan TIGA situasi yang bakal aku gambarkan selepas ini. Selepas habis baca ketiga-tiganya, terus tinggalkan komen untuk jawapan kalian dan barulah (kalau berminat) baca penerangan selepasnya.

OK? Deal?





SITUASI 1

Di hadapan anda, seseorang sudah bersihkan sepenuhnya seekor lipas daripada segala kuman, bakteria, dan kekotoran yang ada. Kemudian orang tersebut mencelup lipas berkenaan ke dalam satu gelas berisi air kosong. Anda dikehendaki minum air kosong berkenaan sampai habis.

Adakah anda akan lakukannya? [YA / TIDAK]



SITUASI 2

Seseorang menunjukkan kepada anda sehelai jaket yang pernah dipakai oleh seseorang. Jaket itu adalah jaket kegemaran seorang pembunuh bersiri yang menculik kanak-kanak, menjadikan mereka hamba seks, dan seterusnya membunuh mereka selepas dirasakannya tidak bernilai lagi. Pemilik jaket itu sudahpun dijatuhi hukuman yang setimpal dengan kesalahannya. Anda dikehendaki memakai jaket berkenaan selama seminggu.

Adakah anda akan lakukannya? [YA / TIDAK]



SITUASI 3

Anda dikehendaki memasak sepinggan telur hancur (scrambled eggs) dan kemudian digaulkan dengan pewarna makanan yang tiada bau dan tiada rasa dan berwarna biru. Anda dikehendaki makan telur hancur tersebut sehingga habis.

Adakah anda akan lakukannnya? [YA / TIDAK]



Tinggalkan jawapan kalian di bahagian komen dan (jika mahu) kembali ke sini dan klik butang di bawah untuk terus membaca.







Sekian.




Nota kaki:

Buku yang aku sedang baca bertajuk 'Psy-Q: Test yourself with more than 80 quizzes, puzzles, and experiments for everyday life' hasil tulisan Ben Ambridge yang aku beli di jualan Big Bad Wolf beberapa tahun lepas.





.

Oct 24, 2018

"Life is a series of choices..."



Salam.

"Life is a series of choices..."
                    - Chara-Kami




Kalau kalian belajar biologi, terutamanya bab neuron, kalian akan tahu terdapatnya satu hukum yang dipanggil 'All-or-None'. Dalam hukum ini memberitahu, setiap tindakan saraf adalah bersifat tidak bergantung kepada kekuatan perangsang. Jika cetusan rangsangan melebihi tahap potensi (threshold potential), maka impuls akan dilepaskan melepasi saraf seterusnya mencetus tindakbalas terhadap rangsangan.

Kalau kalian tidak belajar biologi, terutamanya bab neuron, maka perenggan di atas mungkin tidak mudah difahami. Aku ringkaskan, maklumat yang melalui sistem saraf bersifat dual; hanya ADA atau TIADA. YA atau TIDAK.

Sistem yang sama juga wujud di dalam matematik seperti 'Boolean Algebra' yang pembolehubahnya hanya BENAR atau SALAH, diringkaskan kepada masing-masing 1 dan 0 dan seterusnya membentuk satu sistem yang lebih kompleks.

Sistem binary yang sama juga digunakan meluas di dalam komputer dan juga merupakan unit asas kepada segala bentuk digital, termasuklah skrin yang sedang ditatap kalian sekarang.

Dan sistem duality ini juga merupakan asas kepada hampir semua perkara, termasuklah kehidupan.

Tak faham?
Okey, biar aku ringkaskan lagi.




Kalau kalian sedar, hidup ini dapat diterangkan sebagai satu siri pilihan yang berterusan. Semua tindakan kita sebagai manusia adalah hasil daripada pilihan yang kita ambil dalam menentukan sesuatu.

Anda lapar? YA atau TIDAK.
Jika YA, perlukah anda makan? YA atau TIDAK.
Jika YA, adakah anda akan cari makanan? YA atau TIDAK.
Jika YA, adakah makanan akan dicari di dapur? YA atau TIDAK...

...dan siri pilihan YA atau TIDAK ini akan berterusan dan bersambungan, sedangkan tindakannya adalah perkara mudah; Anda lapar dan mahu makan.

Dan daripada situ, kita sedar tentang konsep sebab dan akibat. Setiap tindakan kita adalah bersebab dan akan menghasilkan akibat.

Kita lapar (sebab) dan kita mahu makan (akibat).

Jika kita perhatikan, setiap perkara yang kita lakukan bergantung kepada dua perkara ini; sebab dan akibat. Setiap pilihan kita akan bergantung kepada sebab dan akan menghasilkan akibat.

Jika dilihat secara progresif, hidup ini seperti sebuah permainan pilihan. Jika kita memilih untuk melakukan sesuatu, maka kita terpaksa menerima akibat daripada pilihan kita itu. Jika salah pilih, maka akibatnya mungkin memberi kesan yang besar kepada kita.

Dan daripada itu, wujudnya satu bentuk hiburan yang dipanggil 'gamebook' atau 'buku permainan'. Buku permainan ini wujud seawal tahun 1930-an lagi sebagai satu hiburan berbentuk media bertulis (buku) yang memberikan jalan cerita dengan cabangan pilihan yang ditentukan oleh pembaca sendiri.

Ya, kalian pernah tahu, kan?
Buku yang memberi satu situasi untuk satu keadaan dan di hujungnya diletakkan pilihan kepada pembaca:
Jika [sekian-sekian] sila ke muka surat [sekian-sekian],
Jika [sekian-sekian pula] sila ke muka surat [sekian-sekian lain].

Kalau pembaca salah pilih tindakan, mungkin akibatnya adalah buruk.

Aku sendiri pernah gilakan buku permainan semasa di sekolah dahulu. Jalan cerita buku tersebut ditentukan oleh pembaca sendiri (aku) dan jika tersalah pilih, aku akan patah balik ke muka surat sebelum pilihan tadi.

Dan aku yakin, buku permainan bukan sahaja mengisi masa kecil aku seorang sahaja, tetapi juga masa kecil (atau mungkin besar) kalian juga.


Dengan itu,
BUASIR OTAK kali ini menerbitkan satu buku dengan menggunakan konsep buku permainan interaktif, namun selangkah lebih ke hadapan dengan menjadikannya dalam bentuk komik.

YA. Kalian baca betul, DALAM BENTUK KOMIK.




Memperkenalkan:
BUASIR OTAK: THE KOMIK [ENIGMA]





BUASIR OTAK: THE KOMIK [ENIGMA] adalah jilid keenam untuk BUASIR OTAK: THE KOMIK. Dengan berkonsepkan buku permainan interaktif, BUASIR OTAK: THE KOMIK [ENIGMA] (mulai sini akan hanya disebut sebagai BOTK: ENIGMA) mengikuti pengembaraan watak utamanya, Bo dalam menjalani kehidupan sebagai belia remaja.

Kalian boleh tonton video teaser yang diterbitkan oleh pihak Buasir Otak ini:




Dah tengok video di atas? Apa macam?

Kalau kalian mahu merasa sendiri sebahagian daripada perjalanan buku BOTK: ENIGMA ini bolehlah ke link di bawah kerana pihak Buasir Otak bermurah hati memberikan sedikit preview untuk buku tersebut:

BLOG BUASIR OTAK - Buasir Otak: The Komik [Enigma]


Buku BOTK: ENIGMA mempunyai beberapa siri pilihan jalan cerita yang semuanya dimuatkan di dalam satu buku setebal 208 muka surat. Setiap jalan cerita dilukis dan ditulis oleh orang yang berbeza menjadikan perjalanan kalian sebagai Bo lebih unik dan mencabar.

Penglibatan aku di dalam buku BOTK: ENIGMA ini adalah sebagai penulis kepada salah satu jalan cerita yang ada. Sehingga entri ini ditaip, buku BOTK: ENIGMA ini masih belum berada di tangan aku NAMUN aku sendiri berasa teruja dan tidak sabar ingin membaca jalan cerita yang dilukis dan ditulis oleh kawan-kawan hebat aku yang lain.

Pada harga hanya RM15 (tidak termasuk kos penghantaran), buku ini WAJIB dimiliki kalian semua.

Kos penghantarannya adalah seperti di bawah:
Semenanjung Malaysia: RM8 (1-2 unit) / RM11 (3-4 unit)
Sabah & Sarawak: RM12 (1-2 unit) / RM17 (3-4 unit)

Tunggu apa lagi, dapatkannya sekarang kerana cetakan amat terhad. Ini adalah terbitan indie daripada pihak Buasir Otak sendiri, maka jangan anggap buku ini akan berada lama di pasaran.
CEPAT PERGI ORDER!

PM Buasir Otak (bukan aku) untuk membeli; atau Whatsapp Sang kancil (juga bukan aku) di talian 013-9313541; atau klik sahaja link ini:

http://botkenigma.wasap.my


Kepada sesiapa yang sudah beli dan sudah berada di tangan, war-warkan di media sosial dan tag aku (@cerolian) dan aku akan secara peribadi berterima kasih kepada kalian.

Ahhhhhhh!
Tak sabarnya aku nak baca buku ni!!!!!!




.

Oct 22, 2018

HARI KOMUNITI: Episod CCTV Terbang.



Salam.

Pada 21 Oktober 2018, aku sambut Hari Komuniti bukan berseorangan.

Ini adalah entri untuk Hari Komuniti Pokémon GO untuk bulan Oktober.


Ringkasan episod terdahulu:
Dalam perjalanan ingin menjadi yang terbaik berbanding yang lain, aku (cEro) sudah melalui 9 kali Hari Komuniti. 'Hari Komuniti', atau nama sebenarnya Pokémon GO Community Day adalah acara bulanan bagi pemain Pokémon GO yang mula diperkenalkan dari awal tahun 2018 ini di mana setiap edisi Hari Komuniti akan menampilkan Pokémon istimewa bersama-sama dengan pelbagai lagi bonus dan ganjaran untuk pemain.

Berikut adalah senarai 9 Hari Komuniti yang sudah dilalui aku:
Januari - 'Tangkap Pikachu di Taman.'
Februari - 'Memburu Anak Naga Merah Jambu.'
Mac - 'Mencari Raksasa Bawang.'
April - 'Episod Biri-Biri Elektrik Merah Jambu.'
Mei - 'Episod Si Naga Hitam.'
Jun - 'Episod Dinosaur Batu.'
Julai - 'Episod Kura-Kura Biru.'
Ogos - 'Episod Eevee.'
September - 'Episod Timun Berkaki.'


Dan seperti biasa, pengingatan, ini adalah entri berkaitan Pokémon GO, maka akan terdapat banyak istilah dan frasa berkaitan permainan aplikasi Pokémon GO yang mungkin akan memberikan cabaran kepada para pembaca bukan pemain untuk memahami.

Untuk bulan Oktober, Pokémon istimewa yang ditampilkan ialah BELDUM.

Sumber: Niantic, Inc. (Twitter: @PokemonGOApp)



BELDUM

Beldum adalah Pokémon daripada generasi ketiga, iaitu dari Wilayah Hoenn. Beldum adalah Pokémon daripada jenis besi (steel) dan jenis psikik (psychic) dan merupakan entri ke-374 di dalam keseluruhan Pokédex. Beldum tiada jantina dan kelihatan seperti kamera CCTV yang terbang sendiri.

Pokédex untuk Pokémon GO menerangkan Beldum sebagai:

'Iron Ball Pokémon:
Instead of blood, a powerful magnetic force courses throughout Beldum's body. This Pokémon communicates with others by sending controlled pulses of magnetism.
'

Beldum boleh dievolusi kepada Metang dengan menggunakan 25 candy dan seterusnya Metang boleh dievolusi kepada bentuk seterusnya Metagross menggunakan 100 candy.

Beldum adalah antara Pokémon meta yang relevan di dalam Pokémon GO. Evolusi akhirnya, Metagross, antara Pokémon jenis besi yang kuat, malah juga mampu menjadi Pokémon jenis psikik yang tidak kurang hebatnya.



PENGUMUMAN RASMI.

Pengumuman rasmi pertama Beldum sebagai watak utama Hari Komuniti untuk bulan Oktober adalah pada 26 September lalu, namun maklumat lanjut mengenai Hari Komuniti itu telah diumumkan Niantic, Inc selaku pembangun aplikasi permainan Pokémon GO pada tarikh 15 Oktober 2018 di dalam bahagian berita di dalam permainan dan di seluruh platform media sosial yang ada.





Di dalam pengumuman tersebut ada disertakan beberapa maklumat mengenai Hari Komuniti bulan Oktober termasuklah:

- Beldum sebagai watak utama.
- Waktu Hari Komuniti: 12:00 pm hingga 3:00 pm JST (11:00 pg hingga 2:00 pm waktu Malaysia)
- Bonus telur menetas 4x lebih pantas sepanjang tempoh Hari Komuniti.
- Metang yang dievolusi kepada Metagross akan dapat gerakan serangan istimewa, Meteor Mash.

Meteor Mash adalah serangan jenis besi yang kuat. Metagross dengan serangan Meteor Mash boleh dikatakan sebagai antara Pokémon jenis besi terkuat yang ada.

Dan sudah tentu, walaupun tidak diumumkan, perkara yang ditunggu-tunggu pemain Pokémon GO setiap kali menjelang Hari Komuniti adalah kemunculan Pokémon dalam varian shiny-nya. Beldum (dan seluruh evolusinya) dikatakan mempunyai varian shiny paling menawan dengan kombinasi warna kelabu perak dan emas metalik.



PERSEDIAAN AWAL.

Walaupun bonus telur menetas 4x lebih pantas adalah satu bonus yang menarik, namun aku tiada keperluan untuk menetaskan telur yang aku ada secara serentak. Maka, aku simpan Pokécoin aku dan tidak berniat untuk membeli mana-mana kotak jualan ataupun membeli incubator (atau super incubator) untuk tujuan penetasan.

Namun, aku dapati bahawa aku hampir untuk naik ke Pokémon Trainer level 39 (daripada level 38). Maka, antara niat aku adalah untuk berada di level 39 SEBELUM datangnya Hari Komuniti.

Alhamdulillah, pada 18 Oktober (3 hari sebelum Hari Komuniti), aku berjaya untuk naik ke level 39.




Hari Komuniti kali ini juga menjadi Hari Komuniti kedua (selepas Hari Komuniti Chikorita pada bulan lepas) di mana aku tiada powerbank. Telefon bimbit aku memang sudah berada pada tahap optimum 100% untuk 3 jam bermain Pokémon GO tanpa henti, maka aku perlu rancang penggunaan tenaga bateri aku pada hari tersebut.

Juga, untuk Hari Komuniti kali ini, aku tidak bermain berseorangan. Ada seseorang berminat untuk menyertai aku bersama-sama memburu Beldum pada hari Ahad itu.

Dan disebabkan aku ada teman, maka kami buat keputusan untuk (sekali lagi) menggunakan pengangkutan awam untuk ke destinasi yang dituju.



MISI.

Kelancaran melalui Hari Komuniti bergantung kepada apa misi aku pada hari tersebut.
Antara misi yang sudah aku tetapkan termasuklah:

1. Tangkap sebanyak mungkin Beldum.
2. Tangkap paling kurang 3 shiny Beldum.
3. Dapatkan satu Metagross dengan serangan Meteor Mash, dan satu shiny Metagross dengan serangan Meteor Mash.
4. Lawan paling kurang satu level 5 boss raid, Mewtwo.
5. Selesaikan semua misi di atas sebelum bateri jatuh 50%.


Level 5 boss raid masih lagi Mewtwo, walaupun Mewtwo bakal tamat pada masa yang terdekat dengan tiada ura-ura tentang Pokémon apa yang bakal menggantikannya di slot level 5 boss raid yang seterusnya.

Aku juga berniat untuk menyertai raid boss di mana-mana EX RAID GYM yang ada supaya berpeluang untuk dijemput menentang Deoxys, Pokémon lagenda terbaru yang menjadi EX raid boss.

Dan lokasi kami pada Hari Komuniti bulan Oktober ini, tidak lain tidak bukan, kawasan yang mempunyai kadar 'spawn' paling tinggi di seluruh Malaysia, Taman KLCC, Kuala Lumpur.


Taman KLCC, Kuala Lumpur.



HARI KEJADIAN, HARI KOMUNITI.

Teman yang menyertai Hari Komuniti aku kali ini beritahu dia akan ikut sahaja apa rancangan aku sepanjang hari ini, maka tiada masalah untuk aku mengkoordinasi perjalanan kami. Kami sampai di destinasi, Taman KLCC sedikit awal, iaitu pada pukul 10:30 pagi. Namun Taman KLCC sudahpun dipenuhi dengan para pemain Pokémon GO yang tidak sabar-sabar untuk memburu Beldum kegemaran mereka.

Bila jam menunjukkan pukul 11 pagi, baru aku buka aplikasi Pokémon GO (demi menjimatkan bateri). Beldum pertama Hari Komuniti aku dapat ditangkap pada minit yang pertama selepas jam 11, namun Beldum shiny pertama aku diperoleh pada minit ke-11.



Perbandingan antara Beldum biasa (kiri) dengan Beldum shiny.


Sepanjang 3 jam Hari Komuniti, aku berjaya tangkap 8 shiny Beldum.


Mengikut turutan tangkap dari kiri:
Jam 11:11 CP 10, jam 11:40 CP 606, jam 11:51 CP 657


Mengikut turutan tangkap dari kiri:
Jam 12:15 CP 210, jam 12:16 CP 54, jam 12:22 CP 511


Mengikut turutan tangkap dari kiri:
Jam 12:30 CP 119, jam 12:33 CP 385


Perasan tak aku langsung tidak dapat jumpa shiny pada jam ketiga (pukul 1)?
Dan shiny keempat dan kelima berturut-turut berbeza hanya satu minit?


Tiada raid Mewtwo berlangsung berhampiran sepanjang 3 jam Hari Komuniti ini, namun kami berjaya menyertai 2 raid lain iaitu Level 3 Alolan Raichu dan Level 1 Shinx. Raid Shinx berlangsung di EX Raid Gym (Colorful Playground, KLCC Park). Harap akan datang dapatlah dijemput untuk EX Raid Deoxys.

Pada 10 minit sebelum jam 1 petang, aku buat keputusan untuk evolusikan Beldum kepada Metagross untuk dapatkan serangan Meteor Mash. Untuk shiny, aku pilih Beldum dengan CP 657 untuk dievolusikan kepada shiny Metagross. Walaupun (individual value) IV-nya bukanlah tinggi mana, tapi Beldum shiny ini mempunyai CP paling tinggi antara kelapan-lapan shiny Beldum yang aku ada. Untuk shiny Metang pula, aku memilih shiny Beldum dengan CP 54 untuk dievolusikan.

Maka cukuplah aku memiliki ketiga-tiga evolusi Beldum dalam varian shiny-nya.




Pada jam 12:53, bateri telefon aku sudah melepasi tahap 50%, iaitu 49%. Aku habiskan Hari Komuniti sehingga jam 2 petang. Pada jam 2:01 petang, bateri aku menunjukkan berada di tahap 20%, memaksa aku untuk bertukar ke mood 'simpan tenaga'.

Selepas makan tengahari, kami pun beransur pulang ke rumah. Alhamdulillah, sepanjang hari ini langsung tidak hujan walaupun hujan memang dijangka akan turun di sebelah petang.




ULASAN

Adakah misi aku untuk Hari Komuniti kali ini selesai?

1. Tangkap sebanyak mungkin Beldum.

Menurut data, sebelum Hari Komuniti, aku pernah tangkap 12 Beldum. Selepas Hari Komuniti pula, data menunjukkan aku sudah tangkap Beldum sejumlah 116. Ini bermakna, sepanjang Hari Komuniti, aku berjaya tangkap [116-12=] 104 Beldum.


2. Tangkap paling kurang 3 shiny Beldum.

Daripada 104 Beldum yang aku tangkap sepanjang tempoh 3 jam Hari Komuniti ini, 8 daripadanya adalah shiny.


3. Dapatkan satu Metagross dengan serangan Meteor Mash, dan satu shiny Metagross dengan serangan Meteor Mash.

Aku berjaya evolusikan satu Metang kepada Metagross dengan serangan Meteor Mash, dan juga satu shiny Metang kepada shiny Metagross dengan serangan Meteor Mash.


4. Lawan paling kurang satu level 5 boss raid, Mewtwo.

Tiada level 5 boss raid, Mewtwo di sekitar kawasan Taman KLCC sepanjang 3 jam hari Komuniti ini. Misi GAGAL.


5. Selesaikan semua misi di atas sebelum bateri jatuh 50%.

Aku dikira berjaya selesaikan semua misi pada jam 12:54 dengan bateri berada pada tahap 47%. Misi GAGAL.


Kesimpulannya,
Hari Komuniti ini boleh dikira berjaya kerana highlight utama hari ini adalah shiny Beldum (dan seluruh evolusinya). Sepanjang 3 jam Hari Komuniti ini juga, aku berjaya tingkatkan XP aku daripada 51,180 XP (level 39) kepada 106,905 XP pada level yang sama. Bermakna peningkatan 55,725 XP, bersamaan dengan melakukan 5x raid level 5 dan satu raid level 4. Level 39 memerlukan aku capai 5,000,000 sebelum boleh naik ke level terakhir, level 40.

Jauh lagi perjalanan.





HARI KOMUNITI SETERUSNYA.

Tiada lagi pengumuman rasmi untuk Hari Komuniti bulan November nanti, tapi rasanya semua pemain Pokémon GO tahu Pokémon yang bakal menjadi watak utama pada hari itu adalah CYNDAQUIL.

Cyndaquil adalah Pokémon jenis api dan merupakan salah satu daripada tiga Pokémon pemula bagi Wilayah Johto (generasi kedua). Cynddaquil boleh berevolusi kepada Quilava dengan 25 candy dan seterusnya kepada Typhlosion dengan 100 candy.

Cyndaquil bukanlah satu Pokémon yang relevan secara meta di dalam permainan Pokémon GO. Banyak lagi Pokémon jenis api yang jauh lebih baik daripada Cyndaquil (dan seluruh evolusinya). Namun tidak salah jika mahu memilikinya, apatah lagi varian shiny yang bakal dilepaskan pada hari tersebut.

Tarikh Hari Komuniti untuk bulan depan bulan November sudahpun diumumkan, jatuh pada 10 November, hari Sabtu. Rasanya tidaklah jauh mana daripada tarikh sekarang, kan?



Sekian sahaja episod Hari Komuniti kali ini.
Bertemu lagi di episod Cyndaquil yang bakal menyusul kemudian.

Buh-bye!
*berlalu pergi menunggang Cyndaquil sambil dibakar oleh api di belakangnya*







.

Oct 17, 2018

Kisah Anda dan Si Perentas Masa.



Salam.

Jadi,
cuba bayangkan satu situasi yang bersifat hipotetikal.

Seorang lelaki mengaku diri sebagai seorang 'perentas masa'. Anda tiada sebab untuk meraguinya. Destinasinya yang seterusnya adalah tepat sepuluh tahun di masa silam. Disebabkan anda telah menyelamatkan si perentas masa itu daripada bahaya sebelum itu, maka dia buat keputusan untuk membalas jasa anda dengan memberikan satu peluang.





Katanya,
"Tulis mesej di dalam kertas ini. Aku akan hantar kertas ini kepada diri kau 10 tahun yang lepas. Kau ada peluang untuk memberitahu diri sendiri pada 10 tahun lepas tentang apa yang dia, iaitu kau, sepatutnya tahu dalam masa 10 tahun ini."

Kertas yang dihulurkan hanya muat untuk ditulis dengan 140 aksara. Boleh kurang, tidak boleh lebih.

Apa yang akan anda tulis?



cEro: Sila tinggalkan jawapan anda di ruangan komen. Aku akan kumpul sebanyak mungkin jawapan daripada pelbagai sumber dan gabungkan di dalam satu entri akan datang. Kalian boleh tulis seberapa banyak mesej yang kalian mahu TAPI aku akan anggap satu mesej hanya untuk satu orang dari satu orang yang sama. Jika kalian tulis lebih daripada 140 aksara, aku akan anggap mesej tamat pada aksara ke-140; bermakna aksara ke-141 dan seterusnya akan dianggap hilang. Ingat! Mesej ini berpotensi untuk ubah kehidupan kalian sepanjang tempoh masa 10 tahun ini. Tulis dengan bijak.

Good luck!





.

Oct 10, 2018

Impian, Primitif, dan 'Escape Plan'.



Salam.

Aku sedikit sibuk minggu ini,
jadi mari kita bersembang tentang perkara yang lebih santai dan dekat dengan semua orang.

Mari kita bersembang tentang impian.





Sejak kemunculan media sosial lebih sedekad dahulu, seantero manusia mempunyai akses yang sebelum ini hanya dimiliki sekelompok sahaja; kebebasan berkomunikasi.

Dahulu,
manusia dihubungkan melalui kiriman surat. Kemudian telefon talian muncul dan manusia boleh berkomunikasi dengan hanya memegang gagang. Isu kos yang tinggi menjadikan telefon pada masa itu hanya untuk golongan tertentu sahaja, lalu manusia semakin maju ke hadapan dengan ciptaan telefon mudah alih yang bukan sahaja semakin senang diurus, malah mampu dimiliki. Kecanggihan jaringan internet meresap masuk ke evolusi komunikasi menjadikan internet yang dahulu hanya untuk kegunaan komputer, kini berada di tapak tangan setiap daripada kita.

Kini,
dengan media sosial, mengucapkan 'hello' kepada manusia di sebalik Bumi yang sebelah sana lebih pantas, menjadikan komunikasi sesama manusia menjadi lebih mudah dan efisien.

Namun,
adakah komunikasi masa kini satu komunikasi yang berkualiti?


Ini pendapat peribadi aku,
walaupun komunikasi kini lebih pantas, mudah, dan efisien, namun kita kurang satu elemen yang amat penting di dalam komunikasi; iaitu interaksi kemanusiaan antara individu.

Ya, hantar mesej juga merupakan satu interaksi sesama manusia.
Namun interaksinya bermedium; kita taip mesej di peranti mudah alih dan dihantar kepada peranti penerima melalui jaringan komunikasi sebelum dibaca oleh si penerima. Walaupun lebih pantas, mudah, dan efisien, namun kita hilang keindahan komunikasi secara berdepan.

Asas kepada komunikasi sesama manusia ialah berbual secara berdepan.

Dan ini menjuruskan kepada isi impian aku.



Pada satu masa tidak berapa lama dahulu, aku berimpian untuk anjurkan satu sesi bertemu mesra. Sesi ini berlangsung satu hari, mungkin petang, di mana kita ramai-ramai berkumpul di satu kawasan (mungkin di taman tasik) dan duduk berbual tentang apa juga topik.

Ya, berkumpul dan sekadar berbual. Bertemu orang baru, atau kenalan lama, atau sesiapa sahaja, dan berbual secara berdepan tanpa ada medium lain. Satu bentuk komunikasi paling primitif dan juga paling berkesan.

Sesi itu mungkin akan dijalankan sekali setiap bulan, dan setiap sesi mungkin sekadar satu, dua jam. Selepas tamat sesi berkenaan, para peserta boleh terus sambung kehidupan seperti biasa.

Impian aku ini sangat ringkas, tapi aku nampak sesi ini berpotensi menjadi satu 'escape plan' daripada belenggu media sosial yang (mungkin terlalu keras untuk aku katakan) menjadi semakin beracun mengikut edaran zaman.


Jadi, kalau impian ini ringkas, apa yang menghalang kau daripada merealisasikannya?

Impian ini tercetus pada zaman aku berfikiran bahawa aku bakal menjadi terkenal satu hari nanti. Kalau aku terkenal, aku hanya perlu umumkan untuk bertemu di sekian-sekian tempat pada sekian-sekian waktu, dan sudah tentu ramai yang akan muncul menyokong.

Ya. Itu adalah impian pada masa aku sibuk mengejar populariti. Namun, sekarang aku sudah terima hakikat yang aku tidak akan terkenal (di bawah nama cEro) dan aku sendiri pun semakin tidak berminat untuk menjadi terkenal, jadi impian ini seperti terkubur begitu sahaja.

Secara teknikalnya, impian ini masih boleh direalisasikan tidak kira aku (cEro) terkenal atau tidak, tapi sudah tentu ia tidaklah sebegitu mudah.

Maksud aku, kalau tiba-tiba aku beritahu di sini akan anjurkan sesi temu mesra di sekian-sekian tempat pada sekian-sekian masa, aku tidak rasa ada sesiapa mahu datang, kan?

Namun, seronoknya tentang impian ini adalah sesi ini masih boleh berjalan walaupun hanya ada dua orang sahaja peserta. Jika objektifnya hanya untuk dapatkan komunikasi berdepan sesama manusia, dua orang pun masih boleh berkomunikasi, kan?


Tapi entahlah, mungkin satu hari nanti aku akan anjurkannya. Di era manusia hanya bersikap sentrik diri dan hanya mahu bercakap dan tidak mahu mendengar, aku mahu jadikan sesi ini sebagai satu tempat orang ramai lari seketika daripada kehidupan mereka dan datang secara santai hanya untuk berkomunikasi; bercakap dan mendengar sesama individu lain tanpa mengira pangkat, darjat, usia, bangsa, dan agama. Mana tahu di situ dapat sedikit sebanyak ilmu daripada penceritaan orang lain.

Tapi itulah...
Aku tak tahu dari mana patut aku mula...





.

Oct 8, 2018

PENYELIDIKAN LAPANGAN: Episod Serigala Air Lagenda.



Salam.

Wow! It's October already.
Rasa macam baru semalam sambut tahun baru 2018.

Moving forward!

Bulan baru bermakna episod baru di dalam siri Penyelidikan Lapangan. Untuk Oktober, watak utama penyelidikan ialah Pokémon terakhir daripada tiga Pokémon daripada kelompok 'legendary beast', Pokémon Lagenda Binatang Air, Suicune.


Sumber: Niantic, Inc. (Instagram: @PokemonGOApp)



Selamat datang ke episod baru Penyelidikan Lapangan.

Jika kalian baru sahaja tahu tentang siri ini, kalian agak lewat.

Sila baca episod sebelum ini:
1 - Episod Burung Api Lagenda.
2 - Episod Burung Elektrik Lagenda.
3 - Episod Burung Ais Lagenda.
4 - Episod Raksasa Tidur.
5 - Episod Kucing Besar Elektrik Lagenda.
6 - Episod Singa Api Lagenda.

Dan seperti biasa, pemberitahuan:
Ini adalah entri yang sarat dengan istilah khusus untuk permainan aplikasi Pokémon GO yang akan memberi sedikit cabaran kepada pembaca bukan pemain untuk memahami.

FIELD RESEARCH (Penyelidikan Lapangan) adalah salah satu feature di dalam Pokémon GO seperti pengembaraan di mana apabila pemain pergi ke satu lokasi dan memusing cakera gambar di PokéStop, pemain akan diberikan tugasan untuk diselesaikan. Setiap tugasan ada ganjarannya sendiri, dan apabila tugasan pertama untuk hari itu dapat diselesaikan, pemain akan diberi cop tarikh. Cop tarikh hanya diberi satu setiap hari dan apabila berjaya mengumpul 7 cop tarikh, maka ada ganjaran yang lebih besar akan diberi.

Sejak Penyelidikan Lapangan diperkenalkan bermula bulan April, tiga bulan pertama akan memberikan trio Pokémon lagenda burung; Moltres, Zapdos, dan Articuno. Pada bulan lepas bulan Julai, ganjarannya adalah Pokémon Snorlax dengan serangan legasi 'Body Slam'. Bulan Ogos pula menyaksikan permulaan kepada trio 'legendary beast' sebagai ganjaran, dimulakan dengan 'legendary beast' Raikou dan seterusnya Entei pada bulan September.

Pada 21 September lalu, satu pengumuman muncul di slot 'News' (Berita) di dalam Pokémon GO. Pokémon yang akan menjadi ganjaran kepada Penyelidikan Lapangan pada bulan Oktober ini tidak lain tidak bukan Pokémon terakhir daripada trio Lagenda Binatang, Pokémon lagenda daripada jenis air, SUICUNE.






Suicune adalah Pokémon jenis elektrik lagenda di dalam kelompok 'legendary beast' bersama-sama Raikou dan Entei. Aku tidak pasti apa terjemahan tepat untuk 'beast'. Dalam entri yang lepas, aku ada sebutnya sebagai 'Pokémon Anjing Lagenda' tapi 'anjing' kurang tepat untuk terjemahkan 'beast' kerana 'beast' adalah panggilan untuk haiwan berkaki 4, termasuklah kucing, kuda, haiwan ternakan dan sebagainya yang berkaki empat, bukan semata-mata anjing. Lagipun, kalau dilihat, Suicune lebih menyerupai serigala berbanding anjing, kan?

Suicune pernah menjadi Pokémon untuk raid level 5 beberapa bulan yang lalu dan tak pernah kembali lagi. Para pemain Pokémon GO sedikit lega apabila Suicune diperkenalkan sebagai ganjaran untuk Field Research kerana kebanyakan pemain tidak banyak peluang untuk memiliki Suicune pada masa dahulu. Aku sendiri hanya miliki satu sahaja Suicune sebelum ini.

Tanpa berlengah masa, pengembaraan aku untuk menangkap Suicune pun BERMULA!


------------------------- ------------


Suicune hanya boleh didapati sebagai ganjaran untuk Research Breakthrough bermula 1 Oktober 2018 jam 1 petang PDT, dan jika ditukar ke waktu Malaysia, bermula 2 Oktober 2018 jam 4 pagi.

Berkat kegigihan, aku masih lagi tidak langsung pernah tertinggal satu pun cop tarikh untuk Field Research setiap hari bermula daripada feature Field Research mula diperkenalkan. Daripada pengiraan, aku akan mula mengumpul cop tarikh untuk Suicune bermula pada tarikh 29 September 2018.












Selepas seminggu selesaikan tugasan dengan penuh kegigihan, pada tarikh 5 Oktober, aku berpeluang bertemu semula dengan si Professor yang obses dengan Pokémon ini.





Dan seterusnya memberikan aku kotak terkandung ganjaran daripada hasil kumpul cop setem bertarikh setiap hari.





Selepas kotak itu ditekan, beberapa ganjaran lain juga muncul seperti:
- +20 Poké Ball
- +3000 XP
- +3 Rare Candies,

dan seterusnya aku berpeluang untuk menangkap hasil ganjaran untuk bulan ini.







Muncullah Suicune pada level 15 dengan CP 1175. Diberikan Suicune itu dengan Pinap Berry untuk menggandakan candy Suicune dua kali ganda (2x3 = 6) kerana Suicune sebagai ganjaran ini TIDAK AKAN MELARIKAN DIRI. Selepas hanya dua kali percubaan, Suicune berjaya ditangkap!

Suicune pertama sebagai ganjaran Field Research Breakthrough yang aku tangkap ini selepas dikira berada di pada 82% untuk IV (individual value) dengan nilai Stamina (HP) penuh 15. 100% IV Suicune pada level 15 mempunyai CP 1210, bermakna semakin hampir CP Suicune yang ditangkap dengan angka itu, maka IV-nya semakin bagus.

Setelah dikira, kalau aku mampu kekalkan setiap hari satu cop tarikh, aku mampu dapat 4 Suicune (termasuk yang pertama ini) sepanjang bulan Oktober. Aku buka ganjaran untuk Field Research setiap hari Jumaat dengan tarikh Jumaat terakhir bulan ini ialah pada 26 Oktober.



Ulasan.

Suicune adalah antara Pokémon lagenda jenis air yang, walaupun kuat, tetapi tidak begitu relavan di dalam permainan. Aku tidak mahu sentuh bab serangan, DPS atau sebagainya, cukuplah tahu bahawa Suicune adalah jenis air dan tidak banyak jenis Pokémon yang lemah dengan jenis ini.

Tapi Suicune pada level 15 memerlukan banyak candy jika mahu ditingkatkan. Penglibatan 'Rare Candy' amatlah diperlukan. Namun adalah baik untuk tunggu selepas selesai dapat kesemua Suicune yang mampu didapati daripada Field Research sebelum Power-Up supaya dapat memilih mana satu yang mempunyai IV paling tinggi di antaranya.

Malangnya, kesemua Pokémon lagenda tidak boleh digunakan sebagai 'pertahanan' di PokéGym. Maka, Pokémon lagenda seperti Suicune ini hanya berguna sebagai 'penyerang' jika mahu menjatuhkan sesebuah PokéGym mahupun menewaskan boss raid.

Kembalinya Suicune sekali lagi di dalam Pokémon GO, walaupun kini sebagai ganjaran kepada Field Research, memberi peluang kepada pemain baru dan juga pemain yang baru kembali untuk memilikinya selepas terlepas peluang semasa Suicune menjadi boss raid level 5 dahulu.

Secara peribadi, aku sukakan design Suicune yang seperti serigala tapi masih kelihatan sangat elegan. Kalau aku boleh dapat Suicune dengan IV yang lebih tinggi (90% ke atas) aku mungkin akan bela dia dan Power-Up Suicune tersebut kerana aku kurang Pokémon air yang hebat.

Untuk bulan depan bulan November, kalau perlu diteka, kemungkinan ganjaran untuk Field Research bukan lagi Pokémon lagenda seperti yang berlaku untuk kes Snorlax selepas trio lagenda burung. Aku berharap Pokémon yang akan menjadi ganjaran Field Research untuk bulan depan adalah Chansey, kerana seperti Snorlax, walaupun bukan bertarap lagenda tetapi Chansey (dan evolusinya Blissey) sangat relevan untuk dimiliki di dalam Pokémon GO ini.

Apa-apapun, itu cuma tekaan. Sama ada Chansey akan menjadi ganjaran Field Research, semuanya hanya akan terjawab pada hujung bulan ini.

Dan jika kalian baca entri ini dan perasan, aku sekali lagi mengambil templat yang sama dengan entri Penyelidikan Lapangan dua bulan lepas dan hanya ubah ikut kesesuaian Pokémon kali ini. Orang malas sentiasa mencari jalan paling mudah untuk bekerja.

Nantikan episod seterusnya dalam siri Penyelidikan Lapangan di bulan hadapan.
Selamat menjalankan penyelidikan!





.

Oct 3, 2018

TERIMA atau TOLAK?


Salam.



Tahniah. Anda menang cabutan bertuah!

Tetapi,
cabutan bertuah ini tidak seperti cabutan bertuah yang lain: anda perlu berkongsi hadiahnya yang bernilai RM 10 dengan seorang lagi peserta, dan peserta tersebut akan menentukan bagaimana untuk membahagi nilai hadiah tersebut.

Anda hanya perlu untuk memilih sama ada akan menerima cadangan pembahagian itu, ATAU menolak cadangan tersebut. Jika anda menerima, nilai RM 10 akan dibahagikan mengikut cadangan. Jika anda menolak, kedua-dua anda dan peserta satu lagi itu TIDAK akan dapat apa-apa. Peserta satu lagi hanya boleh buat satu sahaja cadangan, dan anda perlu untuk menerimanya ATAU menolaknya. Tiada tawar-menawar, tiada cadangan kedua.

Pilihannya mudah, TERIMA atau TOLAK!


Untuk setiap cadangan berikut, adakah anda terima ataupun tolak?

(a) RM 8 untuk anda, RM 2 untuk pemenang satu lagi. [Terima/Tolak]
(b) RM 5.10 untuk anda, RM 4.90 untuk pemenang satu lagi. [Terima/Tolak]
(c) RM 5 sama rata. [Terima/Tolak]
(d) RM 4.90 untuk anda, RM 5.10 untuk pemenang satu lagi. [Terima/Tolak]
(e) RM 3 untuk anda, RM 7 untuk pemenang satu lagi. [Terima/Tolak]
(f) RM 2 untuk anda, RM 8 untuk pemenang satu lagi. [Terima/Tolak]
(g) RM 1 untuk anda, RM 9 untuk pemenang satu lagi. [Terima/Tolak]





Ini adalah satu tugasan situasi khayalan yang diberikan oleh buku yang sedang aku baca sekarang. Buku itu adalah sejenis buku bukan fiksyen dengan genre psikologi yang menyingkap perangai manusia dalam kehidupan seharian.

Mari kita tengok dulu apa keputusan yang aku sendiri buat.

Kalau aku merupakan pemenang itu, aku akan terima cadangan untuk (a), (b), dan (c). Mungkin juga aku akan terima (d) selepas ambil masa untuk berfikir.

Manakala selebihnya untuk (e), (f) dan sudah tentu (g), aku sudah tentu akan tolak.

Kalian pula bagaimana?
Aku yakin tidak jauh beza pun dengan keputusan aku, kan?


Menurut penulis buku berkenaan, hampir semua orang akan menolak cadangan untuk (g). Kita sebagai pembaca pun faham kenapa keadaan itu terjadi.

Namun, jika difikirkan untuk cadangan (g), jika diterima, kita masih lagi akan dapat RM 1. Tapi jika ditolak, kita sudah tentu tidak dapat apa-apa langsung (RM 0). Maka logiknya, cadangan (g) masih lagi menguntungkan jika kita terima berbanding jika kita menolaknya.

Tapi majoriti daripada kita masih lagi menolak cadangan (g), kan?

Kita (manusia) sanggup untuk menolak keuntungan RM 1 demi untuk menghukum peserta lain yang datang dengan cadangan itu (kerana bersikap tidak adil - manakan tidak, dia dapat RM 9, kita hanya dapat RM 1 sedangkan yang menang itu, kita!)



Dalam kes aku (dan keputusan yang aku buat),
aku masih akan menolak untuk (e) walaupun pada dasarnya nilai kemenangan masih lagi ada, iaitu RM 3. Tapi aku mula untuk bertolak ansur (walaupun tidak ikhlas) untuk cadangan (d), kerana beza kemenangan hanya 20 sen.

Keputusan mungkin akan berbeza mengikut individu, tapi majoritinya akan berkisar pada keputusan yang lebih kurang sama.

Kita (manusia) sanggup mengorbankan keuntungan yang sedikit demi untuk menghukum mereka yang dianggap sedang buat kesalahan kepada kita.



Membaca bahagian ini membuatkan aku terkenang peristiwa yang pernah aku saksikan, dan aku rasa majoriti daripada kita pernah tahu, dengar, atau rasai sendiri.

Si A dan si B berbeza jantina dan berkawan baik. Namun pada satu tahap, si A mula merasakan perasaannya terhadap si B adalah lebih daripada kawan. Lantas, si A meluahkan perasaannya terhadap si B dan menginginkan mereka berdua maju ke tahap yang seterusnya (lebih daripada sekadar kawan).

Si B tidak menolak, tapi juga tidak menerima. Kata si B, dirinya dan si A akan menjadi lebih baik jika mereka kekal sebagai kawan. Tegasnya, dinamik sebagai satu pasangan dan sebagai sepasang kawan amat berbeza. Si B tidak mahu dinamik yang ada sekarang berubah selepas bertukar status. Pada si B, dia dan si A lebih baik jika hanya bergelar kawan.

Si A tidak dapat terima keputusan si B. Merasakan dirinya dimalukan, si A membuat keputusan memutuskan hubungan persahabatan antara dirinya dengan si B. Malah, lebih teruk, dia mula memburukkan si B di kalangan kawan-kawan yang lain.

"Ala, macamlah dia tu hebat sangat."
"Aku pun sebenarnya tak ingin, lah!"
"Muka macam tu aku boleh dapat berlambak!"

Ia sebuah kisah klasik di mana luahan perasaan tidak menuju ke arah yang dikehendaki.
Semua pernah tahu. Ramai yang pernah dengar. Ada segelintir yang pernah rasa.

Bila difikir logik, untuk kekal sebagai kawan lebih menguntungkan daripada terus terputus hubungan. Namun si A sanggup untuk korbankan 'keuntungan' itu demi menghukum, yang pada fikirannya, si B sudah berbuat salah terhadap dirinya.



Situasi khayalan yang kita bincangkan sebelum ini pada asasnya ingin menekankan sifat keadilan dan kesamarataan di dalam diri manusia berbanding haiwan (Ya, dalam kajian yang diterangkan di dalam buku itu, haiwan yang miliki 96% gen menyerupai manusia, iaitu cimpanzi (B.I: chimpanzee) bersifat lebih adil dan sama rata mengikut masa) tapi aku lagi suka ingin melihat situasi ini dari sudut lain yang berbeza.

Dari sudut pandangan aku, kita dapat lihat daripada kedua-dua cerita (situasi khayalan dan kisah si A dan si B) apabila manusia berada di bawah pengaruh emosi, manusia sanggup mengorbankan sesuatu yang lebih baik demi untuk menghukum manusia lain.

Aku sanggup rugi nilai hadiah dan pulang dengan tangan kosong hanya kerana marahkan peserta satu lagi yang dapat lebih daripada yang aku dapat. Si A pula sanggup hilang kawan baiknya hanya kerana luahan perasaannya terhadap si B tidak diterima.

Manusia makhluk berperasaan. Memang susah kadang-kadang itu mahu berfikir waras ketika kepala penuh dengan emosi.



Satu cara untuk mengelakkan kita daripada membuat keputusan yang 'rugi' ketika perasaan penuh emosi adalah tidak membuat keputusan. YA. Dengar macam entah apa-apa entah, tapi itulah caranya. Jika kita sedar kita sedang berada di dalam keadaan beremosi (tidak kira emosi baik atau buruk, gembira atau marah), elakkan daripada membuat apa-apa keputusan.

Namun,
jika keputusan perlu juga dibuat, dan masa tidak mengizinkan, salah satu cara yang berkesan adalah dengan mengubah kedudukan diri.

Perasan tak apabila kira gembira secara tiba-tiba (dapat tahu kita menang cabutan bertuah, contohnya), badan kita terasa mahu melonjak. Jika kita gembira waktu duduk, kita terasa mahu berdiri dan meraikan. Jika kita gembira waktu berdiri, kita terasa mahu melompat keriangan untuk melepaskan kegembiraan.

Cara yang sama juga boleh digunakan jika kita sedang mengalami emosi buruk (seperti marah). Jika kita marah waktu duduk, ubah kedudukan dengan berdiri. Jika marah itu datang semasa berdiri, duduklah ataupun pergi berjalan. Perubahan fizikal dan kedudukan ini akan mengawal emosi dalam diri, seterusnya otak boleh kembali berfungsi secara normal dan boleh dipercayai untuk membuat apa-apa keputusan.

Dalam Islam juga digalakkan ketika berasa marah, pergi ambil wuduk. Ustaz kata marah itu api, wuduk itu air, jadi neutral. Tapi ahli sains kata proses untuk mengambil wuduk itu (apabila marah) bukan sahaja memakan masa malah mengubah kedudukan badan; daripada duduk kita bangun dan bergerak ke paip air untuk berwuduk. Air wuduk yang terkena di muka juga dapat menurunkan suhu badan menjadikan badan lebih rileks (jangan pula guna air panas untuk berwuduk). Malah, selepas berwuduk jika dapat terus solat sunat dua rakaat pun tidak merugikan, malah menenangkan.



Pendek kata, jangan buat keputusan penting ketika sedang beremosi.
Aku ada beberapa keputusan yang aku pernah buat yang merugikan, semuanya disebabkan emosi. Sampai sekarang aku kesalinya.

Kalian ada?






Nota kaki:

Di dalam situasi khayalan yang dicetuskan oleh buku yang aku baca itu, jika situasi ini bertukar tangan; kita berada di tempat peserta yang memberi cadangan, dan orang lain pula yang menjadi pemenang, keputusannya akan berubah.

Majoriti daripada kita akan beri cadangan seperti (c) (dan mungkin (b) dan (d)). Ini kerana kita mahu mengimbangkan antara keuntungan dan pandangan pemenang itu terhadap kita. Kalau beri cadangan (a), kita akan rugi banyak, manakala jika beri cadangan (e), (f), dan (g) pula kita akan dilihat sebagai seorang yang tidak adil dan tamak.

Buku yang aku sedang baca itu bertajuk 'Psy-Q: Test yourself with more than 80 quizzes, puzzles, and experiments for everyday life' yang aku beli di jualan Big Bad Wolf beberapa tahun lepas.





.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Namaku cEro.... Kacak, tinggi, putih gebu, badan tegap, macho.. Kalau korang nampak orang yang memenuhi kriteria di atas, dia BUKAN AKU..
PENERBITAN: