Dear cErolian,

......

TERIMA KASIH!

Terima kasih kerana terus menyokong!

=======================

Dec 27, 2017

CKOM, Tujuan, dan Kisah Untuk Masa Depan.


Salam.

Dua minggu lepas aku ada umumkan untuk sertai CKOM di dalam entri ini.
CKOM adalah singkatan kepada Cabaran Komik Online Malaysia yang dianjurkan oleh Matkomik setiap tahun.
Satu platform untuk pelukis komik amatur (dan pro) di Malaysia mengetengahkan bakat yang ada.

Tapi silap aku,
aku buat keputusan pada 12 Disember
sedangkan tarikh tutupnya 15 Disember
walaupun pertandingan itu sudah diumumkan seawal 15 Oktober.
Namun,
tak pasti sama ada Matkomik sangat baik hati,
atau mungkin dia baca blog ini dan mahu beri aku peluang (wahaha),
Matkomik anjakkan tarikh tutupnya sebanyak DUA KALI.
Pertama, ke tarikh 20 Disember,
dan seterusnya ke tarikh 25 Disember.

Ikutkan logik, aku mesti sempat, kan?
Peluang hanya tiga hari menjadi 13 hari, memang nampak sangat cerah untuk aku siapkan, kan?


Nope!


NOPE.
Aku silap.
Aku tak sempat siapkan.

Pada waktu terakhir tarikh tutup pertandingan,
11:59 malam pada 25 Disember,
aku hanya mampu siapkan separuh sahaja.

Jadi, minta maaf. #TeamTakSempatSiap MENANG!



Alasan Tak Sempat Siap.


Alasan utama aku tidak sempat siap ialah
aku sudah lama tidak melukis, berbulan-bulan lamanya.
Jadi untuk aku ambil balik pen (atau stylus) dan melukis semula
BUKANNYA SENANG.

Aku masih tak dapat 'that sweet spot' di mana aku rasa teruja melukis.
Aku bahagikan 10 muka surat kepada bahagian lebih kecil supaya senang monitor progress.
Dalam draf, 10 muka surat itu perlukan aku lukis 66 panel.
(Panel adalah kotak kecil dalam muka surat komik)
So, kalau 13 hari untuk 66 panel, aku hanya perlu lukis 5-6 panel sehari.
Masa aku untuk lukis satu panel ialah 2 jam (yes, so slow I know)
jadi satu hari aku perlu habiskan paling kurang 10 jam melukis kalau mahu siap.

Sebelum mula, aku rasa 10 jam sehari adalah angka yang masuk akal.
Tapi aku SILAP (lagi).
Sehari hanya 24 jam, dan 10 jam daripadanya aku perlu habiskan untuk melukis.
Maknanya aku perlu korbankan beberapa masa untuk perkara lain.

Aku fikir aku boleh korbankan masa tidur.
Tapi walaupun aku hanya tidur 3 jam sehari,
10 jam sehari untuk melukis sangat sangat sangat mustahil.

Itulah sebab utama aku tak sempat siap.
I am so slow sebab baru nak melukis semula
dan aku buat keputusan sangat-sangat-sangat last minute.



CKOM Pada Aku.


Antara azam aku tahun ini (2017) adalah mahu sertai CKOM,
sebab sebagai orang yang melukis (dan meminati) komik,
CKOM adalah satu platform terbaik untuk aku cabar diri.

Tapi tengah tahun 2017 aku alami satu isu.
Isu kesihatan satu hal, tapi lebih kepada isu motivasi.
Kalau kalian baca blog ini, kalian tahu aku sudah hilang motivasi untuk melukis.
Aku sudah tak dapat rasa keseronokan ketika melukis
seperti seronoknya melukis pada satu ketika dahulu.

Ingat tak aku pernah tulis entri beritahu melukis adalah hanya satu hobi?
Dan hobi boleh bertukar-tukar.
Esok lusa kalau hobi aku bertukar kepada mengumpul setem, siapa tahu, kan?

Jadi pada satu ketika itu,
aku dapat rasa hobi melukis aku mungkin sudah sampai ke penghujungnya.
Tapi, agak sayang kalau aku tinggalkan sahaja hobi sejak dari kecil ini.
Jadi,
aku tanyakan pendapat mereka yang berada di Facebook aku melalui satu status.

Rata-rata yang memberi respon adalah positif
dan mahukan aku untuk terus melukis.
Apa yang mereka cadangkan ialah ubah tujuan melukis.
Dulu tujuan aku melukis hanya sekadar hobi dan untuk diri sendiri.
Jadi, mereka cadangkan kalau aku dapat cari tujuan lain, aku tak akan tinggalkan hobi aku itu dengan mudah.

Aku mahu berubah, tapi aku belum mulakan.
Jadi,
aku buat keputusan untuk gunakan CKOM sebagai titik permulaan perubahan.

Walaupun akhirnya tak sempat juga.



Seterusnya? Apa?


Kalau kalian tanya apa yang akan aku buat seterusnya,
jawapan aku, AKU TAK TAHU.

Untuk masa sekarang, aku akan habiskan dulu melukis komik 10 muka surat ini.
Buat separuh jalan lepas tu berhenti adalah perangai buruk aku,
jadi aku kena at least lawan diri aku sendiri sebelum nak lawan orang lain.

Selepas itu,
aku fikir aku nak cari satu alasan dan tujuan kukuh yang membolehkan aku untuk terus melukis.
Aku tidak lagi mahu melukis untuk diri sendiri.
Jadi aku akan melukis untuk orang lain.
Siapakah (atau apakah) orang itu, aku sendiri tak ada jawapan buat masa sekarang.

Mungkin kalian akan jadi penyebab kenapa aku terus melukis.
Siapa tahu, kan?



2017 Untuk cEro.


Disebabkan ini mungkin adalah entri terakhir tahun 2017,
kita rumuskan satu tahun punya perjalanan dan pengajaran dalam satu bahagian terakhir.

Tahun ini adalah tahun yang mencabar dalam hidup aku.
Dari segi kesihatan, kewangan dan sosial, semua sangat mencabar.

Tahun ini aku belajar bila ada orang kata "I'll always be there for you",
itu mungkin sekadar penyedap kata dan dia tidak betul-betul maksudkannya.
Tahun ini juga aku belajar orang yang rapat dengan kita tak semuanya ikhlas.
Bila dia dapat apa yang dia nak (atau tak dapat apa yang dia nak), dia akan pergi.
Tahun ini juga mengajar aku bahawa yang pergi biarkan pergi.
Hargai yang masih ada.
Tahun ini aku buka hati aku untuk seorang perempuan,
hanya untuk kemudiannya tahu bahawa aku tak akan ada peluang langsung.
Jadi aku tutup balik rapat-rapat apa yang terbuka.

Tahun ini juga bila aku cuba percayakan harapan selepas sekian lama menidakkannya
rupanya harapan itu palsu dan hanya manis di bibir.
Tahun ini juga aku belajar walau ramai manapun orang di sekeliling,
at the end of the day, you're always alone.
Tapi itu tidak bermakna orang-orang tadi tidak pedulikan kita,
walaupun kebanyakannya memang tidak pedulikan kita pun.
Tahun ini aku sedar, kita semua adalah watak utama dalam cerita sendiri.
Walaupun kita kata dunia tidak berputar di sekeliling seseorang,
tapi kita percaya dunia berputar di sekeliling kita seorang.

Tahun ini aku belajar,
having dual life actually consumed me as a person.
Ada satu bahagian kelabu di antara keduanya yang tidak pasti sama ada aku ini adalah aku ataupun itu adalah aku yang satu lagi.

Aku ada banyak persoalan yang perlukan jawapan.
Tapi aku rasa aku tidak perlukan jawapannya dalam keadaan segera.
Aku hanya perlu nikmati perjalanan mencari jawapan itu.



Apa tahun ini ajar kalian semua tentang erti kehidupan?
Kongsikanlah bersama aku :)

Sekian.
Jumpa tahun depan, kalau aku decide untuk tidak putus asa :)







.

Dec 20, 2017

Aku Nampak Apa Yang Aku Nampak.


Salam.

Kalau perlu diterangkan tentang diri sendiri,
aku rasa aku seorang yang lambat mesra.
Kalian perlu empat lima kali pertemuan barulah aku boleh jadi sedikit selesa dan mesra.
Jangan harap untuk pertemuan pertama sudah buatkan kita jadi serasi.

Kebiasaannya,
pada pertemuan pertama aku dengan seseorang,
aku akan jadi lebih diam dan berjaga-jaga.
Walaupun mulut diam, tapi otak aku ligat mentafsir benda lain.
"Adakah dia seorang kidal atau pengguna tangan kanan?"
"Cara duduk dia senget, mungkin ada sesuatu keras yang mengganggu di poket belakang."
"Inai di jari dia sudah semakin pudar, menandakan sudah berlalu beberapa minggu."
"Cara dia gelak sedikit menjengkelkan, tapi itulah kelebihan dia."

Ya.
Pada pertemuan awal (pertama, kedua, ketiga dan mungkin keempat)
aku masih tidak akan tunjukkan sifat aku sebenar.
Jangka masa itu aku ambil untuk analisa segala perkara tentang subjek.
Supaya kalau ada pertemuan seterusnya,
aku akan tahu mana patut dan mana tidak patut untuk aku lakukan.

Mungkin sebab inilah aku kurang kawan.
Sebab pada pertemuan awal, mereka akan anggap aku sombong.
Atau tidak berminat.
Jadi kebarangkalian untuk ada pertemuan yang seterusnya akan menjadi tipis dan menghampiri sifar.


Imej sekadar hiasan, tiada kena mengena dengan isi entri.


Alkisah,
hampir setahun yang lepas aku ada menghadiri satu pertemuan dengan seseorang.
Dia ini aku kenal melalui jaringan sosial.
Itu bukan kali pertama, tapi merupakan pertemuan kedua.
Dia seorang perempuan.

Dia agak menarik perhatian aku,
dan percayalah, bukan senang nak tarik perhatian aku.
Jadi aku agak tertunggu-tunggu akan pertemuan itu.

Pada hari kejadian, kami berkumpul.
Ya, pertemuan itu bukan hanya empat mata, tapi satu kumpulan.
Walaupun sebenarnya aku hanya ternanti-nanti untuk bertemu dengan dia seorang sahaja.

Kita beri nama dia sebagai R.
Sudah tentu itu bukan nama sebenar.

R datang pertemuan dengan berbaju biru bertudung biru gelap.
Dia duduk betul-betul berhadapan dengan aku,
dengan kawan-kawan lain duduk bersebelahan membentuk satu bulatan pada satu meja.

Jadi mulalah kami berbual.
Semasa yang lain sibuk berbual,
aku pun mulalah menjalankan analisis aku.
Tiap-tiap orang aku analisa satu persatu, sehinggalah sampai ke giliran R.

Di sinilah bermula isunya.

R bertudung bawal.
Jadi belahan tudung di bawah dagu bahagian leherlah sedikit terbuka.
Aku rasa dia pakai baju yang berleher luas,
jadi belahan tudung tadi menampakkan kulit dadanya.
(Biar aku tekankan di sini, kulit dada, bukan buah dada)

Masalahnya,
kedudukan aku yang betul-betul berdepan dengan R membuatkan hanya aku sahaja nampak bukaan itu.
Aku tak rasa kawan-kawan (perempuan) yang lain nampak
sebab kalau aku gerakkan kepala sedikit ke kiri atau ke kanan,
belahan itu sudah tidak dapat dilihat.

R pakai tudung biru gelap,
maka bukaan tudung yang menampakkan warna kulit dia adalah kontra.
Jadi dari tempat aku, jelas nampak warna kulit dada dia.
Kadang-kadang R bergerak lebih, dan bukaan itu semakin luas.
Kulit yang aku nampak juga semakin banyak.
Sampai satu tahap, mungkin tidak keterlaluan kalau aku kata nampak 'lekuk'.

I am not a pervert,
tapi rasanya letaklah ustaz serban berlilit sekalipun di tempat aku,
dapat lihat sesuatu yang 'rare' dan 'raw' sebegitu
rasanya tergugat juga keimanan.
Apatah lagi lelaki biasa macam aku ini.
Aku pun ada juga nafsu nafsi.

Ya, berlambak gambar artis dengan keseksian yang lebih merisaukan,
aku sepatutnya tak perbesarkan hal sebegini, kan?
Tapi masalahnya si R ini aku kenal.
Dia baik, bertudung. Bukan sengaja untuk memperlihatkan.

Pada aku, ini bukan rezeki. Tapi lebih kepada satu ujian.

Aku berharap yang si R ini sedar sendiri tudungnya terselak.
Biasanya kalau kulit terdedah dan kena angin, kita akan perasan.
Macam perasannya kita bila dapat tahu zip seluar tidak dinaikkan.
Tapi sampai sudah R masih tidak perasan dan tiada apa-apa tindakan.

Aku nak hantar text dekat dia, nak inform secara sembunyi,
tapi aku tak ada nombor dia.
Aku nak bagi hint pula takut dia naik malu sebab aku sudah nampak.
Aku nak cakap direct, lagilah tak boleh, nanti jatuhkan maruah pula.
Aku nak tulis nota kecil lepas tu kirim ke dia,
kawan-kawan sekeliling akan nampak dan jadi curious
dan akhirnya akan memaksa untuk tahu apa yang dikirimkan.
Tak menjadi juga.

Akhirnya aku buat keputusan untuk berdiam diri.
Aku biarkan, sampailah beberapa jam habis sesi pertemuan.
Setiap kali aku perlu bercakap, aku akan hala kepala ke arah selain dia.
Kalau aku perlu bercakap dengan dia, aku pandang meja, tak pandang dia.
Nak elakkan janggal, aku terpaksa mengelak untuk bercakap dengan dia.
Aku dapat rasakan yang dia sedar aku langsung tak layan dia.
Macam mana aku nak layan?
Kalau aku pandang muka dia, dada dia juga berada dalam medan penglihatan aku.


Dan disebabkan dalam pertemuan itu aku kurang layan dia,
jadi kami jadi makin renggang di alam atas talian.
Aku juga rasa bersalah sebab 'kenyang' tengok dada dia.
Jadi, seperti efek bebola salji yang makin bergolek makin bertambah,
lama-kelamaan kami menjadi makin jauh.
Dan sekarang, we are total strangers.


------------------------- ------------


Sekarang, (hampir) setahun sudah berlalu.
Aku masih mempersoalkan tentang tindakan aku ketika itu.
Adakah tindakan aku untuk berdiam diri adalah tepat?
Apakah patut aku beritahu dia pada masa itu juga?
Kalau patut, bagaimanakah cara terbaik untuk aku beritahu aib dia itu tanpa memberi kesan buruk sama ada ke atas aku atau ke atas diri dia sendiri?

Aku juga terfikir di alam sejajar yang lain,
di mana kalau aku beritahu dia pada ketika itu,
mungkin dia menganggap aku sebagai seorang yang mengambil berat terhadap dirinya
dan kemudian kami menjadi makin rapat
dan sekarang kami mungkin sedang merancang untuk majlis perkahwinan yang bakal berlangsung tahun hadapan.

Atau kalau aku beritahu dia pada ketika itu,
mungkin juga dia akan anggap aku sebagai seorang yang gatal dan miang
dan kemudian dia akan beritahu kawan-kawan perempuan dia yang lain bahawa aku miang
dan dia dengan kawan-kawan perempuan dia akan pulaukan aku
dan akhirnya kami akan menjadi stranger, sama seperti sekarang.


I don't know.
Aku masih tiada jawapan untuk persoalan tentang apa yang patut aku buat.
Dan aku tak suka bila aku tak ada jawapan.

Jadi, aku nak tanya pendapat kalian semua.

Kepada pembaca entri ini yang perempuan,
apa patut aku lakukan?
Apa pendapat korang bila ada lelaki tegur tudung korang terbuka nampak dada?
Adakah korang akan malu dan jauhkan diri?
Atau korang rasa 'wahh, baiknya dia ni tegur ya bakal imamku kahwinilah daku'?

Kepada pembaca lelaki pula,
apa yang korang akan buat kalau berada di tempat aku?
Nikmatinya selagi ada peluang?
Atau tarik pandangan ke tempat lain?
Bagaimana cara terbaik untuk kita tegur kejadian sebegini?


Semua pendapat aku dahului dengan ucapan terima kasih.

Sekian.


Update 22 Disember 2017:
Semasa update ini ditaip, aku belum baca komen entri ini.
Tapi aku ada dapat DM dari seseorang (terima kasih sebab tegur) mengatakan entri ini sedikit bersifat 'creepy', jadi aku edit dan buang beberapa bahagian yang aku rasakan tidak ada pun tidak apa, TANPA mengganggu penyampaian tujuan entri ini. Jujurnya, aku sengaja tekankan konsep 'creepy' di entri ini hanya untuk satu tujuan, supaya apa yang berlaku dalam entri ini dipandang berat, bukan sekadar 'alaa, tudung terselak je pun...'

Dan di sini ingin aku tekankan, sebab kenapa aku berani tulis entri sebegini ialah aku yakin si R itu tidak akan baca entri ini kerana dia berada dalam 'circle' kawan aku yang lain. Jadi, aku harap tiada spekulasi menuduh R itu sesiapa sebab, technically, R tak kenal pun aku ni cEro. Dan aku rasa aku tidak buka aib sesiapa sebab tiada nama dan bayangan pun diberi yang boleh menunjukkan siapa R yang aku maksudkan. Aku jumpa ramai orang baru dalam tahun lepas 2016, sama ada melalui kerja, hobi, ataupun kehidupan sosial dan keluarga. Maka, jika anda rasa dapat teka R itu siapa, aku berani kerat jari, ANDA SALAH





.

Dec 13, 2017

Sempat atau Tak Sempat, Cuba Teka!


Salam.

Entri pendek ini diterbitkan pada hari rabu, 13 Disember 2017.
Jika kalian baca entri ini pada hari berkenaan,
semalamnya, hari selasa 12 Disember 2017,
aku buat keputusan nekad untuk sertai CKOM 2017.

Yang paling 'best' sekali ialah:
tarikh tutup CKOM 2017 ialah pada 15 Disember 2017.


Imej sekadar hiasan, tiada kena mengena dengan isi entri.



CKOM 2017 adalah singkatan kepada Cabaran Komik Online Malaysia 2017,
satu pertandingan melukis komik 10 mukasurat yang dianjurkan MatKomik.
MatKomik adalah sebuah portal dan platform kepada para pelukis amatur (dan professional) untuk berkongsi bakat melukis masing-masing.

CKOM dianjurkan MatKomik setiap tahun sedari tahun 2014.
Sejak dari tahun lepas lagi aku sudah berhasrat untuk sertai CKOM bagi tahun 2017 ini.
Aku sudah senaraikan beberapa jalan cerita sendiri,
dengan harapan salah satu cerita aku kena dengan tema yang akan diumumkan.

Namun, pada 15 Oktober yang lepas,
MatKomik sudah umumkan tema CKOM bagi tahun ini iaitu:
SUKAN (kecuali bola sepak)

Semua idea jalan cerita aku tidak masuk tema.
Malah, pada beberapa bulan lepas, dek kerana kesihatan yang kurang mengizinkan, juga motivasi melukis yang hilang disebabkan aku merajuk dengan beberapa insan di dalam industri komik Malaysia, aku langsung tak fikirkan tentang CKOM 2017.

Sampailah pada beberapa hari lepas,
di mana atas nasihat beberapa orang sahabat dan kenalan,
aku buat keputusan untuk sertai CKOM 2017 ini sedaya mungkin.

Keputusan bulat itu dibuat pada 12 Disember,
sedangkan tarikh tutup CKOM 2017 adalah pada 15 Disember.
Aku hanya ada kurang 3 hari untuk siapkan 10 mukasurat komik bertemakan SUKAN.

TIGA HARI!

Jadi,
disinilah entri pendek ini akan tamat.

Satu soalan yang aku nak tanyakan kalian:
Siapa rasa aku akan sempat siapkan penyertaan sebelum tarikh tutup sila komen #TeamSempatSiap.
Siapa rasa aku mustahil boleh siapkannya sebelum tarikh tutup sila komen #TeamTakSempatSiap.

Minggu depan aku beritahu sama ada aku sempat siapkan atau tidak.

Secara peribadi,
aku rasa aku sendiri berada dalam #TeamTakSempatSiap

HAHAHAHAHAHAHAHAAHA


Update 14 Disember 2017:
Disebabkan aku lama tinggal industri komik tempatan,
maka aku terlepas berita yang tarikh tutup dilanjutkan 5 hari
menjadikan tarikh yang sepatutnya 15 Disember menjadi 20 Disember.
But still...aku masih dalam #TeamTakSempatSiap

Update 16 Disember 2017:
Matkomik sekali lagi panjangkan tarikh tutup
menjadikan tarikh pada sebelum 20 Disember kepada 25 Disember.
Nampak gaya macam aku tiada pilihan selain daripada terus berusaha.




.

Dec 6, 2017

10 Fakta Kita Mungkin Tidak Tahu dan Tidak Perlu Tahu.



Salam.

Belakangan, aku perasan entri blog ini banyak bersifat berat.
Jadi kali ini aku bawakan satu entri yang sangat ringan.
SANGAT RINGAN sampaikan kalian tidak perlu berfikir,
hanya perlu baca dan nikmatinya.

10 FAKTA YANG KITA MUNGKIN TIDAK TAHU DAN TIDAK PERLU TAHU.



1. Pingu berasal dari Switzerland.

Walaupun set kartun tersebut berlatarbelakangkan benua Antartika (sebab semua penguin berasal dari hemisfera selatan), tapi kartun stop-motion Pingu yang selalu kita tonton masa kecil dulu berasal dari Switzerland, dan kemudian berpindah ke Britain. Adik Pingu bernama Pinga, dan kawan Pingu si anjing laut itu bernama Robby. Pingu selalu keluarkan bunyi trademark-nya "Noot! Noot!" walaupun secara rasminya dieja "Nug! Nug!"




2. Nama penuh Barbie ialah Barbara Millicent Roberts.

Anak patung perempuan kegemaran ramai, Barbie mempunyai nama penuh Barbara Millicent Roberts. Buah hati Barbie yang bernama Ken itu pula bernama Ken Carson. Semasa mula dikeluarkan, Barbie ada dua varian, berambut blonde dan berambut hitam.




3. Tarikh lahir SpongeBob SquarePants ialah 14 Julai 1986.

Ini membuatkan SpongeBob berumur 31 tahun ini (2017) dan sama umur dengan Zul Ariffin dan Kamal Adli. Kalau diletakkan Zul Ariffin, Kamal Adli dan SpongeBob sekali, mana satu pilihan korang?




4. Hello Kitty BUKAN seekor kucing.

Pada tahun 2014, Hello Kitty diisytihar oleh syarikatnya Sanrio sebagai BUKAN seekor kucing, tapi adalah seorang budak perempuan. Nama penuhnya ialah Kitty White, lahir di selatan England pada 1 November 1974. Hello Kitty berdarah A.




5. Mickey Mouse ada kawan baik merupakan seekor anjing, dan mempunyai binatang peliharaan JUGA seekor anjing.

Mickey Mouse adalah sejenis tikus. Mickey ada kawan baik bernama Goofy, yang merupakan sejenis anjing. Dalam masa sama, Mickey ada bela seekor haiwan peliharaan bernama Pluto, yang JUGA merupakan seekor anjing. Goofy boleh bercakap, tapi Pluto tidak.




6. Tom dan Jerry ada nama lain semasa mula diperkenalkan.

Nama penuh Tom ialah Thomas Cat dan nama penuh Jerry ialah Jerry Mouse. Pada masa mula diperkenalkan, Tom dan Jerry dari siri 'Tom and Jerry' ini mempunyai nama lain. Tom bernama Jasper, dan Jerry bernama Jinx.




7. Dora adalah sepupu kepada Diego.

Dora dari siri 'Dora The Explorer' adalah sepupu kepada Diego dari siri 'Go, Diego, Go!'. Walaupun kedua-dua siri bertemakan pembelajaran kanak-kanak, tapi Dora lebih ke arah pengembaraan manakala Diego lebih ke arah alam sekitar dan haiwan. Filem aksi sebenar Dora bakal muncul 2019.




8. Popeye makan bayam dan jadi kuat.

Popeye makan bayam untuk jadi kuat. Itu fakta yang semua orang tahu. Tapi kenapa bayam? Ceritanya, pada satu masa dahulu, seorang ahli kimia tersilap dengan menyatakan sayur bayam mempunyai 35 miligram zat besi dalam setiap 100 gram hidangan, menjadikan mitos 'makan bayam boleh jadi kuat' bertebaran selama hampir 70 tahun (1870-1937). Sebenarnya ahli kimia itu tertinggal titik perpuluhan 35 miligram, sepatutnya hanya 3.5 miligram. Namun, kesilapan ini menyebabkan peratusan kanak-kanak suka makan sayur meningkat mendadak pada era kegemilangan kartun Popeye.




9. Winnie The Pooh tidak dipanggil Winnie.

Winnie the Pooh adalah seekor beruang yang suka makan madu. Walaupun bernama Winnie (nama perempuan), tapi Winnie the Pooh adalah seekor beruang jantan. Tapi dalam siri Winnie the Pooh, beruang watak utama ini selalu dipanggil Pooh Bear, atau sekadar Pooh, bukannya Winnie.




10. Pikachu sepatutnya lebih ke arah arnab berbanding tikus.

Dalam siri Pokemon, Pikachu diperkenalkan sebagai 'Mouse Pokemon' walaupun sebenarnya Pikachu dicipta berdasarkan rupa sejenis haiwan dipanggil Pika, sejenis mamalia berkaki pendek berbadan bulat yang secara taksonominya lebih rapat dengan arnab berbanding tikus. Pikachu yang gemuk semasa mula diperkenalkan dulu lebih menyerupai pika berbanding Pikachu 'slim' sekarang.




Itu dia, fakta ringan untuk entri kali ini.
Walaupun aku kata 10 fakta, tapi kalau kalian baca sampai habis,
kalian sudah dapat lebih kurang 41 fakta yang berbeza.

Dapat beza tak mana 41 fakta tersebut?

Terima kasih kerana membaca.

Pemberitahuan: Semua imej adalah hakmilik penciptanya.





.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Namaku cEro.... Kacak, tinggi, putih gebu, badan tegap, macho.. Kalau korang nampak orang yang memenuhi kriteria di atas, dia BUKAN AKU..
PENERBITAN: