Dear cErolian,

......

TERIMA KASIH!

Terima kasih kerana terus menyokong!

=======================

Apr 18, 2018

Buku Kompilasi 'Cabaran Komik Online Malaysia (CKOM)' 2017. BERBALOIKAH?



Salam.

Aku sebenarnya sudah lama merancang nak buat segmen ini,
tapi aku takut tak mendapat sambutan jadi aku simpan dulu.
Namun rasanya, tak buat segmen ini pun blog aku tak mendapat sambutan
maka kalau aku buat pun aku tidak rugi jadi...

..here we are!

Segmen yang aku maksudkan ialah segmen REVIEW!




Mukadimah

Begini.
Memang aku pernah beberapa kali buat review seperti review buku Hotel K dan beberapa lagi. Lagipun di luar sana seperti di blog lain dan media sosial (Facebook dan Instagram) pun sudah penuh dengan review, jadi apa bezanya dengan segmen review aku ini?

Jawapannya,
review aku lebih bersifat santai dan peribadi. Aku tidak akan sugar-coat dengan pujian yang tak diperlukan. Perkara yang aku review juga tidak terikat pada satu jenis. Apa sahaja yang aku mahu review, dan boleh review, aku review.

Juga paling penting, aku akan lebih fokus kepada aspek 'berbaloikah'. Adakah ia berbaloi dibeli, berbaloi dimiliki, atau berbaloi dibaca, berbaloi dimakan, berbaloi dikunjungi dan berbaloikah kita luangkan masa untuknya.

Jadi tanpa membuang masa, mari kita belek mangsa pertama:


KOMIK CKOM SUKAN
terbitan KOMIK-M & MATKOMIK



Perihal

Sekali pandang, komik ini seperti diberi nama 'KOMIK MALAYSIA' kerana perkataan itu yang ditulis besar di muka depan. Namun, nama panjang komik ini ialah 'CABARAN KOMIK ONLINE MALAYSIA SUKAN', dan di tulang buku (tepi buku) ditulis sebagai 'CKOM SUKAN - CABARAN KOMIK ONLINE MALAYSIA'. Mana satu nama sebenar buku ini pun aku tak pasti.

Komik ini adalah terbitan PTS Publishing House Sdn. Bhd di bawah Komik-M dan kerjasama bersama MatKomik.

Secara umumnya, komik ini adalah kompilasi 10 komik pemenang pertandingan Cabaran Komik Online Malaysia (CKOM) pada tahun 2017. Bagi yang tidak tahu, CKOM adalah satu pertandingan yang dikelola laman sesawang MatKomik setiap tahun. Pada tahun lepas 2017, CKOM dianjurkan atas tema SUKAN dan pemenang yang dipilih juri dan para editor akan mendapat peluang untuk diterbitkan komiknya secara kompilasi.

Maka wujudlah komik CKOM SUKAN ini.

Buku ini mengandungi 10 komik yang terdiri daripada pemenang pertandingan dan pilihan editor. Ada 10 komik lain yang turut dikompilasikan di bawah satu buku lain iaitu komik CUN #3, juga merupakan pemenang dan komik pilihan juri dan editor.

10 komik yang diisi di dalam buku ini ialah:

1. Bakar (penulis, pelukis: Hyrohiku)
2. Hikayat Topeng Kilat (penulis, pelukis: Kha.Zi.Mi)
3. Garis Merah (penulis, pelukis: Musashi)
4. Matahari (penulis, pelukis: Hiroshikee)
5. Gunmen (penulis, pelukis: Faye)
6. The Ugly Truth (penulis, pelukis: Aniff Zazali)
7. Alpha (penulis: Irfan Kartunis, pelukis: Pogota)
8. Boccia (penulis: Nor Farahanim, pelukis: Abraqib94)
9. Panah (penulis: Atiqah Safian, pelukis: Khai Akhiar) ,dan
10. Revival (penulis: Nurel, pelukis: Toadfrogs)

(Nota: Aku mungkin salah tulis siapa penulis siapa pelukis. Lain kali pihak Komik-M mungkin boleh cuba tekankan siapa penulis pelukis supaya aku tak salah lagi. Hargai kerja setiap individu yang terlibat, jangan letak semua orang dalam satu kelompok)

Komik 'Bakar' mendapat tempat kedua dalam CKOM 2017 dan komik 'Hikayat Topeng Kilat' mendapat tempat ketiga.




Ulasan

Semasa CKOM berlangsung tahun lepas, aku sedang berada di dalam krisis kehidupan, maka tiada satu pun penyertaan yang aku baca secara online. Ya, daripada 161 komik yang bertanding, tiada satu pun yang aku baca termasuklah hasil kerja kawan-kawan yang dikenali. Dengan terbitnya buku ini, aku tidak perlu bersusah payah untuk buka laman sesawang di atas talian dan tatap skrin LCD/LED lama-lama untuk baca karya pemenang.

Aku diberitahu sebelum ini bahawa kompilasi komik pemenang CKOM ini akan dilancarkan pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, PBAKL 2018 yang akan berlangsung pada 27 April sehingga 6 Mei di PWTC. Akan tetapi, aku dapat beli buku ini lebih awal di Pesta Buku Selangor yang berlangsung beberapa minggu lepas di Shah Alam. Keputusan pihak pemasaran rasanya.

Memang para pemenang dan komik pilihan editor bukan calang-calang hebatnya. Jalan cerita, perkembangan watak dan lukisan, semua berada di taraf yang tinggi. Mereka seperti di atas bangunan tingkat 138, aku pula baru berada di tingkat 8. Dapat lihat hasil kerja sebegini dicetak dan dijual di atas kertas memang sudah dikira satu kejayaan. Tiba-tiba aku rasa tidak ralat langsung tidak sempat sertai CKOM tahun lepas.

Namun,
walaupun para juri bertukar setiap tahun, tema juga berubah setiap pertandingan, para pemenang dan pilihan editor seperti sudah dapat diagak. Bertahun-tahun aku ikuti CKOM ini, aku dapat nampak satu 'pattern' tertentu untuk dipilih dan diangkat sebagai pemenang.

Walaupun jalan cerita amat penting, namun aku nampak apa yang lagi dipandang adalah lukisan. Juri kata lukisan lawa tak bermakna boleh menang jika jalan cerita teruk, namun kalau sebaliknya lukisan tidak lawa dan jalan cerita hebat, tetap tidak akan menang. Dengan kata lain, lukisan adalah keutamaan. Namun mesti kena ada keseimbangan dalam jalan cerita dan lukisan, WALAUPUN lebih berat ke arah lukisan.

Dengan pattern tersebut, pemenangnya setiap tahun dapat dilihat terdiri daripada orang yang berulang. Sama.

Aku tidak menafikan bakat dan cerita mereka yang menang, TAPI aku takut satu masa nanti CKOM akan dilabel sebagai 'lubuk untuk sesetengah individu tertentu mendapat pendapatan pasif' kerana kalau setiap tahun orang yang sama sahaja menang, bukankah sudah melemahkan fungsi sebenar CKOM itu dianjurkan; mengetengahkan bakat-bakat baru?

Bagaimana bakat baru boleh diketengah kalau yang menang adalah orang yang sama?

Apatah lagi hadiahnya walaupun bukan tahap lumayan, namun masih lagi besar dan melibatkan wang ringgit. Kalau setiap tahun muka dan nama yang sama sahaja menang, apa perasaan mereka yang masih berusaha untuk maju ke depan? Untuk apa mereka masuk bertanding lagi kalau orang yang sama juga akan menang?

Mungkin pihak MatKomik sudah mula perlu fikirkan penyelesaian seperti memperkenalkan kategori atau beberapa syarat yang menyekat orang yang sama untuk menang berulang kali. Walaupun CKOM dibuka sama rata untuk semua, namun rasanya itulah 'loophole' terbesar CKOM, kerana orang yang berada di tingkat 210 boleh menang berulang kali tanpa rasa bersalah.

Ok, kembali ke review komik.

Kesepuluh-sepuluh komik di dalam buku ini semuanya hebat belaka. Bab isi, lukisan dan jalan cerita, semuanya layak dicetak dan diterbitkan. Ada beberapa komik yang membuatkan aku rasa tidak puas dan ingin baca lebih lagi. Ada juga komik yang rasanya cukup tamat setakat itu dan tidak perlu ada sambungan kerana 'cliffhanger' itulah yang membuatkan ceritanya hebat.

Walaupun CKOM 2017 datang dengan tema SUKAN, namun pembaca tidak dihidangkan dengan komik kesukanan tipikal, jenis yang berpeluh-peluh mencapai kemenangan seperti komik sukan lain. Komik sukan kali ini seperti membuka satu lebaran baru untuk definisi 'sukan', kerana kebanyakan isi komik ini adalah mengenai 'sukan' yang boleh didebatkan taraf kesukanannya. Malah ada yang reka sukan sendiri. Keluasan definisi sukan sebagai tema memang membuka kreativiti para penulis dan pelukis komik untuk berkarya. Syabas, MatKomik.

Setiap komik hanya 10 mukasurat menjadikan buku ini boleh dibaca santai dan tiada tekanan untuk cepat dihabiskan.

Namun,
satu teguran yang aku rasa perlu diambil berat ialah penggunaan bahasa inggeris sebagai tajuk. Hampir separuh menjadikan bahasa inggeris sebagai tajuk komik, sesuatu yang aku kurang faham relevannya. Mereka bertanding untuk pertandingan Cabaran Komik Online MALAYSIA, maka aku tidak rasa keperluan menjadikan bahasa inggeris sebagai tajuk. Mungkin satu masa nanti mahu bertanding di peringkat antarabangsa, bolehlah digunakan tajuk seperti itu. Nampak hype, dengar hebat, tapi fikirkan. Rasanya kalau Melayu-kan tajuk itu pun tidak akan mengubah isi mahupun mengurangkan apa-apa, kan? Lebih memartabatkan bahasa ibunda sendiri adalah.

Mungkin, sekali lagi, pihak MatKomik perlu ubah sedikit syarat dan peraturan.




Berbaloikah?

Masuk soal utama entri ini, BERBALOIKAH?

Mengandungi lebih kurang 144 muka surat bercetak dan bersaiz A5, komik ini berbaloi dihabiskan masa membacanya. Aku (seorang yang slow-reader) hanya perlu habiskan kurang dua hari untuk habis baca dan komik ini langsung tidak membebankan.

Saiz buku yang nipis dan bersaiz A5, sepadan dan sama saiz dengan buku komik keluaran Komik-M yang lain menjadikan buku ini berbaloi untuk dijadikan simpanan di almari komik aku.

Dijual dengan harga pasaran RM 9.00 (Semenanjung Malaysia) dan RM 10.00 (Sabah/Sarawak). Pada aku harganya berbaloi memandangkan aku LANGSUNG TIDAK BACA ONLINE. Kalau aku pernah (sudah) baca, aku rasa aku tidak akan keluarkan duit untuk beli di kedai. Jika kalian sudah baca kesemuanya secara online dan tidak kisah mengeluarkan duit untuk mendapatkan versi fizikal, boleh dapatkan buku ini.

Namun, memandangkan Komik-M mensasarkan pembaca kanak-kanak dan remaja muda, RM 9 untuk satu buku sedikit membebankan memandangkan majoriti golongan ini masih tiada sumber pendapatan tetap.

Jika RM 9.00 dirasakan membebankan, aku nasihatkan beli pada waktu promosi seperti semasa Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) kerana selalunya akan ada diskaun untuk semua barangan. Aku beli buku ini di Pesta Buku Selangor dan dapat diskaun 15% menjadikan harganya cuma RM 7.65. Di PBAKL juga mungkin akan diberi diskaun 15%, atau mungkin lebih lagi. Jika kalian terlepas PBAKL, boleh dapatkan buku ini ketika cuti sekolah kerana selalunya pada waktu itu harga buku di toko-toko buku terkemuka akan diturunkan kerana promosi.

Mahukan aku (cEro) menjadi 'personal shopper' kalian dan belikan buku ini semasa PBAKL? Boleh DM aku di @cerolian di kesemua laman sosial utama yang ada. Bayaran upah boleh dibawa bincang.




Penutup

Semasa kecil, aku ada pandangan bahawa semua komik yang dijadikan buku dan dijual adalah berbaloi untuk dibaca. Ini kerana semua komik yang pernah aku baca (pada ketika itu) tidak mengecewakan.

Namun zaman sudah berubah. Walaupun industri komik semakin perlahan, tapi variasi komik di Malaysia semakin berkembang. Kita ada banyak syarikat penerbitan yang berminat untuk menjual buku komik, menjadikan sasaran komik pada era ini adalah lebih kepada keuntungan semata-mata. Langsung (kadang-kadang) tidak endahkan kualiti.

Banyak sudah buku komik yang dilukis orang tempatan yang aku beli mendatangkan kekecewaan dari segi kualiti. Namun, buku komik CKOM 2017 ini bukanlah salah satu daripadanya.

Dua tiga kali juga aku fikir patutkah aku review buku ini kerana kebanyakan pelukis dan penulis di dalam buku ini aku kenal di alam maya. Takut salah review, jauh pula hati mereka dengan aku nanti memandangkan naluri orang seni ni cepat sensitif bila dikritik. Malah semasa menaip entri ini pun aku taip dengan berhati-hati agar isi yang aku nak sampaikan tidak disalah tafsir.

Walaupun mereka adalah kenalan, tapi pendapat aku, aku tidak patut sokong mereka hanya kerana mereka kenalan. Frasa seperti 'support member' sedikit tidak tepat dan tidak bersesuaian kerana jika hasil karya yang diketengahkan itu tidak mencapai standard, adakah kita sebagai kenalan masih patut sokong mereka dengan membeli produk mereka?

Pada aku, kalau barang bagus, aku beli. Tidak kira kawan atau siapa.
Kalau barang tak bagus, adakah aku masih patut beli hanya kerana perlu sokong kenalan?

Aku tidak mahu industri komik Malaysia dipenuhi dengan pelukis dan penulis yang 'syok sendiri' kerana pada pandangan mereka, tidak kira apapun taraf kualiti produk yang mereka keluarkan, mereka masih dan sentiasa ada 'member yang support'. Sedikit sebanyak ini akan membanyakkan produk 'asal boleh', menurunkan kualiti dan mencacatkan industri komik Malaysia sekaligus akan menyebabkan industri terus terkebelakang berbanding negara lain.

Namun dengan komik CKOM 2017 ini, kualitinya masih terjaga walaupun sebenarnya ada dua tiga perkara kecil yang masih boleh diperbaiki.

Pendek kata, aku tidak menyesal beli buku ini.



Komik CABARAN KOMIK ONLINE MALAYSIA SUKAN ini boleh didapati di kedai-kedai buku di seluruh negara, mungkin akan mula diedarkan selepas PBAKL 2018 nanti pada harga pasaran RM 9.00 (Semenanjung Malaysia) dan RM 10.00 (Sabah/Sarawak).




Jadi macam mana dengan entri 'BERBALOIKAH?' yang pertama ini?
Adakah kalian berminat nak beli buku komik yang aku review?
Kalian ada cadangan tentang benda apa yang patut aku review?
Tinggalkan komen untuk memberitahu.




.


6 comments:

  1. Betul tu, karya-karya yang terpilih, memang berkualiti. Tapi untuk beli, saya fikirkan dulu. Sebab sudah baca online. Untuk simpan sebagai koleksi, ok kot.

    ReplyDelete
    Replies
    1. >Amna

      Betul. Nasib cEro pun tak baca online, so berbaloi laa juga bila beli hehehe

      Delete
  2. Terima kasih review C, aku dah beli lama, masih lagi dalam beg kerja tak baca baca lagi.. hahahaha.. aku beli kat ekspo buku kat tempat aku, lelong murah..

    ReplyDelete
    Replies
    1. >Aujinz

      Hahaha. Aku pun konon nak beli dengan harga promosi tapi tak. Harga tetap sama juga. Mungkin sebab buku baru kot

      Delete
  3. hai ain datang singgah sini dan follow awak. salam perkenalan :)
    sincerely , farahain zfa

    ReplyDelete
    Replies
    1. >Farahain ZFA

      Selamat datang dan salam perkenalan 😁

      Delete

"It's not what you've got, it's what you do with it." - cEro, 2026

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Namaku cEro.... Kacak, tinggi, putih gebu, badan tegap, macho.. Kalau korang nampak orang yang memenuhi kriteria di atas, dia BUKAN AKU..
PENERBITAN:


Protected by Copyscape Online Plagiarism Check
Creative Commons License