Dear cErolian,

......

TERIMA KASIH!

Terima kasih kerana terus menyokong!

=======================

May 30, 2018

Sembang Ramadan: NAFSU!



Salam.

Berdasarkan tajuk entri hari ini,
kalian mesti tahu apa topik yang aku nak ajak bersembang kali ini.
Ya, kita akan bercerita tentang sesuatu yang jarang disentuh di sini.
Malah, isu ni pun jarang disentuh orang lain sempena Ramadan.

Kita akan berbincang mengenai NAFSU.




Pada aku, nafsu ini mudah.

Orang ramai fikir nafsu adalah sesuatu yang 'on' dan 'off' serupa suis.
Nampak orang pakai seksi sikit, nafsu ON.
Buat amal ibadah sikit, nafsu OFF.

Aku kurang bersetuju.

Bayangkan sinki di bilik air.
Jika paip air dibuka, air akan bertakung di sinki.
Jika lubang air disekat, air akan terus bertakung.
Selagi ada air yang masuk, sinki akan semakin penuh.
Sampai satu tahap, jika tidak dibuat apa-apa, air yang penuh akan melimpah dan berlaku pembaziran.

Begitu juga nafsu.

Nafsu bukan sekali datang terus tercetus.
Ia berperingkat dan bertambah sedikit demi sedikit.

Contohnya nafsu makan.
Kita bukannya nampak satu makanan sudah datang nafsu makan secara tiba-tiba.
Nafsu makan dicetus sedikit demi sedikit seperti contoh;
iklan di TV, papan rentang di jalanraya, imej di majalah, gambar dari media sosial, visual semasa melihat orang lain makan di kedai makan dan sebagainya.
Sedikit demi sedikit nafsu itu meningkat dan akhirnya,
apabila sampai satu tahap atau 'threshold', nafsu makan itu tidak dapat dibendung lagi.

Sama juga dengan nafsu seks.

Kita bukannya nampak seorang berpakaian seksi dan menggoda terus datang nafsu serakah secara tiba-tiba.
Nafsu itu dicetus sedikit demi sedikit seperti contoh;
iklan di TV, papan rentang di jalanraya, imej di majalah, gambar dari media sosial, visual semasa melihat orang lain berpakaian tidak senonoh di khalayak awam dan sebagainya.
Sedikit demi sedikit nafsu itu meningkat dan akhirnya,
apabila sampai satu tahap atau 'threshold', nafsu serakah itu tidak dapat dibendung lagi.

Sebab itu wujudnya mangsa rogol daripada golongan kanak-kanak, wanita bertudung dan berpurdah.
Memang bukan mereka yang menayang bentuk badan dan aurat,
tapi mereka mendapat kesan daripada orang lain yang tidak segan silu berpakaian 'inviting' dari semasa ke semasa.

Tapi ini adalah pendapat aku.
My unpopular opinion.

Kalau kita ke media sosial, terutamanya Twitter,
kita akan dapati bahawa para netizen menganggap 'orang pakai seksi tidak salah langsung'.
Alasan mereka, mangsa rogol bukan sahaja daripada golongan yang berpakaian seksi,
tapi juga daripada golongan kanak-kanak, wanita bertudung dan malah berpurdah.
Mereka (netizen) meletakkan 100% kesalahan ke atas lelaki yang dilabel 'gagal' mengawal nafsu sendiri.

Sampaikan bila ada orang tegur pakaian orang lain, mereka dilabel sampah.
Sampai satu tahap, kita akan hidup dalam masyarakat yang TIDAK BOLEH DITEGUR.

Ya, memang cara sebahagian daripada mereka yang menegur itu salah.
Contohnya seperti Azrul yang menegur pakaian YB Nurul Izzah di live radio.
Secara tiba-tiba semua perempuan nak bercerita tentang 'Azrul' mereka sendiri.
Semuanya salah kepada orang yang menegur, sedangkan mereka terus menerus memikirkan mereka tidak menyumbang kepada masalah itu.

It's not that simple.
Masalah nafsu serakah dan 'urge to rape' bukan datang dari hanya satu faktor.

Aku rasa semua orang tahu itu tentang nafsu,
sebab semua orang ada nafsu sendiri.
Kita tak perlu mendengar cerita daripada perogol baru nak tahu bagaimana nafsu berfungsi.

Tapi semua orang sedang cuba nak salahkan satu faktor sahaja,
dan biarkan faktor-faktor penyumbang yang lain terus menerus dilakukan.

Macam yang aku katakan awal tadi, nafsu ini umpama air di sinki.
Lelaki yang tidak menjaga pandangan hanyalah sebahagian daripada air.
Banyak lagi air (faktor) lain seperti direct visual, media sosial, TV, imej cetak dan lain-lain.

Aku tahu ada yang tidak akan bersetuju dengan aku.
Aku tidak perlu persetujuan kalian tapi aku tahu jauh di sudut akal kalian sudah tahu, masalah ini bukan datang dari satu pihak sahaja.
Dan menyalahkan satu pihak sahaja, pada aku, langsung tidak menyumbang kepada penyelesaian.

But hey, that's me.
You all are entitled to your own opinion, right?
Just as much as I entitled to my own opinion.

Betapa banyak kalian nafikan pun, nafsu sendiri, sendiri juga yang tahu, kan?






.

May 23, 2018

Sembang Ramadan: MELEPASKAN!



Salam.

Hari ini hari Rabu pertama untuk Ramadan 2018 (1439h).
Aku tidak ada lukis komik khusus untuk Ramadan.
Aku juga tidak sertai #inkRAMADAN seperti yang pernah aku buat bulan puasa tahun lepas.
Tahun ini, aku rasa cukup sekadar kita sembang-sembang hari Rabu sempena bulan Ramadan.




Ini adalah komik sempena bulan Ramadan yang pernah aku lukis.
Kemunculan awalnya adalah pada 8 Julai 2015,
di blog ini untuk entri bertajuk 'Diari Ramadhan Aku : Tahu'
Pada tahun 2016 pula, aku post di instagram @cerolian pada tarikh 12 Jun 2016.
Di Facebook Empire State of cEro dan Twitter @cerolian juga sudah berkali-kali aku kongsi.
Pendek kata, komik sempena bulan Ramadan ini ada merata, di mana-mana.

Tahun ini 2018, tahun keempat bulan Ramadan komik ini wujud, masih lagi ramai orang di luar sana kongsi komik ini. Post di Facebook peribadi mahupun page dan mendapat jumlah Like dan Share yang tinggi, bukan sekadar ratusan malah mencapai tahap puluh ribuan. Tweet di Twitter dan dapat RT beribu-ribu. Share di Instagram dapat Like juga beribu-ribu.

Semua itu berlaku menggunakan karya lukisan aku TANPA kebenaran aku.

Aku dapat rasakan warga netizen tidak akan pernah faham bagaimana komik pendek, lukisan dan hasil seni orang lain adalah hak milik mutlak pemilik itu sendiri. Sebarang usaha untuk repost, RT, Share dan sebagainya TIDAK boleh dilakukan TANPA kebenaran pemilik.

Remuk hati aku bila aku selaku pemilik komik Tahu ini post di Twitter hanya dapat 4 RT sedangkan orang lain yang entah siapa-siapa, ambil dan post di tweet miliknya dan dapat beribu-ribu RT.

Bayangkan, RT dan Favorite itu milik siapa sebenarnya? Mereka guna karya aku untuk kepentingan peribadi sendiri dan memuaskan keinginan untuk peroleh RT.

Aku bukan batak RT.
Macam yang pernah aku ceritakan di entri 'Pengalaman Berharga 18k', aku sudah masuk satu fasa tidak berminat dengan 'internet fame' dan kemahsyuran sementara seperti itu. Namun itu tidak menghalalkan orang lain untuk guna karya aku dan post seolah-olah itu hak milik mereka di mana-mana media sosial yang ada.

Lagi menyakitkan hati, mereka ini crop tajuk, nama pelukis dan watermark yang sepatutnya menjadi tanda itu karya aku punya. Aku tidak faham dengan fahaman golongan begini. Kenapa perlu bertindak sejauh itu hanya untuk menidakkan hak milik sesebuah karya seni?

"Eleh, komik je pun. Semua orang boleh lukis.."

Habis tu, kenapa ambil komik aku dan buat macam komik sendiri? Kalau itu sekadar 'komik je pun', kenapa kau tak lukis sendiri? Kenapa perlu rompak, crop, dan post?



Aku sudahpun nampak ini akan menjadi satu pattern, satu corak yang berulang. Dari tahun 2015, 2016, 2017 dan kini 2018 isunya tetap sama; orang ambil komik aku, buat tanda dagangan yang aku tinggalkan, nafikan hak aku sebagai pemilik dengan crop segala apa yang boleh di-crop dan kemudian post di media sosial untuk kepuasan sementara.

Percayalah, tahun depan 2019 pun akan berlaku perkara yang sama.
Mungkin akan dilakukan oleh orang yang sama ataupun dilakukan oleh orang lain yang semuanya masih tidak faham erti hak milik.

Jadi,
untuk menjaga hati aku yang sakit ini, dan untuk menjamin perkara seperti ini tidak sekali lagi menyakitkan hati aku di masa akan datang, aku sudah buat keputusan untuk LEPASKAN KOMIK INI.

Bermula saat ini, dan sehingga ke saat utopia seluruh umat manusia dapat berubah untuk lebih menghargai, maka komik puasa bertajuk TAHU ini akan aku lepaskan hak miliknya. Bermakna, sesiapa sahaja boleh post, repost, share dan sebagainya ke mana-mana media sosial yang ada TANPA perlu minta kebenaran daripada aku.

Jika itu dapat buatkan hidup mereka bahagia, aku rasa komik ini berbaloi untuk dilepaskan.

Di Instagram dan Twitter juga aku ada buat pengumuman yang sama, malah aku letakkan 2 syarat;
1. Mesti tag aku, dan
2. JANGAN CROP!

...tapi aku tahu, tiada siapa pun turuti syarat aku itu. Manusia luar sana akan terus rakus mengejar kemahsyuran sementara dengan merompak hasil karya orang lain tanpa bertanya.



Aku sudah lama kecewa dengan umat manusia. Kita boleh ubah satu orang hari ini, tapi esok akan datang 1000 lagi orang yang seperti ini. Jadi kali ini, biar aku selamatkan satu-satunya perkara yang boleh aku selamatkan, iaitu perasaan dan hati aku sendiri.

It's sad, but it's necessary.

For now, so long komik TAHU.
Harap kau akan terus dapat menarik minat manusia di alam maya dengan isi kau yang relatable. Dan aku pasti, kita akan berjumpa lagi di bulan-bulan puasa Ramadan yang mendatang.

Sudahlah miskin. Komik lama dengan lukisan buruk pun orang nak rompak dari aku. Dugaan betul hidup ni.








.

May 21, 2018

HARI KOMUNITI: Episod Si Naga Hitam.



Salam.

Bertemu kita sekali lagi dalam segmen Hari Komuniti, segmen di mana hanya ada DUA pembaca; aku yang menulis dan kau yang sedang membaca.

Sebelum apa-apa, ini adalah entri berkaitan Pokémon GO, maka akan terdapat banyak istilah dan frasa berkaitan permainan aplikasi Pokémon GO yang mungkin akan memberikan cabaran kepada para pembaca bukan pemain untuk memahami.

'Hari Komuniti', atau nama sebenarnya Pokémon GO Community Day adalah satu hari dalam setiap bulan anjuran pihak Niantic Inc. selaku pembangun aplikasi Pokémon GO di mana pada hari berkenaan akan menampilkan satu Pokémon tertentu dan dilepaskan secara banyak dalam jangka masa 3 jam. Semasa tempoh 3 jam berkenaan, bonus-bonus tertentu juga akan diberikan kepada para pemain. Hari Komuniti adalah satu acara yang dinantikan oleh para pemain Pokémon GO.

Aku ada bercerita panjang lebar tentang Hari Komuniti yang pernah berlangsung sebelum ini:
Januari - 'Tangkap Pikachu di Taman.'
Februari - 'Memburu Anak Naga Merah Jambu.'
Mac - 'Mencari Raksasa Bawang.'
April - 'Episod Biri-Biri Elektrik Merah Jambu.'

Dan untuk bulan Mei, Hari Komuniti berlangsung pada 19 Mei 2018 dari jam 11 pagi hingga 2 petang dan Pokémon kegemaran aku, Charmander akan menjadi Pokémon penampilan istimewa.


#004 CHARMANDER
Lizard Pokémon
The flame that burns at the tip of its tail is an indication of its emotions. The flame wavers when Charmander is enjoying itself. If the Pokémon becomes enraged, the flame burns fiercely.


Tajuk entri ini ialah Episod Si Naga Hitam, tapi 'naga' yang dimaksudkan iaitu Charizard secara definisinya bukanlah datang daripada Pokémon jenis naga.

Kepada yang tidak tahu, Charmander adalah Pokémon jenis api dan merupakan salah satu daripada 3 'original starter' dalam siri permainan Pokémon bersama-sama Bulbasaur dan Squirtle. Disebabkan jenis api kedengaran lebih 'hebat' berbanding jenis rumput (Bulbasaur) dan jenis air (Squirtle) maka Charmander menjadi Pokémon pertama yang dimiliki majoriti pemain permainan Pokémon sejak zaman GameBoy dahulu lagi.

Untuk Hari Komuniti kali ini, bonus yang diberikan adalah 3 jam Lure (Lure hanya 30 minit pada hari biasa), 3 kali ganda Stardust untuk setiap Pokémon yang ditangkap dan jika Charizard dievolusi dalam tempoh 3 jam acara ini, Pokémon berkenaan akan mendapat 'Blast Burn' sebagai charged move istimewa. Juga, terdapat jualan Box istimewa yang boleh dibeli menggunakan Pokécoin. Dan sudah tentu akan dilepaskan shiny Charmander, yang jika dievolusikan kepada Charizard akan memberikan Charizard dengan warna hitam (kelabu gelap) yang sangat ditunggu-tunggu para pemain.



PERSEDIAAN

Ada dua perkara aku lakukan lebih awal seawal waktu mula-mula diumumkan tarikh Hari Komuniti ini iaitu:

1) Power Up sedikit demi sedikit Chameleon dengan individual value (IV) 98% yang aku sudah ada supaya boleh dievolusikan kepada Charizard yang mempunyai charged move Blast Burn pada hari komuniti nanti.

2) Kumpul Pokécoin sebanyak yang mungkin sebelum Hari Komuniti supaya aku mampu beli Special Community Day Box yang terkandung pelbagai item pada harga yang jauh lebih rendah.



MISI

Disebabkan Hari Komuniti jatuh pada 19 Mei pada hari puasa, maka aku tetapkan untuk tidak letak misi yang berat kerana ini merupakan kali pertama aku gigih keluar main Pokémon GO seharian pada hari puasa. Aku sendiri tidak pasti apa akan berlaku, sama ada mampukah badan aku bertahan atau aku akan penat separuh jalan.

Misi aku kali ini:

1. Tangkap sebanyak mungkin Charmander dalam tempoh 3 jam Hari Komuniti.
2. Tangkap paling kurang TIGA shiny Charmander supaya salah satunya boleh dievolusi kepada shiny Chameleon dan satu lagi dievolusi kepada shiny Charizard (yang sangat cool itu)
3. Tingkatkan Experience Point (XP) melebihi separuh tahap Level 36.
4. Beli Special Community Day Box pada harga 1480 coin.

Untuk kali ini, memikirkan pelbagai faktor terutamanya bulan puasa, aku jadikan Taman KLCC sekali lagi sebagai destinasi aku memburu Charmander.



Taman KLCC, Kuala Lumpur.




HARI KEJADIAN

Disebabkan sekarang musim hujan di petang hari, maka aku selaku penunggang motosikal tegar memilih untuk tidak datang ke Taman KLCC ini dengan motosikal. Ini Kuala Lumpur, jadi menggunakan kereta adalah idea yang kurang bernas. Maka aku buat keputusan untuk bergerak ke KLCC menaiki pengangkutan awam.

Dari tempat aku tinggal, yang terdekat adalah stesen Komuter. Maka seawal pukul 8:30 pagi lagi aku sudah bergerak ke stesen dan menunggu. Masalah dengan KTM Komuter ialah, sistem ini SANGAT tak boleh dipercayai. Katanya tren akan sampai pada jam 9:03 TAPI hanya tiba pada jam 9:43 pagi. Belum cerita lagi tren asyik berhenti di atas landasan menunggu entah apa pun aku tak pasti berkali-kali.

Aku hanya sampai ke destinasi pertukaran KL Sentral pada jam 10:41 pagi, hampir satu jam sedangkan kalau aku menunggang motosikal, bawa dengan perlahan pun hanya mengambil masa 35 minit. Pada waktu ini, aku sudah dapat merasakan yang aku mungkin tidak mampu sampai ke KLCC sebelum 11 pagi waktu mula Hari Komuniti.

Dari KL Sentral, aku naik tren Rapid laluan Kelana Jaya ke KLCC pada jam 10:47 pagi dan sampai ke stesen KLCC TEPAT jam 11 pagi. Tanpa berlengah, aku buka apps Pokémon GO dan mula bermain walaupun masih perlu berjalan sedikit untuk ke Taman KLCC.

Taman KLCC menjadi pilihan kerana (1) boleh dicapai dengan pengangkutan awam, (2) taman ini mempunyai banyak PokéStop, (3) jika hujan turun, aku boleh berteduh tanpa bosan di Suria KLCC dan (4) menurut kajian, 'kadar timbul' (spawn rate) Pokémon di sini adalah yang KEDUA paling tinggi di Kuala Lumpur menjadikan peluang untuk aku tangkap sebanyak mungkin Charmander adalah lebih tinggi.



Sesudah sampai, sekitar KLCC sudah dipenuhi dengan Charmander. Lihatkan PokéStop sekitarnya kebanyakannya dihuni oleh Charmander.



Sampai sahaja ke Taman KLCC, kelihatan taman tersebut dipenuhi dengan orang, yang aku percaya JUGA bermain Pokémon GO. Walaupun aku seorang diri, tapi aku rasa gembira melihat bukan aku sahaja yang gigih suka main Pokémon GO. Pelbagai bangsa ada, Melayu, Cina, India, orang asing, orang tempatan, malah mereka semua bercampur tanpa mengira status dan kedudukan.

Antara perkara terawal aku lakukan dalam tempoh 3 jam Hari Komuniti ini ialah aku membeli Special Community Day Ultra Box dengan harga 1480 Pokécoin. Sebelum itu, aku berjaya mengumpul 1591 coin hasil daripada hari-hari mempertahankan PokéGym di sekitar tempat tinggal aku (sehari hanya boleh dapat 50 coin, maka 1500 coin bersamaan dengan kegigihan selama 30 hari!)

Ultra Box memiliki 10 Super Incubator (berharga 200 coin jika dibeli satu), 22 Lucky Egg (berharga 80 coin satu), 30 Ultra Ball (tidak dijual satu persatu), dan 10 Premium Raid Pass (berharga 100 coin satu). Jika dikira nilai keseluruhannya, (200 coin x 10) + (80 x 22) + (100 x 10) = 2000 + 1760 + 1000 = 4760 coin. Dengan Ultra Box ini, aku berjaya miliki item bernilai 4760 coin hanya dengan berbelanja 1480 coin sahaja. Untung kan?

(I bet you don't even read above paragraph, kan? Sebab banyak melibatkan nombor HAHAHAAH)



Maka, selepas berpuas hati berbelanja 1480 coin, misi memburu shiny Charmander pun BERMULA.

Berikut adalah 8 shiny Charmander yang berjaya aku tangkap;


Mengikut turutan tangkap dari kiri:
Jam 11:34 CP 276, jam 11:55 CP 447, jam 12:01 CP 451

Mengikut turutan tangkap dari kiri:
Jam 12:06 CP 444, jam 13:17 CP 401, jam 13:19 CP 149

Mengikut turutan tangkap dari kiri:
Jam 13:24 CP 577, jam 13:29 CP 681


Perasan tak waktu tangkapan shiny Charmander bagi empat yang terakhir berdekatan? Ini kerana pada satu tempat di Taman KLCC ada kelompok PokéStop yang berdekatan membuatkan di sini ada banyak Charmander di satu tempat. Aku hanya perlu duduk di satu tempat dan tangkap Charmander yang tidak henti-henti timbul di sekeliling. Patutlah tempat itu ramai orang berhenti daripada berjalan.

Oh, kalau kalian tak perasan perbezaan shiny dengan Charmander biasa, itu memang boleh diterima. Charmander biasa berwarna badan lebih ke arah jingga manakala shiny Charmander berwarna kuning. Perbezaan dapat dilihat jelas bila diletakkan bersebelahan.

8 shiny Charmander rasanya sudah lebih daripada cukup. Dapat tangkap banyak lagi shiny Charmander tidak akan berikan apa-apa kelebihan pun.



SAAT YANG TIDAK BOLEH DILUPAKAN

Serentak dengan Hari Komuniti ini, pihak Niantic ada mengumumkan bahawa Pokémon lagenda Ho-oh akan kembali sebagai legendary boss untuk raid level 5 bersama-sama dengan boss sekarang Latios. Namun kali ini, Ho-oh akan datang dengan peluang menangkap shiny Ho-oh seperti yang pernah dibuat kepada Lugia beberapa minggu lepas.


Ho-oh kembali. Shiny Ho-oh mempunyai sedikit kelainan warna terutamanya jelas di bahagian ekor.


Sepanjang tiga jam tempoh Hari Komuniti ini, ada 3 level 5 legendary raid berlangsung. Dua daripadanya ialah Ho-oh dan satu adalah Latios. Aku sertai ketiga-tiga raid, tapi gagal menangkap mana-mana satu pun daripadanya (not lucky!)

Salah satu raid itu berlangsung di PokéGym berhadapan dengan pintu masuk Suria KLCC dari Taman KLCC. Disebabkan kawasannya yang strategik, maka kawasan itu DIPENUHI dengan para pemain Pokémon GO.


SESAK. Kawasan ini dipenuhi dengan pemain Pokémon GO yang sedang mahu mendapatkan peluang berlawan Ho-oh di PokéGym di situ.


Dalam ramai orang di situ, tiba-tiba ada seseorang menjerit keriangan. Pada mulanya semua orang bingung kenapa dia menjerit, tapi pemain Pokémon GO akan faham bahawa dia menjerit kerana dia bernasib baik dapat tangkap shiny Ho-oh. Shiny Ho-oh rasanya hanya akan muncul satu bagi setiap 20 pemain, maka tidak semua akan bernasib baik. Jadi, jika dia adalah satu daripada 20 itu, maka tidak salah rasanya untuk dia rasa teruja dan menjerit keriangan di khalayak ramai.

Lebih kelakar, selepas dia menjerit, orang ramai di sekelilingnya juga turut bersorak meraikan kegembiraan si dia itu. Hiruk pikuk sebentar di pintu keluar Suria KLCC itu, tapi rasanya semua OK sebab semuanya sedang bergembira.



MASA UNTUK EVOLUSI

Jam sudah melebihi 1:30 petang, menandakan kurang 30 minit lagi tempoh 3 jam Hari Komuniti akan tamat. Sudah tiba masanya untuk evolusikan Charmander yang ada untuk mendapatkan Blast Burn sebagai charged move. Blast Burn adalah antara serangan jenis api yang terkuat, dan hanya boleh didapati semasa Hari Komuniti ini.

Pertama, aku evolusikan Chameleon dengan IV 98% yang sudah aku 'power up' sedikit demi sedikit sejak sebulan yang lalu. Dengan berbelanjakan 100 Charmander Candy, maka Chameleon dapat dievolusikan kepada Charizard.

Kedua, aku memilih salah satu daripada 8 shiny Charmander yang berjaya aku tangkap untuk dievolusikan kepada shiny Charizard. Pilihan aku adalah shiny Charmander yang terakhir aku tangkap dengan CP 681 kerana bukan sahaja CP-nya tinggi, malah IV-nya juga tidaklah mengecewakan seperti 7 shiny Charmander yang lain.

Maka, selepas berbelanja 125 Charmander Candy, berjayalah aku memiliki shiny Charizard.

Ketiga, aku memilih salah satu daripada baki 7 shiny Charmander untuk dievolusikan kepada Chameleon. Ini bagi melengkapkan keluarga shiny Charmander aku. Aku pilih Charmander dengan CP rendah 149 untuk dievolusi.

Maka, lengkaplah keluarga shiny Charmander aku.


Keluarga shiny Charmander.


In case kalian nak tengok shiny Charizard dengan lebih jelas.
Si Naga Hitam.


Selesai evolusi, beberapa minit kemudian, Hari Komuniti untuk bulan Mei 2018 pun TAMAT.

Aku pun terus bergerak pulang ke rumah dengan pengangkutan awam yang sangat mengecewakan kelambatannya, terutamanya KTM Komuter. Dan seperti yang aku jangka, hujan turun di sebelah petang dengan riangnya mengakibatkan aku terperangkap di stesen Komuter sampailah ke hampir senja.



ULASAN

Adakah misi aku untuk Hari Komuniti kali ini selesai?

1. Tangkap sebanyak mungkin Charmander.

Menurut data, sebelum Hari Komuniti aku sudah tangkap 57 Charmander, manakala selepas tamat Hari Komuniti, aku berjaya tangkap jumlah 172 Charmander. Bermakna, sepanjang 3 jam Hari Komuniti, aku berjaya peroleh 172-57 = 115 Charmander.
Untuk terus geek-out, aku berjaya kumpul 115x3 = 345 Charmander Candy, dengan (125 + 100 + 25) = 250 daripadanya sudah digunakan untuk evolusi.


2. Tangkap paling kurang TIGA shiny Charmander.

Aku berjaya tangkap 8 shiny Charmander.


3. Tingkatkan Experience Point (XP) melebihi separuh tahap Level 36.

Menurut data, sebelum mula Hari Komuniti, aku berada di level 36 dengan 983,782 XP. Selepas tamat Hari Komuniti, aku sudah berada XP 1,037,527. Bermakna sepanjang tempoh 3 jam, aku berjaya memperoleh 53,745 XP dengan 30,000 daripadanya datang dari 3 legendary raid (1 raid = 10,000 XP). Separuh level 36 adalah XP 1,000,000 bermakna aku sudah berjaya melepasinya.


4. Beli Special Community Day Box pada harga 1480 coin.

Aku berjaya membeli Ultra Box dengan harga 1480 coin yang pada pandangan aku sangat menguntungkan walaupun terpaksa bersusah payah mengumpul coin dan membelanjakannya sekaligus. Tapi ia berbaloi.


Kesimpulannya,
Hari Komuniti untuk bulan Mei ini walaupun berlangsung di dalam bulan Ramadan namun aku boleh kelaskan sebagai BERJAYA. Walaupun penat badan dirasai sampai ke larut malam, tapi aku tetap tersenyum riang melihat shiny Charizard berada di dalam simpanan.



Setelah tamat Hari Komuniti, serta merta Charmander hilang daripada keliaran. Perasan tak ada orang letak shiny Charizard di PokéGym? Show-off



HARI KOMUNITI SETERUSNYA, BULAN JUN

Satu yang aku risau tentang Hari Komuniti bulan Jun nanti adalah tarikhnya iaitu selepas raya. Tarikhnya sudah diletakkan pihak Niantic iaitu pada hari Sabtu 16 Jun 2018. Hari Raya Aidilfitri pula dijangka jatuh pada hari sebelumnya, Jumaat 15 Jun.

Pada waktu itu, sama ada aku sedang berada di kampung, atau aku tidak balik kampung masih belum ditentukan. Namun bergantung kepada apakah Pokémon yang bakal ditampilkan. Pada masa aku taip entri ini, Pokémon yang bakal ditampilkan pada Hari Komuniti bulan Jun nanti belum diumumkan lagi. Harap-harap Pokémon-nya tidaklah istimewa mana dan boleh diabaikan. Namun aku rasa aku tetap akan sertainya tidak kira apa pun kerana nak dapatkan peluang menangkap shiny Pokémon bukanlah sesuatu yang senang dilakukan pada hari-hari biasa (bukan Hari Komuniti).

Kalau nak diteka, jika turutan dari awal dahulu lagi ialah:
Bulan 1 - Pikachu
Bulan 2 - Dratini
Bulan 3 - Bulbasaur
Bulan 4 - Mareep
Bulan 5 - Charmander

...maka kemungkinan besar Pokémon selepas ini untuk bulan Jun ialah Pokémon yang agak rare (seperti Dratini dan Mareep) namun bukan dari original starters (sebab Bulbasaur dan Charmander tidak berturut-turut, selang satu bulan). Juga, kecuali Pikachu yang merupakan maskot jenama Pokémon, kesemua yang lain mempunyai dua kali evolusi maka Pokémon dengan hanya sekali evolusi mungkin boleh diketepikan daripada tekaan.

Maka, aku teka MUNGKIN ialah Larvitar dari generasi kedua Johto, ataupun Pokémon daripada generasi ketiga Hoenn yang muncul dari kelompok telur 10 km (Ralts, Slakoth, Bagon, Beldum, Trapinch dan lain-lain) kerana sampai sekarang, Pokémon generasi ketiga masih belum pernah dipilih sebagai Pokémon yang diraikan di Hari Komuniti.

Apa-apapun, kita kena tunggu khabar berita dan pengumuman daripada Niantic.

[Ruang ini untuk kemas kini pengumuman kelak]


Majulah Pokémon untuk negara.





.

May 16, 2018

Kisah 'Cinta' Darjah 5.



Salam.

Selamat hari Rabu.

Rabu minggu lepas adalah satu hari yang membawa perubahan kepada negara, sehinggakan sekarang negara kita dilabel sebagai Malaysia Baharu. Apa yang berlaku Rabu lepas?

Pilihanraya Umum ke-14, PRU14.

Tapi jangan risau, cerita yang bakal aku ceritakan ini walaupun ada kaitan dengan PRU14 namun tidak ada kaitan dengan politik. Apa yang sudah berlaku biarkan berlaku. Ada pengajaran, kita ambil.




Kalau kalian ikuti Twitter aku (@cerolian) kalian sudah tentu ada terbaca cerita ini. Di Twitter, aku selalu lepaskan perasaan aku ketika ia baru sahaja berlaku. Contohnya, kalau aku sedang lapar, aku akan tweet tentang lapar. Kalau aku sedang marah, aku akan tweet lepaskan kemarahan. Twitter sangat sesuai untuk sesuatu seperti itu kerana suapannya (feed) laju dan mikro. Cepat lepas, cepat hilang.

Kali ini, sesuatu berlaku kepada aku pada hari aku pergi menunaikan kewajipan mengundi. Aku kemudiannya luahkan cerita itu di Twitter. Kali ini, sekali lagi akan aku ceritakannya di sini kerana aku rasa peristiwa ini perlu direkodkan di blog untuk simpanan masa depan.

Ini ceritanya.

------------------------- ------------


#PRU14 seperti satu reunion. Banyak bertemu kenalan dan kawan lama. Seolah-olah membawa kita ke zaman lampau.

Ini sebuah kisah benar, sebuah cerita 'cinta' tidak kesampaian yang berlaku pada 9 Mei 2018, pada hari rakyat Malaysia membuang undi sempena PRU14.

Semasa di darjah 5, aku ada suka seorang kawan sekelas ini. Seorang pengawas perempuan.

Kita semua masa kecil mesti ada seorang crush yang memang tahu tak akan dapat, hanya mampu kagum dari jauh. Dialah orangnya pada aku. Orangnya baik, sopan, dan dari keluarga baik-baik, berbeza macam aku yang...macam ini. Dia ayu. Sopan. Bercakap bila hanya perlu. Suaranya sentiasa lembut. Tak pernah nampak dia marah. Yang paling menarik, bila dia senyum, mata dia akan jadi kecil dan sepet. Manis sangat. Cair oiii.

Pada aku, ciri-ciri yang terdapat pada dialah menjadi kayu pengukur kepada perempuan lain yang mampu menarik hati aku. Aku yakin aku pernah bercerita tentang dia di dalam blog ini sebab tapi aku tak ingat entri yang mana satu. Cari dan gali pun tetap tak jumpa. Tak apalah. Abaikanlah.



Fast forward ke tahun 2018, PRU14 pun berlangsung.

Aku kena mengundi di sebuah sekolah berdekatan tempat tinggal lama dulu sedangkan sekarang aku tinggal di tempat lain berjarak 40 km jauhnya. Gigih bergerak dari awal pagi ke tempat mengundi. Terasa seperti dapat lepas rindu selepas sekian lama tidak sampai ke tempat ini. Berpuluh tahun aku di sini, sudah tentu tempat ini sudah menjadi sebahagian daripada hidup aku. Sengaja aku tidak tukar alamat tempat mengundi, supaya aku ada sebab untuk kembali ke sini.

Di sini, aku terjumpa dengan banyak kawan dan kenalan lama. Masing-masing kelihatan lain sangat, sudah dimamah usia. Mana tidaknya, dalam memori aku yang ada, masing-masing masih lagi berimej kanak-kanak dan remaja.

Selesai daftar awal, aku perlu naik ke tingkat 3 bangunan sekolah. Saluran 7. Rasanya saluran ditentukan mengikut usia kerana kebanyakan yang sedang beratur adalah mereka yang sebaya dengan aku. Panjang barisannya, melingkar sampai ke tangga.

Aku pun beratur. Aku tak suka beratur, tapi aku tiada pilihan. Depan aku perempuan, belakang aku pun perempuan. Aku naik segan. Nak mulakan berbual dengan orang yang tidak tahu? Memang itu bukan aku.

"Eh, perempuan depan aku ni macam kenal..."
detik hati aku apabila sekali imbas terpandang wajah dia. Aku cuba nak intai muka dia. Dapat tengok sekali imbas lagi, tapi rasanya tidak salah rasanya...ITU DIA!

PEREMPUAN YANG BERATUR DI DEPAN AKU IALAH CRUSH DARJAH 5 AKU DULU.

Tapi aku was-was. Aku ini jenis manusia yang tidak cam muka orang. Itu adalah kelemahan utama aku. Entahlah. Penyakit mungkin. Tambahan lagi muka crush dengan adik-beradik dia lebih kurang jadi aku mungkin salah orang. Perempuan yang sedang beratur depan aku ini mungkin bukan si crush yang pernah aku kenali dulu.

Nak tegur bertanya, tapi aku segan. Aku sengaja buat-buat tayang kad pengenalan di tangan supaya kalau dia ternampak dan terbaca nama aku dan dia kenal aku, dia akan mula tegur aku dulu...

...tapi itu tidak berlaku.



Sampailah akhirnya tiba giliran dia masuk ke bilik mengundi. Prosedurnya ialah selepas selesai mengenalpasti nama yang didaftarkan, kerani #1 (iaitu kerani pertama daripada 3 kerani) akan umumkan nama kepada semua pegawai yang bertugas di dalam bilik itu. Bila kerani #1 umum nama dia, aku dengar dari luar bilik...

"CRUSH BINTI BAPA CRUSH."

Oh, shoot! It's her. IT'S HER! IT'S REALLY HER!

Aku seperti hyperventilating tapi aku kawal. Aku dapat rasa adrenalin sedang berderu ke seluruh badan. Teruja. Aku tidak sesekali pernah lupa nama crush aku masa darjah 5 tu sebab nama dia lain daripada yang lain. Nama bapa dia pun jarang didengari. Kali ini aku 100% yakin itu adalah dia. ITU MEMANG DIA!!

Lepas crush hampir selesai urusan, aku pula diberi kebenaran masuk ke bilik mengundi itu. Nama aku pula diumumkan. Kebetulan nama aku juga bukanlah nama kebanyakan, jadi kalau crush dengar dan ingat, maka dia juga akan tahu itu adalah aku.

Aku harap dia dengar nama aku dan sedar aku adalah seseorang yang pernah dia kenal dulu, dan di luar bilik mengundi nanti dia akan tegur aku...

...tapi itu tidak berlaku.



Bila aku pula selesai urusan mengundi, aku cepat-cepat keluar dan turun ke tingkat bawah dengan harapan dapat jumpa dia. Niat aku kali ini memang mahu tegur dia. Aku mahu tanya khabar dan kalau ada rezeki, aku nak minta nombor dia supaya akan datang boleh lebih rapat.

"It's now or never, man! You can do it!"
Hati kecil aku menjadi tukang sorak kepada diri aku sendiri.

Selepas dua tiga kali pusing mencari dan mata berpinar meneliti, akhirnya aku nampak dia. Kekuatan aku nak pergi tegur dia tadi TERUS HILANG, serta merta aku kaku.

Aku kaku bukan sebab aku segan (walaupun aku memang segan) dan bukan juga sebab aku takut (walaupun aku memang takut), tapi sebab...







...si crush bukan seorang diri. Dia sedang berdiri bersebelahan seorang lelaki DAN sedang menolak stroller berisi seorang bayi.

Crush sudah menjadi milik orang.

"Kudus sangat aku ni fikir dia masih available," pujuk aku kepada diri sendiri. Serta merta terasa masa seperti bergerak perlahan. Cuaca yang tadinya disinar panas pagi secara tiba-tiba jadi redup hanya di tempat aku berdiri.

Technically, orang seusia aku pada masa sekarang majoritinya lebih banyak sudah berkeluarga berbanding masih bujang, jadi aku patutnya boleh jangka hal ini akan berlaku.

Tapi aku tidak kecewa. Aku lebih kepada rasa lega. Entahlah. Aku pun tidak pasti kenapa aku rasa lega. Mungkin jauh di sudut hati aku ada lagi perasaan yang tertinggal semasa dari darjah 5 yang sebelum ini tidak boleh dilepas pergi dan kini akhirnya dapat closure yang sepatutnya.

Daripada senyuman mata kecil dia bersama keluarga kecilnya, aku dapat pastikan dia bahagia. Pada waktu itu, pada aku, itu sudah dikira closure terbaik yang boleh aku dapat.

Maka, pulanglah aku ke tempat aku dengan perasaan bercampur baur; lega, gembira, keliru, menyesal dan berbagai lagi.

Dan kini, di kala orang lain kenang tarikh PRU14 9 Mei 2018 sebagai tarikh yang mengubah nasib negara, aku pula kenang tarikh itu sebagai satu tarikh yang memberikan aku jawapan kepada sebuah kisah 'cinta' darjah 5. Sebuah kisah 'cinta' tidak kesampaian.

Sekian.






.

May 9, 2018

Si Gadis yang Menunduk.



Salam.

Baca juga:
Si Gadis Kedai Kasut.
Si Gadis Juruwang Kedai Serbaneka.


Apa musuh kepada kehidupan?

Jika hidup lawannya adalah mati, adakah musuh kepada kehidupan adalah kematian?

Tapi kematian adalah permulaan kepada satu kehidupan ke alam lain. Bukankah itu bermakna kematian hanyalah seperti satu peristiwa? Seperti satu transisi? Seperti satu persinggahan? Seperti berhenti di kawasan rehat dan rawat sebelum sambung meneruskan perjalanan di lebuh raya? Maka, kematian bukanlah musuh kepada kehidupan.

Kalau bukan kematian, apakah musuh kepada kehidupan?




Malam semakin gelap. Suasana semakin sunyi. Bulan di langit hampir ditutupi awan, namun masih megah memantul sinaran matahari dari sebelah sana.

Pintu rumah dibuka. Seseorang memasukinya. Dua lagi lelaki yang sedang enak menjamu selera di meja makan serentak berpaling ke arah pintu. Yellow dan Green ternampak susuk seseorang yang bahunya merendah, kepalanya menunduk, wajahnya berkerut di tengah.

Memperkenalkan Blue, salah seorang daripada tiga penghuni rumah sewa berkenaan. Seorang lelaki berkerjaya dan masih bujang, namun statusnya tidak seperti rakan serumahnya yang lain. Blue adalah tunangan orang.

Blue masuk terus duduk di meja makan, menyertai Yellow dan Green. Wajahnya jelas sedang gelisah dan bersedih. Kebiasaannya Blue akan melaungkan salam sekuat alam ketika melangkah masuk ke rumah itu bagi memberi petanda kepulangannya kepada dua lagi rakannya itu. Tapi kali ini tiada salam, hanya yang ada ialah suram, seperti ada satu awan hitam yang mengekori Blue di atas kepalanya.

Yellow dan Green kedua-duanya sedar ada sesuatu yang tidak kena, namun tiada seorang pun daripada mereka yang berani memula tanya kenapa. Mata Yellow bertukar pandangan, sekejap ke arah Green, sekejap ke arah Blue. Begitu juga dengan mata Green. Suasana di meja makan sekelip mata bertukar sunyi.

"Aku mahu minta pendapat korang tentang satu perkara, tapi kalau aku ceritakannya, aku seperti sedang membuka aib seseorang. Tapi aku tak mampu nak simpan. Aku tak tahu apa patut aku buat..."

Blue menekup mukanya dengan kedua-dua tapak tangannya sejurus habis memulakan bicara. Sekali lagi Yellow dan Green bertukar pandangan mata. Kedua-dua mereka sedar masalah yang bakal diceritakan Blue ini bukan sesuatu yang kecil dan boleh dibawa jenaka seperti yang mereka selalu lakukan sesama mereka sebelum ini.

Yellow kemudian memegang bahu kiri Blue dengan tangan kanannya. Walaupun Yellow mempunyai prinsip tidak suka masuk campur masalah orang lain, namun dia sanggup melupakan seketika prinsipnya itu demi kawan baiknya ini.

"Kita bertiga kawan baik. Aku bagi pihak kami berdua berjanji, segala apa yang bakal kau ceritakan ini akan kami simpan sebagai rahsia sebaik mungkin, selagi nyawa dikandung badan. Kan?" Yellow mengangkat kening ke arah Green meminta persetujuannya atas ikrar yang dilafazkannya tadi.

"Ya. Ceritalah. Biar beban itu kita kongsi sama-sama," balas Green.

Blue membuka tekupan mukanya. Matanya seperti sedang bergenang, namun belum berlinang. Seorang lelaki yang hampir menitiskan air mata menahan beban sebuah aib, rasanya, sudah tentu bukan satu perkara kecil yang akan diceritakan.

"Begini..."
.
.
.
.
.

Wajah Blue sungguh ceria. Dia sedang duduk di sebuah meja makan, menanti kedatangan seseorang istimewa buat dirinya. Cik tunang sudah lama tidak ditemuinya dek kerana masa dan tuntutan kerja masing-masing yang tidak mengizinkan. Tambahan pula, cik tunang baru sahaja pulang daripada kursus di sebuah pulau peranginan selama seminggu. Dengarnya, sesiapa yang pergi ke kursus itu bakal dinaikkan pangkat dalam masa terdekat. Rezeki cik tunang sebagai juruaudit sebuah syarikat nampaknya semakin murah. Blue juga turut bersyukur mengenainya.

Blue dan Jasmine sudah berkenalan dan mula bersama semenjak dari zaman universiti lagi. Mereka bertunang selepas masing-masing sudah mula bekerja tetap. Masuk bulan hadapan bermakna genapnya usia pertunangan mereka selama satu tahun. Jika semua perancangan menjadi, maka mereka berdua akan diijab kabul dalam masa enam bulan lagi.

Keputusan untuk bertunang selama setahun enam bulan diambil oleh kedua-dua mereka kerana masing-masing mahu kukuh di dalam kerjaya dahulu sebelum melangkah ke tahap yang seterusnya. Jasmine seorang juruaudit akaun, manakala Blue pula seorang eksekutif pemasaran. Kedua-dua mereka mahu stabil berkerja dan mengumpul duit sebelum betul-betul mahu memberi komitmen kepada sebuah hubungan perkahwinan.

Hanya dengan beberapa mesej sebelumnya, Blue dan Jasmine menetapkan untuk makan malam bersama. Jasmine akan datang dihantar rakan serumahnya dan akan bertemu dengan Blue terus di kedai itu.

Dari jauh, nampak Jasmine memasuki ke dalam kedai makan tersebut. Blue membetulkan duduknya dengan senyuman ceria masih terukir di bibir. Hatinya sungguh riang akhirnya dapat bersua jumpa dengan tunang tersayang.

"Maaf, lama tunggu?" tanya Jasmine sambil menarik kerusinya untuk duduk. Kepala Jasmine menunduk, tiada temuan mata di antara mereka berdua membuatkan Blue terasa sedikit kurang senang.

"Tak. Tak lama. Abang pun baru sampai." Membahasakan dirinya 'abang' semenjak bertunang, pada mulanya sedikit kekok di mulut Blue namun selepas hampir setahun semuanya sudah terbiasa.

"Kita pesan makanan, boleh? Saya lapar."

Pelik. Biasanya Jasmine akan membahasakan dirinya sebagai 'sayang', namun kali ini hanya 'saya' yang keluar. Jasmine juga terus mahu memesan makanan tanpa bertanya khabar dahulu kepada Blue. Lebih seminggu mereka tidak bertemu, malah bermesej-mesej di telefon bimbitpun semakin kurang atas alasan 'sedang berkursus', kemudian sekarang langsung tidak bertanya khabar. Sekali lagi, Blue terasa sedikit kurang senang.

Pelayan kedai dipanggil Jasmine. Mereka berdua memesan makanan daripada senarai menu di tangan. Pelayan mengambil pesanan dan kemudian pergi bersama-sama senarai menu tadi meninggalkan mereka berdua.

"Sayang apa khabar? Macam mana kursus? Okey semua?" Blue memulakan.

Jasmine terdiam dan tertunduk seperti tidak mahu menjawab soalan Blue itu. Jelas riak wajah Jasmine seperti sedang menahan sesuatu. Blue yakin kali ini ada sesuatu yang tidak kena sudah berlaku.

"Abang, saya minta maaf. Saya ada sesuatu yang mahu diceritakan," Jasmine bersuara. Blue diam menunggu apa yang mahu diceritakan oleh Jasmine itu.

"Sebelum sayang mulakan cerita, abang janji dahulu tidak akan marah sayang. Boleh?"

Blue mengangguk setuju. Tenang sedikit hati Blue mendengar perkataan 'sayang' tadi. Lagipun, marah memang bukan cara Blue. Dia lebih bersifat memendam dan mengikut apa yang dirancang orang lain. Lagipun dia tidak terfikir akan ada sebab untuknya memarahi tunang yang dia sayangi sepenuh hati ini. Segala masalah, padanya, boleh diselesaikan dengan cara baik tanpa perlu marah-marah.

"Sayang minta maaf. Sayang rasa bersalah sangat dengan abang. Sayang tahu apa yang sayang buat ini tidak betul. Sayang sedar semua itu. Sayang rasa bersalah sangat. Sayang tak dapat nak terus berdiam diri. Abang seorang yang baik, sayang tak sanggup nak terus simpan hal ini daripada abang."

Jantung Blue berdegup laju. Bakal ada sesuatu yang akan berlaku.

"Semasa di Pulau Tioman tempat kursus itu, ada seseorang ini. Namanya Aswad. Dia juga sertai kursus itu sebagai juruaudit, tapi dari cawangan syarikat yang lain."

Hilang senyuman dari wajah Blue. Cerita daripada seorang perempuan bergelar tunang yang melibatkan seorang lelaki lain, pada pendapat Blue, tidak akan berakhir dengan baik.

"Kami satu kumpulan di dalam kursus itu. Disebabkan satu kumpulan, kami selalu bersama. Kami menjadi rapat. Tiap kali berjumpa, kami akan duduk bersama, berdua. Seminggu di sana, kebanyakan masa kami sentiasa bersama."

Jasmine menunduk. Dia terdiam. Dia tidak langsung dapat melihat wajah Blue. Dia dipenuhi dengan rasa bersalah. Suasana di meja itu sunyi seketika sebelum Blue sambung bertanya.

"Jadi, Aswad ini macam pengganti abang semasa sayang di sana? Begitu?"

Jasmine mengangguk. Kemudian dia cepat-cepat menggelengkan kepala tanda menafikan anggukan tadi.

"Jadi, sayang sudah jatuh hati dengan Aswad tu? Sayang nak putus dengan abang?" tanya Blue, terus.

Jasmine menggelengkan kepala.

"Sayang sayang abang lagi. Sayang tak nak putus dengan abang."

"Habis tu? Kalau Aswad hanya satu fling semasa sayang berada di sana, kenapa abang nampak sayang macam rasa bersalah sangat?"

Jasmine terus menunduk. Dia mula menitiskan air mata. Blue menghela nafas keras dan kemudian bersandar. Dia lemah dengan air mata perempuan, apatah lagi datang dari mata kekasih hatinya itu.

"Sayang kesunyian. Seminggu kami rapat di sana. Hampir setiap masa kami bersama. Setiap masa."

Blue membuntangkan matanya seperti memahami sesuatu.

"Kami terlanjur."



Gelap.

Walau mata Blue terbuka luas, tapi penglihatannya gelap. Mendengar perkataan yang disangka terkeluar dari mulut orang di depannya itu menjadikan persekitarannya tiba-tiba gelap.

"Seminggu di sana, kami sentiasa bersama. Bermula dengan borak-borak biasa, kemudian bertukar kepada sentuhan dan akhirnya..."

Blue terus mendiam.

"Sayang minta maaf. Saya tak patut buat begitu. Saya tak tahu apa yang membuatkan sayang sanggup buat perkara itu. Sayang minta maaf. Sayang tak mahu kehilangan abang. Sayang sayang abang. Maafkan sayang."

Blue masih diam. Pelayan datang membawa makanan yang dipesan tadi. Mungkin dia perasan keadaan tegang di antara Blue dan Jasmine, maka dicepatkan tindakannya meletak hidangan. Tanpa berkata apa, selepas selesai menghidang, pelayan itu terus segera berlalu menjauhkan diri dari ketegangan itu.

Blue terfikir, patutlah dari awal tadi tiada temuan mata. Patutlah kepala Jasmine asyik menunduk. Patutlah dia segera ingin memesan makanan. Patutlah tiada tanya khabar walau sudah lama tidak bertemu. Patutlah tertukar panggilan antara 'saya' dengan 'sayang'. Patutlah nada suara pun lemah lembut. Malah tempat makan yang dipenuhi orang ini pun dipilih Jasmine kerana padanya sudah tentu Blue tidak akan meninggikan suara di tempat awam kerana itu adalah peribadinya. Semua ini adalah langkah pertahanan diri Jasmine kerana dia mempunyai rasa bersalah yang tinggi terhadap diri Blue.

"Abang? Cakaplah sesuatu. Janganlah diam macam ni. Abang maafkan sayang tak?"

Suara Jasmine membawa Blue kembali semua ke meja makan tersebut.

"Kita makan, habiskan makanan, dan saya akan hantar awak pulang ke rumah," jelas Blue, ringkas dan tidak berperasaan. Jasmine tahu dia sudah melukakan hati tunangnya itu, namun dia tiada daya selain daripada diam dan menurut sahaja kemahuan Blue.

Jasmine selesai makan walaupun tidak habis. Makanan Blue pula langsung tidak disentuhnya. Sepanjang sesi makan, Blue hanya termenung jauh dan berdiam diri. Blue kemudian bangun menyelesaikan bil dan kedua-dua mereka bergerak ke kereta tanpa ada sepatah kata pun bertukar antara mereka. Kedua-duanya diam membisu.

Sepanjang perjalanan ke rumah Jasmine juga tiada kata. Jasmine menunggu juga Blue memulakan kata. Pada dia, marahlah, herdiklah, jerkahlah, jika itu dapat memberikan keputusan. Namun Jasmine tahu, semua itu bukan peribadi Blue. Blue mendiamkan diri adalah tindakannya menghadam apa yang terjadi. Tiada marah, tiada herdik, tiada jerkah. Cuma diam.

Sampai sahaja di hadapan rumah Jasmine sesudah Blue memberhentikan kereta, Jasmine dari tempat duduk penumpang menggunakan dua tapak tangannya memegang lengan kiri Blue. Blue tiada reaksi. Matanya masih keras menghala ke hadapan.

"Abang. Maafkan sayang. Sayang sayangkan abang. Tapi sayang tahu sayang salah. Keputusan semua terletak di tangan abang. Kalau abang mahu putus, sayang reda. Sayang faham. Tapi sayang tak mahu putus. Sayang sayangkan abang."

Melihat Blue terus tidak memberi reaksi, Jasmine mula membuka pintu kereta dan keluar. Apabila Jasmine dilihat pada jarak yang selamat, Blue terus masuk gear, memijak pedal minyak, dan pergi meninggalkan Jasmine. Blue tiada tempat lain mahu dituju selain daripada rumah sewanya sendiri, mencari dua teman baiknya bagi melepaskan perasaan.
.
.
.
.
.
"Begitulah..."

Yellow dan Green terdiam mendengar cerita Blue. Tiada kata mampu dilafazkan mereka selepas mendengar dugaan yang Blue hadapi.

"Apa patut aku buat? Tunang aku sendiri sudah mengkhianati aku..." Blue kembali menekup mukanya dengan dua telapak tangan.

Green memandang Yellow. Yellow membalas pandangan Green. Green memberi isyarat dengan kepalanya ke arah Blue. Yellow memahami, namun masih tidak berani untuk bertindak. Green sekali lagi memberi isyarat dengan kepalanya ke arah Blue, kali ini dengan lebih keras. Yellow mengangguk faham, dan reda.

"Begini, bro." Tangan Yellow kembali ke bahu Blue.

"Selepas apa yang kau tahu ini, kau masih sayangkan dia?"

Blue membuka tekupan muka dan memandang Yellow seolah-olah tidak tahu apa patut dia jawab.

"Kau ada dua pilihan sekarang. Kalau kau rasa kau tidak dapat terima semua yang sudah berlaku ini, lebih baik kau putuskan dengan cara baik. Simpan aib dia elok-elok dan putuskan dengan cara paling hemat tanpa melukakan hati mana-mana pihak, termasuk dia, keluarga dia, dan keluarga kau sendiri."

Green mengangguk tanda setuju dengan kata-kata Yellow tadi.

"Tapi, kalau kau masih sayangkan dia dan bersedia untuk memaafkan dia, kau kena betul-betul ikhlas dan reda. Sampai bila-bila pun jangan diungkit hal ini. Walaupun kau tidak mungkin akan lupakannya, tapi jangan langsung bangkitkan hal ini lagi. Kalau kau berdua jadi kahwin, dan berkeluarga, ada anak, jangan sesekali timbulkan kembali cerita ini walaupun pada masa itu kau sedang marah atau waktu berselisih pendapat. Kau kena simpan semua hal ini dalam hati dan terima dia sepenuhnya, baik buruk kisah silam dia."

"Kalau kau sayang dia, dan kau rasa kau mampu lakukan apa yang aku kata tadi, kami akan sokong kau tidak kira apa pun keputusan kau."

Green sekali lagi mengangguk. Yellow tersenyum.

"Terima kasih, kawan. Terima kasih." Senyuman kembali ke wajah Blue.




Apa musuh kepada kehidupan?

Jika musuh diberi definisi sebagai sesuatu yang merosakkan, bukankah pengkhianatan boleh dilabel sebagai musuh kehidupan? Pengkhianatan memberi kesan buruk kepada yang hidup, menghilangkan rasa percaya, menjadikan diri penerima berasa perit, sakit dan merana. Pengkhianatan menjejaskan kehidupan seseorang, menjadikan seseorang itu tidak dapat menikmati kebahagiaan kehidupan.

Maka, bukankah musuh kepada kehidupan adalah pengkhianatan? Daripada manusia kepada manusia.




Baca ulasan cEro mengenai 3 cerita pendek yang ditulisnya semenjak 2 Rabu sebelum ini:
Ulasan GYB




.

May 7, 2018

PENYELIDIKAN LAPANGAN: Episod Burung Elektrik Lagenda.



Salam.


Hi. Aku cEro.
Selamat datang ke episod baru Penyelidikan Lapangan.

Sila baca episod sebelum ini: Episod Burung Api Lagenda.

Oh, seperti biasa, satu pemberitahuan.
Ini adalah entri yang sarat dengan istilah-istilah khusus untuk permainan aplikasi Pokémon GO yang akan memberi sedikit cabaran kepada pembaca bukan pemain untuk memahami.




PENYELIDIKAN LAPANGAN (ataupun Field Research) adalah satu ciri terbaru di dalam permainan aplikasi Pokémon GO di mana pemain akan dapat satu tugasan sehari untuk setiap interaksi dengan PokéStop. Pemain mampu menyimpan hanya 3 tugasan dalam satu masa. Setiap tugasan ada ganjarannya sendiri. Tugasan pertama yang dapat diselesaikan pada hari itu akan diberi satu cop bertanda tarikh. Kumpul 7 cop dan pemain akan diberikan ganjaran lebih besar dan peluang bertemu Pokémon lagenda. Ciri ini membuatkan semua pemain sama ada pemain baru atau lama akan mendapat peluang sama untuk memiliki Pokémon lagenda TANPA perlu hanya berharapkan Level 5 Legendary Raid Boss Battle.

Sudah dipastikan bahawa Pokémon lagenda yang menjadi ganjaran setiap 7 cop adalah sama untuk bulan yang sama. Maka, sepanjang bulan lepas, bulan April, Pokémon lagenda yang menjadi ganjaran adalah Moltres, salah satu daripada tiga Pokémon legenda burung daripada generasi pertama (Kanto).

Pada 26 April lalu, Niantic Inc. selaku pembangun aplikasi Pokémon GO mengumumkan sesuatu di seluruh media sosial mereka.




Di dalamnya, Niantic mengumumkan bermula 1 Mei 2018, satu set tugasan baru akan ditambah. Tugasan itu lebih memfokuskan kepada Pokémon jenis terbang (flying-type) dan jenis elektrik (electric-type) dan tugasannya bersifat mencabar skil dan kebolehan pemain sendiri. Tambahan, pemain akan berpeluang menangkap Pokémon lagenda Zapdos sebagai ganjaran mengumpul 7 cop setem pada bulan itu. Zapdos akan menggantikan Moltres pada bulan Mei ini.

Maka, pengembaraan aku untuk menangkap Zapdos pun BERMULA!


------------------------- ------------


Pengembaraan aku untuk Zapdos bermula pada tarikh 28 April WALAUPUN Zapdos hanya dapat ditangkap bermula bulan Mei. Menurut Niantic, asalkan tarikh untuk cop setem ketujuh jatuh di dalam bulan Mei, maka ganjarannya adalah Zapdos. Jadi, hari pertama aku jatuh pada 28 April menjadikan hari ketujuh aku jatuh pada 4 Mei.


Pengembaraan bermula dengan muka kosong pada kad Field Research.


Apabila memasuki hari pertama, kawasan yang boleh dicop setem akan mendapat lingkaran putih menandakan cop BOLEH dituntut pada hari itu.


Jika lingkaran putih itu ditekan, maka akan muncul mesej pop-up seperti ini.


Maka, pada hari pertama selepas menyelesaikan satu tugasan, akan muncul cop setem.
(Untuk aku, ia bertarikh 28 April)


Jika ditekan cop setem bertarikh itu, maka akan muncul mesej pop-up seperti ini.


Hari kedua, 29 April.


Hari ketiga, 30 April.


Masuk 1 Mei, sepatutnya akan ada tugasan baru yang memfokuskan kepada Pokémon jenis terbang dan jenis elektrik, juga jenis tugasan yang lebih mencabar skil dan kemahiran pemain seperti yang diumumkan awal tadi. Namun, tugasan yang aku dapat masih sama seperti dahulu.

Mungkin tugasan yang dimaksudkan hanya tambahan kepada tugasan yang sedia ada, dan pada hari pertama aku masih belum jumpa mana-mana tugasan baru.

Tak apa, kita teruskan dengan cerita mengumpul cop setem.


Hari keempat, 1 Mei.


Hari kelima, 2 Mei.


Hari keenam, 3 Mei.


Akhirnya masuk ke hari ketujuh, 4 Mei.




Apabila aku klik salah satu daripada dua tugasan yang sudah selesai untuk tuntut ganjarannya, aku ditemukan dengan satu muka yang sangat dikenali, iaitu Professor Willow.




Muncul skrin ini di bahagian kad cop setem, menunggu untuk aku klik.
Dan bila diklik...


Muncullah ZAPDOS


Seperti Moltres sebelum ini, Zapdos berada di level 15 walaupun kebiasaannya Pokémon lagenda yang ditangkap dalam Level 5 Legendary Raid Battle akan berada di level 20. Bermakna, CP Zapdos ini akan jauh lebih rendah daripada Zapdos yang aku dapat melalui raid battle dahulu.

Aku tiada kepastian 100%, tapi rasanya disebabkan ini adalah satu bentuk ganjaran, maka Pokémon ini tidak akan lari (fled). Jika kehabisan bola sekalipun, kita masih boleh keluar, ambil bola di mana-mana PokéStop berdekatan dan sambung balik menangkap Zapdos ini.

Maka, untuk Zapdos kali ini, aku beri dia makan Pinap Berry walaupun kebiasaannya aku akan bagi Golden Razz Berry. Dengan Pinap Berry, aku bakal dapat Zapdos berganda (berjumlah 6).

Selepas tiga kali percubaan menangkap berjaya dipecahkannya, pada percubaan keempat bersama-sama dengan Pinap Berry dan Ultra Ball,
ZAPDOS BERJAYA DITANGKAP.


Walaupun Zapdos ini tidak mempunyai IV yang tinggi, namun apa yang penting dalam simpanan Pokémon kini bukan hanya ada satu Zapdos sahaja.


Kalau dikira, jika aku mampu dapatkan cop setem setiap hari tanpa gagal, maka sepanjang bulan Mei ini aku mampu untuk dapat 3 lagi Zapdos (4 jika termasuk yang pertama ini). Setakat ini, aku masih lagi mampu mendapatkan satu cop setem setiap hari tanpa gagal.



Ulasan

Sekarang sudah dipastikan Pokémon yang menjadi ganjaran kepada Field Research akan bertukar setiap bulan. Bulan lepas (April) adalah Moltres, bulan ini (Mei) adalah Zapdos, dan sudah tentu berdasarkan 'trend', bulan depan (Jun) mungkin akan menjadi bulan untuk Articuno.

Cara Niantic memberi peluang sama rata kepada semua pemain layak diberikan pujian. Jika kita rajin bermain, maka kita akan dapat ganjaran. Namun kepada yang mungkin tidak berpeluang untuk bermain Pokémon GO ini setiap hari, peluang masih ada.

Pokémon lagenda burung bertiga (Moltres, Zapdos, dan Articuno) adalah boss raid lagenda paling awal diperkenalkan. Disebabkan itu, pemain baru pada mulanya dianggap sudah terlepas untuk memilikinya. Tapi dengan menjadikan Pokémon lagenda ini sebagai ganjaran untuk Field Research, pemain baru masih mendapat peluang menangkap sekaligus menyimpannya.

Juga, memberikan Pokémon lagenda sebagai ganjaran juga menarik minat pemain yang sudah berhenti bermain untuk kembali menjadi aktif. Permainan yang dahulunya terlalu 'rigid' hanya perlu tangkap Pokémon dan lawan PokéGym, kini ditambah warnanya dengan tugasan yang bersifat 'pengembaraan', seperti sedang menjalankan misi. Para pemain akan seronok bermain kerana mereka kini sudah ada matlamat untuk terus bermain, bukan sekadar tangkap dan lawan.

Ganjaran sebegini juga menggembirakan para pemain solo yang tidak suka untuk bercampur bersama-sama orang lain menentang Pokémon lagenda di raid battle. Field Research memudahkan pemain solo untuk memiliki Pokémon lagenda tanpa perlu bersosial.

Cuma seperti yang pernah aku tekankan, Pokémon ganjaran (kalau boleh) tidak hanya datang dari kelompok lagenda sahaja. Banyakkan lagi variasi di dalam ganjaran supaya pemain tidak hanya terikat dengan Pokémon lagenda. Lagipun, Pokémon lagenda hanya berguna untuk menyerang, kerana Pokémon ini TIDAK boleh diletakkan di dalam PokéGym kerana status lagendanya.

Apa-apapun, Field Research mungkin adalah antara feature terbaik yang diperkenalkan di dalam Pokémon GO buat ketika ini.




Nantikan episod seterusnya dalam siri Penyelidikan Lapangan di bulan hadapan.
Selamat menjalankan penyelidikan!





.

May 4, 2018

Avengers: Infinity War. BERBALOIKAH? [Review bebas spoiler]



Salam.

Selamat datang ke segmen 'Berbaloikah?', sebuah segmen di mana aku mempersoal keberbaloian sesuatu perkara.
Kali ini aku nak selami adakah Avengers: Infinity War berbaloi ditonton?
(Agak lewat untuk review filem ini tapi apa salahnya, kan?)


Poster Avengers: Infinity War
credit Marvel [instagram @marvel]



Ini adalah review tanpa spoilers.
Aku benci spoiler, jadi aku sendiri tidak akan buat benda yang aku benci.
Kalau kalian belum pergi menonton Avengers: Infinity War (mulai sekarang aku akan hanya panggil sebagai Infinity War), kalian boleh baca entri ini dengan aman tanpa perlu risau.

Jadi, sebelum kita mula,
sila jawab TIGA soalan di bawah:

1) Avenge bermaksud menuntut bela. Di dalam MCU (Marvel Cinematic Universe), kematian siapakah yang dituntut bela sehingga tercetusnya penubuhan pasukan Avengers?

2) Kenapa Batman dan Superman TIDAK berada di dalam pasukan superhero Avengers?

3) Siapakah watak utama dalam filem Avengers?

Jika ada antara kalian yang tidak dapat jawab salah satu soalan di atas dengan tepat, aku tidak galakkan kalian pergi menonton Infinity War di pawagam. Kenapa?



Senarai filem MCU sebelum Infinity War.


Avengers: Infinity War adalah filem dalam siri francais filem MCU yang ke-19, dan yang ketiga menggunakan tajuk Avengers.
Di bawah adalah senarai 18 filem (disusun mengikut fasa dan tahun diterbitkan) sebelum sampai ke Infinity War.

Fasa 1
1. Iron Man [Mei 2008]
2. The Incredible Hulk [Jun 2008]
3. Iron Man 2 [Mei 2010]
4. Thor [Mei 2011]
5. Captain America: The First Avenger [Julai 2011]
6. Marvel's The Avengers [Mei 2012]

Fasa 2
7. Iron Man 3 [Mei 2013]
8. Thor: The Dark World [November 2013]
9. Captain America: The Winter Soldier [April 2014]
10. Guardians of the Galaxy [Ogos 2014]
11. Avengers: Age of Ultron [Mei 2015]
12. Ant-Man [Julai 2015]

Fasa 3
13. Captain America: Civil War [Mei 2016]
14. Doctor Strange [November 2016]
15. Guardians of the Galaxy Vol. 2 [Mei 2017]
16. Spider-Man: Homecoming [Julai 2017]
17. Thor: Ragnarok [November 2017]
18. Black Panther [Februari 2018], dan
19. Avengers: Infinity War [April 2018]


Kesemua filem di atas berkongsi satu dunia (dipanggil Marvel Cinematic Universe, MCU) dan filem Avengers adalah filem di mana kebanyakan watak daripada filem lain akan bertemu dan mendapat peranan dalam filem tersebut, bukan sekadar cameo.

Aku percaya majoriti filem di atas pernah ditonton oleh kalian. Tapi kepada para peminat MCU secara khusus, ataupun peminat Marvel secara amnya, kesemua 18 filem sebelum ini PERLU ditonton SEBELUM boleh pergi menonton Infinity War.

Pada pendapat aku, Infinity War adalah satu filem untuk peminat di mana filem ini seperti meraikan 10 tahun MCU mula bertapak (dan menguasai) industri filem dunia. Sebab itu aku suruh jawab tiga soalan tadi, sebabnya kalau kalian dapat jawapan semuanya tanpa masalah, kalian boleh dianggap sebagai peminat MCU dan sekaligus filem Infinity War ini akan menjadi satu filem yang paling dinanti-nanti oleh kalian semua.

Bukan peminat MCU akan mendapati soalan tadi sedikit mencabar untuk dijawab.



Jadi, adakah bukan peminat tidak boleh menonton Infinity War?

Avengers: Infinity War berdurasi 2 jam 40 minit, menjadikannya filem paling panjang durasinya dalam semua filem MCU yang ada. Walaupun panjang, disebabkan ini adalah filem Avengers di mana terdapatnya banyak watak hero daripada filem MCU yang lain dalam satu cerita, maka jalan ceritanya laju. 2 jam 40 minit tidak langsung dirasakan lama.

Tapi, disebabkan filem ini ada banyak watak dan jalan cerita yang laju, maka plot cerita ini tidak seperti plot filem kebanyakan yang lain. Pada awal cerita penonton sudah terus disajikan dengan babak yang suspen dan dramatik, langsung menjadikan plot mencanak naik tanpa perkembangan. Penulis cerita dan pengarah beranggapan semua penonton sudahpun kenal dengan semua watak di dalam cerita ini, maka tiada bahagian pengenalan supaya ceritanya dapat disajikan sepenuhnya dalam tempoh 2 jam 40 minit.

Bagi peminat MCU, Infinity War adalah satu filem yang menjawab kebanyakan persoalan yang timbul di dalam MCU seawal filem-filem di Fasa 1. Thanos, watak antagonis utama Infinity War ini, diperkenalkan di dalam MCU seawal filem The Avengers [2012] lagi. Bagi para peminat, akhirnya dapat melihat Thanos beraksi dan mendapat lampu suluh sebagai watak jahat utama adalah sesuatu yang dinanti-nantikan.

Berlainan pula bagi seorang bukan peminat MCU menonton cerita ini. Pada awal cerita sudahpun dipenuhi dengan persoalan. Kenapa begitu? Dari mana mereka ini? Apa yang mereka cari? Siapa ini? Siapa dia tu? Maka bagi bukan peminat MCU, datang masuk menonton filem Infinity War tanpa pengetahuan daripada 18 filem sebelumnya akan membuatkan mereka keluar dengan lebih banyak persoalan. Pada mereka, 2 jam 40 minit adalah terlalu lama kerana mereka pada dasarnya tidak tahu asas jalan cerita Infinity War. Asas cerita ini dibina lebih awal, seawal tahun 2012 lagi.

Dengan kata lain, jika kalian bukan peminat MCU dan langsung tidak mengikuti filem-filem MCU sebelum ini, maka Infinity War memang bukan untuk kalian.

Tapi itu duit kalian. Rasa ada duit nak dihabiskan dan sanggup habiskannya untuk satu filem yang akan lebih membawa banyak persoalan kepada kalian, pada aku, silakanlah.




Thanos



Thanos?

Semua tahu Thanos adalah watak antagonis utama filem ini. Thanos digelar 'Mad Titan', satu entiti berbadan besar, sasa serta berkulit ungu. Thanos diperkenal sebagai antagonis utama untuk siri filem Avengers selepas kemunculannya di dalam babak selepas kredit untuk filem Avengers yang pertama pada tahun 2012.

Kemunculan Thanos dinanti seantero peminat MCU. Namun filem-filem MCU dikenali dengan watak jahat yang tidak mencapai standard tinggi (Thor: The Dark World, Guardians of the Galaxy, Avengers: Age of Ultron contohnya), maka peminat MCU sedikit risau jika Thanos bakal masuk ke dalam senarai yang makin memanjang itu.

Namun, itu tidak berlaku.

Filem Infinity War ini dilihat mengangkat Thanos sebagai watak yang bukan sebarangan. Dalam Infinity War, Thanos digambarkan sebagai watak yang walaupun antagonis dan penuh sinis, namun masih ada sisi 'kemanusiaan' di sebaliknya. Watak Thanos juga mendapat jumlah waktu skrin (screentime) paling tinggi berbanding watak-watak lain di dalam Infinity War, termasuklah watak yang dikira besar seperti Steve Rogers, Iron Man dan Thor.

Pengarahnya sendiri, Anthony dan Joe Russo memberitahu filem Infinity War ini adalah filem Thanos.

Jadi, melihat watak Thanos yang sudah diperkenalkan seawal 2012 dan akhirnya mendapat pengiktirafan setinggi ini, rasanya filem Infinity War ini tidak akan mengecewakan para peminat MCU untuk ditonton. Thanos juga sudahpun dilabel oleh para peminat sebagai 'Greatest MCU villain', menggantikan Loki (Thor, The Avengers) dan Erik Killmonger (Black Panther).

Pada tahap ini, rasanya jika kalian sudah bosan dengan filem adiwira yang berulang dan sentiasa menang (seperti Captain America, Iron Man, Thor) maka kalian mungkin akan suka watak jahat Thanos yang dilihat dapat mengalahkan para wira ini dengan mudah.






Tidak menjadi rahsia lagi bahawa tujuan Thanos mahu dapatkan kuasa adalah untuk memusnahkan separuh daripada dunia. Aku, secara peribadi, sedikit memahami tujuan Thanos itu.

Jika kalian pernah baca post aku yang lepas, aku pernah sentuh tentang masalah utama dunia sekarang ialah isu 'overpopulation' (baca entri ini: Comot, Populasi, dan Anak Bakal Tunjang Negara.). Disebabkan itulah aku dapat 'relate' dengan apa yang Thanos buat, menjadikan aku lebih menyokong Thanos berbanding para adiwira yang lain.

Ya, aku #TeamThanos




BERBALOIKAH?

Aku boleh dikatakan peminat MCU. Walaupun aku bukanlah pengikut komik Marvel yang setia (memandangkan 'nature' komik Marvel adalah mengelirukan dan banyak, agak susah aku nak ikut dari awal hingga terkini) tapi aku ikut MCU dari awal filem Iron Man [2008] sehinggalah yang terkini sekarang. Aku kenal semua watak di dalam Infinity War. Jika ditanya jalan cerita dari awal, aku dengan mudah boleh menceritakannya tanpa perlu rujukan. Aku ikuti segala 'trailer breakdown', 'easter eggs' dan 'future expectation' untuk MCU yang sering menjadi topik bualan di internet.

Dengan bahasa lain, aku boleh digelar 'MCU fanboy'

Kalau tanya aku, berbaloikah menonton Infinity War selepas menonton 18 filem MCU dari tahun 2008, ditambah dengan siri TV yang terikat dengan MCU seperti Marvel's Agents of S.H.I.E.L.D, dan beberapa siri TV lain termasuk edaran Netflix, abc IMAX dan Hulu, jawapan aku hanya satu: SUDAH TENTU.

Untuk Infinity War, aku berjaya menonton di pawagam pada hari pertama ditayangkan (25 April 2018, Rabu) sebelah pagi, menjadikan aku antara manusia di Malaysia yang terawal menontonnya (sebagai penonton). Aku berbuat demikian supaya aku tidak akan terkesan dengan spoilers yang bakal diberikan orang lain selepas filem itu ditayangkan.

Tentang spoilers, aku dapat rasakan bahawa tiada siapa dapat bendung perkara ini. Walaupun berkali-kali pihak Marvel tegaskan untuk tidak menyebarkan spoilers dalam apa-apa bentuk, malah siap wujud kempen hashtag #ThanosDemandsYourSilence bagi menghalang spoilers menjadi berleluasa di media sosial, namun spoilers tetap ada. Jadi, untuk aku menanganinya, aku gigih mencari cara untuk menonton filem Infinity War ini seawal yang mungkin.

Dan aku berjaya.

Tiket yang aku dapat adalah tiket percuma, tapi jika tiket itu tidak percuma sekalipun, jika aku dikenakan bayaran sehingga puluhan ringgit untuk duduk di atas satu kerusi di dalam pawagam selama 2 jam 40 minit, aku rasa ia tetap BERBALOI.

Malah pada kali pertama menonton aku dapat merasakan bahawa itu tidak akan jadi kali terakhir aku menontonnya. Aku akan tonton di pawagam untuk kali kedua, ketiga dan mungkin keempat. Filem ini BERBALOI untuk diulang tonton.

Yang menjadi sedikit ralat pada aku ialah, pawagam tempat aku tonton ini tidak mengeluarkan barangan istimewa sempena Infinity War. Tak seperti sewaktu Captain America: Civil War dahulu yang ada bekas minuman dalam bentuk badan dan perisai, sewaktu Spider-Man Homecoming ada bekas popcorn berbentuk kepala Spider-Man, dan sewaktu tayangan Thor: Ragnarok ada bekas minuman berbentuk Tukul Hulk. Kali ini untuk Infinity War, hanya ada cawan kanak-kanak dengan cetakan watak sahaja. Agak mengecewakan untuk satu filem yang dipromosikan besar-besaran seluruh dunia. (I'm talking about you, TGV!)

Tidak kisahlah. Untuk aku, Infinity War tetap berbaloi.

Jika kalian berniat untuk menonton bersama keluarga yang ada anak kecil, pada aku, filem ini masih selamat ditonton penonton cilik. Walaupun benar Infinity War adalah filem perang, namun ini juga merupakan filem Marvel. Marvel terkenal dengan elemen warna-warninya. Sebahagian besar peminat filem superhero Marvel adalah anak kecil, maka pihak Marvel tidak meletakkan elemen keganasan melampau di dalam filem ini. Ini adalah filem perang yang masih mampu menghiburkan kanak-kanak, bukannya meletakkan mereka jatuh ke dalam trauma seperti filem perang lain.

Seterusnya, adakah filem ini berbaloi untuk bukan peminat MCU?

Jawapan aku mudah, TIDAK BERBALOI. Menonton Infinity War TIDAK akan membuatkan para bukan peminat MCU berubah menjadi minat. Nasihat aku, jika kalian bukan peminat MCU, ataupun gagal menjawab 3 soalan aku di awal tadi dengan jayanya, tidak perlulah kalian beriya-iya untuk sertai 'bandwagon' peminat MCU dan berkejar-kejaran ke panggung. Pergi belek dulu media sosial dan baca/lihat segala spoilers yang ada dan buat keputusan secara tenang dan ilmiah sama ada kalian mahu habiskan puluhan ringgit harga tiket untuk duduk selama 2 jam 40 minit dan akhirnya pening kepala sebab tidak faham jalan cerita.

Tapi, macam aku katakan tadi, itu duit kalian. Buatlah apa sahaja yang kalian suka :)

Akhir kata,
rasanya, kenapa Batman dan Superman TIADA di dalam Avengers?



Avengers: Infinity War


Apabila pengganas alam semesta mula turun ke Bumi dan membuat kerosakan bagi mendapatkan Batu Infiniti untuk membolehkannya mendapat kuasa luar biasa, adakah para adiwira Bumi mampu menuntut bela dan seterusnya mempertahankan dunia yang mereka sayangi?

Saksikan Avengers: Infinity War yang ditayangkan di seluruh negara bermula 25 April 2018.





.

May 2, 2018

Si Gadis Juruwang Kedai Serbaneka.


Salam.

Baca juga: Si Gadis Kedai Kasut.

Siapa guru pertama kita?
Adakah bapa yang pertama mendukung kita selepas dilahirkan? Ataupun si ibu yang memeluk kita dengan riang selepas melahirkan? Ataupun si doktor yang ditugaskan menyambut kelahiran?

Kajian sains mendapati bayi manusia mampu meniru perlakuan orang sekeliling seawal 45 minit pertama selepas dilahirkan. Walaupun kajian itu banyak cacat celanya, dan pemerhatian sains terhadap gerak laku bayi baru dilahirkan dianggap sedikit kurang beretika, namun hakikatnya bayi mampu belajar seawal usia minit hanya dengan input dari persekitarannya.

Ya. Guru pertama manusia adalah pengalaman.

Pengalaman mendewasakan. Pengalaman juga yang menjadikan diri kita, kita.




DING DONG!

Bunyi loceng penggera pintu sebuah kedai serbaneka 24 jam kedengaran. Dua manusia kelihatan membuka pintu kedai dan memasukinya. Lebih tepat, dua lelaki.

Memperkenalkan Yellow, seorang lelaki bujang yang walaupun kelihatan tenang namun sentiasa bersifat skeptikal terhadap segala perkara, termasuk kehidupan.

Yellow dan rakan rumah sewanya, Blue ke kedai serbaneka itu untuk membeli barang keperluan masing-masing. Kelihatan dua orang pekerja perempuan berseragam merah sedang menunggu di kaunter bayaran. Mereka berdua tersenyum sesama sendiri, tidak pasti apa yang dibualkan. Setelah selesai mengambil barangan masing-masing, Yellow dan Blue menuju ke kaunter bayaran.

"Hai, encik. Apa khabar? Ini sahaja?" tanya salah seorang gadis pekerja merangkap juruwang di kaunter berkenaan. Seorang lagi pekerja tadi berdiri sedikit belakang, tersenyum melihat rakannya itu menjalankan tugas.

"Baik. Ini sahaja. Kira sekali semua."
Yellow membalas dalam nada biasa, tiada mesra, seperti yang selalu dilakukannya dengan hampir semua orang. Blue yang sedang berdiri di belakang Yellow hanya tersenyum.

"Encik tidak kerja hari ini?"
Percubaan gadis juruwang tersebut untuk terus menjadi mesra sambil tangannya mengambil satu persatu barangan untuk dilalukan ke bawah mesin pengimbas kod.

"Tak. Tak kerja. Hari Ahad," jawab Yellow padat.

Juruwang tersebut terdiam. Dia seperti dapat merasakan Yellow tidak berminat untuk membalas perbualan mesra yang dimulakannya. Namun di bibirnya masih terukir senyuman manis walaupun kepalanya sudah sedikit menunduk. Selepas satu persatu barangan diimbas, beberapa butang kemudian ditekan dan muncul jumlah harga barangan yang perlu dibayar di monitor mesin daftar tunai.

"Semuanya dua belas ringgit enam puluh sen," kata gadis juruwang itu.

"Tapi di sini tertulis enam belas ringgit enam puluh sen?" Yellow meluruskan jari telunjuknya ke arah monitor mesin daftar tunai. Menyedari kesilapannya menyebut harga, gadis juruwang berkenaan terus hilang senyum, kelihatan mula cemas dan segera membetulkan silapnya.

"Maaf. Maaf, encik. Enam belas ringgit enam puluh sen."

Yellow mengeluarkan sekeping wang kertas berwarna jingga daripada dompetnya dan menghulurkannya ke arah gadis juruwang itu. Gadis juruwang itu kemudian menyambut nota berkenaan sambil tertunduk pandangan. Mungkin dia masih malu kerana sudah membuat kesilapan.

"Ini baki wangnya, encik. Sekali lagi saya minta maaf. Terima kasih. Sila datang lagi."

"Sama-sama. Jumpa lagi," jawab Yellow sambil mengambil semua barangan tadi dari atas pelantar kaunter. Mendengar jawapan Yellow tadi, muka juruwang itu bertukar daripada tersipu malu kepada wajah riang. Bibirnya kembali melengkung membentuk senyuman.

Semua kejadian tadi disaksikan oleh Blue dari belakang.

DING DONG!

Sekali lagi loceng penggera pintu kedai itu berbunyi, kali ini disebabkan dua lelaki membuka pintu untuk keluar dari dalam kedai.

"Jadi, kau perasan tak?" Blue mula bicara. Mereka berdua berjalan menuju ke rumah sewa mereka yang jaraknya tidaklah jauh mana daripada kedai serbaneka itu.

"Perasan apa?" Yellow kebingungan.

"Aku rasa, cashier tadi tu sukakan kau."
Yellow memberhentikan langkahnya. Blue turut sama terberhenti. Yellow memandang ke wajah Blue dengan keningnya terangkat sebelah kiri.

"Apa yang membuatkan kau kata dia suka aku?" tanya Yellow untuk kepastian.

"Kita bukan baru sekali dua pernah ke kedai tu. Dari dulu lagi aku sudah nampak tiap kali kita masuk kedai dan kau ada, cashiernya mesti perempuan tadi. Lagipun, kalau tak salah aku, waktu sekarang adalah shift kawan dia yang seorang lagi tu untuk bertugas jadi cashier tapi entah kenapa dia pula yang bertugas. Jangan kata kau langsung tak perasan?"

Tipulah kalau Yellow tidak perasan. Daripada tiga penghuni rumah sewa itu, Yellowlah orang yang paling tajam pemerhatian terhadap persekitaran manakala Blue adalah seorang yang langsung tidak peka. Untuk sesuatu seperti itu berlaku dan diperasan oleh seseorang seperti Blue bermakna Yellow sudahpun sedar mengenainya lebih awal lagi.

"Kebetulan sahaja tu..." Yellow cuba menidakkan sesuatu.

"Adakah kau melayan awek cashier itu begitu disebabkan oleh namanya?" Blue bersuara. Soalan itu membuatkan muka Yellow berubah. Walaupun antara mereka tiga sekawan Blue adalah jenis yang paling tidak peka tentang persekitaran, namun Bluelah orang yang paling pandai membaca bahasa tubuh badan orang, terutamanya mereka yang terdekat.

"Kita bukan baru kenal sehari dua, bro. Aku tahu cerita lama kau dahulu. Takkan hanya kerana seorang dan satu peristiwa, kau menolak semua peluang yang ada?"

Yellow masih terdiam. Dia tiada jawapan untuk soalan Blue itu. Secara tiba-tiba hatinya terasa sakit, terkenangkan apa yang pernah berlaku kepada dirinya dahulu.

"Pernahkah kau fikir nak buka semula hati kau untuk perempuan lain? Sampai bila kau mahu keras sebegini? Tidak cukup dengan apa yang perempuan itu sudah buat pada kau, takkan kau pula mahu tambah dengan menyeksa diri sendiri lagi?"

Yellow sudah kelihatan tidak senang. Kata-kata Blue itu sungguh tepat dan tajam. Namun, dia tidak mampu untuk memarahi Blue kerana dia sendiri sedar apa yang dikatakan Blue itu benar.

Sesuatu berlaku di zaman silam Yellow melibatkan seorang perempuan. Seorang yang amat disayanginya pada waktu itu. Selepas dirinya dikhianati oleh orang yang disayanginya itu, Yellow mula bersikap skeptikal dan prejudis terhadap kebanyakan perempuan terutamanya kepada mereka yang memiliki nama yang sama dengan perempuan itu.

"Kau nak tahu? Semua orang atas bumi ini sama ada yang pernah hidup, sedang hidup ataupun akan hidup memilki nama mereka masing-masing, kan? Tiada siapa yang hidup tanpa nama. Orang selalu kata nama itu menonjolkan penampilan seseorang, mencerminkan peribadi mereka, kan?" Yellow mula bicara. Blue angguk setuju.

"Sebenarnya mereka salah. Bukan nama yang mencerminkan peribadi, tapi kita sendiri yang mencerminkan nama yang kita bawa. Kalau kita buat tahi, yang dipalit tahi bukan hanya pada kita seorang tetapi juga terkesan pada semua orang yang juga membawa nama seperti kita. Yang tercalit tahi adalah pada nama."

"Pada saat pertama kali aku baca nama di nametag awek cashier itu dahulu, aku sudah mula rasa sakit. Seolah-olah parut luka lama sedang berdenyut sakit kembali. Tidak kira berapa mesra awek cashier tadi layan aku, berapa manis senyuman yang dia beri, berapa banyak kali dia tunduk meminta maaf, apa yang aku nampak pada dia adalah tahi yang tercalit pada nama dia. Peristiwa lama yang pada dasarnya tiada kaitan langsung dengan dia tapi terpaksa dia tanggung hanya kerana nama mereka sama."

"Aku tak benci dia. Aku benci nama dia."

Suasana menjadi sunyi antara Blue dengan Yellow. Kedua-dua mereka terdiam. Blue dapat faham apa yang Yellow rasakan. Namun pada pihak Yellow pula, dia sendiri tidak mahu rasa ini terus menguasai dirinya.

"Aku tak pandai nak beri nasihat seperti orang lain. Tapi aku ada seorang kawan baik yang pandai beri nasihat. Kalaulah dia boleh dengar masalah kau ini, tentu dia akan kata sesuatu seperti ini..."

Yellow mengangkat kepalanya, sedia untuk mendengar nasihat yang bakal disampaikan Blue.

"Pada aku, kalau parut luka lama kau berdenyut sakit kembali, apa kata daripada kau terus menerus mengelak rasa yang tidak boleh dielak itu, adalah lebih baik kau terus menerus bertahan merasainya. Biasakan dengan rasa sakit itu. Sampai satu tahap, bila rasa sakit itu datang lagi, ia tidak akan beri kesan kepada kau sebab kau sudahpun terbiasa dengannya."

Suasana janggal dan sunyi berlangsung antara kedua-dua mereka. Lalu, selepas beberapa ketika, Yellow tersenyum.

Blue membalas senyuman itu. Dia tahu mesej yang nak disampaikannya telahpun diterima Yellow dengan jayanya. Dia berharap mungkin pada suatu hari nanti dia akan dapat melihat satu peristiwa yang berbeza antara Yellow dengan si gadis juruwang tadi. Peristiwa yang lebih menggembirakan.

"Tak sangka orang macam kau pun boleh beri nasihat bernas macam tu...," seloroh Yellow sambil ketawa kecil. Blue menumbuk perlahan bahu Yellow dan mereka ketawa bersama-sama. Perjalanan ke rumah sewa diteruskan dengan satu harapan kecil di hati Blue dan satu azam berbeza di hati Yellow.




Pengalaman adalah guru pertama kita. Pengalaman yang mengajar seorang bayi meniru kelakuan orang sekelilingnya seawal usia minit, dan pengalaman juga yang menjadikan seseorang manusia bersifat skeptikal di waktu dewasanya.

Namun kita lupa, kita sendiri adalah tuan kepada pengalaman. Kita sendiri yang berhak menentukan apa hala tuju kehidupan kita selepas melalui sesuatu pengalaman.

Pengalaman mendewasakan. Pengalaman yang kita pilih yang menjadikan diri kita, kita.






.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Namaku cEro.... Kacak, tinggi, putih gebu, badan tegap, macho.. Kalau korang nampak orang yang memenuhi kriteria di atas, dia BUKAN AKU..
PENERBITAN: