Dear cErolian,

......

TERIMA KASIH!

Terima kasih kerana terus menyokong!

=======================

Feb 28, 2018

Memburu Anak Naga Merah Jambu. #PokémonGOCommunityDay


Salam.

[Maaf. Entri ini sarat dengan istilah-istilah khusus untuk permainan Pokémon GO yang akan sedikit memberi sedikit cabaran kepada pembaca bukan pemain untuk memahami.]



Pokémon GO Community Day adalah satu inisiatif Niantic, Inc. selaku pembangun permainan aplikasi Pokémon GO untuk menjadikan permainan tersebut sentiasa relevan. Satu hari dalam setiap bulan akan digelar sebagai Community Day, dan pelbagai bonus permainan diberikan semasa hari tersebut.

Sila baca entri 'Tangkap Pikachu di Taman. #PokémonGOCommunityDay' untuk mengetahui pengalaman pertama aku menyertai Community Day.

Untuk bulan Februari, Community Day jatuh pada tarikh 24 Februari 2018, menampilkan Dratini sebagai Pokémon istimewa. Acara ini akan berlangsung dari pukul 11 hingga 2 petang waktu Malaysia. Sepanjang tempoh 3 jam itu, bonus 3x Stardust dan jika evolve Dratini kepada Dragonite, akan dapat moveset istimewa Draco Meteor yang kuat.





PERSEDIAAN.

Untuk Community Day kali ini, Dratini menjadi Pokémon istimewa. Walaupun tidak diumumkan, tapi semua pemain sedia maklum bakal ada shiny Dratini (Dratini yang berwarna lain dari kebiasaan) iaitu berwarna merah jambu. Sebagai persediaan untuk menangkap Dratini, aku terpaksa mengemaskini peti simpanan Pokémon aku supaya ada cukup ruang untuk tangkap sebanyak mana Dratini yang aku mampu.

Disebabkan beberapa hari sebelum hari kejadian aku dapati aku tinggal sedikit sahaja XP (experience point) untuk naik ke level seterusnya iaitu level 35, aku pun gigih mencari XP di luar. Alhamdulillah, sehari sebelum 24 Februari, aku berjaya naik ke level 35.




Juga, sebagai persediaan, aku sertai komuniti Silph League untuk dapatkan lencana eksklusif sempena Community Day bulan Februari.



SILPH LEAGUE.

Ini kad Silph Road aku.
Setiap yang menyertai Silph League akan dapat kad ini.


Di kalangan komuniti pemain Pokémon GO, ada satu komuniti yang tidak terikat dengan Niantic yang begitu gigih menjalankan kajian mengenai Pokémon GO ini. Komuniti itu dikenali sebagai Silph Road. Mereka menjalankan kajian tentang hampir kepada semua perkara, termasuklah taburan Pokémon, peratusan tangkapan hinggalah ke kebarangkalian hasil tetasan telur.

Baru-baru ini, Silph Road melancarkan Silph League, sebuah jaringan sosial yang menghubungkan sesama pemain Pokémon GO. Silph League ini umpama Facebook, tapi untuk pemain Pokémon GO. Ada satu feature yang dipanggil 'Handshake' di mana apabila kita bertemu pemain lain, kita boleh terus berhubung. Handshake ini seperti 'add as friend' dalam Facebook, cuma kita kena buat face-to-face.

Untuk Community Day, jika kita buat 'handshake' dengan orang tertentu, kita akan dapat satu lencana eksklusif sempena Community Day.



MISI.

Untuk Community Day kali ini, aku tetapkan beberapa misi:

1. Sertai satu level 5 legendary boss raid Rayquaza.
2. Tangkap sebanyak mungkin Dratini sepanjang tempoh 3 jam Community Day.
3. Tangkap paling kurang TIGA (3) shiny Dratini.
4. Evolve paling kurang SATU Dratini kepada Dragonite supaya mempunyai moveset istimewa Draco Meteor.

Disebabkan aku pergi Community Day ini seorang diri (aku buka pelawaan untuk sertai aku di entri lepas tapi tiada yang berminat), jadi destinasi pilihan aku, sekali lagi, ialah Taman KLCC.


Air pancut berirama sentiasa memaku pandangan aku.



HARI KEJADIAN.

Aku sampai awal di Taman KLCC, seawal pukul 9 pagi. Suasana pagi di Taman KLCC penuh dengan orang berjogging. Bayangkan orang lain berjogging, aku pula berjalan kaki sambil main telefon. Sedikit janggal, tapi sebab situ ialah Taman KLCC jadi tiada isu sangat.

Berjalan punya jalan punya jalan, empat telur 10km yang aku eram pun menetas.


Atas, dari kiri; Larvitar, Porygon
Bawah, dari kiri; Mareep, Beldum.


Kebetulan ada telur hitam level 5 menanti untuk menetas di PokéGym berhampiran, jadi aku pun pergi ke arah PokéGym itu. Dapatlah aku sertai level 5 legendary boss raid menentang Rayquaza.


Yang seronok tentang battle di tempat seperti Taman KLCC ialah sentiasa ada orang yang akan sertai bersama.


Sudah tentu aku tak dapat tangkap Rayquaza tersebut. Entahlah. Susah bebenor nak tangkap naga hijau ni. Sampai sekarang, berkali-kali aku lawan Rayquaza pun masih belum dapat tangkap lagi satu. Marah betul hati ini dibuatnya.

Kebetulan, salah seorang yang sertai raid Rayquaza itu adalah orang yang aku boleh 'handshake' untuk dapatkan lencana eksklusif Community Day dalam Silph League. Apa lagi, kami pun 'handshake' dan aku pun dapat lencana tersebut.


Tengoklah lencana anak naga merah jambu itu.




COMMUNITY DAY BERMULA.

Jam menunjukkan pukul 11 menandakan Community Day bermula. PokéStop kebanyakannya sudah dilengkapi dengan Lure (Umpan) bertujuan untuk mengumpan Pokémon datang. Taman KLCC penuh dengan Dratini. Misi tangkapan bermula...


Lihatlah kemeriahannya.


...namun malang tidak berbau. Terdapat isu melibatkan pemainan Pokémon GO menyebabkan permainan seringkali mendapat mesej 'error'. Isu ini membuatkan kami para pemain tidak boleh bermain dengan baik. Seringkali kena mula semula (restart) permainan dan kerapkali permainan menjadi kaku (freeze) dan kena tutup secara paksaan (force stop). Isu ini berlarutan selama antara 30-45 minit.

Dek kerana aduan orang ramai, Niantic mengumumkan dalam Twitter bahawa tempoh 3 jam Community Day yang sepatutnya bermula dari pukul 11 hingga pukul 2, akan dipanjangkan sehingga pukul 5. Berita baik kepada pemain lain, tapi bukan aku. Aku hanya mampu main sehingga pukul 2 sahaja kerana selepas itu aku ada hal penting di tempat lain. Lagipun, macam yang aku sebut dalam post Community Day sebelum ini, tempoh 3 jam adalah baik dan memanjangkan tempoh itu tidak akan bawa apa-apa kebaikan pada aku.

Setelah beberapa kali maki hamun dan sumpah seranah, akhirnya aplikasi Pokémon GO kembali menjadi stabil dan bebas dari error. Tidak! Error masih ada tapi tidak sekerap sebelumnya. Tapi aku tetap gigih memburu Dratini.

Taman KLCC penuh dengan pemain Pokémon GO. Macam mana aku kenal? Mereka berjalan sambil pegang telefon bimbit, macam aku. Ada yang berkumpulan, ada yang berpasangan, dan ada yang seperti aku sendirian.

Setelah beberapa kali menangkap Dratini, akhirnya aku jumpa shiny Dratini, Dratini yang berwarna merah jambu (Dratini normal berwarna biru). Bukan satu, bukan dua, tapi aku jumpa TIGA Dratini. Aku boleh nak berusaha untuk dapat lebih tapi tiga adalah misi aku jadi tak perlu untuk aku berusaha lebih.


Lihatlah kemerah-jambuan Dratini-Dratini ini.


Sepanjang 3 jam tempoh bonus itu juga, aku sempat evolve satu Dratini normal kepada Dragonair dan seterusnya ke Dragonite (memerlukan 125 Dratini candy untuk evolve Dratini kepada Dragonite). Dragonite itu mempunyai moveset Draco Meteor. Dan disebabkan aku berjaya kumpul Dratini candy dengan banyak, aku juga evolve satu shiny Dratini menjadi shiny Dragonite, seekor Dragonite yang berwarna hijau (dan hodoh). Aku juga evolve satu shiny Dratini kepada shiny Dragonair, membuatkan aku memiliki lengkap ketiga-tiga Pokémon shiny untuk keluarga Dratini.


One happy family at home.


Tepat pukul 2 aku tamatkan acara memburu Dratini aku ini walaupun secara konsepnya acara masih lagi belum tamat. Aku terpaksa bergerak ke satu acara lain yang tak boleh aku lepaskan. Kalau aku tidak perlu ke acara itu, mungkin aku akan habiskan masa lebih untuk memburu Dratini lagi memandangkan kebanyakan shiny Dratini yang aku dapat mempunya individual value (IV) dan combat power (CP) yang rendah.

Maka tamatlah Pokémon GO Community Day bulan Februari 2018 untuk aku.



MISI SELESAI.

Sepanjang tempoh acara, aku berjaya;

1. Sertai satu raid Rayquaza walaupun tidak berjaya tangkap (+10 000 XP)
2. Tangkap 98 Dratini
3. Tangkap 3 shiny Dratini
4. Evolve 2 (dua) Dratini kepada Dragonite, membolehkan Dragonite itu memiliki moveset istimewa Draco Meteor.

Secara rumusannya aku rasa acara hari itu berjaya walaupun pelindung skrin (screen protector) telefon aku retak kerana beberapa isu. Aku juga berjaya dapatkan lencana istimewa sempena Pokémon GO Community Day yang dikeluarkan Silph League.

Kalau dilihat coraknya, Pokémon GO Community Day akan berlangsung pada Sabtu ketiga setiap bulan atau Sabtu minggu terakhir bulan tersebut, maka kemungkinan besar Community Day untuk bulan Mac jatuh pada 17 Mac ATAU 24 Mac (aku lebih rasa 24 Mac).

(Updated) Niantic umumkan Community Day bulan Mac jatuh pada 25 Mac (hari Ahad) bermakna KAU SALAH TEKA, cEro!

Niantic sudahpun umumkan Pokémon isitmewa untuk Community Day bulan Mac adalah BULBASAUR. Jadi kemungkinan untuk dapatkan shiny Bulbasaur adalah tinggi pada hari tersebut. Secara peribadi, Bulbasaur bukanlah satu Pokémon yang istimewa mana, tapi acara Community Day mungkin terletak kuat pada bonus hari tersebut, menjadikan Bulbasaur sebagai Pokémon tumpuan bukanlah teruk mana.


Image Twitter @PokemonGOApp


Aku rancang untuk pergi ke lokasi SELAIN Taman KLCC. Mungkin Taman Tasik Shah Alam, atau sekitar Menara Kuala Lumpur, atau mungkin Taman Tasik Titiwangsa. Jika ada antara kalian nak sertai aku semasa Pokémon GO Community Day bulan Mac nanti, jangan malu jangan segan untuk hubungi aku di mana-mana media sosial yang ada (@cerolian). Kita akan set lokasi ikut kesesuaian.

Maka dengan ini, tamatlah cerita aku mengenai Pokémon GO Community Day.
Terima kasih kerana baca sampai bawah sebab aku rasa rata-rata akan putus asa baca bila masuk perenggan kedua post ini hehehe.

Bye.



.

Feb 21, 2018

Cerita Seorang Lelaki.



Salam.

Hari ini aku akan bercerita tentang lelaki.
Hanya seorang. Bukan wakil keseluruhan.
Bukan representasi segelintir.
Tetapi hanya seorang.
Cerita seorang lelaki.




Lelaki itu seorang manusia normal.
Ada hati, ada perasaan, ada akal, ada fikiran.
Sama seperti yang orang lain hadapi,
lelaki itu juga ada cabaran dalam hidupnya.
Bagaimana dia jatuh, bangun, jatuh, dan bangun semula.
Dan seterusnya terus jatuh, jatuh dan jatuh.

Lelaki itu bukan tidak bernasib baik.
Cuma lelaki itu sedar, itulah jalan hidupnya.
Lelaki itu berkali-kali ingin putus asa,
tapi mungkin dia sudah putus asa untuk berputus asa,
jadi apa sahaja yang datang, dia redahkan saja.

Sama seperti yang orang lain hadapi,
lelaki itu juga pernah suka, dan disukai.
Pernah kecewa, dan dikecewakan.
Malah dia dikecewakan berkali-kali sehinggakan dia putuskan untuk tidak lagi mahu mula menyukai.

Malangnya,
yang putuskan untuk tidak menyukai itu dia.
Yang menentukan jalan dan laluan takdir dirinya itu Tuhan.

Baru-baru ini,
di saat dia tidak mahu lagi menyukai
sekali lagi perasaan itu datang tanpa diundang.
Tapi lelaki itu sedar perasaan itu, namun tidak boleh menolak.
Tapi lelaki itu tahu, perasaan itu hanya sebelah pihak.

Pada lelaki itu, hubungan adalah satu ritual tawar-menawar.
Apa yang si Uda boleh bagi kepada si Dara,
apa yang si Dara boleh bagi kepada si Uda.
Lelaki itu sedar, dia tidak boleh berada dalam hubungan
kerana dia tiada apa yang boleh ditawarkan.
Tiada tawar-menawar jika tiada yang boleh ditawarkan.
Lelaki itu tiada apa-apa.

Jadi apa yang lelaki itu mampu buat adalah pastikan si dia bahagia.
Dalam diam lelaki itu sentiasa mengambil berat tentang si dia.
Dalam doa lelaki itu sentiasa disebutnya nama si dia.
Walaupun tiada apa yang boleh diberikan selain apa yang boleh diberikan.

Suatu hari lelaki itu dapat tahu si dia sudah berpunya.
Si dia yang dia suka, sudah berpunya.
Ikutkan pengalaman lelaki itu, dia patut kecewa.
Namun tidak, lelaki itu tersenyum gembira.

Si lelaki itu tahu,
sama ada dia ada atau tidak ada
sama ada dia punya atau tidak punya
asalkan si dia bahagia, itu sudah berpada.
Dengan atau tanpa dirinya.

Lelaki itu tahu dia patut berundur ke belakang.
Bukan berputus asa.
Kerana tiada asa pun yang boleh diputus.
Bukan mengaku kalah.
Kerana tiada kalah pun yang boleh diaku.

Pada lelaki itu dia sudah menang.
Kerana lelaki itu sedar,
mencinta bukan bermakna memiliki.
Memiliki bukan bermakna hak sendiri.
Itulah konsep suka yang ada pada diri si lelaki.

Namun berat dan doa akan terus diambil dan dititip oleh lelaki itu.
Agar si dia terus bahagia, sentiasa.

Ini adalah cerita tentang lelaki.
Hanya seorang. Bukan wakil keseluruhan.
Bukan representasi segelintir.
Tetapi hanya seorang.
Cerita seorang lelaki.




.

Feb 14, 2018

Kapsul Masa Untuk Kita.



Salam.

Untuk memahami entri ini,
kita kena pergi merentas masa ke akhir tahun 2016.

Pada waktu itu, seorang kawan yang aku kagumi, Aujinz dari blog Lanun Ranggi, mencadangkan supaya kami buat satu 'kapsul masa', iaitu satu mesej dari diri sendiri sekarang (Dis 2016) kepada diri sendiri setahun akan datang (Dis 2017). Pada hujung tahun 2017, kami akan baca mesej itu dan nilai sejauh mana kami berubah sepanjang setahun itu.

Disebabkan aku sangat meminati konsep 'masa', maka aku pun setuju dengan cadangan Aujinz itu tanpa berfikir dua tiga kali.

Malangnya banyak perkara berlaku sepanjang 2017,
jadi aku pada Disember 2017 TERLUPA akan kewujudan kapsul masa itu.

Dan hari ini, sedikit terlambat,
aku selaku cEro pada Februari 2018 pula akan ambil alih tugas cEro Disember 2017 untuk membaca semula dan menilai diri sendiri sepanjang setahun perjalanan hidup seorang cEro ini.

Jadi,
inilah mesej yang tersimpan dalam 'kapsul masa' itu:


Tulisan kecil? Susah nak baca?
Jangan risau,
aku dengan rajinnya salin balik mesej di atas dalam bentuk teks:


Hello Future 2017 C, I'm Past C version 2016.
How are you? Hopefully you're still alive because it's going to be super awkward if I'm talking to my future dead self, online.

Aku tahun tahun 2017 bukanlah tahun yang mudah untuk kau dan aku juga tahu kau bertungkus lumus menghadapinya. Apa pun yang kau buat, apa pun yang berlaku aku pasti kau dapat melaluinya dengan tabah seperti yang kau selalu lakukan sebelum ini.

Macam mana aku tahu? Ingat lagi pada tahun 2016 di mana kau mula sedar impian kau untuk menjadi 'itu' adalah mustahil untuk dicapai memandangkan kondisi kau sekarang? Pada waktu itu kita (aku dan kau) sama-sama rasa ralat sangat. Yalah, siapa tak ralat kalau impian bertukar taraf mustahil untuk dicapai, kan? Pada waktu itu kita rasa tak ada apa keperluan lagi untuk kita terus berusaha, kita jadi murung dan kuat merungut, kita salahkan segala perkara yang tak ikut perancangan kita. Tapi lama kelamaan kita sudah boleh dapat terima kenyataan di mana setiap orang ada pasang surutnya. Kita ambil keputusan untuk buang impian lama dan kejar impian baru. Kita tidak putus asa, cuma kita ubah arah. Kita tak terus duduk bawah dasar, kita berusaha mencari jalan untuk ke atas. Dari situ aku tahu yang kau seorang yang kuat dan mampu capai apa sahaja asalkan ada tekad yang jitu.

Ya. Zaman 2016 dan sebelumnya mungkin berbeza dengan zaman kau 2017, tapi itu tidak bermakna kekuatan kau pun berubah menjadi lemah, kan? Aku yakin kau akan semakin menjadi kuat berbanding aku, jadi be a man dan teruskan apa yang kau kejarkan sebab mana tahun di tahun 2018, kau akan berdiri bangga kerana aku di 2016 dan kau di 2017 tidak pernah lelah dan berputus asa.

Lastly, be good. Sayangi orang yang sayang kau dan jangan kuat merungut. Be awesome.


-cEro 31 Dis 2016



Jadi,
inilah mesej balasan aku selaku cEro versi Februari 2018:



Hello Past cEro version December 2016.
I'm fine. Thank you. I'm still alive and kicking, so this is not going to be an awkward reply.

Kau sangat optimistik. Sangat positif. Macam ada pelangi keluar dekat belakang kepala kau. Aku rasa semuanya sebab mesej ini kena tayang dekat profil Facebook, jadi kau kena maintain that cheerful personality, kan? Tapi banyak berlaku pada tahun 2017 walaupun hanya setahun.

Tentang impian lama itu, nampaknya kita (aku dan kau) sudah dapat terima kenyataan bahawa ia memang mustahil. Aku sekarang boleh bergurau tentangnya bila duduk depan cermin. "Hey, look at that loser yang tak dapat capai impian dia," sambil ketawa besar menuding jari ke arah imej pantulan diri. Tapi walaupun impian lama kini hanya tinggal angan-angan, kita masih belum buat keputusan untuk impian yang baru. YA. KITA MASIH TIADA IMPIAN BARU. Hari demi hari aku teruskan hidup teruskan berusaha tanpa sebarang arah dan hala tuju. Jadi manusia tanpa impian macam selipar yang hanyut semasa air bah datang. Laju, tapi tak bertujuan. Apa yang perlu kita buat sekarang ialah tetapkan destinasi, and trust me, I'm working on that.

Tapi masa makin suntuk. Aku tak pasti mana datang dulu; impian atau ajal.

Speaking of ajal, pada tahun 2017 juga ada beberapa silaturahim yang aku 'ajal'kan, putuskan demi kesejahteraan diri. Dengar jahat 'putuskan silaturahim', tapi hakikatnya kenapa perlu teruskan kalau benda itu memakan diri, kan? Ada beberapa insan yang dulu bergelar kawan, kini bertukar status kepada sekadar nyawa yang berada atas muka bumi. Mula-mula macam rasa f***, tapi lama-lama aku rasa itu keputusan yang baik. Kadang-kadang ada datang perasaan rindu, nak tahu apa perkembangan mereka, tapi bila fikir balik aku rasa aku BUKAN rindukan mereka yang sekarang, tapi aku rindukan mereka yang dahulu, mereka yang datang dengan niat ikhlas tanpa prejudis. Jadi, tak ada keperluan lagi untuk aku rindu. Funny how time changes people, right?

Right now aku 100% tiada perasaan jahat terhadap mereka, hanya harap mereka terus hidup dengan baik-baik. Cuma mereka dengan hidup mereka, aku dengan hidup aku. Lagipun aku ikut nasihat kau, cEro 2016, supaya sayangi orang yang sayang kita. It actually works!

Biar aku beritahu kau tentang tahun 2017.
Ada beberapa ketika, aku ada terfikir nak pisahkan nyawa dari badan. Ada masa aku pandang pisau dan tertanya-tanya apa perasaan lalukan matanya ke nadi aku. Ada masa aku pandang tayar lori ketika menunggang dan terbayang apa rasa bila badan aku berlipat, terselit di celah tayar besarnya itu. Ada masa aku pandang batang besi dan terfikir apa jadi bila batang itu lalu terus ke badanku tepat melalui jantung. Yang menyekat fikiran aku itu daripada bertukar kepada tindakan adalah jawapan. Aku mahu cari jawapan kehidupan dalam agama, dalam keluarga, dalam kawan-kawan, dalam ilmu, dalam hobi, dalam minat, dalam masyarakat. Dan aku boleh dapat jawapan hanya kalau aku terus hidup.

Oh, aku juga ikut nasihat kau supaya 'be good'.
Nak jadi asshole memang senang, tapi nak kekal jadi good sedikit mencabar.
Tapi percayalah, buat baik kepada orang lain bukan sahaja beri faedah kepada orang itu, tetapi juga kepada diri kita sendiri.
Tak percaya, cubalah.

Tapi satu perangai aku susah nak ubah ialah
aku tetap kuat merungut macam yang kau kata, cEro 2016.
Maaf. Tapi aku tetap akan cuba ubah perangai itu.

Jadi di sinilah aku.
Bercakap dengan diri sendiri melalui medium yang dinamakan blog.
Aku macam sedikit lega dapat luahkan perasaan di sini.
Sebab in real life, aku tak ada real people yang boleh aku luahkan macam ni.

Yeah, some people always bertanya khabar from time to time
tapi selalunya bila ditanya aku okay tak, jawapan aku sentiasa okay.
Aku tak berminat nak bebankan mereka dengan isu peribadi aku.

Sebelum meleret, baik aku tamatkan reply aku di sini.
Buat 'kapsul masa' sangat menarik, sebab aku sendiri tak sangka dalam masa hanya setahun, macam-macam perkara yang berlaku dan memberikan kesan kepada aku.



========================= ============


Jadi,
kalian yang baca entri ini ada apa-apa pesan untuk cEro?
Past cEro was good. Aku harap Future cEro boleh jadi better,
asalkan Present cEro tidak pernah putus asa.




.

Feb 7, 2018

10 Perkara yang Aku Tetap Perlu Lakukan Walaupun Aku Tidak Suka Lakukannya.



Salam.

Sebab minggu lepas aku up satu entri yang agak berat,
jadi minggu ini kita lebih santai sikit.

Kali ini aku mahu bercerita tentang 10 perkara yang aku tetap perlu buat walaupun aku tidak suka buat.


Baiklah. Sebelum mula,
setkan dalam kepala kalian bahawa perkara yang aku senaraikan di bawah adalah perkara harian biasa yang aku tidak suka buat TAPI tetap perlu buat. Jadi tak ada istilah macam 'kalau tak suka, tak payahlah buat' sebab sesetengah perkara di bawah memang aku (dan semua manusia lain) tak boleh nak elak.

Mari mulakan...


1. Beratur.

Aku tak suka beratur. Aku sedar aku tak suka beratur sejak dari zaman sekolah rendah hingus meleleh dulu lagi. Aku mengeluh panjang bila kena beratur dua-dua dari dewan perhimpunan berjalan menuju masuk ke kelas. Aku cukup tak suka beratur, aku ambil keputusan semasa di sekolah menengah untuk jadi ahli koperasi sekolah sebab ahli koperasi boleh keluar awal 5 minit sebelum rehat dan masuk 5 minit lambat selepas rehat. Masa 5 minit itulah aku makan di kantin dan yang lagi best, TAK PERLU BERATUR. Tapi bila sudah dewasa ini, nak beli makanan pun kena beratur. Nak tunggu lif pun kena beratur. Nak guna mesin ATM pun kena beratur. Kadang-kadang, nak buang air (besar) pun kena beratur juga. Sudah tak boleh mengelak dah.



2. Sikat rambut.

Sebab utama aku tak suka rambut pendek sebab aku tak suka sikat rambut. Mesti kalian pelik sebab secara logiknya rambut pendeklah senang sikat, kan? Pada aku, bila rambut pendek, aku kena sikat rambut beriya-iya, buat gaya sana sini sebab kalau tak sikat memang nampak serabutnya. Kalau aku rambut panjang, aku hanya perlu tarik sikat sekali dua sahaja sebab dengan bantuan graviti, rambut panjang senang ikut kata sikit. Memang tak boleh lari dari sikat rambut, tapi aku kalau rambut pendek aku kena sikat banyak, rambut panjang aku kena sikat sikit, jadi aku pilih rambut panjang.



3. Potong rambut.

Biar aku beritahu sesuatu, aku tak pernah puas hati bila rambut aku dipotong. Mesti tak kena dengan apa yang aku nak. Mesti menyesal selepas tu. Aku tak suka idea duduk diam membatu dua puluh minit semata-mata untuk dikecewakan selepasnya. Aku juga tak suka bila tengok sebahagian daripada aku (rambut) jatuh ke lantai dan dilayan seperti sampah sarap, disapu dengan penyapu. Jadi, untuk elak perasaan tak suka itu, aku selalunya berambut panjang. Tapi kadang-kadang memang tak boleh elak, kena juga potong rambut.



4. Potong kuku.

Ini antara perkara yang PALING aku tak suka buat. Mungkin sebab kena buat setiap minggu kot. Entah kenapa, kuku aku cepat sangat tumbuh balik. Kuku tangan hanya perlu seminggu untuk tumbuh panjang balik. Kuku kaki mungkin ambil masa dua,tiga minggu. Aku tak suka habiskan masa duduk berminit-minit untuk ketip kuku. Aku rasa tak produktif. Tapi aku tetap kena buat juga. Kadang-kadang, aku saja biar kuku panjang dua, tiga minggu. Tapi jatuh malu juga bila orang lain perasan kuku aku panjang. Kena potong juga. Aku harap, bakal isteri aku kelak tak kisah kalau aku suruh dia ketipkan kuku aku.



5. Ikat tali kasut.

Kasut kasual aku semua tak ada tali. Semua jenis sarung. Kasut bertali yang ada, macam kasut sukan atau kasut jogging, aku ikat siap-siap dan biar longgar supaya senang sarung. Kasut kegunaan formal, macam kasut kulit hitam, mesti aku mengeluh dua tiga hela dulu baru ikat. Entahlah. Bukannya aku tak tahu ikat kasut, aku sangat tahu. Tapi aku sangat tak suka nak kena ikat berkali-kali. Kadang-kadang ikat lawa-lawa pun bila jalan dua tiga langkah tertanggal balik ikatannya. Kena melutut balik ikat balik. Tak sukanya!



6. Tekan suis.

Aku rasa aku mula tak suka tekan suis (lampu, kipas dan lain-lain) bila masa kecil dulu aku pernah kena renjat elektrik masa tekan suis lampu bilik air. Mula-mula memang trauma, sanggup guna batang hanger untuk tekan suis. Tapi lama kelamaan timbul rasa tak suka. Kadang-kadang aku punya tak suka tekan suis, aku selalu duduk dalam bilik gelap. Kes nak cas handphone tapi lupa tekan suis tu, aku memang selalu sangat kena. Nanti kalau aku kaya sikit, aku nak equip rumah dengan suis guna 'voice command'. Aku kata 'BUKA LAMPU', lampu pun terbuka. Aku kata 'BUKA KIPAS', kipas pun berpusing. Kan best?



7. Isi minyak.

Mungkin sebab aku tak suka beratur, jadi sekaligus aku tak suka isi minyak. Nak tunggu dapat pam kena beratur. Nak bayar dekat kaunter kena beratur. Kalau aku kena isi minyak (tak kira motosikal atau kereta) aku mesti mengeluh panjang. Kenapalah kenderaan perlu isi minyak? Kenapa tak ada kenderaan yang tak gunakan bahan bakar fosil untuk bergerak. Eh? Jap. Basikal tak perlu isi minyak. Mungkin aku perlu bertukar guna basikal agaknya.



8. Berinteraksi terus dengan orang yang tidak dikenali.

Mungkin akulah yang orang ramai panggil sebagai anti-sosial. Aku tidak berminat untuk berinteraksi dengan orang yang aku tak kenal. Syukur (atau dari perspektif lain mungkin malang) kerja aku sekarang tak perlukan aku untuk bersosial dengan orang asing. Nak melayan orang yang aku kenal pun sudah pelbagai ragam, aku tak mahu untuk tambah lagi ragam tersebut. Tapi aku sedar, ini kelemahan aku yang besar. Aku susah nak mesra dengan orang baru, tapi ketahuilah, sekali kalian kenal, akulah orang yang setia pernah kalian tahu.



9. Pakai cermin mata.

Aku rasa tak semua tahu, tapi aku ada masalah mata. Aku kena pakai cermin mata, tapi kebanyakan masa aku tak pakai pun. Aku pakai hanya bila perlu. Doktor aku nasihatkan aku sentiasa pakai, tapi aku rasa (jadi doktor sendiri) yang selagi aku tak paksa mata aku, aku okay. Bila aku tak pakai cermin mata, memang pandangan aku kabur, tapi aku tak pernah paksa fokus. Sehingga sekarang, aku rasa aku selesa pandangan mata kabur. Bila pakai cermin mata kadang-kadang terlalu banyak input dan distraction, aku rasa aku tak boleh nak fokus.



10. Mandi.

Mandi ini aku letak akhir sekali sebab aku tahu bakal mengundang pandangan sinis. Ya, aku tak suka mandi, tapi tak bermakna aku tak mandi. Aku selalu pastikan aku akan mandi dua kali sehari paling kurang. Tapi aku rasa mandi adalah aktiviti yang tak produktif. Simbah badan dengan air dengan harapan kotoran badan tertanggal, aku rasa, adalah perkara yang tidak produktif. Aku tahu kebersihan itu dituntut dan perlu, tapi aku tak boleh nak tolak rasa tak suka pada mandi. Never looking forward bila masuk bab mandi. Tapi aku tetap buat juga, walaupun aku tak suka sebab...itulah kehidupan.



------------------------- ------------



Aku rasa,
orang yang baca blog aku ini lebih banyak tahu tentang diri aku daripada orang yang ada di sekeliling aku, termasuklah famili aku sendiri.
Aku tak rasa famili aku tahu yang aku tak suka ikat tali kasut.
Aku pun tak pernah nak bangkitkan isu ini dalam perbualan seharian.

Pada aku, tidak kira berapa lama orang luangkan masa untuk kita
dia tetap tak dapat nak kenal kita 100%.
Pasti ada sesuatu yang kita tidak tonjolkan semasa bersama mereka.
Bukan berahsia, cuma kadang-kadang perkara remeh (seperti tidak suka potong kuku) adalah sesuatu yang tidak perlu diucapkan.

Dengan kata lain,
jangan pernah label kita kenal seseorang 100% hanya kerana kita banyak luangkan masa dengan mereka.
Tapi cuba fahami dia perlahan-lahan.
Kenal mengenal ini satu proses yang berterusan, tak akan pernah tamat.

Macam baca blog ini,
kalian mungkin rasa sudah kenal aku lebih melalui entri ini,
tapi kalau kalian baca blog ini dari awal,
kalian mungkin kenal aku lebih dari orang lain,
mungkin lebih daripada aku kenal diri aku sendiri.

Jadi,
kalian ada perkara yang kalian tidak suka buat tapi tetap kena buat?
Kongsilah sama di ruang komen.
Kakak aku pernah kata dia tak suka lipat kain,
tapi rasanya tiap-tiap hari dia kena lipat kain.





.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Namaku cEro.... Kacak, tinggi, putih gebu, badan tegap, macho.. Kalau korang nampak orang yang memenuhi kriteria di atas, dia BUKAN AKU..
PENERBITAN: