Dear cErolian,

......

TERIMA KASIH!

Terima kasih kerana terus menyokong!

=======================

Mar 15, 2017

Kisah Kucing Biru dan Lelaki Berbaju Kuning.




Salam.

Suatu petang aku keluar mahu membeli makanan.
Nafsu diri sangat ingin makan donut inti kacang merah.
Nasib baik gerai menjualnya sampai hanya dengan berjalan kaki,
tak perlulah aku nak habiskan minyak kenderaan bergerak jauh.
Berjalan kaki, badan pun sihat.

Dalam perjalanan pulang, aku ikut lorong belakang deretan rumah teres.
Jalan pintas, namun kawasan ini agak bahaya.
Bukan sahaja banyak anjing liar berehat, tapi lalu belakang rumah orang mungkin akan membuatkan aku dituduh berniat mencuri, apatah lagi muka tak kacak macam aku memang senang kena tuduh.

Pantang disebut anjing,
tiba-tiba ternampak seekor anjing sedang menyalak ke arah sesuatu di hadapan aku.
Ada sesuatu sedang menyorok di bawah timbunan sampah.
Anjing tersebut menyalak ke arah timbunan sampah tersebut,
namun tak dapat nak capai sesuatu yang menyorok itu kerana lubang tempat persembunyiannya itu kecil, tidak muat saiz anjing yang besar.

Mungkin yang menyorok itu kucing ketakutan.

Dulu masa kecil aku berangan mahu jadi ahli bomba sebab mahu jadi hero.
Tapi bila besar, aku tahu jadi hero tak semestinya perlu menjadi ahli bomba.
Cukup sekadar menyelamatkan kucing jalanan yang dibuli anjing liar sudah layak menjadikan aku hero.

Maka aku pun sebagai hero, menghalau anjing tadi dengan melemparkan batu ke arahnya.
Nasib baik anjing itu lari.
Kalaulah dia terkam ke arah aku,
aku memang sudah sedia kekuda untuk langkah seribu,
pecut laju berlari menyelamatkan diri.

Aku pun menghampiri timbunan sampah tadi dan meninjau apa yang sedang menyorok.
Lalu keluar satu makhluk dari tempat persembunyian tersebut.
Seekor kucing, tapi...

"Terima kasih, bro!"
Kucing tadi berterima kasih kepada aku.
Walaupun, YA, aku terkejut kucing itu boleh bercakap,
tapi lebih mengejutkan aku adalah kucing itu berbulu biru dan berekor bulat merah.

Belum pernah seumur hidup aku melihat kucing berwarna biru.

"Saya tahu awak terkejut. Tapi biar saya terangkan situasi," kata kucing biru itu.
Kalau ikutkan hati, mahu sahaja aku lari meninggalkan kepelikan ini tapi perasaan ingin tahu lebih kuat mendominasi diri daripada perasaan takut.

"Saya kucing dari masa hadapan. Robot kucing untuk lebih tepat. Entah macam mana saya tersesat ke zaman ini dan terperangkap dalam ancaman anjing liar ganas tadi. Awak datang tepat pada masanya dan selamatkan saya. Untuk itu, saya ucapkan terima kasih."

Fakta bahawa dia adalah robot kucing sedikit menenangkan aku sebab warna dia biru. Kalau aku ada kucing robot pun aku akan warnakan dia warna kelabu metalik dengan jalur cahaya lampu biru gelap di sisi badannya. Baru nampak futuristik. Tapi kata kucing itu, dia dari masa hadapan. Kelakar apa yang dia buat ini? Mana ada wujud mesin merentas masa. Paling tidak aku belum pun dapat siapkan satu lagi. Mungkinkah aku akan berjaya cipta satu di kemudian hari?

"Disebabkan awak sudah selamatkan saya, saya akan hadiahkan awak SATU daripada TIGA alat masa hadapan yang ada dalam poket saya ini. Sebenarnya poket saya ada banyak alat canggih dari masa hadapan, cuma saya baru sahaja bersihkan poket ini. Jadi banyak barang yang sudah saya keluarkan dan lupa untuk dimasukkan semula."

Kucing biru itu tunjukkan poket kecil di depan perut dia.
Alat apa yang canggih sangat boleh disimpan dalam poket kecil macam itu?
Pencukur bulu ketiak nyamuk?
Pengepit kuku lipas?
Kain lap cermin mata labah-labah?

"Ini dia alat pertama...!!"
Kucing itu keluar sesuatu dari dalam poketnya tadi. Barang itu sangat besar, dapat keluar dari poket yang kecil itu memang melanggar segala hukum fizik yang pernah diajar di semua universiti dunia.




"...PINTU SUKA HATI!!"

Kucing itu keluarkan sedaun pintu dari poketnya.
Aku hampir pitam melihat kemustahilan itu.

"Pintu ini boleh bawa awak ke mana sahaja awak mahu tidak kira jarak. Hanya sentuh tombol pintu dan fikirkan, atau sebutkan, tempat yang hendak dituju dan buka daun pintu ini dan...TADAAAAA!"

Kucing itu membuka pintu, dan kelihatan satu tempat lain di sebalik pintu tersebut. Kalau tidak silap, itu menara Eiffel di Paris, Perancis. Wow! Aku kagum tak terkata. Lagi mengkagumkan aku ialah tangan bulat kucing tersebut mampu memegang tombol pintu. Ketidaklogikan apakah ini?

"Dengan pintu ini, tidak perlu lagi naik kenderaan berjam-jam lamanya hanya untuk pergi ke satu tempat. Awak boleh pergi ke mana-mana sahaja, bila-bila masa dan tanpa kenderaan!"
Semangat kucing biru itu menerangkan. Macam juru jualan langsung pula aku tengok.

Aku angkat tangan mahu bertanya soalan.

"Wahai kucing. Saya ada soalan. Pintu besar itu keluar dari poket kecil awak. Adakah kebolehan itu datang dari poket awak? Maksudnya kalau saya ambil pintu suka-suki..."

"..suka hati. Pintu Suka Hati!" kucing itu betulkan aku.

"Ya, suka hati. Kalau saya pilih pintu suka-suki ini, jadi saya kena usung pintu besar bagak ini ke sana ke marilah, kan?"

Kucing itu memegang dagunya dan mengerutkan dahinya.
Tangan bulat pegang dagu. COMELNYAAAAA!

"Betul. Tiada pilihan selain daripada mengusung pintu ini ke sana-sini. Nasib saya baik sebab ada poket dimensi."




"Oh, kalau awak tak mahu yang ini, saya tunjukkan alat kedua."
Kucing itu mengeluarkan sesuatu yang lain dari poketnya. Sehelai kain.

"Kain tudung bawal?" tanya aku.

"Bukanlah! Ini KAIN CAHAYA MASA!!"
Aku tidak faham kenapa setiap kali dia nak sebut nama alat dia,
dia akan sebut dengan nada tinggi yang riang dan gembira.

"Kain ini mampu ubah segala barang yang dibungkusnya sama ada ke masa lampau atau ke masa depan. Biar saya buat demonstrasi."

Kucing itu mengambil keluar sehelai baju lusuh, kotor dan busuk dari timbunan sampah tempat dia berdiri dan membungkus baju lusuh itu dengan alat canggih kain bercorak jam analog itu tadi. Selepas beberapa saat, dia buka kembali bungkusan itu dan mengeluarkan baju tadi. Baju itu sudah tidak lusuh, malah nampak sangat baru dan bersih. Siap ada tag harga lagi.

"Lihat. Baju yang buruk boleh kembali menjadi baru. Kain Cahaya Masa ini membuatkan baju buruk tadi ke masa baju itu masih baru dahulu. Tapi kena hati-hati. Lagi lama dibiar berbungkus, lagi jauh dia akan bergerak merentas masa. Kalau saya tinggalkan lebih lama, mungkin baju ini akan menjadi selembar kain, atau mungkin hanya akan jadi segumpal kapas, bergantung kepada bahannnya. Kalau terbalikkan kain ini, barang yang dibungkus akan bergerak ke masa hadapan dan menjadi buruk dan kotor kembali."

Aku angkat tangan sekali lagi untuk bertanya soalan.

"Maksudnya kain tudung bawal corak jam itu memanipulasi masa barang yang dia bungkus, kan? Time manipulation. Tapi adakah barang yang dibungkus akan mengekalkan memori yang ada?"

"Memori? Apa maksud awak?" tanya kucing itu.

"Memori. Maksudnya kalau contoh saya bungkus telefon bimbit saya yang sudah lama dan uzur bertukar menjadi baru, adakah memori macam segala nombor telefon dan gambar yang disimpan di dalamnya juga akan turut hilang?"

"Hmmm..." kucing itu mengerutkan dahinya berfikir.

"Kalau kononnya saya yang berumur 50 tahun ingin kembali menjadi muda seperti 25 tahun. Saya bungkus badan saya dengan kain ini. Adakah nanti memori saya dari umur 26-50 tahun akan hilang?"
Aku cuba terangkan dengan lebih lanjut supaya kucing itu faham.

"Hmmm...Saya tak pernah cuba bungkus manusia, tapi rasanya kalau kain ini merentas masa, maknanya segala memori yang sudah tercipta akan lenyap kalau diundurkan ke masa lampau."

"Huh!!" Aku mendengus kekecewaan.




"Baiklah, kalau awak tak suka ini. Ada satu lagi."
Kucing itu menyeluk poket dimensinya mengeluarkan sesuatu.

"LAMPU PENGECIL 2.0!"
Siap ada versi 2.0 lagi. Canggih sungguh alat itu walaupun nampak macam sekadar lampu suluh biasa sahaja.

"Dulu masa versi 1.0, lampu ini ada dua jenis; Lampu Pengecil dan Lampu Pembesar. Sekarang dalam versi 2.0, kedua-dua lampu ini digabungkan menjadi satu," terang si kucing itu.

"Bila ditekan suis pengecil dan halakan cahaya lampu ini ke arah objek, objek itu akan mengecil."
Kucing itu menghalakan cahaya lampu itu ke arah baju tadi. Baju itu menjadi kecil, sama saiz dengan baju untuk patung mainan.

"Dan bila ditekan suis pembesar, cahaya itu akan membesarkan objek yang dipancarkannya."
Baju yang tadi kecil menjadi besar, sama besar macam baju saiz XXXXXXXXXXXL yang selalu ditayang di kedai pakaian bersaiz besar.

"Awak boleh aplikasikan lampu ini untuk semua objek. Contohnya kalau rasa tak ada tempat letak kereta, bolehlah dikecilkan kereta tersebut dan disimpan di dalam poket. Kalau nak pakai, gunakan pula lampu pembesar."

"Wow, menarik! Tapi tidakkah nanti kereta itu akan cepat rosak? Maksudnya kalau disimpan di dalam poket, dan tanpa sengaja poket itu bergoncang-goncang sana sini, bukankan boleh rosak kereta tadi dibuatnya?"

Kucing itu mengerutkan dahinya lagi. Rasanya dia rasa semakin menyampah sebab ada sahaja kata-katanya yang aku bangkang dan hujahkan.

"Ya. Rasanya kalau barang seperti kereta, mungkin agak tidak sesuai disimpan dalam poket. Tapi kalau ada makanan kegemaran yang sayang nak makan sebab kuantiti sikit, gunakan lampu pembesar akan buatkan makanan itu jadi besar dan boleh dimakan banyak. Seronok, kan?"

Aku angguk faham.

"Baiklah. Saya ada TIGA alat ini sahaja. Awak pilihlah mana satu yang awak mahu. Saya akan hadiahkan sebagai tanda terima kasih kerana selamatkan saya tadi," ujar kucing itu lagi.




JADI,
KALAU KALIAN ADALAH AKU,
MANA SATU YANG KALIAN PILIH?

1. PINTU SUKA HATI,
2. KAIN CAHAYA MASA, atau
3. LAMPU PENGECIL 2.0?

Tinggalkan pilihan kalian di ruangan komen.












"Baiklah, saya pilih yang ini," sambil aku mengambil alat pilihan aku.
"Sebagai tanda terima kasih saya pula, saya belanja awak makan donut inti kacang merah yang sedap ini." Aku hulurkan donut yang baru aku beli tadi.

"Tapi saya ada satu lagi soalan."

"Apa dia?" balas kucing itu.

"Begini. Kalau awak adalah kucing robot yang datang dari masa hadapan dan ada tiga alat canggih dalam poket dimensi awak, kenapa awak tak gunakan alat awak itu semasa diperangkap anjing tadi? Boleh sahaja awak keluarkan Pintu Suka-Suki awak itu dan lari ke tempat lain, atau gunakan Kain Tudung Bawal tadi untuk jadikan anjing yang besar dan ganas itu kembali menjadi anak anjing yang lemah, ataupun guna Lampu Suluh Ajaib untuk kecilkan saiz anjing itu supaya tidak mampu melawan saiz awak?"

Kucing itu buat muka tidak puas hati dengan aku.

"Walaupun awak pakai cermin mata dan berbaju kuning, tapi awak tak sama macam lelaki bercermin mata dan berbaju kuning yang pernah saya kenal. Awak lebih menjengkelkan."

Kucing itu pun berjalan laju, hilang lesap dari pandangan mata.



Sekian. Terima kasih kerana membaca sampai habis walaupun panjang lebar.





.




6 comments:

  1. Kyaaa comelnya entri kali ni!

    Pilih pintu suka suki. Sebab letak jelah kat bilik, takyah usung selalu. Khas utk pergi tempat jauh je lepastu tggl kt bilik hotel hahahah

    Tudung bawal.. :))))) C makin funneh <3

    ReplyDelete
  2. Hahaha kelakar lah! If it's me, aku akan pilih lampu pengecil 2.0 Lagi best haha! Boleh makan aiskrim besar!

    ReplyDelete
  3. I would pick lampu pengecil 2.0, sebab masa2 bahaya macam kucing tadi boleh pakai lampu tu kecilkan anjing atau pencuri. :D lagi satu, stor ruma dah penuh. boleh kecilkan semua barang. and can you imagine how many icecream boleh letak dalam peti ais kalau boleh kecilkan saiz? so yes to that!

    ReplyDelete
  4. HAHAHHA boleh tahan imaginasi kau, sampai aku rasa macam baca cerita betul. kalau aku jadi kucing biru tu pun aku rasa nak ketuk kau dengan pintu tu, banyak sangat tanya nya punggg! haha.

    kalau aku pilih kain tudung bawal tu. kot terdesak boleh buat tudung. kalau memori hilang hmmm takpe kot, create memori baru kahkahkah aku memang bukan sentimental orangnya.

    ReplyDelete
  5. Lampu pengecil 2.0, boleh go traveling sambil berlenggang, sbb bagasi semua boleh muat dlm 1 sling bag je. Pergi berlenggang, balik pun berlenggang. Fantastico! ;3

    ReplyDelete
  6. kalau aku nak tudung bawal tu la... rasenye boleh set setakat mane nak rewind atau forward kot... so kalau phone rosak just set je masa sebelum rosak... memori pun tak hilang... lagi pun boleh buat duit kot repair semua barang... hahaha... kalau aku kaya (nyanyi)...

    ReplyDelete

"It's not what you've got, it's what you do with it." - cEro, 2026

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Namaku cEro.... Kacak, tinggi, putih gebu, badan tegap, macho.. Kalau korang nampak orang yang memenuhi kriteria di atas, dia BUKAN AKU..
PENERBITAN: