Dear cErolian,

......

TERIMA KASIH!

Terima kasih kerana terus menyokong!

=======================

Jun 21, 2017

Jawab Tapi Tidak Menjawab.



Salam.

Entri ini dijadualkan untuk diterbitkan pada 21 Jun 2017 jam 9 pagi.
Tarikh itu adalah rabu terakhir bulan Ramadan 1438h
jadi itu adalah tarikh terakhir untuk aku post komik puasa
sebab rabu minggu depan sudah Syawal :)


Ini adalah komik yang aku share di IG @ceromono
Maaf kalau ada yang sudah baca di sana dan rasa macam berulang.
Dijemput follow aku di @ceromono dan juga @cerolian.
Kalau rasa nak aku follow back, just DM je bagitau kalian pembaca blog aku.
Aku cuma follow orang yang aku nak follow, tapi kalau pembaca blog, aku akan follow tanpa bertanya panjang :)

Begitulah betapa aku sayangnya blog ini dan kalian semua :)





Untuk komik bertajuk BATAL! di atas,
sahaja aku tinggalkan caption di Instagram bertanyakan soalan.
"Adakah korek hidung batal puasa?"
Aku tahu jawapannya, tapi aku nak lihat apa jawapan orang lain.
Soalan ini, aku nampak, akan keluar tiap-tiap tahun bila bulan puasa.
Tapi tidak semua sepakat tentang jawapannya.

Pernah aku bertanya satu kenalan ini, seorang ustaz, soalan yang sama,
jawapan dia,
"Kenapa diberatkan perkara remeh seperti korek hidung sedangkan banyak lagi perkara lain perlu diberatkan?"

Walaupun kedengaran sangat tepat dan professional,
tapi jawapan sebeginilah yang paling aku tidak suka.
Pertama,
dia TIDAK menjawab soalan.
Seolah-olah soalan matematik tanya 1+1 sama dengan berapa
tapi kita jawapan 'kenapa tanya soalan mudah, tanyalah soalan fungsi kuadaratik dalam graf bentuk parabola'

Aku tidak pasti sama ada 'skil' ini diajar di mana-mana,
tapi kebanyakan ustaz dan penceramah motivasi dan orang-orang yang bekerja dengan bercakap ni ada kemahiran begini, kemahiran yang aku panggil 'jawab tapi tidak menjawab'.

Pada aku,
perkara seremeh korek hidunglah perlu dikukuhkan fahaman supaya perkara yang lebih besar boleh difahami mudah.
Kalau 1+1 pun tak boleh jawab, rasanya boleh ke nak jawab soalan fungsi kuadratik dalam graf parabola?

Jawapan yang aku ada untuk soalan 'korek hidung batal ke tidak' ialah
kalau memasukkan sesuatu ke dalam hidung menyebabkan kita kenyang, maka BATAL.
Kalau masuk jari korek tahi hidung dan kemudian jari keluar dan tak kenyang, maka TIDAK BATAL.
Kalau masuk paip plastik kecil dan salurkan air susu melalui hidung, maka BATAL.
Jawapan ini apa yang aku dapat dari ustaz yang betul-betul nak menjawab.

Jawapan di Instagram yang aku dapat banyak bercerita tentang rongga dan anatomi.
Kecuali ada ditegaskan secara definisi dan disepakatkan semua orang bahawa takat mana adalah 'rongga' dan takat mana yang bukan rongga, maka pada aku tak apa kalau nak bercerita tentang rongga.
Kalau si fulan ni kata rongga itu takat tulang soket hidung tengkorak,
ada si fulan ni kata kemasukan satu inci ke dalam,
ada si fulan ni pula kata sampai rasa isi dalam hidung,
itu semua tidak menjawab soalan.

Satu lagi jenis jawapan yang aku minat ialah
jawab dengan jenaka.
"Korek hidung batal kalau sambil korek sambil makan kuaci."
Jujur, bagitahu aku,
rasanya jawapan di atas menjawab ke tidak?

Sesetengah orang sangat minat dengan ustaz jenis seperti ini
tapi pada aku (secara peribadi, bukan wakil kepada mana-mana kumpulan) jawapan seperti itu akan buatkan orang lagi tertanya-tanya.
Bagus kalau lepas berjenaka, ustaz tadi terus ke jawapan sebenar
tapi kebanyakan ustaz dan penceramah lagi suka skip ke persoalan seterusnya tanpa menerangkan secara terperinci tentang 'jenaka' dia tadi.

Sekali lagi aku ulang, ini pendapat peribadi.
Kalian berhak untuk tidak setuju dengan aku.

Aku tidaklah tinggi ilmu agama.
Tapi sebab tidak tinggilah, aku amat mahukan jawapan yang jitu daripada mereka-mereka yang tinggi ilmu.
Memperlekehkan soalan orang lain,
atau menjawab soalan dengan jenaka tak bertempat,
atau tidak menjawab langsung kerana berasakan itu soalan 'remeh'
sangatlah tidak membantu orang yang rendah ilmu agama seperti aku untuk belajar.

Bayangkan daripada kecil aku dimomokkan dengan fakta 'korek hidung batal puasa' tapi tetiba bila dah tua bangka ni baru dengar yang korek hidung tidak batal, agaknya macam mana penerimaan aku?

Contohnya,
kita dari kecil tahu pelangi ada 7 warna.
Siap ada mnemonik lagi nak ingat susunan warna,
'Mat Jenin ke hulu beli ikan udang'
bila kelas pendidikan seni, cikgu siap marah lagi kenapa pelangi tak cukup 7 warna,
tapi bila besar purba ni
kita dapat tahu pelangi BUKAN 7 warna
bolehkan kita terima fakta itu bulat-bulat?

YA.
PELANGI BUKAN 7 WARNA.
Siapa nak argue dengan aku silakan. Hehe.

=========================


Next post sudah masuk Syawal,
jadi dengan ini aku nak ambil kesempatan untuk memohon maaf kepada kalian semua yang masih sudi baca blog ini.
Maaf kalau ada yang hantar kad raya tahun lepas aku tak balas.
Aku sangat nak balas tapi aku sibuk ya amat tahun ni.
Nanti aku bagi kad lain, boleh?
Kad kahwin maybe? #eh

Maafkan segala salah silap aku selama kita kenal di sini.
Aku tidak mahu kosong-kosong.
Aku nak kita berkomunikasi dua hala, korang maafkan aku, aku maafkan korang.
Aku juga mahu minta maaf kepada sesiapa yang sudah aku lukakan hatinya.
Ada yang dari kawan sudah anggap aku stranger sekarang, juga aku minta maaf.
Kalian datang blog aku tapi aku tak balas kunjungan, juga aku minta maaf.

Kalau kalian ada terasa buat salah dekat aku, bagitahu aku.
Contact aku dalam pelbagai media yang aku ada. Kita berkomunikasi.
InsyaAllah, kalau segalanya baik, segalanya akan kembali jernih.

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI.
MAAF ZAHIR BATIN SALAH SILAP KHILAF PERBUATAN.




.




Jun 14, 2017

Harga Kuih Mahal!



Salam.

Entri ini dijadualkan untuk terbit pada 14 Jun 2017 tepat jam 9 pagi.
Jika kalian baca entri ini pada waktu ia diterbitkan, maka kemungkinan besar
aku sedang berada di tempat yang kebanyakan orang tidak suka,
bakal melalui satu pengalaman yang aku tak suka,
supaya aku dapat balik sesuatu yang satu masa dulu merupakan sebahagian daripada perkara yang aku suka.

Doakan aku selamat.


I was not prepared for the post of this week,
jadi aku kongsi komik yang aku lukis untuk akaun IG @ceromono
Kepada yang tak follow lagi, jemput follow.
Kalau rasa nak aku follow back, just DM
insyaAllah kalau korang pembaca blog aku, aku akan follow.



Color pallete ini aku pakai sebab warna ni print-friendly.
Maksud aku,
kalau akan datang aku decide nak print komik ini (mungkin untuk zine)
hasil printnya tidaklah secomot kalau aku guna komik banyak warna.

Kalian suka tak color-pallete ni?
Tiga warna je, dark purple, light purple dan putih.

Jadi,
macam mana puasa kalian?
Aku susah sikit laa nak bertarawih, sebab ada hal mengganggu.
Harap Ramadan kalian berlangsung dengan harmoninya sampai ke hari ini.

Okay, bye.
Wish me well.




.




Jun 7, 2017

Nama, Puji, dan 'Apa Yang Sudah Aku Buat Selama Ini?'



Salam.

Tiada komik juga kali ini.
Kalau ada yang berminat nak baca komik aku,
bolehlah ke Instagram @ceromono.
Di sana aku update komik secara berjadual.
Followlah sekali kalau berminat :)


Yang kenal aku tahu aku bukan muda lagi.
Jadi, bila aku dapat belajar perkara baru, aku sangat teruja.
Kenapa teruja?
Sebab aku baca kalau kita belajar benda baru,
kita dikira masih muda (fisiologi dan psikologi) sebab tanda-tanda seorang itu tua ialah dia tidak berminat nak belajar perkara baru.

Kalian ada contoh seorang tua seperti itu di dalam hidup kalian sendiri, kan?

Baru-baru ini aku ada belajar satu perkara baru:
Dalam masyarakat kita, kalau seseorang itu puji nama seseorang yang lain (selalunya berlainan jantina) itu tanda dia sedang cuba nak mengayat seorang lagi itu.

Ya. Aku tahu ramai yang tak setuju.
Ini bukan satu ajaran dari dalam buku atau mana-mana kitab.
Ini adalah 'unspoken law' yang akan terdetik sendiri dalam diri kita.
Masalahnya, hal ini hanya berlaku di kalangan masyarakat kita orang Malaysia.

Kalian mungkin tidak tahu nama aku,
tapi cukuplah aku sebut yang nama aku bukan nama biasa.
Jadi memang dari kecil lagi aku sangat suka dengar nama orang lain.
Dan kemudian aku akan banding nama seseorang itu dengan pemiliknya.
Jika aku rasa nama itu padan, aku akan puji.
Jika tidak, atau biasa-biasa, aku pun buat biasa je, tak laa sampai mengutuk.

Sebab dari kecil lagi aku sudah hardwired untuk memuji nama orang lain,
jadi perangai itu sudah sebati dengan aku.

Bila pergi kedai serbaneka yang memerlukan pekerjanya pakai tag nama,
aku suka baca nama mereka.
Kalau rasa terlebih mesra, aku akan berterima kasih dengan nama mereka.
"Terima kasih, Abu."
"Jumpa lagi, Siti."

Tapi kalau aku teruja lepas baca nama di tag nama mereka,
ayat yang akan keluar lain sikit.
"Terima kasih, Suraya. Oh, sedap nama tu!"
"Jumpa lagi. Shah, you should proud of your name!"

Mungkin sesetengah daripada kalian pernah dipuji namanya oleh aku.

Disebabkan aku sangat sangat tak ingat muka,
jadi pada aku nama adalah sangat penting supaya identiti kalian lekat di kepala aku.
Sebab itu sesetengah orang yang aku kenal via online,
aku akan assign nama lain, mostly codename huruf atau satu suku kata.
Aku even bagi diri sendiri codename 'C' bila bercakap tentang diri sendiri walaupun dalam nama aku tiada langsung huruf C.
I cannot give more examples, you just have to know yourself.

Berbalik kepada cerita puji nama tadi.

Satu hari aku berurusan dengan seseorang bernama Sarah.
Sarah is a very good name (for me).
Aku sangat suka nama Sarah, sampaikan kalau aku tidak kahwin dengan seorang Sarah,
aku mungkin akan berikan Sarah sebagai nama anak perempuan aku.

Setelah habis berurusan, sebagai penutup,
aku pun puji nama si Sarah tadi.

"Saya suka nama Sarah. Nama Sarah memang sesuai dengan puan."

Sarah tadi terdiam.
Mulut dia terbuka tutup macam nak bercakap sesuatu tapi tak keluar.
Aku pun tanya kenapa, dia jawab,
"Awak tahu saya sudah kahwin, kan?"

Aku pula terkedu.
Alamak. Aku sudah disalah anggap mengorat isteri orang.

Mungkin si Sarah ni nampak aku menggelabah walaupun beriya aku cover,
jadi dia pun sambung cakap,
"Awak memang selalu suka puji nama orang ke?"

Aku angguk. Aku terangkan segalanya.
Aku juga terangkan tiada niat lain selain hanya memuji nama dia.
Dia faham, tapi dia nasihatkan aku. Kata dia,
"Orang boleh salah faham kalau awak selalu puji orang.
Terutamanya kalau awak lelaki puji perempuan.
Walaupun sekadar memuji perkara kecil seperti nama, perempuan ni sensitif dan senang berfikiran melencong."

(Ayat di atas ayat dia selaku perempuan, bukan ayat aku ya, harap para perempuan yang baca tak kecam aku.)

Urusan kami pun berakhir di situ,
berakhir dengan aku disekolahkan Sarah sebab puji nama sesuka hati.

Tapi aku tidak puas hati macam itu sahaja.
Inginkan kepastian, aku tanya beberapa orang kawan aku yang lain,
lebih tepat lagi 4 lelaki dan 4 perempuan.

Hasilnya, dua orang lelaki kata puji nama itu perkara biasa,
tapi dua lagi kata kalau salah puji nanti orang anggap lain.
Dan mengejutkan, kesemua 4 perempuan yang aku tanya bersetuju dengan Puan Sarah tadi.

Selepas itu aku terduduk terfikir apa yang sudah aku buat selama ini.
Agaknya berapa ramai dah anggap aku mengorat mereka bila aku puji nama mereka.
Cashier kedai 7-11 yang selalu aku singgah tu.
Receptionist dekat pejabat yang selalu aku singgah tu.
Anak perempuan makcik jual apam balik selekoh simpang empat tu.
That one (or two, maybe three, four) person(s) yang aku puji namanya dalam chat.
Adakah mereka semua salah anggap pujian aku?

Kalian kena tahu.
Bila aku memuji, aku betul-betul memuji, tak ada niat lain.
Orang dengan muka macam aku ni tak layak mengorat,
sebab tahu hasilnya akan kena reject 100%.



Jadi, apa pendapat kalian?
Adakah memuji nama seseorang boleh dianggap sebagai flirting?
Dalam konteks macam mana baru seseorang itu akan salah faham dengan pujian aku?
Sekarang, macam mana aku nak buang perangai suka puji nama orang yang sudah sebati lama dalam diri aku sejak kecil ni?





.




May 31, 2017

Gagal Ujian di Pertama Ramadan.



Salam.

Tiada komik minggu ini. Penat puasa.
Wahahahahaha (alasan paling busuk yang aku ada)


Untuk lebih lanjut tahu kesan cerita ini terhadap aku,
biar aku bawa kalian mengimbau kenangan aku beberapa tahun lalu.

Beberapa tahun lalu,
semasa aku dalam perjalan balik dari kerja,
duduk atas motosikal bertongkat kaki sedang menunggu lampu isyarat simpang empat,
satu peristiwa yang bakal terpahat kuat di kepala aku berlaku di depan mata.

Seekor nak kucing, sangat muda lagi, aku syak belum putus susu,
melintas serong simpang empat yang sibuk itu.
Lampu isyarat jalan sebelah kiri bertukar hijau,
dan kereta mula bergerak deras.
Anak kucing tadi berada di tengah simpang, dan...

Satu.
Dua.
Tiga.
Tiga kereta melintasi kucing itu, tapi dia masih selamat.
Namun nasib kucing itu tidak sebaik itu untuk kereta keempat.
Separuh badan kucing itu digilis tayar kereta.
Bunyi 'kraaak' jelas kedengaran.

Namun kucing itu tidak terus mati.
Dengan kudarat yang tinggal separuh, dia masih mengesot.
Mengesot hendak ke seberang.
Namun, kereta kelima dan keenam mengulangi tindakan kereta keempat tadi.

Kraak!
Kraak!

Bila jalan itu berlampu merah, dan jalan di hadapan pula berlampu hijau,
seorang penunggang motosikal berhenti di tengah jalan
dan mengutip apa yang masih ada dan dibawanya ke kawasan bertanah di sudut simpang.

Segala kejadian itu berlaku pantas,
tiada siapa mampu halang dan banteras.

Dan semua itu, audio dan visual, semuanya berlaku depan aku.

Bunyi 'krak' masih kedengaran di telinga aku tiap kali aku mengimbau kenangan itu.


-------------------------------------------------------


Melompat ke hari Sabtu lepas, selaku hari pertama Ramadan,
aku bergerak ke rumah famili untuk berbuka puasa bersama.

Semasa memasuki satu jalanraya ni,
aku ternampak anak kucing melintas jalan.
Berwarna putih dengan belang kelabu.
Memori hitam terbangkit kembali.

Aku berhentikan motosikal dan bergegas mengambil si kecil itu.
Dia mengiau di atas tangan aku.
Mesra walaupun tidak pernah kenal siapa aku.
Aku bawa dia ke tepi jalan.
Syukur jalan tidak sesibuk mana, satu dua sahaja kereta yang ada dan memperlahankan pemanduan.

Aku selamatkan nyawa seekor anak kucing.
Kalau aku tidak segera ambil dia di tengah jalan,
mungkin sekarang dia sudah menjadi mangsa tayar kereta jalanan.

Tapi ia tidak tamat di situ.

Kepala aku ligat menaakul.
Anak kucing sekecil ini sepatutnya bersama ibu kucing.
Mana ibu dia?
Aku jenguk sekitar kawasan, tiada tanda kucing mahupun bangkai kucing.
Langsung tiada tanda ada sarang kucing di sini.
Jadi dari mana kucing ini datang?

Kawasan kedai terdekat adalah 1 km di belakang.
Adakah kucing ini berjalan sejauh itu ke arah yang tiada halatuju?
Walaupun kawasan kedai di belakang, tapi untuk aku patah balik ke sana memerlukan aku untuk pusing satu pusingan besar, jadi aku batalkan niat untuk bawa anak kucing itu ke sana.

Jalan ke depan hanya menuju ke kawasan kilang.
Kawasan kilang penuh dengan anjing, jadi letakkan kucing itu ke sana seolah-olah menjadikan dia lauk dan mainan kepada si kaki salak di sana.

Masa semakin suntuk, langit semakin gelap.
Aku tak boleh buang masa.
aku juga masih tidak boleh buat keputusan.

Terfikir juga mahu dibawa sahaja kucing ini ke rumah dan dibela,
namun di rumah keluarga aku sudah ada 4 ekor kucing,
dan si ibu itu sungguh 'protective' terhadap anaknya,
jadi bawa masuk anak kucing liar luar lain bukan satu pilihan bijak.

Masa makin suntuk.
Aku masih tiada keputusan.

Akhirnya aku buat keputusan,
aku tinggalkan sahaja anak kucing itu di tepi jalan tadi.
Aku pujuk diri sendiri dengan kata ibunya ada di celah semak samun dan akan datang mengambil anaknya ke sisi.

Aku berlalu balik ke rumah,
meninggalkan si kecil yang terus mengiau memanggil.

Malam itu,
hati aku sangat tidak tenang.
Aku terfikir,
aku patut bawa si kecil itu ke tempat yang selamat tidak kiralah nak gelap ke, jauh ke.
Berkali-kali aku terfikir apa nasib anak kucing itu.
Hidupkah? Matikah?
Selamatkah? Kena lenyek juga kah?

Malam itu aku tak boleh tidur sebab terkenangkan apa yang aku sudah buat.
Bunyi 'kraak' terngiang-ngiang di benak kepala.

Esoknya aku terlewat bangun sahur.

Kalau ini dikatakan ujian di bulan Ramadan,
aku gagal dengan jayanya.





.




May 24, 2017

Pengembaraan cEro ke Kedai Buku.



Salam.

Mahukah kalian sertai aku dalam pengembaraan yang...hm...biasa?


========================= ============

Biasanya bila sebut perkataan 'pengembaraan' mesti terfikir sesuatu yang mencabar dan penuh rintangan, kan?
Daki bukit, terjun gaung, panjat tali, turun cerun.

Tapi sebenarnya, kan, tidak kira apa yang berlaku,
sama ada penuh cabaran, atau biasa, atau rutin, atau membosankan,
kalau kita perhati betul-betul,
ada 'cabaran'nya sendiri.

Pendek kata, semua perkara adalah pengembaraan.

Komik di atas tadi merupakan
satu lagi komik yang aku lukis tidak ikut format biasa.
Format biasa aku biasanya guna nisbah 12:9 untuk satu panel,
tapi komik ini nisbah dia 1:1, which is sesuai untuk media sosial.
Nisbah 12:9 sesuai dengan lebar blog aku sebab pembaca senang baca sambil skrol.

Mula-mula aku nak guna nisbah emas (golden ratio = 1.618) untuk panel komik
tapi nisbah tu tidak kena dengan lebar blog aku
sebab mungkin lebar blog ini pada mulanya sudah lari dari golden ratio.
Jadi dengan beberapa eksperimen, aku dapati 12:9 sangat sesuai dengan blog aku.
Itulah format panel yang aku pakai untuk kebanyakan komik aku di sini.

Orang kata,
karya seni yang cantik selalunya mengikuti nisbah emas 1.618,
tapi saya tidak perlukan pembaris untuk ukur wajah cantik awak sebab sekali pandang sudah tahu nisbahnya tepat dengan nisbah emas.
#PickuplineFail #BroCuba

Ok.
Jauh dah merepek dari pengembaraan ke pickupline.
Must. End. This. Quickly.

Jadi,
siapa lagi macam aku,
masuk kedai buku nak beli komik tapi meratap kesedihan sebab harganya ya ampuuuunn mahal bangat?
Siapa juga ada hobi suka masuk kedai buku sekadar baca tajuk buku yang tersusun di rak tanpa niat mahu membeli macam aku?
Kedai buku apa kedai kegemaran kalian?

Banyak ni soalan, jangan kata tak tahu nak komen apa pula nanti ;p




.




May 17, 2017

Tahi yang Mengikat Kita.



Salam.

Tiada komik minggu ini.
No particular reasons, saja je hehehe.




Maaflah aku rasa bersalah sangat bila update blog setiap minggu tapi tak ada kesempatan nak singgah blog kalian yang ada dalam blog list aku.
Kalian je laa yang rajin asyik singgah blog aku ni walaupun macam hidup segan mati tak mahu.
InsyaAllah nanti aku usahakan masa untuk singgah menyinggah blog kalian.

Dalam satu buku yang sedang aku baca (sejak dua tahun lepas),
ada satu bab kecil yang diberi tajuk 'Gods with Anuses'.
Aku berminat nak ulas sedikit isinya di sini.

Manusia semuanya berusaha untuk hidup kekal abadi.
Kita tahu, hanya Tuhan yang abadi.
Tapi manusia masih mahu mengejar kuasa Tuhan.
Maksud aku, bukannya cipta satu minuman yang membuatkan diri tak tua,
ataupun tukar diri menjadi separa robot supaya bahagian rosak boleh dibaiki,
juga bukan jadikan kesedaran diri dalam bentuk maya dan menjadi muka yang bercakap di dinding,

...tapi dengan meninggalkan sesuatu supaya terus dikenali.

Penulis buku menulis buku supaya hasil kerjanya menjadi kekal abadi walaupun penulis itu sendiri sudah tiada nyawa.
Penyanyi menghasilkan lagu dengan niat mahu lagu itu terus didendangkan selama mungkin.
Kita buat tanda pada arus sejarah dunia supaya satu hari nanti kita akan dikenang di dalam buku teks generasi akan datang.

Ada yang berjaya, ada yang tidak.
Elvis Presley yang sudah lama mati masih mendapat bayaran 60 juta Dolar pada 2009.
Itu namanya berjaya. Nama dia terus diingati walaupun dagingnya sudah tidak wujud.

Bagi contoh tidak berjaya pula,
aku pernah tulis cerita penuh bertajuk Vorteks di blog ini
tapi aku rasa tak ada siapa ingat nama watak utama lelaki dalam cerita itu, kan?
Itu contoh yang gagal.

Dalam bahagian 'Gods with Anuses'
penulis buku yang aku baca ini menulis, menekankan bahawa walaupun manusia sibuk menempa nama dalam ingatan dan lipatan sejarah, mahu terus 'hidup' kekal abadi, tapi musuh utama manusia untuk menggagalkan usaha itu bukannya makhluk lain, sebaliknya ada najis sendiri.

Tidak, najis yang aku maksudkan bukan metafora,
tapi najis sebenar-benar najis. Tahi. Tinja.

Apa yang dia maksudkan ialah
walaupun bagaimana agung kehidupan kau di dunia ini
walaupun betapa terkenalnya kau,
punya follower di Instagram dengan angkanya ada huruf k, M atau B.
Akhirnya, semua orang ini perlu berak juga dalam sesuatu masa.

I know. Kalian tak dapat tangkap lagi maksud aku di atas.
Begini.

Tahi.
Bahasanya sahaja selalu digunakan merujuk kepada taraf yang rendah.
Bahasa kesat untuk merendah dan menghina orang.
Gambar tahi sentiasa dipandang jelik.
Siapa suka lihat tahi?
Dengar perkataannya sahaja sudah membuatkan kita terbayang sesuatu yang busuk.

Tapi,
tahi datang dari semua orang.
Kau buat tahi. Aku buat tahi.
Artis kegemaran kau juga ada masanya dia buat tahi, kan?
Siapa kata orang terkenal tak berak?
Habis tu hampas makanan diorang pergi mana?

Aku suka Emma Stone.
Tapi bayangkan imej Emma Stone meneran dalam jamban menghasilkan bahan buangan yang warnanya tiada beza dengan warna bahan buangan orang lain, itu sudah boleh aku mengerutkan seluruh otot muka.

My point is,
walaupun manusia berbeza-beza,
ada daripada kita terkenal, ada yang tidak dikenali,
ada yang berjaya, ada yang masih berusaha,
ada yang kaya, ada yang kais pagi makan pagi,
ada yang rasa diri besar dengan merendahkan mereka yang lain,
tapi kita semua, KITA SEMUA, terikat pada satu ikatan yang sangat asas.
Terikat pada ikatan yang sangat fundamental, tiada teknologi mampu membezakannya.
Kita semua BERAK.
Kita semua MENGHASILKAN TAHI.
Dan tahi kita tiada beza.
Orang kaya tidak berak keluar emas.
Orang berjaya tidak berak keluar berlian.
Orang miskin tidak berak keluar batu.
Semua orang berak keluar tahi.

Tahi, benda paling jijik itu, mengingatkan kita walau tinggi mana kita terbang, akhirnya semua manusia (dan haiwan) tetap sama.

Dan walaupun kita fikir tahi adalah entiti tidak bermanfaat,
tapi tahilah yang mengingatkan kita tidak guna sombong bongkak berlagak sana sini.
Bila berak busuk juga.

You shit.
I shit.
Everybody shit.
Jadi jangan sombong sangat hidup ni, okay?

Sekian.

Nota kaki:
Buku yang aku sedang baca itu bertajuk
The 7 Laws of Magical Thinking,
ditulis oleh Matthew Hutson.




.




May 10, 2017

Tak Apa!



Salam.



Jangan kata
"Mungkin kau yang menjauhkan diri?"
sebab kalian tak tahu apa aku lalui.

------------------------------------

Dalam satu cerita yang tiada kaitan dengan komik di atas,
semalam aku didatangi seorang lelaki membawa kamera video dan mikrofon pin.
Dia ingin bertanyakan satu soalan untuk assignment video dia dan meminta aku menjadi responden.

Aku pun bersetuju.

Mikrofon pin dipasang, kamera mula dihidupkan,
dia pun bertanyakan aku satu soalan selepas suruh aku perkenalkan diri.

"Boleh beritahu kami perkara yang boleh disyukuri hari ini?"
Aku terdiam berfikir.
Melihat aku terdiam lama, dia ubah soalan,
"Mungkin perkara yang boleh disyukuri sepanjang minggu ini?"
Soalan itu lebih tepat memandangkan pada waktu itu masih pukul 10 pagi,
masih awal, tiada perkara besar yang berlaku pun lagi.
Bukan tiada apa yang patut aku syukuri,
cuma nanti jawapan yang akan keluar adalah 'klise'
seperti bersyukur dapat bangun dari tidur dan masih bernafas dengan kesihatan yang baik bla bla bla.

Aku tersenyum mendengar kemas kini soalannya itu.

"Hari Sabtu lepas saya ke tempat yang penuh dengan orang, Pesta Buku.
Esoknya hari Ahad, sepatutnya saya ada plan dengan seorang kawan
tapi atas sebab-sebab tertentu, plan tidak menjadi."

"Ya, saya sedikit ralat sebab saya sangat ternanti-nantikan plan itu.
Tapi bila dikenang balik, saya rasa saya bersyukur plan itu tidak menjadi."

"Hari Ahad itu saya mula berasa tidak sedap badan dan demam.
Demam menjadi semakin melarat, saya terbaring dua hari, Ahad dan Isnin."

"Saya syak, saya dijangkiti virus demam pada hari Sabtu ketika berselisih dengan pelbagai jenis manusia di Pesta Buku yang sesak. Kalau plan Ahad menjadi, saya mungkin akan jangkitkan virus demam itu kepada kawan saya. Sebagai kawan yang penting, saya tidak mahu dia sakit, apatah lagi dijangkiti daripada saya. Dia mungkin akan demam teruk dan seterusnya mungkin akan jangkitkan kepada yang lain di sekitarnya juga. Mungkin ada anak kecil yang terjangkit, orang tua, orang yang memang sedang sakit. Demam selsema, kalau salah orang, mungkin boleh membawa maut."

"Jadi saya bersyukur bahawa plan Ahad lepas tidak menjadi.
Kawan saya tidak terjangkit, dan mungkin ada nyawa yang selamat.
We will never know, kan?"

Itulah kehidupan.
Kadang-kadang kita merungut perjalanan hidup tidak seperti yang dirancang.
Namun kita lupa setiap perkara ada hikmahnya.
Mungkin hikmah bukan pada kita, tapi pada orang lain.
Kalau kita pandang segalanya secara positif,
tiada apa yang perlu dirungutkan, kan?

"Sekarang, walaupun demam saya sedikit sudah kebah,
tapi saya berdiri bersama encik, jadi mungkin encik akan terjangkit,"
kata aku dengan nada bergurau kepada lelaki tadi.

Dia balas,
"Kalau saya demam, saya tahulah siapa yang boleh saya persalahkan."
Kami ketawa besar macam kawan lama sudah kenal.

Untuk mengaitkan apa yang aku cakap di atas dengan komik di awal tadi,
mungkin setiap mereka yang pergi itu ada hikmahnya.
Mungkin tanpa aku mereka akan lebih bahagia,
atau tanpa mereka aku akan lebih matang?
We may never know, kan?

Kalian pula,
apa yang boleh kalian syukuri pada hari ini?
Mungkin sepanjang minggu ini?






.




May 3, 2017

Jatuh Cinta 'Dengar' Pertama.


Salam.

Seperti yang dijanjikan beberapa minggu lalu,
kali ini ada komik.
Yaay!
*krik krik tiada yang jerit bersama*




Selalunya selepas komik,
akan ada cerita panjang lebar yang pada mulanya berkisar tentang isi komik dan menular ke cerita yang tak ada kena mengena.
Tapi kali ini aku tak tahu nak kembangkan isi komik ini dalam bentuk penulisan,
jadi aku nak cerita satu hal yang langsung tiada kaitan.

Satu hari itu aku dengan sengaja mahu mengenang segala kenangan aku masa dulu.
Aku duduk bersila atas katil dan pejam mata dalam gelap.
Aku bayangkan satu persatu, wajah insan-insan yang pernah pegang hati aku.
Adalah beberapa orang, tapi segan pula nak beritahu berapa di sini.

Aku bayangkan wajah mereka satu persatu.
Cantik. At least cantik pada aku pada waktu itu.
Kebetulan aku dapat kesan mereka ada satu persamaan, which also aku tak boleh nak reveal dekat sini takut kena kecam.
Yes, aku ada 'type' aku sendiri.
Aku manusia yang sedikit konservatif,
jadi secara tipikal, aku akan jatuh hati dengan fizikal dahulu sebelum mengenal hati budi.

Ya, bila bercakap tentang fizikal, mesti ramai fikirkan muka.
Macam aku cakap, mereka semua cantik pada aku,
tapi sebab cantik itu subjektif, jadi cantik pada aku mungkin tak pada kalian.

Tapi fizikal yang aku cakap di atas bukan merujuk kepada muka.
Aku sebut tentang suara.
Aku manusia kolot yang jatuh hati pada suara dahulu sebelum kenal hati budi.
Sebab itu aku tidak risau nak jatuh cinta pandang pertama,
aku lebih risau jatuh cinta 'dengar' pertama.

Kembali ke sesi mengenang kenangan lama.
Aku cuba untuk bayangkan suara mereka semua sekali dengan muka.
Cuba teka apa yang berlaku?
Aku gagal!
Aku gagal untuk mengingat semula suara mereka.

Aku pernah dengar tapi tak pasti dari mana,
perkara pertama yang kita lupa tentang seseorang ialah suara mereka.
Ya. Kita lupa suara dahulu sebelum perkara lain.

Cuba kalian cuba.
Cuba fikirkan seseorang yang pernah ada dalam hidup kalian
Keluarga yang sudah tiada, mereka yang sudah putus hubungan, putus ikatan,
dan bayangkan wajah mereka.
Kemudian dalam bayangan mereka itu, bayangkan dia sebut ayat di bawah;

"MUNGKIN SEGALA PERKARA ADA HIKMAH SAMA ADA UNTUK KITA ATAU UNTUK ORANG LAIN."

Adakah kalian masih boleh mendengar suara orang yang kalian bayangkan?

Majoriti akan gagal mendengar suara, atau mungkin yang keluar adalah suara orang lain.
Tapi tak semua.
Jika ingatan kita kuat tentang seseorang itu,
kita akan tetap ingat suara dia tidak kira berapa lama tidak dengar.
Seseorang itu mesti begitu berharga dalam hidup kita.

Jadi,
sementara masih ada masa.
Cubalah untuk mendengar, meneliti dan menikmati segala suara yang ada di keliling kalian.
Ia mungkin kedengaran tidak penting sekarang,
tapi satu hari nanti, mungkin,
suara itulah yang paling kalian rindukan.

Bak kata Nash dalam nyanyiannya;
"Tiada lagi kudengar kidungmu.
Tiada lagi derai tawamu.
Hanya kesepian yang kian mencengkam jiwaku."

Tetiba rasa nak pergi karok. JOM!




.




Apr 26, 2017

Buat Penamat Sendiri!



Salam.

Aku kata nak bagi komik minggu ni tapi aku tipu.
Tiada komik lagi minggu ni.
Siapa tak puas hati mari jumpa aku,
I'll give you a chance to hit me because I'm madly craving human contact.
Hahaha kedengaran sangap di situ
tapi aku bertapa dalam Fortress of Solitude ni terlalu lama
aku amat perlukan interaksi sosial dengan manusia.

Hujung minggu lepas di kala orang lain berseronok bersama teman,
aku mengemas bilik aku yang semak macam tanah tak bertuan.
Banyak perkara aku jumpa, kebanyakannya barang lama dari kenangan lama.
Dulu, awek belanja coklat pun aku simpan plastik pembungkus dia.
Bertahun kemudian, awek tu jadi mak orang, aku masih simpan sampah itu.
Hahahaha

Tapi yang paling menarik minat aku dalam khazanah yang aku gali itu
adalah satu kepilan kertas yang tertulis macam-macam.
Beberapa helai kertas (mungkin 15 keping) dikepil dengan pengepit
dan dijadikan seolah-olah seperti buku nota.

Di dalam nota itu tertulis pelbagai perkara.
Daripada formula fizik, sampailah ke puisi jiwang.
Oh, kalian mungkin tak tahu,
sebelum aku rajin melukis di blog dan alam maya, aku rajin menulis.
Kebanyakannya adalah perasaan aku pada masa ia ditulis.

Alkisah sesi mengimbau kenangan silam pun bermula.
Aku belek nota tadi dan baca satu-satu.
Wow, boleh tahan jiwang aku ni.
Banyak kumpulan ayat-ayat cinta (ewah!) yang aku tulis.
Bukan puisi, bukan sajak, tapi sekadar tulisan.

Aku sedar,
dalam nota ini penuh dengan luahan perasaan aku semasa rapat dengan seseorang dulu.
Seorang perempuan yang aku tahu aku sukakan dia dan aku tahu dia sukakan aku
tapi atas sebab tertentu
dan atas sebab aku terlalu bangang terkesan dengan kekecewaan sebelumnya
maka kami hanya simpan perasaan masing-masing.

Lama sudah tidak dengar khabar si dia.
Entahlah mana dia sekarang.
Aku pun tidak mahu mencari, dia pun tidak mahu berhubung.
Mungkin kami hanyalah selingan dalam buku panjang kisah hidup masing-masing.

Biar aku jujur di sini.
Aku menjadi membesar menjadi matang kerana dia.
Masa zaman dikecewakan teruk sebelumnya itu, aku masih lagi mentah.
Aku tahu aku ada salah, tapi aku salahkan segalanya ke atas dia.
Aku tidak matang.

Tapi bila bersama si dia ni,
aku rasa aku terlalu berhati-hati.
Setiap tindakan aku bersifat 'bertahan' kerana aku tidak sanggup diluka lagi.
Rasa pedih dibuang macam sampah sangat menyakitkan,
walaupun hanya memikirkannya akan buat dalaman aku rasa dicubit.
Sakit.

Dengan si dia ni, aku tak mahu terluka lagi.
Aku suka dia, tapi aku tak pernah buka.
Aku rasa dia tahu, aku rasa dia mahu,
tapi kami masing-masing membisu.

Sampailah masa memisahkan kami.

Kepada kalian yang pernah baca kisah Gadis Kasut Converse aku tulis dalam blog ni beberapa tahun lepas, biar aku beritahu sesuatu.
Gadis itu, walaupun tiada apa-apa hubungan, sudah membuatkan aku gagal untuk membuka hati aku kepada mana-mana perempuan lain.
Banyak kali mencuba, tapi gagal.
Apa boleh aku buat kalau setiap perkara mengingatkan aku kepada dia?
Tengok langit ingat dia.
Tengok bulan ingat dia.
Tengok maggi ingat dia.
Macam mana aku nak bersama dengan orang lain kalau apa yang aku buat sentiasa mengingatkan aku kepada dia yang bukan di depan mata?

Kawan aku nasihatkan aku ganti memori itu.
Replacement method.
Buat sesuatu yang mengingatkan aku kepada dia bersama orang lain dan ulang berkali-kali supaya boleh ganti memori tadi dengan memori baru.
Macam kalau habit kita tulis huruf 't' seperti palang, tapi kalau kita ulang berkali-kali dengan menggantikan huruf 't' palang tadi dengan 't' berekor, maka lama kelamaan kita akan terbiasa tulis huruf 't' berekor.

Err...kenapa aku rasa penerangan aku di atas tak membantu?

Begitulah.
Kawan aku nasihatkan aku agar menggantikan memori aku tentang si dia itu dengan memori lain.
Tapi kalau kalian tahu, itu susah.
Memori manusia bukan macam memori laptop, tekan 'delete' sudah terpadam.
Jadi nak gantikan memori aku itu, agak mustahil.
Apatah lagi aku memang tak berniat pun nak buat memori aku tentang dia.
Kecuali aku hilang ingatan akibat kemalangan,
tapi fenomena hilang ingatan bukanlah semudah seperti dalam plot drama.
Salah cara, hilang nyawa.

Jadi,
kawan aku bagi cadangan kedua.
Dia kata, sebab utama aku tak boleh lupakan memori itu adalah kerana cerita aku tiada penutup.
Tiada closure.
Kisah kami tergantung.
Kami masing-masing bawa diri teruskan hidup ikut jalan masing-masing.
Ia agak sama seperti earworm, lagu yang berkumandang di dalam otak berulang-ulang.
Sebab lagu itu tidak berpenamat, jadi ia akan berulang.
Untuk tamatkannya, kita kena dengar lagu itu sampai habis.

Soalnya,
macam mana nak tamatkan memori yang sentiasa berulang?

"Embrace that memories. Make your own closure!" kata kawan aku.

Dia cadangkan aku bukukan segala cerita aku dengan si dia itu.
Kumpulkan semua post blog yang berkaitan dengan dia dan bukukan.
Mungkin bukan untuk tujuan komersial, bukan untuk dijual,
tapi sebagai simpanan peribadi untuk diri.
Sebagai pedoman kepada diri aku sendiri di masa akan datang bahawa
si dia hanyalah seseorang yang menyinggah ke dalam hidup aku.
Hanya satu bab dalam kehidupan aku.
Aku ada bab lain lagi yang perlu dilalui, sama ada dengan atau tanpa dia.
Dengan itu, aku akan ada penamatnya.
Mungkin bukan penamat yang indah, bukan penamat kepada kehidupan,
tapi penamat kepada sesuatu supaya aku dapat mula semula melalui bab-bab yang seterusnya.

Cadangan dia sangat bernas.

Dulu ada juga yang cadang supaya dibukukan Gadis Kasut Converse tu
tapi aku tolak sebab ceritanya tiada penamat.
Tapi kalau aku sendiri yang buatkan penamatnya,
aku sendiri yang putuskan ke mana harus aku tuju,
maka bolehlah aku teruskan cadangan itu.

Lagipun,
aku dapat rasakan aku lebih kepada 'penulis' daripada 'pelukis'.
Bakat melukis aku mungkin sudah sampai limit.
Mungkin aku perlu fikir hobi yang lain pula.

Jadi dengan itu aku nak umumkan,
aku bakal sibuk menulis semula cerita Gadis Kasut Converse untuk dibukukan.
Bukan mahu diterbitkan secara besar-besaran,
mungkin dua tiga copies untuk mereka-mereka yang mahu.

Dan kepada awak,
walaupun saya yakin 100% awak tidak akan baca ini,
tapi ketahuilah awak sentiasa ada di dalam doa saya.
Teruskan hidup seceria selalu walaupun banyak halangan menimpa.
Don't worry about me.
I'll be alive and kicking and smell like jet fighters and punching.







.




Apr 19, 2017

Meditasi Bilik Mandi.


Salam.

Tajuk kekonon gempak.
Sepatutnya ada komik hari ni,
tapi aku terpaksa masuk wad, jadi cukuplah tulis-tulis je.

Minggu depan insyaAllah ada komik.




Pernah tak kalian masuk bilik air dan mandi,
tengah air mencurah-curah jatuh ke badan gebu kalian
otak kalian akan terfikir banyak idea dan soalan tak masuk akal tentang kehidupan?
Itu digelar 'shower thoughts'.

Aku tahu bukan aku seorang sahaja macam tu,
jadi di bawah ada aku senaraikan antara 10 soalan tentang kehidupan yang terdetik aku terfikir semasa sedang memerut mandi shower di bilik air:


  1. Siapakah orang pertama yang tahu tahi hidung itu masin dan bagaimana?

  2. Mungkinkah kuning yang aku nampak sebenarnya biru pada mata kalian tapi sebab kita setuju ia dipanggil kuning jadi ia terus dipanggil kuning?

  3. Kenapa simbol 'heart' dipanggil hati dalam Bahasa Melayu sedangkan sebenarnya terjemahan terusnya ialah jantung?

  4. Kalau mata kita sama macam kamera, berapakah resolusi, dimensi, megapiksel dan ratio imej yang kita nampak?

  5. Siapakah orang pertama yang sedar meneran mampu membantu proses nyahtinja?

  6. Kalau awan terapung di langit sebab kurang tumpat berbanding udara, kenapa bulan yang besar dan berat tak jatuh ke Bumi?

  7. Kalau nyamuk terbang masuk ke dalam kereta, dan kereta itu mula bergerak, nyamuk itu tadi akan terhantuk ke cermin belakang kereta atau bergerak sama-sama dengan kereta?

  8. Jika kentut adalah angin yang keluar ikut punggung, maka sendawa adalah kentut yang keluar ikut mulut.
    (Ini juga menjelaskan kenapa angin sendawa berbau tidak enak)

  9. Adakah Joker akan bersihkan semua solekan di muka dia sebelum tidur dan pakai make-up semula sebelum keluar rumah menentang Batman keesokan harinya?

  10. Mungkinkah selama ini manusia tidak pernah nampak alien disebabkan hidupan dari luar Bumi semuanya diperbuat daripada bahan yang mengeluarkan panjang gelombang (wavelength) di luar spektrum penglihatan manusia? Kalau ya, bermakna kemungkinan besar alien ada di sebelah kita tapi kita tidak nampak, dia juga mungkin tidak nampak kita.




Kebanyakan soalan di atas aku sudah ada jawapannya,
hasil kegigihan mencari sumber dari internet.
Sebenarnya ada banyak lagi soalan lain yang aku terfikir,
tapi aku simpan dulu sebagai modal untuk entri akan datang kalau-kalau kena masuk wad lagi hehehe.

Oh,
kalau kalian ada soalan bilik mandi yang tiada dalam senarai di atas, kongsikanlah.
Kalau kalian ada jawapan untuk soalan di atas pun, kongsikanlah.
Nak juga tahu apa yang kalian fikirkan semasa sedang mandi hehehe.
*lain macam ayat kat atas ni*


Nota kaki:
Kalau korang perasan, aku jarang sudah balas komen dan singgah blog korang. Itu sama ada aku benci korang atau aku ada terasa hati dengan korang. Ceh, gurau. GURAU! Itu sebab internet yang aku guna sekarang sangat limited. Dulu internet unlimited bolehlah berjimba singgah blog semua orang. Sekarang nak buka blog sendiri pun kena ada kesabaran yang tinggi sebab data terhad. Harap korang jangan makan hati dengan aku. Nanti ada internet balik, aku akan singgah blog korang-korang yang masih setia membaca di sini. Yang setia je. Yang tak setia boleh main jauh-jauh hehehe.




.




Apr 12, 2017

I Want To Be The Very Best Like No One Ever Was.



Salam.

Aku ada satu berita baik untuk diri aku sendiri
tapi aku pasti berita ini tidak beri manfaat pun kepada kalian.

AKU SUDAH BOLEH MAIN POKEMON GO!




Tarikh yang tepat ialah 16 Mac 2017 lepas aku sudah mula main Pokemon GO.
Ya, aku tahu.
Aku lambat beberapa bulan.
Hype game ni pun dah lama pudar sampai jadi bahan ejekan sarkastik.

Aku tak tahu orang lain,
tapi Pokemon merupakan sebahagian daripada hidup aku sejak dulu lagi.
Aku tak ada GameBoy dulu, tapi aku selalu pinjam kawan punya.
Syaratnya, kena pakai bateri sendiri,
jadi gigih menabung beli bateri boleh cas.

Kalau kalian pernah main GameBoy,
kalian akan tahu konsol tangan itu sangat makan bateri.
Jadi aku beli beberapa set bateri cas sebab bila satu set tengah pakai, satu set lagi tengah cas dan satu set lagi tengah stand-by kalau-kalau set yang pertama tadi habis.

Dan sudah tentu aku main Pokemon dekat GameBoy itu. Hehehe.

Bila sudah dewasa sikit, rumah ada komputer.
Jadi kami pasang emulator, perisian simulasi untuk game GameBoy.
Main emulator siang malam, sudah tentu juga game Pokemon.
Berkali-kali dapat kalahkan Elite Four lepas tu restart balik game main ikut route lain.
Rupa-rupanya lepas kalahkan Elite Four dan Pokemon Master, ada lagi quest lain untuk lengkapkan Pokedex.

Orang yang tak main Pokemon sudah tentu tak faham apa yang aku taip di atas, kan?

Pokemon juga antara sebab utama aku ambil Bahasa Jepun sebagai bahasa ketiga masa belajar dulu.

Satu game Pokemon yang aku ada (Pokemon Yellow) adalah khusus untuk negara Jepun jadi tulisan dan arahan semuanya bahasa Jepun.
Cuba teka siapa yang gigih belajar Bahasa Jepun untuk main game Pokemon Yellow tu?
Yes, yours truly.

Masa Pokemon GO baru dilancarkan di Jepun dan US,
aku antara yang sangat teruja nak tunggu masuk Malaysia.
Tapi bila masuk Malaysia, sebab aku pakai handphone purba,
aku tak mampu nak install Pokemon GO *menangis*

Dengki bila member-member brag dapat main dan tangkap Pokemon.
Gigih aku lepak Taman KLCC tengok beratus orang main Pokemon GO
sedangkan aku hanya duduk melepak menikmati orang lain main.

Selepas beberapa bulan, Pokemon GO semakin suram dan yang masih main hanyalah yang betul-betul fan.
Bagus juga sebab ramai sangat yang naik bandwagon padahal tak kenal pun Pokemon lain selain Pikachu.

Ada seorang ni siap kata Pikachu tu khinzir padahal kalau dia baca Pokedex dia dalam Pokemon GO tu dah terang-terang Pikachu itu tikus.
Itu beza peminat sebenar dengan penunggang wagon berkumpulan.

Aku punya gigih minat Pokemon sampai hafal kesemua 151 Pokemon generasi pertama.
Hafal nama siap dengan nombor dengan jenis (type) dia lagi.
Kalaulah aku hafal buku sejarah segigih itu masa sekolah dulu,
sudah tentu aku tak duduk depan komputer update blog setiap rabu hahahahaahahah.

Okaylah, cukup membebel tentang Pokemon dan Pokemon GO.
Kalian bersedialah untuk dibanjiri banyak komik berkaitan Pokemon lepas ni sebab ada orang tu teruja gila main Pokemon GO hahahahahahaahahahaha *ketawakan diri sendiri*

'Siapa lagi masih main Pokemon GO sekarang?'
Kalau ada sesiapa yang tanya soalan itu dengan nada sarkastik,
korang jawab,
"Aku tahu seorang yang masih main Pokemon GO. NAMA DIA CERO!"




.




Apr 5, 2017

Monitor. Oh, Monitor!



Salam.

Satu pengajaran hidup yang aku pelajari baru-baru ini ialah
ujian tidak hanya datang dalam bentuk musibah yang besar sahaja.
Musibah 'kecil' pun banyak menguji kita.

Seperti contoh;
burung lepas najis tepat ke visor helmet semasa menunggang, atau
jerawat tumbuh atas batang hidung, betul-betul bawah tempat letak cermin mata, atau
kau pasang monitor dekat laptop sebab skrin laptop bermasalah, tengok-tengok monitor tadi pun bermasalah juga.





Kalau kalian baca entri aku bertajuk 'Archoke Nama Diberi',
kalian akan tahu yang komputer aku terdiri daripada laptop yang sudah di'chimera'kan dengan pelbagai aksesori lain termasuk monitor skrin kedua sebab skrin laptop sedikit bermasalah.

Masalahnya sekarang monitor tambahan itu pun sekarang bermasalah.



Sekarang aku bercuti panjang.
Aku ingat sempena cuti panjang inilah aku nak selesaikan segala kerja tertunggak yang memerlukan aku menggunakan komputer.
Banyak lukisan yang sudah aku janji untuk siapkan bulan ini.
Marah dah cik adik yang menanti hasil kerja aku tu.
Tup tap tup tap skrin monitor pula buat hal.

Adusssss. Menguji kesabaran sungguh.

Nak beli monitor baru, tapi aku rasa masalah ini masalah kecil boleh selesai.
Tapi aku tak pandai nak selesaikan.
Nak hantar repair, aku hanya ada motosikal.
Nak angkut monitor atas bakul motosikal pergi kedai untuk repair agak tak masuk akal.
(atas sebab tertentu, aku tak boleh memandu sekarang)

Tahu tak, buka komputer tapi tak dapat tengok output dekat monitor perasaan dia macam masuk bilik gelap gelita meraba-raba, takut salah raba habis menjerit kekesalan.

Kalian rasa apa penyelesaian terbaik untuk masalah aku?
Beli baru? Minta tolong orang teman repair?
Berbalik ke zaman purba di mana segala kerja perlu dipahat di atas tablet batu?

Oh, btw
ada insan yang baik hati berikan duit kepada aku untuk dibuat beli monitor baru.
Walaupun belum cukup untuk beli satu yang baru, tapi TERIMA KASIH.
Jasamu sangat kukenang





.




Mar 29, 2017

Lelaki Dalam Cermin.


Salam.

Masih tiada komik hari ini.
Rabu terakhir bulan Mac, jadi termaktublah bahawa bulan Mac 2017 adalah bulan tanpa komik di blog cErolian.



Jangan risau ini bukan Past cEro,
ini Present cEro yang menaip terus daripada komputer milik orang lain dan menggunakan segala sumber yang ada hanya untuk menceritakan sesuatu.

Last few weeks, something big had happened to me.
That 'something' has changed how I see the world.
Aku kini melihat dunia ini dari sudut yang sangat berbeza sekali.
Tidak, aku tak berubah sepenuhnya.
Aku masih manusia sama yang pada sesetengah orang dianggap annoying, boring.
Yang berubah adalah pandangan aku terhadap sesuatu.

Aku sudah buat keputusan untuk tidak membuang masa kepada benda yang sia-sia.

Aku sudahlah mempunyai kawan yang sedikit,
jadi aku tidak mahu habiskan masa memikirkan perkara yang remeh macam kenapa orang sudah tidak mahu kawan dengan aku.
Orang sempurna mana nak kawan orang cacat.

Sesiapa yang nak anggap aku kawan, aku akan anggap dia kawan.
Sesiapa yang nak anggap aku orang asing, aku akan anggap dia orang asing.
Sesiapa yang nak bermusuh dengan aku, tolong, aku tak mahu ada musuh. Rugi.

Sesiapa yang nak anggap aku sahabat baik, beritahu.
Aku boleh jadi sahabat paling baik yang pernah ada.

Sesiapa yang rajin datang ke blog untuk ikut perkembangan aku, TERIMA KASIH.
Aku akan berusaha hargai dengan balas kunjungan
walaupun aku agak terbatas dengan teknologi sekarang.

Sesiapa yang rajin bertanya khabar di Fb, Twitter, IG
aku akan hargai dengan cara yang aku mampu.
Kita boleh jadi kawan (walaupun atas alam maya) atau kalau nak lebih daripada itu, kita boleh jadi kawan di alam nyata.

Sesiapa yang sayang aku, aku akan sayang dia balik.
Sesiapa yang kata sayang aku, tapi tak buat apa-apa,
aku pun akan tidak akan buat apa-apa.

Ini semua berkaitan tentang menghargai.
Kita tidak boleh minta dihargai tapi tidak menghargai orang lain.
Ia macam cermin.
Macam mana nak minta imej dalam cermin untuk senyum kalau kita sendiri bermasam muka?

Sebut pasal sayang dan menghargai,
Mak Abah aku sudah bagi hint keras suruh cari pasangan.
Perkara yang sudah lama aku lupakan.
Tapi aku faham maksud Mak Abah.
Orang baya aku semua sedang sibuk bercerita tentang anak masing-masing
aku pula cuma mampu senyum kepada anak kecil yang berselisih di kompleks membeli-belah.

Bukan tak mahu berkeluarga,
tapi aku rasa sangat susah untuk cari orang yang terima aku sepenuhnya.
Baik buruk kacak hodoh miskin kaya senang susah cacat sempurna aku.
Aku orang yang sangat berahsia.
Even keluarga pun tak semua tahu apa aku buat untuk hidup sebab aku rahsiakannya.
Jadi untuk jumpa seseorang yang dapat terima, faham,
sekaligus menyokong apa yang aku buat, rasanya menghampiri mustahil sebab secara logik, tiada siapa tahu apa aku buat.

Jadi macam mana?

Ada satu cara mudah, iaitu aku jadi orang lain.

Satu lagi keputusan yang aku ambil ialah aku mahu kumpul duit secara gigih dan gunakan duit itu untuk sambung belajar.
Orang macam aku ni, tidak akan ke mana tanpa ilmu,
jadi selagi aku mampu, aku akan terus kutip apa sahaja ilmu yang ada.

Bila aku kata aku melihat dunia dari sisi berbeza sekarang,
aku betul-betul maksudkannya.
Aku mampu melihat kesedihan di dalam diri lelaki yang aku pandang dalam cermin.
And I hate that.



Terima kasih sebab baca luahan hati aku ini.
Awal tahun dulu aku nak jadikan blog ini tempat yang 'fun',
tapi sebab aku tidak ada tempat untuk luah segala ini selain blog
jadi terpaksalah kalian baca luahan itu di sini.
Aku minta maaf.

Maybe, just maybe, next week ada entri yang FUN.

For now, bye. Live well.




.




Mar 22, 2017

Analogi Bot Penyelamat.




Salam.

Satu hari seorang kawan bertanyakan satu soalan hipotetikal berkenaan sesuatu:

Sebuah kapal penumpang karam di tengah lautan. Para penumpang terkapai-kapai di permukaan air. Ada satu bot penyelamat (lifeboat) dan sudah ada 50 orang di atasnya. Hanya ada satu bot, dan satu bot hanya mampu memuatkan 60 orang sahaja. Namun, masih terdapat 100 orang penumpang lagi yang sedang meronta-ronta terkapai-kapai di permukaan lautan. Bot yang terlampau padat dan melebihi kapasiti sudah tentu akan meningkatkan risiko bot itu untuk karam juga dan seterusnya meningkatkan lagi kadar kematian.

Satu bot, 10 tempat kosong lagi, dan 100 orang mahu diselamatkan.
Apa tindakan paling terbaik untuk situasi begini?




Yang belajar psikologi akan tahu ini adalah soalan cetusan minda daripada ahli falsafah terkenal yang juga merupakan seorang ahli ekologi bernama Garrett Hardin, sebagai analogi kepada tanggungjawab manusia membantu mereka yang memerlukan.

Sudah tentu, aku budak biologi, tidak belajar psikologi,
jadi jawapan aku sudah tentu selamatkan seberapa banyak yang boleh.
Ada 10 ruang lagi boleh diisi, jadi tindakan terbaik adalah selamat 10 orang lagi.

Tapi penyelesaian itu hanya akan mencetuskan isu yang lain pula.

Kalau mahu selamatkan 10 orang lagi,
siapa 10 orang yang terpilih daripada 100 orang tadi?
Bagaimana kriteria memilih 10 orang lain?
Wanita dan anak kecil?
Saudara rapat dan kenalan?
Orang kaya dan ahli politik yang berpengaruh?
Ahli akademik dan cerdik pandai?

Dan apa alasan menolak orang yang tidak layak diselamatkan?
Lelaki dewasa berbadan tegap yang ada peluang tinggi untuk terus hidup?
Penjenayah dengan rekod jenayah panjang dan memudaratkan?
Musuh perniagaan dan pesaing dalam kerjaya atau kehidupan?

Namun soalan yang terbesar ialah
SIAPA YANG LAYAK MENENTUKAN 10 ORANG TERSEBUT?

Dan semua ini perlu difikirkan dalam masa singkat sedangkan semua orang dalam situasi ini, sama ada di atas bot atau yang sedang terkapai-kapai, semuanya sedang panik memegang nasib nyawa diri sendiri.

Dalam keadaan panik, semua orang mahu selamatkan diri sendiri.
Jadi siapa boleh beri jaminan bahawa orang yang ditolak dari naik bot akan menurut kata dengan hati yang tenang tanpa melawan?





Aku pun berfikir lama untuk soalan situasi di atas.
Mari kita selami keadaan bagi tiga individu berlainan keadaan:



1. Golongan yang sedang berada di dalam air.

Sudah tentu orang yang di dalam air mahu dia diselamatkan tidak kira siapa dia.
Sudah tentu dia mahu jadi seorang daripada 10 orang yang harus diselamatkan.
Sama ada dengan kebenaran atau tidak, sudah tentu akan ada jenis orang yang akan bersungguh-sungguh mahu naik ke atas bot.

Jika kita tanyakan soalan 'adakah anda perlu diselamatkan' kepada mereka,
sudah tentu jawapan mereka adalah YA.

10 ke, 100 ke, karam ke, timbul ke, asalkan mereka selamat, mereka sudah tidak peduli itu semua.



2. Golongan yang sudah berada di atas bot.

Walaupun mereka ini boleh tarik nafas lega,
tapi kalau mereka tidak buat sesuatu, lambat laun pasti akan ada orang dari dalam air yang akan berkeras mahu naik ke atas bot juga dan menggunakan kekerasan.

Maka, mahu atau tidak mahu perlu ada seseorang yang ambil tindakan.
Dia perlu buat keputusan sama ada memilih untuk mengambil 10 orang lagi,
atau tidak ambil sesiapa langsung,
atau menolak orang tertentu di atas bot, dan gantikan dengan orang lain dari dalam air.
Orang ini juga perlu bersedia untuk menggunakan kekerasan jika perlu.

Tanggungjawab orang ini amat besar.
Setiap kematian yang ada, walaupun bukan secara langsung dari dia,
dia perlu dipertanggungjawabkan.

Sudah tentu, tiada siapa mahu jadi individu ini.
Maka, majoriti orang atas bot akan bersikap diam dan berharap orang lain yang akan muncul ke depan.



3. Golongan yang tiada di tempat kejadian, iaitu anda.

Sudah pasti penilaian daripada orang lain yang tiada di tempat kejadian adalah berbeza.
Berbeza kerana mereka tidak rugi dari segi apa-apa.

Kebanyakan mereka (kita) akan fikir untuk selamatkan sebanyak yang boleh.
Ada juga yang berfikiran utamakan wanita dan kanak-kanak dahulu (di mana ini adalah prosedur standard kecemasan di seluruh dunia).
Ada juga yang terfikir, kalau dia berada di atas bot, dia akan korbankan diri bertukar tempat dengan orang yang lebih disayangi (seperti keluarga dan kenalan) dan kalau kalian adalah salah seorang yang berfikiran sebegitu, ketahuilah bahawa memikirkannya lebih mudah daripada melaksanakannya.

Golongan ini jugalah yang akan menilai individu yang tidak benarkan orang dari dalam air naik ke bot adalah individu jahat tidak kira apa pun alasannya.




Okey.

Pada tahap ini kalian mesti fikir apa poin sebenar yang cuba aku nak sampaikan, kan?


Sebenarnya, pada aku,
setiap perkara yang berlaku di dunia ini sentiasa akan berkisar pada pendapat tiga golongan tadi, iaitu; (1) Si Pemberi, (2) Si Penerima, dan (3) Si Penonton.

Golongan yang banyak bersuara adalah golongan Penonton tadi.
Contohnya kalau ada berlaku sesuatu perkara viral, seperti video ibu dera anak menjadi tular, sudah tentu yang banyak bersuara adalah golongan yang tiada kaitan sedangkan apa yang kita perlu tahu adalah mungkin ada cerita lain berlaku di sebalik video itu. Mungkin si ibu sedang mengalami tekanan mental, ataupun deraan itu tidaklah sedahsyat yang digembar-gemburkan, sekadar pukulan yang bersifat mengajar, atau mungkin si ibu terikut emosi dan melakukan kesilapan yang sudah tentu juga akan memberi kesan kepada dirinya.

Kesimpulannya,
kita manusia sangat suka menilai sesuatu tanpa usul periksa.
Nasihat aku kalau berlaku sesuatu, tahu dulu pokok pangkal segala cerita,
terutamanya jika kita dari pihak 'Penonton', kaji dahulu apa alasan 'Pemberi' dan 'Penerima' berkelakuan sedemikian.
Banyak contoh boleh aku beri, tapi aku sudah malas menaip hahahaha.



Sebagai penutup,
beritahu aku apa pendapat kalian tentang situasi bos penyelamat di awal entri tadi?
Apa tindak terbaik yang kalian rasa patut dilakukan semua orang?


Ya, aku tahu.
Blog ini sudah semakin bosan.
Tiada komik dan asyik entri teks panjang lebar.
Tapi kalian kena faham dari konteks cEro sebagai 'Pemberi'.
cEro sedang mengalami fasa sukar yang dia sendiri tidak tahu bagaimana mahu menghadapi, jadi berikanlah cEro sedikit masa untuk kembali bersinar dan berpijar seperti dulu kala.

Pendek kata, cEro malas. Hahahaa!

Terima kasih kerana baca sampai habis. Moga bermanfaat. YOU'RE THE BEST!








.




Mar 15, 2017

Kisah Kucing Biru dan Lelaki Berbaju Kuning.




Salam.

Suatu petang aku keluar mahu membeli makanan.
Nafsu diri sangat ingin makan donut inti kacang merah.
Nasib baik gerai menjualnya sampai hanya dengan berjalan kaki,
tak perlulah aku nak habiskan minyak kenderaan bergerak jauh.
Berjalan kaki, badan pun sihat.

Dalam perjalanan pulang, aku ikut lorong belakang deretan rumah teres.
Jalan pintas, namun kawasan ini agak bahaya.
Bukan sahaja banyak anjing liar berehat, tapi lalu belakang rumah orang mungkin akan membuatkan aku dituduh berniat mencuri, apatah lagi muka tak kacak macam aku memang senang kena tuduh.

Pantang disebut anjing,
tiba-tiba ternampak seekor anjing sedang menyalak ke arah sesuatu di hadapan aku.
Ada sesuatu sedang menyorok di bawah timbunan sampah.
Anjing tersebut menyalak ke arah timbunan sampah tersebut,
namun tak dapat nak capai sesuatu yang menyorok itu kerana lubang tempat persembunyiannya itu kecil, tidak muat saiz anjing yang besar.

Mungkin yang menyorok itu kucing ketakutan.

Dulu masa kecil aku berangan mahu jadi ahli bomba sebab mahu jadi hero.
Tapi bila besar, aku tahu jadi hero tak semestinya perlu menjadi ahli bomba.
Cukup sekadar menyelamatkan kucing jalanan yang dibuli anjing liar sudah layak menjadikan aku hero.

Maka aku pun sebagai hero, menghalau anjing tadi dengan melemparkan batu ke arahnya.
Nasib baik anjing itu lari.
Kalaulah dia terkam ke arah aku,
aku memang sudah sedia kekuda untuk langkah seribu,
pecut laju berlari menyelamatkan diri.

Aku pun menghampiri timbunan sampah tadi dan meninjau apa yang sedang menyorok.
Lalu keluar satu makhluk dari tempat persembunyian tersebut.
Seekor kucing, tapi...

"Terima kasih, bro!"
Kucing tadi berterima kasih kepada aku.
Walaupun, YA, aku terkejut kucing itu boleh bercakap,
tapi lebih mengejutkan aku adalah kucing itu berbulu biru dan berekor bulat merah.

Belum pernah seumur hidup aku melihat kucing berwarna biru.

"Saya tahu awak terkejut. Tapi biar saya terangkan situasi," kata kucing biru itu.
Kalau ikutkan hati, mahu sahaja aku lari meninggalkan kepelikan ini tapi perasaan ingin tahu lebih kuat mendominasi diri daripada perasaan takut.

"Saya kucing dari masa hadapan. Robot kucing untuk lebih tepat. Entah macam mana saya tersesat ke zaman ini dan terperangkap dalam ancaman anjing liar ganas tadi. Awak datang tepat pada masanya dan selamatkan saya. Untuk itu, saya ucapkan terima kasih."

Fakta bahawa dia adalah robot kucing sedikit menenangkan aku sebab warna dia biru. Kalau aku ada kucing robot pun aku akan warnakan dia warna kelabu metalik dengan jalur cahaya lampu biru gelap di sisi badannya. Baru nampak futuristik. Tapi kata kucing itu, dia dari masa hadapan. Kelakar apa yang dia buat ini? Mana ada wujud mesin merentas masa. Paling tidak aku belum pun dapat siapkan satu lagi. Mungkinkah aku akan berjaya cipta satu di kemudian hari?

"Disebabkan awak sudah selamatkan saya, saya akan hadiahkan awak SATU daripada TIGA alat masa hadapan yang ada dalam poket saya ini. Sebenarnya poket saya ada banyak alat canggih dari masa hadapan, cuma saya baru sahaja bersihkan poket ini. Jadi banyak barang yang sudah saya keluarkan dan lupa untuk dimasukkan semula."

Kucing biru itu tunjukkan poket kecil di depan perut dia.
Alat apa yang canggih sangat boleh disimpan dalam poket kecil macam itu?
Pencukur bulu ketiak nyamuk?
Pengepit kuku lipas?
Kain lap cermin mata labah-labah?

"Ini dia alat pertama...!!"
Kucing itu keluar sesuatu dari dalam poketnya tadi. Barang itu sangat besar, dapat keluar dari poket yang kecil itu memang melanggar segala hukum fizik yang pernah diajar di semua universiti dunia.




"...PINTU SUKA HATI!!"

Kucing itu keluarkan sedaun pintu dari poketnya.
Aku hampir pitam melihat kemustahilan itu.

"Pintu ini boleh bawa awak ke mana sahaja awak mahu tidak kira jarak. Hanya sentuh tombol pintu dan fikirkan, atau sebutkan, tempat yang hendak dituju dan buka daun pintu ini dan...TADAAAAA!"

Kucing itu membuka pintu, dan kelihatan satu tempat lain di sebalik pintu tersebut. Kalau tidak silap, itu menara Eiffel di Paris, Perancis. Wow! Aku kagum tak terkata. Lagi mengkagumkan aku ialah tangan bulat kucing tersebut mampu memegang tombol pintu. Ketidaklogikan apakah ini?

"Dengan pintu ini, tidak perlu lagi naik kenderaan berjam-jam lamanya hanya untuk pergi ke satu tempat. Awak boleh pergi ke mana-mana sahaja, bila-bila masa dan tanpa kenderaan!"
Semangat kucing biru itu menerangkan. Macam juru jualan langsung pula aku tengok.

Aku angkat tangan mahu bertanya soalan.

"Wahai kucing. Saya ada soalan. Pintu besar itu keluar dari poket kecil awak. Adakah kebolehan itu datang dari poket awak? Maksudnya kalau saya ambil pintu suka-suki..."

"..suka hati. Pintu Suka Hati!" kucing itu betulkan aku.

"Ya, suka hati. Kalau saya pilih pintu suka-suki ini, jadi saya kena usung pintu besar bagak ini ke sana ke marilah, kan?"

Kucing itu memegang dagunya dan mengerutkan dahinya.
Tangan bulat pegang dagu. COMELNYAAAAA!

"Betul. Tiada pilihan selain daripada mengusung pintu ini ke sana-sini. Nasib saya baik sebab ada poket dimensi."




"Oh, kalau awak tak mahu yang ini, saya tunjukkan alat kedua."
Kucing itu mengeluarkan sesuatu yang lain dari poketnya. Sehelai kain.

"Kain tudung bawal?" tanya aku.

"Bukanlah! Ini KAIN CAHAYA MASA!!"
Aku tidak faham kenapa setiap kali dia nak sebut nama alat dia,
dia akan sebut dengan nada tinggi yang riang dan gembira.

"Kain ini mampu ubah segala barang yang dibungkusnya sama ada ke masa lampau atau ke masa depan. Biar saya buat demonstrasi."

Kucing itu mengambil keluar sehelai baju lusuh, kotor dan busuk dari timbunan sampah tempat dia berdiri dan membungkus baju lusuh itu dengan alat canggih kain bercorak jam analog itu tadi. Selepas beberapa saat, dia buka kembali bungkusan itu dan mengeluarkan baju tadi. Baju itu sudah tidak lusuh, malah nampak sangat baru dan bersih. Siap ada tag harga lagi.

"Lihat. Baju yang buruk boleh kembali menjadi baru. Kain Cahaya Masa ini membuatkan baju buruk tadi ke masa baju itu masih baru dahulu. Tapi kena hati-hati. Lagi lama dibiar berbungkus, lagi jauh dia akan bergerak merentas masa. Kalau saya tinggalkan lebih lama, mungkin baju ini akan menjadi selembar kain, atau mungkin hanya akan jadi segumpal kapas, bergantung kepada bahannnya. Kalau terbalikkan kain ini, barang yang dibungkus akan bergerak ke masa hadapan dan menjadi buruk dan kotor kembali."

Aku angkat tangan sekali lagi untuk bertanya soalan.

"Maksudnya kain tudung bawal corak jam itu memanipulasi masa barang yang dia bungkus, kan? Time manipulation. Tapi adakah barang yang dibungkus akan mengekalkan memori yang ada?"

"Memori? Apa maksud awak?" tanya kucing itu.

"Memori. Maksudnya kalau contoh saya bungkus telefon bimbit saya yang sudah lama dan uzur bertukar menjadi baru, adakah memori macam segala nombor telefon dan gambar yang disimpan di dalamnya juga akan turut hilang?"

"Hmmm..." kucing itu mengerutkan dahinya berfikir.

"Kalau kononnya saya yang berumur 50 tahun ingin kembali menjadi muda seperti 25 tahun. Saya bungkus badan saya dengan kain ini. Adakah nanti memori saya dari umur 26-50 tahun akan hilang?"
Aku cuba terangkan dengan lebih lanjut supaya kucing itu faham.

"Hmmm...Saya tak pernah cuba bungkus manusia, tapi rasanya kalau kain ini merentas masa, maknanya segala memori yang sudah tercipta akan lenyap kalau diundurkan ke masa lampau."

"Huh!!" Aku mendengus kekecewaan.




"Baiklah, kalau awak tak suka ini. Ada satu lagi."
Kucing itu menyeluk poket dimensinya mengeluarkan sesuatu.

"LAMPU PENGECIL 2.0!"
Siap ada versi 2.0 lagi. Canggih sungguh alat itu walaupun nampak macam sekadar lampu suluh biasa sahaja.

"Dulu masa versi 1.0, lampu ini ada dua jenis; Lampu Pengecil dan Lampu Pembesar. Sekarang dalam versi 2.0, kedua-dua lampu ini digabungkan menjadi satu," terang si kucing itu.

"Bila ditekan suis pengecil dan halakan cahaya lampu ini ke arah objek, objek itu akan mengecil."
Kucing itu menghalakan cahaya lampu itu ke arah baju tadi. Baju itu menjadi kecil, sama saiz dengan baju untuk patung mainan.

"Dan bila ditekan suis pembesar, cahaya itu akan membesarkan objek yang dipancarkannya."
Baju yang tadi kecil menjadi besar, sama besar macam baju saiz XXXXXXXXXXXL yang selalu ditayang di kedai pakaian bersaiz besar.

"Awak boleh aplikasikan lampu ini untuk semua objek. Contohnya kalau rasa tak ada tempat letak kereta, bolehlah dikecilkan kereta tersebut dan disimpan di dalam poket. Kalau nak pakai, gunakan pula lampu pembesar."

"Wow, menarik! Tapi tidakkah nanti kereta itu akan cepat rosak? Maksudnya kalau disimpan di dalam poket, dan tanpa sengaja poket itu bergoncang-goncang sana sini, bukankan boleh rosak kereta tadi dibuatnya?"

Kucing itu mengerutkan dahinya lagi. Rasanya dia rasa semakin menyampah sebab ada sahaja kata-katanya yang aku bangkang dan hujahkan.

"Ya. Rasanya kalau barang seperti kereta, mungkin agak tidak sesuai disimpan dalam poket. Tapi kalau ada makanan kegemaran yang sayang nak makan sebab kuantiti sikit, gunakan lampu pembesar akan buatkan makanan itu jadi besar dan boleh dimakan banyak. Seronok, kan?"

Aku angguk faham.

"Baiklah. Saya ada TIGA alat ini sahaja. Awak pilihlah mana satu yang awak mahu. Saya akan hadiahkan sebagai tanda terima kasih kerana selamatkan saya tadi," ujar kucing itu lagi.




JADI,
KALAU KALIAN ADALAH AKU,
MANA SATU YANG KALIAN PILIH?

1. PINTU SUKA HATI,
2. KAIN CAHAYA MASA, atau
3. LAMPU PENGECIL 2.0?

Tinggalkan pilihan kalian di ruangan komen.












"Baiklah, saya pilih yang ini," sambil aku mengambil alat pilihan aku.
"Sebagai tanda terima kasih saya pula, saya belanja awak makan donut inti kacang merah yang sedap ini." Aku hulurkan donut yang baru aku beli tadi.

"Tapi saya ada satu lagi soalan."

"Apa dia?" balas kucing itu.

"Begini. Kalau awak adalah kucing robot yang datang dari masa hadapan dan ada tiga alat canggih dalam poket dimensi awak, kenapa awak tak gunakan alat awak itu semasa diperangkap anjing tadi? Boleh sahaja awak keluarkan Pintu Suka-Suki awak itu dan lari ke tempat lain, atau gunakan Kain Tudung Bawal tadi untuk jadikan anjing yang besar dan ganas itu kembali menjadi anak anjing yang lemah, ataupun guna Lampu Suluh Ajaib untuk kecilkan saiz anjing itu supaya tidak mampu melawan saiz awak?"

Kucing itu buat muka tidak puas hati dengan aku.

"Walaupun awak pakai cermin mata dan berbaju kuning, tapi awak tak sama macam lelaki bercermin mata dan berbaju kuning yang pernah saya kenal. Awak lebih menjengkelkan."

Kucing itu pun berjalan laju, hilang lesap dari pandangan mata.



Sekian. Terima kasih kerana membaca sampai habis walaupun panjang lebar.





.




Mar 8, 2017

Dunia Egosentrik.


Salam.

      "Jadi pada hari minggu tempoh hari, aku ada janji mahu bertemu dengan seorang kawan di satu tempat. Disebabkan aku berkenderaan (motosikal) sedangkan kawan aku tidak berkenderaan, maka kami akan bertemu di satu tempat yang mudah dicapai oleh dia tapi sedikit jauh dari tempat aku."





"Dan ini adalah perkara yang berlaku kepada aku bermula dari awal pagi sehinggalah sampai ke tempat yang dijanjikan:


1.      Setelah bersiap dan bersedia untuk memulakan perjalanan, aku mencari kunci motosikal di atas rak tempat selalu aku letakkannya. Tiada. Oh, lupa. Semalam housemate pinjam motosikal aku, kunci pasti masih ada padanya.


2.      Ketuk bilik housemate mahu bertanya keberadaan kunci motosikal aku, tapi ketukan tidak berbalas. Lama sudah ketuk ni. Masuk terus nanti kata ceroboh privasi pula. Lantaklah. Masuk sajalah.


3.      Buka pintu bilik housemate, rupanya dia masih lagi membuta tidur. Tidur mati agaknya. Sampai bergegar rumah aku pintu tadi langsung tak diendahkannya. Aku tepuk dia perlahan-lahan dan bertanyakan perihal kunci motosikal, namun mungkin dia salah anggap suara aku yang perlahan itu sebagai dodoian agaknya. Dia makin ketat menarik selimut.


4.      Cara lembut bertanya tidak menjadi, aku tiada pilihan selain meninggikan suara. Bila dijerit bertanyakan kedudukan kunci motosikal aku, dia hanya menjawab 'carilah dekat ruang tamu, manalah aku tahu'. Ya, sama-sama sebab berterima kasih kepada aku kerana meminjamkan motosikal aku itu. Ingatkan aku kembali di lain hari supaya tidak lagi meminjamkannya kepada kau, wahai housemate-ku, walaupun masa mahu meminjam ayat yang keluar dari mulut kau cukup manis berbicara.


5.      Ke ruang tamu aku tuju. Tiada kunci dalam medan pandangan mata. Sudah satu kerja pula mencari kunci sendiri. Nampak gayanya perangai 'letak balik benda di tempat ia diambil' hanya diamalkan aku dan perpustakawan sekolah sahaja.


6.      Masa lebih banyak dihabiskan aku mencari kunci berbanding masa untuk bersiap tadi. Cari punya cari punya cari, jumpa bertindih jauh bawah timbunan majalah. Aku tarik nafas panjang menahan diri daripada mengeluarkan kata-kata kesat. Rantai kunci di kunci tersebut kelihatan kotor tercalit cecair berwarna hitam. Dengan sabar, aku lap kotoran itu dengan tisu sambil ingatkan diri sendiri supaya menjadi lebih 'kedekut' di masa akan datang.


7.      Melihat motosikal di laman rumah diparkir senget, tidak tepat di bawah bumbung tidak seperti yang aku selalu lakukan. Nasib baik malam tadi tidak hujan. Kalau hujan, mesti basah satu-satunya motosikal kesayangan aku itu. Sekali lagi aku ingatkan diri supaya jangan terlalu baik hati di masa akan datang.


8.      Pagar rumah dibuka. Sekali lagi aku menghela nafas panjang, mengeluh. Sebuah kereta diparkir baik punya tepat di hadapan pagar rumah. Kereta milik jiran sebelah. Ya, dia tahu kami rumah bujang hanya pakai motosikal dan memang ada ruang untuk motosikal keluar masuk (walaupun sempit), tapi apa sebab dia perlu tutup laluan kami sedangkan depan rumah dia kosong dan boleh diparkir kereta?


9.      Setelah gigih menerobos ruang sempit untuk keluarkan motosikal, aku berjaya. Amarah dalam hati sudah berbisik suruh senikan satu calar panjang di depan kereta itu, tapi kesabaran masih bersarang dalam diri. Paling tidak buat masa ini.


10.      Perjalanan dimulakan. Baru sahaja keluar simpang perumahan, terlihat satu lubang jalan rosak yang baru. Eh? Bukan ke baru minggu lepas jalan ini ditampal? Pihak yang tampal itu tampal guna apa? Ubat gigikah?


11.      Jalan selepas simpan sedikit sempit, muat satu kereta sahaja. Ada kereta dari belakang mahu laju, maka aku rapat ke kiri benarkan diri dipotong. Entah tidak pasti dia tidak berkeyakinan atau sekadar kebodohan bermaharajalela, tak dapat-dapat juga dia memotong walaupun sudah jenuh ke kiri aku rapat. Nasib baik depan sana jalan sedikit luas. Ohhh, lesen 'P' rupanya. Percubaan.


12.      Ke destinasi memerlukan aku melalui lebuhraya. Lorong masuk motosikal di tol berada di kiri plaza. Cuba teka apa juga yang berada di kiri plaza? Ya, dua biji kereta yang kelihatan seperti satu konvoi sedang berhenti betul-betul di lorong masuk motosikal, mengganggu pengguna motosikal lain daripada masuk lebuhraya. Lagi seronok, mereka buat muka tidak bersalah. Ada yang keluar dari kereta untuk berbual telefon, ada juga yang berbual-bual di tepi jalan dengan seronoknya tanpa menghiraukan pengguna motosikal yang kena gigih menyelit celah sempit yang mereka sebabkan.


13.      Berada di lebuhraya, di lorong kiri. Ini bukan lebuhraya yang menyediakan laluan khas motosikal, jadi motosikal terpaksa berkongsi lorong dengan lori 2 tan, lori 5 tan, dan lori 10 tan. Terbayang jasad diri sendiri terselit celah tayar. Ngeri.


13.      Kereta di hadapan memandu perlahan di lorong kiri. Tak apa. Itulah fungsi lorong kiri, untuk pemanduan perlahan. Tapi rupanya kereta itu dipandu perlahan supaya orang di dalamnya boleh buka tingkap dan buang segala sampah sarap makanan dari dalam kereta ke luar. Kulit pisang, tin minuman, plastik, kulit kuaci, ada juga lampin bayi. Pada sesetengah orang, Bumi adalah tong sampah besar mereka. Masalahnya mereka juga adalah isi 'tong sampah' itu.


14.      Motosikal aku sudah 10 tahun, maka tidak semantap dahulu. Berada di atas lebuhraya dengan kelajuan 90 ke 100 km/j sudah memadai, sebab itu aku selesa di lorong kiri. Tapi bila ada kenderaan lain yang lebih laju membunyikan hon di belakang aku memberitahu aku lambat, aku hanya berharap dia terlibat dalam kemalangan jalanraya di depan sana. Kalau nak potong, potong sajalah di sebelah kanan. Apa masalah? Nak kena duduk kiri dan bunyikan hon sudah kenapa?


15.      Keluar lebuhraya, aku dapat rasa angin tayar makin kurang, terima kasih kepada sampah sarap yang aku terlanggar di tepi lebuhraya. Menjengah ke stesen minyak selepas plaza tol untuk menggunakan pam angin. Namun, tempat pam angin dihalang oleh kereta yang menyinggah. Berpuluh ruang lain untuk parkir, kenapa pilih di ruang pam angin?


16.      Aku memilih untuk pam angin di stesen minyak lain, 10km di hadapan sana. 10km tidaklah jauh, namun hati jadi semakin jauh bila sampai sahaja, terlihat papan pemberitahuan di pam angin tertulis 'PAM ROSAK'.


17.      Menuju ke destinasi, aku berhenti di satu lampu isyarat merah. Baru sahaja lampu bertukar menjadi hijau 0.01 saat tadi, kereta belakang sudah bunyikan hon macam aku sejam berkampung di tengah jalan. Jalan itu abah dia punya agaknya.


18.      Semakin menghampiri tempat yang dijanji, aku masuk ke satu pusat komersial. Jalannya sehala, jadi kalau terlepas satu lorong, kena pusing satu pusingan baru boleh masuk semula ke lorong itu. Satu pusingan bukannya dekat. Boleh turun satu kotak meter minyak tahu.


19.      Kebiasaannya di laluan jalan sehala, pasti akan wujud motosikal yang menyongsang arus. Itu masih boleh diterima akal walaupun ternyata salah. Tapi apa cerita kalau kereta pula yang menyongsang arus? Nak pula bertembung dengan kereta lain di jalan sempit akibat parkir dua lapis, masing-masing tak mahu mengalah dan mengakibatkan laluan tersekat sejauh mata memandang.


20.      Sudah jumpa kedai mamak yang dijanjikan sebagai tempat pertemuan. Aku mencari tempat letak motosikal. Kosong parkir untuk motosikal sudah diisi dengan kereta yang tidak tahu bahasa. Kotak parkir kereta pula tidak dibenarkan parkir motosikal. Habis tu, aku boleh parkir mana?


21.      Aku naik ke bahu jalan untuk parkir. Lantaklah. Ada dua tiga motosikal lain juga yang buat perkara sama. Baik punya parkir, aku tersedar hampir sedikit lagi aku akan terpijak segumpal najis semasa mahu menurunkan kaki dari motosikal. Nasib tak terpijak.


22.      Aku ingat aku lambat sebab banyak perkara sudah berlaku. Aku memang lambat 5 minit dari waktu yang dijanjikan. Tapi rupanya kawan aku itu lagi lambat. Dia belum sampai. Tidak apa, aku boleh tunggu.


23.      Aku SMS dia beritahu aku sudah sampai. Tiada balasan. Tunggu 5 minit, tiada. Tunggu 10 minit, tiada juga. Tunggu 20 minit, masih tiada. Sudah 30 minit, masih menunggu. Wow!


24.      45 minit menunggu, dapat satu SMS balasan. 'Sorry, tak jadilah jumpa. Ada hal lain.'


25.      Aku balas SMS, 'Tapi aku dah sampai ni'. Dia pula balas, 'Ala, bertimbang rasalah sikit. Aku ada hal penting lain. Janganlah pentingkan diri sangat'. Ehhhh? Bukankah kau yang ajak jumpa awal-awal hari itu? Ada masalah nak luahkan pada aku konon katanya? Marahnya aku.


26.      Bayar teh tarik, berdengus aku berjalan ke motosikal dalam keadaan marah. Ternampak ada sesuatu terselit di pemegang motosikal aku. Satu surat. Bukan surat cinta. Surat saman. Saman parkir kenderaan bukan di ruangan parkir.


...and that's it. That's why I'm here."



      "Maksud kau, kau masuk sini sebab dapat saman salah parking?" tanya Hadi untuk kepastian.

      "Oh, tak. Aku masuk sini atas kesalahan membunuh. Kawan yang aku cerita janji tapi tak datang tadi tu, sekarang sudah jadi arwah, jadi arang. Aku ikat dia dekat pokok dan bakar guna petrol hidup-hidup. Sekejap lagi polis akan bawa aku ke ibu pejabat untuk soal siasat lanjut."

      Hadi terdiam mendengar cerita lelaki berkumis tebal itu. Kelihatan sekumpulan polis pengiring menghampiri lokap tempat mereka berdua berkongsi itu. Seorang polis mula membuka pintu lokap dan mengeluarkan gari.

      "Kau masuk sini sebab apa?" tanya lelaki itu kepada Hadi sambil polis menyiapkan gari di pergelangan tangannya.

      "Err...er...Aku kena tangkap sebab conteng dinding bangunan awam...," jawab Hadi terketar-ketar.

      "Kau tahu, dunia kita ini dunia egosentrik. Semua orang pentingkan diri sendiri tanpa memikirkan orang lain. Mereka rasa mereka lebih tinggi daripada orang keliling mereka. Mereka rasa mereka sentiasa perlu diutamakan tanpa menghiraukan orang yang betul-betul perlukan keutamaan. Pada mereka, kesusahan mereka sahaja penting. Susah orang lain mereka tidak peduli."

      "Kau bukan macam tu, kan? Hadi?" tanya lelaki itu sebelum dibawa pergi sambil bergari oleh polis pengiring tadi. Hadi hanya mampu melihat lelaki itu dibawa pergi, lelaki yang menjadi mangsa kekejaman egosentriknya manusia dunia.



      "Tak. Tidak. Aku tidak mahu jadi sebahagian daripada manusia egosentrik."
      Hadi berbisik seorang diri.


Adakah kalian seorang egosentrik?






.




Mar 1, 2017

4 Cerita 1 Hari II


Salam.

Sekali lagi, aku Past cEro.
Jika kalian terbaca entri ini,
bermakna kalian sedang membaca entri simpanan yang ditulis khusus untuk diterbitkan apabila Present cEro not available.

Selaku Past cEro, aku tak tahu apa yang berlaku kepada Present cEro.
Mungkin dia malas, atau dia ketiadaan capaian internet,
atau paling teruk mungkin dia dah tak ada lagi di dunia ini.
Let just hope that it's not the case.


Mari pendekkan bebelan dan terus ke isi utama.

Minggu ini aku mahu kongsikan 4 cerita pendek
yang berlaku ke atas diri aku dalam masa satu hari yang sama.
Tiada komik, tiada gambar.
Aku juga tak janji minggu depan ada komik atau tidak.




Cerita 1

Satu hari di bulan Februari 2017,
aku diperlukan untuk menghadiri satu seminar.
Seminar itu berkisar tentang bagaimana mahu menjadi orang yang berjaya,
satu topik yang paling sungguh sangat amat klise bila adanya seminar.

Isinya sama macam seminar motivasi lain.
Berfungsi nak tingkatkan motivasi orang dalam bekerja.
Tiada isi yang terlalu istimewa untuk aku kongsi dalam entri ini pun.

Actually I'm okay with seminar.
Selagi acaranya tak makan masa panjang dan bonus kalau ada makanan di hujung acara, aku sangat okey.

Tapi si penyampai telah buat satu perkara yang membuatkan aku berubah daripada jadi 'okey' kepada 'cepatlah aku nak keluar dari dewan ni.'

Dia petik satu quote yang selalu aku dengar,
quote dari tak lain tak bukan, penulis fiksyen Narnia.



"You are never too old to set another goal or to dream a new dream."
          - C.S. Lewis            



Kalau kalian baca blog aku yang satu lagi,
kalian akan tahu betapa tak gemarnya aku dengan quote itu.

Tiada yang salah dengan quote itu,
cuma quote itu disebut oleh orang yang sudah berjaya,
sudah kaya raya, sudah tercapai impiannya.

Bahkan kalau kalian perasan, semua quote yang kononnya 'bermotivasi' pasti akan disebut oleh orang yang berjaya.

Kalau kau dah berjaya, dah ternama,
kau sebutlah apa pun sama ada kata-kata motivasi klise
ataupun ayat yang tak masuk akal sekalipun macam pandu kereta ke KLCC,
pasti ada yang berminat untuk bukukan
atau jadikan isi dalam slide powerpoint ceramah motivasi.

Adakah kata-kata perangsang daripada seorang penjual goreng pisang kurang nilainya berbanding kata-kata orang yang berjaya hanya kerana penjual goreng pisang 'kurang' berjaya?

This is why (secara peribadi) aku rasakan penceramah motivasi zaman sekarang sangat klise, bosan, sama dan tiada nilai beza dengan berjuta penceramah motivasi yang lain.
Sehinggakan beberapa penceramah motivasi yang ada asyik ulang isi yang sama tak kira berapa kali keluar TV atau jadi penceramah dalam seminar motivasi.

Dan kalau kalian korek lebih dalam,
bayaran mereka bukan calang-calang harganya tau.
Padahal isi sama dan modalnya hanya air liur.

Aku pun nak jadi penceramah motivasi juga.




Cerita 2

Aku teruskan mendengar ceramah walaupun hati tidak ikhlas lagi.
Peserta lain pun sudah ramai beralih perhatian bermain handphone sendiri.
Aku tiada handphone (lebih tepat tiada smartphone. Phone aku hanya boleh call dan sms HANYA untuk tujuan emergency) jadi aku hanya boleh conteng-conteng atas buku yang disediakan.

Highlight seminar ini adalah adanya cabutan bertuah pada hujung program.
Hadiah utamanya ialah telefon bimbit Samsung Galaxy J7 2016.
Sebab itu ramai yang masih gigih bertahan walaupun sudah kontang minat.
Aku?
Walaupun hadiahnya best, sebiji handphone,
tambahan lagi aku tengah tak ada smartphone ni,
tapi aku tahu nasib aku tak pernah baik dalam cabutan bertuah.
Aku tetap kekal di dalam dewan hanya kerana air cond dan jamuan percuma di hujung acara.

Tapi bila tiba sesi cabutan bertuah yang ditunggu ramai,
nama aku dipanggil.

YA. NAMA AKU DIPANGGIL SEBAGAI PEMENANG.

Tapi bukan pemenang hadiah utama, cuma hadiah sampingan.
Sebuah travel adapter; kepala plug yang ada macam-macam jenis pin.
Kalau kalian kaki travel luar negara, kalian tahu benda ini sangat berguna.
Walaupun aku banyak travel, tapi aku travel dalam Malaysia saja.
Jadi benda ni literally useless to me.

Tiga kali nama aku dipanggil,
tapi aku membatu diam tak nak bangun dari tempat duduk.
Nasib baik tak ada siapa kenal aku,
jadi orang anggap nama yang dipanggil sudah keluar dewan.

YA.
Aku menang cabutan bertuah tapi aku tak ambil hadiah.

Kalian mesti anggap aku ni bodoh dan rugi.
Walaupun tak guna adapter tu, ambil je laa, kan?
Mana tahu berguna kemudian hari.
Atau boleh dijadikan hadiah kepada orang lain?

Begini,
alasan aku tidak ambil hadiah itu ialah
aku ada satu kepercayaan (karut) yang tuah pada diri aku adalah terhad.
Sebab tu dari kecil lagi aku tak pernah menang cabutan bertuah.
Aku bangun tidur dapat hidup sehari lagi pun dah rasa sangat bertuah.
Disebabkan tuah aku ada limit, aku takut kalau aku ambil hadiah itu,
tuah aku akan kehabisan.
Jadi perkara yang akan berlaku kepada aku seterusnya hanyalah perkara buruk.
Aku masih ada separuh hari lagi untuk ditempuhi.
Aku tak mahu habiskan hari aku melalui perkara buruk.

Ya, aku tahu. Kepercayaan karut.

Lagipun,
travel adapter sangat tak berguna kepada aku.
Lainlah dapat smartphone, berguna jugalah jadinya.
Jadi daripada aku ambil dan tak pakai,
kan lagi bagus hadiah tu diberi kepada orang yang guna dan pakai?

Seriously aku langsung tak ralat.




Cerita 3

Habis seminar, ada jamuan.
Rugi aku tunggu jamuan sebab makanan dia tak sedap.
Kalau aku tahu tak sedap dah lama aku balik,
or at least melencong ke shopping mall yang berdekatan.

Hari hampir petang.
Aku nak elak kesesakan jalanraya disebabkan waktu puncak orang balik kerja
jadi sama ada aku bergerak balik rumah sekarang
ataupun aku tunggu habis waktu puncak baru balik.

Ya,
walaupun aku pakai motosikal (disebut Kuda Putih)
dan boleh menyelit-nyelit dalam kesesakan,
tapi aku kalau boleh tak nak makan asap kenderaan lain.
Nak selit-selit pun makan tenaga banyak oooo, ingat senang?

Aku buat keputusan untuk balik sekarang, tak tunggu.

Malangnya,
separuh jalan, hujan mula turun.

Selalunya sebab destinasi dituju adalah rumah,
jadi aku tak kisah basah redah hujan.
Tapi sebab kali ini aku bawa dokumen sensitif,
dan aku tak mahu dokumen itu basah dan rosak atas kendalian aku
jadi aku buat keputusan untuk berteduh di bawah satu jejambat.

Di bawah jejambat sudah penuh dengan penunggang motosikal lain.
Ada yang duduk berbual dengan kenalan.
Ada yang duduk hisap rokok, vape.
Tapi majoritinya bermain smartphone mereka masing-masing.

Aku yang tak ada smartphone ni duduk menatap air hujan menitis membasahi jalan tar.

Tersenyum aku memikirkan
teknologi yang sepatutnya memberi nilai tambah dalam kehidupan
kini sudah menjadi raja yang mengawal manusia.
Berapa ramai kita yang tak tentu arah bila tak ada smartphone di tangan.
Lihat sahaja berapa ramai lebih banyak habiskan masa bersama smartphone
berbanding masa bersama mereka yang tersayang.
Kalau di kedai makan sekalipun, tangan tak lekang daripada memegang smartphone.
Nak mula makan pun bukan tadah tangan baca doa
tapi snap gambar makanan dulu seolah-olah satu ritual wajib.

Itulah 'deep thought' aku ketika melihat hujan.
Padahal kalau aku ada smartphone pun, aku akan jadi seperti mereka.

Sebulan sudah aku tak ada smartphone.
Mula-mula memang parah tak keruan tak buka IG, Fb atau twitter satu hari.
Tapi tempoh parah tu seminggu awal sahaja.
Selepas itu hidup jadi makin senang.

Sejak tidak ber'smartphone' ini,
aku sudah habiskan berbelas buku dan komik yang sebelum ini tak habis-habis dibaca.
Mana tak, bila bosan tak ada benda lain nak buat,
nak tak nak aku akan capai buku/komik yang ada.

Habis mengelamun,
melihat hujan sudah sedikit reda, aku buat keputusan untuk redah.
Dokumen sensitif aku seal betul-betul supaya tak basah.
Yang lain basah tak apa.

Hasilnya,
aku sampai rumah dengan basah kuyup, luar dalam atas bawah.




Cerita 4

Merasakan meter tenaga aku semakin kontang,
aku tak boleh duduk dan berbaring sebelum selesai benda lain
sebab kalau aku buat begitu, confirm terlelap sampai sudah.

Jadi aku mandi, berak, makan dan selesaikan apa yang wajib/patut
menggunakan baki tenaga yang ada.
Bila betul-betul selesai, aku pun berjalan ke katil seperti zombi.

Sebelum sempat terjun ke atas katil,
aku click suis on radio yang berada di hujung katil.

Sambil berbaring berehat,
aku dengarkan celoteh dan lagu yang berkumandang dari corong radio.

Tetiba ada satu lagu yang sangat sedap didengar dan layan.
Tapi aku tak tahu lagu apa, siapa penyanyinya dan apa tajuknya.

Selalunya kalau jadi keadaan begini,
aku akan google sebahagian lirik lagu yang aku dengar tu.
Selalunya berhasillah, akan dapat tajuk lagu dan penyanyinya dari result carian Google.

Tapi kali ini aku ada masalah sikit...

Bukannya aku malas nak bangun dari katil dan pergi ke komputer untuk Google,
tapi masalahnya lagu yang sedap dan layan ini...
...
...
...
...lagu bahasa Korea. K-pop.

Aku tak tahu nak taip lirik apa dalam Google.
Aku tak dapat tangkap perkataan lirik yang disebut.
Kalau aku dapat tangkap sekalipun, tak salah aku bahasa Korea ni apa yang disebut tak sama dengan apa yang dieja dalam Roman.

Apa yang aku tahu lagu tu bernada begini:
"Na naa na naa naa parappa naa na naa~~!"
Which is sangat tak membantu bila aku cuba bunyikan dekat adik aku yang gila k-pop.

So tell me,
macam mana aku nak tahu lagu K-pop tu lagu apa?


xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx xxxxxxxxxxxx



Begitulah 4 cerita yang berlaku dalam satu hari aku.
Terima kasih kerana baca sampai habis.
Saja aku tak letak apa-apa image sebab nak uji siapa yang sanggup baca celoteh aku sampai habis walaupun tanpa apa-apa gambar (padahal malas huhuhu)
Siapa baca sampai habis, beritahu di ruangan komen.


Ok,
apa kata kalian pergi jenguk apa sudah jadi dengan Present cEro.
Hidup lagi ke tidak?
Pergi maki dia di media sosial @cerolian
tapi sebab dia tak ada smartphone,
mungkin media sosial bukan cara terbaik untuk berhubung dengan dia.
Kalaulah dia dah tak ada, sedekahkanlah Al-Fatihah untuk dia, ya.
Huhuhu





.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Namaku cEro.... Kacak, tinggi, putih gebu, badan tegap, macho.. Kalau korang nampak orang yang memenuhi kriteria di atas, dia BUKAN AKU..
PENERBITAN: